19 April 2010

Sedikit Catatan Berkenaan Shutter Island(2010)



Macam biasa, ada banyak benda yang aku nak cakap tapi tak dapat cakap sebab segugut, terlupa atau masa tidak mengizinkan. Apapun, terima kasih Syazwan Zakria dan Gala TV Plus kerana sekali lagi memberi aku peluang.

1. Filem ini sememangnya sebuah filem "sinematik", filem yang hanya boleh dihargai dengan menontonnya di pawagam. Secara jujur, aku mahu menonton filem ini sekali lagi, mungkin hari ini, mungkin esok. Tengoklah macam mana.

2. Kenapa filem ni "sinematik", macam aku kata, visceral, sebab semuanya bergerak penting dalam gaya, dalam garapan, dan membawa penonton menelusuri, rasa hujan, detik naik tangga, melihat wanita menutup mulut. Ianya tidak boleh ditonton, tidak boleh dirasai atas skrin plasma di rumah engkau, ia perlu ditonton di layar perak, dirasai bunyinya, dirasai imejnya. Ini, seperti biasa, hanya segelintir pengarah, seperti Scorsese yang masih boleh bawa. Malah CGI filem ini juga "rangup", walaupun kecil dalam plot. Aku menangisi kehilangan Stanley Kubrick, kerana beliau kuat dalam hal ini. Aku gembira, kerana sudah rata-rata kurang filem sebegini, "a movie to get into rather than to solve its puzzle" - yang penting pengalamannya dan bukan persoalan atau klu-klunya.

3. Mungkin orang akan persoal berkenaan pandangan Scorsese berkenaan "politik luar Amerika" yang aku nyatakan. Ini mengambil semangat Hassan Muthlib (beliau memang kuat telahan politik). Leonardo dalam filem ini merupakan seorang simbol "man of violence", seperti yang dinyatakan oleh Max von Sydow ("You are not violence, understand clearly what I say"). Apakah perbezaan insan ganas dan insan keganasan? Insan ganas ialah ia merupakan manusia yang "ganas" (cth. pukul isteri). Insan keganasan ialah manusia yang suka mengelilingkan diri mereka dengan keganasan (atas nama kemanusiaan juga mungkin= Amerika jadi "polis negara" atas dasar "kemanusiaan dan keamanan sejagat"). Tiga babak yang membuka pemahaman ini, pertama Leonardo di kem kematian, kedua, tragik isteri Leonardo, ketiga, mainan ilusi Leonardo yang paranoid terhadap "institusi jiwa", yang kita sedar, bermain-main seperti pita filem yang tiada kesudahan. Kaitkan ketiga-tiga, kita sedar, Leonardo mendepani keganasan secara skala makro (Eropah) dan mikro (rumah), yang membawa dirinya melempias "rasa ganas" secara prasedar yang lalu menghasilkana prasangka "bersalah". Prasangka bersalah ini menyebabkan keseluruhan babak yang kita tonton. Kenapa Scorsese memerlukan kita melihat "cerita Leonardo" sekali lagi dan sekali lagi seperti pita filem? Rujuk polisi "keganasan" Amerika. Adakah Amerika mengaku mereka negara "ganas" atas "keganasan" yang mereka tampak lalu lakukan terhadap Filipina, Vietnam, kemudian Afghanistan, Iraq dan kemungkinan, Iran? Leonardo tidak menerima bahawa dirinya "ganas". Amerika tidak akan menerima negaranya ganas. Inilah persoalan yang ingin dibawa oleh Scorsese dengan sedu sekali. Rujuk dialog terakhir Leonardo berkenaan hal ini.

4. Alfred Hitchcock bukan sahaja yang dirujuk oleh Scorsese (walaupun, boleh dikatakan, banyak mengambil idea suspens Hitchcock: Hitchcock mengajar, suspens wujud dengan tidak melepaskan poin utama atau garis kebenaran kepada penonton, jalan yang bergerak ke arah poin utama atau garis kebenaran itu yang menyebabkan suspens, baik dalam plot seperti yang dibikin kuat dalam Chinatown arahan Roman Polanski, ataupun aksi, seperti yang banyak digarapi dalam North by Northwest arahan Hitchcock). Jika diteliti, dengan sengaja, Scorsese banyak merujuk filem-filem seram, dan jelas, seram gothik. Pemaparan pulau Shutter pada awal filem secara exterior, sama seperti pemaparan pulau King Kong pada awalnya, atau mana-mana istana, rumah agam dalam filem seram gothik seperti The Raven, Falling House of Usher, Red Masque of Death, The Keep, dan lain-lain filem seram gothik yang dibikin Castle dan Corman seusai zaman keemasan Universal. Malah hal ini dapat dilihat jelas dengan penjalinan runut bunyi yang berkuasa dengan suntingan laju dan syot pelbagai sudut yang mengambil semangat filem seram gothik. Hujan tiada kesudahan, perasaan cinta yang nostalgik dan tiada berbalas, semua orang adalah suspek maka Leonardo merupakan "sole hero" atau "sole survivor" merupakan kebiasaan seram gothik seperti yang biasa digerakkan oleh Edgar Allan Poe. Hal ini amat berjaya dibuat oleh Scorsese.

5. Ramai yang mengkagumi lakonan Leonardo. Bagi aku, ya, secara sederhana. Leonardo kini, bersama dengan Scorsese cuba menjadi "the next Robert de Niro" yang bagi aku berjaya dan tidak berjaya. Seperti The Aviator, kali ini Leonardo membawa watak seorang eksentrik yang genius. Sebagai Howard Hughes, Leonardo memang pelik dan meyakinkan. Sebagai US Marshall menjelajah pulau Shutter, Leonardo memang pelik dan pelik. Ini mungkin kerana suara Leonardo yang semacam tidak pecah, walaupun riak wajahnya mengkagumkan. Jika Robert de Niro, kita dapat jumpa kelompongan anak Amerika yang mencari jiwanya dalam latar sekelilingnya yang "terasing", yang mana ia merupakan "anak jalan-jalan Amerika" yang rasa mandul kerana tidak dapat memahami latar Amerika yang terasing buatnya (rujuk Taxi Driver, Raging Bull, New York New York), malah De Niro mengakhiri ini dengan watak "orang biasa terpaksa menjadi jahat" dalam Cape Fear. Kini, dengan Leonardo, Scorsese menyatakan anak Amerika yang genius, tetapi cuba memahami keterasingan dunia Amerikanya (The Aviator, Gangs of New York), lalu terperangkap dalam dunia itu sendiri (filem ini).

6. Ramai yang menyatakan, detik-detik mimpi dalam filem ini menyamai surreal David Lynch. Persamaan ini disamakan kerana mimpi dalam filem ini "menakutkan dan pelik". Sebenarnya, banyak filem seram juga menggunakan babak sebegini sebagai plot, dan paling jelas lebih surreal dna menakutkan adalah Jacob's Ladder. Dalam momen mimpi filem Lynch, mimpi-mimpi mempunyai "bahasa filem"nya yang tersendiri, mahu tidak mahu, punya struktur dan penyelesaian yang berkaitan dengan cerita "realiti sedar" filem itu. Dalam filem ini, mimpi hanyalah mimpi. Ia hanya prasedar Leonardo yang memberi klu kepada penonton (ingat, jika kita sudah tangkap apa maksud filem ini, kita sedar, bahawa ianya sebuah filem berkenaan sebuah filem yang berkenaan sebuah filem). Adakah kita menyanggupi "takdir" Leonardo ini? Jika ya, maka kita sendiri sebenarnya tidak pernah mahu memecahkan diri kita daripada eskapisme filem. Ini merupakan pandangan peribadi Scorsese yang memang "gila wayang" dan tak dapat hidup tanpa filem. Scorsese akan senantiasa terperangkap dalam dunianya, dan inilah yang sedih buatnya dan dia tidak boleh berbuat apa-apa.

7. Filem ini sangat "creepy", dan aku sudah lama tidak menonton sebuah filem yang penuh "creepiness". Terima kasih Scorsese.

8. Sesungguhnya filem ini perlu ditonton sekali lagi bukan kerana hendak memahaminya, tetapi untuk merasa sesuatu yang lain setelah berpengalaman menonton sebelumnya.

9. Antara filem "seram" yang perlu ditonton tahun ini.

10. Rujuk Vertigo dan The Tenant sebagai rujukan "mainan pita yang diulang" dan Pintu Terlarang arahan Joko Anwar sebagai rujukan utama filem ini untuk plot: The Cabinet Case of Dr. Caligari.

ps: Ya, aku nampak gemuk dalam TV yang orang boleh maklum aku TAK ya! Dan "screw you" Kekure, biarlah tangan aku nak bergelojak begitu :p Ya, oleh sebab itu, kerana malu, aku tak sanggup letak pita-pita rakaman YouTube di sini (buat beberapa filem yang pernah diulas oleh GalaTV). Aku letak ni sebagai penghormatan sebuah filem seram yang baik lagi meyakinkan!

8 comments:

reza said...

bagi aku cerita bes, tapi just wayyy too slow..aku dah sakit belakang dah menunggu ending..dan i dont find it creepy..but xpalah pandangan memasing..

Anonymous said...

wayyy too slow?

Kamilasari said...

bro,
aku baru tgk filem ni. aku setuju dengan ayat, a movie to get into rather than to solve its puzzle. Scorsese bikin filem ini jadi sangat menarik dan penuh emosi.

Dan selepas semua puzzle langsai, aku terbayang novel 'Rahsia Perindu'-Ramlee Awang Murshid dibikin jadi filem sebaik ini.

kekure said...

Hahahahahahaha..Siol ko!Kaver nervous la tu tangan gerak2 merata alam

Taf Teh said...

Fadz, ini filem surrealis Scorsese yang perlu ditonton sekurang-kurangnya 2 kali atas sebab UTAMA: untuk memahami dialog terakhir "Is it better to live a monster or die a hero." Ia akan menentukan simpati penonton kepada Leonardo yang tertekan secara mental kerana menembak mati isterinya yang gila ATAU keputusannya untuk memilih lobotami untuk menghentikan 'rakaman pita gilanya', semasa dia 'berpura-pura' gila.

Untuk peminat surrealis, kami akan menonton beberapa kali untuk menikmati babak seperti laut yang 'nampak tidak real', kertas-kertas yang berterbangan berlebih-lebihan dsb.

;-)

fadz said...

Taf teh and all, thx.. aku dapat rasa, mungkin catatan di sini yg menyebabkan Ares Bahar tak setuju.. hehehe

fadz said...

reza, hang mmg tak suka cerita slo mo... tu aku tauh.. hehe, mmg lah ko tak rasa creepy, ko raja GORE.

Kamal, would LOVE to see novel Ramlee itu difilemkan.. man, dats good!

kekure, syyyyyyyyyyyyyyyyy!

taf teh.. yeahhh, rasa nak tgk filem ni sekali lagi..

mukhsen_x said...

aku dah ulang dua kali, memang pengalaman yang berbeza. Tapi kedua-duanya memang seronok. :)