18 December 2008

Berkabung

Alhamdulillah, perkabungan aku sudah selesai ...

buat Riduan, aku tetap perlukan fail-fail kau ...

15 December 2008

Selamat Tinggal Micheal Crichton


Micheal Crichton buatku ialah perujuk utama dalam filem, dan sudah tentu dalam dunia fiksyen sains. Antara kebanyakan pengarah filem yang aku sayangi, Micheal Crichton terletak antara yang aku letak dalam bulatan yang aku sentiasa rujuk. Kedatangan Crichton terhadap perubahan dunia Hollywood memang relevan, waktu wujudnya filem "blockbuster" atau filem "musim panas" dan filem-filem yang memberi tempat supaya cerita-cerita baru berefek memasuki pembikinan filem. Crichton lain daripada Spielberg. Kalau Spielberg membawa tandatangan "common man", surburbia yang hidup (realiti dalam sebuah rumah, tanpa perlu menaikkan tekanan dramanya), dan kemanusiaan/kehidupan dalam efek khasnya (E.T., Close Encounters, Jaws), Crichton membawa atau meneruskan polemiknya dan bencinya terhadap teknologi maju, teknologi sejuk, tiada kemanusiaan dan superfisial (Andromeda Strain, Westworld).


Manusia dipaksa berlari mengejar waktu kerana teknologi, kerana teknologi mengejarnya, membunuhnya (Andromeda Strain, Westworld, Runaway, Looker, The Terminal Man, Jurassic Park, Sphere). Coma merupakan filem ngeri yang terbaik pada 70-an, tidak ramai yang tahu, diarah oleh Crichton diadaptasi daripada novel perubatan-ngeri Robin Cook. Semuanya merupakan/menyampaikan elemen tinggi Crichton: pelarian, teknologi yang mengurangkan jiwa kemanusiaan, kegelapan teknologi atas sebab manusia jua serta pelarian di antara koridor, satu elemen neo-tekno yang akan diikuti sehingga sekarang (termasuk Minority Report). Malah, beberapa filem kejar-mengejar dan penyiasatan menemui teknologi jahanam (techno terror) ini merujuk Coma. Baik Disturbing Behaviour, The Island , Virtuosity atau Minority Report. Tetapi Crichton sudah melakukannya dengan baik sekali. Semua orang akan teringat bagaimana tali-tali halus yang menggantung manusia (kebergantungan manusia kepada teknologi) itu bergerak sewaktu protagonis melarikan diri daripada penjahat, sebegitu perasaan "di benang halus" yang berjaya Crichton sampaikan - risiko menyetujui teknologi seperti membawa manusia melalui jurang luas yang perlu kita seimbang di atas seutas benang halus.


Dunia Crichton sudah banyak mengubah aku, baik tempo dan gaya lajunya dalam filem-filem anti sainsnya. Juga novel-nolvenya yang banyak memaparkan fakta kebenaran di atas muka kemanusiaan. Crichton juga banyak memberi pencerahan akan idea-idea sains terkini, ideanya diperlukan buat polemik memastikan sains dijaga dengan suburnya (cth: arwah menolak idea makhluk asing). Malah Crichton menyayangi Malaysia, dua kali arwah pernah menulisnya, satu dalam buku pengembaraannya, Travels, dan kedua di dalam novel ngeri-ekologi, State of Fear.


Ini adalah salam takziah buat seorang penulis/pengarah filem yang memberi kita sesuatu untuk diingati.


11 December 2008

Perca-perca Filem Disember 2008

Los dan Faun (2008)

Suatu perkara yang aku respek kepada Afdlin, dan banyak kali aku sebut selepas menonton filem-filemnya, Afdlin tidak takut untuk mencuba, dan filem-filem Afdlin jauh meninggalkan kebanyakan mentaliti stereotaip filem-filem komedi kita (kecuali filem komedi Mamat Khalid). Kali ini, Los (lakonan baik Hans Isaac) dan Faun (lakonan monumental lawak Adlin Ramli) menceritakan tentang dua sahabat dari Melaka yang datang untuk menumpahkan peluh dan otak mereka untuk sesuap nasi - dengan cara yang begitu gila-gila, iaitu membina satu syarikat "cari barang". Filem ini bergerak dari masa Erra Fazira yang baru kehilangan suami (Afdlin) ingin mencari sebuah barang yang hilang. Agak mengejutkan, pertama kalinya melihat sebuah filem yang gila-gila tetapi tetap "betul" dengan penataan noirnya atau lebih penting, genre detektifnya. Malah simpul demi simpul yang dicipta berjaya disampaikan dengan satu pengkahiran yang baik lantas menyampai maksud, juga tidak memperlekehkan kebiasaan genre ini. Satu perkara yang aku sedar mengapa Afdlin lain daripada pengarah komedi lain dalam hal ini ialah, Afdlin pun berani melempar "tangen" ceritanya ke mana-mana, tetapi ia masih dalam sarwajagat "logik" ceritanya, tidak mempermainkan intelektual penonton dan malah berguna buat fungsi watak dan plot. Ini memberi contoh bahawa hasil kerja Afdlin ini "rajin", ia cuba mencari simpang-siur yang benar dan terkongkong betul dengan persekitaran "benar" filemnya. Malah, ia banyak melepaskan efek-efek yang sungguh kelakar disamping pandai. Malah, mesej sosial yang disampaikan sebenarnya berat (dunia bandar KL ialah dunia penipuan dan rambang kerana kuasa material) dengan kekeliruan budaya yang kronik di KL. Tetapi mata Afdlin melihat semua ini dengan amat optimis sekali (malah, sangat pasifis), malah memperlakukannya dengan intim dan mencuit tanpa menolak tujuan moral sosial yang ingin disampaikan. Di sini kelicikan Afdlin bermain dengan situasi bandar yang selalu "dipergunakan" untuk wang (kerja Los dan Faun) tetapi kita memahami tugas Los dan Faun jujur, bersih (walaupun Los punya sikap manipulatif berbanding lurus benar dan tajam Faun). Maka Los (hilang) dan Faun (jumpa) sebenarnya pencarian apa yang sudah hilang dan terjumpa di Malaysia, khususnya KL. Ya, terdapat sedikit sisi negatif apabila kampung diibaratkan "suci" (simbol ayah ibu Faun), satu stereotaip biasa dibanding dengan apa yang boleh KL lakukan terhadap seorang dari kampung (Erra Fazira, dan mungkin Los atau Faun). Tetapi undang-undang "kota-kampung" inilah yang dimainkan oleh Afdlin dengan sekilas kali dan efektif, memaparkan bagaimana benar filem ini kepada genrenya (penyiasatan) dan benar kepada bentuk farsa kompleksiti dan kekeliruan sosial yang dicipta KL tanpa benar-benar menyalahkannya. Kini, Afdlin tidak sepatutnya duduk di Malaysia, tetapi punya kuasa tenaga luar atau mungkin saja berpindah ke Hollywood. Kerana ini ditunjukkan dalam filem ini bila idea, cerita dan konsep yang dijaga oleh Afdlin berjaya mengatasi sinematografi dan suntingan yang agak hambar, ini adalah kerana "rangup"nya wit dan kuasa faham Afdlint terhadap teks dan cerita yang mahu disampaikannya, sebuah filem bertih jagung yang menghiburkan, seronok dan tidak memperlekeh intelektual penonton. (Ps: Ya, aku ulas sebuah filem Melayu kerana filem ini mengecualikan emosional aku, kerana ia begitu bagus untuk ditonton).

The Day The Earth Stood Still (2008)

Kali ini, untuk membikin "remake" tentang sebuah filem yang pernah "menggegar" para penonton dengan mesej anti-nuklearnya, para produser sudah tahu jika mereka ingin mengambil seorang pelakon buat Klaatu, mereka perlukan seorang "makhluk asing", dan mereka tidak perlu pergi jauh dengan mengambil Keanu Reeves buat itu. Buat filem asal, seorang pelakon tidak terkenal bertutur Inggeris keras telah diambil (untuk (1) bertutur Inggeris Inggeris ialah tanggapan "Tamadun serta Budaya Tinggi" buat para produser Hollywood masa itu, dan (2) orang Amerika selalu memandang cara bahasa Inggeris Inggeris sebagai "pelik"). Keanu Reeves mengalahkan David Bowie buat hal ini (ataupun Micheal Jackson) kerana sekurang-kurangnya Reeves "masih relevan" dan Reeves "pelik tapi seksi". Tipikal abad ke-21. Filem ini pun ingin menyampaikan sentimen "mesej sebelum kiamat" yang disampaikan oleh filem Robert Wise yang asal itu tetapi dengan kesesuaian abad sekarang, dengan mesej Al Gore yang berhibrid saintologi di sini dan satu cebisan anti polisi ketenteraan Bush yang disengajakan (menjadikan filem ini mungkin filem Obama yang pertama sewaktu masuk ke Rumah Putih). Banyak perkara yang dibuang, seperti menjadikan Klaatu alegori Christ dengan memindahkannya sebagai "malaikat" yang boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dunia (idea New Age Religion). Pengikut "kipas mati" filem yang asal akan mengamuk kerana dua perkara: ketiadaan runut bunyi gergasi Bernard Herrmann yang digantikan dengan gaya runut bunyi atmosferaik abad ke-21, dan ketiadaan ungkapan "Klaatu barada nikto". Beberapa perkara dinaik taraf dan diberikan suatu kenyataan yang baik (bagaimana Klaatu tercipta seperti manusia, aksi-aksi Gort lebih menakutkan dan tidak kelihatan bodoh seperti filem asal). Separuh daripadanya berjaya, separuh daripadanya tersimpul dalam kesofistikatednya sendiri (jika Klaatu sudah memahami tentang teori evolusi, kenapa ia tidak mempercayai adanya kehidupan dalam kemusnahan?). Persoalannya bagus, malah banyak babak-babak yang disengajakan "bergerak" dengan momentum "apa akan berlaku", lebih-lebih lagi dengan konflik Kathy Bates yang mewakili "kuasa Presiden" dengan Jennifer Connely, seorang wanita penuh empati dan memahami. Pengakhiran "dia sudah pergi" satu pengakhiran bagus, berkemanusiaan dalam memahami apa yang kita tidak faham, tetapi masih jauh mencapai kekuatan "dunia berdiri tegak untuk seketika" yang asal dalam melemparkan ideanya untuk manusia berubah. Beberapa babak awal mengambil idea Close Encounter of the Third Kind, seperti ID4.


Boy Eats Girl (2005)

Filem ini mungkin terkenal kerana puteri pop Samantha Mumba berlakon di dalam filem zombi-seram-komedi ini. Ya, ia sebuah filem laju, bertih jagung dan bergerak, ya ia mengarut, beberapa babak tidak logik (dibuat atas kerana aksi dan efek dan langsung menolak ilmu fizik) dengan seorang watak pascaJames Dean yang diberi peluang kedua untuk melepaskan cinta (dan nafsu syahwatnya) serta mempunyai kecerdasan minda otak remaja untuk menyukainya. Tapi bodoh-bodoh filem ini, ada “cuteness” di dalamnya yang kita boleh ikuti, lagi-lagi bila semua orang dalam filem ini cantik-cantik belaka (dan mati dengan darah yang merah – lagi cantik), walaupun kita sudah tahu yang mana akan mati dahulu dan mati kemudian. Sebuah babak cuba melawan “grisly bloodDead Alive(1992) tapi hanya dapat capai “tandsunya ilmu gore kamu”. Lakonan tipikal remaja yang tidak bercita-cita tinggi, para dewasa yang bodoh, dan dunia penuh zombi – seronok bagaimana lagi yang anda mahukan?


Flowers of Flesh and Blood (1985)

Masalah dengan aku ialah aku suka dengan filem-filem loya (sick). Eksplotasi ialah subgenre yang paling senang bermain dengan filem-filem sebegini, dan, ehem, aku terkejut bagaimana filem tanpa plot ini berjaya melahirkan imej-imej darah yang begitu cantik, melangkau kefahaman erti pemangsa-mangsa lalu menampilkan idea-idea pembunuh-mangsa yang begitu (meloyakan) intim dengan seksa, keperluan reprokasi antara pembunuh-mangsa mencipta "seni" dan bondage yang begitu mengikut nahu S & Mnya (kalau korang sampai sekarang tak faham, jangan dekat dengan aku malam-malam dan tanya soalan ini bila aku pegang tali dan topeng). Ceritanya semacam gaya biasa penggunaan kamera video bergerak di mana seorang wanita kota dijejaki oleh seorang lelaki lalu sampai di taman permainan, dipukul sehingga pengsan, lalu lelaki itu ikat perempuan itu di atas sebuah meja, menyuntiknya dengan dadah dan sedikit demi sedikit memotong perempuan itu dengan ghairahnya (di sini bahagian yang paling ditunggu-tunggu). Persoalan: untuk apa si pembunuh membunuh? Soalan sebegini disengajakan tidak berjawab (seperti soalan, mengapa manusia berperang). Ini ialah soalan-soalan tidak rasional, memasuki jiwa dan isi hati manusia pada masa dan tahap yang paling gelap. Filem ini memaparkan “bagaimana” dan bukan “mengapa”. Bagaimana ini disampaikan untuk mencipta "seni" semahu-mahunya (semahu-mahunya kita sebagai penonton pun ber"salah" kerana mengkagumi seni ini - persoalan pembunuhan sudah hilang nilai moralnya). Ketenangan dalam kejam, puisi seksa yang meloyakan berjaya dipaparkan dengan benar oleh sebab kualiti videonya.


rujuk:http://www.kfccinema.com/reviews/horror/guineapigflower/guineapigflower.html


To Kill A Mockingbird (1962)


Novel Harper Lee (di mana filem ini diadaptasi) ini ialah novel di mana, tidak ada kesalahan langsung dari segi persembahan, bahasa, persekitaran, psikologi dan perubahan plot. Malah novel sepertinya dikatakan "bersesuaian", maka ianya memang antara novel paling makmur dan diiktiraf sebagai sastera klasik moden. Filemnya pun begitu, "sesuai" dalam apa-apa bentuk baik runut bunyi, suara, penggambaran, latar seni dan watak-wataknya. Semuanya "berada di tempatnya", malah ia agak memeranjatkan untuk melihat sebuah filem yang begitu sempurna pada 60-an (filem ini diterbitkan oleh Alan J. Pakula). Untuk menaikkan kesempurnaan ini, Gregory Peck (manusia separa santun dan Superman itu) diambil sebagai watak "Hero Amerika no.1", Atticus Finch - filem ini menjadi satu mitos buat Amerika. Filem ini mengikut dengan kesesuaian yang baik terhadap novel Harper Lee, memotong beberapa babak yang tidak berkenaan dan mempercepatkan plot di mana di dalam novelnya kelihatan "mengambil masa untuk bercerita" - ini ialah keutamaan fungsi filem yang diadaptasi daripada novel: imej dan suntingannya sepatutnya sudah menghantar "idea" daripada empat atau lima halaman novel. Dan banyak perkara ini berlaku dalam filem ini. Filemnya (serta novelnya) masih relevan, sebagai penanda sejarah, juga perluasan permintaan politik terhadap diskriminasi perkauman apabila seorang lelaki kulit hitam dituduh merogol seorang wanita kulit putih yang tinggal di desa, lalu Atticus Finch, sebagai peguam yang "bersih" perlu mengambil kes ini untuk mengubah perspektif pekannya terhadap golongan orang kulit hitam pada zaman itu. Adunan filem ini disusun kemas pada awal sehingga akhir, malah subplot Boo Radley telah disertakan dengan cantik dan menjadi fungsi plot yang kuat (antara kesesuaian yang sempurna dibuat oleh Harper Lee). Perkara yang membuat filem ini paling diingati adalah bagaimana filem ini berjaya menyampaikan cerita ini daripada kaca mata "budak-budak" melihat kebaikan/kebobrokan kerenah hidup orang dewasa (seperti dalam novel) tetapi masih menyisih daripada menghakiminya. Sebuah filem perbicaraan tentang kemanusiaan yang berjaya.



Burn After Reading (2008)

Adik-beradik Coen sangat pelik. Filem ini tergolong dalam filem "suka untuk dibenci dan benci untuk suka" kerana membawa masuk dua genre yang tidak senang duduk bersama iaitu genre perisik (sebenarnya lebih kepada "tukang sibuk") dan farsa seks (sex farce). Ini ditambah dengan penglibatan anti-moral Coen (yang baik tak semestinya menang, dan si syaitan selalunya bebas untuk melakukan kerosakan) di mana yang salah tidak dihukum dan yang tak bersalah akan mati (opsss, aku dah bagitahu spoiler). Pun begitu, ada kekuatan dalam filem ini apabila ia diberi kuasa terbuka "lantaklah kau nak buat macam mana" terhadap empat watak utama dalam filem ini yang juga merupakan pelakon terkenal Hollywood (John Malkovich, George Clooney, Frances McDormand dan Brad Pitt). Sebenarnya fungsi genre perisik filem ini ialah untuk menggerakkan plot cerita (yang sebenarnya boleh dikatakan tidak ada jika para wataknya tidak meletakkan diri dalam keadaan yang agak "bodoh" itu) sedangkan roh sebenar filem ini adalah tentang perhubungan bersilang-silang yang intim, kompleks dan manusia antara empat watak utama itu berserta watak sampingan yang berhubung dengan mereka. Malah, farsa seks itu kelihatan lebih menampilkan corak dan warna watak-wataknya. Intrig ini mempunyai kekuatannya, kekompleksiti dalam manusia memahami perhubungan sama dengan kekompleksiti manusia memahami bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi - di sini filem ini melepaskan persoalannya. Walaupun mungkin adik-beradik Coen menidakkan sentimen politik filem ini terhadap urusan perisikan Bush, klimaks filem ini mencadangkan begitu: kebodohan di atas tidak dapat menyelesaikan kebodohan di bawah, serta pandangan negatif adik-beradik Coen terhadap penggunaan CIA membenteras pengganas di dalam negara. Semua pelakon melakukan yang terbaik, malah Brad Pitt memeranjatkan sebagai seorang yang tulu bendul. Frances McDormand sangat mencuit hati dalam masalah keperempuanannya.


Hard Target (1993)




Aku tonton ni sewaktu berada dalam hotel di Kuala Terengganu (yang separa nak roboh tapi digelar antarabangsa) bersama dengan kawan bilik yang busuk bila berada dalam tandas. OK, ceritanya ialah aku suka filem aksi ni! Satu contoh sebuah filem bertih jagung yang mengikut konvensi Hollywood dengan kesemua sentuhan John Woo yang ala-ala shot-shot imej bentuk fizikal macam terbang dan lagak gerak perlahan (aku rasa Tarantino menyukai filem ini) berserta burung merpati/puyuh putihnya yang tiba-tiba masuk skrin. Konvensi dikatakan kerana hero dalam filem ini macho dan serba kelakian manakala penjahat dalam filem ini (lakonan baik pertama Arnold Vosloo dalam francais The Mummy itu) dipaparkan jahat yang amat, malah telah mengikut kebiasaan pameran penjahat dalam filem noir/aksi/seram 40-an Hollywood di mana jika anda baca betul-betul dialog yang diutarakan oleh watak Vosloo dan Lance Henriksen, anda akan tersedar "keintiman" mereka yang homoerotik! (ini kebiasaan buat filem-filem aksi Hollywood sehingga 80-an). Van Damme menunjukkan bahawa pelakon Eropah pascaSchwazenegger yang tak boleh bertutur elok dalam Inggeris Amerika juga boleh muncul dalam sebuah filem Amerika (malah, buat aku, aksi ngeri Van Damme di dalam filem ini sangat memuaskan, malah menjadi tandatangan kenapa filem ini mesti ditonton - walaupun persamaannya dengan filem-filem "idol worshipping of action heores" Hindustan era 80-an sangat sama). Van Damme mengambil tipikal watak "Lelaki tanpa nama" Clint Eastwood (di sini dia ada nama, hanya, seperti Mad Max, dia tidak mahu jadi hero - the reluctant hero) yang tiba-tiba dibawa masuk dalam ranjang mainan jahat orang-orang yang memburu manusia (mantan askar Vietnam selalunya) untuk keseronokan para jutawan antarabangsa. Filem ini menarik dalam beberapa perkara, secara halus, filem pra11 September ini memaparkan bagaimana pengganas boleh membolos ke dalam Amerika atas nama "Syarikat Antarabangsa", kedua, keganasan itu satu makanan yang perlu dalam menegakkan keadilan (kenapa kita perlu perang), dan ketiga, Amerika ialah negara yang lebih kompleks daripada yang kita tahu dan lihat. Ya, filem ini secara prasedar memaparkan pelbagai intim dan kekuatan imej yang "terpendam" menolak Impian Amerika. Van Damme adalah antara "saksi" yang melihat imej-imej terpendam itu (dan cara untuk mengatasinya). Malah keterasingan Van Damme menyebabkan dia sangat peka akan kekotoran dunia gelap kapitalis Amerika (simbol yang dibawa oleh syarikat yang menjalankan permainan pemburu itu), dan cara pembersihannya hanyalah dengan tangannya sendiri. John Woo banyak melemparkan tandatangannya, paling aku fahami ialah permainan John Woo dalam burung merpati. Sebelum ini, kita tidak akan memahami apa signifikan burung dalam filem-filem John Woo. Aku dapati rupanya burung ialah "mata" atau wakil John Woo dalam filem-filemnya, malah di dalam filem ini, burung/John Woo menjadi semacam deus ex machina terhadap plot, malah memberi "restu" kepada Van Damme (ada sebuah babak yang kita fahamkan, orang jahat menembak burung, satu simbol yang begitu tampak menyatakan sifat "hitam" orang jahat). Kini, kalau simbol burung ini di bawa dalam filem John Woo dalam Red Cliff, kita memahami bahawa burung/John Woo ialah "sang penglihat semua", sang strategis yang perlu melihat padang besar yang diciptanya. Burung dipilih kerana kecantikannya - John Woo mengatakan dia mencipta "cantik", estetika/seni dalam aksi dan babak-babak lawannya. Ini diperlihatkan lagi dengan momokan John Woo (atau sebenarnya penghormatan) kepada teater lama, Papier-mΓ’chΓ©, dan warna-warna karnival pada latar babak klimaks filem ini: seni yang dicipta oleh John Woo juga berwarna-warna dan menghiburkan. Ini semacam 101 John Woo. Hard Target sebenarnya sebuah filem aksi bertaraf "gem" yang seharusnya dilintas oleh para penggemar filem aksi. Di sini, warnanya berbagai dalam keganasan, kesan debar, seni aksi dan plot yang begitu bergerak serta sangat menghiburkan sehingga ke akhir filem. Filem ini juga pernah dinominasi sebagai filem seram terbaik di Saturn Awards!

04 December 2008

The Fountain (2006): Perjalanan Cahaya dan Emosi



Orang kata inilah filem Hugh Jackman bercakap dengan pokok. Tapi memang betul, pokok itu ialah isterinya yang juga dahulunya adalah Mahkota Pemaisuri Empayar Sepanyol.


Membuka rahsia filem ini, anda akan berjaya membuka rahsia hidup selama-lamanya, atau “everlasting life” – susuk pun kalah.


OK, aku terlalu sinikal, tetapi sebenarnya apa yang ingin aku katakan ialah, walaupun jika anda “tersesat” di dalam filem ini, filem ini penuh dengan sentuhan kemanusiaan yang tetap akan menyentak perasaan anda, walaupun anda sesinikal aku.

Tak, jangan wasangka, aku suka filem ni. Aku suka! Ini adalah antara filem “patut tonton” yang aku tidak sempat menonton dua tahun lepas (terima kasih kepada pengedar filem dan pawagam kita). The Fountain daripada pengarah filem Darren Aronofsky sebenar-benarnya ialah rakaman Aronofsky tentang hidup dan apa yang penting dalam kehidupan manusia. Selitan pseudofiksyen sains bercambah fantasi serta realisme magisnya hanya bumbu buat melahirkan estetika cahaya dan warna, dan boleh juga dikatakan pengfasalfah Aronofsky yang dekat kepada konsep “thanatophobia”. Separuh daripada itu, simile Aronofsky bermain dengan bahasa sebab-akibat serta sorotan objek yang membawa dan menggerakkan maksud kepada dua hingga tiga lapis.


Di sini, terdapat tiga lapis ruang yang perlu dikenali – zaman Inkuisisi Sepanyol (yang juga boleh dipersoalkan pensejarahannya, ia mungkin satu realisme magis yang diimpakkan – ideanya ialah, imaginasi/impian/mimpi/khayalan manusia mencipta harapan, unsur terpenting menggerak hidup manusia, malah sentiasa dinyatakan sebagai punca sebenar survival manusia, punca manusia hendak meneruskan hidup dan memajukan diri), zaman sekarang dan zaman pseudohadapan.


Istilah “pseudo”hadapan dinyatakan kerana imej dan suara yang kita tonton kemungkinan adalah isi hati spiritual Hugh Jackman zaman “sekarang” sewaktu melalui meditasi sebelum mati (idealisme kematian mencapai nirvana dibayangkan dengan elemental fizikal), atau memang zaman hadapan di mana saintis ini bertemu dengan keupayaan merentasi angkasa ke nebula (ruang penciptaan bintang) atau kemungkinan fantasi ketidaksiuman Hugh Jackman yang kematian isterinya, Rachel Weisz. Malah, ruang pseudohadapan ini sebenarnya “kunci” Aronofsky yang sebenar bagi membongkar segala sintaks di dalam filem ini (sekurang-kurangnya memahami kenapa objek-objek “anu” yang terpilih, kenapa ia berada dalam mis en scene dan kenapa ia wujud sunting di ruang lain dengan fungsinya terhadap watak), malah menyatupadukan ruang zaman lampau dan juga sekarang. Malah banyak kanvas Aronofsky lakar dalam imej Hugh Jackman bersama “pokok kehidupan” sebagai idea sentral Aronofsky terhadap keperluan untuk memahami hidup. Akhirnya, apa yang kita dapat ialah, satu pengertian bahawa hidup ini manis dan melepaskannya itu menyiksakan (pahit). Tetapi ia perlu, kerana itulah “kitaran penghidupan”. Watak Hugh Jackman tidak dapat pengertian itu (kematian) tetapi perlu menyedarinya. Dia menyedarinya daripada semangat isterinya (simbol pokok). Proses melaluinya ini yang “menyiksakan” (kematian itu menyiksakan – sakit yang paling siksa buat manusia), dan beliau sedar akhirnya, untuk mengetahui pengertian ini, dia perlu mengalaminya sendiri (mati). Dengan dia mati, dia dapat memahami erti hidup.


Malah filem ini benar-benar menyatakan, hidup itu sahaja yang penting (yang kita wujud sekarang sahaja yang perlu), maka ini bergerak pada penyedaran eksistensialisme. Malah, kita akn sedar, filem ini menyatakan – tidak ada hidup selepas kematian, walaupun dengan berpuluh kali kita dibayangkan ada. Tidak, kebenarannya ialah untuk “melepas pergi” pengertian hidup itu, seperti melepas pergi idea hidup selepas mati itu, kerana kekompleksitinya wujud hanya untuk diketahui Alam. Alam ialah titik akhir pengertian hidup. Ini dipapar dengan berkuasa dengan silang sunting antara ruang masa dahulu-sekarang-pseudohadapan pada peringkat akhir filem ini, apabila “jawapan” kepada “eternal life” dibuka dan saling berkait antara ketiga-tiga lapisan itu.


Cita-cita yang ingin dibawa oleh Aronofsky memang berat, membawa ideal surreal Lynch, dengan mengalih objek kunci dalam satu ruang kesedaran dalam sebuah lagi ruang kesedaran dengan fluid. Objek kunci di dalam filem ini yang paling tampak ialah dua – pokok dan cincin (apa yang mencuit hati aku, idea objek kunci cincin ini juga mempunyai nilai yang sama dalam novel sai-fai aku, Saga Horizon) dan objek ini akan bergerak dan menyatakan kepentingannya pada masa-masa tertentu di dalam filem ini. Secara umumnya, kita mencapai kesedaran bahawa objek ini “perlu” buat perjalanan watak Hugh Jackman (iaitu kita) untuk memahami “hidup/mati” dan “perjumpaan/perpisahan”. Daripada kedua-dua unsur berkait ini, Aronofsky membawa kita melangkau kebiasaan pemahaman ini dengan mencapai “nirvana” penghidupan (apa ertinya untuk hidup jika kita semua akan mati – klu terdapat pada baris dialog Hugh Jackman: kematian juga ialah penyakit, penyakit yang boleh dipulihkan). Di sini, para penonton akan terbelah kepada dua, yang benar-benar menyukai idea Aronofsky ini atau menyangkal lantas membenci “mambo jumbo” Aronofsky. Walaupun begitu, walaupun angkuh, Aronofsky telah menyatakan ideanya dengan baik.

Kecantikan utama filem ini terletak kepada letak duduk kamera dan shot-shot ber“seni” Matthew Libatique. Warna, titik perspektif, garis-garis panjang dan cahaya Libatique penting dan perlu untuk menyatakan perjalanan “kehidupan” yang dilalui Hugh Jackman. Putih di dalam filem ini menyatakan pembuakan hidup dan kegemilangan, biru gelap dan hitam penyataan kematian (lihat warna buah apa yang diberi Weisz kepada Jackman pada akhir filem). Antara mainan warna ini, hijau dan keemasan menjadi simbolisme kedua. Kita juga akan menemui “pencerahan” dengan melihat cara Weisz atau Jackman mendongak melihat cahaya di atas. Sila tatapi waktu Jackman yang “gelap” melihat dalam kekosongan secara melintang, melalui cahaya lampu di atas yang senantiasa melampuinya – simbol “ilmu” itu sudah lama berada pada Jackman hanya Jackman tidak mendapat “pencerahan”. Fluiditi ini yang dimainkan dan dimainkan lagi, pelbagai warna dan simbol akan timbul dan hilang, menukar dan mempengaruhi para wataknya yang bergerak dalam filem tanpa garis lurus ini. Aku akur, ia dibuat dengan baik dan efektif, tidak ada satu babak pun yang terlihat janggal dan hilang “penyambungannya” (suatu lagi klu akan pemahaman “hidup” yang ingin dinyatakan oleh Aronofsky). Malah runut bunyi yang mendetak telah menggabungkan emosi watak dan imej filem ini dengan baik.

Aku begitu gembira bila mendapati, lakonan berkesan Hugh Jackman, Rachel Weisz (terutamanya) dan dsfsfdf begitu manusia dan natural, ianya adalah tujuan utama kenapa filem ini perlu ditonton, dan bukan kerana efek khasnya yang hebat (ini kelainan 2001: A Space Oddysey(1968) dengan filem ini di mana kehebatan teknikal dan efek Kubrick masih melangkau satu keabadian “roh” estetik yang tinggi daripada para pelaku wataknya). Hugh Jackman melakarkan sebuah watak “hero” yang menjalani sebuah “quest” untuk mencari rahsia “kematian” dan menyembuhkannya. Hugh Jackman melakarkannya dengan penuh kedalaman serta nilai jujur yang baik. Rachel Weisz, sebagai “tujuan hidup” Jackman mempersembahkan lakonan terbaiknya setakat ini, melakarkan kelemahan manusia yang penuh “hidup” dan begitu menyentak kerana pemahamannya tentang kehidupan perlu di”sampaikan” kepada umat manusia (simbol pembawa idealisme Aronofsky).



The Fountain bukan 2001 Kubrick buat abad ke-21, tetapi ia dekat sebagai antara filem yang berjaya menyentak gaya pascamoden membikin filem. Emosi yang disampaikan hidup, dan watak-wataknya menyatakan kesungguhannya yang manusiawi. Buat aku, hasil karya Aronofsky, Requiem for a Dream(2000) lebih diingati dan penting. Pun begitu, The Fountain ialah sebuah dunia yang perlu ditonton walaupun sekali.


See, I’ve stopped reviewing Malaysian films :p