30 October 2007

Kuntilanak 2- Ekses Gore Impak Kurang


Pertamanya, sesuatu yang 'out of topic': Selepas saya mengulas Kuntilanak yang pertama, secara mengejutkan, saya ditemukan dengan penulis skripnya, VE Handojo yang sedang melawat Kuala Lumpur untuk 'bisnis'. Beliau memberitahu sesuatu 'rahsia' tentang 'arc' dan konsep Kuntilanak itu datang dari mana. Selepas saya tahu tentang itu, saya tidak boleh berhenti dari ketawa dan menjerit "Babi!" kerana kegeniusan pengarahnya, Rizal Mantovani mempersendakan penonton. Memang filem, lebih-lebih lagi filem seram bertujuan untuk 'mempersenda', tetapi bentuk persendaan itu lebih 'gelap' dan meluyutkan hati penonton supaya membawa rasa takut itu ke luar pawagam tanpa sedar telah dipersendakan. Bila orang seperti saya sudah 'tahu' akan rahsia Kuntilanak (saya takkan beritahu, kalau tidak, Kuntilanak cari saya macam Ikwan dalam Kuntilanak 2!), bila menonton Kuntilanak 2, saya tidak boleh berhenti daripada ketawa dan seronok akan persendaan yang dibuat Handojo dan Rizal.

Ok...

Kuntilanak 2. Saya sungguh teruja bahawa filem ini masuk pawagam pada Halloween. Saya memasuki pawagam dengan rasa antisipasi yang tinggi, lebih-lebih lagi setelah membaca ulasan pembaca imdb.com bahawa filem seram sekuel ini adalah filem seram 'breakthrough' buat Indonesia, malah mereka bangga dan suka akan filem seram ini, mengatakan ini adalah filem seram terbaik buatan pembikin filem mereka.

Ada beberapa perkara yang saya suka akan efek dan cerita filem ini. Hantu di dalam filem ini dipertunjukkan lagi dengan jelas (filem pertama dihadang-hadang) tetapi dibuat kadang-kadang secara superimposed, atau seperti ajami bicaraskrip kata, 'fast-cut'. Gaya yang digunakan oleh Freindkin dalam The Exorcist (1973) dengan cemerlang, Clive Barker dalam Hellraiser (1987) serta Lord of Illusions (1995), dan Adrian Lyne dalam Jacob's Ladder (1990). PHSM (2004-2005) Suhaimi Baba juga menggunakan gaya ini tetapi kurang efektif. Jika anda teringat, Rizal pernah membikin sebuah filem yang juga sebuah 'breakthrough' filem seram iaitu Jelangkung (2001). Malah, jika kita kembali pada filem itu, gaya hantu 'laju' dan sangat tampak matanya yang putih membulat dipersambungkan di dalam filem ini. Malah, saya suka akan solekan hantu ini (walaupun setengah dari rasa takut sudah agak hilang, kerana teknik yang digunakan kadang-kala terlalu dalam sesebuah babak) kerana ia mengingatkan kepada saya filem-filem seram lama Sisworo Gautama Putra yang suka memutihkan dan membeliakkan mata, berkuku panjang, mengangakan mulut dan melentik tangan dan kaki dengan sangat menakutkan (ikhlas, masa saya kecil, saya betuk-betul menggeletar menonton filem-filem beliau), memang 'hantu' betul!


Saya suka akan lagu latar filem ini. Tidak salah saya, satu babak 'showdown' terakhir, ada sebuah lagu kori yang bertutur "Syaitan Maha Besar" atau sesuatu yang begitu. Menggerunkan! Saya juga suka akan latar filem ini yang 'tip-top' dan berjaya membawa elemen gelap dan suram dari Kuntilanak pertama, serta beberapa 'warna' terhadap sekt Mongkojiwo itu. Kalau diperdengar, suara kilat sabung-menyabung itu disengajakan untuk mengambil semangat gaya filem lama Hollywood yang fantastikal. Memang, filem ini sedikit fantastikal.

Selebih itu, inilah yang saya lihat daripada penyusunan filem pertama- ada sesuatu yang tidak cukup ummpph untuk mengatakan filem ini benar-benar berjaya atau sebaik filem pertamanya. Saya agak 'suka' dengan filem ini kerana satu perkara: keganasannya cukup kuat, gore dia memang sudah melangkah segala sejarah filem seram lain di Indonesia. Walaupun saya sangat marah kerana kesemua babak 'potong dan darah' dalam filem ini dipotong LPFN, saya tahu tekniknya mencapai kredibiliti gore yang sepatutnya (fasal tu kena potong!). Malah beberapa adegan seksualnya memikat. Saya ambil dua (filem ini, kelihatan kurang menekankan feminiti atau seksual wanita seperti yang dibikin dalam filem pertama, malah, filem ini sedikit berbaur mungkin kerana konsep kanak-kanak dan 'massa' dimasukkan): sewaktu Agung bermimpi dikacau kuntilanak, kita sedar, kuntilanak itu BERSENGGAMA dengan Agung di atas katil (maka kita tertanya bila Agung terbangun, adakah dia basah?), dan kedua sewaktu Agung diseksa secara 'bondage' oleh orang kuat Mangkojiwo (Sade sudah tentu bangga dengan babak ini). Tetapi itulah, dengan beberapa babak yang tampak tidak memberi kekuatan dan motivasi untuk penonton, babak-babak bagus ini tampak sia-sia.

Masalah dengan filem ini, ada beberapa elemen baharu yang ingin dimasukkan, termasuk menjaga dan memberi 'complement' terhadap idea-idea dari filem pertama (apa yang akan terjadi dengan Sam yang memegang kuasa, serta sejarah dan fungsi yang lebih mendalam tentang ajaran Mangkojiwo yang sememangnya amat saya tunggu-tunggu). Kita diperkenalkan dengan tiga budak sebagai pembuka filem (kita sedar, idea main-main, jangan main-main, serta kanak-kanak/anak akan bermain dalam filem kali ini) semacam tidak memberi apa-apa maklumat atau motivasi terhadap plot Sam (lakonan baik Julia Estelle). Malah di sini titik lemah filem ini membuka pelbagai 'plausability'. Soalan seperti, kenapa Yanti meninggalkan Sam seorang untuk memahami kuasanya, dan apa yang sebenarnya terjadi pada Agung sehingga dia terlalu trauma (ambil pil) dan putus dengan Sam seakan lubang yang paling terbesar. Apabila Yanti memberitahu bahawa Sam harus pergi ke Ujung Situ, kenapa dari awal-awal lagi Yanti tidak 'anticipate' perkara ini kepada Sam dan menunggu sehingga ahli sekt itu mencari Sam dan dia. Persoalan besar, kenapa Yanti mengkhianati Mangkojiwo kerana bila beliau bersama ketuanya Sri Sukma (pemegang kuasa kuntilanak sebelum Sam), beliau mengikut perintah habis-habisan. Adalah Sri Sukma punya agenda untuk memegang Sam untuk dirinya sendiri? Ini tidak diperjelaskan. Jika Yanti sudah tahu akan Sam mempunyai kuasa, menghormatinya lalu membiarkannya memegang kuasa itu, kenapa Yanti tidak menjadi 'apperentice' yang sebetulnya, dan tiba-tiba seakan kenal akan isi hati Sam untuk buang kuntilanak dalam dirinya dengan memberitahu akan Ujung Situ dan wanita misteri yang perlu dijumpainya. Semua ini membingitkan.

Malah, beberapa babak 'menyiksa' sekt Mangkojiwo, walaupun hebat, tidak menerangkan 'untuk apa' (kita faham, mereka sedang mencari Yanti dan Sam). Satu perkara lagi, walaupun dialog Handojo hebat dalam filem ini, ia kadang-kala ia terlalu meleret semacam drama radio, dan kadang-kala 'pacing' filem ini juga agak lembap. Lihat sahaja babak doppelganger Sam baik dengan Sam jahat yang dimulakan dengan Sam melihat gambar cowoknya dan kemudian cermin dan Sam jahat mula muncul. Babak ini agak mengambil masa dan kadang-kala rasa terlalu panjang, semacam satu drama satu babak. Walaupun idea ini baik (memaparkan Sam ada perasaan untuk menolak niat dna kuasa jahat yang ada dalam dirinya), ia menjadi panjang dan lesu kerana terlalu banyak dialog untuk menceritakan segala isi hati dan konflik diri Sam waktu itu, walaupun aksinya bagus.

Walaupun begitu, dua buah babak dalam filem ini memaparkan kehebatan Rizal Mantovani sebagai pengarah filem seram. Babak di mana, selepas Sam selesai 'membunuh' tiga orang sekt Mangkojiwo, kita lihat tangan Sam terangkat seakan berdoa (sebenarnya agak terkejut dengan apa yang berlaku dan kuasa yang dia ada) sedang mayat-mayat itu bergelimpangan di bawahnya. Dia semacam pemaisuri kegelapan (aku semacam pernah menonton gambaran ini dalam sebuah filem samurai) yang melahirkan kerosakan. Sangat puitis sekali gus menakutkan. Kedua ialah babak seram sewaktu kuntilanak melawat ketua sekt Mangkojiwo. Babak itu mengingatkan aku kepada Hellraiser (bilik hilang pintu, dan dinding rumah berubah semacam Cenobites bertemu mangsanya) dan Event Horizon (babak manusia yang melihat 'neraka' telah mencederakan dan merosakkan diri sendiri kerana 'neraka' itu di dalam mereka). Babak itu sangat seram dan berani, memberi sebuah lapisan lagi tentang kultus kuntilanak yang dicipta.

Filem ini juga membuka beberapa persoalan yang mana, di sinilah kesalahan pembikin filem ini kerana tidak memberi 'jus' sebenar filem ini. Ini berkaitan akan kuasa cucu perempuan sekt itu (lakonannya membingitkan), sejarah Sam serta ibunya, dan siapa wanita yang perlu Sam jumpa di Ujung Situ. Menonton persoalan yang tidak dijawab ini dengan sedikit saja jawapan seakan memberi kita satu kegeraman seperti mana bila kita menonton beberapa perkara yang tidak jelas di dalam Matrix 2. Ini adalah kerana, filem ini agak mengambil masa untuk memperjelaskan sisi psikologi Sam, pencarian Sam dan cerita baru akan kuasa Sam (tiba-tiba diberitahu, jika Sam terlalu memanggil kuntilanak, dia akan dicari dan dimusnahkan oleh kuntilanak- kenapa dan kenapa sekarang diberitahu?). Walau bagaimana pun, Kuntilanak 2 ialah sebuah filem seram yang seronok dan ada masa-masanya. Setakat ini, Pocong 2 (2006) adalah filem seram Indonesia yang sangat baik buat masa ini. Saya berharap Kuntilanak 3 akan memberi impak yang sepatutnya melebihi Pocong 2.
ps: Maka dengan itu, aku masih menunggu/mananti filem halloween aku buat tahun ini. Hai, kenapalah filem yang aku 'target' setaip 31 Okt selalu tak mencapai ekspetasi aku?

5 comments:

ajami said...

ulasan kau hebat!!!.. tak tercapai akalku!!!..

GAIA said...

aku nak tengok yg ni gak last week lepas hati malaya dan stardust tapi pasal kawan aku dah letih dan mengantuk n kena temankan dia ke mamak, maka terlepas waktu siaran terakhir utk K2 masa tu, pukul 1.30 pagi. Lagipun aku belum tgk yg 1...pinjam DVD boleh ?

Bercakap ttg tiket free, aku tengok free 30 days of night semalam...terima kasih kepada &^%$(credit terpaksa disensorkan). Macam banyak potong jugakla...kalo nak expect ngeri2 kepala kena potong memang tak nampak la....Bagus ke tak? yg itu serahkan pada ko sendiri utk menilainya nanti...

fadz said...

gaia, trimas kerana tak beritahu aku apa yg ko dah tgk...si azlina nak bagitau aku kata JGN..! Kuntilanak boleh pinjam kalau aku ada lagi tersimpan di dalam rumahnya...

fadz said...

ajami, no lah..! u kan lagi geliga bro!

Anonymous said...

i love julie estelle :)