17 January 2009

Nowhere in Africa(2001) Berjiwa Belas Kasihan

nota fadz: Orang mungkin akan membunuh aku atas entri aku kali ini, melanggan sebuah filem "Yahudi". Tetapi tujuan aku memasukkan filem ini yang mana aku tonton buat keempat kali semalam bertujuan itulah, memaparkan persendaan pihak Israel/Zionis terhadap apa yang mereka bicarakan sebagai "belas kasihan" - jika mereka pernah melarikan diri tanpa negara dan kenegaraan, dan dibunuh secara beramai-ramai dalam "holocaust", mengapa mereka ingin melakukannya perbuatan yang sama terhadap bangsa lain yang tidak pernah pun menyimpan dendam terhadap mereka (jika pihak Zionis mengambil pakai sejarah menjatuhkan Palestin oleh Nabi Daud terhadap si gergasi Palestin, Goliath, mereka tersasar bahawa sejarah juga sudah menampilkan Palestin sudah bersedia tinggal sebelah-menyebelah dengan mereka sejak zaman 12 Raja, Pendudukan Rom, Messiah Isa, Pembukaan kota oleh Umar al-Khattab r.a., Penjajahan Franks dan akhirnya Pembukaan kota oleh Salahuddin al-Ayubi). Keturunan mereka pernah menampilkan kesedaran belas kasihan ini, mengapa mereka perlu mengikut nafsu mereka membelakangi kesedaran ini atas nama "Anak Tuhan"?



Pada babak terakhir filem ini, tahun 1946, keluarga pelarian Yahudi, Redlich dalam perjalanan keretapi dari Kenya untuk kembali ke Mesir sebelum mereka dibawa kembali ke tanah yang pernah membuang mereka, Jerman. Jettel Redlich (lakonan memberangsangkan oleh Juliane Köhler) sedang memerhati dengan rindu dan nostalgia akan tanah Kenya buat kali terakhir, sebelum dia meninggalkan tanah yang pernah berbudi kepadanya, dan dia kepada tanah itu. Seorang wanita "negro" di luar keretapi sedang menjaja sesikat pisangnya kepada para penumpang keretapi. Tiada sesiapa yang mempedulikannya. Hanya Jettel, yang sudah boleh berbahasa Swahili. Jettel berkata dengan perempuan itu, "Saya mahu saja membeli pisangmu kerana lapar tetapi saya sepapa seekor monyet sekarang." Si perempuan itu hanya ketawa, lalu menghulurkan sebiji pisang kepada Jettel, "Buat si monyet yang lapar." Mereka berdua tersentuh tangan, Jettel memegang tangan perempuan itu, tidak mahu lepas apabila pisang itu dihulur ke muka tangannya. Mereka berdua tersenyum memahami, Jettel akan merindui Afrika, Jettel tidak akan kembali ke situ dna oleh sebab itu, erat sentuhan itu perlu supaya Jettel ingat akan tanah yang berbudi itu. Keretapi pun lalu pergi. Jettel, meninggalkan segala sejarah, rintih dan misteri Afrika di belakang kepalanya.
Babak itu sudah cukup puitis, walaupun pendek, menghibakan mesej belas kasihan yang dipaparkan dalam epik besar ini. Ianya sebuah paparan sarwajagat tentang belas kasihan manusia dan pemahaman silang budaya yang tertinggi dalam sebuah filem.
Ini sebuah antara filem epik yang berjaya pada abad ke-21. Memenangi filem asing terbaik Academy Awards 2002 (yang boleh saja didiskriminasikan sebagai sebuah filem bersimpati Yahudi) serta naib juara pada KLIFF yang pertama di Malaysia.
Nowhere in Africa boleh sahaja tersasar kepada dua bentuk filem epik yang buruk (yang, maaf kata, telah dibikin oleh Australia(2008) bikinan Baz Luhrmann walaupun tidak terlalu buruk) jika pengarahnya, Caroline Link tidak berjaga-jaga, dan oleh sebab kekuatan skrip Stefanie Zwig dan Caroline, hal ini tidak berlaku. Pertamanya, filem ini boleh sahaja meluncur menjadi sebuah dokumentari National Geographic buat kanak-kanak jika Caroline tetap mahu fokus memaparkan "misterius" Afrika dan budayanya. Kedua, filem ini juga boleh meluncur teruk ke klise melodrama (seperti Pearl Habour, Australia, Cold Mountain, Titanic) jika Caroline menekankan drama intrig antara anak-beranak keluarga Redlich. Syukur, Link tidak setulu itu, memahami drama perlu menyelusur dengan keseimbangan antara "misteri", lanskap dan drama manusia, di mana setiapnya memberi kaitan dan akibat antara satu sama lain.
Link lebih mementingkan menangkap tempo-tempo drama manusia dalam kebiasaan (mundane life) walaupun keadaan yang dihadapi oleh keluarga Yahudi itu luar biasa (extraordianry). Dari sini, dengan banyak penggunaan metafora/anafora alam Afrika, dan bentuk budaya "misteri" dan kadang-kala janggal buat Jettel dan suaminya Walter (lakonan emosional Merab Ninidze), Link menghasilkan "puisi" dengan suntingan dan pergerakan cerita yang baik. Puisinya lebih mudah difahami daripada The English Patient(1997) oleh sebab pergerakan cerita yang kita tonton itu diceritakan oleh anak Walter dan Jettel, Regina (lakonan teliti dan terjaga Karoline Eckertz sewaktu remaja [aku jatuh cinta kepadanya] dan Lea Kurka sewaktu kecil). Kita menelusuri cerita ini dengan mata Regina dari Jerman, hingga ke Kenya, dan bagaimana susah hidup mereka dan bagaimana mereka belajar menyintai sebuah negara yang asing buat mereka. Sememangnya garapan-garapan ini yang kaya dengan latar cantik Afrika dan penjagaan tempo buat pelakon secara mikro dan keadaan peristiwa besar secara makro yang memberi kesan terhadap pelakon-pelakonnya ialah kejayaan Link, yang mengimbanginya setiap satu tanpa kompleksiti cerita dan perwatakan. Filem ini sebuah filem setaraf epik gaya David Lean.
Filem ini memang penting buat aku untuk dua perkara. Seperti keluarga Redlich, aku dipaksa tinggal di sebuah tempat asing yang seakan menekanku. Nowhere memaparkan bagaimana hal ini "biasa" dan menuntut pemahaman buat aku serta negeri itu. Perasaan keterasingan itu dirasai (seperti Jettel) tetapi perlu difahami tentang kemisterisuan itu untuk mencapai satu pemahaman tentang kewujudan aku di sini. Maka nanti, misteri itu hilang, memasuki aku dan kewujudan aku nampak lebih patut terhadap negeri itu. Ini rumusan sebenar erti filem ini dengan idea diaspora Yahudi yang mencari "negara" mereka sendiri.
Perkara kedua sudah tentu tentang hal Gaza sekarang, memaparkan didaktisme bangsa Yahudi untuk melihat kembali persoalan perjuangan untuk negara Israel. Is is worth it?
Sememangnya, filem ini juga berunsur "pelajaran" (oleh sebab itu aku nyatakan filem ini boleh saja meringkuk ke hala dokumentari) yang disalurkan dengan persilangan budaya. Ini sebenarnya satu "pelajaran moral" buat manusia, khususnya bangsa Yahudi akan penghormatan tanah dan pengisian identiti bangsa. Di dalam filem ini, "ketidaktentuan" dan "perasaan di antara" diletakkan pada tempat yang sesuai. Kita memahami perasaan survival dalam Walter, kehilangan identiti dalam Jettel dan penemuan hidup dalam Regina. Semua ini ditandai dengan pemakaian baju sejuk merah yang akan dipakai oleh para watak dalam masa-masa tertentu, pertama Walter dalam perjuangan "untuk hidup"nya (babak meja makan), kemudian Jettel yang baru memahami "identiti"nya dalam negara asing itu (babak belajar hidup seorang), dan akhirnya Regina yang memahami "hidup" itu sebenarnya sementara (babak akhir meninggalkan tukang masak mereka). Yang penting di sini ialah pemerhatian yang dibuat oleh tiga watak utama ini terhadap persekitaran "asing" mereka, budaya dan latar Afrika terhadap Yahudi-Jerman mereka.
Filem ini juga sebuah hasil pascakolonial yang kukuh. Meletakkan wajah terhadap watak "asing", malah watak utama bukan penjajah, tetapi orang terbuang. Penghormatan terhadap orang kulit hitam (walaupun pelakon pembantu ) diberikan sepenuhnya. Jettel ditegur "buruk" oleh Walter bila mempersendakan tukang masaknya, "Kamu bersifat seperti "mereka" yang menghalau kita dari Jerman."
Persoalan-persoalan inilah yang membuatkan filem ini sangat relevan sekarang. Sudah hilangkah pemahaman bangsa Yahudi untuk memahami? Malah, Palestin itu tidak "asing" buat mereka, maka kenapa dengan keperluan menegakkan identiti bangsa yang keterlaluan terhadap tanah yang sama-sama boleh dikongsi? Persoalan ini sudah disampaikan dalam filem ini, kemungkinan sejarah masih tidak boleh mengajar sesetengah manusia.

4 comments:

Miss Brat said...

filem yahudi? so what? filem adalah filem, when it comes to filem, takde kategori samada ianya filem buatan 'yahudi' or islam or anything. Filem itu neutral :) nice review anyway dear :)

GAIA said...

Antara karya yang paling aku gemari suatu ketika dahulu...eh Fadz, diorang tak potong langsung masa show kat mid valley dulu...membacanya kembali, berikan satu pemahaman yg berbeza....dan aku suka bagaimana ko melihat kesamaan keluarga dlm filem ini dengan situasi engko skarang....so bila nak pakai baju merah ni :D

Nazim Masnawi said...

"Orang mungkin akan membunuh aku atas entri aku kali ini, melanggan sebuah filem 'Yahudi'."

What the hell?!??

fadz said...

bratt!!!!

gaia, sebenarnya ada potong, ive seen the full version,more steamy sex scenes