27 January 2010

November 1828(1979): Sebuah Filem Yang Besar

"Barang yang jatuh takkan aku terima lagi."
Jenny Rachman

Ini yang aku tonton malam semalam: Epikal.

Apa yang dapat aku ungkapkan bila menonton filem ini, Malaysia amat jauh untuk memahami dan bercerita akan subjek intrig, pengkhianatan, perjuangan, derita kemanusiaan di dalam peperangan dengan latar yang luas dan rumit (tidak mengambil kepura-puraan dan fantastikal Queen of Langkasuka sebagai contoh, tetapi filem sebesar Naresuan). Kita punya Puteri Gunung Ledang, tetapi PGL merupakan sebuah filem romantik atas latar intrig empayar dan raja, bukan epik peperangan. Kita punya Paloh, sebuah filem yang memerhati dengan mikro akan tiga peranan utama dalam perubahan dari penjajahan ke arah kemerdekaan, tetapi subjek periodnya mendatar ke arah hal-hal individu dengan penggayaan dekonstruksi sejarah yang bersifat menyoal. Lt. Adnan tampak kecil walaupun punya momen efektif. Embun menarik tetapi kecil dalam latar cinta entengnya. Mungkin 1957: Hati Malaya sepatutnya besar tetapi kecil atas sebab efek khas, pelakon tambahan serta perspektif modennya yang canggung. Apakah kita hanya punya Bukit Kepong yang sehalusnya hanya sebuah filem yang memaparkan "mempertahankan kedaulatan yang dikepung"? (rujuki Bukit Kepong dengan The Alamo, Zulu, Assault on Precinct 13, dan terkini, Legion).

Keduanya, Teguh Karya, dan sewajarnya, Indonesia jauh ke hadapan atas pemahaman pembikinan dan pembudayaan filem, jika kita lihat kepada perkembangan filem ini (1979) pada awal Teguh Karya diperkenalkan (1971). Aku begitu tersentuh apabila membandingkan dengan Rahim Razali, pengarah yang amat aku sanjungi yang bermula seawal 1981 dengan Abang (filem yang mendapat pengiktirafan pengkritik tetapi hampa dengan sambutan penonton, hal yang sama berlaku terhadap Teguh Karya dengan filem pertamanya, Wajah Seorang Laki-laki), yang mana, walaupun beliau cuba dan mencuba membikin filem, terkandas dengan Iman Alone (filem kutipan besarnya merupakan filem komersial, Abang '92 dan sebuah filem perjuangan-politik yang mencuba, Anak Sarawak). Tidak pernah sekali, baik Pemburu, Tsu Feh Sofiah, Matinya Seorang Patriot dan Puteri, filem-filem yang punya garapan dan semangat yang besar untuk diikuti oleh para penonton (hanyir sangatkah kita waktu itu?) Aku melihat perbandingan sebegini kerana Teguh Karya merupakan "bapak filem besar" yang datang daripada latar seni teater, membawa pembaharuan dan kandungan filem yang bernas dalam latar filem Indonesia (amat berpengaruh). Jins Shamsudin, yang dikenali sebagai pelakon-pengarah dan pernah juga berjinak dengan teater cuba membawa pembaharuan ini pada 70-an, tetapi bandingkan filem-filemnya dengan Teguh. Oleh sebab itu, "arus baharu" sebenar filem kita bermula amat lambat daripada Indonesia, tergerak pada awal gerakan dan semangat Rahim Razali ini (80-an) yang kemudiannya baharu kita dengar filem "segar" seperti Jasmin, Bila Hati Telah Retak, Kami dan Ranjau Sepanjang Jalan dibikin. Sedih, kerana Rahim juga seperti Teguh, bermula daripada teater lalu kemudian filem, tetapi tidak pernah diberi peluang oleh masyarakat untuk dihargai secara kotemporari.

Aats sebab ini filem-filem kita zaman itu (kini kita sedang cuba) tidak dapat menandingi filem-filem Indonesia.

Sepertimana filem ini. Aku gerenti, jika filem ini ditayangkan di sini, dengan budaya kita yang sayang kepada AF, komedi senang dan seram biasa, filem ini tidak akan dapat selesai ditayang dalam masa Wajib Tayang jadualkan.

Menariknya, dalam hal filem Teguh Karya ini, perjuangan, intrig drama dan hal-hal besar tentang kemanusiaan, pencerobohan dan kemerdekaan tidak dipaparkan dalam bentuk yang tinggi (bandingkan ini dengan filem propaganda Pengkhianatan G30 S/PKI) atau luas, mempamerkan tokoh-tokoh sejarah (yang menggerakkan pendulum sejarah) yang besar (dalam filem ini, hanya awalnya memaparkan sekumpulan jeneral Belanda yang cuba melakukan strategi untuk menangkap Diponegoro), tetapi cerita jerit, perih dan indah anak-anak penduduk kecil sebuah kampung yang dijaga oleh seorang panglima, Kapten van der Bost (lakonan intim dan getir Slamet Rahardjo), seorang Indo (anak Indonesia campuran Belanda), dengan cita-citanya untuk mendapatkan Diponegoro.

Filem ini terus sahaja jadi intrig dan drama antara peran penduduk kampungnya, baik yang membelakangi Kapten Bost, baik yang memeranginya, serta satu lagi kumpulan, para askar yang diupah (yang merupakan anak tanah Jawa juga, dengan campuran Indo). Setiap watak punya pendirian dan cita-cita. Paling menarik, perjuangannya tidak pernah romantik (sila bandingkan ini dengan Lt. Adnan ataupun Sajen Hasan) tetapi watak-watak yang berdarah, manusia, lemah tetapi berjiwa dan penuh ronta.

Ini digerakkan oleh peran Kapten Bost yang punya pemahaman sendiri tentang tanah Jawa (simbolisme Indonesia), bagaimana dia seorang Indo (darah campur) yang memerhatikan dirinya sebagai penjajah, terhadap Kapten van Aken (lakonan El Manik yang memberangsangkan), panglima berdarah Indo muda, lemah, tetapi lebih bersimpati terhadap anak-anak bumi. Kita juga diperkenalkan dengan watak yang ampu sekali, Kromoludiro (lakonan yang menggegarkan), malah merupakan "tunjang", roh, semangat keperwiraan dan juang anak bumi terhadap penjajahan (hanya dia saja yang berdakwah, tetapi retorik dakwahnya penuh drama tanpa untaian propaganda, dakwahnya kena dengan logik dan situasi gerakan filem). Hal Kromo ini nanti disimbolkan dengan tiang seri rumahnya, tempat di mana anak dan isterinya akan meratap (yang sebenarnya, juga melanjutkan pemahaman sumbangan kepada pertiwi). Antara watak yang aku terikut suka merupakan watak anak gadis Kromo (lakonan ayu Jenny Rachman) yang terperangkap dalam budaya dan norma wanitanya, terseksa dengan keadaan ayahnya, cintanya terhadap seorang pemuda pejuang dan pelawaan Kapten Bost untuk menyuntingnya.

Malah, hal-hal kecil, seperti drama kecil lakonan Jenny ini, atau anak kecil Kromo yang bertanya, "Mana ayahku?" atau bagaimana si perempuan Jawa menghalau askar Belanda yang memasuki rumahnya pada waktu malam (budaya Jaya yang halus didebak, dan buat ini orang Jawa menyatakan hal ini kurang ajar terhadap adatnya), atau bagaimana orang kampung bergerak secara senyap untuk "mengajar" para "kaum setengah Jawa" itu.

Sila dengari bunyi dalam filem ini baik-baik. Pertamanya kita dengar satu lagu campuran tradisi Jawa dan Belanda yang canggung (pemaknaan kedatangan askar dan panglima Indo ke kampung itu), yang bunyinya pelik. Kita faham, walaupun tanah tampak tenang, sawah tampak hijau, tetapi ketidaktentuan dalam jiwa masyarakatnya. Sedikit demi sedikit, kita dengar dengan minimalis, suara gamelan dan kadang-kadang bunyi drum Belanda, saling memberi pengaruh. Pada detik kedatangan seniman jalanan, yang akan membawa pesta kuda kepang ke para penduduk, kita dengar dengan penuh yakin, lagu tradisi Jawa yang kagum, folk (dasar latar filem ini) dan mistis. Kemudian kita lihat sendiri bagaimana lagu dan seni ini merupakan mesin singgkap untuk membutai pemerhatian Belanda terhadap perjuangan anak bumi, dengan si penari utama tanpa menunggu lagu klimaks berakhir, menembak ke arah Kapten-Kapten Belanda. Pada saat itu, kita sudah memahami, lagu "tradisi" ini sudah memberi kenyataan kuat dan lancar (walaupun mereka akan disembelih selepas itu). Dan hal ini mendapat kesinambungan yang sungguh mengujakan (semangat, aku sempat menggenggam tumbuk pada saat ini) apabila penduduk kampung "menyambung" bunyi perjuangan dengan hentakan tumbuk padi, yang kian lama memperkenalkan kedatangan Suntek, anak panglima Diponegoro dengan warna bajunya merah dan putih (warna bendera Indonesia yang disengajakan, beliau merupakan simbol Indonesia, menandakan idea "Indonesia" tidak akan datang, jika setiap jerih, perih, kesatuan, agama, seni, adat dan tadbir tidak bersama menghancurkan penjajahan).

Sila bandingkan juga dengan babak-babak awal dalam hal yang agak statik, pergerakan yang hanya dipengaruhi oleh kebanjiran askar Belanda, sabungan mereka merentas padang, dan gerakan kasut mereka ke dalam rumah adat. Malah separuh filem awal memaparkan kekuatan dan kepengaruhan Belanda yang sedikit demi sedikit didampakkan kelemahan serta "vunerabality" mereka. Separuh yang terakhir merupakan okestra Teguh untuk melancarkan "seige" terhadap kampung yang dibelenggu Kapten Bost yang mula "mengecil" falsafahnya (awalnya ia semacam satu dengan sistem Belanda, melandaskan kelancangan Belanda, dan akhirnya ia sebenarnya seorang individu yang mahu mementingkan diri dan mencari survival dirinya). Ini berlainan dengan Kapten Aken yang secara awalnya hanya memerhati hal-hal kecil di sekelilingnya, dan akhirnya "tenggelam" dalam falsafah dan "pengertian besar" yang dibawa oleh Diponegoro (yang diwakilkan dengan suara Kromoludiro), yang mana, jiwa ini disertai oleh kesemua penduduk kampung dan askar yang datang untuk membantu.

Malah bahagian "chaos" terakhir filem ini, sewaktu seniman dibunuh (peringatan: jangan bunuh sasterawan kita!) lalu penduduk menjadi tidak keruan (lihat pergerakan penduduk yang diam, lalu agresif, lalu membanting tanpa makna tetapi tertumpu) merupakan antara babak-babak paling berkuasa dalam filem ini, baik juga sebagai momen bersejarah. Malah buat aku, babak ini mengalahkan kesempurnaan dan cantik Ran apabila istana raja digempur askar di pertengahan filem. Kalau Akira lebih kepada tempo dan kesempurnaan kareografi untuk menghasilkan estetika dalam peperangan, Teguh punya kuasa "all hell break loose" di mana secara teliti, kita boleh lihat setiap tikaman, debrak asap, gerakan askar yang tiada arah tuju tetapi terkawal terhadap askar Belanda. Dalam gelimpangan askar yang jatuh atau menuju dan menyerang, kita melihat watak-watak penting menghabisi tempoh hidupnya (seperti si pengkhianat Jengwirono dengan begnya) di celah-celah kaos ini. Malah gerakan askar hitam Jawa terhadap biru Belanda di depan rumah adat amat cantik walaupun tampak kaotik. Ianya satu "rush" yang penuh tiada kawalan dan humanis (humanis, kerana peperangan manusia tidak tentu, seperti mana yang digarap dalam Alexander dan War & Peace) yang sebenarnya dikareograf dengan amat berkesan sekali oleh Teguh.

Akhirnya, ideal Teguh cukup jelas, perjuangan bergerak dan berjaya bukan atas strategi para tokohnya sebagai pemain catur, tetapi bagaimana watak-watak kecil, golongan marhaen yang mempercayainya, lalu memegang terhadapnya dengan utuh (idealisme perjuangan itu). Ini dipaparkan dengan baik dalam jiwa watak Kromo terhadap individu seperti Kapten Bost dan Kapten Aken. Perselisihan dan konflik jiwa-jiwa kecil ini yang meledak sejarah perjuangan epikal ini menjadi sesuatu yang besar, teguh dan mengasyikkan.

Sedikit bicara tentang Teguh Karya: http://sejakdoeloe.multiply.com/journal/item/7

6 comments:

zulazahari said...

Adakah Dawn of the Dead Zombi Kampung Pisang dan Ghost of Mars termasuk dalam kategori "mempertahankan kedaulatan yang dikepung?" Sekadar bertanya.

fadz said...

Zul, good question..

Zombi Kg Pisang sememangnya ya.. Kedaulatan dalam Zombi Kg Pisang adalah "malaysia".. rujuk babak tiba2 penduduk kampung dalam dewan belia membentuk Tugu Negara (mempertahankan negara, ini hala Mamat terhadap komunisme).

Dawn of the Dead, secara menariknya juga ya: budaya konsumerisme/kapitalisme Amerika (manusia yg survival tinggal dalam pusat beli-belah) yang dikepung, yang sebenarnya mengalami erosi diri, bukan pertentangan luar menyebabkan mereka "gagal" akhirnya.

Aku dah lupa Ghost of Mars dan atas perjuangan/daulat apa mereka bertahan di situ. Mungkin hanya sebuah mesin plot.. aku dah lupa.

zulazahari said...

Thanks bro,

Sorry lambat reply sbb busy, maklumlah awal tahun, blog aku sendiri pun dah jarang update

fadz said...

oh takde hal..

mohamadkholid said...

mana kau dapat filem ni fadz?

fadz said...

daripada seorang pensyarah sejarah.