23 September 2008

Kado Hari Jadi (2008) Buat Gaia

Gambar-gambar ini disengajakan perletakannya
di dalam entri kali ini dan bukan imej-imej daripada
filem ini oleh sebab mood aku down untuk letak
imej sebelum aku sampai ke KB. Jadi nikmatilah
beberapa gambar majlis pra-tonton di
Help Univ yang aku ambil. Di atas ialah para
pengarah di sebelah Amir Muhammad dan di
bawah ialah sebelum kami masuk dalam dewan pawagam di atas.
Susunan disengajakan buat mengambil semangat filem ini.


Ya, aku sedang mengira detik sebelum aku akan berangkat ke tanah raja Cik Siti Wan Kembang tanpa seurat benang putih tacap layar seluloid di mata nanti.

Jadi biarlah aku tonton filem puas-puas sebelum tontonfilem jadi tempat berdakwah agama/tempat gambar-gambar awek Pantai CB (Berahi, bukan Bulan)/tempat gambar-gambar jaja Rantau Panjang AKA "Apa ini?" Saharil/tempat tayangan wayang kulit dan apa-apa lagi yang menular nanti. Paling teruk, aku mungkin tak akan dapat pos apa-apa (Ajami tentu suka), atau tunggu hari Sabtu. Jadi, aku terpaksa ponteng terawih semalam (Isnin) untuk meraikan kawan aku Gaia kerana hari jadinya, menonton Kado Hari Jadi, sebuah filem bebas seram Indonesia arahan pengarah baru dan kurator/pengkritik filem, Paul Agusta.

Secara ringkas, ada beberapa babak seksa yang 'menggiurkan', paling tidak, mencengkam. Ini ditangkap baik oleh Agusta dan kru, terutamanya dalam pencahayaan dan prospek warna. Kuasanya terletak sejujur-jujurnya dalam pembangunan mood (semuanya terletak dalam pembangunan mood). Ini dibuat dengan segetir mungkin, kadang-kadang pretensi (pretentious) tetapi tetap seni yang cengkam.


Ini terletak pada babak pertama, mengikut teori kondisi refleks Pavlov, Adam (mangsa diseksa) yang diikat tiba-tiba dicucuk mata kirinya. Kita diperlihatkan layar hitam fade to (tak nampak keganasan apa yang berlaku) dengan deringan jerit Adam diseksa. Bila lampu terbuka Adam sudah hilang satu mata. Kemudian berlaku lagi kegelapan tiba-tiba, Adam mula menjerit tidak tentu hala. Aksi ini ditambah ngerikan dengan satu babak 'matter of fact' bila seorang wanita bergelar Tika datang depan Adam dengan mencoret sesuatu di dinding lalu kehadirannya sendiri sudah membuat Adam menggeliat dan menggelupur seakan berdepan dengan malaikat maut. Ini sebuah kondisi 'shock' yang sangat cantik.


Imej lain seperti air mani keluar kerongkong dan titis air darah membuak satu silhouette erotis yang organik (kita boleh merasainya, bukan takut tetapi mahu), jarang-jarang berjaya dibuat dalam sebuah filem seram tanpa benar-benar ada adegan seks kecuali filem-filem David Croenberg.

Tetapi mungkin perkara di atas sahaja yang menyebabkan Kado Hari Jadi jadi buah tontonan peminat seram. Secara peribadi, ada beberapa perkara yang aku tidak sepenuh memberinya 'kredit' sebagai 'sebuah filem seram yang bagus', mungkin sebuah filem debut yang baik dan campuran unsur pseudo intelek dan seni yang memuaskan, ya (secara sindir, walaupun lebih bersifat penanda filem daripada simbol bermakna, sila rujuk babak Quran terbuka dan pemberian Perjanjian Baru buat pasangan baru kahwin). Tetapi buat filem seram?

Ada sesuatu yang kurang rempah dalam filem ini. Mungkin itu yang membuat aku termenguap walaupun Adam diseksa dalam kegelapan. Adik aku sendiri mengaku bahawa 'kemurahan' Blair Witch Project mahal dibandingkan dengan filem ini. Malah, maaf kata, ada tragedi yang tidak kesampaian dalam filem ini, walaupun pengkahiran yang tersusun di akhir sewaktu Tika menolak kerusi roda membawa implikasi 'harrowing'. Ini mungkin kerana terletak kepada betapa 'sejuk'nya Agusta mendekati watak-wataknya. Kita mahu berempati tetapi kita tidak sempat, malah kita semahu-mahunya mencari dalam riak wajah dan kata pedas watak-wataknya. Semuanya mungkin terlalu 'pandai' untuk membuat kita rasa. Ini mungkin kesalahan Kado Hari Jadi - tidak memberi rasa. Malah, drama tragedi 'real' yang aku dan keluarga aku sedang lalui ini dirasakan lebih terasa seksanya daripada imej yang dibuat itu.

Ada sebuah lubang plot yang maha besar dalam filem ini. Ini terdapat dalam bahagian awek Adam yang menjumpai tempat seksa Adam hanya atas arahan panggilan "jalan terus ke utara". Ia tampak absurd (disengajakan) dan menolak logik keseluruhan filem. Sekurang-kurangnya mungkin awek Adam memerlukan 'tanda arah' ("Irma's Annivesary Gift, move left", contohnya dilekat di tiang) untuk menjumpai sesuatu yang besar.

Suara dalam filem ini, kadang-kadang mencapai hiper sensualis (kita semahunya merasa tertekan dalam enak) tetapi sepenuhnya merasa pekak. Ini mungkin kesalahan audio Help Univ ketika itu. Dalam filem seram, ada dua fahaman mengapa aku menutup telinga aku, pertamanya aku takut (aku panggil faktor "takut gila gaban") apa yang sedang berlaku di depan layar (yang selalu pengrkitik tulis sebagai "meloncat dari tempat duduk". Yang keduanya sebab seksa mendengar runut bunyi yang terlalu (aku panggil faktor "Mr. Strickland" daripada filem Back to the Future. Buat Kadi, kebanyakan adegannya lebih memenuhi faktor Mr. Strickland. Dan ini menyedihkan.

Aku tak tahu apa yang tidak membuat aku menyukai filem ini. Mungkin kerana sudah kebiasaan menonton filem seram, dirasakan filem ini sedikit janggal. Kuasa utama filem subgenre dendam (Saw termasuk dalam kategori ini, walaupun boleh dimasukkan dalam subgenre slasher) ialah menggerakkan kita bersimpati dengan mangsa/pemangsa (antara satu perlu memenuhi misinya), lalu membawa kepada satu konklusi moral yang kuat. Seperti mana The Virgin Spiring(1960) yang mana Wes Craven lakarkan The Last House on the Left, atau Freaks(1932) arahan Tod Brwoning, jikalau idea simpatinya lemah (buat filem Wes Craven), kita dihantar dengan motif sebab-akibat dan aksi yang sangat menggemparkan (si isteri menggigit dan memotong anu perogol anaknya). Freaks mempunyai kekuatan yang mempunyai kedua-dua kekuatan psikologi dan estetika seram (mereka 'membina' semula seorang individu yang membenci golongan mereka). Kado Hari Jadi sebenarnya mengambil idea The Virgin Spring dalam pergerakan membalas dendam (walaupun disusun secara rawak dan runsing supaya penonton tidak dapat meneka pada awal) - moral yang perlu diselesaikan buat pembelaan atau penerimaan sarat normal itu (kehilangan/kecelakaan menyebabkan anti-normal, lalu normaliti dicari dengan membalas si pelaku untuk 'sama-sama' merasa proses kecelakaan). Ada 'lapisan' yang sudah agak menjadi apabila Tika 'berdialog' dengan dokter, yang kita mungkinkan sebagai dementia Tika (dokter itu syaitan yang berbisik) atau memang ada 'seseorang' yang sudi 'menolong' Tika dengan eksperimen 'mengembalikan normaliti'. Di sinilah sebenarnya titik yang paling menarik yang mesti dikembangkan oleh Paul Agusta, membanting dinding ketiga yang menyebabkan persoalan kenapa seksaan yang dibuat kepada Adam terjawab (kerana sehingga habis, kita masih tidak boleh/mahu percaya Tika sanggup melakukan apa yang dia lakukan). Tetapi perkara ini tidak diluahkan oleh Paul, menyebabkan idea baik ini hanya satu daripada serpihan red herring yang mengada-ada.

Oleh sebab itu, Kado Hari Jadi tidak dapat masuk ke dalam subgenre filem dendam sebaik Freaks atau The Hills Have Two Eyes tetapi memasuki filem-filem seram cult yang terpinggir dan disukai oleh segelintir peminat seperti I Spit On Your Grave(1978) atau Maniac(1980). Malah, kalau dibandingkan filem ini dengan filem Ah Long sebagai satu hasil karya pelajar filem, aku memilih yang keduanya daripada filem ini. Maaf Gaia, kado hari jadi anda tak berapa menjadi buat anda malam itu.

22 September 2008

Will it be the death of me?

Pada bulan hadapan, saya akan menjawat sebagai pegawai tetap (dahulu kontrak) di tempat kerja, tetapi, saya akan berpindah ke Kota Bharu, Kelantan. Di Kelantan, tak ada pawagam. Boleh tak saya hidup?

Salam hari raya

Maaf zahir & batin

rasa nak menangis ni ...

17 September 2008

Perca-perca Filem September 2008

Dalam bulan Ramadhan kali ni, aku memang 'slow' sikit. Setakat ini, hanya sebuah filem yang aku tonton, Body #19. Aku juga sedang dalam proses mengkaji genre yang paling aku tak suka, Hindustan oleh sebab sebuah buku pemberian ayah juga sekarang aku berkawan dengan Shanon Shah (jangan jeles, ya Shanon penggila Hindustan tulen). Aku dapati, ada 'semangat' dalam filem-filemnya walaupun seklise atau sesangat meminjam mana (dulu aku benci benar filem-filem yang suka mencedok idea orang lain, tapi aku sedar sekarang, pembikin hindustan sudah bermain dengan persoalan pasca-kolonial dan pasca-moden jauh lebih awal daripada mana-mana pembikin filem dunia), paling penting, filem-filem Hindustan tetap ada roh.


Jodhaa Akbar (2008)



Sebuah filem kontreversial Hindustan yang pernah ditayangkan di Malaysia tetapi masuk dan keluar dari negara ini dengan senyap. Ini adalah kerana 'idea plural agama' yang disandang oleh raja Islamnya dalam filem ini (untuk tidak membentuk kontreversi, mungkin sebab itu hero-raja Mughal dalam filem ini ialah Hitrik Roshan, seorang hindu untuk memainkan peranan Sultan Jalaluddin Mohamad Akbar atau dikenali di barat sebagat Akbar the Great).

Idea yang dibawa dalam filem ini segar dan menarik - poin watak raja Islam terpaksa berbuat begitu oleh sebab menaikkan kuasa politikalnya untuk mendapatkan sokongan Hindu di Hindustan, menghilangkan perasaan 'Islam itu alien' dalam hati-hati rakyat Hindunya. Oleh sebab plural raja (ideanya), keharmonian kaum dan agama tercipta di India. Aishawara Rai berlakon sebagai Jodha, si puteri kerajaan Rajput yang akan dikahwinkan kepada Akbar atas tujuan diplomatik, yang mana dia bertegas mengekalkan agama Hindunya.

Ada beberapa subliminasi 'jawapan' yang cuba menyentuh sufisme (dalam sejarah Sultan Akbar memang dekat dengan sheikh-sheikh tarekat) tetapi dibuat dengan 'lembut' supaya tidak memberi makna sufi membenarkan penyatuan dua insan berlainan agama yang sememangnya menentang syariat. Epik cerita ini seru, antara yang dibuat dengan teliti dan mengikut gerak dalam tekstur gaya Bollywood (teknik efek runut bunyi, tangkapan sudut, tangkapan wajah, suntingan, bunyi yang membawa 'drama').

Walaupun beberapa 'kerajaan' yang berperanan dalam filem, ia tidak melemaskan. Sentimentalitinya tersusun, tidak terlalu melodramatik seperti kebiasaan filem Bollywood, dengan cetusan-cetusan kemanusiaan yang wajar dan universal. Aksi perangnya tidak sehebat Suryothai tetapi kumpulan pelakon tambahan yang besar memberi semangat 'besar' terhadap filem ini. CGI diperkurangkan untuk mengimpak cerita manusianya dan dialog. Lagu-lagunya pendek dan bagus.

Banyak yang boleh diperkatakan akan isu 'Islam' dalam filem ini, yang sudah tentu diterima baik oleh golongan liberal. Sebuah filem "costume drama" yang baik.


Body #19 (2007)


Filem seram Thai yang mendapat nominasi filem terbaik dalam Anugerah Kebangsaan Film Thailand tahun ini (filem The Love of Siam memenangi filem terbaik). Sebenarnya ini bukan filem seram, mungkin boleh dipanggil sebuah filem ngeri. Aku lebih senang kalau memanggil filem ini sebuah filem fantasi berkonsep tahyul (supernatural) dan psikologi.

Pelaksanaan psikologi dalam filem ini adalah antara yang terbaik dalam filem-filem 'pemahaman minda manusia' dengan twist ajaran karma/Buddha, menyanjungi Hitchcock dan benar-benar melodramatik dalam jawapan finalenya. Sebenarnya aku lebih suka jika pengarah filem Paween menidakkan pengakhiran yang agak terlalu panjang dan membiarkan 'psikologi' filemnya bergerak mengatasi efek tahyul dalam filem ini.

Malah permulaan filem yang bermula dengan bulan purnama sepatutnya berakhir dengan mata cerah dan bukan 'seksa-seksa' moral yang penonton sudah tahu. Ini adalah kerana, sejak filem ini memberi 'asumsi', kita mendapat 'assumption' bahawa segala yang kita tonton setakat ini sampai ke finale 'lori' adalah sebuah 'derita' pesakit yang mengalami bipolar psikosis yang akut, dengan pemahaman budaya bahawa orang Thai 'terikut mimpi hantu' oleh sebab budaya tahyul dan karmanya. Segala kemungkinan ini telah berjaya diangkat oleh pengarah, malah setiap lagu, dan setiap 'fakta tahyul benar atau tidak' telah menjadi suatu 'cycle' yang separa realiti kemunginan (moral manusia yang terperangkap dalam perbuatannya sendiri) dan separa surreal (semua yang kita tonton selama ini hanyalah mimpi) - melampaui kewajaran Hitchcock dan sama taraf dengan Henri-Georges Clouzot dan Roman Polanski walaupun memaparkan efek-efek CGI buat aksi hantu (efek CGInya antara yang terbaik buat filem Thai yang aku tonton).

Malah, 'sound' yang real dalam panggung sewaktu aku menontonnya memberi impak dunia yang kita sedang tonton adalah benar (suaranya tidak sebaik mana, hanya efek suara William Castle yang 'benar' yang impresif kerana kita seakan terasa 'hantu' itu ada di belakang kita). Maka oleh sebab itu, filem ini 'rosak' dengan pengakhiran yang terlalu 'Buddhistic' dengan idea moral yang sangat terang, kemungkinan kerana badan sensor Thai yang menginginkannya. Sebuah filem yang sedikit lempab kalau dibandingkan dengan Shutter, tetapi antara mainan psikologi terbaik yang membariskan filem ini sebagai sebuah filem separa psikologi-ngeri yang baik dari Thailand menandingi psikologi-ngeri-gothik Alone.



Tanging yaman(2000)

Aku juga sedang menyelidik filem-filem Filipina oleh sebab Amir Muhammad mengatakan filem-filem Asia Tenggara yang progresif dan bakal menggegar dunia datang dari Filipina (semahunya aku menyokong, tetapis etakat ini aku meneliti bahawa filem-filem Thai lebih positif ke arah itu). Ada beberapa filem komersial yang aku sudah tonton, Ouija(2007), Nasaan ka maan(2005), dan Macho Dancer(1988) arahan pengarah terbaik Filipina Lino Broca (Broca ialah seorang pengarah yang diiktiraf tinggi oleh juri filem barat, dan sememangnya baik dalam melunaskan idea realisme dalam filem-filemnya). Rata-ratanya, filem Filipina seakan filem-filem kita, mempunyai penegasan tinggi terhadap 'hindustanisme', kekuatan terletak pada efek mencerna emosi dramatik atau melodramatik daripada para-para pelakonnya yang kadang-kadang terlalu melankolik (kebiasaan gaya pelakon Melayu era Jalan Ampas) dan ketrampilan perhubungan manusia menandingi segala tema yang dicerna (perhubungan penting buat filem-filem mereka, seperti Melayu, kerana daripada idea ini, membungkam semangat klise manusia yang terarah kepada motivasi dan konflik). Di sini, perhubungan yang terbiasa digunakan ialah mikro (clustered), iaitu perhubungan keluarga. Kesemua filem di atas mempunyai sandaran ini, walaupun filem anak-anak gelendengan dalam Macho Dancer, yang mempunyai 'keluarga'nya yang tersendiri. Aku faham budaya keluarga ini penting dalam filem Filipina oleh sebab retak keluarga yang terlalu oleh sebab kemalaratan hidup (sila tonton drama-drama mereka, paling terbaik dan menjadi rujukan peribadi aku, Pangako Sa Yo') dan keinginan merasa 'ada dalam satu bulatan' yang biasa dalam masyarakat Filipina.

Boleh dikatakan, Tanging yaman, sebagai sebuah genre filem keluarga per se, bolehlah dikatakan antara filem 'nasional' Filipina yang cemerlang. Malah filem ini lebih terjerumus sebagai drama keluarga yang 'dipendekkan' daripada biasa yang kita tonton dalam drama TV Filipina. Malah, antara penulis skripnya, Ricardo Lee adalah seorang legenda dalam penulisan skrip drama TV (juga penulis Pangako Sa Yo'), malah banyak berkaloborasi dengan beberapa pengarah filem buat filem-filem berunsur melodrama. Apa yang mencuitkan akan filem ini adalah gerakan mood dan emosi yang seimbang yang diberikan dalam strata realistik tanpa warna-warna keras kebiasaan filem-filem remaja Filipina. Dialog-dialog yang tercetus benar dan boleh dirasa, walaupun kadang-kadang merempuh melodrama (rujuk Titanic). Kita akan lebih tertarik melihat cerita dan lakonan daripada gaya dan imej idola para pelakon. Dan ceritanya sebuah cerita yang mencuit, walaupun mungkin sedikit lapuk dari segi eksekusi. Ceritanya akan pemecahan sebuah keluarga yang besar oleh sebab keinginan harta pusaka seorang ibu yang belum mati tapi menghidap alzimer. Ya, sangat drama Melayu, tetapi apa yang Laurice Guillen serta panel penulisnya lakukan ialah, membawa segala identiti benar akan Filipina (pelambangan apa itu Filipina) sebagai campuran plot dan makna yang memberi kemudahan cerita yang segar dan menarik.

Identiti Filipina ini terdiri daripada tiga perkara; gereja (agama Kristian), lagu (penyanyi Filipina adalah antara yang terbaik di dunia) dan isu Matriach (wanita dan feminisme wanita Filipina adalah yang termaju dan terbaik dalam dunia) yang menjadi tunjang mewarnakan era 90-an Filipina (zaman naik turun ekonomi dan politik) yang berbaur. Secara subtle, filem ini juga menyelitkan identiti Filipina yang nasionalis tanpa perlu membuak retoriknya (idea lagu dalam filem ini ialah, ia mengembalikan jiwa yang sudah terpesong, atau menyatukan famili yang sudah lama terbuang, secara sinisnya, Lea Salonga berjaya menyatukan rakyat Filipina yang bercambah diseluruh dunia sebagai orang gaji), malah diperkenalkan dengan sangat lembut, dengan manusia-manusianya.

Mungkin sebab itu, pembikin filem Filipina adalah 'masters of human drama' atau 'human melodrama' kerana mengenali setiap getir dan seksa 'anak-anak'nya. Perjalanan filem ini akan dirasakan 'formulaik' tetapi oleh sebab disusun dengan kemas dan atas lakonan yang berkesan, kita menyetujui sebab akibatnya. Gloria Romero adalah yang terbaik sebagai si ibu tua yang menjaga seimbang telur di hujung tanduk keluarganya. Gloria ialah antara seniwati agung Filipina yang boleh disamakan dengan Saadiah dalam legenda lakonannya. Johnny Delgado sebagai abang sulung keluarga juga boleh dipuji, malah memaparkan versatilnya dalam drama, antara pelakon terbaik drama Filipina. Ada beberapa watak dalam filem ini yang 'melankolik terlalu' (terutamanya watak Jericho Rosales) yang membayangkan semangat romantisme yang patah, yang banyak sekali dipaparkan dalam filem-filem Melayu era 70-an. Tetapi watak-watak 'lapuk' ini perlu untuk menjalankan konflik cerita dan kenapa berlakunya 'kekacauan' dalam perhubungan keluarga. Apa yang absurd menjadi real.

Tanging yaman juga sebuah filem 'miracle' yang unik buat Filipina, bagaimana It's A Wonderful Life ialah filem miracle buat Amerika Syarikat. Malah pemahaman 'miracle' ini berlaku dari awal lagi sewaktu si nenek mengalami alzimer (dia meminta Tuhan untuk berbuat sesuatu untuk keluarganya yang makin meretak, dan oleh sebab itu, filem ini mencadangkan, dia mendapat penyakit lupa itu). Malah solusi konflik filem ini juga, seperti filem Frank Capra itu dijawab dengan satu 'pertolongan tuhan' (kelainan Capra ialah, mungkin yang diperlihatkan ialah imej masa depan, mengambil idea A Christmas Carol karya Charles Dickens), membawa idea Tuhan itu hidup dan memenuhi hajat-hajat anak-anak kecilnya.

Lagu dalam filem ini antara yang terbaik dalam filem Filipina, malah filem ini bergerak kerana runut bunyinya. Walaupun runut bunyinya kadang-kala terlalu 'formulaik emosional' dalam menggerakkan emosi penonton, lagu-lagu nyanyiannya menjerat jiwa untuk mengenali sekali gus kuasa Tuhan dan ketabahan manusia kerdil. Tanging yaman mungkin mengambil masa untuk diapresiasi sebagai sebuah filem yang baik, oleh sebab penonton sekarang yang sudah tersedia biasa dengan filem-filem 'feel good'. Percayalah, kalau ditonton sekali lagi dan sekali lagi, ada lapisan-lapisan tertentu yang baru, bersifat sosial malah estetik yang terkupas nanti, membuatkan filem ini antara filem komersial Filipina yang perlu ditonton walaupun pernah dilakukan.

12 September 2008

Kekasihku Seru Just Blown Me Away!

Semalam berlaku suatu sejarah dalam TV perdana Malaysia. Di dalam episod Kekasihku Seru malam semalam, terdapat dua 'taboo' yang telah dipatah-patahkan oleh Kabir Bhatia dan Mira Mustafa.
Pertama berlaku sewaktu Mastura (lakonan Emelda, tetapi nenek kepada nenek Mastura) membunuh ayahnya sendiri untuk membangunkan kekasihnya dari alam barzakh. Mastura membawa mayat ayahnya di tepi kubur kekasihnya, Waris (lakonan Harith), lalu membaca mentera, lalu tiba-tiba di tepi tanah di sebelahnya, sepasang tangan keluar dari timbunan tanah di sebelah paha Mastura. Ya, hantu keluar kubur berjaya ditayangkan di saluran perdana!
Kedua berlaku sewaktu atok Rashad menenangkan Mastura (zaman sekarang) selepas dia disantau oleh hantu-saka Waris di luar rumah atok Rashad. Atok memberi Mastura sebuah tangkal untuk dipakai oleh Mastura sebagai pendinding. Ya, tangkal (sudah tentu dengan ayat-ayat al-Quran) dipakai tanpa perlu menyatakan mengapa dan hukumnya!
Syabas Islam Hadhari, aku sangat seronok melihat perubahan ini!
Syabas Kabir kerana keberaniamu! Lepas selesai Kekasihku Seru, harap dikeluarkan DVDnya!
daripada - peminat setia Kekasihku Seru

04 September 2008

Freedom Filmfest 2008

Kepada penonton takde duit tapi nak tonton filem bagus, silalah pergi.

Kepada penonton yang tak kerja, silalah pergi.

Kepada penonton yang alim, pergi waktu siang-petang, malam pergi buat terawih.

Kalau yang tak terawih dan fardu tapi tahu pulak nak puasa dan minum arak bila bukak puasa, memang diwajibkan pergi.

02 September 2008

Filem KAMI(2008) Datang Bulan Raya!


Ya tuan-tuan dan puan-puan, sebuah filem muda-mudi masa kini akan menemui anda pada pagi perayaan Aidilfitri nanti, saksikanlah kesegaran dan mulut celupar anak-anak muda kita beraksi - hidup ni memang palat tapi esok masih ada!


Aku rasa, kira bangga jugalah dengan filem ni, walaupun tangkapan filemnya amatur nak babi dengan shot-shot yang murah, kareografi aksi tahap cikai (Malaysia mempunyai masalah terbesar dalam hal ini, malah ramai yang terus mengikut shot aksi 'tup tap tiba-tiba' seperti filem Rabun) dan sistem suaranya adalah antara sistem suara terburuk yang engkau pernah dengar dan agak sedih buat filem yang bergerak dengan runut bunyi untuk bercerita (lihat Mean Streets), tetapi oleh sebab aku sudah biasa menonton filem Greg Araki dan aku suka Totally F***ed Up, gaya Kami mempunyai semangat filem-filem terdahulu Araki malah mempunyai penggayaan jujur tentang para remaja urban sekarang yang aku tak pernah jumpa dalam filem kita (Anak Halal boleh pergi mampus) malah melampaui apa yang telah dibuat oleh Dunia Baru beberapa bulan yang lepas (Dunia Baru ialah semacam kartun tadika kalau dibandingkan dengan Kami) tetapi tidaklah segila Hari Biru (tapi ni bukan fasal remaja per se kan?). Malah hari prebiu itu, aku telah membawa adik perempuan aku menontonnya. Adik aku seorang penonton anti filem Melayu tetapi menyukai Selubung dan Ringgit Kassorga. Filem Melayu yang terakhir yang ditontonnya ialah Mimpi Moon lalu dia terus hilang percayaanya kepada filem Melayu (generalisasi yang menyedihkan bukan?) walaupun aku memperkenalkan filem Khabir dan Yasmin sebagai 'filem komersial baru'. Dia menonton Kami dan aku agak takut juga kalau dia marah (seperti mana aku mengajaknya menonton The Strangers dan Babylon A.D. yang mana dia memang menyampah dan benci bagai nak rak), tetapi yang mengejutkan, dia suka! Malah dia mengatakan filem ini bagus kerana jujur dan berani memaparkan apa yang dia kenal (dia gadis bandar), memuji lakonan Nas-T malah mengambil kemeja-t yang diberi percuma oleh pihak pengedar. Dan kemeja itu sendiri sudah membuka mata mak aku bila melihat perkataan "P" itu di dada adik aku. Ya, esok masih ada buat filem Melayu.



Imej paling cult dalam filem ini: lima sekawan duduk bertenggek di tepi jalan (aku teringat sewaktu sekolah, budaya melepak dibayangkan sebagai amalan yang akan membuat aku masuk neraka oleh guru-guru dan pegawai kerajaan yang fascist waktu itu), saling memberi cupcakes lalu mengucap salam kepada orang berlalu-lalang - inilah imej yang akan sentiasa diingati dalam filem ini, bukan sahaja kerana kekuatan imej ritual ikut-ikutannya, tetapi membaur semangat baharu yang carefree-hepi-sosial terhadap generasi yang ditampilkan dalam filem ini. Ini sendiri membuat 'trademark' bahawa Kami ialah filem khas awal abad ke-21 tentang budak-budak muda abad ke-21, dan ia akan diingati selama-lamanya kerana itu.

Ya, filem ini akan berjaya membuak nostalgia dalam masa hadapan. Bayangkan semua gig, gila-gila remaja akan internet dan fesyen gaya sekarang yang akan berubah buat generasi akan datang, filem ini 'berjaya' kerana ia menangkap dengan jujurnya pada milieu yang tepat dengan tujuan yang tepat dan harapan yang tepat. Penggambaran ini sepenting pembikinan Easy Rider yang tidak mungkin dibuat pada zaman lain. Apabila kita membandingkan Kami dengan Dari Jemapoh Ke Manchestee, kita akan nampak superfisial tangkapan nostalgia Dari Jemapoh terhadap realisme Kami, kerana ini berlaku terhadap mana-mana filem 'period' yang cuba menangkap zaman (Gladiator, Jhonny Bikin Filem sebagai contoh) dengan seteliti dan sebenar mungkin. Kami kira bernasib baik kerana ia mempunyai keinginan memberontak dan riak risau para remaja yang universal seperti mana yang kita tonton dalam mana-mana filem remaja Hollywood tetapi mempunyai herba dan acuan Malaysianan urban sekarang.



Mengikut perjalanan cerita filem ini mungkin sedikit 'susah' buat penonton yang belum mengenali watak-wataknya di layar TV sewaktu ia disiarkan secara drama bersiri. Tetapi anda akan terkejut apabila sampai di pertengahan cerita, anda akan ada rasa selesa dengan watak-wataknya. Vovin pernah memberitahu aku bahawa Kami mungkin hebat apabila dalam drama TVnya mengfokuskan hanya satu-satu watak dalam satu episod dan para penulis/pengarahnya mungkin tidak akan berjaya menyelitkan kelima-lima watak dalam sebuah cerita yang panjang. Tanpa melihat beberapa kekacauan atau lubang plot yang tampak, Kami berjaya menyaring dan mengikat sebuah cerita yang impresif akan harapan dan seksa batin para muda-mudi kota yang inginkan sesuatu daripada hidup, malah disusun dengan efektif, malah mungkin terlalu sistematik, seperti kebiasaan sebuah filem Hollywood. Tetapi itulah berita baiknya. Malah, aku begitu teruja dengan watak-watak yang dicipta oleh Friza dan Effendee, watak-watak muda-mudi yang tidak superfisial, bulat dan mempunyai 'manusia'nya, masing-masingnya mempunyai rahsia, mempunyai kelemahan dan masing-masing mempunyai fungsi terhadap cerita dan sekali gus pemahaman dan kedalaman jiwa perwatakan.

Nas-T haruslah dipuji kerana tampak sangat bahawa dia ialah 'cover boy' terhadap filem ini, membawa satu watak yang komikal sekali gus pathos terhadap jiwa memberontak remaja (buat aku, kadang-kadang ia terlalu kerana Nas-T ialah simbol 'romantisme-hindustan' dalam filem ini, seorang pejuang tanpa apa-apa sejarah yang menghalang, tetapi adik aku suka banget dengan dia, well...), malah mengejutkan aku, mempunyai inti homoerotis yang separa sedar terhadap Syarul Ezani (ini satu keperluan sebagai tradisi filem dua lelaki atau 'buddies film' seperti yang kita lihat dalam filem Superbad atau Butch Cassidy and the Sundance Kid, ataupun Dari Jemapoh ...). Syarul Ezani lemah pada permulaannya tetapi mula membina dan membina perwatakannya dengan baik. Segala 'hitam'nya diperlihatkan dan dilakonkan dengan baik oleh Syarul. Antara ketiga-tiga teraju wanita, Liyana Jasmay disengajakan terserlah, dan memang, wataknya yang paling mencabar dan menarik untuk diangkat. Malah Liyana menjadi petanda dan penanda terhadap empat watak utama yang lain. Malah pseudonimnya, "Teka-teki" merupakan wit kecil yang dicelupkan oleh Fariza sebagai penanda ikatan utama terhadap cerita dan watak filem ini. Plot filem ini sebetul-betulnya 'bergerak' pun oleh sebab kehadirannya (ini disedari dibuat dengan sengaja).

Apa yang aku hendak sorak akan tim Effendee dan Fariza ini ialah, walaupun mereka tahu, cara untuk membuat penonton dekat dengan watak-wataknya ialah dengan menyeksa watak-wataknya agar ada sentimentaliti yang dapat menangkap perasaan penonton (efek melodrama seumpamanya). Effendee dan Fariza betul-betul menjaga dalam hal ini, tidak mahu membawa para penonton dalam 'melodrama zone' yang biasa kita lihat berada dalam filem-filem Melayu termasuk filem Khabir Bhatia (efek menggunakan runut bunyi mendayu-dayu dan skop zoom in dan masa tatapan yang terlalu mengambil masa), malah Effendee lari daripada memperlakukan filem ini semacam sebuah MTV. Ini harus dipuji. Seperti Yasmin Ahmad, semangat yang terbuak daripada watak-watak muda ini dibuat daalm kesedaran yang senyap-sunyi, walaupun kadang-kala tidak menjadi, berjaya memaparkan jiwa emosi yang jujur dan keluar dari hati, menyentuh para penonton.

Kami menjadi sebuah lagi batu loncatan buat filem Malaysia untuk dikenali bahawa filem kita sedang hidup dan bergerak ke arah pembikinan cerita dan idea yang berkualiti. Projek dari siri drama TV ke tayangan perdana memang bukan perkara baharu (Senario sudah melakukannya), tetapi kemasukan Kami dapat menggegarkan para pembikin filem agar melihat kepada sisi cerita dan wataknya dahulu sebelum memahami inti komersial dan kelebihannya yang dibawa bersama.

Punggok Rindukan Bulan(2008) Pathos Berpanjangan


Azhar, sang pengarah dan penulis Punggok Rindukan Bulan (PRB) mungkin mengalami sindrom hiperrindu ikon ibu yang akut (dia rindu duduk bawah dada mak dia?) atau dia mengalami depresi putus kekasih (lagi) kerana daripada menonton The Amber Sexalogy (kompilasi filem pendeknya) dan kini filem pertama Azhar ini, kita menjumpai tema yang serupa iaitu keinginan perasaan yang kosong untuk diisi - ya, perasaan kebiasaan manusia yang agak susah untuk dipaparkan dalam bentuk imej tetapi lebih kuat dalam bentuk kata-kata dan aksi: rindu (sila tonton Empire of the Sun bagaimana gagal/berjayanya Spielberg membuak perasaan 'rindu mak' ini daripada Christian Bale).

Gaya kedua yang tampak dalam filem bayi Azhar ini ialah satu penyambungan Azhar dalam eksperimen pergerakan dalam ruang. Pergerakan yang berlaku dalam ruang layar ini tampak penting buat Azhar kerana bergeraknya protagonis dalam filem ini sepertimana watak-watak dalam filem pendeknya (yang terduduk, menari atau berjalan) membentuk idea keinginan perasaan itu, relatifnya rindu. Kita di'paksa' mengikut, dan kadang-kala keinginan itu terlalu mengharap. Kita dapat melihat, dalam dua atau tiga tempat di dalam filem ini di mana kita akan mengikut seorang budak lelaki, Saeful Nazhif Satria sebagai Sidi dalam goncangan kamera, Saeful, kakinya, kepalanya dan matanya menyelinap seluruh geografi yang mengisi tata layar (di mata kita) dan memberi 'selebihnya' dengan perasaannya yang 'tersimpan' daripada perjalanannya melintas belukar pada waktu malam, memasuki kompleks beli-belah yang usang dan berjalan seorang di atas bumbung flat Bukit Chagar (yang kini sudah diranapkan untuk pembinaan projek kastam Johor Bahru). Babak paling efektif dalam 'pencarian dalam keadaan rindu' Saeful berlaku pada waktu malam sewaktu bapanya (Sahronizam Noor) membawa Saeful ke tebing laut berdekatan sempadan Singapura-Johor di mana Saeful diajak memancing. Kita lihat unggun api di sini (semangat/harapan Saeful) yang kecil dan lampu suluh Saeful yang mencari-cari. Kita tidak lagi mengikut Saeful dalam gelap, tetapi lampu suluhnya (mencari) dalam belukar dan lalang. Dan Saeful bergerak laju dan laju dalam keadaan malam itu, lalu terjumpa unggun api yang lebih besar, lalu Saeful mencampak lampu suluhnya ke dalam unggun api itu lalu pergi - sekali gus puitis dan pathos dalam satu masa, juga ada kuasa gelap di dalamnya. Kuasa gelap ini yang banyak diluahkan oleh Azhar dalam beberapa bahagian lain di dalam filem ini, tetapi tidak akan sekuat ini lagi.


Tetapi Azharr juga mempunyai 'miang-miang'nya dengan licik humornya, supaya tema berat dalam filem ini diseimbangkan dengan sesuatu yang memberi keceriaan dalam warna kelabu dan flat yang 'derelict'. Ini termasuk dalam beberapa babak Saeful dengan rakan-rakannya atau Saeful bermain kurang-ajar bersama dengan seorang tua di flat. Kurang-ajar ini walaupun seronok dan kasar, ia masih menyentuh (kita faham kerana kekosongan jiwa yang terlalu berlaku terhadap Saeful).

Walaupun secara mikro, filem ini bertimbang akan studi individual yang 'merindu' (di sini, merindui kehadiran ibunya), filem ini juga mempunyai beberapa tempo dan imej subliminal akan hal ketuanan Melayu (filem Melayu lama yang ditayangkan di TV, kita akan dengar suara Mat Sentul dan sebuah filem P. Ramlee, juga simbol keris tua di dinding), imej modenisasi Kerajaan yang mencengkam atau merosakkan nostalgia dan sejarah (malah dalam satu babak, Azhar dengan berani memaparkan dengan radikalnya bahawa progres kemodenan membawa kepada lubang-lubang besar dalam sosial masyarakat), serta keinginan 'jauh tapi dekat' rindu Singapura dan Johor. Azhar berjaya mengangkat babak-babak ini dengan komitmen terhadap perasaan rindu itu yang menyeluruh, tetapi mungkin lebih penting dan kena terhadap Malaysia dan Singapura dan tak mungkin dapat difahami dengan sepenuhnya oleh penonton antarabangsa. Pun begitu, idea budaya atau subbudaya yang dicipta oleh pergerakan modenisasi dan politik antara benua serta keinginan untuk mengekalkan budaya atau subbudaya walaupun dalam ambang terkikis terserlah dalam filem ini. Dan Azhar melakukan ini dengan membandingkan dengan keadaan Saeful yang 'cepat membesar' dengan proses sekelilingnya yang terlalu cepat berubah. Malah penonton di akhir filem tentu mempunyai reaksi negatif terhadap projek pembangunan yang berlaku disekeliling (atas nama kemajuan) kerana tersedar bahawa kemajuan membawa kepada kepupusan budaya dan nostalgia.

Idea paling dimukakan oleh Azharr ialah, perlukah kita bernostalgia? Buat aku sendiri, jawapannya ya, malah dengan nostalgia saja kita dapat mengenali diri kita sendiri, 'akar umbi' kita kononnya (idea yang sama daripada filem ini). Dan filem ini semahu-mahunya menjadi sekaligus pengimbauan perasaan nostalgik terhadap sesuatu dan memaksa kita bercerita akan tempat dan orang seeblum mereka benar-benar meninggalkan kita (ibu, flat) tetapi juga mengajak kita mencari diri kita sendiri daripada serpihan-serpihan nostalgia itu yang kian pupus ditelan kemajuan zaman.

Akan ditayangkan di GSC International Screens pada 25 September 2008.

nota fadz: Filem ini bukan sahaja didedikasikan kepada flat Bukit Chaga yang hilang, tetapi kepada tepi bukit berdekatan rumah aku di Medan Damansara yang akan dibina banglo mewah, Sekolah Bukit Bintang yang lenyap di bawah tapak Pavillion dan beberapa lagi rumah/bangunan lama yang kini dalam proses ditumbangkan oleh sebab ketiadapedulinya masyarakat dan pemimpin kita untuk menjaga sejarah dan sumber alam.

layari: http://www.rindu.dahuangpictures.com