29 September 2011

The Story of Qiu Ju(1992): Antara Keadilan dan Kekeluargaan Zhang Yimou


Filem ini berkenaan masyarakat - dimulakan dengan paparan orang-orang kecil di sebuah pekan pedalaman yang sesak. Dalam pencampuran orang, kita akan ketemu tiga watak, dua wanita menyorong seorang lelaki dewasa ke sebuah "klinik pekan". Paparan ini dikatakan "mencuit"kan bagi penonton China, tetapi buat aku, ia membawa sindiran politik yang amat mendalam daripada pengarah Cina kegemaran aku, Zhang Yimou.

Mungkin, inilah filem pertama kali buat Zhang Yimou, yang kita ketahui menggunakan perpaduan estetik warna dan ruang teratur, menggunapakai gaya neorealisme (satu lagi, filem kegemaran aku daripadanya, Not One Less). Dan betapa jitu dan jujur ia kelihatan.

Ianya sebuah filem berkenaan keluarga, antara unsur maruah dan keadilan. Zhang selalu mengambil Gong Li (atau mana-mana wanita sebagai penggerak naratifnya) sebagai "mata"nya di dalam alam filemnya, "suara wanita" adalah "suara" Zhang terhadap komentarnya berkenaan landasan dan layar realiti Cina waktu itu (wanita Asia selalunya pasif, dalam filem-filem Asia Zhang menongkah arus dalam hal ini). Filem ini juga diadaptasi secara longgar daripada sebuah novela popular di China (hah, sekali lagi, lihat betapa pentingnya sastera!)

Babak awal itu (lelaki disorong) sendiri sudah membawa imej yang "menongkah arus" dalam kebiasaan imej yang diperlihatkan di layar. Dari situ sahaja, kita sudah maklum, filem ini berkenaan "seorang wanita" bernama Qiu Ju (Gong Li) yang akan memperjuangkan (imej aksi menyorong suami) "maruah" suaminya, atau sebenarnya apa yang difalsafahkan sebagai "keadilan" terhadap maruah keluarganya. Prinsip ini yang dipengang oleh Qiu Ju, dan atas prinsip inilah, plot filem ini bergerak.

Ini membawa satu hal menarik untuk melihat bagaimana seorang wanita (lebih-lebih lagi golongan pekerja) berdiri sama bahu dengan sistem Komunisme China waktu itu dengan birokrasinya yang dipenuhi lelaki. Secara terserlah, Zhang memperkatakan sesuatu berkenaan "feminisme" tempatannya. Atau secara tradisi tersulam "ibu-ibu Cina" yang mempunyai ketokohan untuk berjuang. Selalunya, berkenaan hal keluarganya. Ini disampaikan dengan imej yang amat kuat, apabila kita melihat babak kota di kaki lima di mana Qiu Ju memakai baju warna merah yang kuat, berdiri kukuh, memerhati, sedang wanita-wanita Cina di kota, dengan pakaian elegen mereka berwarna hijau dan ungu pudar, berjalan di tepi kota dengan bersemangat. Hal ini bukan sahaja menampakkan pertembungan "kelas" antara Qiu Ju dan wanita kota (secara tidak sengaja, ini mengkritik pemahaman kita berkenaan kesamarataan komunisme), tetapi bagaimana "celik"nya Qiu Ju terhadap "kebutaan" warga kotanya (signifikasi warna merah). Hal ini amat berkait dengan "sistem", dan sistem inilah yang ingin Qiu Ju "depani" (ini adalah kerana, pihak pegawai kampung dan kemudian daerah tetap memberi jawapan yang sama terhadapnya berkenaan masalah yang dia kemukakan).

Lantas teruslah Qiu Ju memperjuangkan masalahnya sehingga ke mahkamah. Apa yang diperjuangkan? Suami Qiu Ju ditendang oleh Ketua Kampung di "anu"nya (ini suatu pemaknaan menjatuhkan martabat: anu lelaki sebagai simbol penting di sini). Ini membawa dua permaknaan, risiko suami Qiu Ju untuk memberinya zuriat (sistem China waktu ini masih menggunapakai satu pasangan dua anak) dan suaminya dipermalukan dengan amat buruk.

Aku merasakan simbolisme ini amat menarik, lagi-lagi Qiu Ju waktu itu sedang mengandung. Mahu tidak mahu, pada awalnya (imej Qiu Ju menyorong suaminya) ia kelihatan bagaimana seorang wanita biasa yang duduk di dalam sistem pemerintahan (kebanyakannya) lelaki dan mengikut persetujuan konsesus lelaki, memperjuangkan suaminya kerana inginkan persetujuan konsesus lelaki tersebut (baca: maruah). Kita lihat imej ini terkait kerana kepayahan Qiu Ju untuk membawa suaminya ke klinik, dengan kereta sorong (si lelaki yang diagungkan di sini, dijaga begitu baik) walaupun dia mengandung (dia bersikap aktif, dan bukan pasif duduk di rumah walaupun sarat). Imej seterusnya, kita melihat bagaimana "cepat mengalah" dan "pasif"nya bapa mertuanya, dan kemudian suaminya sendiri. Malah apabila Qiu Ju mahu membawa masalahnya ke mahkamah, suaminya mengamuk. Masalah itu bukan lagi berkenaan suaminya tetapi Qiu Ju. Qiu Ju telah mengambil "keputusan individual", melanggar konsensus adat suaminya. Inilah sikap feminisme Qiu Ju yang kuat.

Sikap ini, di mata Zhang adalah "adil" dan "benar", walaupun mungkin akan menggoncang beberapa hal. Inilah dinamisme dunia filem ini, di mana bagaimana dipertunjukkan masyarakat perlu mendepani hal yang betul untuk dilakukan tidak semestinya akan memberi kepuasan sebenar, yang turut merosakkan keseimbangan dan keharmonian yang tercapai (dengan sistem yang sedia ada). Ini dipaparka dengan sempurna sekali dalam imej statik ala 400 Blows wajah Gong Li yang terkesima. Malah, filem ini tidaklah memberi pemaknaan yang "selapis" terhadap pemahaman konsensus (lelaki) lwn. individualistik (wanita) yang senang. Apabila Qiu Ju melahirkan anak, si Ketua Kampunglah yang membantu, dan atas sebab ini, Qiu Ju "menyanjung" kembali Ketua Kampung. Imej yang lagi menarik, Qiu Ju diwarnakan dengan warna merah kuat selepas melahirkan anaknya. Dia memegang bayi lelaki (lelaki lebih bernilai dari wanita dalam budaya Cina) dan kini disorong pula oleh suaminya. Qiu Ju "telah dikembalikan" ke dunia nyatanya yang di"perintah" secara harmoni oleh golongan lelaki. Dengan ini, kita menyedari, Qiu Ju mungkin agak tersasar, walaupun dia berprinsip.

Ini sebuah filem yang kecil dan dipenuhi orang-orang kecil tetapi begitu berkesan dalam memaparkan sisi dinamsime orang berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap politik, cinta, keluarga berbaur dengan benar dan jujur sekali terhadap manusiawi. Inilah kehebatan Zhang Yimou apabila melukiskan orang-orang kecil di sekelilingnya. Orang-orang kecil yang indah dengan cerita-cerita biasa mereka sehari-hari.

2 comments:

Anonymous said...

thx fadz for this review.

PERANGFILEM said...

dah tgk citer ni. Bila tgk filem2 Zhang Yimou seakan tengok filem Iran versi Cina haha...