31 March 2011

Kak Nab Suka Dengan Bangkok Traffic Love Story

Aku nak tulis fasal sebuah filem ni tapi aku tak nak terlalu mendalam, sebab filemnya santai, tapi santai-santainya, ia merupakan antara filem gem romantik yang dah lama aku tak jumpa. Dulu, aku pernah jumpa filem seindah ini, macam Next Stop, Wonderland, Amelie atau Romancing The Stone yang tak perlu banyak kata-kata untuk menyatakan keterujaan sinemanya khusus filem yang mendekatkan dua hati.

Jadi, aku nak ubah perangai sedikit dalam tulisan ni, mengikut mak cik-mak cik (atau penulis lelaki macho yang mengaku perempuan macam Siti Jarum) kolumnis dalam media hiburan utama, lagipun mereka tulis kan sempoi dan senang dijamah pembaca kita yang sampai hari ni tak faham mengapa lagu masa pengantin Anu dalam Botol perlu kasar dan "bilazim", aku cuba eh:

Kak Nab baru-baru ni sukalah tengok apa yang sedang berlaku dalam industri perfileman kita. Iyelah, takkanlah kita nak harapkan kepada Upin dan Ipin sahaja buat filem yang bagus. Lagipun dua watak tu masih kecik lagi, khusus untuk anak-anak Kak Nab yang baru je masuk tadika. Itu yang Kak Nab seronok sangat bila Yusry KRU dan abangnya sanggup buang duit berbilion-bilion duit syarikat dan Kerajaan untuk tunjukkan pada Kak Nab bahawa dalam sejarah Kedah, raja-raja kita rupanya berketurunan Mat Saleh. Kak Nab tengok bisep dan perut ketul-ketul Stephen Rahman Hughes pun Kak Nab dah teruja. Kita rupanya dah ada pelakon Hollywood yang boleh cakap bahasa Melayu, kira bahasa Melayu dah antarabangsa lah kan? Lepas ni, bolehlah kita ajak Brad Pitt jadi Hang Tuah dan Natalie Portman jadi Dang Anum. Tapi Kak Nab boleh bayangkan mereka bercawat dan bercoli, aduh, sesuai sangat, tentu penonton kita dan penonton luar negara akan suka.

Lepas tu Kak Nab dipanggil oleh Raja Azmi untuk tonton filem terbarunya, ... dalam Botol. Kak Nab pun tak faham, apa yang ... tu, macam ... filem kontroversi U-Wei pula. Tapi itu yang merimaskan Kak Nab, sebab ... dalam filem U-Wei tu kisah seorang perempuan, tapi ... dalam filem Raja Azmi tu fasal seorang perempuan palsu. Runsing Kak Nab. Dah lah gambar filem tu satu take saja, lepas tu bergoncang sana bergoncang sini, macam camera man tak cukup makanlah, kesian betul. Kak Nab tak fahamlah apa yang Raja Azmi buat. Tapi Raja Azmi bilang kat Kak Nab, ini filem Khir Rahman. Kak Nab lagi jadi keliru, bila pula Raja Azmi tukar nama lelaki? Nasib baik filem tu ada Ogy Ahmad Daud, terubat rindu hati Kak Nab nak tengok dia berlakon lagi. Nak harap Arja Lee tak boleh sebab bagi Kak Nab dia kurus sangat. Wan Raja pulak boroi, tak macam Stephen Hughes ...

Lepas tu, Osman Ali pula bawak Kak Nab tonton filem dia, Cun! Kak Nab suka betul dengan filem Osman kali ni. Awal-awal lagi Kak Nab boleh ketawa tengok Ning Baizura bermulut becok kenakan Maya Karin. Kak Nab pun setuju sangatlah Maya Karin bercerai dengan suaminya, sebab Maya Karin memang sesuai sangat dengan Ramy Ishak. Kalau tak percaya, tontonlah filem ni. Kak Nab restu sangat mereka berdua, kira macam Erra dan Awie zaman Sembilulah. Lagipun, ada satu adegan Remy Ishak berkubang di parit. Kak Nab dapat rasa sangat, Remy dah setaraf dengan pelakon Hollywood, tengok saja badan dia yang berketul-ketul tu, kalah Brad Pitt.

Lepas tu, Kak Nab tontonlah filem Thai ni pula, judulnya, Bangkok Traffic Love Story. Ini sebuah lagi filem Kak Nab suka. Memang korang takkan rugi tonton filem ni. Kisah dia pun tak meleret-leret macam Sayang Salmah, tak keliru macam ... dalam Botol. Pelakon lelaki dia, walaupun tak sesasa Stephen Hughes atau Remy, Kak Nab tetap boleh jatuh cinta dengan dia.

Filemnya banyak berlaku di stesen LRT di Bangkok. Memang kreatiflah pengarah dia, buat filem atas LRT dan stesen LRT, Kak Nab terfikir-fikir juga, kenapalah pengarah kita tak buat filem berdasarkan LRT kita? Dah lah kita dah ada 2 LRT. MRT pun sudah nak diperkenalkan oleh Kerajaan. Prasarana beginilah boleh digunakan sebagai latar yang tentu menarik di layar, dan dalam masa yang sama, menarik para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Barulah orang akan kenal dengan filem kita.

Oh ya, Kak Nab lupa nak ceritakan cerita filem ni. Filemnya tentang seorang wanita biasa yang jatuh cinta dengan seorang pemuda kacak yang bekerja sebagai jurutera penyelenggara LRT. Semua yang wanita tu buat salah, tetapi pemuda tu sabar dan tenang sahaja dengan kerenah wanita itu. Wanita itu juga mendapatkan tips-tips untuk mengorat lelaki itu daripada drama televisyen kita yang serupa seperti Samarinda. Lihat, siapa kata TV tidak perlu memberi mesej yang berguna. Orang Thai pun faham, drama TV perlu mengajar nilai-nilai positif agar memberi kebaikan kepada penonton. Kalau wanita itu tidak menonton drama TV, tak dapatlah dia mengikat pemuda kacak itu sebagai kekasihnya.

Kak Nab suka filem ini sebab filem ini panjang, dan bukan pendek-pendek macam Cinta, tiba-tiba saja orang dah boleh bercinta. Lepas tu, semua perasaan, suka, benci, kelakar, semuanya ada dalam filem ni, macam novel-novel cinta yang Kak Nab selalu baca. Lagipun, pelakon-pelakon Thai memang kacak-kacak dan Kak Nab rasa terhibur dengan lakonan mereka.

Nanti, jangan lupa ya tonton filem ni. Kak Nab gerenti korang akan ketawa semahu-mahunya, menangis semahu-mahunya!

tulus ikhlas,
Kak NAB

ps: OK, aku tahu ia lebih sarkastik, tapi serius, filem ni memang worth the watch (aku akan tonton sekali lagi lepas ni). Memang ada bahagian2 bodohnya yang kita teringat kartun Dik Cerdas, yang aku setuju pengarah sengaja ambil ideal perangai Jepun (untuk memahami latar budaya Siam yang terikat kuat dengan budaya pop Jepun-Korea atau Sino, ini sebuah filem yang menarik untuk dimasuki), tetapi lawak-lawaknya menjadi dan aku asyik ketawa. Dan semakin lama aku masuk dalam filem ni, semakin serius, semakin benar pertunjukan "cinta" si wanita dan lelaki. Waktu itu, babaknya mula menghampiri indah dan sesak orang bercinta. Yep, akhir babak itu, walaupun aku tak menangis, tapi rasa "hangat"nya boleh dirasai membara di ulu hati aku. Untuk orang yang pernah dan sedang bercinta. Filem ini merupakan antara filem yang indah dan boleh dijadikan simpanan memori yang indah untuk pasangan.

soalan kuiz: Namakan filem Malaysia yang dibikin atas LRT Kuala Lumpur.


10 comments:

Anonymous said...

kl menjerit :)

nyOng.is.me said...

sepi....

Anonymous said...

suka! tapi awat kak nab ni pecah lubang awal sangat. kasi lah kak nab jadi kontributor kat tontonfilem.

Bin Filem said...

Meeting Amber/Desir

fadz said...

Anon1: correct! tepat sasaran!

nyong, Sepi ada ke? rasa cam takde je

Anon2: haha, tgklah kalau Kak Nab buat comeback.. bagi chan dia layan Nur Kasih the xxx version dulu (pembikinan di Morocco)

BinFilem, betul! 10 markah..

tapi yg betul ni, korang nak apa ah?

perangfilem said...

haha mcm Joyah kat Pancaindera la .. Serius!

zulazahari said...

Kak Nab nie adik beradik Musalmah Lebar ke? Hehe....gambar goncang2 tu nak tiru stail Cloverfield kot?

Melody said...

syabas ah bro..eh kak nab... review kak nab berjaya membuatkan sy mencari movie ini dan terus menonontonnya pada mlm yg sama selepas sy habis membaca review ini. syabas kak nab!

Kak Nab said...

Salam semua,

Terima kasih kepada peminat Kak Nab. Kak Nab akan datang sekali-sekala untuk menulis dekat blog budak nerd ni. Bukan apa, kak Nab pun risau, kesian kat para pembaca, terpaksa mengunyah segala yang dikatakan olehnya, Kak Nab pun selalu tersesat dalam kata-katanya. Jadi biarlah Kak Nab membantu dia dan para pembaca untuk melihat balik jalan yang lurus. Jangan risau-risau tau, nanti jadi sasau. Ikhlas ...

Anonymous said...

filem malaysia atas lrt??
selalu 'filem 3gp' je lah.. tajuk... romen atas lrt.. :P