07 February 2011

10 Pencalonan Filem Terbaik 2011: Pilihan Aku

Yep, Academy Awards datang lagi, kali ini aku dapat juga menonton kebanyakan filem yang dicalonkan. Kebanyakan pengkritik di Amerika sudah memilih The King's Speech akan menang besar, tetapi, sepertimana malam Oscar, tak mungkin pengumuman itu dapat diramalkan.

Seperti tahun lepas, aku menyukai filem bekas isteri James Cameron mencincang Avatar, tetapi selepas menonton filem itu (selepas Oscar), walaupun merasakan ianya dibikin dengan baik, merupakan antara filem yang membuat aku dungu sebentar. Memanglah, aku tak mahu Avatar menang kerana filem kartun yang terlalu senang itu seakan memberi ruang kepada filem-filem senang untuk menjajah intelektual penonton. Tetapi The Hurt Locker yang walaupun berkeyakinan dan memahami subjeknya, ianya terlalu kecil untuk diperingati, dan ada sesuatu yang membuatnya tidak melampaui suatu resonans yang biasa aku ingini apabila menonton sebuah "filem terbaik". Ya, filem Braveheart, Titanic atau Gladiator, walaupun filem-filem komersial yang sehala dan menghibrukan, merupakan filem yang mempunyai sesuatu yang menyelam jiwa. Aku tak jumpa dalam The Hurt Locker, dan peliknya, dengan dua tiga filem terbaik beberapa tahun lepas selepas kemenangan LOTR. Memang, aku tahu peduli apa dengan perasaan aku kan, tetapi aku selalu percaya, dengan sentuhan betul, filem itu akan selalu dikenang-kenang orang untuk bertahun-tahun lamanya, inilah pemilihan yang aku buat:

127 Hours
Danny Boyle dan penulis skrip Simon Beaufoy sudah membuktikan bahawa cerita dan skop yang kecil, dengan dinamis drama manusia yang betul, boleh melakukan kejutan. Kemenangan Slumdog Millionaire, walaupun sebuah filem kecil merupakan sebuah kemenangan yang manis buat aku, kerana filem itu berjaya melangkah melampaui mileu filemnya sebagai filem dan memberi tempat (walaupun salah) kepada dunia Hindustan di tempat yang betul. 127 Hours pula merupakan filem berkenaan ujian kesabaran, iaitu para penonton untuk bersabar dengan seorang pelakon (ini pernah dilakukan dengan filem pencalonan terbaik, Cast Away, yang bagi aku lebih memberi kepuasan dan keindahan) yang terperangkap, lantas perlu bermunasabah dengan alam yang memerangkapnya. Filem tertutup/terperangkap/klaustofobia (contoh: Buried, Bug, Saw) selalunya kuat dalam psikologi, dan memahami mainan "episodik" untuk "menceria"kan penonton. Keduanya, pelakonnya perlu melalui tempoh fizikal yang menyakitkan (Tom Hanks jadi kurus untuk Cast Away). Lost bernasib baik kerana mediumnya mengandungi pelbagai watak, seorang lebih susah untuk ditahan dalam fregmen 60 minit. Satu perkara, kekuatan Danny Boyle ialah memaparkan imej-imej imaginatif dalam menyampaikan cerita, tidak lokek sudut dan mengenali emosi penonton (serta durasi kebosanan mereka). Menonton filem ini membuat aku tidak rasa bosan walaupun terperangkap di satu tempat. James Franco tidak perlu bercakap banyak, hanya menghela nafas dan mengorek. Filem bermula dan berakhir di ngarai, dengan bantuan syot POV James Franco terhadap imbasan-imbasan hidupnya. Adakah kita peduli? Ya dan tidak. Kuasa survival manusia dalam filem ini enak, tetapi ia berhenti di situ sahaja, walaupun aku mengharapkan lebih daripada babak-babak komuniti dan orang ramai yang dipaparkan pada awal filem ini (rupanya hanya untuk memaparkan perbezaan dunia Franco dan orang lain yang "sama" setiap hari, atau drama yang dipilih untuk dipamerkan daripada beribu manusia di bumi). Adakah ia akan mengubah kita, ya dan tak? Kreativiti Boyle memang mengkagumkan untuk filem-filem kecil, tetapi ini bukan jawapan sebuah filem terbaik, malah aku merasakan tentu ada filem asing atau filem Amerika lain yang patut di sini.

Black Swan
Darren Aronofsky merupakan antara pembikin filem muda yang selalu sahaja memberi ciptaan-ciptaan yang imaginatif dan menyampai maksud yang relevan terhadap generasi muda, walaupun betapa lama atau ketinggalan zaman budaya itu. Mengimbau filem ini mengingatkan aku kepada zaman keemasan Roman Polanski dengan seram urbannya, perkongsian tema dan sifatnya sangat sama - ciri-ciri curiga terhadap alam dan orang sekeliling yang akut (Rosemary's Baby, The Tenant, Repulsion, Macbeth). Malah aku menepuk tangan buat Aronofsky kerana berjaya mencipta "seni terindah" daripada kandungan pop-ngeri-seram ini, membawa filem seram/ngeri ke tahap yang boleh dibanggakan, sepertimana yang pernah dilakukan Polanski. Tetapi filem ini juga mengingatkan aku kepada The Red Shoes. Ini satu petanda yang buruk, kerana sesuatu yang "disalin" atau kuatnya "rujukan" selalunya tidak boleh memenangi filem terbaik. Secara peribadi, filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini, tetapi sebagai pemenang, ia agak jauh untuk merangkulnya, hanya, ia sudah tentu menjadi mesin kemenangan untuk Natalie Portman (satu lagi klu bahawa filem ini tak mungkin menang, memandangkan kebanyakan filem Oscar beberapa tahun tidak memenangkan pelakon dan filem sekali).

The Fighter

Aku agak prejudis terhadap filem ini, malah langsung tidak mahu menontonnya kerana aku terimbau Rocky dan Raging Bull. Walaubagaimana anda mahu memusing, ia tetap bergerak ke ruang dan pemahaman sama, melainkan anda membawa suatu cerita baru, seperti Million Dollar Baby.

Inception
Ok, untuk filem ini, aku mempunyai sikap prejudis, kerana dalam senarai Academy Awards, filem ini merupakan filem peribadi yang paling aku gemari. Filem ini walaupun bergerak dengan cerita yang baik, ia bergerak lebih jauh lagi dengan sikap sinemanya yang tidak mahu berhenti memberi pengamatan baharu kepada penonton, malah memiliki kuasa merasuki penonton agar bergerak melampaui ruang panggung dan mengganggu mereka. Imej melampaui dialog dan watak, imej adalah segala-galanya, malah imej, melampau pergi dan mengetuk ketidaksedaran kita dalam satu-satu masa. Hal ini pernah terjadi untuk The Exorcist tetapi hal itu lama dahulu dan ianya sudah menjadi kebiasaan (walaupun tetap memasuki buku sebagai filem bersejarah). Rujuk filem The Purple Rose of Cairo sebagai pemahaman "melampaui ruang panggung" yang mana, pengalaman filem ini menjadi lebih hiper-realiti daripada "realiti" eskapisme filem Woody Allen berikut (filem pendek Cigarette Burns arahan John Carpenter mempunyai kuasa yang sama). Sebuah pencapaian sinema yang unggul tahun ini. Bagi aku, hal itu sahaja sudah memberi aku persetujuan, filem ini kehadapan dan akan diingati sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya buat aku.

The Kids Are All Right
Tak ramai yang menyukai filem ini, mungkin kerana mereka melihat keluarga yang terlalu normal bagi sebuah pasangan lesbian anak dua. Ini merupakan filem yang seronok, simpatatik dan memahami watak dan perwatakannya dengan betul. Kita merasakan "fantasi" dunia lesbian berkeluarga "wujud", kita tidak ragu-ragu lagi, dan agendanya melontarkan seorang watak hetero untuk menggoncang dunia "normal" mereka bagi aku sungguh memikat (hal ini tidak disukai ramai orang), yang bagi aku menjadi ruang untuk penonton berpolemik (bagi aku, hal ini bagus untuk filem dibicarakan). Ini merupakan antara pilihan filem terbaik aku, dengan watak-watak utama yang kuat, khususnya Annette Bening. Calar dan emosinya baharu (walaupun taklah sebaru mana jika kita pernah menonton filem-filem LBGT). Filem ini bolehlah dirujuk (dan bagaimana sudah lama berubah) dengan filem moralis lesbian, The Children's Hour. Filem lakonan Audrey Hepburn itu menyatakan segala yang seram dan kecam terhadap percintaan sejenis, sedang filem ini meliberalkan konsep itu dan pergi selangkah (dunia keluarga lesbian seperti dunia keluarga mana-mana keluarga biasa juga), dan sebab itu, filem ini penting.

The King's Speech
Aku baru menontonnya semalam. Aku tidak nafikan kekuatan Colin Firth sebagai Raja England sewaktu Perang Dunia kedua. Semua pelakonnya turut memberi yang terbaik. Tetapi sesungguhnya, filem ini filem yang kecil, berkenaan seorang raja yang gagap dan bagaimana dia cuba membaiki gagapnya. Hal ini comel, tetapi tidaklah impresif buat aku. Ya, aku tak peduli kata-kata pengkritik yang mengatakan filem ini hebat dan meletup dan kisah unggul tentang interaksi dan entah apa-apa lagi kerana bagi aku, filem ini jauh penting daripada Gandhi atau Patton, yang tampak seharusnya diperingati. Ya, tahap emosi, lawak dan dramanya utuh, terima kasih buat pelakon Inggeris, tetapi sebagai sebuah material yang melampaui keinginan resonans, ia tidak berapa memberi. Percayalah.

The Social Network
Menontonnya sekali lagi, aku tahu, filem inilah yang akan menang filem terbaik pada malam Oscar Februari ini. Aku jumpa dengan jiwa dan suara yang indah, daripada segala interaksi dan anti-interaksi serta percubaan interaksi yang ingin dipertonjolkan. Malah aku tidak merasa "cold" sepertimana pertama kali menontonnya, malah merasai gundah dan tenang malah simpati terhadap watak "jahat" si pencipta Facebook. Hanya, jika diperhatikan betul-betul, cara kerja Aaron Sorkin tak boleh lari daripada perbicaraan, dan sememangnya kuasanya terletak dalam cerita-cerita perbicaraannya. Tetapi untuk filem ini, sekurang-kurangnya Sorkin pergi lebih jauh dari itu untuk memaparkan satu pembangunan watak kompleks (Jesse Eisenberg) yang cukup rencam dan sempurna dalam keadaan yang memperlekeh orang-orang sekelilingnya. Malah temanya cukup relevan (buat masa ini!) dan sudah tentu menjadi lebih diamati daripada beberapa genre yang pernah dibuat di dalam senarai pencalonan ini. Ini merupakan undi aku sebagai filem terbaik.

Toy Story 3
Memang bagus dan sempurna garapannya tetapi untuk filem animasi ini mememangi filem terbaik, dekad ini masih belum tampak harapannya.

True Grit
Belum tonton dan mungkin ditonton. Tetapi aku amat membenci The Assasination of Jesse James. Aku harap filem "genre lapuk" ini tidak akan terperangkap seperti filem itu.

Winter's Bone
Akan tonton tapi memang tak mungkin menang. Filem kecil sebegini yang tidak ada orang mendengar tentangnya hanya terperap dalam senarai sebagai pembakar semanagt untuk dihadapkan kepada penonton awam tentang kewujudan filem ini.

Filem-filem yang ingin ditonton: I Am Love, Biutiful, Winter's Bone, Haevnen

8 comments:

Cik Yunie said...

127hours best gile!

zulazahari said...

Aku sebenarnya lebih berminat dengan Razzie Awards daripada Academy Awards, sebabnya, daripada Razzie baru kita boleh tahu tidak semua yg popular itu bagus.

Nazim Masnawi said...

Wow, Zul, you need a shitty award ceremony to tell you that? Kau tak boleh menilai sendiri benda yang kau layan?

AdamF said...

maaf penulis...
macam tak percaya kamu bagi olahan yang sangat sikit utk filem ' toy story 3 '..ia bukan sekadar animasi..malah lebey hebat dari filem2 lain..garapan kemanusiaan yg di tonjolkan dlm filem itu lebih meluas dan menonjol dari filem ' inception ' [ contohnya ]
adengan kematian yg karektor2 di dlm filem toy story hadapi sangatlah mengharukan dan mengetuk sedar kita tentang ajal maut kita sendiri.

fadz said...

AdamF, yeap aku ngaku Toy Story 3 mmg bagus malah meletakkannya sebagai antara filem terbaik tahun lepas, aku tak letak ulasan pautan aku je yg ada sebenarnya..

boleh tgk kat sini:
http://tontonfilem.blogspot.com/2010/06/filem-musim-panas-dah-datang.html

tapi sebagai relevan untuk bertanding bersama filem2 perdana (pelakon manusia) dalam 10 senarai (bagi aku ini adalah perangai paling lahabau yg pernah dicipta Academy Awards) bagi aku agak sukar diterima.. Apatah lagi boleh memenangi filem terbaik.

fadz said...

Nazim, u owe me smtg, where is it??

akitiano said...

Bro... Aku suka inception, tapi aku rasa dia tak leh menang sebab biasanya action movie susah nak menang... So aku rasa memang social network boleh menang, tapi aku tetap berdoa inception menang...haha...Aku tak nak FB ni memang....

The Wan And Only said...

The Social Network for the win! Memang dah dijangka The King's Speech akan menang, but it's comforting to know I was not the only who had this train of thought :)