27 July 2009

Kawan, Kakak dan Bonda - Al-Fatihah

Pada 3 Syaaban 1430 bersamaan 25 Julai 2009 hari Sabtu pukul 11:25, Yasmin Ahmad meninggalkan kita.
Malam itu, saya baru kembali menonton filem Harry Potter (yang ingin saya tulis sedikit ulasan) bersama adik.
Saya mendapat telefon daripada Ajami.
Ajami diam dulu, susah mahu menyampaikan. Ada jeda yang panjang antara kita. Tapi saya sudah dapat jangka, "Kak Min dah takde ya?"
Ajami: "Ko bukak je lah news, aku susah nak cakap, aku susah nak cakap sekarang."
Saya sudah tidak keruan. Orang pertama saya maklumkan ialah adik saya. Kami minum dulu di sebuah kedai mamak (tempat biasa arwah suka di PJ Seksyen 17). Saya sms Amir Muhammad, "Kak min dah pergi?" Amir jawab dengan pintas: "Ya."
Saya mohon alamat pengebumian, solat jenazah, dan masa. Saya mesti pergi. Saya tak sempat menemuinya semenjak saya kembali ke Kuala Lumpur. Kak Min janji untuk ke Kelantan (tapi yang datang ialah Suhaimi Baba dan Amir Muhammad). Saya pecah. Adik saya pegang saya, berkata, "Kak Min tentu tak mahu lihat abang Eli macam ni. Biar dia pergi dengan aman dan senyuman, dengan tenang, biar roh dia tidak terganggu dengan tangisan." Saya menahan sebak. Saya sedut air mata saya kembali.
Malam itu saya bacakan Yaasin dan beberapa surah untuk arwah. Saya solat jenazah ghaib. Saya mengingat kembali gelak ketawa arwah. Mencubit pipi saya, menjelir lidahnya kepada saya dan bagaimana dia mengatakan, "You ni anak Cina lah," melihat mata "sepet" saya. Bagaimana mula-mula saya ketemu beliau di Leo Burnett kerana beliau ingin menayangkan filem Sepet buat saya, dipertemukan oleh Gaia (Abdul Qadir). Setahun sebelum itu, saya menonton filem arwah, Rabun di DBP bersama-sama Azwan Ismail. Saya menulis ulasan tentang Rabun di dalam blog awal saya (sebelum blog ini). Selepas itu, saya enam bulan di Oxford UK. Gaia, seorang peminat (sekarang kawan sejati) blog saya telah memaklumkan tulisan ulasan Rebun kepada arwah. Arwah mahu sangat bertemu dengan saya. Sekembalinya saya ke Malaysia, Gaia terus mengheret saya ke Leo Burnett. Dan di situ saya ketemu Kak Min, mencium tangannya. Dengan mengejutkan, Kak Min mencium tangan saya kembali.
Selepas perjumpaan itu, saya maklumkan kepada ibu saya, "Ma, kalau mama mahu kenal dengan seseorang yang memahami sufi. Yasmin Ahmad is a walking, talking and a living sufi."
Kami menjadi begitu rapat, dari seorang kawan, kepada seorang kakak dan akhirnya seorang ibu. Saya tidak tamak dalam hal ini, anak-anak Fatimah Abu Bakar, Syafie Naswip, Jaclyn Victor, Mahesh, dan semua anak muda yang mengenalinya menganggapnya seperti ibu.
Kami ada menonton The Babarian Invasion di GSC Mid Valley yang amat saya benci. Kami pernah pun berbalah tentang itu, tetapi itulah, saya punya pendapat saya dan arwah punya pendapatnya sendiri. Di akhir masa kami kembali duduk semeja dan minum teh tarik dan makan nasi lemak.

Arwah juga dengan senang hati telah memberi ruang untuk datang ke Festival Filem Mini yang saya adakan di alma matter saya (berserta Pak Hassan Muthalib dan Afdlin Shauki). Arwah menegur saya, "Kenapa tak pakai baju Melayu? I suka kalau u pakai baju Melayu, baru grand."
Pada waktu-waktu gelap saya di Kelantan (rumah dipecah masuk, hilang laptop peribadi dengan segala projek-projek tulisan, desakan kerja), arwahlah yang menelefon dan memberi kata-kata perangsang. Arwah berjanji mahu datang. Dalam hari-hari terakhir di Kelantan, saya mempunyai sebuah projek penyusunan semula ulasan-ulasan filem saya kepada sebuah buku. Permintaan penerbit agar Yasmin Ahmad menulis satu ulasan tentang ulasan-ulasan filem saya. Saya memaklumkan kepada arwah, arwah terus bersetuju tanpa berfikir panjang tetapi masih merasakan dirinya "tidak cukup ilmu" untuk mengulas "ulasan pintar" saya. Saya sendiri maklumkan, saya sejahil sepertinya atau teruk lagi. Arwah menulis, satu ulasan yang saya akan sematkan bila-bila. Arwah menambah dalam e-melnya tentang ulasan itu: I hope it's enough. I meant what I wrote. Alhamdulillah.
Saya sebenarnya tidak mahu menulis lagi. Sekurang-kurangnya untuk sebulan bagi mengingati pemergian arwah. Tetapi adik saya memberi dorongan. Dan saya teringat filem Talentime, secara ironinya filem terakhir arwah "tentang menerima kematian" (seironinya malam saya menonton Harry Potter, Dumbledore mati, rasa kehilangan Harry itu seakan ditranskripkan kepada realiti kita bila arwah hilang, juga ironinya bila arwah dapat ketemu Tuhan dahulu mendahului bonda Syafie dalam filem itu, dan lebih ironi bila melihat pembawa wataknya, Azean ada di situ melihat pengebumian arwah). Dalam Talentime, Syafie yang kehilangan bondanya (Azean Irdawaty) telah datang juga ke malam persembahan, dengan baju Melayu dan ketayap putih, mendendangkan lagu "I go" buat bondanya yang sudah pergi. Sahabat Cinanya memahami lalu mengikut serta dengan getiran insturmennya. Kemudian mereka berpeluk. Syafie menangis. Point di situ jelas, seperti Kak Min berkata-kata pada saya, Ya saya sudah pergi, tapi hidup mesti diteruskan, buat apa yang awak buat yang terbaik, dan jalankan dengan sebaiknya, dan kemudian berehatlah di bahu seorang kawan. Kak Min juga menghantar satu mesej yang jelas, sudah masanya, kulit antara kita bangsa Malaysia, usah diperbandingkan, dan paling penting yang tidak ada buat orang lain, ialah CINTA sesama kita.
Maka kami datang pada pagi itu atas nama cinta. Pagi 26 Julai, saya berpakaian putih dengan warna-warni. Saya tidak mahu berpakaian gelap dan hitam buat Kak Min. Kekure, Ted dan Amir Muhammad memaklumkan tentang masa dan tempat. Pagi itu hujan renyai-renyai, tanda barakah buat Islam. Saya mengikut kawan Kekure, Aliyah ke Masjid Abu Bakar as-Siddiq, lalu kemudian ke Tanah Perkuburan Islam USJ21. Kami solat jenazah untuk beliau (lebih 200 jemaah). Azwan Ismail pun ada di situ, mengingatkan kepada saya suka duka saya bersama Kak Min. Azwan mengatakan beliau datang ke situ sebagai mengingati filem-filem Petronas arwah. Saya memegang bahu Azwan, "Azwan, we come here for her sake. And only that." Cina, India, Mat Salleh masing-masing berpeluk kawan Melayu, menangis. Ada juga yang bertanya apa yang mereka boleh buat untuk bantu. Sampai ada yang bersemangat ingin mengangkat bandusa arwah masuk ke van membawa jenazah. Ramai sangat tangan yang mengusung ke van, ramai sangat yang menyayanginya.
Kekure, Ted dan Azwan ada membincangkan tentang sensasi M-Star Online menulis tentang "dua nama" arwah. Seorang jiran arwah (yang juga kawan baik abang saya) sendiri menggunakan kata ganti nama Inggeris kedua-duanya. Saya tidak peduli semua itu. Buat saya, arwah ialah bonda saya dan cukup di situ. Azwan sendiri memaklumkan, "Yang mereka patut tuliskan adalah sumbangan arwah dalam kemanusiaan." Saya sedar itu. Allah hanya mengambil mereka yang paling disayangi-Nya dengan cepat dan tiba-tiba. Oleh sebab itu mereka yang berdosa, atas kasih-sayang Allah, Allah memberi masa buat mereka hidup lama, supaya mereka bertaubat dan memohon kesalahan yang mereka lakukan terhadap manusia yang dianiaya sebelum terlambat. Saya percaya, Kak Min sangat disayangi Allah.
Kami bergerak. Van jenazah di belakang kami. Satu turutan kereta yang panjang mengikuti van jenazah. Saya teringatkan P. Ramlee. Saya teringatkan Sudirman. Dalam sesak di jalan raya itu, sebuah van soya bean "tersesat" di sebelah kami. Saya memandang van jenazah, "Tengok Aliyah, Kak Min tentu ketawa, apek jual soya pun ikut sama."
Saya adalah antara manusia bernasib baik kerana dapat duduk depan di kubur arwah sewaktu talkin dijalankan. Saya dapat saksikan kuasa kasih-sayang Abdullah Leong yang tinggi terhadap arwah, serta ayah ibunya dan keluarganya yang terdekat. Walaupun panas pada tengah hari pengebumian itu, tiada satu pun daripada kami, baik Islam atau bukan Islam berganjak langsung. Dalam jiwa kami sejuk kerana semacam beliau masih di situ memerhati dan bersama-sama dengan kami. Panas di kepala tak terasa langsung. Kami hanya mahukan arwah pergi dengan sentosa dan gembira dengan apa yang beliau sudah curahkan selama ini. Selepas selesai membaca tahlil pendek dan doa, serta penghormatan terakhir keluarga dengan arwah, "anak-anak" arwah datang menyambung membaca Yaasin dan tahlil. Fatihah, zikir, penghormatan dan kasih-sayang tidak putus-putus tengah hari itu. Tidak ada satu pun perasaan sakit hati. Hanya cinta dan kehilangan.
Mulanya, saya merasakan seakan satu "era filem" yang hilang setelah pemergiannya. Azwan berkata pada pagi itu, perginya satu Yasmin Ahmad, datang 10 Yasmin Ahmad yang lain. Saya tersenyum. Saya bermohon "era filem" itu sebenarnya baru hendak bermula. Saya berharap bukan sahaja filem-filem "dari jiwa" yang kita akan pertontonkan pada masa hadapan, tetapi manusia sejiwa Yasmin Ahmad akan ramai di kalangan kita masa hadapan. Saya bermohon sangat itu.
Kawan, kakak, bondaku Yasmin Ahmad. Ketahuilah, kau tidak pernah pergi walaupun secara jasmani kau sudah tertanam enam kaki di bumi. Cintamu akan kami teruskan, rasamu akan kami sampaikan dan rendah dirimu akan kami kerjakan. Semoga Allah menjaga dan merahmatimu di alam-Nya. Ketahuilah, dirimu disayangi oleh-Nya dan oleh sebab itu diperpinjamkan kepada kami untuk seketika. Kerana cinta sebenarmu sebetul-betulnya dengan kekasihmu Allah Subhanawataala dan oleh sebab itu Dia memanggilmu kembali buat-Nya. Itulah cinta sebenarmu, dan Allah sudah menjawab cintamu itu dengan pemanggilan-Nya kepada-Nya. Sejahteralah wahai bonda di sebelah-Nya, sejahteralah dengan Rahman dan Rahim. Sejahteralah dengan cinta. Semoga kami di sini dapat bertemu dengan bonda lagi di sebelah pelangi bila tiba waktunya nanti.
Al-Fatihah...

32 comments:

maberik said...

al-fatihah...

malang aku diluar malaysia,aku tak dapat pergi pengebumiannya.

she was a great filmmaker. but most importantly, she was a great friend.

Ajami Hashim said...

film imitate life, and sometimes life imitate film

arwah, kau dan aku semacam kedua-duanya

dan aku sangat kehilangan sebahagian dari itu

:-(

p/s: sori coz aku tak sanggup dtg awal pagi semlm.

sinaganaga said...

Goodbye!

fadz said...

salam maberik, yes, she was dear to us all..

jami, faham..

naga, ya, farewell..

Coffeeholic said...

Al-Fatihah.
fadz, tabah.
kita mungkin hilang jasad arwah, tapi kita perlu terus pikul semangat arwah.

RIP kak min.Al-Fatihah....

hafizanmohd said...

kasih tak mungkin kembali musnahlah harapan-ku...

Aidi Rahimi Ibrahim said...

..:-( berdoa..

zulazahari said...

Al-Fatihah buat rohnya....

fiebie said...

al-fatihah

Azuan_Zameer @ RashRozhams said...

Assalamualaikum,

Hidup...Mati

Wasalam.

maggot said...

It's amazing walau tak serapat mana, jiwa-jiwa orang yang terkesan dengan arwah terasa berlubang di hati mereka untuk jangka masa yang lama. aku separa lega separa optimistik ada anggapan 10 Yasmin Ahmad akan hadir nanti. tapi aku akan berharap dan berdoa yang terbaik-terbaik saja untuk negara ni dan kita semua.

Ainin Naufal said...

Alfatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat.

GAIA said...

entri ni buat aku menangis. Aku gembira dapat kenalkan kau pada orang yg paling bermakna buat kau....

AL Fatihah....

diana said...

My deepest condolences on the loss of your 'friend, sister and mother'...

Al-Fatihah...

p/s: Never thought Talentime would be Yasmin's first and last film we ever watched together...

fadz said...

kopi, tabah..

hafizan.. ya

aidi, itu saja kudrat yg kita ada

zul, al-fatihah

fiebie, al-fatihah

azuan, ya

maggot, ya

ainin, ya

diana, regretably ya

Anonymous said...

salam, alfatihah

Arina said...

YASMIN, WE ALL STILL MISS U! U WENT TOO SOON!!

KM said...

Fadz, tulisan kau, aduhhhh.. buat aku sedu.

Anonymous said...

yang pergi sudah pergi, takkan dtg lagi..

yk said...

have peace in heaven yasmin..

fadz said...

arina, sama ..

Km, alhamdulillah, al-fatihah..

Melody said...

tulisan ini terasa sangat sincere di hati saya.

al-fatihah.

fadz said...

salam melody, al-fatihah

lim said...

We will always remember u, the great film maker with pure heart. So sad that u leave us so early. Hope our dream of 1 malaysia will be achieved soon.

fadz said...

slm Lim, yes, always :)

Anonymous said...

fadz, i feel ur lost..

amirahsyuhada said...

terima kasih fadz kerana menulis entri ini. Terima kasih.

+Penthius+ said...

+"Ya saya sudah pergi, tapi hidup mesti diteruskan, buat apa yang awak buat yang terbaik, dan jalankan dengan sebaiknya, dan kemudian berehatlah di bahu seorang kawan."
+I thought so too, more importantly, sth she has always stress on in her films, be in sepet, mukhsin, talentime or muallaf, which we will nvr get 2 c unfortunately, it is in forgiving that we are forgiven...

D'intaglio said...

Segenggam doa tiada henti untuk insan yang dipanggil ilahi.

semoga tabah.

fadz said...

anon, its for all of us..

amirah, bacakan fatihah buat Kak Min

Penthius, tq..

D, thx dearest..

ted said...

aku pun sengaja taknak pakai baju hitam atau gelap attending her funeral for the same reason.

lagipun aku rasa itu hanyalah pengaruh budaya orang putih sebenarnya.

fadz said...

ted, terima kasih..