20 April 2011

Senjakala(2011): Siksanya Menanti Senja


Aku merasakan, atas sebab Ahmad Idham ni sudah tahap prolifik, dia bolehlah buat filem sesuka hatinya dengan kepakaran dan pengetahuan yang dia ada. Dalam filem ini sahaja, babak-babak kamera terbang (kalau terbang masuk dalam rumah terus lagi menarik) terisi banyak dalam filem ini. Tetapi berbaloikah untuk dia bermain-main dengan teknologi dan teknik jika dia ada sesuatu untuk diceritakan?

Kalau Gus Van Sant dah meletup, dia buat filem apa, dia pegi buat bikinan semula Psycho (yang hancur). Kalau Ahmad Idham? Dia buat Senjakala.

Aku merasakan, sampai sekarang, filem seram Malaysia agak susah hendak mencapai pencapaian yang memberangsangkan dari segi keseraman. Sudah berkali-kali genre yang mula mengalami kitar semula ini diputarkan dengan hal yang sama. Sebenarnya, hal yang diputarkan boleh sahaja menarik (rujuk kepelbagaian filem francais Dracula milik Bela Lugosi zaman keemasan Hollywood) jika susunan elemen dan penceritaan yang betul, tetapi ini tidak berlaku khususnya terhadap filem-filem seram Ahmad Idham. Aku rasa, ini percubaan kali kelimanya mungkin, masih terikat dengan unsur saka - bomoh - rumah berhantu - nenek hantu - rasuk. Aku lagi tergamam bila ada yang menyatakan kepada aku, bahawa "latar besar" filem ini (kononnya, inilah twistnya) merupakan kisah percintaan Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay. Tetapi bagaimanakah kita MAHU mempercayai mereka bercinta apabila pengarah hanya memberi kesempatan kita melihat satu babak MTV jelingan mata Liyana dan Zahiril seakan Dracula bertemu Mina, dan kemudian satu babak melodrama tiba-tiba di tengah-tengah ribut dan hujan dengan dialog, "Saya sangat sayangkan awak" tanpa apa-apa sebab yang munasabah!

Keutuhan iman, tuan-tuan dan puan-puan, terhadap kebenaran jalan cerita filem ini amat-amat dipersoalankan.

Malah ceritanya amat mudah, dan kiranya pernah dibikin (yang sebenarnya boleh membuak banyak persoalan seks dan feminisme yang menarik), malah amat dekat dengan konsep Chermin, sebuah filem yang jauh lebih baik dari segi pemahaman kuasa wanitanya dalam dunia patriaki lelaki.

Di sini, kaulihat pembukaan filem ni. Ia bermula dengan mimpi dalam mimpi, yang aku kira menarik, dan sengaja dibikin pada awal untuk menyesatkan kita memasuki dimensi surreal Idham. Aku serius, merasakan konon mungkin, Idham sudah mula "keluar kotak". Babak awal itu (kujur mayat - Liyana), kemudian babak kemalangan kereta, memberi pandangan "kematian seks" Liyana (Liyana tidak sanggup keluar-keluar rumah, tidak mahu ketemu orang, anti sosial). Liyana tidak ada arah TUJUAN. Kita dibawa pula babak Liyana bertemu Faezah Elai di tengah tasik Titiwangsa (berlatar tasik yang luas, simbol kesuburan wanita. Rujuk hal ini apabila ada satu babak "positif" memperlihatkan perhubungan Zahiril dan Liyana mula "baik" berlatarkan tasik, latar yang serupa pada waktu tunang Zahiril ditarik hantu air) dan suatu TUJUAN tercipta (walaupun kita persoalkan, untuk apa). Apa yang kita lihat secara tidak sedar, si gadis (Liyana) yang hilang kuasa hidupnya (kerana trauma kematian kekasih) ingin mendapatkan kembali dengan mencari balik rumpunnya, dan secara tidak sengaja bertemu dengan figura kuat, iaitu opahnya, Opah Maimun (lakonan Ruminah Sidek) yang secara tidak sengaja adalah perempuan.

Serius, jika Ahmad Idham benar-benar memahami "getaran seks", perbalahan kuasa antara jantina dan intrig politik yang boleh berlaku antara watak-watak ini, kita akan nampak suatu jalur keindahan gothik ala Melayu berkenaan kemunculan seorang wanita moden di tengah-tengah sistem kuasa konvensional dunia lelaki (rujuk pemahaman ini dengan filem berkesan, Tsu Feh Sofiah yang pergi lebih jauh daripada itu). Tetapi hal yang aku ingatkan, seperti yang berlaku dalam Chermin tidak menjadi. Lebih teruk dari itu, aku tidak tahu jika watak Liyana itu sepatutnya 20-an atau belasan tahun (walaupun dia sudah boleh memandu). Jika dia 20-an tahun, kenapa pendiriannya cukup rapuh seakan gadis bawah umur yang begitu naif? Terlalu banyak lubang yang disengajakan dan ini amat mencacatkan pergerakan cerita. Aku menunggu untuk babak-babak yang dapat, sekurang-kurangnya memberi gula-gula, kerana "ciptaan" latar, dengan sikap kehadiran Liyana ke kampungnya menjadi buah mulut orang, dan wujud seperti dunia Twin Peaks terhadap kepelikan rakyat kampungnya agak menarik sebenarnya. Malah, dengan pendedahan "gadis muda sudah kahwin muda" (simbol dunia anak gadis kampung itu terikat dengan sistem patriaki lelaki yang utuh. Rujuk juga babak bekas tunang Zahiril yang berani melanggar perintah ayahnya, sebagai memaparkan penentangan terhadap kuasa lelaki, dibalas dengan jawapan didaktik), mengiyakan lagi sikap kontra Liyana untuk berasimilasi dengan penduduk kampung.

Tetapi, OHHHH, hanya kerana ada babak-babak Zahiril Adzim membuka bajunya dengan memaparkan keseksian tubuh keringnya, kita diberikan satu kepercayaan "palsu" bahawa Liyana yang berpendirian kota ini akan "ditundukkan" oleh kuasa seorang lelaki kampung, dengan hanya kata-kata "Kerana aku sangat menyayangi kamu!" Duh!

Serius, datar dan mendatarlah yang memenuhi 50 minit filem ini seterusnya apabila Liyana dan Zahiril bertentang mata pertama kali (kerana Zahiril sibuk menarik telinga kirinya, dan kalau tak pun, menjerit terpekik kepada Liyana). Ke manakah intrig seksualnya, ke manakah manis-manisan debar melihat, ke manakah rasa racau tidak keruan bila berada di sebelah "dia"? Takde romantik langsung.

Ada dua perkara yang amat boleh dipuji dalam filem ini, dan dua ini sahaja. Pertama, penggunaan suntingan suara dan efek khas suara dari studio Finas memaparkan, studio kita pun setaraf dengan studio antarabangsa, walaupun beberapa kesan suara tidak dikaji dengan bersungguh oleh kru filem ini untuk penggunaan posproduksi. Kedua, penggunaan runut bunyi dengan alat muzik tradisional, rebab umpamanya, dalam menaikkan latar emosi filem. Walaupun ianya satu "eksperimen" yang aku kira gagal (kerana emosinya agak susah untuk disampaikan dengan mainan muzik yang terlalu bercelaru), ianya satu percubaan yang menarik.

Akhirnya, filem ini memaparkan sekali lagi, tidak ada seramnya dalam filem bikinan Malaysia.


13 comments:

aweks said...

aku paling tak suke movie seram psl saka. entah la mgkn cliche sgt kot saka2 ni bg org melayu. ingt nk tgk cite ni on movie day but tak jadi sebab sume review kt cite ni boring dan tak seram.

saat omar said...

Shooting rumah Melayu kat Bukit Cherakah plak tu...alahai....

fadz said...

aweks, ya, tak usah kalau rasa bosan.. haa, aku terus terang je..

saat, laaa, ye ker?

indraputra said...

(baru semalam menonton) Mungkin aku berbeza pandangan. Pada aku, Ahmad Idham mempersembahkan satu karya yang berlainan. Aku hairan kenapa tidak disebut pasal pembunuhan berleluasa oleh hantu dalam setiap cerita hantu. Yang mana tiada dalam filem Senjakala. (kematian halina adalah suatu kisah yang lain). Kematian dalam filem ini hanya melibatkan Nenek Khalisa dan Ayah Arman, yang mati kerana 'pelepasan' saka dari tubuh mereka. Pada aku ini subjek yang baik. Penggunaan rumah-rumah kayu yang cantik dan gah sebagai kanvas filem ini juga pada aku agak baik. Mengenai detik cinta antara khalisa dan arman juga berjaya aku tangkap dari awal lagi. Bukan apa, bila arman malu/tidak bertentangan mata secara terus dengan khalisa, penonton sepatutnya boleh faham bahawa ada getaran dijiwa arman terhadap khalisa. Pada aku karya ini tidak klise secara keseluruhan persembahannya. Ini hanya pandangan aku sebagai penonton biasa yang tiada pengetahuan tentang filem dan perfileman walaupun penggemar filem yang tegar selama 20 tahun terakhir ini. Keseluruhannya, aku bangga sebab ini karya anak Malaysia 100% dan tidak mengecewakan.

fadz said...

indraputra, bandingkan saja dengan Rahsia.. dalam filem tu, ada tiga kematian (tak termasuk tragedi kematian keluarga kaya tu dan waris anaknya) dan ketiga-tiga watak yang mati adalah kerana kemalangan, atau perangkap diri sendiri. Lihat sahaja, bgmn intrig dan suspens dibina pada setiap babak (walaupun persembahan cerita itu agak outdated).. bandingkan dgn cerita ni.. satu lagi aku tak faham, mengapa setiap kali Liyana kena kacau dgn kamal adli, Zahiril tiba2 muncul "out of nowhere", seakan magik.. ini memberi wasangka bahawa Liyana di"intip" Zahiril (naughty boy).. sekrg persoalannya, adakah lebih indah utk kita mengintip org dari jauh lantas bila ke berdepan dgnnya, kita tak boleh pandang.. wah, apakah jenis manusia Zahiril ni ya? hipokrit?

zulazahari said...

Laaa....mati-mati aku ingat filem ni filem Twilight versi Melayu

fadz said...

twilight versi melayu, sape kata?

Anonymous said...

sekadar memberi pendapat. di dalam filem Twilight, watak Edward Cullen muncul 'out of nowhere' tiap kali Bella dalam bahaya. tapi tidak pula dipertikaikan.

fadz said...

sebab Edwan Cullen tu vamphra yg mmg takde kerja tapi asyik berkepit je ngan awek manusia dia?

hahaha.. tapi serius anon, aku pun bantai habis2an Twilight yg bagi aku antara filem pop khusus wanita paling lemah berkenaan vampire yg pernah wujud dlm sejarah, walaupun digilai sungguh oleh kekasih aku..aku pernah nyatakan dalam ulasan aku sebelum ini bahawa trilogi twilight hanyalah analogi buakan nafsu seorang dara yang ingin memilih org paling sempurna utk memecahkan daranya, itu aja..

indraputra said...

Aku pernah menonton filem twilight dari 1 sampai 3....non stop...sebab nak tahu apa ke bestnya.
Aku hanya nak puji sinematografinya saja yang cantik. Cerita? Rasa macam tengok filem Mean Girls + Clueless + Legally Blonde.
(hanya menonton filem tempatan di pawagam kerana beranggapan bekas penjajah telah mengaut semua hasil bumi kita zaman 1940an dulu...its payback time!!!)

zulazahari said...

Sorry lambat reply, mungkin aku terfikir ttg Twilight bila translate kan judul Senjakala tu...dan poster filem ni yg nampak spt sebuah filem romance horror

fadz said...

ahahaha

Anonymous said...

Twilight sebenarnya menarik juga. latar sekitarnya cantik.
bagi orang yang nak lari dari setting kesibukan kota, mereka akan merasa aman sikit bila menonton Twilight