01 August 2008

Tawakal-Allah Amir Buat Susuk

Susuk, filem terbaharu daripada Amir Muhammad dan Naeim Ghalili akan keluar awal Ogos ini, bersempena dengan bulan hari jadi aku, jadi kiranya satu hadiah sinema Malaysia buat aku lah! Dalam keadaan penonton Malaysia yang tidak tentu menonton filem Malaysia berikutan kenaikan minyak (tapi Dark Knight tengok sakan), Susuk berani ke tengah gelanggang Ogos bila tahap filem Summer Hollywood adalah yang tertinggi (Wall-E akan keluar bulan ini). Keberanian ini sudah tentunya dibuat dengan azam tinggi dan perasaan berdebar para produser GB bahawa filem Malaysia masih relevan, dan kelainan yang ada dalam Susuk diharapkan boleh membuktikan kerelevannya terhadap institusi pecah panggung (baca: kapitalisme).

Dalam proses produksi Susuk, yang dikatakan mengambil masa dua tahun, dalam prebiu yang aku hadir, Amir dengan seloroh mengucapkan, "Setahun untuk saya, setahun lagi untuk Naeim mengarah". Seloroh ini seakan menggambarkan dua pengarah ini bercakaran (oleh sebab itu Naeim berseloroh, "Jangan percaya apa-apa yang si Amir tu cakap!"). Tetapi melihat hasil filem ini, juga saling merendah diri Amir dan Naeim, kita dapat lihat kuasa tim saling bekerja sama antara dua pengarah muda Malaysia ini. Malah Amir menambah kepadaku, bahawa gandingan pengarah ini perlu kerana Amir boleh melepaskan dialog-dialog mencuit dan mengarah lakonan para pelakon tetapi untuk bantuan imej dan shot yang benar-benar seru, teknikalnya diletakkan di bahu Naeim. Maka simbiosis ini yang digunakan untuk menghasilkan Susuk, dan betapa mereka berjuang untuk menghasilkan yang terbaik. Maka itu, aku memberi satu wawancara untuk menyelami seksa dan suka Amir sewaktu menghasilkan bayi perdananya ini; Susuk, menambah sebuah lagi filem seram dalam senarai filem seram ala Malaysia. Oh, aku lupa nak tanya Amir, sebuah filem seram lagi tahun depan, atau sudah serik?

-//-

fadz: Durasi dua tahun pembikinan filem ini menarik diperjelasi jika dipadankan bahawa ini sebuah filem seram (filem seram dikatakan yang tercepat dibikin tapi paling susah dalam teknikalitinya), dan saya ketahui, walaupun cerita asal ini (skrip?) ditulis oleh Rajesh Nair, semangat dan roh dalam filem ini sememangnya "Amir Muhammad". Apakah idea filem ini asalnya daripada saudara, atau Rajesh?

Amir: Idea asal daripada saya, Naeim Ghalili dan penerbit filem Dhojee. Kemudian kami pasang iklan di www.mandy.com untuk mendapatkan penulis skenario. Rajesh memberi struktor kepada filem ini, kalau tak silap sampai draf ke-5, tanpa dialog tetapi lebih kepada ‘building blocks’ untuk naratif ini. Sebenarnya filem ini ialah kolaborasi total antara saya dan Naeim. Dia mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk menterjemahkan idea kepada bentuk visual yang dinamik. Kalau saya seorang, akan pilih shot yang paling mudah saja, tak payah susah-susah.


fadz: Apa yang sebenarnya terjadi pada skrip, berapa kali ia melalui kerja draf? Terus-terang, saya dapat rasakan semacam ia sebuah filem yang melalui 'on going process'? Tentu ini menarik jika mengambil gaya Wong Kar Wai, Lynch atau Altman. Apakah saudara dengan sedar dan tahu filem ini akan dibuat dengan aliran sebegini?

Amir: Shooting script ialah draf ke-8 tapi kami masih mengubah beberapa perkara semasa penggambaran. Terdapat 4 penulis: saya, Naeim, Rajesh dan Amri Rohayat; ironinya semua lelaki tapi hampir semua watak utamanya perempuan. Satu babak tambahan (pembunuhan seorang lelaki dalam kondo) ditambah beberapa bulan kemudian atas permintaan studio yang merasakan filemnya tak cukup ganaz. First edit ialah 2 jam setengah dan beberapa watak kecil dan kameo terpaksa disingkirkan. Mungkin hasilnya seperti monster yang dicipta oleh Frankenstein tapi bertepatan juga dengan tema filem tentang ‘pengubahsuaian’ atau ‘rombakan.’


fadz: Ok, soalan bodoh tapi perlu: apa kena dengan ikan pada awal cerita, kemudian ayam? Susah tak nak masukkan ayam dan membiarkannya 'berpeleser' untuk mendapatkan shot yang terbaik?

Amir: Ikan yang sedang disiang dianggap imej yang sesuai untuk gambaran ‘korban’. Sama seperti permulaan filem Fassbinder, In a Year of 13 Moons, yang menggunakan bangkai lembu. Ayam sebenarnya ada dua lapis: binatang yang berkait dengan ilmu hitam termasuk voodoo; dan juga lambang ‘kampung’ yang sejujurnya dibenci oleh Soraya. Memang susah bekerja dengan ayam dan saya tak akan melakukannya lagi.


fadz: Ada sebuah babak dalam Susuk yang diambil di sebuah kilang atau bengkel. Saya teringatkan David Lynch dan mualnya terhadap pengindustrian (nota fadz: atau mungkin Ferry God Mother dalam Shrek 2? haha). Apakah pemilihan kilang itu disengajakan atau terpilih secara tidak sengaja? Seronok tak bekerja di kilang?

Amir: Babak itu harus berlaku di tapak industri kerana, secara sinisnya, proses penciptaan ‘bintang’ pop ada persamaan dengan proses kilang. Jadi kami pakai gudang yang digunakan oleh Fear Factor setelah beberapa kilang menolak permintaan kami (sebab scene tu ada unggun api).


fadz: Bagaimana anda dapatkan para pelakon yang hebat-hebat untuk masuk dalam tab mandi dalam keadaan yang sangat mengiurkan? Babak Sofia Jane sendiri ialah sebuah kultus dan harus dimasukkan dalam arkib perfileman Malaysia sebagai antara yang erotis dalam sinema Malaysia.

Amir: Shot yang saya paling gemar ialah shot Sofia keluar daripada kereta dan sempat melirik/menjeling sebelum masuk ke tempat bomoh. Susuk sebagai tema ialah sesuatu yang erotik kerana dikaitkan dengan tarikan, tahyul, tabu dan (untuk menyambung aliterasi) tab.


fadz: Babak pemakaian susuk di tab mandi sendiri ialah personifikasi mise en scéne yang mengatakan, ini sebuah filem yang perlu ditonton. Jonathan Romney mengatakan filem dekad sekarang tidak perlu lagi cerita berstruktur atau plot baik (bukan menidakkan Susuk tidak berplot), tetapi sebuah mis en scene yang mendefinasikan segalanya, dan itu sahaja perlu. Apakah saudara rasa ini wajar, atau struktur dan plot, tradisi yang kita ambil daripada Hollywood itu masih perlu?

Amir: Sebuah shot yang ‘kena’ dan ‘ikonik’ mampu mencipta delirium yang tersendiri, yang tak akan dilihat dalam cabang seni yang lain. Seperti kata seorang: Continuity is a bourgeois fetish.

Saya suka banyak filem yang plotnya ‘tak logik.’ Tapi saya akan bosan kalau tiada naratif, biarpun saya boleh juga melayan kerja Matthew Barney misalnya.


fadz: Filem seram selalu menyampaikan mesej-mesej sosial. Secara prasedar, kita dapat tangkap, Susuk berani membicarakan (walaupun bernafas sosialis) dalam pergerakan trnasformasi Soraya, dialog "gangsa ke emas" juga bangunan agung tapi kosong Putrajaya, progresif (atau kapitalisme) itu membawa kecelakaan. Apakah kepentingan ini dalam sudut filem-filem saudara, dan kenapa sekarang?

Amir: Kalau semua watak wanita kami bertukar kepada lelaki, dan apa yang diidamkan bukan status diva tapi status Perdana Menteri, ia tetap filem yang sama. Kalau kita hendak mencapai cita-cita, kita harus mengubah sesuatu dalam diri kita. Suzana akhirnya menjadi bangkai hidup, samalah seperti bangunan Putrajaya. Tapi terdapat juga elemen self-critique atau self-parody di sini, kerana inilah kali pertama saya buat filem yang dianggap ‘mainstream,’ (nota fadz: perdana) jadi siapa saya untuk berkhutbah tentang ‘selling out’? Yang anehnya salah satu rujukan utama untuk Susuk bukan filem seram tetapi All About Eve (nota fadz: rujuk All About My Mother sebagai sebuah lagi filem yang merujuk filem yang sama).


fadz: Saya diberitahu saudara mengambil rujukan Dario Argento dalam filem ini. Trilogi "Three Mothers" Argento termasuk Phenomena adalah filem-filem 'twisted fairy tale' beliau. Adakah saudara sepakat dan ingin menggambarkan bahawa Susuk juga mengambil penggayaan 'twisted' Cinderella atau Ugly Duckling, atau realisasi ini berlaku sewaktu penggambaran atau pascaproduksinya?

Amir: Ya, twised fairy tale, tapi mungkin semasa pembikinan kami anggap sebagai black comedy atau ‘chick flick yang ganas’. Dualiti antara ‘cantik’ dan ‘hodoh’ juga, seperti Death Becomes Her dan Odishon.


fadz: Pemilihan pelakon, siapa yang buat? Mereka dipaksa atau mereka memaksa saudara mengambil mereka? Siapa yang saudara benar-benar mahukan dalam filem ini? Ini adalah kerana subjek filem ini agak provokatif sebaris dengan Isteri, Perempuan & Jalang pada 1993.

Amir: Dream cast saya memang ada tapi beberapa pelakon menolak. Seorang tak sanggup menjadi ‘bomoh’ dan seorang lagi mahu kami menukar tajuk filem ini daripada “Susuk” ke benda lain. Saya inginkan seorang ‘artis bersara’ menjadi ibu Soraya tapi dia kata dia hanya akan buat “filem dakwah.” Ada penyanyi yang minta RM100,000 untuk lapan scene. Susah juga. Tapi saya dah lama nak bekerja dengan Ida Nerina dan Sofia Jane kerana mereka amat happening. Kami bertemu Diana Rafar semasa audition.


fadz: Adakah ada pengertian tersembunyi saudara mengambil Diana Rafar dan Ida Nerina dengan mata mereka yang 'tersembul'? Atau itu hanya fesyen?

Amir: Mata bundar amat sinematik. Kita boleh melihat ke dalam.


fadz: Saya sedari dari Lips to Lips(2000) sehingga Susuk, saudara menafikan 'father figure', malah watak-watak saudara selalunya berpeleseran 'keseorangan' tanpa bantuan 'ayah' dalam dunia urban serba maju. Kalau adapun 'ayah' ('Ayah' dalam Lips to Lips ialah ayah James Lee yang mati, Tun Mahathir, Big Durian, LKT- penuh dengan 'ayah salah') seperti impian Soraya terhadap 'father figure' Dukun Dewangga suatu yang terpesong. Apakah saudara mempunyai isu terhadap 'kemandulan' peranan ayah?

Amir: Oh, semua tu tanpa sedar. Hmmm. Tema patriarki mungkin wujud biarpun (ataupun disebabkan) filem ini didominasi perempuan.

fadz: Ada satu 'usikan licik' saudara pada satu bab sewaktu Dewa Dewangga menemui seorang pelacur. Adakah kaki pelacur itu seorang lelaki? Ceritakan bagaimana seronoknya saudara menggambarkan babak-babak ini.

Amir: Eh, itu kaki Ida Nerina. (nota fadz: hahaha, habislah aku, tapi takpe, mak aku dan mak dia kawan baik, hohoho! Sori Miss Ida!) Dia memang benci buat scene itu dan akan bertambah benci bila mendapat tahu anda menganggap kakinya menyerupai kaki jantan. Sebagai filem yang menyorot Argento dan De Palma, scopophilia yang wujud harus hetero-sentrik. Saya teringin juga membuat filem yang lebih polymorphously perverse seperti Shortbus tapi harus cari naskhah sesuai. (nota fadz: sangat saya tunggu)


fadz: Saudara juga berlakon sebagai 'pak pacak', mengambil signifikasi Hitchcock tetapi saya tersedar bahawa saudara di sana sebagai 'peon'- pemerhati kelas marhaen terhadap hidup kelas atasan. Adakah saudara saja-saja berlakon kerana tidak cukup pelakon, atau saudara mahu mencuba menjadi pelakon terkenal satu hari nanti?

Amir: Saya pelakon yang amat kaku. (Susuk ialah manifestasi cemburu saya terhadap artis). Watak itu sengaja dipilih sebab saya rasa seperti buruh biasa bila buat filem ini. Dan Naeim juga menawarkan keretanya untuk di’kameo’kan apabila Hairie Othman terpelanting dan terkena kereta itu sampai benar-benar kemek. Kerana dia rasa seperti mangsa kemalangan. Humor kami agak selari.


fadz: Apakah harapan saudara untuk Susuk bila ia keluar tayangan nanti?

Amir: Saya bertawakal sajalah.

6 comments:

mahhass said...

Serius, inilah satu-satunya wawancara pertama aku pernah baca paling unik, soalan paling detail, teknikal lagi komprehensif (sarat dengan segala rujukan2nya), seolah2 gaya kau orang bersembang, tapi tetap ada 'pertanyaan' penghujungnya.

Aku tak tahu bagaimana orang selain dari Amir Muhammad boleh menjawabnya. Dan kalaulah aku ni seorang pembikin filem, sudah tentu aku jadi kaget kalau tiba2 ada manusia yg bernama Fadli Al Akiti nak wawancara aku. Serius.

mahhass said...

Serius, inilah satu-satunya wawancara pertama aku pernah baca paling unik, soalan paling detail, teknikal lagi komprehensif (sarat dengan segala rujukan2nya), seolah2 gaya kau orang bersembang, tapi tetap ada 'pertanyaan' penghujungnya.

Aku tak tahu bagaimana orang selain dari Amir Muhammad boleh menjawabnya. Dan kalaulah aku ni seorang pembikin filem, sudah tentu aku jadi kaget kalau tiba2 ada manusia yg bernama Fadli Al Akiti nak wawancara aku. Serius.

Ajami Hashim said...

tak aciiiiii!!! aku baru nak intebiu amir utk utube ari selasa nnti!..

so, aku takkknakkkk baca abis posting kau ni! nnti spoilerrr!!!

huaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!

amirahsyuhada said...

kenapa filem seram????? dah berlambak yang jadi sampah.

Edd Vedder said...

very, very interesting. answers a lot of our questions kan fadz? Bila plak ko interview Amir ni?

fadz said...

spiral, takde eh.. nak wawancara hang pulak, bole? bila aku bole turun australi ni? berapa ah bajet?

ajami, lu buat la wawancara, tak mungkin jwpnnya sama sebab lu tentu nak korek benda lain.

amira, sebab saya suka...!!!!! :)

edd, yeap! assuring so!