17 April 2008

LOVE(2008) Adaptasi Cinta Kabir Bathia

Love(2008) mengingatkan kita akan Cinta. Tak tahu? Alah, filem beranugerah yang berselang-seli tentang empat cerita berlainan yang merangkul kepada satu tu. Love ialah usaha sama Malaysia-Indonesia yang kita tunggu-tunggu. Love, sebuah produksi, baik dalam dan luar yang berjaya.

Tetapi itu produksinya, bagaimana dengan rohnya?

Kali ini, Love membariskan lima cerita. Ya, ia lebih mencabar dan lebih kompleks (sepatutnya). Kali ini, Titien Wattimean menjadi teraju penulis mengadaptasi konsep Kabir Bathia, Mila dan ARA. Setentunya anda akan kata, dengan pelakon Indonesia yang lebih mantap, dan dialog Indonesia yang lebih mendalam dan menyesak serta sumbangan teknik baris produksi Indonesia yang lebih jitu daripada para kru di Malaysia. Ya dan tak.

Ada beberapa perkara yang aku suka tentang Love. Pertama, adaptasi 'kitar semula' yang dibuat oleh Titien, terutamanya mengambil babak orang tua nyanyuk (dalam Cinta diteraju oleh Rahim Razali dan Love dilakonan oleh Sophan Sopihaan) serta babak pemuda kota tinggal di tepi rel keretapi (dalam Cinta diteraju oleh Pierre Andre dan Love dilakonkan oleh Fauzi Baadila) lebih 'sempurna', lebih mencengkam dengan beberapa campuran dialog, struktur yang logik, paparan babak dan runut bunyi yang mengesankan. Aku suka dengan banyak babak-babak Fauzi dan Acha. Malah bahagian mereka adalah antara yang terbaik dan paling matang dalam lima cerita dalam Love. Babak pertemuan di tengah rel keretapi adalah usaha melankolia-tangis mata-romantik yang mencapai 'ketinggian' dalam kesemua lonjak-lonjak penyeleraian dalam Love. Malah babak itu (serta babak awal dan akhir filem ini) menyimpulkan kebenaran bentuk Love yang separa 'fairy tale' serta sentimental-melankolik bila dibandingkan dengan separa romantik novel cinta-sentimental-komedinya Cinta.

Tetapi ini yang membuat Love terlalu 'dreary'. Ia terlalu mencuba 'menyatukan' satu emosi yang pelbagai membentuk satu 'perasaan', tetapi apa yang ia dapat hanyalah lima buah cerita yang terlalu melonjak emosionalnya, penonton yang sinikal boleh jadi 'numb' akan percubaan memerah emosinya.

Aku tak tahu kenapa, tapi aku perlu jujur, aku lebih suka akan Cinta daripada Love. Cinta tidak memaksa. Love terlalu dan bersusah-payah untuk 'cuba' menyesak kita. Masalah terbesar Love adalah dua perkara. Pertamanya, kita tahu, Malaysia dan Indonesia punya banyak perbezaan sastera, perbincangan kritikal dan penyemburan retorik (itu menunjukkan orang Indonesia lebih pandai bercakap dan lebih banyak bercakap daripada orang Malaysia). Orang Indonesia seperti orang Inggeris, jalan bahasa mereka penuh wit, berisi dan berlapis (oleh sebab itu Tora Sudiro boleh membikin sebuah rancangan komedi Extravaganza yang seelegan komedi di BBC sedang kita masih tidak dapat menangkap percubaan Harith Iskandar dan Afdlin Shauki dalam komedi mereka yang bermain dengan bahasa, [cth. ramai orang rasa Afdlin tak kelakar sebagai pengacara AIM sedangkan kata-katanya tajam dan sangat 'bermain']).

Pergerakan filem Indonesia kuat dalam memberi dialog-dialog yang impak. Apa yang membuat kita khayal mendengar lagu-lagu Indonesia bukan sahaja kerana melodinya tetapi 'sentuhan' liriknya. Di dalam Love, percubaan kata-kata penguat bicara ini disampaikan, tetapi masalahnya, ia disampaikan dengan terlalu. Sepenuhnya perjalanan filem ini semacam satu filem 'talky', ia menjerumus ke drama radio. Ya, hampir sepenuhnya filem ini, aku dengar orang bercakap dan bercakap. Sampaikan ada beberapa babak, wataknya 'states the obvious'. Aku tak suka perkara sebegitu dalam filem. Bila kau memang bodoh, dengan perwatakan dan aksi dan emosi yang kau tunjukkan, kau tak perlulah beritahu, "Aku bodoh" melainkan ia perlu. Dan ini ialah kelemahan dalam dialog Love. Malah, keseluruhan filem ini dirasakan seakan sebuah sinetron yang difilemkan.

Di dalam Cinta, apa yang membuatkan filem itu 'click' ialah mainan 'subtle' imej objek yang dipaparkan (melangkau fungsi terhadap filem dengan memberi makna-makna tersirat). Di dalam Cinta, pergerakan cerita tidak hanya berdasarkan dialog, tetapi emosi gerak pelakon, suntingan, aksi, objek yang diambil dalam filem dan ruang yang dimainkan. Perkara seperti 'paku' dan tersiratnya makna plastik dan keretapi membuatkan Cinta sebuah filem yang enak buat peminat filem. Di dalam Love, oleh kerana pembuahan cerita dalam filem terlalu bergerak dengan dialog, kesemua imej objek menjadi 'organik', dipakai sehabis-habisnya dalam fungsi pergerakan filem. Bunga, jam tangan, ikan lumba, keretapi menjadi 'sebahagian' para watak. Tidak ada satu pun yang tertinggal. Orang boleh agak, dan seperti pengkakhiran cerita ini, buat para sinikal, mereka akan menyinga (ada kena mengena dengan gelang).

Keduanya, runut bunyi Erin Gutawa. Ya, aku suka lagu-lagu okestra, malah filem Indonesia lebih seru daripada filem Malaysia kerana mereka selalu menggunakan okestra untuk menyerikan latar filem. Gubahan okestra sebenarnya mempunyai impak yang lebih kuat dibandingkan dengan organ synthesizer yang selalu digunakan oleh pengarah muzik kita di dalam filem (lihat Biola Tanpa Berdawai, Ruang, AADC, Puteri Gunung Ledang, Kala yang menggunakan impak okestra semaksimanya). Tetapi buat Love, dengan gaya bunyi 'syurgawi' Erin dalam setiap tukaran shot, hentian dialog dan aksi watak, bukan sahaja filem ini terus menjadi sebuah lagi filem saduran hindustan, emosi-emosi yang cuba hendak dicernakan menjadi 'palsu'. Malah aku hampir rasa pekak kerana 'sibuk'nya Erin nak mencelah dengan 'intepretasinya' terhadap imej filem itu.

Satu perkara lagi, aku tidak tahu kenapa, tetapi walaupun cerita dalam Cinta orang boleh katakan 'dibuat-buat', tetapi penjalinan teknikal 'buat-buat' yang diikat, diikat dengan kemas, sehinggakan terasa satu 'trenscend' bahawa watak-watak ini memang 'terperangkap' dalam sebuah metropolitan laju dan dingin. Mereka, watak-watak itu yang 'mewarnakan' lanskap laju dan dingin itu, membuat Kuala Lumpur 'berhenti sejenak' (babak di kubur), lalu berlakulah muhasabah retrospektif diri. Satu 'miracle' dalam filem Cinta. Mungkin buat Love, Kabir mahukan kelainan kerana perkara ini tidak berlaku. Lima cerita yang berpecah memang lima cerita yang berpecah. Walaupun kadang-kala ia bersilang, ia tidak akan bersatu seperti satu dunia sarwa yang utuh atau sebuah makhluk lengkap. Ia lebih kepada satu himpunan cerita yang terpecah-pecah, yang mengikat mereka hanya sebuah penjelasan bahawa cinta boleh menyerap dalam mana-mana watak, dan boleh mencernakan pelbagai emosi dan refleksi bila kita mengalaminya.

Lakonan keseluruhan pelakon dalam filem ini boleh dipuji. Aku tetap nak pukul kepala kawan aku yang mengatakan pelakon Indonesia dalam Love lebih hebat daripada Malaysia dalam Cinta. Kau BODOH, ya Meor, engkau! Lakonan Rahim Razali dalam Cinta masih jauh lebih kuat daripada Sophan Sophiaan. Malah, lakonan para pelakon Malaysia mempunyai 'elegentness'nya tersendiri, ada kelasnya tersendiri jika dibandingkan dengan pelakon Indonesia. Pelakon Malaysia susah mengekspresi emosi, banyak yang diluahkan berlaku di dalam. Tetapi pelakon Indonesia (serta orang Indonesia, dan ya, orang jawa ramai yang macam ni, suka meluah tak tentu fasal, aku dah banyak orang gaji, aku tahu) senang meluahkan ekspresinya. Oleh sebab itu, kadang-kala kita akan nampak pelakon dalam Love agak 'keterlaluan' berekspresi, tidak se'selamba' pelakon Cinta.

Surya Saputra bagus (aku suka babak-babak dia di katil), walaupun babak beliau adalah babak paling lemah dalam filem ini (kitar semula babak Rashidi Ishak yang diberi sentuhan baharu). Sebuah lagi babak yang lemah adalah di antara Luna Maya dan Darius Sinathrya (kitar semula babak Eizlan Yusof tapi kali ini tentang hidup sang penulis), tetapi, apa aku nak kata, aku memang gilakan Luna Maya (sejak Bangsal 13, kemudian Ruang) jadi walaupun orang bising, aku bias, dia memang hebat dalam filem ni, dan lunak. Irwan juga OK sebagai sang romantis yang tidak tahu mahu mengalah. Tetapi kebanyakan babaknya (juga beberapa babak lain dalam filem ini) terlalu 'convenient', sebuah lagi kelemahan yang tampak dalam filem ini. Aku suka watak Fauzi Baadila dan Acha yang 'matang' daripada babak Pierre dan Armani (walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan yang unik). Widyawati terlalu 'teaterikal' tetapi punya semangat pada akhir-akhir cerita. Laudya Bella juga bagus.

Love sebuah filem cubaan fairy tale buat Indonesia. Ideanya adalah untuk melakukan tunggang-terbalik terhadap 'happy ever after' yang kita kenal dalam kisah pari-pari. Warna dan ruang filem ini berjaya menangkap gambaran 'fairy tale' dalam kota itu, diyakinkan lagi dengan sentuhan sinematografi serta arahan seni yang jitu, memilih warna, latar serta ruang yang mengimbau perasaan 'asyik dalam mimpi-mimpi' di sebalik sejuk, miskin, debu kota Jakarta. Love mungkin tidak dapat mengalahkan Cinta buat aku, tetapi sebagai sebuah filem drama romantik, ia mempunyai bumbu yang masih boleh mencuit hati aku.

ps: Aku tonton filem ini bersama Jimadie Shah. Terkejut bahawa dia tak keluar separuh jalan filem ni.

7 comments:

Mohd Jimadie Shah Othman said...

Ha, ha, ha! Ada masa-masanya kita kena cuba nikmati apa yang tidak kita suka.

TANPA NAMA said...

Hmm..LOVE..maybe is the best laa..macam cite CINTA...ok gak..

Anonymous said...

i think LOVE is better than CINTA. Two thumbs up! Aku suka lakonan acha as iin, best!

fadz said...

jimadie = true.

tanpa nama, anon, thats your choice. lu keluar duit, aku tgk free.. haha.. btw no, LOVE is too sinetron for me, too talky, i hate talky, lagi2 kalau melantun perkata yang obvious. But Love sure have some good scenes.

Sharm said...

setuju ngan fadli. LOVE tersangat memaksa kita untuk menghayati... akhirnya kecewa! tonton CINTA rasa kasih sayang, benci, sedih, simpati dan apa saja perasaan yang dilakonkan senang dirasa sehingga aku boleh mendengar orang2 di dalam panggung tersesak2 hhuhu termasuk la kawan2 aku ehhehe :) tapi LOVE sgt2 tak sampai ok....

can't wait Ayat Ayat Cinta 30hb ni..

SHAM TOK ... <-nama ni ingatkan aku time kat IPS. sekarang takda orang pangil nama ni lagi ok.

ajami said...

Ringkasnya, filem CINTA seumpama 'sebuah istana yg cantik'.. manakala filem LOVE pula umpamanya sebuah 'rumah setinggan yg sesuka hati dipacak di tepi sungai menunggu banjir-kilat utk dihanyutkan'.. lalala!

full rev?.. meh blog aku! huhu!

fadz said...

Sharm, thx..

Ajami, pandailah kau analogikan..