29 July 2009

Jomlah CIUM (Cari Identiti Untuk Malaysia) (2009)


Pertama sekali, sebelum aku mengulas lanjut, aku perlu mengucapkan tahniah kepada pengarah seperti M. Subash yang masih berani meneruskan penghasilan filem-filem "kecil" sebegini. Pengarah muda seperti M. Subash sememangnya patut diperhatikan selepas filem sulungnya keluar, Pensil(2008) yang memenangi Anugerah Khas Juri pada PFM-21 serta mendapat nominasi pengarah harapan serta skrip terbaik. Ini merupakan satu semangat segar. Malah sememangnya M. Subash adalah antara pembikin filem yang ditunggu-tunggu oleh peminat filem selepas kemenangannya dan pembawaannya yang lain daripada bentuk perdana filem-filem tempatan. Aku juga amat berterima kasih kepada GSC yang mewujudkan International Screenings kepada filem-filem luar, tempatan, digital dan bebas untuk berentap. Walaupun ya, sekali lagi dengan rasa gundah, aku SEORANG pada waktu tayangan filem ini, aku tidaklah merasa rugi malah terhibur akan paparan filem ini (sekurang-kurangnya ia tidak mengada-adakan seperti filem-filem yang kita sedia maklum).

Sebelum tayangan juga, dipertontonkan dua gezet yang akan keluar, Jin Notti yang buat aku tentu akan dirangkul oleh kebanyakan penonton Melayu tetapi tentu akan diratapi oleh kebanyakan peminat filem. Serius, inilah pertama kali aku menonton gezet filem dan aku rasa jelek. Black Maria zaman 90-an pun kalah. Kedua, sebuah filem Senario terbaru yang mana aku terhibur dengan kehadiran Mek dengan gaya ala-ala Siam sesatnya (dalam sebuah babak, Mek ditegur kerana bertutur Siam, "Ini filem Melayu..") yang mana seharusnya diperah secepat mungkin dalam dunia kapitalis Melayu ni sebelum Mek menjadi klise dan diperlakonkan buat watak yang sama sepanjang zaman, nauzubillah.

Filem Jomlah CIUM secara awalnya lagi apabila kita melihat judulnya, "comel". Ia ada resepi untuk "menggertak" kita di mana pada masa yang sama ingin mententeramkan kita terhadap "makna sebenar" yang ingin disampaikan. Ini disampaikan dengan benar tanpa selindung pada babak Sami (lakonan M. Subash) bercakap dengan Sister (Kencana Devi) tentang penghasilan buku Jomlah CIUM oleh Sami.

Di sinilah idea filem ini bergerak. Ceritanya terjalin kepada tiga, masing-masing mewakili tiga agama "besar" anutan masyarakat Malaysia, Islam, Buddha (yang datang dari warisan atau evolusi Hindu, seperti mana Janaisme) serta Nasrani. Setiap agama ini diwakili oleh tiga tokoh besar yang menyumbangkan hidup mereka untuk menanamkan kasih-sayang dan cinta kepada masyarakat, dengan cara-cara mereka yang tersendiri, yang lebih berbentuk "intimasi" dan "di celah lorong" daripada gaya komersial dan syarahan besar yang selalu kita perhatikan berlaku dalam masyarakat kita, baik dalam mana-mana agama sekali pun. Cerita bermula apabila tiga tokoh ini menemui seseorang yang "sesat" dan perlu dibantu. Maka, tokoh Islam dalam filem ini, Ustaz (lakonan sangat realis Ustaz Ibrahim) menyedari akan hakikat "generasi muda yang terbuang" lalu ingin membina sebuah surau sebagai "safe heaven" buat anak-anak yang terbiar. Di sini, Sami dan Sister tadi menyedari, mereka perlu bersama-sama membantu ustaz membina surau ini.

Ia kedengaran utopia bukan? Sememangnya inilah tujuan filem ini dibikin. Atas satu impian, yang secara alamiahnya, langsung tidak malu akan didaktismenya dan pendakawahannya. Aku tidak tahu, tetapi separuh daripada jiwa aku menyanggupi moral/ajaran "suapan ke dalam mulut" yang dihantar oleh Subash, atas kerana beberapa sebab tertentu:

1. Watak yang dicipta, walaupun tidak semestinya bulat sepenuhnya dan dilakonkan dengan baik. Ustaz Ibrahim contohnya sememangnya dalam "hidup sebenar"nya merupakan seorang ustaz(!) yang banyak membantu orang, malah merupakan mentor rohani terhadap M. Subash (lihat artikel ini), maka perwatakan yang dibawa membawa satu kejujuran yang menggerunkan. Tidak pernah aku menonton satu lakonan yang sememangnya susah untuk dikategorikan, dan paling mengejutkan, Ustaz ini buta(!) - mempersendakan idealisme peribahasa "seperti buta mengajar orang berjalan" yang mana Ustaz buta ini benar-benar mengajar manusia-manusia yang disentuhnya untuk berjalan! Maka didaktik yang disampaikan oleh beliau dirasai perlu dan benar dalam konteks sebuah filem. Malah kita seakan tidak lagi "menonton" sebuah filem fiksyen, dan bukan pun sebuah dokumentari tetapi sesuatu yang memang "realiti". Lihat paparan babak awal di mana dialog antara Ustaz itu dengan pesakit urutnya yang mana dialognya bergerak seperti orang di luar konteks filem bercakap. Dan hal ini "berjaya" diangkat oleh Subash, menandingi percubaan kaedah "dialog realis" Micheal Cimono dalam Heaven's Gate. Resepinya? Ambil orang sebenar dan bukan pelakon profesional!

Watak Sami serta Sister juga merupakan watak-watak "mencabar" yang menandingi stereotaip yang biasa kita fahami akan orang agama, lebih-lebih daripada perspektif Melayu terhadap bukan Melayu. Sami (walaupun hal ini satu budaya biasa buat orang India) memaparkan satu plural agama yang tinggi, seorang penganut Buddha yang boleh membantu ibunya membuat upacara sembahyang kepada dewa Hindu! Kemudian bagaimana "terbuka"nya Sister memaklumkan kepada anak didiknya tentang makna sabit di bendera Malaysia tanpa prejudis serta pengajaran tarian Hindu untuk penyembahan dewa Krishna (dengan dialog, "Ini tarian buat Tuhan 'kita' ...")kepada seorang anak kecil yang mahu belajar menari. Sememangnya hal ini sangat berani dan kiranya radikal dijalankan oleh Subash, tetapi disampaikan dengan tentang dan tanpa agenda "busuk", hanya untuk menanamkan "cinta" dan "semangat" buat generasi muda mengenal identiti negaranya. Malah ada sebuah babak yang mengejutkan aku, apabila Sister tanpa selindung berkata dengan lembut kepada seorang anak gelendengan (tidak bersekolah) bahawa, "Nak belajar bahasa Melayu ... supaya dapat mengira"! Dan ini dibikin sebelum PPSMI dimansuhkan.

2. Beberapa babak yang sangat menyentuh perasaan juga merupakan kekuatan Subash, dan ini kemungkinan Subash ambil daripada pemahaman beliau terhadap pengarah India Tagore tersohor Satyajit Ray. Tiga antara yang membuat aku menangis seketika adalah sewaktu Ustaz memeluk seorang remaja ketagih dadah yang sedang tidak keruan dengan mengusapnya dengan bacaan Qursi, kemudian babak Sami memberi makan kepada peminta sedekah lalu mencium kepala peminta sedekah itu, dan satu babak di mana si abang (duduk setinggan) yang mendodoikan adiknya untuk tidur dengan memberi alasan "nanti abang akan sediakan makanan" yang kita tahu dia tidak ada duit atau bahan untuk memasak pun. Hal-hal kemanusiaan ini amat menggetarkan. Tetapi sejauh manakah Subash berjaya mencapainya?

Secara pengkaedahan, ada beberapa perkara yang agak menggusarkan tentang struktur filem ini. Dan ini satu kerugian kerana idealisme (walaupun selalunya aku membenci filem "dakwah" sebegini) yang ingin disampaikan sangat agung dna murni, tetapi tidak dapat disampaikan secara sempurna. Kemungkinan atas bajet yang sangat rendah dalam eksekusi bikinan filem ini. Awal-awal lagi kita nampak kesedaran Subash dalam cuba memberi suara, gaya dan keseimbangan, tetapi ia hancur apabila memperkenalkan watak Sami secara "mandala" (berpusing tidak tentu hala) dan Sister yang terlalu senang (tidak ada plot, tidak ada motif). Malah secara tiba-tiba Sami memaklumkan kepada seorang kawannya tentang masanya sudah tidka cukup lagi dan dia perlu secepat mungkin "menyebarkan kasih-sayang kepada umat manusia". Ada bentuk dan cara yang lebih baik yang boleh dibuat oleh Subash dengan mainan visual, objek dan penelitian suntingan tetapi Subash tidak mengadakannya. Ia cuba menjadi revolusioner tetapi terjerat akan pembentukan penghantaran mesejnya sendiri.

Ini menyebabkan filem ini semacam satu filem menyampaikan propaganda kerajaan yang dibuat untuk tayangan TV Pendidikan anak-anak sekolah menengah tentang "interfaith" dan kepelbagaian masyarakat majmuk (dengan pewarnaan bendera Malaysia, Islam sebagai agama rasmi, keharmoniaan perlbagai kaum) dan sudah tentu, 1 Malaysia. Di tambah pula dengan subplot-subplot yang terlalu cepat, malah sangat kita mahu ikuti yang dicantas secara cepat dengan sengaja (tentang budak penagih dadah, ibu yang sakit, anak gelendengan yang baru hendak belajar membaca). Aku ingin benar menyukainya dan oleh sebab hal-hal yang dinyatakan, ia mengurangkan sedikit penghargaan aku terhadap filem ini. Pun begitu, penggunaan lagu yang mententeramkan jiwa seperti "Ya zal jalal li wal ikram" serta "Je je raaam" sebelah-menyebelah memberi sedikit rendisi bahawa Malaysia, dalam kontesk filem ini boleh bersatu jika ia mahu, walaupun pelbagai agama.
Filem ditangkap dengan kamera digital. Garisan putih pada awal pembukan dan pada setiap "fade out" amat kelihatan.

10 comments:

INDRA QIRANA said...

wah commentary yang sgt detail, syabas!

ikatkata said...

Nak tengoklah.

fadz said...

slm, indra, tk:)

ikatkata... silalah :)

Ikhares said...

menunggu tibanya masa terluang untuk menonton filem ini.

faris said...

cam best la fadz.. i saw pensil.. not bad for a debut work

hafizanmohd said...

film ni interesting sbb different, jarang dapat tgk hasil yang macam ni, but kadang2 mcm tgk dokumentari malah juga Al-kuliyyah. fade to black is so student project, xkemas sangat. apapun semangt subash aku tabik. thumbs up!

hafizanmohd said...

film ni interesting sbb different, jarang dapat tgk hasil yang macam ni, but kadang2 mcm tgk dokumentari malah juga Al-kuliyyah. fade to black is so student project, xkemas sangat. apapun semangt subash aku tabik. thumbs up!

@LiYaNNuaR said...

nice info.... teruja pula rasanya..

fadz said...

ikhares, dah tgk? tak rebiu pun..

faris, errrr, pensil was def better

hafizan, ditto..

wah, aku kutuk pun ko suka ya aliya, cayalah..

Anonymous said...

absolutely rubbish