01 January 2009

Histeria (2008) seperti rokok kretek yang cepat padam


Buat semua yang menyokong, terima kasih ...


Di tuju khas buat Riduan Khairi, Ayman, Spiral, Bratty, Rewan Ishak, Yasmin Ahmad, Ajami, Nuppy, Saat Omar, Embun, Abdullah Jones, Kekure, Cappuccino, Amirasyuhada, Ryann, Nazim, ted, Namron, Jelir, El, didiey, sf, Zeyn, ida, Amer Yusof, azrul, Arfah, kilimanjaro dan anon-anon ...


Seorang gadis berbaju sekolah menengah, kotor, penuh darah dan semacam tanpa arah tujuan ditemui di perkarangan lobi sekolah, ditemui oleh "ustazah" Vanida Imran. Bila gadis itu (yang dilakonkan dengan sederhana dan innocent guilt oleh Liyana Jasmay) terpandang Vanida Imran yang mendekatinya, budak sekolah itu menjerit dan menjerit - histeria.


Kita dibawa pula pada satu babak di mana Namron menjadi inspektor polis yang ganeh, cuba menyoal Liyana yang masih dalam keadaan separa waras. Liyana tidak tahu di mana kawan-kawannya. Polis mendapati ada 3 mayat yang dijumpai. Doktor yang mendiognosis (cameo sutradara Ramli Hassan) Liyana mengatakan Liyana dalam keadaan "menolak apa yang telah ia lakukan" - bipolar(?). Liyana mula bercerita:


Babak yang seterusnya, semacam babak puja-puja pembukaan drama Crucible Arthur Hiller, Liyana dan kawan-kawannya sedang memuja "penunggu" sebuah busut. Lalu tiba-tiba, seorang daripada kawan mereka meracau - histeria. Kawan mereka dibawa menghadap seorang tok bomoh (M. Rajoli) yang diketahui "menipu" kerana kawan Liyana dan kawan-kawan lain sebenarnya melakukan satu "mainan" terhadap penguatkuasa sekolah - tipikal darah remaja, lalu mereka dihukum. Nama sekolah mereka Tun Teja. Mereka ada guru besar Adman Salleh yang cool. Mereka ialah semangat budak remaja sekarang yang celaru tetapi berani membanting konvensi di dalam runut sistem sosial yang didaktik. Tetapi hal ini hanya disampaikan oleh James Lee dalam beberapa tempat, dan paling tampak dalam "simpanan balak" budak-budak tua lepasan sekolah. Sinopsis ini kedengaran Hollywood.


Memang tidak dapat disangkal "kebaratannya" (atau urban feelnya) apabila skrip filem ini dibikin oleh Amri Ruhayat dan Fahmi Fadzil, maverick golongan indie yang mula ingin mengubah persada seni (di sini, filem) tempatan (lakon layar oleh James Lee). Mereka segolongan dengan Dhojiee serta Amir Muhammad. Ini suara baru mereka. Mereka tahu apa yang perlu dan tidak perlu dimasukkan dalam sebuah filem seram.


Tetapi satu perkara yang mereka tidak mahu lepaskan ialah menggunapakai gaya formulaik dalam filem-filem seram, lebih-lebih lagi filem slasher (Histeria ialah sebuah filem slasher-witchcraft: tipikal trilogi Three Mothers Dario Argento), ya, bimbo-bimbo kesunyian yang memerlukan seks (di sini, lesbianisme dan heteros), si suci yang selamat, mereka yang buat salah seksual perlu dihukum dan perangai emosional terlalu yang membawa padah. Nampaknya semacam mahu menyucuk hedonis tipikal slasher (dimulakan dengan kuat dalam Halloween(1978) ) dalam acuan mistik Melayu. Fahmi dan Ruhayat bermain dengan ini: apa jadi apabila seorang remaja, seperti Carrie, melepaskan dendam, kuasa seksual dan amuk yang terpendamnya terhadap persekitarannya (secara sinikal, institusi yang membinanya) dengan penggunaan seekor jin?


Satu idea segar sebegini patut dipuji (walaupun buat penonton barat, ini semacam sudah klise, lihat The Craft(1996)[terutamanya], The Withces of Eastwick(1987), Practical Magic(1998) dan Season of the Witch(1972)), tetapi berapa jauhkah idea ini digarap dengan baik? Masalah pertama apabila idea ini diambil, oleh kerana ingin mengisi gaya kejutan yang tipikal dalam filem-filem seram Korea/Thai/Shymalan (kononnya anda akan dipaksa untuk melepasi red herring dan titip klu-klu yang membawa kepada kesimpulan terakhir, tetapi buat peminat seram, klunya sudah maklum jelas dan sudah dijumpai pada awal bab lagi), ia akhirnya menjerat filem ini sendiri dalam satu kesimpulan tanpa hala tuju. Persoalan paling utama: apa yang menyebabkan si remaja itu remaja yang pedendam, tersimpan kuasa seksual dan amuk yang tidak tertahan? Persoalan ini tidak dikemukakan oleh penulis skrip ataupun James Lee. Kemudian, jika hal idea remeh ini pun tidak dihuraikan, keperluan untuk pelakon yang menerima susuk "kuasa praterpendam" ini perlu menggambarkan dengan sebaik mungkin, kenapa ia memilih untuk mengamuk, atau kenapa lakonannya sebegitu. Ini kecelaruan yang tidak munasabah buat filem ini.


Aku tidak suka dengan fotografi filem ini. Paparan penggambaran gelapnya rimas, walaupun sedikit mencuba dalam inovasi (keperluan menekap wajah dengan terfokus merimaskan kerana perwatakan watak-watak masih selapis yang tipikal subgenre slasher, kita dipaksa berbuat-buat memahami perangai dan jiwa para pelakon tetapi hal ini terlalu jauh dan terlalu senang dalam sebuah filem yang terdapat beberapa watak yang perlu diperkembangkan perwatakannya. Sila ambil contoh Carrie. Dalam filem itu, hanya watak Carrie White sahaja yang perlu diperkembangkan dengan kompleks dan berlapis-lapis, watak-watak lain sememangnya selapis, termasuk ibu kejamnya).


Tetapi ada beberapa gambar yang mencuit dalam efek khas seram, dibantu dengan suntingan yang mengesankan serta efek solek yang mengujakan. Ini banyak berlaku sewaktu tetakan dan serangan jembalang kepada mangsa. Malah darah memercik keluar dengan putus leher dan jeritan, ianya memang satu sejarah buat perfileman seram tempatan. Realistik (kalau pun tidak) dan percikan darah adalah lagu tersendiri buat peminat seram, dan filem ini ada beberapa. Malah ada beberapa babak (semacam dipotong) yang mencuitkan dalam tipikal undang-undang didaktik slasher, melibatkan babak ciuman: ideanya, seks lesbian itu salah!


Penggunaan runut bunyi synchronizer tetap membingitkan, malah ada beberapa babak awal, lagu latarnya semacam satu "kitar semula" yang memalukan (aku terdengar melodi serupa Jaws, Psycho, filem-filem seram Hammer). Hanya pada bahagian "kejar-mengejar" di pertengahan dan akhir filem, runut bunyinya mula membangkitkan semangat dan suatu melodi yang mengesankan.


Lakonan para pelakon semuanya sederhana. Ini mungkin disengajakan. Dialognya seronok dalam keadaan mellow, tipikal James Lee. Pengakhirannya, walaupun sudah diketahui kesimpulannya, ada sedikit perkara yang mencuitkan, mengambil ideal Rashomon. Ini terletak dalam naratif penceritaan mangsa. Jika benar semua yang kita sudah tonton dalam 99 minit pertama itu benar, kenapa ada babak "palsu" yang menidakkan 99 minit yang awal? Dan jika itu berlaku, kesemua 99 minit yang sudah kita tonton itu sebenarnya "palsu" dan boleh didekonstruksikan kembali untuk mencari "kebenaran". Kebenaran yang aku lihat: si remaja sebenarnya sudah merancang lama, lalu semua cerita yang diceritakan itu dibuat-buat (di sinilah persoalan besar itu wujud: Untuk apa remaja itu buat apa yang dia buat?). Hal "open ended" ini menarik untuk dipusing dan dipusingkan sekali lagi sesama rakan selepas menontonnya, kebolehan mencipta mitos "kebenaran" dalam filem ini sendiri, membuka jawapan-jawapan yang sudah tentu lain daripada orang lain.


Ini membawa kepada persoalan sosial, jika filem ini punya mesej subtle yang tersimpan? Aku cuba melihat dan mencari pemahaman histeria itu sebagai satu simbolisme "berontak" yang ekstrem terhadap ketentuan sistem dan kebiasaan budaya, seperti mana Carrie White memberontak terhadap institusinya yang hipokrit dan mewar-warkan estetika kecantikan/kesempurnaan remaja. Tetapi ada beberapa babak pembunuhan yang membuatkan idealisme ini celaru (ini melibatkan pembunuhan yang bukan datang dari jembalang). Adakah sang remaja itu penghukum hedonisme tipikal filem slasher atau penghukum moral atau melepaskan geramnya pada sesiapa yang dia nak? Perkara ini celaru. Hal ini menyebabkan Histeria hanya sebuah filem bertih jagung seram yang menghiburkan dan biasa, walaupun mempunyai beberapa babak pembunuhan efektif dan melakukan sejarah dalam kegunaan efek solek yang mengancam. Tetapi seperti rokok kretek yang kausedut, ia keras, tersedak tetapi cepat padam.

24 comments:

GAIA said...

Hey mate...kan dah kata ko akan menulis semula dlm masa 3 bulan! Tahniah!

Histeria agak menghiburkan dlm kestereotypingnya.....

Ajami Hashim said...

iyolah! rebiu memandai-mandai yg pandai! aku suka!

larrikkk!

p/s: horrorisma kembali! hahaha!

amirahsyuhada said...

entah kenapa, saya telah pun menonton histeria, walaupun saya memang seorang yang allergi pada filem seram, cuma filem seram mat salleh je saya tonton, sebab filem diorang sekadar seram-seram kuku je.

Histeria saya rasa, yang saya puji, realistik dalam bab2 yang ngeri tu. Cuma tak puas hati bila boleh tinggal warden sorang, lelaki pula tu diasrama,salah dari segi undang2 ni.Suka watak adlin jadi cikgu, tapi sayang sikit sangat. Dan hukuman tu memang tak logik lansung.

Tapi kiranya 90% logikla. Thanks fadz kerana terus menulis. Gembira sangat saya nampak ada update.

Anonymous said...

This movie is much more engaging than his arthouse stuff so I say bring on the popcorn fodders!

- Jaysis Christ

Miss Brat said...

Welcome back Fadz..

Yang golap2 tu, concept J Horror katanya, tapi ada gak la orang cakap James cuba letak unsur Hitchcock dalam Histeria hehe

Rewan Ishak said...

Terima kasih kerana menulis. Siapa cakap review kau yang berlapis-lapis ni buat orang tak nak pergi panggung.. Lagi tak best review tu lagi aku nak tgk. Walaupun ini filem popcorn. Tapi ini caramel popcorn versi combo.

Anonymous said...

review histeria bagus.

"Tonton Filem. Pasal filem bukan plotnya. Ikut hati bukan teori, atau apa-apa lagi..." - apa benda lah nii brader. (ketawa slow-slow)


Amirul 'Ariff.

Anonymous said...

james lee's best film! tayangan unggul should sign him for a 13 picture deal, at least.

Nazim Masnawi said...

Owh, Fahmi Fadzil, you SUCK!

Anonymous said...

mesin basuh james lee rosak. Dia histeria. Mereka nak bawa jumpa dukun, tapi dukun tak berani keluar kerana takut disaman. bawa jumpa pawang. pawang kata "siapa yang nak pakai susuk ni, james lee ke mesin basuh..?".

Penchinta ruang gelap

Amer Yusof said...

Salam,

tahun baru buku baru...bestnya dapat baca tonton filem utk tahun ketiga. tahun 2008 byk review filem ko yg bagus, aku x dan nak gi wayang. takpe, tahun ni aku akan luangkan masa menonton lebih byk filem.

selamat maju jaya fadz.

Vitamin said...

akhirnya kau menulis semula review. aku igt lama lagi. hehe.

nway, aku teringin sangat nak tengok tapi disebabkan kekangan masa, tak jengah la pawagam. bulan 12 ni aku tak ke pawagam langsung. aku akan cari filem ini walau dalam bentuk apa sekalipun.

fadz said...

GAIA, why dont u say this: fadz gonna came back to KL fro GOOD, like on January!

Ajami, Blair Witch is still a classic, i dont care..

Amira, as usual, i like ur spot on logic, u shd be a proofreaders to script writers, Bratty, contact Amira ASAP!

Jaysis, well yah, u got a point, but i still dig James Lee's art house flick, very rare, very Ming Liang, very new.. i love his Love trilogy, a beauty for cine art.

Bratty, well, it aint dat Hitchcock much for me, more like cock hitch if u get wat i mean.

Rewan, hell yeah!
thx bro for ur support1

Amirul, it means SHIT, but SHIT is NICE dont u think?

Anon, well, dont forget the script writers.

Nazim, shoot out, why Fahmi sucks..?

dark edge, well, nice analogy

Amer, terima kasih.. cubalah tonton.. but ur art is damn nice man!

Vitamin! cool bro! jgn lupa makan pop corn!

Anonymous said...

hahahah. ok, ikut suka lu lah. - amirul.

fadz said...

bro amirul, its just a marketing strategy la.. haykh..

fadz said...

omg, i just realized, whether Pink Ladies refers to PUTERI UMNO???!! omg!! scandalous!

studio said...

"...sebuah filem bertih jagung seram yang menghiburkan" - Fadz
Aku boleh imagine ayat ni kat kotak DVD filem ni besok. Baik ko siapkan copyright cecepat.

"Persoalan paling utama: apa yang menyebabkan si remaja itu remaja yang pedendam, tersimpan kuasa seksual dan amuk yang tidak tertahan? Persoalan ini tidak dikemukakan oleh penulis skrip ataupun James Lee."
Subtlety, bro. Kan dalam dialog lain dah diceritakan mak si Murni mati muda, ayah kawen lain, dia lembik, etc etc. Jadi audien diharapkan supaya infer sendirilah apa yang berlaku dalam kalbu Murni.

Subtlety yang sama waktu juga untuk Alissa -- mak menderita sakit 5 tahun, ayah buat dek dan simply ambil kesempatan kawen lain (jadi siapa yang jaga dia, kalau bukan Alissa? Waima sebab tu dia membesar jadi begitu ganteng, mature dan bertanggungjawab).

Takkan nak wat jadi so obvious sampai macam skrip/tema Zombie Kg Pisang, dimana tak cukup dengan "semua orang" dah tahu yang secara amnya cerita zombie = social commentary (yawn), audien dibalun dengan mertun pulak dengan point tu berkali-kali dalam babak-babak zombie jadi rempit, masuk "UMNO", etc.

Hi hi hi. Urm, ke tak dignified kalu pengkarya respon pada ulasan? Alamak.

Anyway. Thanks for the review. Good feedback untuk future reference.

- Ruhayat

hegira said...

ok. psikologi watak menjurus pada penampilan watak. itu freud lama. tipikal. sebab dan akibat.

betul kata amri. tapi masih ada bahagian yang tidak logik. bagi akulah.

dan bagi aku juga. tidak seram. histeria tidak seram cuma berjaya timbulkan efek gore. yang buat aku kerut dahi euw.

AKuSEmpoiGirL said...

hepi new year semua!!!!... azam baru n semangat baru.. selamat datang 2009!!!!

Spiral said...

studio, (sori fadz aku mencelah), quote fadz itu tak 'aci' sebab tak lengkap (ada 'biasa' dihujungnya) kalau bubuh kat cover dvd nanti, sebab rebiu fadz agak negatif utk histeria (biasanya produser/dvd department akan letak quote atau rebiu positif keseluruhan). Mungkin quote ajami lebih laku utk promosi.

*lariiikk*

Ajami Hashim said...

spiral..

amboiii! siappp kau!

kejarrr!!!

Anonymous said...

histeria sucks big time. cinematography out, banyak sangat crushed blacks.. konon nak chiarascuro, seribu kali sayang. simple convention thriller/horror, sangap.

studio said...

Spiral,
quote tu memang sengaja aku pendekkan begitu sebagai parodi pada teknik menggunakan quote yang biasa kau baca di kulit DVD-DVD fefilem yang respons kreatifnya cuma suam-suam kuku. Tak gitu?

fadz said...

Studio/Amri Rohayat, buatlah surat rasmi, hahahahahaha!