02 August 2010

Oh Fatimah(1989): Ikon Kejatuhan Filem Melayu


Pada tahun 1987-1990 merupakan antara zaman-zaman filem Melayu "jatuh" daripada martabatnya. Aku tidak hafal jika waktu itu juga ekonomi agak meleset, banyak pengangguran berlaku. Tetapi aku pasti pada waktu itu, tidak banyak filem yang keluar, lebih-lebih lagi filem yang baik keluar. Jumlah penonton yang menonton filem Melayu, merundum. Zaman itu merupakan zaman rock, era Kembara Seniman Jalanan.

A.R. Badul atau kita kenali sebagai Badul pada zaman itu merupakan satu-satunya ikon ataupun penggerak nyawa filem Melayu yang mula lumpuh pada waktu itu. Ramai yang mengecamnya (sepertimana ramai yang mengecam David Teo, Prof. Razak dan Ahmad Idham sekarang sebagai pelopor filem komersial, mementingkan pulangan duit tinggi daripada isi dan estetika) sebagai "lawak bodoh", dengan banyak menggunakan dub suara "uhhh", "hehehe", "hmmm", mengambil lagu saduran (filem Oh Fatimah mengambil lagu Beverly Hills Cop), tidak membawa apa-apa pembaharuan ataupun kesegaran dalam filem Melayu. Tetapi filem-filem Badul amat popular dan diikuti oleh golongan rendah dan marhaen waktu itu, malah mempunyai pengikutnya yang tersendiri (aku adalah di antaranya). Maka sebab itu, Badul dan filem-filemnya, baik yang dilakonkan atau diarahkan, merupakan semacam "nafas terakhir" nadi filem Melayu pada waktu itu, walaupun mungkin orang tidak menyetujui kaedah dan ceritanya.

Dalam filem-filem Badul, Badul banyak memperkatakan tentang perhubungan, khususnya lelaki-wanita. Badul merupakan Figaro, juga kasnova filem Melayu, yang alang-alang bodoh, berlagak bodoh dan lurus (atau dianggap licik) untuk menambat hati si wanita dalam filemnya. Keseluruhan filemnya adalah berkenaan bagaimana si lelaki memikat si wanita, baik ia bujang, berkahwin atau duda. Lihat sahaja babak Tuan Badul arahan Jamil Sulong. Filem itu memaparkan megah dna tangkas si Badul sebagai bos, tetapi bila terlihat Noor si orang gaji (Noorkumalasari), si Badul menepuk lantai, mendayu dan membising untuk Noor membuka pintu. Badul sekali gus nafsu rakus dan gedik lemah yang terprojeksi dalam bentuk lurus bendul dan keanak-anakan.

Mungkin begitulah era Malaysia dan anak-anaknya, mengambil semangat carefree tanpa terlalu risau dan mengejar dunia. Patutlah kita kebelakang daripada Singapura yang dinamis dan proaktif, kita terbuai-buai dengan eskapis lelaki-wanita, cara memikat dan menggatal.

Tetapi Badul sendiri pun mencapai (hampir) kesempurnaan dalam memikat dan memahami ikatan perhubungan lelaki-wanita, ini tampak sekali dalam Hantu Siang, yang buat aku merupakan filem Badul yang paling berjaya menyatakan semanagtnya.

Aku terseronok untuk mengenali filem ini kerana antara semua filem Badul yang aku tonton(!), aku tidak pernah kesempatan menonton filem Badul yang ini. Pada waktu itu, di FFM ke-8, filem ini diumumkan dengan mengejut, merangkul pengarah terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik, dan juga pelakon kanak-kanak terbaik. Filem ini "menang besar", mengalahkan dua filem "baik" tahun itu, Yassin (arahan Kamal Ariffin) dan Anak Sarawak. Malah filem arahan Badul, Pelumba Malam memenangi banyak anugerah pada FFM tahun yang sama (pada tahun itu, tidak ada filem terbaik). Zaman kebangkitan Badul ini diperlihatkan sebagai zaman merosot filem Melayu. Badul, yang juga mewakili Z. Lokman dan beberapa pengarah "cukup makan" pada zaman itu seakan-akan memaparkan the underdog sudah punya suara untuk mencoret dan menghala gerakan industri perfileman, atau sekurang-kurangnya mengiktiraf mereka. Sememangnya selepas itu, ramai penerbit filem memohon Badul mengarah filem mereka. Sedihnya, kebanyakan filem-filem itu tidak cukup kuasa menarik para penonton atau tidak cukup inti dan isi untuk diperkatakan. Kejayaan Badul dihambur dengan alpa oleh masyarakat.

Aku pernah menonton sedutan awal filem ini sewaktu aku dalam pejabat Astro Awani bersama Syazwan Zakariah, sebelum aku ditemu bual olehnya. Dalam gelupur sejuk aku, aku menonton filem ini untuk menenangkan fikiran. Aku tercuit satu perkara pada waktu itu, awal-awal lagi, Badul memang memberi suatu kesegaran yang menarik, bagaimana babak Badul memikat Raja Baizura, lalu kahwin, lantas bercerai. Seperkara lagi, aku nampak nama Osman Abadi (Osman Abadilah yang menulis skrip Ali Setan yang klasik itu), Aimi Jarr (penulis skrip "Esok" Jins Samsuddin serta Dia Ibuku, kebanyakannya merupakan filem "pemenang" FFM dan laris), dan Dr. Anuar Nor Arai(!) sebagai penyemak skrip (dan mungkin penolong baiki skrip) filem ini. Aku teruja!

Memang pada awalnya, ada sesuatu yang menarik dalam filem ini, lebih-lebih lagi cara Badul memikat "Fatimah" (Raja Baizura). Malah kredit filem memaparkan sesuatu yang menarik dengan nama "Tukang" dan "Bintang" (Bintang Kepo, Bintang Terjun). Kita amat-amat memahami wit Badul.

Ceritanya senang, Badul dan Baizura bercerai. Baizura pula berubah untuk memahami kekuatannya, sedangkan Badul perlu berubah agar dia lebih "matang" dan bertanggunjawab terhadap anak dan penjagaan nafkah bekas isterinya. Cerita ini sememangnya satu percubaan untuk melihat "kedewasaan" Badul daripada gatal dan pikat-memikatnya. Aku memahami mengapa Badul diminati, kerana seperti dalam filem ini, Badul digambarkan sebagai "peon", atau pekerja bawahan, kerja kilang (ini zaman mat dan minah kilang menonton filem), maka Badul secara tersirat menjadi "suara" golongan ini. Sakit, cinta dan cerai Badul merupakan masalah "simple" dan "penting" yang berlegar buat anak-anak marhaen ini. Dalam filem ini sahaja, Badul dipaparkan tidak menentu kerja dan hidupnya, serupa dengan zaman serba ekonomi merosot pada waktu itu.

Maka sebab itu, walaupun betapa jengkel dan menyampah kita terhadap perangai ego patriakh dan gatal Badul, kita mahukan dia "berjaya" dapatkan si wanita akhirnya kerana kita mahu (kita sendiri) berjaya dalam mendepani realiti terumbang-ambing serba carefree pada waktu itu (sebenarnya, jentikan Kembara Seniman Jalanan dan kemudiannya Mat Som lebih teliti dan benar dalam hal ini).

Itu merupakan perkara baik yang ingin dibawa oleh Badul dalam filem ini. Tetapi, seperti biasa, pengolahan, pengarahannya amat lemah, aku terkejut beliau dapat "pengarah terbaik" mengalahkan Rahim Razali ataupun Kamal Ariffin! Ya, filem ini pada awalnya sudha terfokus baik, kemudian menjadi cerita mengarut, meroyan, meraban yang entah-entah pada pertengahan, kerana kita tidak dapat meletakkan "logik" terhadap dunianya, sekejap Baizura seorang jurusolek, kemudian jururawat, kemudian pekerja di salun! Semuanya dihampar tanpa makna! Malah Ada satu imej dalam filem ini, yang memaparkan babak slapstik yang paling memualkan, ia menandingi mana-mana slapstik yang pernah aku tonton dalam filem Melayu sebagai yang terburuk. Ini adalah sewaktu Wak Sir (Azman) yang terpaksa menolak kereta terpakai baharunya di mana Baizura di dalam. Wak Sir, entah atas permintaan Badul atau sengaja, menonggek bontotnya ke kamera, tersengih lantas menolak kereta dengan susah sekali. Kamera memerhati bontot tonggek yang beralun Wak Sir dengan minat sekali. Farreli's Brother pun kalah! Jika aku melihat lawak slapstik bodoh yang ada dalam filem-filem Senario, aku akan tunding ke skrin dan menjerit, "bontot Wak Sir!!!" kuat-kuat, begitu pentingnya imej buruk ini!

Maka dengan itu, aku tidak tahu bagaimana Badul menulis skrip, dan bagaimana orang yang berpengalaman, termasuk pengkritik dan pensyarah yang terkemuka boleh terlepas pandang atau tertipu dengan eksekusi Badul. Atau mungkin memang ia "cantik" di skrip tetapi "dibuat-buat" semasa penggambaran, hanya kerana untuk menaikkan tahap komedinya? Oh, tidak. Kita diperlihatkan hal ini berkali-kali, banyak yang tidak logik, tidak berkesinambungan dan tiba-tiba. Babak Baizura yang muncul tiba-tiba setiap kali Badul bertemu kekasih baharunya merupakan antara babak yang terlemah dalam filem ini, tidak ada justifikasi langsung. Malah, kita mahu dan amat benar melihat Badul dan Baizura, walaupun sudah bercerai, masih sayang-menyayang, sekurang-kurangnya pada sudut psikologi filem ini boleh diselami. Tetapi tidak, ianya sengaja dibuat "satu lapis", tanpa motif, tanpa hal yang menarik untuk aku teruskan. Malah ada beberapa hal yang "menarik" pada awalnya, berkenaan perhubungan, kuasa jantan Melayu berdominan walaupun dungu, kelemahan wanita Melayu dan bagaimana hal itu hendak disamarkan dengan kuasa seks dan feminiti mereka, seks dan voyeur, tenggalam dalam mainan antah-berantah Badul. Harap poster kat atas tu je yang cantik, gaya ala-ala catan Zainal Buang Huseein Gila-gila.

Ini sememangnya satu bukti yang nyata tentang kiamatnya filem Melayu pada waktu itu. Aku gelupur untuk merasai, jika FFM kali ini, tahun ini akan berlaku sesuatu yang sama (walaupun filem-filem kita meningkat baik). Aku harap-harap tidak.

9 comments:

tutup mulut said...

wah. ulasan yang bagus! ingat lagi tak RENTAK DESA lakonan eman manan dan ogy ahmad daud. itu filem kegemaran saya waktu kecil.

jadi, mahu juga baca ulasan filem tu dari saudara.

:D

saat omar said...

Aish! review filem badul mestilah akan mendapat komen dari gua beb hahaha...

...Tapi layan jugak filem Badul ni actually...especially bila hes in the right mood to lawak lucah...

Hari tu tengok Hantu Siang kat Youtube tersembur air liur aku keluar ketawa...especially first 15 minutes...

Walaupun komedi Badul banyak rip off Hollywood dan Hong Kong...sesekali layan seronok jugak...

fadz said...

Rentak Desa KELASS! luv it too! Gaya underground/punk ala Melayu nusantara, mmg rancaklah!

Ramai yg tak kenal dgn kegeniusan Rahim Razali kan?

Saat, yeah, Hantu Siang cun! Masa aku kecik ketawa je dgn citernya, tak faham "kod2 lucah" yg tersimpan, sampailah dah besar, hahaha..

khys said...

Oh Fatimah mmg ntah apa2.. hancur! haha..
filem yg ada tajuk Badul bagus sikit. patut diteruskan filem2 tajuk Badul ni heheh

jomtengokfilemlama said...

hahaha.... teringat suatu ketika dulu di zaman badul

GAIA said...

bukan ke zaman ni zaman yg sama filem2 yg ada Mr Os naik popular?

fadz said...

Gaia, Mr. Os awal setahun x silap aku.

Anonymous said...

citer badul yang bagi aku rasa best la.. Da Di Du..hahaha.. macam citer pendekar bujang lapok..(pendekar bujang lapok tetap no 1..)hehehe

Zaim WM said...

Jangan dilupa sama sekali, antara orang yang mengembalikan Aura Wayang Gambar Melayu ialah Dato' Yusof Haslam PJN. Beliau ialah pengembali nadi kegemilangan Filem Melayu setelah jatuh agak teruk!!!

Meskipun kebanyakan cerita beliau bertaraf BERAT, namun pulangannya cukup tinggi dan lumayan, hinggakan digelar Six Million Dollar Man.

Nyawa Wayang Gambar Melayu bagai ditiup semula ke dalam Jasad yakni Mati Hidup Semula dengan kejayaan Wayang Gambar "SEMBILU" terbitan tahun 1994. Atas pulangan yang cukup lumayan dan memberangsangkan, Dato' Yusof teruskan lagi usaha beliau dengan menghasilan banyak Wayang Gambar Blockbuster dan Box-Office Melayu yakni SEMBILU II (1995), MARIA MARIANA (1995), SEMBILU III @ TRAGEDI OKTOBER (1996), GEMILANG (1997), MARIA MARIANA II (1998), BARA (1999), PASRAH (2000), GERAK KHAS THE MOVIE (2001), GERAK KHAS THE MOVIE II (2002), GILA-GILA PENGANTIN (2002), MISTER CINDERELLA (2002), JANJI DIANA (2003), GERAK KHAS THE MOVIE III @ GK3 (2004/2005), SEMBILU 2005 (2005), dan banyak lagi wayang gambar bermutu tinggi!!!!!

Malah, DY jugak telah berjaya melahirkan ramai pelakon berkebolehan tinggi khasnya AWIE, ERRA FAZIRA, ZIANA ZAIN, AMY MASTURA, NORMAN HAKIM, DATO' AC MIZAL, ABBY ABADI, dan DATO' ROSYAM NOOR selain meningkatkan kebolehan pelakon-pelakon tambahan lama dan baharu seperti A GALAK, Z ZAMBRI, FARID AMIRUL HISHAM, DEEN MAIDIN, ALMARHUM AIMI JARR, DATO' AZIZ SINGGAH, SAIFUDDIN HASHIM, LANDO ZAWAWI, dan ramai lagi.