04 January 2009

Kuasa Diary of the Dead(2007)




Filem terbaru George A. Romero ini tentu tidak mendapat tempat sangat, dan mungkin terlepas terus oleh peminat filem seram oleh sebab "kebiasaan" yang dilakukan dalam tema serta pengolahan filem (filem ini termasuk filem-filem ala DIY-dokumentari seperti Blair Witch, Cloverfield dan The Last Broadcast). Justeru filem ini tampak tidak menarik, walaupun demi menatapi projek-projek filem Romero, filem ini serius penting. Diary of the Dead sebenarnya hasil kerja dekonstruksi Romero terhadap kesemua (4) filem-filem zombinya. Dalam subjek ini, penggunaan pelajar (remaja) diambil sebagai simbol suara baru (Romero melakukan persambungan generasi - tujuannya: idea sosial kritikan filem zombinya masih relevan buat dunia sekarang), semacam satu kitaran semula yang tersusun dan dimasukkan dalam acuan filem "Hollywood" baharu.




Subjek paling baru mungkin (seperti yang dilandaskan oleh beberapa peneraju zombi abad ke-21, Max Brooks dan Robert Kirkman, maka oleh sebab itu filem ini penting) mengaitkan anti propaganda dengan semangat media alternatif/baru (bloggers!) yang lebih "benar" menabur bukti dan berita dunia (di sini, tentang zombi). Ini diwakili oleh Jason Creed (lakonan "tak nampak" Joshua Close), si perakam "diari" dalam filem ini (filem ini dikenali sebagai Death of the Death, semacam filem zombi terakhir Romero!).




Idea ini sebenarnya kiri, malah sangat kiri mengikut perjuangan sosialisme 60-an, dan mungkin oleh sebab pencampuran gaya "gloss cantik" imej filem serta kebiasaan filem seram (nama Romero sudah perdana) diketahui arus perdana, filem ini didatarkan sebagai kurang ampuh. Kalau penonton perhati betul-betul, filem ini memang, separa intelektual yang memberontak terhadap kerajaan (Amerika Syarikat), mengkritik polisi-polisi kerajaan yang dilakukan pada akhir dekad ini (peperangan timur tengah terutamanya Iraq, kegagalan peperangan terorisme, kegagalan badan berkuasa Amerika, kegagalan idealisme "agresor") dan lebih-lebih lagi dengan kegunaan media perdana buat agenda kerajaan/pemegang syer. Hal ini universal, malah sedang dan akan berlaku di negara-negara lain (seperti yang sedang berlaku dengan kejatuhan ekonomi). Malah awek Jason Creed yang mula-mula mengambil inisiatif "survival" akhirnya menyedari subjek yang Creed sedang terokai ini memang penting untuk "disalurkan kepada orang ramai", lalu beliaulah yang meneruskan hasil kerja Creed ini: memaparkan kebenaran. Lebih-lebih lagi dalam zaman informasi-internet di mana masyarakat dunia mengalami "informasi sarat", lantas informasi boleh didapatkan dengan cepat, banyak dan murah (You Tube, blog), filem ini menyatakan kebenaran hanya boleh dirakam dan disiarkan. Kesimpulannya boleh didapatkan dengan melihat hasil kerja itu.




Tetapi berapa jauhkah stamina atau roh manusia itu "benar" dalam menangkap "kebenaran" yang ada di depan matanya? Di sini, Romero melakukan dekonstruksi. Dalam babak awal filem, kita akan melihat satu dokumentari si pengarah Jason Creed "mefilemkan" sebuah projek filem (mereka pelajar filem tahun akhir) seram, si wanita "damsel in distress" yang dikejar oleh simbol hantu klasik, Mummy. Jason Creed marah apabila si Mummy bergerak terlalu laju apabila "mayat hidup tidak boleh bergerak laju oleh sebab biologi sendi dan urat mereka yang mati" (kritikan menerus Romero terhadap 28 Days Later (2002) dan angkatannya). Kita nanti akan dibawa pada satu babak di mana Jason Creed menangkap "dokumentari" si perempuan yang sama (lakonan baik Amy Lalonde, simbol feminis kuat filem ini, mengkritik Jason kerana melakarkan para wanita itu lemah dan tidak berdaya menahan kerakusan lelaki) yang dikejar oleh temannya dalam sut Mummy yang sudah menjadi zombi! Di sini, babak getir, kelakar dan pathos berlaku. Kelakar dengan komen-komen Jason ("Kan saya dah kata, zombi bergerak perlahan"), getir kerana si wanita mungkin akan digigit, pathos kerana kita sedih, selampau mana Jason sudah mahu pergi untuk tujuan "kebenaran", beliau membiarkan "kamera terus menangkap" untuk mengambil "kebenaran adegan" tanpa keterlibatan Jason untuk membantu wanita itu daripada diterkam oleh zombi itu. "Kita hanya menonton, kita tidak datang menolong", kata awek Jason. Ini kebenaran yang menyakitkan tentang manusia.




Tujuan "teurs-menerus merakam" inilah yang melawan idea separa tidak logik Cloverfield. Keinginan Jason tampak jelas, ingin menyampaikan, ia perlu kerana media dan kerajaan memainkan simfoni lain (media alternatif perlu, walaupun mungkin ia menjadi peribadi kerana terdapat satu sisi kebenaran yang tidak diterjelaskan oleh kerajaan dan media perdana!). Malah Romero meneruskan pendebatan ini dengan menyatakan, sejauh mana kita perlu merakam kebenaran? Watak Jason Creed ini menarik untuk dikupaskan sebagai penanda "media alternatif" (boleh dikaji sama dengan tokoh blogger Raja Petra Kamaruddin), ke mana mereka patut pergi dengan subjek mereka dan sejauh mana mereka patut pergi, sejauh mana mereka patut rakam tentang kebenaran. Jason Creed (walaupun lakonannya langsung tidak boleh dinyatakan oleh sebab 'ketiadaan'nya depan kamera - the first eye actor) satu enigma dan langsung satu pejuang dalam hal ini. Jason, yang pada mulanya hanya seorang dokumentari, telah, seperti watak Murnau dalam Shadow of the Vampire(2000), memenangi rakaman subjek/isi lebih penting daripada tujuan kewujudan manusia itu. Buat Murnau dan Jason, penangkapan "benar" itu sudah melangkaui kepada kecantikan estetika (wanita dikejar zombi itu satu alamiah yang natural yang mesti ditangkap - seperti para dokumentar merakam sang ular meratah tikus), malah ekstrem merakam Jason, seperti Murnau telah mencapai tahap "vouyeurisme", seperti Peeping Tom(1960), bagaimana kita mahu melihat kecantikan alamiah itu berubah dengan manipulasi terhadap estetika. Inilah kebobrokan jiwa manusia dalam perakaman/perfileman - "kita menjadi mereka".




Lakonan para pelakon dalma filem ini sederhana, kadang-kala kita terasa realismenya, tetapi kadang-kdang kita terasakan ia sebuah "filem". Kuasa teknikalnya tinggi (ini satu kritikan terhadap "realisme" filem ini) malah tiada kerosakan suara langsung (semacam pascaproduksinya sempurna). Penggunaan CGInya agak menghampakan. Romero sepatutnya menggunakan hasil mahir Tom Savini dalam aspek darah dan gore(babak asid di kepala zombi boleh saja seru, tetapi tampak animatika kerana penggunaan CGI). Sekurang-kurangnya Histeria(2008) memahami kekuatan ini.




Dari segi logika penggunaan idea faux-documentary, filem ini boleh dikatakan yang terbaik pernah dibikin. Segala aspek teknikal memasuki naratif, seperti sewaktu bateri berkurangan (filem ini berlaku untuk dua hari dunia) dipaparkan. Logika "keperluan" merakam oleh watak adalah paling murni, malah berlaku pendebatan "merakam" pun oleh antara perakam (sama seperti kepentingan merakam dalam [Rec](2007)), yang mana perkara ini langsung tidak berlaku dalam Cloverfield. Perkara ini menyebabkan filem pascamoden pertama yang menyatakan pendirian-perbualannya tentang filem-filem sebegini.




Filem Romero kali ini mungkin berskala kecil, berlanskap kecil (yang terbesar ialah Land of the Dead(2007)) tetapi idea yang disampaikan merupakan idea yang besar, humanis dan sangat penting buat kegawatan kemanusiaan yang sedang berlaku sekarang, malah melengkapi tetra zombi Romero yang kita selusuri sebelum ini tentang pesimisme sosial dan politik manusia. Filem ini sememangnya satu penutup yang berwibawa jika ini filem zombi terakhir Romero, The Death of the Death. Lebih penting lagi, filem ini menyambung/menyelesaikan hal individualisme/keluarga dengan lebih dekat, melengkapi kiamat "besar-besar" buat filem zombi terdahulunya. Buat Romero, "neraka bumi" atau "kiamat" sudah pun berlaku, dan ini diakhiri dengan sangat tajam oleh Romero sendiri sebagai dialog terakhir filem ini: "Are we worth saving?"

7 comments:

Spiral said...

"See? I told ya dead things move slow"
antara line kuat romero, sinis terhadap Snyder's dawn remake, perhaps?

"Are we worth saving" (line akhir)
Sejurus imej sorang pompuan (zombie) tergantung, sungguh jaw-dropping, satu homage Night of the living dead. Yes, Diary hanya untuk romero's diehard fans macam kita. *hifive dude*

fadz said...

hi five! hehe!

glory to romero, the true king of zombie!

fadz said...

oh shoot, its Diary not Diari... :p

Muhammad said...

merci
:)
sebab sudi singgah

lerot said...

ko punya rebiu mmg gempak!

Nazim Masnawi said...

"'mayat hidup tidak boleh bergerak laju oleh sebab biologi sendi dan urat mereka yang mati' (kritikan menerus Romero terhadap 28 Days Later (2002) dan angkatannya)."

Those "things" dalam 28 Days Later bukan mayat hidup.

fadz said...

Nazim, it is a yes and a no.. and still in a way, Romero is criticizing it.