14 June 2010

Broken Embraces(2009): Aku Mahu Tinggal dalam Alam Pedro Almodovar

Sebelum itu:

Cicak Man (adiwira kita?!) dah jadi Dadah Man?

Sila baca di sini.

ok...

Los abrazos rotos ....

Just thinking about this movie makes me cry!

Aku rasa, aku sudah begitu cukup menonton filem-filem popular, baik dari barisan filem-filem musim panas Hollywood yang tang tu tang tuuuu jugak serta filem-filem Melayu yang memberi aku, ada kalanya satu kejutan atau keseraman yang meluat.

Aku memerlukan sumbangan ihsan penjual DVD haram kita untuk membantu aku siuman dalam dunia serba kebosanan dan sama ini. Apabila aku menjumpai Broken Embraces (Los abrazos rotos) di sebuah kedai di Gombak, aku tahu aku tidak akan diperlekehkan oleh Almodovar. Betapa benarnya aku.

Menariknya, bila menonton untuk kali pertama, perasaan dan refleksi aku terhadapnya semacam menonton mana-mana filem Almodovar yang biasa (terdapat filem Almodovar yang biasa, dan kemudiannya yang magis, yang memaut kita terus sewaktu menonton), aku mendapat sesuatu, tetapi tidaklah aku terpaut. Tetapi, kemudian, lama-kelamaan wujud satu perasaan dan kepala aku bermain dengan memori, lintas-lintas imej dan adegan filem ini memenuhi kesedaran aku. Dan waktu itu aku sedar Almodovar telah mencipta suatu adikarya baharu yang indah, ia meresap dan duduk dalam jiwa dan kepala aku, bukan sewaktu aku menontonnya, tetapi selepasnya. Ini ironik dengan coretan filem ini sendiri, yang mempunyai empat pandangan sisi berkenaan satu subjek (di sini, tumpuannya terhadap Lena, lakonan Penelope Cruz), yang mana, seperti mana filem ini memohon wataknya menyedari, bahawa indah dan kebenaran itu datang sewaktu "buta" (atau apa yang tidak terlihat), dan bukan sewaktunya.

Ini yang membuat aku menangis. Sekali gus, realiti aku, kesedaran aku, terperangkap dalam filem ini. Tidak pernah ada sebuah filem yang mengisi aku sewaktu selepas menontonnya, dan bukan sewaktu menontonnya. (idea: filem tidak pernah meninggalkan kita, filem adalah hidup kita!)

Ada beberapa babak yang mempamerkan hal ini dengan impresif sekali.

Pada awal filem, kita diperkenalkan dengan Harry Canes (Lluis Homar) yang menyatakan suatu falsafah terhadap Diego (Tamar Novas), penolongnya serta anak kepada PAnya, Judit (Bianca Protillo). Harry Canes, seorang penulis (skrip) menyatakan satu falsafah yang mendalam, walaupun secara naratif, tentang sesuatu yang tidak dihendaki oleh seseorang tidak semestinya membuat seseorang itu membencinya. Malah, secara tidak sedar, dengan sebab itu juga, memberinya redemption. Tema ini dipermainkan dalam beberapa subteks. Dalam satu babak pembukaan, Harry Canes bertanya kepada seorang wanita cantik untuk "menggambarkan" ciri-ciri cantiknya untuk dia (kita) dengar. Kita, para penonton dapat melihat seksi dan cantik wanita ini, Harry Canes tidak. Harry Canes "mencipta imej" dalam kepalanya sedang kita waktu itu dapat melihat kecantikan wanita itu secara menerus. Harry Canes selepas itu menyentuhnya. Selepas itu, dia "bersenggama" dengan wanita cantik itu tetapi ini tidak dipertontonkan. Tetapi imaginasi kita sudah membentuk "imej". Di sini, kita "satu seri sama" dengan Harry Canes.

"Imej" yang tiada imej ini yang mengisi makna.

Selepas itu, kita diberi peluang untuk mengenali Lena (diceritakan oleh Harry Canes), dan seorang jutawan yang mengambilnya sebagai perempuan simpanan. Misteri kematian Lena, dan jatuhnya jutawan itu daripada martabat dan kuasanya menyebabkan, pada saat itu, atau sampai 3/4 daripada filem itu, membentuk "imej" bagaimana Lena akan "dibunuh" oleh jutawan.

Di sinilah genius Almodovar untuk memberikan suara yang lain terhadap satu penerusan plot yang memerangkap perasaan penontonnya.

Setakat ini, kita hanya mengikuti perasaan dan intuisi kita menonton. Kita lupa pada satu perkara lagi, manusia ialah manusia.

Almodovar banyak memberikan kejutan demi kejutan dalam filem ini, secara menarik, kejutan ini, walaupun pada detik awalnya kelihatan suspens ala ngeri melodrama Joan Crowford (tipikal Almodovar pada sinema awalnya, termasuk Matador dan diteruskan dengan Bad Education), kita mendapati, Almodovar membuka kotak-kotak rahsia yang lebih penting daripada itu: pengalaman manusiawi.

Dan seperti Almodovar yang kita sudah kenali, seperti mana watak-watak Hayao Miyazaki, watak-wataknya Almodovar walaupun betapa buruk atau negatif motif ataupun aksinya, mereka merupakan watak-watak manusia yang terperangkap dalam qada' dan qadar mereka, terperangkap dengan passion. Passion menyebabkan kita iri hati atau jatuh cinta atau membenci. Pendek kata, tidak ada manusia yang baik atau jahat dalam dunia ini, hanya manusia yang memilih pilihan hidup mereka (yang disalah tanggap oleh orang luar sebagai baik ataupun buruk). Almodovar "menjelaskan" dalam filem ini, tidak ada yang perlu dimaafkan, ditangisi atau dimarahi, hanya pemahaman dan perayaan terhadap human passion. Daripada pemahaman (sifat humanis yang kuat dalam Almodovar), akan berlaku perhubungan, dari perhubungan ini, wujudnya "cinta".

Di sinilah magisnya Almodovar "melakar" para wataknya untuk berhubung dalam segala yang tidak terikat dalam bingkai gambar (baca: realisasi "buta" kepada penonton terhadap watak "buta" Harry Canes), tetapi terikat dalam momen-momen keterasingan, kejauhan dan kerinduan (lantas, menemui passion dalam hal-hal canggung ini). Momen ini, buat Almadovar, yang penting buat manusia, jika mereka memperlekehkan hal inilah yang akan membuatkan mereka bukan manusia lagi. Hal ini dipaparkan dengan jelas dalam babak sewaktu Harry Canes yang buta berjalan tangan dengan Diego yang kecil sambil dilihat oleh ibunya. Lantas si ibu menangis. Atau bagaimana Harry Canes, tidak peduli pun sangat akan "kebenaran" pita Ray X berkenaan pembunuhan Lena, yang lebih penting adalah wajah Lena di skrin TV, yang tidak dapat dilihat oleh Harry Canes, tetapi dapat dipegang, walaupun di skrin sewaktu videonya dijeda. Ini memberi perasaan dan hubungan manusia yang kuat, dan tidak dapat dipersoalkan kekuatannya.

Segalanya dalam filem ini adalah vintaj Almodovar, warna-warna yang berkeyakinan dalam warna-warna terang merah, hijau dan hitam putih, mengambil idealisme Women on The Verge of Breakdown, yang juga merupakan "filem" yang sedang diarahkan oleh Harry Canes dalam filem ini (sebelum beliau buta). Penelope Cruz adalah pelakon yang sememangnya mencapai primanya. Bila kita melihatnya berwajah Audrey Hepburn, kita tahu ia sudah mencapai setahap bintang itu. Tetapi Pedro/Canes menafikan, memberikan Cruz/Lena satu wajah: yang sasar dan tidak popular menjadi indah. Dan ini digemilangkan oleh Penelope Cruz dengan jayanya.

Filem ini merupakan profil Almodovar, bahawa waktu ini, Almodovar boleh melakukan apa sahaja dan masih, mengejutkan kita. Ini merupakan kesinambungan filem Almodovar menyelami perasaan lelaki (sepertimana yang terbaik dalam Talk To Her, atau Live Flesh, Law of Desire, dan Bad Education), dan ini semacam evolusi Almodovar untuk "keluar" dan kembali memeluk genre Hitchcocknya, dan mengalunnya dengan cantik filem-filem drama/melodramanya. Dan filem ini merupakan jalinannya yang paling sempurna setakat ini. Malah memparodikan sebuah filem komedinya yang besar amat mengejutkan, memberi satu skop baharu bila memperlihatnya sekali lagi. Almodovar membuat kita mahu tinggal sahaja dalam dunia indahnya yang tersendiri.


5 comments:

Anonymous said...

apa salah saiful apek kat lu bro?

mukhsen_x said...

aku penah tengok talk to her je, yang aku rasa antara filem terbaik pernah aku tonton.

aku nak cari Los abrazos rotos la pulak. gracias por la revision yang sangat mendalam.:)

Anonymous said...

awak ni crybabi betul. i like.

Taf Teh said...

ok, akan cari dan tonton, kemudian baru baca rebiu ini.

;-)

fadz said...

saiful apek, dia telah menconteng arang pada mukaku! hahaha, tak lah, entah, selain daripada memberi kita Sifu & Tongga, aku respek mamat tu, dan untuk makluman, kenyataan atas tu ditulis dengan tanda "?" jadi "iyakah?"

eh, lantaklah, dia nak isap ais krim ke melody pop ke, janji dia berkreatif!

mukhsen, ko mesti... taf, hahah, rebiu ni takde benda,, sebenarnya lagi aku selam, lagi aku nampak macam2..