12 August 2009

Sebuah Festival Kecil Tapi Besar dan Sebuah Festival Besar Tapi Kecil

Pada 8 Ogos 2009, hari terakhir aku di Yogyakarta, pada hari keputusan filem-filem yang bertanding buat Filem Festival Jogja-NETPAC Asian Ke-4 diumumkan, aku berleter kepada Azharr Rudin (sutradara Punggok Rindukan Bulan(2008) yang mana filemnya terpilih di antara nominasi enam filem berentap untuk piala filem terbaik) dan Paolo Bertolin (panitia Venice International Film Festival yang memilih filem asia tenggara dan Korea buat festival filem itu, juga seorang pengkritik filem tersohor) tentang senarai nominasi Festival Filem Malaysia (FFM) yang telah memperlekehkan beberapa filem sambil mencanangkan beberapa filem yang sedia ada "mengarut" untuk disenarai pendekkan. Pendek kata, senarai nominasi FFM buat 2009 adalah paling terburuk yang pernah aku perhatikan dalam sejarah FFM.

Azharr hanya tersenyum. Jawapan Paolo lebih pedas, "Kenapa anda mahu mengomel terhadap sebuah festival filem yang tidak relevan pun untuk anda?"

Aku agak terganggu dengan jawapan "laser" Paolo itu.

Pada hari itu, filem Agrarian Utopia dari Thailand (sutd. Uruphong Raksasad) merangkul filem terbaik utama dengan piala Hanoman Emas, filem Slingshot Hip Hop dari Palestin (sutd. Jackie Salloum) merangkul filem terbaik kedua dengan piala Hanoman Perak, filem The Goat dari Filipina (sutd. Adolfo Alix Jr.) memenangi Geber Award (pilihan komuniti anak muda filem Indonesia), filem pendek A La Folie dari Singapura (sutd. Sanif Olek) memenangi Blencong Award (buat filem pendek daripada komuniti pembikin filem pendek Indonesia) dan filem Agrarian Utopia merangkul NETPAC award. Anugerah Penghargaan telah diberikan kepada Chritine Hakim untuk jasa dan upayanya mengangkat dan mengerjakan filem Indonesia yang berkualiti tinggi, serta Anugerah Khas buat Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebagai memperingati arwah dalam melestarikan masalah keharmonian kaum di dalam sinemanya.

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, aku mendapat berita bahawa Filem Papadom (2009) dan Talentime (2009) menang besar, Popodom berjaya merangkul filem terbaik. Hal ini tidak merunsingkan aku oleh sebab aku belum menonton Popodom lagi.

Terus-terang, festival filem Yogyakarta bukanlah sebuah festival yang besar, malah saluran bajetnya juga agak terhad, walaupun dibelakangi kementerian kebudayaan serta beberapa penaja tempatan dan antarabangsa. Para peserta sendiri perlu membayar tiket terbang untuk ke sana. Jadi bagaimana, secara terus-terusan festival filem ini menjadi "pusat" khalayak pemerhati filem antarabangsa untuk berkumpul dan berinteraksi?

Pada hari pertama aku sampai ke filem festival ini, para sukarelawan (yang kebanyakannya para pelajar universiti serata Yogyakarta) dengan baik budi dan profesional telah melayan aku dan sekumpulan peserta, memperkenalkan kepada presiden festival filem Garin Nugroho, (ya sutradara tersohor Daun di Atas Bantal, Bulan Tertusuk Ilalang serta Opera Jawa itu!), malah kami dapat bersantai, antara pembikin/aktivis filem lama/pertengahan (Garin, Darmasena Pathiraja, sutradara dari Sri Lanka, Sivamohan Sumathy, editor, penulis skrip, pensyarah dan pengkritik, Lisabonar, pengkritik dan kurator filem Indonesia, Yuni Wadi, mantan panitia Singapore International Film Festival) dengan baru (seperti Ridla An-Nuur, Ashari Rahman, Leonard Lai Yok Wai, Warren Sin, Samaria, Gareth Evans, Iko Uwais, pelakon muda filem Merantau). Hanya aku perlu beli secepat mungkin (yang masih aku kumpul) sebuah komputer riba supaya aku dapat terus melaporkan atau mengulas filem-filem yang ditayangkan serta agenda harian sewaktu di sana.

Paling penting, tayangan filem. Walaupun tayangan dibuat dalam dewan yang agak lama tanpa hawa dingin di Taman Budaya Yogyakarta, juga ditempat yang lebih baik di Institut Bahasa Peranchis, dan juga dengan penayangan filem menggunakan DVD (perkara yang sebenarnya amat haram dilakukan buat filem festival, dimaklumkan oleh sebab peruntukan bajet rendah, hal ini tidak dapat diatasi), segala perancangan, perjalanan dan tayangan dijalankan amat baik sekali. Selepas satu-satu tayangan juga, jika pembikin filemnya ada, akan diberikan peluang untuk satu sessi temu bual antara sutradara dengan penonton.

Ada beberapa agenda lain juga dibuat, seperti satu sidang forum yang membahaskan tema tanah air (tema pilihan tahun itu) yang telah mempersembahkan beberapa hal yang menarik tentang pertentangan globalisasi dengan warisan serta identifikasi nasional, juga pandangan subversif tapi logik Garin Nugroho tentang material digital sebagai teknologi anak muda yang akan menggantikan norma persada sinema Indonesia. Hal ini amat menarik untuk dikupas, oleh sebab, seperti di Malaysia, dengan tayangan layar tancap terutamanya di Shah Alam, kemasukan filem pendek di YouTube oleh anak-anak muda (contohnya, filem pendek lokal, Comolot yang kontreversi tetapi lewah itu masih boleh ditonton di YouTube) tanpa penahanan LPFN, tayangan di forum-forum kuliah kolej dan universiti, kemunculan nama-nama baru melalui filem pendek digital DIY (seperti Ridhwan Saidi BinFilem) serta kejayaan tayangan Maskara Shorties, dengan penumpuan filem daripada pembikin profesional hingga ke amatur telah sedikit-sebanyak mencipta satu hala budaya baru yang kemungkinan dilepas lihat oleh kerajaan serta penurut filem perdana tempatan. Seperti kata Garin, filem-filem ini (filem digital) lebih jujur sifatnya, lebih relevan dengan topik semasa, tanpa sekatan dan bersikap revolusioner terhadap filem-filem perdana. Hal ini sememangnya berlaku di Indonesia juga.

Maka oleh sebab itu, pengumpulan dan pemberian ruang festival filem ini kepada kesemua kumpulan komuniti filem anak muda (ya, di Indonesia, terdapat beberapa komuniti pembikin filem muda yang ampuh dan mengejutkan, sangat profesional, dan komuniti ini mengikut bandar, seperti Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Surabaya, dll.) dalam beberapa bengkel perbincangan (dengan pembikin amatur/profesional Indonesia) serta mengadakan forum tayangan filem komuniti-komuniti ini telah membuka mata aku tentang betapa jujurnya Garin Nugroho dalam membimbing dan membantu secara tidak langsung para pembikin muda Indonesia. Beberapa tempat di Taman Budaya Yogyakarta telah diadakan untuk komuniti-komuniti ini berkumpul, yang rata-ratanya membikin filem mereka secara bebas (indie) walaupun ada juga di bawah pertandingan dan tajaan syarikat besar seperti The Body Shop. Aku memerhati satu "kultur" yang menarik di sini. Kebanyakan pembikin filem ini muda-muda, ada yang baru 15 tahun. Ridla sendiri mengaku, beliau "lambat masuk" dan baru hendak berjinak membikin filem pada umur 17 tahun, dan perlu "banyak lagi ilmu yang dikejar". Ini sangat mengganggu aku, oleh sebab di Malaysia (serta Singapura), rata-rata pembikin muda kita yang baru hendak bermula adalah antara 25-30 tahun. Malah ramai yang benar-benar bermula "menerbit" pada awal 30-an. Malah, pembikinan filem anak muda Indonesia ini terasa sangat baik produksinya (walaupun hal estetika, nilai dan cerita itu perkara yang lain).

Aku mendapat tahu juga, tokoh seperti Garin Nugroho, telah memberikan para pembikin ini untuk duduk dan tidur di rumahnya sambil berbual dan menonton filem. Garin sendiri mengaku, pada suatu hari, 70 pembikin filem muda dari pelbagai penjuru Indonesia telah bertandang ke rumahnya. Sampai Garin terpaksa mendaftar di hotel oleh sebab tidak ada ruang lagi untuk dirinya sendiri! Pengorbanan sebegini memang jarang berlaku oleh pembikin filem kita, apatah lagi untuk mendorong para pembikin muda. Mereka hanya ingat, saluran "bantuan" hanya berlaku waktu forum, syarahan dan kuliah apabila para pembikin ini datang melawat para pelajar. Atau ya, seperti malam FFM bila para pembikin dipaksa memakai baju cantik-cantik dan bergambar sekononnya artis Hollywood. Hal ini bukanlah tidak boleh, tetapi di mana pertalian para pembikin yang sudah berjaya seperti Bade, Suhaimi Baba, Arief Karmahani, Mansor Puteh, dll. terhadap pembikin golongan muda? Aku sendiri mengaku, hal ini tampak berlaku dengan arwah Yasmin Ahmad yang senantiasa memberi tempat bagi pelbagai anak muda untuk berurusan dengannya tentang filem di pejabatnya serta di platform alam mayanya. Adakah hal ini dibikin juga oleh tokoh besar seperti U-Wei atau Jamil Sulong?

Satu acara seterusnya tanpa rancangan yang dibikin oleh Komuniti Filem Anak Muda Bandung kelolaan Ridla An-Nuur membuatkan aku terasa terharu. Tayangan filem pendek Love Lost dari Singapura oleh Leonard telah ditayangkan secara tidak rasmi (di luar agenda festival filem) di sebuah rumah besar kerabat di raja Yogyakarta (di mana tempat anak muda yang tidak dapat sewa hotel berkumpul untuk festival filem itu). Secara santai sahaja acara itu berlangsung, tetapi boleh dikatakan, sejumlah lebih 100 penonton yang "tiba-tiba" duduk menonton filem itu di sebuah perkarangan luar rumah yang kecil. Inilah kuasa "komuniti filem" muda anak Indonesia yang amat mengejutkan aku.

Secara terus-terang, aku nampak, ada "kepintaran filem" yang sedang berlaku terhadap anak-anak muda Indonesia, mungkin ya, tidak sama seperti Malaysia dan Singapura yang banyak perkakasan internet sebagai bahan penguasaan mereka. Tetapi keluasan pilihan filem mereka sama seperti Malaysia dan Singapura. Aku boleh sahaja bandingkan segelintir kumpulan penonton Indonesia yang boleh menonton Punggok Rindukan Bulan sehingga ke akhir kredit (dengan mengejutkan, masih duduk di kerusi, termenung, walaupun filem sudah selesai diputar) dan seorang penonton Malaysia yang mengaku "keluar" daripada dewan tayangan kerana tidak tahan dengan tempo filem itu (bayangkan jika penonton itu menonton filem-filem James Lee, Ho Yuhang dan Tsai Ming Liang). Itu belum lagi bertanya akan "rasa" terhadap imej yang dipaparkan dalam filem itu.

Walaupun ya, terdapat sedikit "semangat bias" penonton muda Indonesia terhadap filem luar. Aku berani katakan ini oleh sebab, kesemua tayangan malam filem Indonesia (waktu perdana yang sengaja banyaknya buat tayangan filem Indonesia) dipenuhi (full house) dengan penonton muda Indonesia, dan kurangnya sambutan buat filem Sri Lanka yang sangat baik dan turut ditayangkan. Penonton umum ini menyokong besar filem Cin(T)a dan The Blind Pig Who Wants To Fly. Aku kira, semangat ini baik juga jikalaulah penonton Malaysia mempunyai kesedaran penyaduran semangat dalam diri mereka buat filem-filem Malaysia. Walaupun The Blind Pig sebuah filem yang tidak bergerak secara garis lurus, dan membuat beberapa penontonnya tidak faham, mereka tetap datang menontonnya!

Perkara inilah yang menyimpulkan pendirian aku dengan jawapan "laser" Paolo. FFM buat aku, dan aku harap buat ramai pemerhati filem tempatan, sememangnya, mahu atau tidak, adalah sebuah acara anugerah filem (lebih kepada sayembara anugerah daripada sebuah festival!) yang amat-amat diikuti. Malah, dalam perjalanan pemahaman dan kesayangan aku terhadap filem, FFMlah yang memperkenalkan aku kepada kewujudan filem-filem berkualiti yang berlawanan dengan filem-filem popular (contoh, apabila Tsu Feh Sofiah mendapat filem terbaik buat FFM, aku selidiki tentang Tsu Feh Sofiah yang sememangnya antara filem terbaik Malaysia malah kegemaran aku sampai sekarang). Hanya apabila filem Oh Fatimah! arahan Badul yang menang pada akhir 80-an, telah terjadinya kontreversi bahawa FFM sudah tidak relevan, yang sebenarnya dirantai kaitkan dengan kelesuan pembikinan serta sambutan terhadap filem Malaysia waktu itu. Jika FFM tidak "disayangi" oleh penonton seperti aku, kenapa para produksi arwah Yasmin sibuk-sibuk menghantar filemnya untuk penilaian FFM, walaupun diketahui "bias"nya juri FFM dalam pemilihan senarai nominasi dan pemenang?

Azharr menyatakan kepada aku, ketidakadilan sayembara nasional seperti FFM, sudah biasa berlaku termasuk di Indonesia apabila filem Ek-Skool memenangi piala citra filem terbaik Festival Filem Indonesia (filem itu sebuah filem saduran). Jadi pemahaman yang dinyatakan oleh Paolo sebagai "pemerhati luar" menjengkelkan aku. Secara nasionalis, aku memang terasa. Secara pengulas filem, aku amat-amat tersinggung bagaimana tanggapan orang luar terhadap acara nasional filem kita.

Tetapi aku tidak memarahi Paolo, aku memarahi panitia juri yang memilih filem-filem buat senarai nominasi (contoh, Mahesh dalam Talentime sebagai pelakon lelaki utama terbaik, terdapat "tutup mata" terhadap beberapa filem indie dan perdana yang baik seperti Sell Out, filem Syurga Cinta saduran Kiamat Sudah Dekat mendapat banyak nominasi, adakah kerana produsernya di belakang badan FINAS?). Dengan senarai ini sahaja, Paolo, seorang yang terkemuka untuk memilih filem-filem kita ke ruang antarabangsa boleh memperlekehkan FFM. Jika ini berlaku, tidakkah para AJK FFM ingin mengadakan anjakan paradigma? Bagaimana dengan pertalian anak muda filem dengan orang profesional filem, adakah FFM memberi ruang itu? Bolehkah senarai nominasi FFM digunakan buat "passport" filem-filem kita diiktiraf mutunya? Hal-hal inilah yang dipersoalkan. Ya, malam anugerah FFM memang glamour dan penuh perasmian protokol kebangsaan jika dibandingkan dengan santai informal festival filem Yogyakarta. Tetapi kenapa keputusan filem serta senarai pendek filem yang bertanding di Yogyakarta mempunyai "isi kuat" untuk filem-filem ini dibeli dan ditayangkan ke negara-negara luar berbanding kuasa keputusan FFM? Contohnya, Cesar Award, satu anugerah kebangsaan "oskar" Peranchis yang sama pentingnya seperti FFM, tetapi keputusan dan senarai filem yang masuk memang diperhatikan oleh penonton antarabangsa, kenapa?

Perkara-perkara kecil inilah yang perlu kita belajar buat festival filem yang akan kita adakan buat tahun-tahun hadapan. Semoga buat FFM tahun hadapan, walaupun mungkin pengkritik seperti Paolo masih melecehkannya, aku bermohon agar senarai nominasi serta keputusannya melampaui ekspetasi kita semua.

lagi gambar JAFF 2009: http://leonardlaiyokwai.wordpress.com/2009/08/10/love-lost-screening-at-jogja-netpac-asian-film-festival/

18 comments:

Tok Rimau said...

Ayam, nak terbang ke bumbung pun lenguh kepak. Lagikan pula di suruh ke langit.

ares bahar said...

ya, agak sukar juga untuk menjemput sutradara-sutradara berjaya ( dalam apa juga konteks berjaya itu) untuk hadir ke kampus.

Kerana mungkin 'kengerian' apabila mnendengar ' hanya sedikt token' yang akan diberikan sebagai galang ganti pertukaran ilmu itu ke Puncak Perdana.

Hal ini bukan sahaja melibatkan pengarah-pengarah veteran yang sudah berjaya, tetapi juga pengarah muda yang baru berjaya dan dipuji juga.

Mengharapkan satu seperti Garin itu mungkin bukan di Malaysia.

kamalariffin said...

aku hadir utk merayakan filem di sabah.... Terima kasih kepada yg berusaha. peluang utk melayan filem2 terbaik malaysia secara pukal sgtlah mengujakan(tinggi harapan aku)... selama 3 hari aku terus hilang bersama hanya mungkin 10 org lagi dimakan ruang panggung yang besar. dan bagi filem2 komedi cinta dan sains fantasi sarat pula dgn anak2 belasan tahun yg lebih bercakap sesama sendiri dan bergosip di talian dari melihat paparan di skrin. Ini festival apa??... gerun aku...Jika dari kulitnya pun aku sudah takut mana berani mau lihat isinya. Tapi betulah kita tetap mau sokong... harap2 tahun hadapan kalau boleh kita pakat2 tolong kasi lagi gempaq. insyaalah

Vitamin said...

setuju dengan tok rimau..

malu saya tgk pencalonan FFM. baru tgk pencalonan dah malu dah ni. ada filem yg lebih layak, tapi tak layak. kepala otak mereka betul la. inilah yang jadi kalu juri-juri FFM tu semuanya dipilih berdasarkan pangkat-siapa-yang-paling-panjang-dia-akan-jadi-juri-walaupun-filem-anda-adalah-filem-picisan.

amer zaman said...

jalan jauh ya?
dengar berita akan ke bhgn majalah?

13 ogos jemput ke puncak
tayangan dan sesi soal-jawab
sell out.

naib pembantu tadbir FFM22 said...

Tak setuju dgn sume komenz di atas. FFM22 adelah festival berprestij dgn bajet berjuta-juta ringgit, pencalonan yg dibuat telus & tepat sekali dgn tema 1Malaysia. Persoalannya tidakkah korang bangga dgn Ketuanan Melayu? gagaga

Ajami Hashim said...

papadom BUKAN popodom! huhu!

fadz said...

salam tok, waduh, berat kiasan tu..

ares, diharap tokoh2 filem tempatan membaca luahan anda.

kamal, harap2 mentaliti kita akan berubah.

vitamin, samalah..

amer, ehem!

Naib Tadbir FFM22, tepuk dada tanya selera, mahu buka tempurung atau duduk memerhati sahaja.

Ajami, sudah diubah, trimas.

Azuan_Zameer @ RashRozhams said...

wah, dapat bersantai dengan nama2 besar industri perfileman ya? (jika dapat dikategorikan sebagai 'industri' ler). aku jeles, huhuhu...

Anonymous said...

Kenapa ye filem Budak Kelantan tak masuk calon?

Rewan Ishak said...

Bagi aku Budak Kelantan selayaknya mendapat nominasi filem terbaik & Mohd Asrulfaizal (Jaha) patut pegang trofi Pelakon Lelaki Terbaik. Tapi aku pun tak tau kenapa Budak kelantan tak tercalon.

Anonymous said...

fadz, u write beautifully

fadz said...

Rash, duh....

anon dan rewan, samalah kita.

Anonymous said...

fadz, congrats!!

melati said...

wah, fadz dah antarabangsa ke?

jj said...

tahniah! bro!

loha said...

tulisan yang sgt bermanfaat.

fadz said...

others kat atas, tk.