30 September 2011

Cinta Kura-Kura(2011): Anak Muda, Nakal, Berahi Penuh Strawberi

Aku suka sebuah filem yang tahu meletak imej dan penandanya dengan betul dan bersahaja tanpa perlu berdakwah untuk menyampaikan maksud, dan filem ini adalah sebuah daripada contoh filem seperti itu.

Ini sebuah filem komedi romantik remaja, jangan tak tahu pula, dan ia "senang" untuk ditonton oleh "penonton kita" (aku merujuk pandangan TMBF terhadap majoriti penonton filem kita), dasarmya, ia sebuah filem cintan-cintun sepasang remaja, tetapi dengan beberapa unsur yang mencuitkan.

Mengenali pencetus dan pengarah filem ini, Nizam Zakaria, aku sudah boleh agak dan kenal dengan perjuangan dan gayanya. Jikalau korang baca e-novelnya (baca tak?) Halimunan, korang akan sedar psikosis Nizam terhadap "imaginary friends" atau watak-watak "berwarna" yang "mempengaruhi" pengalaman dan perjalanan watak protagonis. Tengok sahaja Radio Gaga dengan kucing bercakap, Ponti Anak Remaja dengan puntianak, Gaia dengan hantu Zizan si "pendamping". Teliti hal ini dengan penguin di dalam Mr. Popper's Penguins, askar mainan dalam Small Soldiers, mogwi dan gremlins dalam The Gremlins. Adakah korang ingat, semua "watak warna-warni" ini diletakkan saja-saja "untuk mencuit pasaran kanak-kanak"? Dalam Mr. Popper's Penguins pun, penguin itu bukan sahaja berfungsi sebagai mesin penggerak plot, tetapi filem tipikal Hollywood itu merupakan representasi separa sedar Jim Carrey di dalam filem itu (dan ini sebuah filem PG!) Watak-watak "representasi" ini disengajakan, bukan sahaja sebagai memaparkan dinamisme perwatakan pelakon utama, tetapi pergolakan, naik turun semangat, kadang-kadang berbentuk psikologikal, kadang-kadang, seksual terhadap watak.

Di dalam filem ini, watak Nico (suara Zizan) dan dua kawan-kawan kura-kuranya merupakan "pencerita", korus Yunani (Greek Chorus), representasi "semangat" yang berbentuk implisit dan juga eksplisit (dan turut "berhubung" secara sengaja dan tidak sengaja terhadap watak manusia) terhadap semangat remaja dua watak utama filem ini, Tiz Zaquyah dan Aeril Zafrel.

Ya, ini sebuah filem senang berkenaan perhubungan cinta yang cuba dijalin antara Tiz dan Aeril. Tetapi, dengan penampilan "kura-kura" ini, Nizam dapat menjelajah pelbagai tema yang turut melibatkan perkembangan dan pengaruh dalam hidup remaja, jati diri mereka, emosi mereka, seksual mereka, psikologi mereka, impian mereka, dan sudah tentu cinta mereka. Ini adalah semangat-semangat manusiawi yang cuba disentuh oleh Nizam, menampilkan semangat seorang remaja yang seadanya, dan sepatutnya. Satu garisan halus antara realiti dan fantasi dimainkan, yang turut berkait dengan realiti hakiki di bumi nyata dan "angan-angan" yang ingin dicapai oleh mana-mana remaja. Ini, disampaikan dan diwakilkan dengan simbolisme yang baik sekali dengan kemunculan Nico, si kura-kura milik Tiz yang boleh bercakap (kura-kura boleh bercakap itu representasi alam "imaginasi" tetapi sebenarnya "realiti" yang benar, di sini, kita sedari Nizam menyatakan, "imaginasi" boleh dicapai jika seorang remaja itu yakin dan percaya teguh terhadap "imaginasi"nya). Kehadiran Tiz dan Aeril untuk "bersatu" hanyalah refleksi (boleh jadi mencapai keinginan seksual remaja, boleh jadi representasi falsafah matlamat sang remaja), tetapi yang lebih menarik lagi daripada itu adalah apakah dinamisme psikologi yang membuat Tiz itu Tiz dan Aeril ialah Aeril dalam filem ini, matlamat, keinginan dan semangat mereka. Inilah yang disampaikan dengan dinamisme yang amat mencuitkan antara kura-kura terhadap dua watak manusia tersebut. Seperti contohnya dalam satu babak jujur, di mana Nico (yang tidak suka kepada Aeril) mencuri barang peribadi tuannya Tiz dan meletakkannya di dalam bilik tidur Aeril. Disengajakan, terdapat tisu "basah", dilakukan oleh Nico (seakan-akan Aeril melancap kerana coli dan seluar dalam Tiz). Memang Aeril TIDAK MELAKUKAN hal ini, tetapi dia dituduh oleh Tiz dan ibunya kerana bukti barang-barang itu berselerak di dalam biliknya. Secara psikologi, kita faham memang Aeril tidak melakukannya tetapi perbuatan Nico, seekor "haiwan" merupakan representasi "id" (unsur id selalunya dikatakan adalah wakil sifat kebinatangan kita mengikut psikologi Melayu. Ini berkait utuh dengan pemahaman semangat kebinatangan secara seksual, serta secara falsafah manusiawi dalam filem ini yang lebih tertumpu kepada watak Fizz Fairuz) Aeril untuk mendapatkan Tiz. Maka "id" ini diluahkan ke "ego" Aeril melalui Nico. Kompleksiti seksualisme ini berlaku dalam filem remaja secuit ini, bayangkan! (dan begitulah representasi seks remaja yang sepatutnya!)

Hal simbolisme separa sedar ini juga dimainkan dengan imej-imej kura-kura dan arnab (rujuk kisah Aesop tersebut), yang mana disampaikan dengan makna cita-cita dan cinta Tiz dan Aeril. Tetapi tema terbesar yang tersingkap antara Tiz, Aeril dan kura-kura tersebut adalah keinginan remaja untuk mengekspresi diri mereka sejujur-jujurnya. Inilah "underlying message" terpenting filem ini. Mereka, remaja, sepatutnya percaya pada diri mereka dan cita-cita mereka, seksualiti mereka, cinta mereka. Hanya mereka yang kenal dengan diri mereka, atau kemungkinan mereka memerlukan "bimbingan" untuk itu (dengan berkawan= sosial).

Filem ini dibawakan dengan baik oleh Tiz Zaqiyah. Aku terkejut dengan penampilan keremajaannya yang jauh lari daripada kematangannya dalam Nur Kasih. She is just right for her role. Aeril memerlukan bimbingan yang lebih, tetapi dalam beberapa babak dan momen, aku begitu kagum dengan penampilan dan kejujurannya sebagai seorang mamat yang "slow" dan "blur" terhadap cinta di depan mata (juga representasi "kura-kura" tersebut, yang mana secara simbolisme, kita memahami "mengapa" Tiz amat menyayangi "kura-kura" perliharaannya). Aku turut terkejut dengan penampilan Bob AF buat pertama kali(?) dalam filem. Dia mempunyai satu watak yang kuit (dan sebenarnya susah untuk dibawa) sebagai seorang abang penyayang, lembut, alim yang dipaksa menukar "penampilan"nya dari nasyid ke rock(!), walaupun hal ini tidak diperkembangkan sepenuhnya. Filem ini juga amat dibantu dengan suara komikal lawak Zizan dan Yusop Wilcha menghidupkan watak kura-kura CGI dalam filem ini.

Ada beberapa hal yang sedikit "kureng" mencacatkan filem pertama Nizam. CGI filem ini, walaupun berjaya dalam beberapa tempat, masih boleh diperbaiki dalam beberapa tempat (walaupun ada fluiditi terhadap kemunculannya). Suntingan suara bagi aku adalah masalah terbesar filem ini. Turut runut bunyi yang melatar filem ini (tetapi bukan sedutan lagu yang dimainkan, sebagai homaj terhadap Roxana Cinta 87 dan Kembara Seniman Jalanan Nasir Jani yang mengalun dengan baik dan berfungsi. Baca: ini berkait dengan semangat "anak muda" zaman itu yang jujur, semangat dan berahi mereka). Malah beberapa syot dalam filem ini boleh sahaja diberikan sedikit "kerajinan" dan kesinambungan yang lebih mengikat. Ini amat tampak dalam kelemahan suntingan terhadap aksi pada klimaks (all hell break loose) filem in.

Ahh, kemudian ada kemunculan unsur warna hijau merah ala Amelie yang aku tahu disengajakan oleh Nizam. Bukan sahaja sebagai homaj, warna-warna tersebut menampilkan rasa cinta yang sebenar (baca: harmoni/kesempurnaan/keseimbangan, rujuk mengapa Jean-Pierre Jeunet memilih warna-warna tersebut dalam filemnya). Pemilihan warna kuat ini juga memunculkan filem ini seakan dunia yang "highten the sense of innoncence of the youth" , yang juga berkait kuat dengan pemahaman imaginasi/fantasi golongan remaja. Ada beberapa dialog yang "nakal" yang turut dimuatkan oleh Nizam, menampilkan wit Nizam untuk bermain dengan sifat main-main, seksual, politik tidak serius dan melihat dengan senyuman dunia anak muda yang membesar dan menimbang persekitarannya dengan semangat tinggi dan berahi yang penuh strawberi. Sebuah percubaan pertama yang comel. Dan sudah tentu, suatu perjalanan permulaan yang menarik buat pengarah muda Nizam Zakaria.

9 comments:

Hans said...

wahhhhhhhhh
bro...
ko tgok dah ker?
sob sob sob
untunglah

Anonymous said...

teruja nak tgk filem ni! I love tiz zaqiyah!

sordi said...

bestnya..

agus said...

wah kura-kura, harap-harap tak karipap-karipap

saat omar said...

Adakah filem ini diinspirasi dari kisah sebenar Cinta Kekure?

Anonymous said...

wah best ni..

Sukahati said...

ohh...Nizam Zakaria kini mengarah?? Mesti cerita ni pelik....sbb e-novel beliau dulu semua pelik2 tapi menarik! Akan tonton

Nizam said...

Saya telah mula mengarah sejak tahun 2007...

Anonymous said...

Tak sabar nak tgk..so far byk positive feedbacks..kawan aku dah tgk and she gve 5 bintang for CKK. Ketawa je spnjang cerita..hehehe nak tgk Tiz zaqyah.. :)