06 March 2010

Festival Filem Frinjan(Pinggiran) KL, Para pengarah, Pengkritik dan Dewa

Seronoklah berfestival. Tahniah dan terima kasih buat Dr. Zul, BinFilem yang punya inisiatif membawa himpunan filem pendek (filek, filpen, yang mana-mana yang menarik anda) ke DBP, bukan senang tu nak menghimpunkan filem-filem pendek daripada pelbagai kalangan anak-anak muda, dan aku begitu kagum bahawa BinFilem boleh melakukannya dalam masa 2 minggu sahaja!

Satu perkara aku tabik BinFilem ialah, dia berjaya menghimpunkan pelbagai filek yang rata-rata semuanya bagus-bagus! Ini satu pengiktirafan. Walaupun memang, aku suka pergi ke sebuah tayangan filem dan mendapat ada beberapa yang aku tak suka dan aku suka (inilah makna festival, kepelbagaian), tetapi kiranya, buat malam pertama, realisasi BinFilem membuka mata aku, pilihan filem-filemnya. Mungkin juga, beliau sudah membuat kajian dan pemilihan yang terancang dengan penontonan dan pembacaan yang teliti untuk masuk dalam Frinjan KL kali ini (kalau aku, aku akan sengaja masukkan satu dua yang "punah" buat orang terkejut katak kejap). Tahniah.

Tahniah juga buat DBP, terutamanya A. Wahab Hamzah kerana memberi tempat buat anak-anak muda ini mengenali kembali pusat budaya yang dahulunya gah disertai oleh anak-anak seni. Sememangnya ramai yang memberi pendapat bahawa Dewan Kuliah itu mempunyai "feel" yang betul untuk tayangan filem, malah dimaklumkan oleh beberapa penonton tegar yang sudah menonton beberapa filem yang disenaraikan terdahulu, merasakan ada "rasa menonton" yang lain, yang lebih bersinema di Dewan Kuliah. Alhamdulillah (tak lah dewan ini jadi gajah putih bukan?) Jadi buat penuang semboyan-semboyan yang melempiaskan "buat apa buat kat situ" rasanya perlulah dipersoal kembali diri sendiri yang sedikit "bawah tempurung" itu.

Aku suka apa yang berlaku, walaupun mungkin kumpulan penontonnya masih belum boleh dibanggakan (sekurang-kurangnya, orang luar, maksudnya orang bukan filem yang datang memang hendak menonton filem sampai habis), tetapi kumpulan itu diberi tempat untuk menyatakan filemnya (walaupun ada yang tidak suka), tempat di mana adanya para pengajar filem (seperti Pak Wahab), adanya pengkritik (seperti Ajami yang turut menjual buku filemnya) dan anak gila filem dapat berkumpula dan berkenalan dan bertukar pengalaman dan cerita. Seperti yang dimaklumkan Razailsyam, sedikit demi sedikit, kumpulan kecil yang bermula pada akhir 90-an, akan mula berkumpul dan terlahir (dahulu, mereka tidak ada peluang ruang untuk menayangkan filem pun, sesuatu yang amat berbeza dengan Indonesia) anak-anak komuniti "suka filem" walau bagaimanapun bentuknya.

Di situ juga, aku tercari-cari mana Dewa. Aku rasalah, Dewa tu antara seorang budak yang sebelah Jhebat yang DIAM aje. Tapi ramai pula yang nyatakan pada aku, Faiq itulah Dewa. LinkIni satu hal yang menarik, dan bolehlah kita para pelayan maya boleh mula mainkan permainan teka-meneka ala Kucing cari Tikus.

Di sini merupakan senarai filem yang ditayangkan pada 5-6 Mac 2010:

Ronamaya (Peng: Amer Zaman)
Sudah aku tonton di FACT. Baru aku sedar air dalam gelas warna biru. Sedih sedikit sebab kualiti suara dan gambar terganggu kerana CD sedikit kotor. Di sini ulasan aku.

Kak Min (Peng: Ajami Hashim)
Aku lupa nak maklumkan kepada Ajami bahawa "filemnya" sedang berlawan untuk filem luar negara terbaik di Academy Awards 2009, taruhan Israel (hahaha). Apa-apa pun, filem ini sudah ditonton, ini ulasannya.

Tiada Judul/Rumah Ares (Peng: Ares Bahar)
Satu kuasa dalam pemahaman momen dan detik. Dimulakan dengan absurd di mana dua pasangan kekasih (pandangan belakang, ahhh, tragedi!) menonton filem HIndi di TV (mereka tidak faham bahasanya, kait filem hindi dengan "happy ending"). Ini bukan filem yang ceria dan bunga matahari, tetapi digerakkan dengan ketelitian humor dan sejati anak muda yang tiada ketentuan atau pegangan kuat (baca: eksistensial). Disusun dengan bibit-bibit yang terus membangun dan membangun dengan satu hentakan klimaks yang tegang tetapi tidak pernah terasa dibuat-buat. Babak pusingan 180 darjah dengan mainan lagu cinta rock yang mendayu amat melazatkan, merumuskan kuasa dan ketidaktentuan dan semangat berkobar (di sini: cinta) wataknya mendepani kegelapan. Kegemaran Sinaganaga malam itu.

Capal (Peng: Azizulhakim Salleh)
"Crowd pleaser" pada malam itu, dan sepatutnya pun. Lancar, tersusun dan mempunyai tenaga humor yang mencuitkan tanpa perlunya imbauan parodi ataupun slapstik, ianya satu tinjauan yang jujur, didaktik tetapi sungguh berkesan. Si remaja hilang capal selepas solat, mengambil capal orang lain, lalu dikutuk kerana capal itu, lalu dikejar juga kerana capal itu. Pemaknaan adab, kekeliruan/prejudis/salah tanggap dan ketelitian tentang pilihan (hal ini sangat lembut sufinya, tahniah Azizulhakim!) menjadi tema yang begitu bulat disampaikan. Seronok dan menghiburkan.

Sinkronis (Peng: Jaja Kadir)
Merupakan filem kegemaran peribadi aku malam itu. Perlahan, teliti, dan bergerak secara puitis. Secara bulat, filem ini berkenaan sinema dalam erti kata primitifnya (suatu medium yang ditonton dan dilepaskan, persoalannya, adakah kita mahu melepaskannya atau kita mahu mengingatinya?). Kaitkan filem ini dengan Cigarette Butt arahan John Carpenter yang juga berkenaan sinema pada keseluruhannya. Ramai yang menolak "jawapan" yang diberikan Jaja berkenaan putusnya Sofii dan Fadzleena, tetapi makluman "foolish" itu berkenaan juga dengan persoalan (seperti yang selalu Woody Allen bawakan dalam filem-filemnya): adakah kita sanggup mati kerana itu, atau ianya hanya sebuah detik dalam hidup (baca: adakah filem itu suatu detik yang kita lupakan atau kita akan terbawa-bawa selepas kita tinggalkan panggung, kaitkan ini dengan kesengajaan Sofii dimatikan [mati: mengakhirkan filem itu). Suka dengan Fadzleena. Adakah kehadiran Fadzleena ini dalam filem bebas tempatan kita seakan kultus Hope Davis terhadap filem bebas Amerika? Suka Sofii Jikan, malah babak-babak tanpa bajunya mengingatkan sengsara Jesus, tetapi secara seksual. Babak Fadzleen menari sambil dilihat Sofii merupakan babak magis yang paling menyengat, mengikuti pemahaman Woody Allen tentang filem (yang dibahaskan dalam Stardust Memories), dan pada babak ini aku menangis kerana ianya terlalu cantik untuk dinyatakan dalam bahasa. Malah selepas menonton beberapa filem yang juga kuat-kuat terpaksa aku tayang kembali DVD filem ini bila aku balik kerana mahu kembali "dihantui" oleh ruang, cahaya, detik dan aksi babak filem itu. Jaja boleh pergi jauh dalam sinema kita (mungkin seangkatan Wong Kar Wai?). Dan pemilihannya menggunakan 16mm kamera sangat-sangat aku kagumi.

These Odd Things (Peng: Halimi Hassan)
Sangat-sangat pelik, tetapi kiut. Penggunaan gaya melampaui isi tetapi dibikin dengan efek khas yang paling menarik pada malam itu, teknik yang berkuasa, efek suara juga. Malah ada beberapa babak mengimbau kuasa homoerotisme antara dua watak antagonis yang bergaduh (Kong dan Vader). Maka persoalan ini menarik: adakah pergaduhan itu satu alternatif dalam bersenggama?

Babi Itu Khinzir (Peng: Faiq Khalifa)
Paling pendek buat malam pertama tapi amat berkesan. Walaupun persoalan yang pengarah mahu bawakan masih boleh dibahaskan, tema dan isinya teratur dengan penggambaran dan pemilihan ruang, tempat dan situasi (di bawah jambatan, seakan kita dibawah pergerakan untuk maju ke hadapan). Malah lakonan yang gah dan menyeronokkan, malah amat selamba dalam tujuan politiknya, ini kekuatan Faiq (sebagai pelakon juga pengarah). Suatu sindiran pedas terhadap golongan kita yang masih "teraba-raba" dan bertegang tengkuk tentang istilah (termasuk mereka yang mempersoalkan penggunaan translerasi Bahasa Inggeris).

Pintu ke Pintu (Peng: Aliff Ihsan)
Sebuah filem yang amat bersemangat tinggi, bergerak organik dan kinetik dalam peninjauannya yang penuh imaginasi. Satu kuasa yang segar buat Aliff. Langsung tiada jejak linear (tetapi fluid), malah strukturnya aku rasa didapati sewaktu filem ini dibikin dan melalui proses pascaproduksi. Surreal yang amat dekat dengan mata Islam (sememangnya ada persoalan moral yang dibangkitkan, tetapi ia juga berkait dengan alam roh yang mana relevan dan sesuai dalam Islam) tetapi ia tidak susah untuk diikuti. Ini satu kekuatan tinggi buat pengarahnya (membikin satu filem berisu berat, dengan gaya yang berat tetapi disampaikan dnegan penuh berkesan dan senang dilalui, seakan air). Aku suka jika kita para penonton, dapat memilih, pintu yang mana yang kita mahu biarkan ia berkembang. Ini pilihan Aliff buat kita.

Sub Rosa (Peng: Nadiah Hamzah)
Ini satu lagi penemuan yang mengejutkan, seorang pelajar filem kita di Amerika, dengan pelakon-pelakon orang Amerika tentang seorang gadis Muslim bertudung keluar "dating" dengan seorang Mat Salleh yang terpesona dengan tudungnya. Persoalan feminisme, agama, dan silang budaya berlaku dalam pengolahan yang amat senang. Semuanya berangkat dalam tema "possibility". Garapan paling profesional, lancar dan tersusun pada malam itu (dibikin sekumpulan krew Amerika berserta teknologi mereka, jadi, jadi..) walaupun mungkin buat Amerika, hal ini sudah dibikin berbelas kali.

Awan Mendung Menanti Pelangi (Peng: Azri Abu Hassan)
Terus-terang, kami amat-amat terhibur dengan filem terakhir ini pada malam itu. Separuh parodi (apabila melibatkan dialog Dasar Ekonomi Baharu secara tiba-tiba dalam dialog) dan separuh penghormatan (tribute) kepada filem-filem "semalam", makna aku, filem-filem 70-80-an yang diperkenalkan oleh Jamil Sulong dan terutamanya Jins Shamsudin. Azri sungguh menyeronokkan sekali gus "geliga" dalam menyusun sebuah "sedutan babak" yang seakan-akan satu "klimaks" terhadap babak-babak mendebar, melodrama yang telah menyusul, seorang ibu yang "menyimpang" (Aminah Rhapor kau! Gila gaban!) telah cuba kembali, meminta ampun daripada suami dan anaknya. Sedu-sedan berlaku. Apa yang bagusnya, Azri tidak pernah sesekali mempermainkan "komedi" (komedi keluar sendiri jika kita dapat menjumpai rujukan yang dibikin, seperti lakonan Jins Shamsudin, Azean Irdawaty, kemunculan Jamal Abdillah, persoalan cinta segi tiga, rujukan Hapuskanlah Air Matamu dan Dia Ibumu) dan membawa isinya ini dengan serius sekali. Ia juga punya semacam semangat "cuba kembali ke nostalgia" yang sememangnya aku rasa, impian Azri. Malah, mengagungkan "yang lepas dan yang dilupakan". Secara mendalam, ia juga menyatakan dengan bersungguh tentang ketuanan Melayu atau identiti "Melayu Lama" yang sudah mula dilupai (kini) atas nama "pembangunan" dan "kemajuan". Tanpa sedar, ini disimboliskan dengan Aminah Rhapor sebagai tunjang utama, transformasi separanya daripada seorang wanita yang terikat dengan budaya patriach Melayu, dihentak dengan pilihannya memilih seorang yang luar agama, budaya, statusnya sekali gus, persoalan feminsime, perkelasan dan prejudis sekali gus dinyatakan (pilihan Aminah dinyatakan sebagai "melanggar" norma masyarakatnya zaman itu). Konflik dan intrig ketidakupayaan Aminah untuk melajak ke "impiannya" (bersama Raju) atau kembali ke keluarganya membuatkan momen yang ditayangkan "worth while". Lebih seronok dan mencengkam buat konteks tempatan daripada Far From Heaven arahan Todd Haynes yang punya tujuan dan tema konsep yang sama.

Tayangan Malam Kedua:

Maaf aku ambil masa sedikit untuk menyambung, atas kerana kesibukan kerja serta aku naik "blur" untuk ingat filem-filem yang keluar pada malam itu (oh oh, ini satu petanda yang sedikit tak elok). Tapi bila BinFilem keluarkan senarai filem yang ditayangkan, baharu satu-satu imej aku teringat, ha ha.

Sebenarnya, seperti Faiq maklumkan kepada aku, malam kedua "lagi best" sebab subjek-subjeknya lebih "keras", lebih "politikal" (dan mendapati filek adikaryanya terpaksa disiarkan pada malam pertama, ha ha). Ada benarnya, dan ada bahayanya. Mungkin, selepas ini, perlulah penganjur serta kurator memaklumkan tentang kesesuaian penontonan (memaklumkan jika ada keganasan, seks, dan isu politik yang tak melampau), atas kerana aku terlihat, ada satu keluarga datang (bawa anak kecil) menonton pada malam kedua, seakan-akan pergi berkelah di tepi pantai. Bukan apa bro, tempat tu, tempat gergasi tua, yang orang komplain kat gergasi, bukan bebudak, dan gergasi takut buat satu keputusan tak bijak, sepertimana yang berlaku terhadap teater Tanda di Aswara atas komplen-komplen orang yang meloncat cepat (alah, macam Vagina Monologue tu lah).

Memang, rata-rata, filek-filek tayangan malam kedua lebih berani. Tetapi, mengikut susunan, entah rasa macam sedikit janggal. Tetapi apa-apa pun, tetap, filek-fileknya ada yang mengejutkan, dan juga punya kekuatan yang aku suka (ingat, filek buat aku tetap aku mahu lihat sebagai filek, dan bukan filem perdana). Tetapi masih, Sinkronis berlegar dalam jiwa aku.

Destinasi (Peng: Tasyrif Tajudin)
Aku sedar sesuatu yang menarik, juga pelik. Sudah beberapa filek Aswara (selain pengarah Bennylita Nasution yang menarik sahaja garapannya) yang aku tonton, dan selalunya ia berlingkar dalam hal moral, obsesi terhadap kematian (Lubang baru ini aku tonton juga begitu), serta agama (baik dalam maya fantasi atau tema) selalu berlingkar dalam ideal pengarah-pengarahnya. Ini bukan satu masalah, hanya persoalan. Destinasi ini satu filek yang cuba menggarap satu "bulatan" tentang "detik-detik terakhir" seorang Datuk (lakonan Adman Salleh yang mencengkam) yang mana, suratannya tidak boleh dipusing balik kembali. Kekuatan menggunakan LRT sebagai "petanda ke satu destinasi" amat menarik. Perasaan "doom"nya ada, walaupun sedikit celaru waktu satu watak demi satu watak "menghantu" ke Datuk. Tasyrif hanya perlukan lebih masa untuk rakaman yang betul-betul tentang lelaki kotor, pemuda muntah duit dan wanita berbayi. Didaktik berstruktur yang menarik.

PERTA.M.A. (Peng: Halimi Hassan)
Haykhhhhh... Hmppphhhh... Ahhhhhh... OK, ini bukan sup aku, aku boleh kata dengan jujur. Ajami Hashim amat-amat menyukainya, dan kalau boleh, mahu pelakon lelaki filek ini berlakon dalam filemnya nanti (ha, budak, cepat contact abang Ajami!) Hayyyyyyyyyyyyyyyy...

Bila Gambus Tak Berlagu (Peng: Maszalida Hamzah)LinkLagu gambus sedap banget. Hanya imejnya cuba membawa satu suara Nasir Jani yang sedikit terasing dan dingin buat aku (buat apa ikat semangat filem ini dengan filem Siam tu?). Cuba membawa persoalan mursyid-murid (dalam penyataan tradisional Melayu, semua pengajaran perlukan guru) tetapi agak kaku, tapi itu pendapat aku.

Mautopia (Peng: Ridhwan Saidi)
Seronok tengok filek ini dimainkan di layar skrin yang jauh lebih besar. Jaga-jaga, ini macam Lost Highway David Lynch, ini ulasan aku.

Fuuuuhhhhhh, selepas tayangan Mautopia, ada rehat kejap (ramai orang macam blur, hehehe), si penonton ayah berserta anak-anaknya bergerak balik ke rumah, mungkin kerana tak tahan menonton banyak sangat filek memaparkan gadis merokok.

Session to the Womb (Peng: Sharifah Soraya)
Just plain weirdness. Kembali juga dengan hal politik (yang korup). Waktu "grafik" iLinktu, aku dan Mukhsen X meloncat-loncat (uh uh uh, Tuhan!), berani sih Sharifah! Ceritanya menarik, sekumpulan sperma yang "berlegar" di pintu ovum, melihat, menunggu, yang mana yang akan mencapai pensenyawaan. Pensatiraan sperma dengan pelbagai XY menarik, dengan watak-watak sehari-harian yang biasa tetapi punya subjek kenapa ia dipaparkan berlegar. Satu pemahaman yang menarik, jika kita kaitkan dengan "sejak azali" berkenaan "the nature of 'real' men". Wah, afsal kebanyakan pengarah muda Aswara ni bersemangat kritis dan dispotik eh?

Sujud (Peng: Muhamad Rahimi)
Dah ulas dah, kat sini.

Language Kebangsaan (Peng: Faiq Khalifa)
Faiq, boleh tak kau tayangkan filem ni kepada PM dan TPM kita, bior mereka sedar sikit. Propaganda yang amat-amat menjadi tentang anti-PPSMI.

The Colour of Ideas (Peng: Low Weiyan)
Filek yang sekali lagi politikal tetapi dibikin dengan amat kiut, menjadi "crowd pleaser" buat malam kedua. Persoalan propaganda dan "lompat parti" atau pengaruh amat kuat dalam filem ini. Janganlah tersentap melihat bayangan BN melawan DAP pada klimaks (opsss, Spoiler!) kerana idea Weiyan lebih daripada itu, malah persoalannya lebih humanis (lihat persamaan dalam diri kita, bukan perbezaan). Sebenarnya ini filem didaktik yang mengajar untuk kita saling memahami dan mencintai (sebagai manusia) tanpa perlu bertekak tentang perbezaan. Mesej terakhir Mahatma Gandhi menyatakan poin ini.

Konsekuensi (Peng: Razaisyam Rashid)
Whoohh.. Aku suka ah! Ini filek pilihan aku pada malam kedua. Walaupun dinyatakan filek ini cuba mengambil idea Run Lola, Run!, semangat muda, main-main dan urbannya mencengkam jiwa. Dan Razaisyam membuatnya dengan tujuan "berhibur" (persoalan akhir tentang filem itu amat menarik, menelanjangkan kenapa kita semua hendak bikin filem). Aku suka dengan babak yang mana Razaisyam "sengaja" mahu kita, penonton, jeda sebentar mendengar deklamasi sajak si antihero, ini momen paling mahal dalam filek ini, bukan sahaja sebagai pemahaman filek ini keseluruhannya (momen ini sahaja yang statik terus tanpa gerakan dan suntingan), tetapi filem keseluruhannya. Ini tujuan Razaisyam buat kita, anak muda, untuk ambil masa (ingat wayang-wayang dulu yang mengisi intermisi?), faham benda-benda yang cantik (di sini, sastera), dan reda serta menyanggupi hidup ini dengan seadanya (hal ini disengajakan bertentangan dengan gerakan, struktur dan qada' qadar filek ini). Momen ini sahaja membuat aku teringat, kenapa kita kadang-kadang datang untuk menonton filem.

Qalam (Peng: Hadi Koh)
Sebuah fabel/cerita teladan moden. Kesan satira pun ada (rujuk babak sami duduk tepi perkarangan surau). Aku agak suka dengan filem ini, yang cukup getir menyatakan pernyataan "keterbukaan" dan "pemahaman" dalam agama, dan berapa jauh kita kenal dengan agama lain. Semuanya berlaku dalam satu hari apabila seorang sami Buddha, apabila bermeditasi telah tiba-tiba "menjumpai" ucapan "Al-Lah" dalam lidahnya. Lalu sami itu mengambil keputusan untuk "mencari" dari mana perkataan itu datang. Ini sebuah filek yang benar-benar memahami prejudis yang berlaku dalam masyarakat. Sangat menyengat.

Begitulah, ia bemula, dan begitulah ia berakhir. Memang, malam kedua tayangan tampak filem-filem membawa "isu-isu berat" atau teknik-teknik persembahan "berat" yang tidak pula semestinya isi kandungan sama berat. Pun begitu, syabas buat semua yang berkecimpung. Kini, suara naka muda sudah bersuara dan mampu bersuara. Harapannya, suara ini tidak tersekat dan boleh terus sahaja beralun melantang kresendonya.

Nota: Laporan Pasca Tukang Tabir Belakang.

20 comments:

Anonymous said...

Awan Mendung Menanti Pelangi - Azri Abu Hassan

Azizulhakim said...

Thanks for the review on Capal bro fad!

maPieCeoFarT said...

nanti tulis yg mlm kedua pulak, x dpt hadir... huhu...

Coffeeholic said...

Fadz- terima kasih...
entri ini berbalas dengan senyuman yg lahir setelah terfikir semula betapa sukarnya saya meyakinkan juri di uitm untuk meluluskan skrip ini untuk di - shoot. penat saya dan 'anak-anak synergy pictures' sekurang-kurang terubat dengan pandangan jujur yg lahir dari hati. dalam hati cakap 'syukur ada orang yg faham puisi gambar saya'. inshaALLAH, saya akan usaha gigih lagi. karya ingin terus dikongsikan ;)


JK.

dex said...

thanx for review sbb aku terlepas tayangan mlm pertama..huhu keciwa tapi terubat bila baca review fadz. :)
Anyway aku rasa setuju juga pilihan filem2 untuk tayangan memang menarik dan berkualiti semuanya even aku hanya tgk malam kedua tapi aku assume malam pertama juga hebat (based on your review).SYABAS buat semua yang terlibat!

aLiFFiLmMaker said...

wow!~tq bro!..tp nape film sy takde perbandingan dgn film2 besar yg bertulisan italic ye?huhu~

tp papepon tq for review ye..amat menghargainya dlm membantu perkembangan karier sy yg bru nk bermula ni..tq so much!~

nntikan "SESAT" sbuah road-movie/thriller short film dr sy.insyaallah siap bulan 5..tgguuu~

fadz said...

Azizul, terima kasih. Teruskan apa yang kamu hebat dalam - mengarah.

mapiece, hang datang tak malam kedua?

Coffeeholic, oh tak tahu begitu rupa, but yah, my personal fav is yours. Soalan: lagu tu nyanyian Brocelli kan? Apa nama judulnya dan dari almbum mana? Menusuk kalbu sih..

dex, aku terpaksa nyatakan di sini, mlm pertama, err lagi mengancam daripada malam kedua.. opss

aliff, hahah, sebab walaupun awak ada buat rujukan filem lain, garapan, gaya dan peristilahan kerja awak menyebabkan cerita awak tu "original", dan untuk itu awak patut berbangga kerana susah kita mahu cari "originality" lagi dalam dunia perfileman sekarang.

jhbt said...

malam pertama mmg magic.

malam kedua silap susun.

maPieCeoFarT said...

malam kedua x dpt pergi... huu... =(

that's why lah tgh menunggu review dari anda nih, en.fad! hehe... mengubat kuciwa baca review pun ok-lah... hehe...

Anonymous said...

saya tak dpt hadir, tapi dari ulasan sdr fadz, premis 'capal' --> tak lari langsung dari 'the lunch date' filem pendek arahan adam davidson yg menang filem pendek terbaik academy awards tahun 1990/palme d'Or di cannes pada tahun yang sama.

"dibikin sekumpulan krew Amerika berserta teknologi mereka, jadi, jadi.."... jadinya apa ya?

dari huraian panjang lebar sdr, saya teringin sangat nak tengok sinkronis.

fadz said...

Salam Anon,

terima kasih, bolehlah Azizulhakim membuat pernyataan jika benar filemnya mendekati (atau mmg pun) The Lunch Date arahan Adam Davidson.

jadi, jadi tu, hehe, maknanya persembahan memang tip top, lancarlah (susah nak cari kekekokan sebuah filem pelajar).. soalan: adakah pembikinan krew Amerika lain bentuknya dengan di Malaysia (yang rata-ratanya memang byk guna DV)..

Sinkronis? Silakan. Tapi itu mmg "minat peribadi" aku mlm tu.

Azizulhakim said...

tq anon, saya baru lepas tgk "the lunch date"
boleh tgk kat sini -
http://www.youtube.com/watch?v=epuTZigxUY8

bro fad boleh tgk untuk bandingkan sendiri.


Tema dalam capal adalah kesalahan dalam membuat keputusan untuk kepentingan diri sendiri, ia adalah pengalaman sendiri, sebab bila selipar hilang, saya mmg akan ambil mana2 selipar yg ada kat situ, dgn harapan itu selipar yg mmg takde orang pakai, berdasarkan kajian saya, majoriti akan buat benda yg sama mcm saya.

Satu hari saya terfikir, mcmana kalau org yg ambil selipar saya tu, selipar dia pun hilang, dan selipar buruk yg saya ambil, mmg ada tuannya. Seolah-olah bersambung.

Saya menggunakan tema agama yang kuat disini, dimana kedua-dua watak yg mengambil selipar org lain, baru lepas menunaikan sembahyang.

Watak ada menolong pakcik dan memulangkan jamnya. Dan mmg kita anggap setiap org yg berjemaah kat masjid, mmg baik-baik belaka, tapi dalam hal hilang selipar, kita tak teragak-agak untuk melakukan kesalahan, walaupun tanpa disengajakan.

Saya rasa tak sama dgn the lunch date, tema lunch date adalah "salah tanggap", macam "don't judge a book by it's cover", ataupun mungkin tema perkauman, kulit putih dan hitam.

Watak dalam scene pertama org kulit hitam terlanggar wanita tu, dan mengambil dompetnya. Kat situ dah ada tanggapan kurang baik terhadap org kulit hitam tersebut, yg membawa kepada salah tanggap org kulit hitam dalam cafe tu.

In the end, wanita tu yg silap.

Tq anon sbb berkongsi pasal "the lunch date",
wonderful short film.

Anonymous said...

Azizulhakim, terima kasih pasal sudi terima komen :)

I'm sure your film is just as wonderful, if not better.

PS:/Cuba baca buku Blake Snyder-'Save the Cat' Chapter 2: "Give me the same thing.. only different!"

:P

Azizulhakim said...

haha ok tq anon oi =p

Capal said...

anon ni takde teloq btoi la...

Anonymous said...

kalau yang ni ala-ala lunch date atau capal? http://www.youtube.com/user/sanifolek#p/u/60/eVf7xbRQp9c

ulasan yang sangat puitis, en fadz. mungkin lebih puitis dari fileklahbradersister tu semua. syabas!

- ms ika.

-Sara Cempaka- said...

Salam,

Satu event Apresiasi Filem (atau lebih dikenali sebagai promosi filem) bertajuk 4 Madu arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen akan diadakan di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam.

Ia dianjurkan pelajar diploma Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (Pengurusan Seni), semester 3 di bawah subjek Theater and Film Marketing.

Promosi Filem ini diadakan setiap tahun untuk preview filem yang bakal ditayangkan di pawagam. Maksudnya, penonton promosi filem dapat menonton preview filem ini beberapa bulan lebih awal dari penonton yang akan menontonya di pawagam. Untuk blogger, you cud be the first one to actually post review about the film. Artis seperti Saiful Apek, Fasha Sandha, Rozita Che Wan dan Marsha dijangka hadir untuk memeriahkan majlis.

Tiket murah jer, RM 5.

For more information and tickets , do call me , Sara Cempaka-017-7739043

Please support students event. Thanks 4 taking this to your attention.

Check out event profile ,date and time :

http://www.facebook.com/search/?q=Promosi+Filem&init=quick#!/event.php?eid=327246064279&ref=ss

or contact my facebook. search for Liyana Nur Sarah Yusoff

fadz said...

mapiecepofart, akhirnya selesai mengulas semua, fuuuhhhh..

sara cempaka, terima kasih

Anon, erk, terima kasih, fileklah tetap fileklah.. hehe

terima kasih atas pautan, nanti wa check..

Anonymous said...

nak apresiasi apanya filem 4 madu????

Azizulhakim said...

ms ika,
saya tau pasal "Lost Sole" tu,
tapi belum pernah tgk,
honestly, saya terfikir nak buat Capal lepas tgk trailer die, and shot pun byk rujuk dari trailer tu,
konsep sama, hilang selipar, tapi story line Capal lebih straight forward.

Mana boleh lawan Sanif Olek kan, he is one of the best director in S'pore.

tq ms. ika

=)