04 December 2008

The Fountain (2006): Perjalanan Cahaya dan Emosi



Orang kata inilah filem Hugh Jackman bercakap dengan pokok. Tapi memang betul, pokok itu ialah isterinya yang juga dahulunya adalah Mahkota Pemaisuri Empayar Sepanyol.


Membuka rahsia filem ini, anda akan berjaya membuka rahsia hidup selama-lamanya, atau “everlasting life” – susuk pun kalah.


OK, aku terlalu sinikal, tetapi sebenarnya apa yang ingin aku katakan ialah, walaupun jika anda “tersesat” di dalam filem ini, filem ini penuh dengan sentuhan kemanusiaan yang tetap akan menyentak perasaan anda, walaupun anda sesinikal aku.

Tak, jangan wasangka, aku suka filem ni. Aku suka! Ini adalah antara filem “patut tonton” yang aku tidak sempat menonton dua tahun lepas (terima kasih kepada pengedar filem dan pawagam kita). The Fountain daripada pengarah filem Darren Aronofsky sebenar-benarnya ialah rakaman Aronofsky tentang hidup dan apa yang penting dalam kehidupan manusia. Selitan pseudofiksyen sains bercambah fantasi serta realisme magisnya hanya bumbu buat melahirkan estetika cahaya dan warna, dan boleh juga dikatakan pengfasalfah Aronofsky yang dekat kepada konsep “thanatophobia”. Separuh daripada itu, simile Aronofsky bermain dengan bahasa sebab-akibat serta sorotan objek yang membawa dan menggerakkan maksud kepada dua hingga tiga lapis.


Di sini, terdapat tiga lapis ruang yang perlu dikenali – zaman Inkuisisi Sepanyol (yang juga boleh dipersoalkan pensejarahannya, ia mungkin satu realisme magis yang diimpakkan – ideanya ialah, imaginasi/impian/mimpi/khayalan manusia mencipta harapan, unsur terpenting menggerak hidup manusia, malah sentiasa dinyatakan sebagai punca sebenar survival manusia, punca manusia hendak meneruskan hidup dan memajukan diri), zaman sekarang dan zaman pseudohadapan.


Istilah “pseudo”hadapan dinyatakan kerana imej dan suara yang kita tonton kemungkinan adalah isi hati spiritual Hugh Jackman zaman “sekarang” sewaktu melalui meditasi sebelum mati (idealisme kematian mencapai nirvana dibayangkan dengan elemental fizikal), atau memang zaman hadapan di mana saintis ini bertemu dengan keupayaan merentasi angkasa ke nebula (ruang penciptaan bintang) atau kemungkinan fantasi ketidaksiuman Hugh Jackman yang kematian isterinya, Rachel Weisz. Malah, ruang pseudohadapan ini sebenarnya “kunci” Aronofsky yang sebenar bagi membongkar segala sintaks di dalam filem ini (sekurang-kurangnya memahami kenapa objek-objek “anu” yang terpilih, kenapa ia berada dalam mis en scene dan kenapa ia wujud sunting di ruang lain dengan fungsinya terhadap watak), malah menyatupadukan ruang zaman lampau dan juga sekarang. Malah banyak kanvas Aronofsky lakar dalam imej Hugh Jackman bersama “pokok kehidupan” sebagai idea sentral Aronofsky terhadap keperluan untuk memahami hidup. Akhirnya, apa yang kita dapat ialah, satu pengertian bahawa hidup ini manis dan melepaskannya itu menyiksakan (pahit). Tetapi ia perlu, kerana itulah “kitaran penghidupan”. Watak Hugh Jackman tidak dapat pengertian itu (kematian) tetapi perlu menyedarinya. Dia menyedarinya daripada semangat isterinya (simbol pokok). Proses melaluinya ini yang “menyiksakan” (kematian itu menyiksakan – sakit yang paling siksa buat manusia), dan beliau sedar akhirnya, untuk mengetahui pengertian ini, dia perlu mengalaminya sendiri (mati). Dengan dia mati, dia dapat memahami erti hidup.


Malah filem ini benar-benar menyatakan, hidup itu sahaja yang penting (yang kita wujud sekarang sahaja yang perlu), maka ini bergerak pada penyedaran eksistensialisme. Malah, kita akn sedar, filem ini menyatakan – tidak ada hidup selepas kematian, walaupun dengan berpuluh kali kita dibayangkan ada. Tidak, kebenarannya ialah untuk “melepas pergi” pengertian hidup itu, seperti melepas pergi idea hidup selepas mati itu, kerana kekompleksitinya wujud hanya untuk diketahui Alam. Alam ialah titik akhir pengertian hidup. Ini dipapar dengan berkuasa dengan silang sunting antara ruang masa dahulu-sekarang-pseudohadapan pada peringkat akhir filem ini, apabila “jawapan” kepada “eternal life” dibuka dan saling berkait antara ketiga-tiga lapisan itu.


Cita-cita yang ingin dibawa oleh Aronofsky memang berat, membawa ideal surreal Lynch, dengan mengalih objek kunci dalam satu ruang kesedaran dalam sebuah lagi ruang kesedaran dengan fluid. Objek kunci di dalam filem ini yang paling tampak ialah dua – pokok dan cincin (apa yang mencuit hati aku, idea objek kunci cincin ini juga mempunyai nilai yang sama dalam novel sai-fai aku, Saga Horizon) dan objek ini akan bergerak dan menyatakan kepentingannya pada masa-masa tertentu di dalam filem ini. Secara umumnya, kita mencapai kesedaran bahawa objek ini “perlu” buat perjalanan watak Hugh Jackman (iaitu kita) untuk memahami “hidup/mati” dan “perjumpaan/perpisahan”. Daripada kedua-dua unsur berkait ini, Aronofsky membawa kita melangkau kebiasaan pemahaman ini dengan mencapai “nirvana” penghidupan (apa ertinya untuk hidup jika kita semua akan mati – klu terdapat pada baris dialog Hugh Jackman: kematian juga ialah penyakit, penyakit yang boleh dipulihkan). Di sini, para penonton akan terbelah kepada dua, yang benar-benar menyukai idea Aronofsky ini atau menyangkal lantas membenci “mambo jumbo” Aronofsky. Walaupun begitu, walaupun angkuh, Aronofsky telah menyatakan ideanya dengan baik.

Kecantikan utama filem ini terletak kepada letak duduk kamera dan shot-shot ber“seni” Matthew Libatique. Warna, titik perspektif, garis-garis panjang dan cahaya Libatique penting dan perlu untuk menyatakan perjalanan “kehidupan” yang dilalui Hugh Jackman. Putih di dalam filem ini menyatakan pembuakan hidup dan kegemilangan, biru gelap dan hitam penyataan kematian (lihat warna buah apa yang diberi Weisz kepada Jackman pada akhir filem). Antara mainan warna ini, hijau dan keemasan menjadi simbolisme kedua. Kita juga akan menemui “pencerahan” dengan melihat cara Weisz atau Jackman mendongak melihat cahaya di atas. Sila tatapi waktu Jackman yang “gelap” melihat dalam kekosongan secara melintang, melalui cahaya lampu di atas yang senantiasa melampuinya – simbol “ilmu” itu sudah lama berada pada Jackman hanya Jackman tidak mendapat “pencerahan”. Fluiditi ini yang dimainkan dan dimainkan lagi, pelbagai warna dan simbol akan timbul dan hilang, menukar dan mempengaruhi para wataknya yang bergerak dalam filem tanpa garis lurus ini. Aku akur, ia dibuat dengan baik dan efektif, tidak ada satu babak pun yang terlihat janggal dan hilang “penyambungannya” (suatu lagi klu akan pemahaman “hidup” yang ingin dinyatakan oleh Aronofsky). Malah runut bunyi yang mendetak telah menggabungkan emosi watak dan imej filem ini dengan baik.

Aku begitu gembira bila mendapati, lakonan berkesan Hugh Jackman, Rachel Weisz (terutamanya) dan dsfsfdf begitu manusia dan natural, ianya adalah tujuan utama kenapa filem ini perlu ditonton, dan bukan kerana efek khasnya yang hebat (ini kelainan 2001: A Space Oddysey(1968) dengan filem ini di mana kehebatan teknikal dan efek Kubrick masih melangkau satu keabadian “roh” estetik yang tinggi daripada para pelaku wataknya). Hugh Jackman melakarkan sebuah watak “hero” yang menjalani sebuah “quest” untuk mencari rahsia “kematian” dan menyembuhkannya. Hugh Jackman melakarkannya dengan penuh kedalaman serta nilai jujur yang baik. Rachel Weisz, sebagai “tujuan hidup” Jackman mempersembahkan lakonan terbaiknya setakat ini, melakarkan kelemahan manusia yang penuh “hidup” dan begitu menyentak kerana pemahamannya tentang kehidupan perlu di”sampaikan” kepada umat manusia (simbol pembawa idealisme Aronofsky).



The Fountain bukan 2001 Kubrick buat abad ke-21, tetapi ia dekat sebagai antara filem yang berjaya menyentak gaya pascamoden membikin filem. Emosi yang disampaikan hidup, dan watak-wataknya menyatakan kesungguhannya yang manusiawi. Buat aku, hasil karya Aronofsky, Requiem for a Dream(2000) lebih diingati dan penting. Pun begitu, The Fountain ialah sebuah dunia yang perlu ditonton walaupun sekali.


See, I’ve stopped reviewing Malaysian films :p


13 comments:

Ajami Hashim said...

rev dvd jer ker bang?

err! histeria tak lama lagik nih! ahahahha! smlm kitaorg tgk transporter-3.. best wooo!

larrikkk!!!

Tok Rimau said...

Aku tonton Fountain. Aku tertidur. Bangun. Masih ada lagi. Tertidur lagi. Bangun. Tak habis lagi cerita ni. Tertidur lagi. Aku terlalu bebal untuk faham seni.

maberik said...

heh kalau ikut 'pemahaman' aku, hugh jackman yang dalam bubble tu la 'current timeline' yg sebenar. aku terima literally yg jackman mmg jumpa 'ubat kematian', jadi 'manusia terakhir' kat dunia ni, dan naik bubble pegi nebula tu.

Rewan Ishak said...

Fadz.. Aku nak kau review Wayang. Too bad aku belum sempat menonton busy dgn kerja. Aku pasti Hatta Azad Khan akan suka kau punya review yang berlapis-lapis tu.

spiral said...

Haha ajami bakar, Rewan pulak 'tersiram' minyak lagi pulak tu. Sabar fadz sabar... :D

fadz said...

Ajami, F* u!

Tok, felem tu senang apa, lagi susah Mulholland Drive.

maberik, eh iye ke? hehe, menarik!

rewan, boleh, sila suruh dr hatta dtg KB pasang Wayang di Gelanggang Seni, gerenti DBP sponsor.

Spiral, mmg aku bersabar je dgn cemuhan dan ejekan mereka, huhu.

ilovebudu said...

napok serupo sedak

Rewan Ishak said...

Aku tidah mencemuh jauh sekali mengejek. Aku kan pengikut setia Tonton Filem. Mesti la aku nak baca review yg berlapis-lapis dan "berisi" utk filem tempatan. Sorry kalau tersiram minyak. hahaha..

amirahsyuhada said...

hmm..saya teringin nak baca review dr tontonfilem ttg los dan faun..apakan daya. Ampun..saya tak niat nak mencurah minyak..

kekure said...

tak yah buat review filem tempatan..buat jek filem luar yang memang best sehingga menjilat siku..hehehe..

eh got some new dvds..i suppose you will like burn after reading..ada brad pitt dan john malkovich..

fadz said...

ilovebudu, errrk, Malay pls..

rewan, of coz not.. haha, jgn amik hati! haha1

amira, u mmg nak kena :p

kekure dear! seen it, love it! love john malkovich, lawak gilo!

Anonymous said...

tok, mungkin kena kurangkan makan daging. tukar dengan buah-buahan dan sayuran.

Dude said...

Jika kau minat "Flowers of Flesh and Blood" kau patut tengok siri2 Guinea Pig yang lain dan aku rekomen kan ko dapatkan "Mermaid In The Manhole" dan "Devil's Experiment".

p/s: dengar khabar angin, film2 guinea Pig pernah jadi kes FBI... ntah betul ke tidak...