24 May 2010

Lagenda Budak Setan(2010): Cubaan Adaptasi Yang Mencuba

"Aku bukan mencari perempuan, aku mencari cinta..."
Kasha (Farid Kamil)

"Awakkan tubuh kelab benci wanita, no woman no try, no men should cry?"
Ayu (Lisa Surihani)

Aku tak pernah baca novel Ahadiat Akashah ni. Malah, tak pernah satu novelnya pernah aku baca (habis). Serius. Aku pernah cuba habiskan siri seramnya yang agak susah untuk aku hadam (ayatnya berjela-jela, plotnya entah ke mana), malah itulah buku PERTAMA Ahadiat aku, itu pun tak habis. Aku kena caplesh dengan kawan aku Rizal, sebab dia kata, zaman sekolah menengah, novel ni kira lebih penting daripada buku teks. Dengan novel ni, serta novel-novel Ahadiat, anak-anak Malaysia (atau anak-anak Melayu Malaysia, aku tak tahu jika ada orang bukan Melayu yang baca novel Melayu kecuali novel Komsas, kartun Lat dan buku sejarah) diinstitusikan dengan dunia anak-anak Malaysia bernama penuh "Y" "C" dan "E" (jangan terkejut jika ramai ibu bapa sekarang beri anak nama yang bukan-bukan, dimulakan oleh zaman Ahadiat Akashah ini serta Norhayati Berahim), institusi fesyen berjenama (awek aku kata, dunia Ahadiat berlegar dalam Levis dan Armani Exchange), cara hidup serba laju anak-anak kota, anak-anak urban kaya dan budak VI dan St. John. Malah, membaca novel-novel Ahadiat semacam satu "rite of passage" buat anak-anak muda, khususnya gadis, sememangnya, novel ini sendiri, Lagenda Budak Setan aku tahu, sudah mencapai cult status kerana dunia "buatan" (yang ramai pembaca Ahadiat akan mengaku adalah REALITI urban zaman 90-an) yang menampilkan cara hidup material, cantik, luar negara, kereta mewah, wajah kacukan dan pemuda dan gadis urban yang ingin mencari "cinta".

Institusi ini, atau kultus ini aku kira, sedikit-sebanyak sudah menjadi "darah daging" anak-anak muda ini, oleh sebab bagaimana materialnya dunia anak muda sekarang, dengan kenalan terhadap brand. kenalan kepada dunia global (selalunya, Ahadiat "menyuruh" wataknya menuju Amerika, Australia, UK dan pelbagai tempat, yang sebenarnya kesinambungan filem dan novel pop 70-an) dan kebenaran Ahadiat "mewarna" eskapisme buatan tentang warna-warni dan "dunia lain" yang boleh diterokai oleh anak muda ini (hal ini digambarkan dengan "baik" bila Ayu tba-tiba mahu ke "New Zealand esok" atau Kate mahu ke "Los Angeles sambung belajar", ya bukan Carlifornia, tapi LOS ANGELES untuk sambung belajar!) Sememangnya, gilapan kreatif Ahadiat telah, walaupun tidak bertindak sebagai pola utama, sekurang-kurangnya membawa anak muda Melayu 90-an memahami dan membawa penyesuaian terhadap kemunculan cara hidup metroseksual dan barang komersial sebagai bahan kepura-puraan bernilai. Ahadiat membuka jalan anak-anak muda ini mengenal kesintetikan idealisme glokal, khususnya terhadap urban dan jenama. Hal ini, Ahadiat tidak pernah membohong.

Jadi, dalam dunia serba laju dan cepat ini (ya, aku juga anak urban, jadi aku faham apa yang ingin dibawa oleh Ahadiat, dan impian pula untuk anak-anak kampung atau di luar bandar), aku cuba mencari, apa sebenarnya Ahadiat nak kita jumpa?

Ok, aku cuba menjadi "baik sedikit" dengan filem ini kali ini. Pertamanya, kerana sudah berapa tahun entah lekangnya filem adaptasi ke novel. Semenjak Bicara Hati arahan Rosnani Jamil, tidak pernah filem adaptasi melawati pawagam. Keduanya, ada Nur Fazura. Ok, yang kedua tu bias sedikit (tapi Nur Fazura memang hebat dalam filem ni). Secara umum, filem ini, sebagai pemegang obor dunia "plastik" dan "berpura-pura" remaja, yang dicoletkan dengan warna-warni dan latar, watak dan perkembangan "semuanya cantik, semuanya indah", ianya dibawa dengan baik oleh Sharad Sharan. Walaupun ramai yang "bising" pada pratonton yang aku tonton itu berkenaan Kollywoodnya Sharad dalam pembawaan filem ini, secara dasar, pemberian Sharad itu SESUAI dengan skop dan "warna-warni" novel yang diadaptasi, kedua-duanya menyatakan kepura-puraan dan wajah dramatik dan cara hidup "lain" dengan warna-warni, dua-dua kelihatan sintetik, beremosi dan klise melodrama di mana ia memang memerlukan momen-momen melodrama yang stereotaip. Buat ini, Sharad tidak terlepas daripada menjiwainya, menggambarkan sepatutnya bagaimana dunia "picisan" itu di skrin. Apa yang kau nampak dan bayang di kulit novel Ahadiat Akashah, itulah yang kau nampak tercatan di skrin. Malah banyak syot yang disengajakan, detik-detik disengajakan begitu, khususnya rangkulan Kasyah dan Ayu, dialog yang membuka pendedahan dan pelbagai lagi yang mana kita biasa dengan novel popular, wujud dengan ajaib dalam filem ini. Ya, usahlah difikirkan sangat logik dunia novel popular sepertimana aku masih tak faham dengan dunia vampira dan serigala jadian mencintai seorang gadis bernafsu dalam Twilight. Gula-gula Sharan sekurang-kurangnya benar dalam hal ini. Malah ini ditolong baik dengan beberapa syot postcard perfect (segalanya mesti sempurna dalam filem ini, sepertimana bayangan novelnya, rujuk Cinta yang mengambil semangat yang sama) gandingan pelakon muda yang mantap-mantap (aku suka babak Que Haidar dan Lisa Surihani yang dramatik itu) serta runut bunyi yang banyak membantu mood.

Apa yang aku tidak suka adalah, makin kau kupas, makin kau nampak kecurigaannya. Aku tak tahu jika aku mahu salahkan Sharad atau Ahadiat dalam hal ini, oleh sebab aku sendiri tak baca novelnya. Aku bertanya Sinaganaga, cerita apa ni, Naga bagitau aku, ni cerita Ali Setan bertemu Lord of the Ring (ada kena-mengena dengan cincin). Aku tanya Kekure yang dah baca Budak Setan I dan II, tapi dia rasa yang dia sedang tonton tu ada dalam Budak Setan III. Ya, dia pun konpius. Aku sedar, Sharad seakan-akan berkobar-kobar benar, ada benda yang dia terlalu lajukan, ada yang dia terlalu ambil masa untuk membuak mood.

Pembukaan filem ini, seperti mana MF Kencana nyatakan, memang, ia sedikit caca-merba, tiada pengenalan watak dan plot yang betul-betul menusuk. Kita benar-benar "kenal" watak Farid Kamil sewaktu dia memasukkan cicak dalam Coke. Di situ, hal-hal kemudian menjadi menarik. Kemudian, percintaan Farid Kamil dan Lisa Surihani. Kita diberikan detik "kasih" yang mencukupi, tetapi aku mohon kalau boleh diperpenjangkan sedikit dengan satu dilema, kerana aku betul-betul mahu mempercayai hubungan kasih Lisa dan Farid itu "benar". Kita seakan, semacam, seperti kesuntukan masa, diberi satu rumusan bahawa Lisa (sebagai Ayu) amat mencintai Farid. Ini amat ditolong oleh "jalinan kimia" yang memang tampak wujud antara dua pelakon. Hanya ia dijanggalkan dengan dorongan Sharad untuk melajukan cerita atas dasar memadatkan masa penceritaan. Hal ini tampak "buruk" apabila dalam satu babak, Farid sudah mengenali ibu Lisa, Sheila Mambo dalam satu babak yang crucial. Bagaimana pula dengan cerita syarikat Amelia yang tiba-tiba "luput" dek Amelia "sakit"? (di sini, berlaku banyak babak-babak di mana watak menceritakan "plot" kepada watak lain sebagai "menyenangkan penjelasan penceritaan", sebiji-sebiji macam drama radio, walaupun tidak terlalu polos.) Berlaku hal yang melompat-lompat tanpa kepastian. Malah cerita ini sebenarnya dipecahkan kepada tiga bahagian, yang aku meraguinya atas dasar cara ia diperkembangkan. Paling lemah adalah cara pengarah memperkenalkan watak Que Haidar (walaupun lakonannya mengujakan) dan watak Nur Fazura. Malah, aku merasakan, pada bahagian tiga, Sharad sudah mula terumbang-ambing dari segi kesinambungan dan justifikasi watak, sepatutnya cerita "Ayu" yang kita mahu kenal (kerana dalam babak-babak ini, Ayu yang amnesia perlu diingati kembali cintanya dengan Kasyah, ataupun waktu ini, Ayu dan Kasyah diberi "peluang kedua" untuk mengenali antara satu sama lain, seakan "jatuh cinta sekali lagi" tetapi hal ini tidak berlaku, malah berlaku dengan lemah sekali) dan bukan fokus pengarah yang lebih kepada "jiwa batin" Kate. Ini yang menyedihkan, kerana kita sudah mula "menyukai" kasih-sayang Kasyah-Ayu, kita tidak diberi "rolling curtain" yang memuaskan untuk kasih-sayang yang melalui ranjau dan duri itu (aduh!)

Pengarahan fotografi Mike Muschamps, ada yang membantu, ada yang memerlukan sinemaskop untuk mewujudkan "rasa ikonik" terhadap Lisa-Farid (ada syot-syot yang menyekat wajah Lisa amat menjengkelkan), malah ada babak yang sedikit janggal dengan penggunaan hand held camera (pertama kali aku tonton sebuah filem romantik guna hand held camera! Shhheeeeeshh!), En. Sharad dan Mike, ini bukan Reds atau Lost in Translation eh untuk kalian bermain dengan hand held camera sesuka hati yang amat eksperimental sifatnya itu. Kalian perlu "make up your mind". Pun begitu, aku merasakan babak pergaduhan Que Haidar dan Lisa merupakan antara babak terkuat filem ini (sedih juga, babak ganas dalam filem cinta menjadi hallmarknya, patutnya bibit-bibit cinta filem tu.. haykhhh...)

Jadi persoalan aku, apakah aku menjumpai sesuatu dalam Lagenda Budak Setan? Sebagai sebuah filem yang diadaptasi daripada novel, kalau aku jenis suka membaca novel picisan, sudah tentu aku akan cari novelnya selepas menonton filem ini (dan mulalah aku buat perbandingan filem dan novel). Sebagai penonton Melayu yang suka filem Melayu cintan-cintun, mungkin, aku akan menjumpai warna-warni plastik yang indah berkenaan kisah tragis, dengan imbangan emosi cukup (ya, ada juga detik komedi, drama dan sedih) dan babak-babak berdialog yang "punchy". Sebagai penonton yang menonton, errr, aku masih tercari-cari dunia Ahadiat ini, apakah yang gemerlapannya? Apakah yang membuatnya "stay in your mind?" Serius, aku cuba mencarinya tapi aku tak jumpa walaupun sekarang. Mungkin filem ini bolehlah dikatakan sebagai sambungan atau melengkapi filem-filem Yusof Haslam zaman 90-an serta evolusi filem-filem Esok Jins Shamsuddin pada 80-an, dengan plot dan struktur cerita yang bermain "galah-panjang" dalam dunianya yang tersendiri, menguja kita dengan eskapis warna-warni, kisah pari-pari realiti berlatar urban dan glos kekayaan. Well, itu pun sejauh mana anda mahu mempercayai bahawa ianya realiti atau mimpi. Sekurang-kurangnya ia "watchable" daripada filem-filem Razak Mohaideen.

Dan, errrr, aku tak nangis ah tengok nih.. Camne tuh?

ps: Oh ya, JANGAN, JANGAN baca sari kata Inggerisnya, ia akan membina mood komedi anda ke bulan.

17 comments:

Muhammad said...

Sebenarnya Pilem ini..tak bagus dalam menterjemahkan naskah " Lagenda Budak Setan ".

kasyah adalah " lelaki setan " yg menemui cinta. itu yg me paham semasa membaca buku ini , 10 tahun yg lepas.

tapi filem ini :

Menjadikan Kasha sebagai....

- Model British India
- Lelaki ganas yg dalam hatinya ada taman.
- Lepas jatuh cinta..terus berubah jadi " M.Nasir " lagaknya. ala..ala lelaki yg sensetif dengan alam dan kesenian. :P

Mudah cakap
berlaku konflict sebenarnya dalam mengadaptasi dari buku kepada wayang lebar.

bahasa buku : 90 an
latar dunia filem : 2009 ??

Babak paling me tak boleh terima..

Ko pegang notebook , dalam bilik ada pc...pastu suruh kawan ko tulis surat kat bf dia ???

tulis surat ??? yayyyyyyy

Ajami Hashim said...

"Dan, errrr, aku tak nangis ah tengok nih.. Camne tuh?"

kau hati batu!
*tips: selalulah ke klcc duduk kat tepi kolam tu yer! :)

fadz said...

Muhammad, Slm,

seperti yg aku maklum, aku "baik sedikit" sebab ini filem adaptasi..

Ajami, ceh, blah lah..

sinaganaga said...

"Dan, errrr, aku tak nangis ah tengok nih.. Camne tuh?"

Ha ha, Fadz, kau sebenarnya seorang psychotic!

Boleh tak statement gua tu, Ajami? He he. *lariiiiiii*

zulazahari said...

Tgh tunggu review untuk filem '2 Alam', Dr Rozmey buat promosi gila2 tu.

fadz said...

naga, double blah, ko siap ketawa eh!

zul, hmm yah, menunggu..

Muhammad said...

uncle ajami

err..siapa yg duduk kat tepi pool KLCC tu ???

fadz ??

fadz said...

oh, muhammad, hang bila ada prebiu je hang turun KL no!

Anonymous said...

ulasan kiut. mesejnya ialah - bikin pilem adaptasi untuk dapat ulasan "baik sedikit" dari fadz. kihkihkih
- mak enon

Muhammad said...

fadz

me selasa sampai jumaat ada di seremban. 3 hari saja ada di shah alam . ( mmg tak adil kan ).

ala..nanti if me bersidai kat kinu tu me call u ( owh..jenuh dah mencari buku poem hafez of persia )

p:s - me sesat kat pudu minggu lepas.( see betapa lama me tak merayau di kota lumpur berselut nieh )

fadz said...

bole tah semalam aku mimpi tgk pratonton filem 2Alam, dan aku "suka"? Erk!!!

Muhammad, waaaaaaaaah, OK!

ajak ajami sekali, jadi pemandu peribadi, ehehehhehehe..

mak enon, yah, nak kata adaptasi yang "gagal" tak lah, dan ya, aku mmg menyokong juga, walaupun karyanya picisan..

fadz said...

bole tah semalam aku mimpi tgk pratonton filem 2Alam, dan aku "suka"? Erk!!!

Muhammad, waaaaaaaaah, OK!

ajak ajami sekali, jadi pemandu peribadi, ehehehhehehe..

mak enon, yah, nak kata adaptasi yang "gagal" tak lah, dan ya, aku mmg menyokong juga, walaupun karyanya picisan..

tropical_jingga said...

lagenda budak setan... plot yg terkejar2... semua mcm nak cepat.. kenapa yer??? huhuh..

fadz said...

kejar untung, tu la fasal..

ibu amirul said...

SAYA PERNAH BACA NOVEL BUDAK SETAN 1, 2, 3 DAN NOVEL LAGENDA BUDAK SETAN... MEMANG BEST.....
TAPI BILA DIADAPTASI JADI FILEM.. TAK BAPE NAK BEST SANGAT... ADEGAN2 YANG NAK MENUNJUKKAN BETAPA SETANNYA KASYAH TAK BERAPA SANGAT.. TIBA-TIBA BUDAK SETAN JADI BAIK SEBAB JATUH CINTA..

kekure said...

Ulasan ko patut lebih kejam hahaha

fadz said...

aku dah kata, filem ni filem adaptasi jadi aku bagi peluang sikit.