22 June 2010

Filem Musim Panas Dah Datang!

Sex and The City 2(2010)

Aku rasa agak tersentuh jugalah apabila kebanyakan penonton dunia agak tersinggung dengan babak (spoiler) Samantha menjamu kondom ke muka pak Arab-pak Arab dengan bangga dan bengang, walaupun, aku tak tahu kenapa, melihat kebiadaban Samantha itu sudah diduga, malah, seakan satu kelazatan yang pelik.

Yeap. Aku tak tonton filem yang pertama sebab aku tak berapa setuju dengan tujuan filem ini dibuat (nak buat duit sempena pengikut yang ramai, tak, ini lain dengan Star Trek sebab drama televisyen tu kena padam pada pertengahan jalan), malah apa lagi yang kau boleh dapat melainkan sebuah sambungan episod drama dalam bentuk beberapa episod dalam dua jam tentang Mr. Big dan Carrie (aku betul pun, bila tengok no. 2, deme dah kahwin).

Tapi yang no. 2 aku tengok gak. SATC dulu, sebelum Glee (yang aku tak tonton, dan masih rasa geli nak tengok) dan BSG (ni segolongan je kenal kat Malaysia) atau Heroes, kira macam satu fenomenalah, macam zaman BH 90210, sape tak tengok (macam aku) kira loserlah (aku layan The X-Files dan Life Goes On zaman tu). OK, kau memang perlukan "siapa ni siapa tu" untuk tahu apa ke benda plot yang bergerak dalam filem ni (SATC menganggap korang dah pun menjadi penonton drama 4 wanita 30-an bernafsu tinggi ini). Semuanya nampak OK, dengan perkahwinan Gay yang kalah mana-mana putera Sultan (ingat, ni filem). Lalu, tiba-tiba, babak Liza Minelli menyanyi bagai anak dara (err, andartu, maaf). Waktu tu, aku macam, oh oh, ini dah masuk bab surreal ni. Yeap, babak itu tersangatlah melampau dan tersangatlah "fantastikal", aku merasakan seakan aku tidak berada di Kansas waktu itu.

Lantas, dua babak Samantha bersama jantan di ranjang dipotong (OK, aku rasa korang dah faham watak mana yang paling aku suka). Ya da ya da yada, tiba-tiba Samantha ajak Carrie, Miranda dan Charlotte untuk ke Abu Dhabi (Abu Dhabi Do!) Saat itu, kau tahu, Liza Minelli itu tadi sebuah logamaya, kini kau betul-betul masuk ke dalam ribut pasir.

Tapi, ya, apa yang membuatkan filem ni menarik pada aku, perempuan-perempuan ni tetap bersikap "lantak kitaoranglah nak ke mana!" dan peduli hape dengan apa-apa yang mereka jumpa di hadapan, walaupun plot berlubang atau perwatakan yang kurang meyakinkan, logik dicampak ke tepi, paling penting ialah sketsa dan karikatur 4 wanita ini terhadap apa-apa yang membahayakan dan juga mengghairahkan mereka. Dan aku boleh telan semua itu, hahahaha!

Lantas, dan paling penting, SATC tidak menipu apabila mereka, walau betapa materialistik, kecoh dan bling blingnya jiwa mereka (seperti bagaimana mementingkan dirinya Carrie di dalam hubungan perkahwinannya dengan Mr. Big), mereka tetap menyatakan emantipasi kewanitaan mereka serta dalam kelemahan mereka, mereka dapat menyelesaikan masalah dalam cara mereka yang tersendiri (inilah pun hakikat episod ini dikitar dalam plot yang serupa). Sukatan penerimaan itu terletak kepada kesanggupan penonton menerima reaksi dan pilihan wanita-wanita ini (contoh seperti Charlotte merengek apabila baju vintajnya dikotorkan oleh anak kecilnya) walau bagaimana absurd dan dangkal dari segi pemahaman kemanusiaannya. Sekurang-kurangnya, bahasa filemnya "betul", lebih-lebih lagi penggunaan "kaki seksi" terhadap rujukan filem lama, It Happened One Night terhadap latar Abu Dhabi. Pemahaman seks yang ditekan amat menarik, melihat filem ini seakan "seorang budak kecil balik", mungkin begitulah keinginan Micheal apabila membawa 4 wanita ini ke Abu Dhabi dan ditemukan dengan realiti (yang sebenarnya fantasi) yang membuat mereka berkeinginan seperti "kanak-kanak". Lolipop ini tentu masih terlalu manis untuk beberapa orang. Tetapi kerana keberanian Micheal memperlihatkan "kebodohan Amerika" pada zaman pasca9/11, lebih-lebih lagi pasca Mava Marmara amat berani dalam langkahnya, walaupun ya, ada sebuah parit luas menunggu si pejalan.

Toy Story 3(2010)

Inilah dia filem musim panas untuk aku. Aku mengesyorkan filem ini ditonton oleh sesiapa yang ingin kesemua rencah kebiasaan Musim Panas dihidang dalam sebatian yang rata, serta beberapa campuran yang membuatnya makanan yang lazat daripada biasa.

Trilogi ini juga merupakan, untuk pertama kali, trilogi yang bukan sahaja yang paling berjaya, tetapi berjaya daripada segi filem animasi bertrilogi. Kini semacam satu kitaran yang penuh, tetapi filem-filemnya tetap boleh ditonton dengan sendirinya. Ini kekuatan francais filem ini.

Walaupun mainan plotnya masih berlingkar berkenaan pencarian dan "mencari kembali sang tuan", seperti mana yang wujud dalam filem pertama dan kedua, filem ketiga memberi pemahaman dari sisi lain. Melihat ketiga-tiga filem ini secara makro, aku menyedari sang penulis skrip serta pengarah telah bermain dengan matlamat dan falsafah di sebalik pengembaraan Odisi (Odisius, laksamana tentera yang terlibat dalam Perang Trojan, lantas cerita ini menceritakan kembara bahaya dan mistik Odisius sebelum sampai kembali ke kotanya). Malah di dalam filem ini jelas dengan watak anak patung bayi bermata satu (Cyclops) , Lotso (Calypso) yang menipu dan membuat para mainan itu tinggal di kawasan yang akan memerangkap mereka, pusaran api (Charybdis) yang membawa hero-hero kita ke arah kematian mereka. Di sini, kita menyedari, seperti mana bahagian pertama dan kedua, tema "ingat", "memori" dan "lupa" merupakan kekuatan yang paling terkesankan di dalam filem ini, malah, dalam filem ini, tampak "jelas" apabila, Andy, sekali lagi diuji, dan kali ini, ujiannya yang paling kuat, ujian kedewasaan (seperti mana pengembaraan Odisi mendewasakan) dan belajar untuk mempercayai jaminan orang lain terhadap benda yang akan kita tinggalkan (rujuk "kematian" dan rujuk hal ini dengan adegan Odisius ke alam kematian). Sememangnya, ianya sebuah pengembaraan yang mewah dan penuh emosi, memberi kita nilai yang semampunya mencerahkan dan berperasaan. Ini sebuah filem kemenangan, antara yang terbaik tahun ini, serta aku percaya akan memenangi Oskar untuk tahun depan.



Anak Bapak(1968)

Aku tengok filem ni arituh kat Astro Prima. Selalunya, orang tak berapa suka dengan filem P. Ramlee pascaJalan Ampas. Filem ini mungkin tidak se"friendly" (contoh: beberapa babak panjang dengan selingan lagu yang buat aku kali pertamanya terlalu diselit sebagai sellingan, dan babak selingan ini amat mendatar, walaupun ada satu babak kita memahami adalah simbol "pujuk rayu" P. Ramlee dengan Roseyatimah, bahasa kasarnya, deme "mainlah", duhhh) filem zaman keemasan Seniman Agung ini, tetapi tahap intelektual dan "cubitan" P. Ramlee, bagi aku dalam filem-filem seterusnya agak matang (dewasa) dan bernafas seksual, dan mungkin hal ini yang tidak berapa disukai oleh penonton (kerana keberanian P. Ramlee untuk melangkau daripada tempat kebiasaannya).

Filem ini ditulis oleh AR Tompel, yang buat aku, menjadi kekuatan tunggak filem ini selain P. Ramlee. Ya, ada beberapa babak awal yang disengajakan melodramatik (dengan runut bunyi emosional), menyatakan PRINSIP P. Ramlee yang tidak akan menggunakan duit syarikatnya atas sebab peribadi (OK, bahagian ini sedikit didaktik), menyebabkan, kita melihat watak sumbing (sumbing: dia minum arak, joli dan bagusnya jujur dengan hal itu, serta main banyak perempuan) P. Ramlee dalam filem ini sebagai "fallen hero", ya, P. Ramlee tetap "romantik" (babak ini menyebabkan keseluruhan filem ini tidak berimbang baik).

Filem ini mendapat sparklenya (Haha, SATC pulak tetiba) dengan jalinan dan perhubungan P. Ramlee dan AR Tompel yang menarik. AR Tompel boleh memanggil anaknya "anak abah" atau "anak hantu", melihat kepada situasi dan tindakan anaknya. Inilah yang dimainkan dan dipermainkan. Secara umum, filem ini mengambil intipati filem-filem hikayat yang mana, sang putera bermain muslihat dengan ayahnya, untuk mendapatkan sesuatu daripada ayahnya (di sini, jururawat ayahnya yang dilakonkan oleh Roseyetimah).

Filem ini betul-betul bergerak dengan lelucon yang sofistikated dan ber"lapis" dua apabila babak "malam" AR Tompel bermalam di rumahnya di Kuala Lumpur. Malah, di sini kita sudah faham apabila AR Tompel dengan berani memohon Ruminah Sidek (penyanyi kelab malam yang syok kat P. Ramlee) "tidur" bersamanya! Di sini, berlaku mainan "changing partner" yang amat comel sekali, tanpa menyatakan babak ini sebenarnya babak "seks"! Inilah sofistikatednya filem ini.

Satu babak yang aku tidak dapat bayangkan lawaknya ialah sewaktu AR Tompel yang suka mengintip bilik tidur anaknya! Ya, jika difikirkan, berapa "miangnya" si ayah ini (kita faham, ia mahu melihat jika anaknya ingin bergomol dengan isterinya, satu pemahaman voyeurisme yang amat marabahaya dalam sebuah filem Melayu! Lebih bahaya daripada babak mengintip dalam Senario The Movie) yang setiap kali mengintip, kita menyedari satu lapisan psikoseksual yang menarik, bapa borek anak rintik "mungkin" tidak boleh dicapai di sini secara pemahaman yang senang, tetapi bapa dan anak berborek dan merintik(!), satu lapisan nipis tentang sumbang mahram pelik yang tidka boleh dinyatakan dalam perkataan (klu: P. Ramlee minat dekat jururawat ayahnya, ayahnya minat kat bekas awek anaknya).

Dan ketidaktentuan ini, di"betulkan" dengan, kononnya, undang-undang, apabila si ayah membawa "mahkamah" ke rumahnya sendiri (menyatakan poin kecelaruan perlu diselesaikan dengan keadilan). Yang mana, tahap ini, kita sudah faham dengan "keinginan seksual tinggi" si ayah untuk "mendapatkan" Ruminah Sidek. Kenapa perlu mahkamah dan kenapa perlu dipertontonkan kepada awam? Absurd atau farsa yang disengajakan? Di sini, kita sudah tahu "megalomaniak" watak AR Tompel, tetapi, kita juga sedar, dengan cara "mahkamah" (legal: benda yang sah) sahaja AR Tompel dapat memiliki Ruminah Sidek (sesuatu yang tidak sah: wnaita kabaret), dengan "paparan secara adil" sahaja AR Tompel yang duduk nun tinggi atas gunung dapat menyapa si wanita kotor (Ruminah Sidek, yang sememangnya femme fatale dalam filem ini) yang diidamkan.

Bolehkah kompleksiti dan sofistikasi sebegini berlaku dalam filem komedi kita?



nota fadz: Oh ya, jangan terlepas menonton Age of Glory 2 di NTV7 10 mlm, suatu kerja tempatan yang amat membanggakan!

3 comments:

JePh said...

toy story 3 mmg best! cuma versi 3D nya kureng timbul laa..huhu.

Paan said...

Damn! Belum berkesempatan nak tengok Toy Story 3 lagi... last semester memang perihnya begini ya? T_T

fadz said...

JePh, semenjak Clash of the Titans, fasal tu aku tak moh tonton filem2 3D.. semenjak aku tonton Avatar 3D, berpinar mata aku, pening! Aku rasa 3D ni boleh mendatangkan rabun atau buta. hahahahahahah..

Paan, sabor je lah!