30 June 2010

Mantra(2010): 2 Mata Lebam + 1 Swamp Thing


Pandangan berkenaan 2 mata lebam itu merupakan bagaimana ghairahnya sang pengarah menekankan mata bengkak dua watak dalam filem ni, dengan syot yang banyak. Jadi aku ingat snagat dua mata bengkak yang lebam hitam. Mungkin ini dicuri daripada Nightmare on Elm Street. Mungkin.

Kedua: Swamp Thing. Ada benda/jin/hantu yang nampak macam Swamp Thing. Yeap. Serius aku dibawa ke alam seram Hollywood zaman Universal dan American International Pictures. Sekurang-kurangnya tak ada wanita rambut hitam gerbang yang berkeliaran dalam filem ni.

3 benda di atas yang paling aku ingati daripada filem ni.

Sekarang ni, dah mula orang bising (tak tau deme tengok atau tak) filem Malaysia asyik keluarkan filem seram je. Eh, lantaklah, aku suka apa.

OK, aku suka kalau filem seramnya bagus, mungkin masalahnya, tak banyak filem seram yang bagus keluar di Malaysia.

Ini filem seram Azhari Zain kedua (kalau aku tak silap). Premisnya masih berpaksikan ilmu hitam(buatan orang) dan rasukan. Ini tipikal budaya Melayu aku rasa (alah, filem seram Indonesia pun macam tu, dah mula pusing benda sama je). Fine. Yang penting bukan temanya (yang mula klise) tetapi cara ia dibawa.

Bagaimana cara filem ini dibawa?

Kau ada Zul Handy Black. Serius, budak Handy ni, kalau kena pada tempat dan pengarah betul, dia boleh bawa sesuatu. Hasnul Rahmat dalam filem ni kool. Paling penting, keseluruhan pelakon dalam filem ini tidak memparodikan filem ini (kecuali yang jadi Pak Long tu, kadang-kadang sampai tahap menyampah tengok dia, fake nak mati).

Hal CGI pun, ada beberapa yang aku rasa dibikin dengan impresif, khususnya hantu hitam macam dalam Ju-On Hollywood tu. Ada penggunaan efek darah dan solekan yang "gore", membuatkan filem seram yang diberi klasifikasi 18. Ada beberapa bahagian yang seronok. Aku suka babak-babak dua bomoh yang tak ketemu mata tu berentap "kuasa" di antara mereka. Macam tonton Dragon Ball buat kame kame ha tapi tanpa orangnya. Kira, ini kita punya The Believers (filem ini merupakan antara kegemaran aku, kenapalah pembikin filem kita tak boleh buat cerita sebegini?), paling tak kurang pun: Witchcraft.

Ada beberapa babak yang "eerily shocking" dari segi plot. Ini sendiri aku rasa yang buat filem ni dapat klasifikasi 18. Satu babak paling menonjol berkenaan dengan moral (bernafsu terhadap bekas isteri) dan babak ini buat aku babak paling menggelora dan berani, khususnya, disengajakan budak itu melihat ibunya ditarik masuk bilik. "Moral" yang dipaparkan ini benar-benar "menyeramkan". Ini satu babak yang efektif.
Ceritanya? Mana aku nak mula? Serius, aku serius nak suka filem ni. Sebab, aku lihat banyak "possibilities" yang menarik untuk dimainkan oleh sang pengarah, "menipu" dan "mempermainkan" penonton (dalam filem seram, seperti suspens, semua kekuatan sebuah filem seram ialah bagaimana untuk menipu dan mempermain penonton). Malah ada beberapa babak yang bagi aku, kalau punya kesinambungan yang ampuh, kalau dibuat dengan amat-amat teliti, ianya akan menjadi satu "adikarya".

Awal-awal lagi kita sudah dikelirukan (babak laju syot potong, suara seseorang memberi arahan, mayat ditarik). Aku boleh maafkan babak ini sebab mungkin pengarah mahu kita "terkeliru" untuk awalnya, sepertimana watak utamanya "terkeliru" dengan pilihannya (kenapa dengan ilmu hitam?) Kenapa ibu mertua Handy benci sangat kat dia, kenapa Pak Long tu kecoh sangat nak Handy kena "frame". Semua ni masih samar-samar.

Serius. Filem ini dibuat dengan serius sebenarnya, atau maksud aku, ada "jalur" ceritanya yang ingin membuak emosi yang serius. Macam The Exorcist. Tetapi hal itu TIDAK dipilih oleh Azhari. Contoh, dalam satu babak, di saat Handy Black dalam keadaan persimpangan, antara ingin mengambil "ilmu hitam" atau tidak (maknanya berpegang pada Iman), dia dimaklumkan akan satu berita yang akan "menghancurkan" emosinya ke buluh hatinya. Handy menjerit pedih, kita lihat wajahnya yang pilu di luar pintu penjara, lalu kemudian dinding bertulis ayat Qur'an. Serius, Azhari memerlukan pengarah fotografi yang baik ataupun dia sendiri perlu punya "mata" filem. Babak ini boleh sahaja "paronama" atau tunjang kepada pilihan Handy yang amat kritikal waktu itu. Bayangkan jika tiba-tiba kita diberi syot wajah Handy yang perih, lalu kita dipaparkan keseluruhan ayat Qur'an itu yang mengelilingi pintu itu. Situ sahaja, kita faham "ujian" yang Handy lalui, antara "kebaikan" dan "kejahatan" serta bagaimana qada' dan qadar menentukan pilihan kita. Tapi tak, Azhari hanya mengambil wajah Handy, kemudian kamera dihala sedikit sahaja kepada ayat Qur'an (malah seakan memaparkan tidak ada erti babak ini). Yang besar dan luas, jadi kecil, mikro. Azhari lebih suka mengambil "drama manusia", kesan efek, kejut-kejut dan aksi daripada hal-hal yang lebih besar yang boleh diterokai. Ini disakiti lagi dengan terlalu banyak hal yang "bergantung", banyak sangat "possibilities" yang tidak diberi peluang.

Malah, banyak adegan dan babak semacam kita tak tahu mana kepala dan mana ekor. Pencahayaan disalahkan di sini, serta konti. Aku terpaksa merungkai sendiri "ok, bab ini lepas ni, lepas tu lepas ni". Tak, ini bukan David Lynch tapi kerja malas yang tampak. Rujuk babak gelap si bini nak ke bilik air dan babak siang anaknya main basikal. Aku tak faham lagi dengan "waktu" filem ni. Caca merba. Twilight Zone pun kalah.

Ada dua babak yang aku terus "cringe" dan menyumpah filem ini. Dan hal ini diberikan sewaktu filem ni nak berakhir pula tu. Satu bila Pak Long menahan Handy dengan memaparkan Hollier Than Thounya tanpa motivasi dan makna, MUNCUL secara tiba-tiba. aku benci kemalasan sebegini! Kedua, lebih teruk, Bob Lokman menyatakan kepada Handy "aku tahu isteri kau dibuat orang untuk menganiaya kau". WTF!? Eh, Melayu bodoh, kalau kau dah tahu dari awal, afasal kau tak tahan si bomoh tu buat hal, sampai kita terpaksa membuang masa melihat seorang budak mentah belajar ilmu hitam (untuk apa pun kita tak tahu kenapa dia mahu mengambil ilmu ini sebenarnya) hanya kerana nak balas dendam.

Saat itulah (ini pertama kali aku tonton filem seram tak tutup mata ataupun telinga, itu tahap seram aku untuk filem ni) aku sedar, bukan sahaja efek seramnya aku tertipu, tetapi CERITAnya pun aku rasa tertipu. Semacam terlalu banyak plot for the sake of convinience.
Dengan itu, segala yang aku percaya tentang filem ni, merundum.


Jangan Biarkan Kitaran Ini

Beberapa minggu lalu, aku lepak dalam sebuah forum intelektual di DBP berkenaan penggunaan bahasa dalam filem tempatan. Dr. Google (Prof. Madya Hasbullah) adalah pengerusinya, berserta ahli panel Dr. Mahadi J Murat, dan dua akademik pejuang bahasa. Aku respek jugaklah kat prof. ni sebab ilmu retoriknya (pengucapan) ligat dan macam buku. Beliau patut menulis novel (atau skrip filem). Walaupun, aku, sepertimana Dr. Mahadi, tidak begitu menyetujui kepentingan dialog (kata bual) melampaui bahasa filem (imej, dan segala yang berkaitan membentuk sesebuah filem), mereka punya pandangan yang kuat, termasuk dua pejuang bahasa berkenaan kerosakan bahasa serta hilangnya identiti diri pembikin filem Melayu sendiri membikin filem (Dr. Google menyatakan, 80 peratus judul filem kita, contohnya menggunakan bahasa rojak atau bahasa Inggeris).

Kasihan Dr. Mahadi kerana beliau pula yang perlu menjawab persoalan itu, kerana buat aku, Dr. Mahadi tahu kepentingan "bahasa pertuturan dalam filem" tetapi BUKANNYA masalahnya untuk tegur, baik Afdlin jika keluarkan judul seperti Los & Faun, atau anak Sop Selam, Evolusi KL Drift, atau Chunk dengan Kapoow: Atoi the Ajaib Boy (sorry dude, the title is so lame, I just can't make myself to drag myself to go watch it, so so sorry). Masalah itu sememangnya datang dari diri pembikin itu sendiri.

Aku rasa, SAMPAI KIAMAT pun kalau orang akademik dan pejuang bahasa nak melalak tentang penggunaan bahasa dalam filem (aku teringat Muallaf yang sengaja dibikin sepenuhnnya dialog Inggeris, atau The Red Kebaya, hahaha), jika:

1. DBP atau mana-mana badan (LPF contohnya) tidak diberi mandat kuat kuasa menjaga bahasa.

2. Masih ada sekolah jenis kebangsaan. Hello, kita memang bukan bangsa homogenus, dan kita pun bukan jenis bangsa Siam atau Indonesia yang siang-siang menyatukan bangsa mereka dengan satu bahasa.

Jadi, tak usahlah bising-bising. Prof. Teoh sendiri menyatakan, kita perlu ubah SIKAP. Tapi, siapa nak "kawal" atau mencakna sikap? Pendedahan kita kepada filem (pembikin atau penonton) bukannya macam di Iran, Tibet, China atau Vietnam (mereka SARING atau buang filem luar), atau beralih bahasa macam di Jerman dan Peranchis. Melainkan bapak-bapak atas takhta parlimen itu yang SERIUS melakukan sesuatu.

Tapi ada kita dengar?

Tak kan?

Sudah lah ....

Yang lebih penting daripada itu (yang mana, aku sedar, tak ramai audiens pagi itu yang sedar pun) adalah makluman daripada Dr. Mahadi: Jika anda mahu UBAH sikap pembikin filem kita, anda mesti MASUK dan MENYELAM dalam filem-filem kita sekarang.

Dr. Mahadi ada poin yang kuat. Masalah filem kita sekarang, yang kepoh bagai nak mati, kecoh fasal bahasa, kualiti dan entah apa-apa lagi tu, (1) mereka jenis hanya menonton filem di TV (waktu raya, kawan aku ramai jenis macam ni, kalau aku jadi diktaktor, dah lama aku kumpul dan sembelih), (2) mereka menonton filem lain, khususnya Hollywood, dan paling bagak, (3) mereka beli DVD haram filem Melayu.

Dr. Mahadi menyatakan yang sebenarnya, realiti sekarang, majoriti penonton yang menonton filem Melayu adalah, dan masih, golongan kelas rendah ke menengah, khusus muda, khusus budak IPT. Jadi buat golongan ini, filem jenis apa yang mereka suka, bahasa apa yang mereka guna, trend apa yang mereka ikut? Pembikin TERPAKSA mengikut "arus kapitalisme" ini atas kerana "survival". Bagaimana dengan filem arwah Yasmin yang bagus, atau filem kita yang masuk festival antarabangsa, atau tak pun, aku jenguk, filem Rahim Razali macam Tsu Feh Sofiah, Pemburu dan Abang. Atau dekad dulu, Layar Lara. BERAPA KERAT YANG TONTON? Mana para intelektual yang canang mahu melihat "perubahan", adakah mereka sendiri menonton filem-filem bagus. Percayalah pada aku, TAK. Malah sekarang dalam kumpulan MELAYU pun, sudah ada kumpulan penonton yang SNOBBISH, hanya menonton filem bahasa Inggeris, malah tak tahu pun berbual atau bercakap dalam bahasa Melayu.

Inilah kitaran dajal yang melanda dunia filem kita, dari 80-an sampai sekarang.

Kenapa filem Korea tiba-tiba boleh BOOM? Macam mana dengan Jepun? Aku tak perlu pergi jauh, aku jenguk Indonesia sahaja (ingat, ini juga berbalik kepada bahasa). Dean Sham pernah beritahu aku, macam mana semangat orang Korea atau Jepun, lain macam semangat orang Melayu. Mereka, walaupun apa pun, mereka akan utamakan produk mereka dahulu, produk mereka the best (secara satira, rujuk sebuah filem Jepun yang cerdas, dan masih jadi kegemaran peribadi aku, Welcome Back Mr. McDonald). Yeap, mereka akan keluarkan juga CRAP, tapi CRAP pun mereka akan tonton, dan kata bagus. Lama-kelamaan, atas sebab PERCAYA, benda tak bagus pun jadi BAGUS (contoh: dulu mana ada orang nak beli barang atau kereta Jepun, sampailah sekarang orang pandang tinggi!) Inilah semangat orang Jepun dan Korea. Fasal tu lah mereka boleh masuk Piala Dunia!

Kita bagaimana? Kita bukan sahaja mengkritik, tetapi kita TAK GUNA atau TAK TONTON pun produk/filem tu, tapi kita tetap kritik. Itulah kita. Yah, aku tahu, aku pun bila mengulas, aku berbisa gak, tapi AKU TONTON kemudian baru aku kritik (contoh macam kenapa aku tak tonton Kapoww, itu pendapat akulah, tapi aku tak kutuk filem tu bagus ke tak, hanya aku tak tonton je atas bersebab). Ni, masalahnya, termasuk cendiakawan kita, belum apa-apa, dah GENERALISASI. Contohnya, tak ramai yang tahu bahawa sebenarnya P. Ramlee antara penyebab tradisi budaya penggunaan dialog rojak, hah! Pergilah kaji betul-betul, korang akan sedar, malah pembauran dialek pelbagai arah (sebab ini di Singapura, tempat rempah ratus Melayu Nusantara waktu tu) berlaku dalam filemnya (kita tak sedar sebab kita ingat orang bercakap macam tu zaman dulu, kalau rujuk filem Cathay Keris, barulah kita dapat dengar bahasa yang betul).

Inilah masalahnya.

Serius, aku syorkan, kepada pemikir dan orang berduit, pergi, pergi tonton filem Melayu. Lihat apa masalahnya dan NYATAKAN dalam apa-apa bentuk media atau saluran. Beri penyedaran. Bila berlaku "arus baharu penonton" (hal ini dimulakan dengan Puteri Gunung Ledang suatu masa dahulu, dan kemudian Sepet, yang sampai sekarang kami masih tunggu untuk ia berlaku lagi, golongan ini jugalah yang terlepas menonton Gol & Gincu, The Red Kebaya, Budak Kelantan dan filem-filem Indie yang bagus), baharulah ada suara "kedua" yang boleh bercantum dengan golongan rendah ke menengah anak-anak muda itu. Contohnya, bila tiba-tiba, satu "arus" penonton yang menyokong, menonton serta memperkatakan tentang Kala Malam Bulan Mengambang sekerasnya, tentulah masyarakat yang tidak tahu aku bertanya, "Apa benda semua hal ni?" dan mula "melihat". Ini dinamakan "pengaruh" serta "creating awareness". Aku kira, apa yang berlaku dengan Apa Ada Dengan Cinta, begitulah (tetapi, sebenarnya, filem ini taklah meletup besar di pawagam kita, tetapi "awareness"nya amat tinggi dalam kalangan penonton Malaysia, termasuk golongan menengah atas). Dengan memilih, tentu terbina satu "pasaran baharu" (hal inilah yang kita tunggu-tunggu berlaku sewaktu beberapa tayangan filem yang baik berlaku). Dengan "pembukaan mata", sudah tentu, kumpulan produser sekarang (yang tak ada haluan dan keberanian dan hanya mengikut satu hala kapitalisme, contohnya, memperbanyakkan filem komedi serta seram, tapi err, aku suka filem seram) akan melihat, "Oh, buat ni ada potensi rupanya."
Inilah benda yang aku mahu lihat, terjadi. Aku harap, dengan kehadiran Hanyut oleh U-Wei, kumpulan kedua ini akan berbuat sesuatu, dan bukan lagi melakukan dosa besar terhadap dunia filem kita apabila tidak mahu menjenguk filem U-Wei, sepertimana yang berlaku dengan Kaki Bakar, Jogho dan Buai Laju-laju sewaktu ia ditayangkan di pawagam. Kerana itulah, buat aku, mungkin kalau seorang pengarah melakukan dosa paling besar iaitu membunuh diri, mungkin barulah orang kita nak sedar. Sepertimana P. Ramlee yang tiba-tiba meninggalkan Malaysia yang tidak peduli akan geniusnya.
ps: Mamat ni satu contoh "kumpulan kedua" yang aku respek, beliau merupakan anak bukan Melayu yang memaksa dirinya menonton filem Melayu, dan dengan jujur menyatakan "masalah" dalam filem-filem yang beliau tonton. Aku respek kat dia sebab dia benar-benar menunjukkan dia sayang filem Melayu sebab dia paksa diri dia beli tiket walaupun dia "tahu" ini bukan filemnya atau bukan filem yang mungkin dia tak suka (dia juga mencari rohnya). Serius, orang sebegini yang perlu pembikin filem sedari, sebab dia merupakan "suara" yang mahu melihat filem Melayu "berubah".
Oh ya, dia tembak habis Kapoww. Mungkin itu jawapan aku kepada Ajami Hashim jika dia tanya kenapa aku tak tonton filem tu sampai sekarang.

29 June 2010

Ulasan "Prince of Persia" Aku dalam Dewan Masyarakat Julai 2010


Aku baru sedar yang teks kandungan aku, setiap kali dihantar memang kena sembelih, hahah...

Korang cari-carilah kat 7 Eleven eh!

ps: rasa nak bongkak "sikit", dah tiga kali masuk Dewan Masyarakat ni... uhk uhuk..

28 June 2010

Singgah Ke CapSquare untuk Hindi dan Tamil

Hari itu, aku ajak kawan-kawan di Facebook untuk ikut aku tonton filem Hindustan atau Tamil di TGV CapSquare. Takde sape nak layan. Aku rasa kawan-kawan aku hanya layan filem Melayu (ini bagus) atau filem Hollywood (ini tak berapa bagus) sahaja.

Aku nak tonton filem "politik" hindustan itu (dibantai oleh pengkritik barat sebagai filem saduran The Godfather, tetapi disukai penonton India, Raajki ke apa ntah) tapi takde sape nak layan.

Jadi aku pergi tonton seorang, semalam.

Aku tonton filem Raavan(2010), filem gandingan suami isteri Bachan (yang jantan aku dah lupa namanya, yang wanita, ehem, Aishawara Rai pascakahwin, agak, berisi juga dia, tapi makin lama makin kurus pada akhir filem, agak pelakon kaedah [method actor] juga dia ni). Arahan Mani Ratnam (nama besar tu!) dan lagu A. Rahman.

Filemnya suam-suam kuku, tak ada apa yang baharu (kecuali sinematografi serta penggayaan yang ampuh, ini filem style over substance), malah memusing legenda Rama-Sita-Ravana sekali lagi (ini kelaziman filem Hindustan, mainan Ramayana ataupun Mahabrata). Mengejutkan kerana selalunya filem-filem Mani Ratnam mempunyai "jiwa" yang kritis dan terdasar dalam persoalan yang enak. Memang filemnya masih mempunyai provokatif politik (ideal sang penjahat sebagai penyelamat kampung dan insani sebenar) serta mempersoalkan polisi penguatkuasa (di sini, polis India), tetapi sulaman romantis pasangan suami isteri ini terlalu mengambil masa filem ini, malah imbauan lepas yang kita mahu (kenapa Raavan bertindak mencolek Aishawara) hanya berlaku selepas intermisi filem, sewaktu kita sudah agak "leka" dengan mesin bintang pasangan Bachan itu (baca: bosan).

Apa-apa pun, lagu A. Rahman tetap ada kelas, malah lakonan Aishawara dan suaminya memang terbaik (mereka kan BINTANG).

Yang aku nak nyatakan di sini ialah. CapSquare tempat terbaik untuk anda pergi tonton filem Tamil dan Hindustan yang terkini, walaupun sekarang, terdapat beberapa panggung lama dan baharu, seperti di Mid Valley, KLCC, Federal Chow Kit, Odeon, Colliseum Jalan TAR, sebuah pawagam di Sentul (dekat rumah Azwan) yang aku dah lama tak jejak (sebab asyik kena tipu, tak ada sari kata), kira CapSquare paling terbaharu, dan senang nak pegi sebab tak ramai orang. Itu yang lebih terbaek (kalau korang nak tonton filem blokbuster yang ramai tonton sampai penuh, datanglah ke pawagam ni).

Aku masih beromantis untuk filem Melayu/Malaysia mempunyai pawagamnya yang tersendiri dan dapat menayangkan filem-filem lama Melayu (walaupun hal ini sedang berlaku di Colliseum KL, dalam format yang amat buruk: VHS/DVD/VCD).

Soalan: Patutkah aku tonton Kapoww? Adakah aku akan terasa tertipu selepas menontonnya?

22 June 2010

Filem Musim Panas Dah Datang!

Sex and The City 2(2010)

Aku rasa agak tersentuh jugalah apabila kebanyakan penonton dunia agak tersinggung dengan babak (spoiler) Samantha menjamu kondom ke muka pak Arab-pak Arab dengan bangga dan bengang, walaupun, aku tak tahu kenapa, melihat kebiadaban Samantha itu sudah diduga, malah, seakan satu kelazatan yang pelik.

Yeap. Aku tak tonton filem yang pertama sebab aku tak berapa setuju dengan tujuan filem ini dibuat (nak buat duit sempena pengikut yang ramai, tak, ini lain dengan Star Trek sebab drama televisyen tu kena padam pada pertengahan jalan), malah apa lagi yang kau boleh dapat melainkan sebuah sambungan episod drama dalam bentuk beberapa episod dalam dua jam tentang Mr. Big dan Carrie (aku betul pun, bila tengok no. 2, deme dah kahwin).

Tapi yang no. 2 aku tengok gak. SATC dulu, sebelum Glee (yang aku tak tonton, dan masih rasa geli nak tengok) dan BSG (ni segolongan je kenal kat Malaysia) atau Heroes, kira macam satu fenomenalah, macam zaman BH 90210, sape tak tengok (macam aku) kira loserlah (aku layan The X-Files dan Life Goes On zaman tu). OK, kau memang perlukan "siapa ni siapa tu" untuk tahu apa ke benda plot yang bergerak dalam filem ni (SATC menganggap korang dah pun menjadi penonton drama 4 wanita 30-an bernafsu tinggi ini). Semuanya nampak OK, dengan perkahwinan Gay yang kalah mana-mana putera Sultan (ingat, ni filem). Lalu, tiba-tiba, babak Liza Minelli menyanyi bagai anak dara (err, andartu, maaf). Waktu tu, aku macam, oh oh, ini dah masuk bab surreal ni. Yeap, babak itu tersangatlah melampau dan tersangatlah "fantastikal", aku merasakan seakan aku tidak berada di Kansas waktu itu.

Lantas, dua babak Samantha bersama jantan di ranjang dipotong (OK, aku rasa korang dah faham watak mana yang paling aku suka). Ya da ya da yada, tiba-tiba Samantha ajak Carrie, Miranda dan Charlotte untuk ke Abu Dhabi (Abu Dhabi Do!) Saat itu, kau tahu, Liza Minelli itu tadi sebuah logamaya, kini kau betul-betul masuk ke dalam ribut pasir.

Tapi, ya, apa yang membuatkan filem ni menarik pada aku, perempuan-perempuan ni tetap bersikap "lantak kitaoranglah nak ke mana!" dan peduli hape dengan apa-apa yang mereka jumpa di hadapan, walaupun plot berlubang atau perwatakan yang kurang meyakinkan, logik dicampak ke tepi, paling penting ialah sketsa dan karikatur 4 wanita ini terhadap apa-apa yang membahayakan dan juga mengghairahkan mereka. Dan aku boleh telan semua itu, hahahaha!

Lantas, dan paling penting, SATC tidak menipu apabila mereka, walau betapa materialistik, kecoh dan bling blingnya jiwa mereka (seperti bagaimana mementingkan dirinya Carrie di dalam hubungan perkahwinannya dengan Mr. Big), mereka tetap menyatakan emantipasi kewanitaan mereka serta dalam kelemahan mereka, mereka dapat menyelesaikan masalah dalam cara mereka yang tersendiri (inilah pun hakikat episod ini dikitar dalam plot yang serupa). Sukatan penerimaan itu terletak kepada kesanggupan penonton menerima reaksi dan pilihan wanita-wanita ini (contoh seperti Charlotte merengek apabila baju vintajnya dikotorkan oleh anak kecilnya) walau bagaimana absurd dan dangkal dari segi pemahaman kemanusiaannya. Sekurang-kurangnya, bahasa filemnya "betul", lebih-lebih lagi penggunaan "kaki seksi" terhadap rujukan filem lama, It Happened One Night terhadap latar Abu Dhabi. Pemahaman seks yang ditekan amat menarik, melihat filem ini seakan "seorang budak kecil balik", mungkin begitulah keinginan Micheal apabila membawa 4 wanita ini ke Abu Dhabi dan ditemukan dengan realiti (yang sebenarnya fantasi) yang membuat mereka berkeinginan seperti "kanak-kanak". Lolipop ini tentu masih terlalu manis untuk beberapa orang. Tetapi kerana keberanian Micheal memperlihatkan "kebodohan Amerika" pada zaman pasca9/11, lebih-lebih lagi pasca Mava Marmara amat berani dalam langkahnya, walaupun ya, ada sebuah parit luas menunggu si pejalan.

Toy Story 3(2010)

Inilah dia filem musim panas untuk aku. Aku mengesyorkan filem ini ditonton oleh sesiapa yang ingin kesemua rencah kebiasaan Musim Panas dihidang dalam sebatian yang rata, serta beberapa campuran yang membuatnya makanan yang lazat daripada biasa.

Trilogi ini juga merupakan, untuk pertama kali, trilogi yang bukan sahaja yang paling berjaya, tetapi berjaya daripada segi filem animasi bertrilogi. Kini semacam satu kitaran yang penuh, tetapi filem-filemnya tetap boleh ditonton dengan sendirinya. Ini kekuatan francais filem ini.

Walaupun mainan plotnya masih berlingkar berkenaan pencarian dan "mencari kembali sang tuan", seperti mana yang wujud dalam filem pertama dan kedua, filem ketiga memberi pemahaman dari sisi lain. Melihat ketiga-tiga filem ini secara makro, aku menyedari sang penulis skrip serta pengarah telah bermain dengan matlamat dan falsafah di sebalik pengembaraan Odisi (Odisius, laksamana tentera yang terlibat dalam Perang Trojan, lantas cerita ini menceritakan kembara bahaya dan mistik Odisius sebelum sampai kembali ke kotanya). Malah di dalam filem ini jelas dengan watak anak patung bayi bermata satu (Cyclops) , Lotso (Calypso) yang menipu dan membuat para mainan itu tinggal di kawasan yang akan memerangkap mereka, pusaran api (Charybdis) yang membawa hero-hero kita ke arah kematian mereka. Di sini, kita menyedari, seperti mana bahagian pertama dan kedua, tema "ingat", "memori" dan "lupa" merupakan kekuatan yang paling terkesankan di dalam filem ini, malah, dalam filem ini, tampak "jelas" apabila, Andy, sekali lagi diuji, dan kali ini, ujiannya yang paling kuat, ujian kedewasaan (seperti mana pengembaraan Odisi mendewasakan) dan belajar untuk mempercayai jaminan orang lain terhadap benda yang akan kita tinggalkan (rujuk "kematian" dan rujuk hal ini dengan adegan Odisius ke alam kematian). Sememangnya, ianya sebuah pengembaraan yang mewah dan penuh emosi, memberi kita nilai yang semampunya mencerahkan dan berperasaan. Ini sebuah filem kemenangan, antara yang terbaik tahun ini, serta aku percaya akan memenangi Oskar untuk tahun depan.



Anak Bapak(1968)

Aku tengok filem ni arituh kat Astro Prima. Selalunya, orang tak berapa suka dengan filem P. Ramlee pascaJalan Ampas. Filem ini mungkin tidak se"friendly" (contoh: beberapa babak panjang dengan selingan lagu yang buat aku kali pertamanya terlalu diselit sebagai sellingan, dan babak selingan ini amat mendatar, walaupun ada satu babak kita memahami adalah simbol "pujuk rayu" P. Ramlee dengan Roseyatimah, bahasa kasarnya, deme "mainlah", duhhh) filem zaman keemasan Seniman Agung ini, tetapi tahap intelektual dan "cubitan" P. Ramlee, bagi aku dalam filem-filem seterusnya agak matang (dewasa) dan bernafas seksual, dan mungkin hal ini yang tidak berapa disukai oleh penonton (kerana keberanian P. Ramlee untuk melangkau daripada tempat kebiasaannya).

Filem ini ditulis oleh AR Tompel, yang buat aku, menjadi kekuatan tunggak filem ini selain P. Ramlee. Ya, ada beberapa babak awal yang disengajakan melodramatik (dengan runut bunyi emosional), menyatakan PRINSIP P. Ramlee yang tidak akan menggunakan duit syarikatnya atas sebab peribadi (OK, bahagian ini sedikit didaktik), menyebabkan, kita melihat watak sumbing (sumbing: dia minum arak, joli dan bagusnya jujur dengan hal itu, serta main banyak perempuan) P. Ramlee dalam filem ini sebagai "fallen hero", ya, P. Ramlee tetap "romantik" (babak ini menyebabkan keseluruhan filem ini tidak berimbang baik).

Filem ini mendapat sparklenya (Haha, SATC pulak tetiba) dengan jalinan dan perhubungan P. Ramlee dan AR Tompel yang menarik. AR Tompel boleh memanggil anaknya "anak abah" atau "anak hantu", melihat kepada situasi dan tindakan anaknya. Inilah yang dimainkan dan dipermainkan. Secara umum, filem ini mengambil intipati filem-filem hikayat yang mana, sang putera bermain muslihat dengan ayahnya, untuk mendapatkan sesuatu daripada ayahnya (di sini, jururawat ayahnya yang dilakonkan oleh Roseyetimah).

Filem ini betul-betul bergerak dengan lelucon yang sofistikated dan ber"lapis" dua apabila babak "malam" AR Tompel bermalam di rumahnya di Kuala Lumpur. Malah, di sini kita sudah faham apabila AR Tompel dengan berani memohon Ruminah Sidek (penyanyi kelab malam yang syok kat P. Ramlee) "tidur" bersamanya! Di sini, berlaku mainan "changing partner" yang amat comel sekali, tanpa menyatakan babak ini sebenarnya babak "seks"! Inilah sofistikatednya filem ini.

Satu babak yang aku tidak dapat bayangkan lawaknya ialah sewaktu AR Tompel yang suka mengintip bilik tidur anaknya! Ya, jika difikirkan, berapa "miangnya" si ayah ini (kita faham, ia mahu melihat jika anaknya ingin bergomol dengan isterinya, satu pemahaman voyeurisme yang amat marabahaya dalam sebuah filem Melayu! Lebih bahaya daripada babak mengintip dalam Senario The Movie) yang setiap kali mengintip, kita menyedari satu lapisan psikoseksual yang menarik, bapa borek anak rintik "mungkin" tidak boleh dicapai di sini secara pemahaman yang senang, tetapi bapa dan anak berborek dan merintik(!), satu lapisan nipis tentang sumbang mahram pelik yang tidka boleh dinyatakan dalam perkataan (klu: P. Ramlee minat dekat jururawat ayahnya, ayahnya minat kat bekas awek anaknya).

Dan ketidaktentuan ini, di"betulkan" dengan, kononnya, undang-undang, apabila si ayah membawa "mahkamah" ke rumahnya sendiri (menyatakan poin kecelaruan perlu diselesaikan dengan keadilan). Yang mana, tahap ini, kita sudah faham dengan "keinginan seksual tinggi" si ayah untuk "mendapatkan" Ruminah Sidek. Kenapa perlu mahkamah dan kenapa perlu dipertontonkan kepada awam? Absurd atau farsa yang disengajakan? Di sini, kita sudah tahu "megalomaniak" watak AR Tompel, tetapi, kita juga sedar, dengan cara "mahkamah" (legal: benda yang sah) sahaja AR Tompel dapat memiliki Ruminah Sidek (sesuatu yang tidak sah: wnaita kabaret), dengan "paparan secara adil" sahaja AR Tompel yang duduk nun tinggi atas gunung dapat menyapa si wanita kotor (Ruminah Sidek, yang sememangnya femme fatale dalam filem ini) yang diidamkan.

Bolehkah kompleksiti dan sofistikasi sebegini berlaku dalam filem komedi kita?



nota fadz: Oh ya, jangan terlepas menonton Age of Glory 2 di NTV7 10 mlm, suatu kerja tempatan yang amat membanggakan!

14 June 2010

Broken Embraces(2009): Aku Mahu Tinggal dalam Alam Pedro Almodovar

Sebelum itu:

Cicak Man (adiwira kita?!) dah jadi Dadah Man?

Sila baca di sini.

ok...

Los abrazos rotos ....

Just thinking about this movie makes me cry!

Aku rasa, aku sudah begitu cukup menonton filem-filem popular, baik dari barisan filem-filem musim panas Hollywood yang tang tu tang tuuuu jugak serta filem-filem Melayu yang memberi aku, ada kalanya satu kejutan atau keseraman yang meluat.

Aku memerlukan sumbangan ihsan penjual DVD haram kita untuk membantu aku siuman dalam dunia serba kebosanan dan sama ini. Apabila aku menjumpai Broken Embraces (Los abrazos rotos) di sebuah kedai di Gombak, aku tahu aku tidak akan diperlekehkan oleh Almodovar. Betapa benarnya aku.

Menariknya, bila menonton untuk kali pertama, perasaan dan refleksi aku terhadapnya semacam menonton mana-mana filem Almodovar yang biasa (terdapat filem Almodovar yang biasa, dan kemudiannya yang magis, yang memaut kita terus sewaktu menonton), aku mendapat sesuatu, tetapi tidaklah aku terpaut. Tetapi, kemudian, lama-kelamaan wujud satu perasaan dan kepala aku bermain dengan memori, lintas-lintas imej dan adegan filem ini memenuhi kesedaran aku. Dan waktu itu aku sedar Almodovar telah mencipta suatu adikarya baharu yang indah, ia meresap dan duduk dalam jiwa dan kepala aku, bukan sewaktu aku menontonnya, tetapi selepasnya. Ini ironik dengan coretan filem ini sendiri, yang mempunyai empat pandangan sisi berkenaan satu subjek (di sini, tumpuannya terhadap Lena, lakonan Penelope Cruz), yang mana, seperti mana filem ini memohon wataknya menyedari, bahawa indah dan kebenaran itu datang sewaktu "buta" (atau apa yang tidak terlihat), dan bukan sewaktunya.

Ini yang membuat aku menangis. Sekali gus, realiti aku, kesedaran aku, terperangkap dalam filem ini. Tidak pernah ada sebuah filem yang mengisi aku sewaktu selepas menontonnya, dan bukan sewaktu menontonnya. (idea: filem tidak pernah meninggalkan kita, filem adalah hidup kita!)

Ada beberapa babak yang mempamerkan hal ini dengan impresif sekali.

Pada awal filem, kita diperkenalkan dengan Harry Canes (Lluis Homar) yang menyatakan suatu falsafah terhadap Diego (Tamar Novas), penolongnya serta anak kepada PAnya, Judit (Bianca Protillo). Harry Canes, seorang penulis (skrip) menyatakan satu falsafah yang mendalam, walaupun secara naratif, tentang sesuatu yang tidak dihendaki oleh seseorang tidak semestinya membuat seseorang itu membencinya. Malah, secara tidak sedar, dengan sebab itu juga, memberinya redemption. Tema ini dipermainkan dalam beberapa subteks. Dalam satu babak pembukaan, Harry Canes bertanya kepada seorang wanita cantik untuk "menggambarkan" ciri-ciri cantiknya untuk dia (kita) dengar. Kita, para penonton dapat melihat seksi dan cantik wanita ini, Harry Canes tidak. Harry Canes "mencipta imej" dalam kepalanya sedang kita waktu itu dapat melihat kecantikan wanita itu secara menerus. Harry Canes selepas itu menyentuhnya. Selepas itu, dia "bersenggama" dengan wanita cantik itu tetapi ini tidak dipertontonkan. Tetapi imaginasi kita sudah membentuk "imej". Di sini, kita "satu seri sama" dengan Harry Canes.

"Imej" yang tiada imej ini yang mengisi makna.

Selepas itu, kita diberi peluang untuk mengenali Lena (diceritakan oleh Harry Canes), dan seorang jutawan yang mengambilnya sebagai perempuan simpanan. Misteri kematian Lena, dan jatuhnya jutawan itu daripada martabat dan kuasanya menyebabkan, pada saat itu, atau sampai 3/4 daripada filem itu, membentuk "imej" bagaimana Lena akan "dibunuh" oleh jutawan.

Di sinilah genius Almodovar untuk memberikan suara yang lain terhadap satu penerusan plot yang memerangkap perasaan penontonnya.

Setakat ini, kita hanya mengikuti perasaan dan intuisi kita menonton. Kita lupa pada satu perkara lagi, manusia ialah manusia.

Almodovar banyak memberikan kejutan demi kejutan dalam filem ini, secara menarik, kejutan ini, walaupun pada detik awalnya kelihatan suspens ala ngeri melodrama Joan Crowford (tipikal Almodovar pada sinema awalnya, termasuk Matador dan diteruskan dengan Bad Education), kita mendapati, Almodovar membuka kotak-kotak rahsia yang lebih penting daripada itu: pengalaman manusiawi.

Dan seperti Almodovar yang kita sudah kenali, seperti mana watak-watak Hayao Miyazaki, watak-wataknya Almodovar walaupun betapa buruk atau negatif motif ataupun aksinya, mereka merupakan watak-watak manusia yang terperangkap dalam qada' dan qadar mereka, terperangkap dengan passion. Passion menyebabkan kita iri hati atau jatuh cinta atau membenci. Pendek kata, tidak ada manusia yang baik atau jahat dalam dunia ini, hanya manusia yang memilih pilihan hidup mereka (yang disalah tanggap oleh orang luar sebagai baik ataupun buruk). Almodovar "menjelaskan" dalam filem ini, tidak ada yang perlu dimaafkan, ditangisi atau dimarahi, hanya pemahaman dan perayaan terhadap human passion. Daripada pemahaman (sifat humanis yang kuat dalam Almodovar), akan berlaku perhubungan, dari perhubungan ini, wujudnya "cinta".

Di sinilah magisnya Almodovar "melakar" para wataknya untuk berhubung dalam segala yang tidak terikat dalam bingkai gambar (baca: realisasi "buta" kepada penonton terhadap watak "buta" Harry Canes), tetapi terikat dalam momen-momen keterasingan, kejauhan dan kerinduan (lantas, menemui passion dalam hal-hal canggung ini). Momen ini, buat Almadovar, yang penting buat manusia, jika mereka memperlekehkan hal inilah yang akan membuatkan mereka bukan manusia lagi. Hal ini dipaparkan dengan jelas dalam babak sewaktu Harry Canes yang buta berjalan tangan dengan Diego yang kecil sambil dilihat oleh ibunya. Lantas si ibu menangis. Atau bagaimana Harry Canes, tidak peduli pun sangat akan "kebenaran" pita Ray X berkenaan pembunuhan Lena, yang lebih penting adalah wajah Lena di skrin TV, yang tidak dapat dilihat oleh Harry Canes, tetapi dapat dipegang, walaupun di skrin sewaktu videonya dijeda. Ini memberi perasaan dan hubungan manusia yang kuat, dan tidak dapat dipersoalkan kekuatannya.

Segalanya dalam filem ini adalah vintaj Almodovar, warna-warna yang berkeyakinan dalam warna-warna terang merah, hijau dan hitam putih, mengambil idealisme Women on The Verge of Breakdown, yang juga merupakan "filem" yang sedang diarahkan oleh Harry Canes dalam filem ini (sebelum beliau buta). Penelope Cruz adalah pelakon yang sememangnya mencapai primanya. Bila kita melihatnya berwajah Audrey Hepburn, kita tahu ia sudah mencapai setahap bintang itu. Tetapi Pedro/Canes menafikan, memberikan Cruz/Lena satu wajah: yang sasar dan tidak popular menjadi indah. Dan ini digemilangkan oleh Penelope Cruz dengan jayanya.

Filem ini merupakan profil Almodovar, bahawa waktu ini, Almodovar boleh melakukan apa sahaja dan masih, mengejutkan kita. Ini merupakan kesinambungan filem Almodovar menyelami perasaan lelaki (sepertimana yang terbaik dalam Talk To Her, atau Live Flesh, Law of Desire, dan Bad Education), dan ini semacam evolusi Almodovar untuk "keluar" dan kembali memeluk genre Hitchcocknya, dan mengalunnya dengan cantik filem-filem drama/melodramanya. Dan filem ini merupakan jalinannya yang paling sempurna setakat ini. Malah memparodikan sebuah filem komedinya yang besar amat mengejutkan, memberi satu skop baharu bila memperlihatnya sekali lagi. Almodovar membuat kita mahu tinggal sahaja dalam dunia indahnya yang tersendiri.


02 June 2010

Agora(2009) dan Tindakan Askar Israel: Satu Kebetulan?

Agora dan Situasi Israel Sekarang

Sebenarnya pemahaman aku kepada filem ini dan kenapa aku meletaknya dalam entri kali ini bukanlah menyatakan filem bikinan pengarah hebat dari Sepanyol ini, Amenabar (pengarah The Sea Inside), cukup bagus. Walaupun filem ini punya Rachel Weisz yang cukup berkarismatik dan intelektual, kemudian Max Minghella, anak mendiang pengarah Anthony Minghella(!) yang masih muda, memberi suara seksi, mendalam dan kuasa terhadap lakonannya, seni latar yang mengkagumkan (sebenarnya setaraf mini siri Rome), sinematografi yang rancak dan cerita yang penting (khususnya mereka yang ingin mengetahui sejarah kemunculan agama Kristian di Empayar Rum, di dalam filem ini, di Iskandariah, Mesir zaman praIslam), ianya sebuah filem yang sederhana bikinan dan semangatnya. Apa yang lebih penting daripada fokus filem ini, iaitu kemunculan agama Kristian dan bagaimana gerakan agama ini atas penganut fanatiknya (zaman itu) menentang golongan pemuja berhala (di sini, para pagan Mesir yang berwarganegara Rum), ialah penampilan (dalam plot, secara tiba-tiba) kemunculan kuasa Yahudi dalam kalangan pihak berpengaruh dunia Maharaja Rum yang beragama Kristian, khususnya di Iskandariah seperti yang digambarkan dalam filem ini.

Hal ini, bolehlah kita kaitkan tiga peristiwa besar bersejarah berkenaan orang Yahudi pascaEmpayar Judea dan sekarang. Pertamanya ialah diaspora Yahudi ke tempat-tempat luar negara Palestin seperti Eropah dan Timur Tengah. Keduanya, peristiwa Perang Khaybar di mana kita membaca pengkhianatan Yahudi terhadap Rasulullah s.a.w. di Madinah. Ketiga, insiden kapal keamanan ke Gaza yang diserang hendap oleh tentera Israel baru-baru ini.

Di dalam filem ini, dipaparkan, masyarakat Yahudi "tiba-tiba" melata di sekian tanah Iskandariah, selepas sahaja "kuasa lama" orang Iskandariah yang pagan diminta "turun takhta" oleh pihak pelampau Kristian (dipanggil askar Kristian dalam filem ini) dan meninggalkan Perpustakaan Agung Iskandariah (orang berhala dipaparkan amat baik, rasional dan murni dalam filem ini). Perpustakaan itu menjadi "mangsa" pihak Kristian kerana "menuduh" watikah dan surat yang tersimpan cermat dalam perpustakaan itu sebagai "syirik" dan "sesat" (di sini, dimainkan simbol "kemunduran ilmu kerana agama", faktor Zaman Gelap di Eropah). Malah patung-patung dewa mengelilingi kuil dekat perpustakaan itu ditumbangkan.

Dalam satu babak, dipaparkan, beberapa pelampau agama Kristian menyeludup masuk ke dalam stadium (dahulunya tempat masyarakat menonton teater) di mana penonton Yahudi sedang menyanyi dan "berdoa"(?) dengan menepuk tangan, lalu orang Kristian itu melontar batu ke arah pihak Yahudi.

Adegan seterusnya, sekumpulan orang dewasa Yahudi meminta keadilan di bawah Ketua Keselamatan Rum (seorang anak Iskandariah yang menganut Kristian). Pihak Kristian yang diwakili oleh seorang bishop turut hadir. Majoriti penduduk waktu itu sudah menganut Kristian (atas dasar ketakutan), maka Ketua Kristian telah bersikap berpihak sebelah lalu menggelarkan kerja "anak nakal Kristian" itu sebagai main-mainan. Pergaduhan berlaku, pihak Kristian dan Yahudi mencela sesama sendiri.

Pihak Kristian lupa, orang Yahudi kuat berdendam, dan mereka mengambil pembalasan dendam mereka dengan serius. Terlalu Serius.

Malam itu, tiba-tiba kedengaran orang melaung "Api!" di gereja, menyebabkan kumpulan pengawal/tentera Kristian berpusu mengambil air lalu masuk ke dalam gereja. Apabila mereka berkumpul, tiba-tiba pintu gereja dikunci. Orang Yahudi lantas memerangkap mereka, membaling mereka dengan batu. Kebanyakan orang Kristian mati. Beberapa yang tinggal menjadi saksi kunci kepada pembunuhan balas dan penghalaun orang Yahudi dari Iskandariah.

Melihat pada rentetan adegan filem ini, jika benarlah dikatakan oleh filem ini "menyerupai" kronologi naik jatuhnya Iskandariah di tangan penguasa Kristian, betapa jelasnya ia menggambarkan sisi gelap orang Yahudi secara "umum" (ianya bukan kerja individu tetapi satu komuniti!) Di sini, walaupun memang kemungkinan pihak pelampau Kristian yang mendapat kuasa pengaruh luas di Eropah dan dunia Rum yang merangkak ke arah kehancurannya, menuduh orang Yahudi "pembunuh tuhan" mereka, ini takkan mungkin menjadi faktor satu-satunya orang Yahudi yang tinggal di Judea, bandar-bandar Rum "dihalau" secara satu komuniti. Filem ini menampakkan "kegilaan" orang Yahudi "membalas" sesuatu mengikut kepentingan mereka. Mereka dibaling batu, dipermain-mainkan oleh tentera Kristian di stadium. Balasannya, orang Kristian itu "direjam" batu sampai mati! Betapa "adil"nya undang-undang jalanan Yahudi ini. Bila kita kaitkan dengan laporan yang didapati dari pihak Israel berkenaan "pihak pendamai bersenjata" dan "mengganas", kita amat susah untuk menyetujuinya. Buat Israel, memasuki lautan antarabangsa lalu menahan dengan senjata terhadap pihak antarabangsa yang tidak bersalah itu "adil". Kesabaran masyarakat dunia sedang diuji.

Maka ditunjukkan dalam filem ini, oleh sebab angkara "mendapatkan keadilan" Yahudi, orang Yahudi dalam filem ini diburu tentera Kristian dan dibunuh dengan kejam sekali (sekali lagi, kritikan terhadap pelampau agama), wanita Yahudi dirogol dan anak mereka dibunuh. Atas dasar "kesombongan" yang ditunjukkan oleh bangsa ini, mereka dikecam dan dihalau. Di sini, bermula semangat anti-semitik yang pertama.

Maka, semangat anti-semitik itu, walaupun dipaparkan "pincang" atas keganasan yang melampau terhadap bangsa ini, ia sememangnya "berlaku" kerana ketidakmahuan bangsa Yahudi mengikut satu-satu rentak negara itu, satu sikap yang terlalu membanggakan diri mereka lantas melihat segala yang asing itu "salah". Komplot dan menghasut, seperti yang dipaparkan dalam filem ini merupakan cara orang Yahudi hendak memecahbelahkan masyarakat. Bayangkan, hal ini berlaku beratus tahun lamanya. Secara harfiah, tak mungkin pihak Kristian begitu kasar terhadap Yahudi jika Yahudi tidak membuat sesuatu yang amat menyinggung. Dan filem ini memaparkannya. Jika kita teliti pula persitiwa geseran Yahudi dengan umat Rasulullah s.a.w., kita akan melihat hal yang sama, tetapi kemanusiaan Rasulullah s.a.w. ditunjukkan lebih tinggi daripada orang Kristian Rum, kerana hanya "menghalau" orang Yahudi daripada tanah mereka dan bukan "membunuh" orang yang tak bersalah, wanita dan kanak-kanak.

Maka sesuatu yang berlaku di tengah pantai Mediterenean kini dipersoalkan oleh antarabangsa. Kita faham benar, fakta dan tindakan akan diselewengkan oleh sekutu Israel, mungkin termasuk Arab Saudi sendiri. Ia terpampang di benak, bahawa kesalahan itu sudah nyata, tetapi tetap mahu diselewengkan, seperti beratus tahun dulu. Memelikkan lagi, walaupun filem yang dikatakan ini sebuah filem "free thinker", ianya dengan jelas memaparkan keburukan orang Yahudi. Filem ini banyak menerima anugerah di festival antarabangsa, menjadi filem pecah panggung di Sepanyol, tetapi pernahkah anda mendengar tentang filem ini ditayangkan di Amerika, UK atau negara Eropah lain? Pernahkah anda dengar tentang filem ini? Masyarakat dunia sedang mengkaji kekebalan Israel yang berdalih-dalih. Penonton juga perlu meneliti dan memilih/menonton filem-filem dengan rasional dan celik yang tinggi. Bila memilih/menonton, secara menarik, kita boleh lihat trend yang sedang disuapkan oleh Hollywood kepada penonton Amerika dan dunia.