13 October 2011

Two Legged Horse(2008): Seram dan Menghantui Namun Cemerkap


Aku rasa, kemungkinan, ini adalah antara filem seram yang pernah dibikin di Iran. Ya, waktu orang sibuk membantai filem hantu tempatan, tempat syiah yang selalu disanjungi oleh pendidik filem kita rupa-rupanya mengeluarkan filem seram.

Serius, ia amat dekat dengan istilah yang peminat seram sekarang pakai: torture porn.

Ia mengisahkan seorang budak (sangat miskin sampai tinggal dalam lubang cerobong tanah) yang cacat (Ziya Mirza Mohamad) tetapi kuat yang diupah 1 Dolar untuk mengangkat seorang budak kecil (Haron Ahad) yang kudung kaki ke sekolah tiap-tiap hari sewaktu ayahnya tiada (ayahnya perlu membawa anak perempuannya berubat kerana anaknya berjalan seperti haiwan, dengan empat kaki). Ia nampak seperti filem "neo-realisme" tipikal dengan mesej "falsafah tinggi" yang biasa kita tonton, dengan pengakhiran yang tipikal filem Iran. Tetapi tak. Aku amat-amat melopong mulut, filem ini memaparkan, bagaimana dengan sadis(!) seorang budak "kaya" memukul dan mengherdik seorang anak miskin, memperkudakannya, menggunakannya semahu-mahunya, sehingga sampai pada satu tahap, secara metamorfosis, si budak itu menjadi seekor "kuda" dengan masochis sekali.

Ya, ini sebuah filem yang amat menakutkan (dan susah) untuk ditonton. Aku boleh katakan, ada beberapa babak yang amat menghantui, tetapi begitu indah dibuat, ditolong oleh kekuatan dua pelakon kanak-kanak lelaki dalam filem ini (lebih-lebih lagi pelakon yang cacat itu). Malah, ada babak "romantis" yang berkait dengan si cacat (yang mendapat ais krim daripada tuannya) yang menghantar ais krim kepada seorang anak perempuan pengemis yang dia cintai secara senyap. Babak itu memaparkan, dengan perlahan tetapi bersungguh, wajah "terpana" si cacat kepada si gadis yang tidak akan tahu isi hatinya. Berderai air mata aku kerana kekuatan hunamisme babak ini, yang menjadi perbandingan kuat dengan apa yang dia lalui dan diperkudakan oleh tuannya si budak kudung.

Sememangnya, filem ini boleh sahaja diistilahkan sebagai alegori kapitalis yang menjerat, atau kesakitan perbezaan kelas dalam masyarakat Iran (yang kaya selalu memperguna si miskin), atau ketidakupaya orang miskin untuk merasai kemanusiaan. Ia juga mengingatkan dengan apa yang aku sednag lalui dengan membuat buku sekolah sekarang (diperkuda-kudakan oleh orang atasan, termasuk hingga ke menterinya). Kadang-kadang, beberapa babak diulang balik untuk menyatakan metamorfosisi yang perlahan berlaku terhadap budak cacat itu, pendiriannya terhadap dirinya dan fungi dirinya, yang akhirnya ditelan oleh hasutan untuk merasa "hidup elok".

Hanya masalah neo-realisme filem ini adalah, oleh kerana ia realis, ia perlu memaparkan babak yang benar-benar "real". Samira selaku pengarah tidak ada kekuatan untuk memaparkan aksi, walaupun percubaannya baik (contoh babak pergaduhan, babak demi babak dipapar secara potongan dan aksi tidak ditunjuk), ia tidak mendatangkan kekuatan impak sinema secara kuat. Malah ia kelihatan longlai terhadap kekuatan keseluruhan imej filem ini.

Ada beberapa babak yang agak lewah yang disengajakan, juga merundum filem ini sebagai filem yang diikat kuat. Tetapi, untuk menonjolkan, ada jenis "seram realiti" yang tiba-tiba menusuk masuk ke alam "sureal seram Kafkaesque" akhirnya, ia sesuatu yang boleh disanjung keluar dari Iran.


4 comments:

KatANoTA said...

apa yang unsur seramnya fadz dalam filem ni???

fadz said...

kalau melihat apa yg berlaku kpd si cacat tu suatu gula-gula, aku tak tahulah, tetapi itulah dia yg amat menyakitkan.. klimaks filem bila "kuda" masuk ke lubang juga adalah momen filem ini memasuki ruang "seram" (dia sudah bukan diri dia lagi dan hanya utk org lain, baca: mesin).

PerangFilem said...

mmg tak sanggup tengok apa yg terjadi pada 'kuda'...

sang kamen said...

thanks!! bro!!