12 December 2007

Jauh dan Dekat

Kali ini, ada dua buah filem yang jarang-jarang disukai terus apabila menontonnya untuk pertama kali. Mungkin ada beberapa 'bahagian' (atau keseluruhan?) di dalam filem itu yang menyebabkan ia menjadi 'busuk' terhadap beberapa penonton. Dua buah filem itu ialah di bawah:-
Across The Universe (2007)

Aku menonton filem ini tanpa mengetahui bagaimana sinopsisnya dan apa yang ia akan berikan kepadaku. Aku tahu ia sebuah 'musical' dan ia mengitar semula lagu-lagu hebat Beatles (ya, aku ni sangat oldies, minat sangat dengan Beatles). Ini ditambah dengan masalah bila beberapa 'pasukan' penonton di belakang aku yang menonton filem ini yang punya niat yang sama seperti aku tapi ketawa-marah-bengang dengan babak-babak MTV nyanyi broadway filem ini (mereka terus-terang meluah mereka dah salah beli tiket). Menjengkelkan! Aku serius, pertama kali dalam hidup aku, aku rasa nak cepuk je minah-minah kat belakang yang meroyan, "Haaa, dah nyanyi balik pulak..!"

Tetapi aku cuba bersabar. Dan paling pelik ialah, bila aku terpaksa terkejar-kejar keluar (malam Isnin, esok nak kerja) sewaktu "Lucy In the Sky with Diamonds" berkumandang, bebudak yang melalak tak tentu fasal pulak yang terpegun dan terdiam mendengar melodi Beatles tu.

Filem ni ada sesuatu. Ya, mungkin ada beberapa tempo filem ini dipersoalkan. Lebih-lebih lagi persoalan watak Prudence yang entah apa-apa (kita tahu dia lesbian dan keinginannya, tapi so what?), watak Sadie dan Jojo yang tidak begitu menonjol dan diperkembangkan dengan baik (tiba-tiba mereka bergaduh), kemudian ada sebuah babak psychedelic yang sangat 60s dan Beatles bertema Yellow Submarine(1968) dan dimasukkan di tengah cerita yang buat orang terpinga-pinga, kemudian campuran realisme perwatakan sewaktu menyanyi dengan surreal fantasma yang kadang-kala terlalu memaksa dan tidak menjadi. Tetapi semua itu boleh dimaafkan kerana dua perkara: mesej lagu Beatles yang disampaikan serta ikatan pelakon-pelakon itu yang membuat kita mahu menonton keinginan mereka, lebih-lebih lagi Lucy (lakonan baik Evan Rachel Wood) dan Jude.

Pembikinan menggunapakai lagu hits dan menyusunnya dengan membentuk sebuah cerita pernah dibikin dengan Mamma Mia!, kompilasi lagu-lagu hebat ABBA (dan antara musical broadway yang terkenal di Britain). Caranya ialah, dengan kreativiti, penulis dan pengarah perlu menyusun detik cerita dengan susulan lagu dan 'tema' lagu itu. Secara jelas, filem ini berjaya mengambil 'nafas' zaman 60-an sewaktu Amerika memerangi Vietnam dan zaman punk di Britain baharu hendak bermula (atau mods datang dulu, aku tak pasti, kena tanya Azwan), dan zaman flower people sedang berkumandang di US sewaktu ramai pemimpin dan golongan minoritinya dibunuh (atau mereka sudah dibunuh sebelumnya, aku tak pasti, kena tanya Azwan). Semangat ini berjaya diangkat oleh filem ini, memaparkan semangat orang muda Amerika waktu itu, dengan revolusi 'cinta bukan perang' mereka serta semangat 'liberalisasi tanpa sempadan' mereka (kalau tak silap aku, zaman ini juga Beat datang dengan menjenguk alam spiritual timur, betul tak Azwan?) dan kekeliruan di antaranya.

Maka untuk menggerakkan cerita, Jude dari Liverpool (tempat John Lennon dan Beatles) telah menjelajah Amerika bertemu Max dan adiknya, Lucy. Di sinilah 'lagu-lagu' mula bermula. Memang, jika penonton yang tidak kenal akan transisi Beatles dan tidak tahu falsafah lagu-lagu mereka, mereka tidak mungkin menyukai filem ini. Lebih-lebih lagi dengan alam surreal (sebenarnya mereka ambil candu) yang dialami oleh watak-watak itu apabila bertemu dengan Mr. Kite (menonton Eddie Izzard menggila-gila sangat mengujakan! Ingat Tim Curry?). Tetapi itulah idea filem ini, sebenarnya suatu 'sepah-sepah' lagu hebat Beatles yang ingin diterjemah sekali lagi dengan pautan sebuah cerita yang perdu. Lebih mengujakan jika penonton itu sekurang-kurangnya 'ada hati' dengan Beatles, mereka dapat menggoyang kepala dengan makna dan imej yang dipaparkan, sambil didendang dengan lagu yang semestinya evergreen dan terbaik buat abad lepas.

Contohnya segmen lagu yang terbaik ialah segmen lagu "Strawberry Fields Forever", sewaktu Lucy gundah teringat Max bila melihat kaca TV perang Vietnam ("mereka kini membawa peperangan ke dalam ruang rumah dengan TV") dan sewaktu itu Jude dengan perasaan sangsi dan kecintaannya terhadap Lucy (dengan idealisme cinta itu derita) tetapi tahu dia perlu melaluinya dengan reda, dan Max yang di dalam 'alam surreal yang menakutkan' di tengah medan peperangan di Vietnam. Tangkapan itu antara 'lapisan' yang sangat berjaya dipaparkan di dalam sebuah 'MTV'. Perkara yang terpenting ialah, filem ini menimbulkan rasa dan pemahaman bahawa Beatles, bukan sahaja menjadi penggerak revolusi cinta (terutamanya John Lennon) tetapi mereka adalah pemerhati dan perakam pragmatis pada zaman itu, mereka melihat sesuatu dari semua sudut dan menafikan satu-satu idealogi abadi. Ini mungkin membingit para romantis dan aktivis yang biasa berpegang pada satu kekuatan (termasuk juga para liberalis yang kadang-kala cenderung melihat suatu yang positif terhadap pendirian mereka) sahaja, tetapi inilah idea 'moden' yang sangat jujur dari Beatles, yang mungkin tidak dapat diterima oleh kebanyakan orang, tetapi kita sedar kebenaran 'wasatiah'nya.

Akhir yang pasti, filem ini semestinya buat mereka yang mahu kembali kepada zaman bila orang muda berani bersuara walaupun betapa mengarut dan bodoh kelihatannya, zaman orang muda bercinta, putus dan bertemu kembali, serta semangat melawan pelbagai sempadan walaupun angkasa (across the universe) dengan pendirian mereka. Filem ini membuat anda rasa muda kembali.



Legenda Sundel Bolong (2007)
Hanung Baramantyo ialah antara sutradara baharu yang sedang naik di Indonesia. Dia sangat dikenali dengan Brownies(2005) dan kemudiannya Jomblo(2006). Rapi Films pula sebuah produser filem seram yang dahulunya pernah menjadi juara pembikin filem seram pop zaman 80-an. Suzanna dengan 'Sundel Bolong'nya terkenal di bawah penerbit ini. Malah, filem-filem Suzanna sangat popular, ia menjadi buah mulut seantaro orang sehingga Rough Guide to Horror Films telah mengiktiraf Suzanna sebagai Ratu Seram Indonesia pada masa itu.

Jadi, filem ini sebenarnya sebuah 'homage' dan sekali gus suatu 'kitaran semula' atau intepretasi semula filem-filem seram 80-an Rapi Films (seakan Hammer Films Indonesialah) terutamanya filem lawanan dengan pontianak kita ini.

Aku menonton filem ini dengan Azwan dan Diela. Diela terus-terang menyukainya. Azwan pula, dengan lantang mengatakan filem ini sebuah filem seram yang 'memalukan', malah sangat kucar-kacir, dengan imej puak Islam berbunuhan dengan puak PKI memaparkan caca-merbanya filem ini, lalu menyatakan dengan geram, "PHSM kita jauh lebih baik dan lebih masuk akal daripada filem ini".

Sebenarnya penyataan Azwan pada akhir ayat itu agak membuat aku rasa 'bangga' kerana rupa-rupanya, ada juga filem Malaysia yang boleh mengalahkan filem Indonesia.

Memang, beberapa perkara dalam filem ini menjengkelkan. Pinjaman idea Nang Nak(1999) (aku mengaku, aku tak suka Nang Nak) dan efek-efek hantunya ala-ala 80-an, malah mengikut gaya PHSM sangat tidak takut dan tidak membawa perasaan apa-apa. Malah, filem ini adalah antara filem seram yang paling tidak seram pernah aku tonton, kerana efeknya (secara jujur, efek yang pernah diperjelaskan memaparkan kegagalan seram PHSM di entri lalu menyelubungi keseluruhan produksi filem ni) yang tidak diangkat dengan baik. Aku perlu jujur, bila aku pertama kali menonton gezetnya di pawagam, aku sangat teruja, ia sangat menakutkan! Tetapi bila menontonnya, perasaan takut itu takde. Mungkin filem ini elok untuk bawa awek yang penakut, sebab dia sorang je yang akan cuit-cuit lengan kita atau cuba menyorok di bawah ketiak kita sewaktu hantu itu muncul sedangkan kita tak rasa apa-apa.

Tetapi bukan semuanya bermasalah dengan filem ni, jauh daripada mengatakan filem ni 'busuk'. Filem ni pun ada sesuatu. Tidak perlulah aku bedah filem ni betul-betul (sebab entri ni pun dah panjang) tapi aku hanya mahu katakan, ada beberapa tempat di dalam filem ini berjaya mengangkat idea dan semangat filem seram Rapi Films untuk generasi baru, walaupun aku tidak suka dengan caranya.

Pertamanya yang paling menarik, terdapat satu babak di mana golongan Islam dan PKI menuju ke rumah orang kaya (babak ini kurang berkesan kerana kita semacam diberi 'penantian palsu', mereka berlari dan berlari menuju ke bango si kaya sedang konflik protagonis terlerai dengan mudah dan protagonis menuju ke rumah dengan masa yang sangat singkat). Kita teringat akan babak Frankenstein(1931) sewaktu gerombolan massa menuju ke bukit untuk bunuh Boris Karloff. Kita sedar, bahawa setiap filem seram Rapi Films 'meminjam' plot/efek/imej filem seram Hollywood (lalu mendabik dada mereka pun sehebat Hollywood) dan di dalam filem ini, penggayaan ini berhasil. Frankenstein menceritakan tentang moral keinginan manusia yang melampaui batas, dan bagaimana pelampauan itu ditekan oleh massa, sedang filem ini memaparkan tentang 'kekeliruan' moral dan kelas yang melampau batas telah mengakibatkan kemusnahan kelas itu sendiri.

Filem ini juga menjawab persoalan 'bolong' puntianak serta perkaitan 'sundel' (sundal) kepada watak. Secara halus, beberapa gaya feminisme yang mengikut era Suzanna (wanita suci dikacau oleh sistem lelaki yang rakus, lalu terletak atas tangan wanita yang ternoda itu untuk membalas dendam terhadap lelaki yang rakus), gaya wanita balas dendam, disulam dengan baik dalam filem ini (efek hantunya, wajah putihnya mengikut Suzanna, lagu ala-ala Rock 80-an dengan synthetizer membingitkan, hantu yang lari ke celah-celah hutan). Malah, untuk men'twist'kan gaya ini, filem ini memaparkan bapak (orang kaya) kepada kerosakan wanita ini datang juga dari wanita yang membalas dendam terhadap kebodohan suaminya (ibu orang kaya). Filem ini penuh dengan simbolisme feminiti ini, dan langsung lebih berani memaparkan lelaki langsung mandul dan perempuan sahaja yang perlu menjalankan kerja dengan betul. Perkara yang radikal (chaotic- mengambil idea jahat patriaki lelaki bahawa segala yang diputuskan oleh perempuan mencipta chaos) ini disampaikan dalam filem ini.

Penggayaan semi-dokumentari dan tangkapan siang untuk malam kadang-kala menjadi, kadang-kala dirasa 'palsu'. Lagunya antara yang membingitkan dan langsung merosakkan cerita (mungkin elok untuk zaman 80-an, tapi buat masa sekarang?), dan efek suaranya antara yang terburuk. Tetapi pengarahan seninya antara yang terbaik keluar daripada produksi filem perdana Indonesia. Bentuk 'desa', lanskap dan budaya tempat mengambil pakai zaman itu sungguh teliti dipilih. Kita merasakan seakan memang filem yang dibikin sebuah filem lama, walaupun kita terasa akan teknologi HDnya.

Sebuah filem yang rata-rata menghiburkan tetapi kurang menyeramkan.

9 comments:

GAIA said...

filem ini membuatkan anda terasa muda kembali? fuyooh...ayat power..

Across the Universe tu menyenangkan, tapi taklah memuaskan. Bagi yg tak berapa kenal lagu2 Beatle, filem tu masih berjaya menyampaikan erti perjuangan lagu2 kumpulan tersebut pada era itu.

Part ambik candu tu yg mana? yg colourful tu ke(ada Bono kan?). Mcm pernah tengok paparan alam surreal akibat mabuk candu dalam satu episode dari siri anime Samurai Champloo.

Filem tentang anak-muda & music era dedulu yg paling best still Almost Famous kan?

Aku rasa Sundel Bolong tu tak patut ambil masa terlalu lama untuk bercerita tentang "asal-usul" sebelum menonjolkan entiti hantunya...kita pulak yg bermain teka-teki prempuan mana yg bakal jadi hantu. Tapi dia punya set dan atmosphere suram tu memang best...dengan pohon2 berdahan kasarnya...memang ANGKER...

maberik said...

wajib tonton filem Once.

kekure said...

Glad that u like across the universe..betol tak i cakap citer nie ada sesuatu..luckily tak tgk citer sundal tu..buang karan jek..

amirahsyuhada said...

jom tonton anak halal

ted said...

aku taknak baca dulu ulasan ko pasal across the universe sebab aku belum tgk. argh... lagu2 the beatles!! mesti best ni tak kira tak kira... (hope i wont be disappointed lah)

fadz said...

gaia, part deme gi tgk persembahan tgh padang tu lah..

yeap agree with u, secara personal i like it, tetapi secara massa, its a very weird trip for ppl who doesnt know the beatles.

Almost Famous? Entahlah, itu aku masih simpan sebab aku tak tgk lagi Spinal Tap. Sundel bolong? heheh pop gila cerita tu tapi lagi senang diikuti dari PHSM.

maberik, alrighty..!

kekure, heheh, yes datin perfectionist, ehehehe:)

amirah, akan pun, ahad ni..

ted, haaa, lagi satu perfectionist... jgn tgk lah, hahah

Ted said...

cheh haha siut je ko. perfectioneits mende plak. anyways apa yg org kata jgn tu lah yg aku nak buat ok.

amirahsyuhada said...

ahad ni, lambat gilos..saya nak tengok pusingan kedua dah..huhu

fadz said...

ted, silakan, gue tak halang lagi, hueheeheh..

amira...dapat goodies lagi tau, hehe, jgn jeles!