12 December 2011

Dua Filem Hari Hak Asasi



The Stoning of Soraya M(2008)

Filem Amerika ini sama tujuannya dengan telefilem Not Without My Daughter(1991) yang dilakonkan oleh Sally Field iaitu mengambil perspektif kritikal terhadap negara fundamental Islam, pendek kata, negara Islam itu negara tidak bertamadun.

Aku tidak akan melihat filem ini secara politik agama, kerana hal itu tidak akan melancarkan pemahaman filem ini, tetapi aku akan menerangkan filem ini sebagai filem.

Filem ini, sepenuhnya, ialah sebuah filem seram yang disalin dengan realisme hak asasi wanita, padang pasir, dan unsur Hollywood sebagai gerakan "menyenangkan penontonan" buat khalayak biasa. Strukturnya amat mengikuti sebuah filem seram: ia bercakap tentang "ketakutan" dan ketakutan ini "benar-benar berlaku". Kenapa aku kata genre "seram"? Kerana filem ini, peliknya, dengan berkesan (dan kadang-kadang tampak sikap propogandanya) mewarnakan beberapa watak yang kita sedia tahu adalah "syaitan" (hantu) filem ini, dan seperti mengikut tradisi Lovecraft, setiap "kehadiran jahat untuk muncul", perlu ada pengorbanan. Watak yang dimangsakan dalam filem ini adalah wanita, khusus Soraya M (lakonan Mozhan Marno). Apa yang menguatkan unsur keseramannya ialah, setiap watak jahat filem ini tidak diberikan dimensi manusia mereka yang "lemah" atau kenapa mereka "manusia" tetapi memilih melakukan suatu hal yang paling menyeramkan dalam sejarah kemanusiaan (sebenarnya, keterangan dalam buku yang diadaptasi, daripada kisah sebenar, lebih teliti dan bermakna, malah menyatakan dengan justifikasi watak-watak tersebut, aku baru tahu berkenaan Mullah yang dipenjarakan kerana kes pedofilia hanya apabila diterangkan oleh Shannon Shah, hal ini hanya dipapar dalam filem ini secara subteks yang lemah), membunuh. Mereka seakan Freddy Krueger ataupun Jason tanpa dimensi perwatakan, topeng atau senjata, malah senjata sebenar mereka adalah "kuasa patriaki", "salah guna agama", dan "suara seorang lelaki". Mainan inilah yang dimainkan oleh mereka untuk mendapat apa yang mereka inginkan: darah seorang dara!

jeng jeng jeng!

Aku syorkan kepada pihak BN dan UMNO, jika kalian hendak mainkan isu PAS dalam menyerang aplikasi hudud dalam negara kita, inilah senjata kalian supaya ia dipertontonkan, senjata propoganda ini agak kuat sebagai "shock value" dan "torture porn" yang dapat menafikan kebaikan isi-isi perundangan Islam Hudud. Aku serius. Pada satu babak panjang "rejam Soraya", aku berbisik kepada kawan aku di sebelah, "Wah, ini Passion of Christ versi Sisters In Islam!" Yep, (Jim Caviezel pun ada dalam filem ni!) tapi sudah tentu dengan cara pembawaan dan makna agenda yang lain. Aku teringat akan drama siri pop Islami Erma Fatimah yang buat aku muntah, Tahajjud Cinta baru-baru ini di TV3, yang mana turut mengadakan babak "rejam", yang aku rasa, lebih intelektual dan terisi wacananya untuk menyoal hal hak asasi wanita dan hudud serta sikap penguatkuasaan undang-undang yang ekstrem terhadap manusia (babak ini juga berlaku kerana si wanita dan si lelaki dituduh berzina tanpa empat saksi).

Secara menarik, segala kegilaan babak ini dinaik tahap keseramannya apabila si Mullah tiba-tiba memasang kaca mata hitam. Jahil(gelap) dan glamour tidak pernah seironi ini!!

Apa-apa pun, secara teknikal, filem ini berjaya sebagai mempengaruhi kita bahawa kisah benar ini benar-benar berlaku, malah babak akhir Shohreh Aghdashloo melemparkan tangannya ke langit untuk menunjukkan kemenangan adilnya mengisi "crowd pleaser" babak ini yang kita tahu, hanya boleh berlaku dalam filem Hollywood (tapi aku suka babak ini, walaupun nampak palsu).

Ada satu babak yang benar-benar berkesan, dan inilah kenapa filem ini patut ditonton. Mozhan sebagai Soraya memegang tempat ini. Ini adalah apabila kita diberikan "kebenaran" kemanusiaan betapa hodohnya sikap patriaki kampung tersebut (aku boleh bayangkan, wujud di tengah-tengah kota kita juga) yang telah "merosakkan" kedua anak lelaki Soraya. Babak ini sebelum babak rejam Soraya. Soraya di dalam bilik, menunggu "masa hukuman"nya. Dua anak lelakinya datang. Si anak yang seorang bertanya dengan air mata kenapa ibunya perlu mati (ini sasaran sebenar filem ini: adakah maut itu sesuai untuk satu kesalahan yang bersifat peribadi?) sedang abangnya menempelak, "Kau lelaki kau tak patut menangis!", memaparkan penanda si abang yang sudah "diikat konsensus patriaki kampung". Kemudian Mozhan merenung si abang, anak sulungnya, "memohon simpati", di mana si abang menjeling dan merenung tajam ibunya dengan mata benci. Si Mozhan menangis tak tertahan lagi. Inilah "kejatuhannya" yang lebih sakit daripada kematiannya, inilah "hukuman yang lebih kejam" daripada tuduhan para lelaki kampung itu. Pada masa ini sahaja, aku menangis tidak tertahan, kerana tahu, Mozhan sudah "hilang harapan" dan selepas itu hanyalah "pertunjukan" (penanda dengan kehadiran orang-orang sarkas ke tempat rejam tersebut). Inilah saja detik filem ini yang bukan seram dan perlu ditonton dan diperbahaskan.






The Lives of Others
(2006)

Ah, ini satu penemuan yang sangat memuaskan. Dan aku mengaku filem ini benar-benar filem terbaik yang aku tonton tahun ini (dah berapa lama aku terlepas?).

Filemnya berkenaan kumpulan Stasi (kita di sini panggil Special Branch, dikatakan secara fakta, Stasi yang dipaparkan di dalam filem ini agak fiksyen, kerana seorang pegawai Stasi tidak boleh bekerja secara individu seperti dalam filem ini, walaupun berpengalaman dan berpangkat tinggi) zaman Jerman Timur (sewaktu tembok Jermanitu masih utuh) yang, seperti filem Francis Ford Cappola itu, merisik secara diam terhadap "hidup-hidup orang lain", dan di sini, terhadap seorang penulis teater, Georg Dreyman.

Filem ini mempunyai pelbagai-bagai lapisan yang emosional, politikal, membuka, dan memperkatakan tentang bentuk hak bersuara dan hak mengintip ornag lain tanpa kebenaran mereka. Tetapi jauh daripada semua itu adalah suatu yang lebih mencengkam jiwa aku: bagaimana seorang yang mengikuti suatu sistem yang dipercayainya, sedikit demi sedikit menjumpai "perhubungan" yang manusia dan menjadi seorang manusia sehingga menyoal kembali sistem yang dipercayainya.

Semua ini adalah kerana cinta.

Hal filem ini bergerak dengan dua hal yang amat penting: teks dan suara. Inilah dua hal utama yang menggerakkan filem ini. Kita, seperti Weisler (lakonan agung Ulrich Muhe), juga "voyeur" terhadap sekeluruhan struktur filem ini yang "melihat kehidupan orang lain" (juga rujuk filem Alfred Hitchcock itu). Weisler dibiarkan "tanpa warna" (dia memakai baju kelabu dari awal hingga akhir, ini penanda terhadpa prinsip hidupnya dan sistem yang dia pegang: sosialisme) dan duduk diam di dalam satu sudut, "seperti Tuhan", hal yang sama seperti si pengarah dalam Truman Show. Kita menyedari hal ini, secara manipulasi, bahawa Weiner, seperti kita juga mempunyai "impian" (desire). Secara awalnya, impian itu adalah untuk memerangkap Dreyman. Tetapi sedikit demi sedikit, si voyeur (hal ini benar dengan filem Vertigo Hitchcock, sekali lagi) akan memuaskan atau menghendakkan imej "realiti" itu mengikut kehendaknya. Malah, dalam satu garisan halus, kita lihat bagaimana Weisler punya suatu keinginan "homoerotis" terhadap Dreyman dengan cara dia mengambil bukunya dan cara dia bersenggama dengan pelacur, sebaik sahaja mengikuti adegan tersebut yang dilakukan oleh Dreyman dan aweknya.

Lantas di sini, sedikit demi sedikit juga, Weiner yang sepatutnya bekerja untuk Stasi, dan khusus kepada "tuhan" yang lebih besar dari itu (si menteri kebudayaan) akhirnya melanggar alunan natural tersebut dan mula "mengarah" pentas dengan liciknya.

Semua berkenaan filem ini indah. Ruang rumah Dreyman dipaparkan coklat (ini warna untuk hidup, juga kegembiraan, atau seni, inilah warna tai dipakai oleh Dreyman dihadiahkan oleh aweknya) dan terisi, dengan potret-potret besar dan setiap ruang diisi buku. Ruang ini memenuhi perwatakan Dreyman sendiri yang meraikan hidup (babak mainan piano itu berkesan untuk menunjukkan bagaimana rasa dan patinya sampai ke Weiner), yang mana secara berlawanan Weiner terisis dengan ruang hijau mati dan potret kecil, rak yang kosong dan amat teratur. Hal ini akan berubah, kita tahu, apabila, walaupun Weiner, langsung tidak akan berubah dari segi pemakaian, tetapi dia mula melukiskan pelan seni bina pangsapuri Dreyman dalam bilik siasatannya, dan sedikit demi sedikit, kita lihat, ruang gelap dan sempit Weiner berubah luas dan pelbagai perabot mula masuk, dan kadang-kadang terang dan terang.

Warna putih adalah warna tragedi dan mangsa catur kuasa. Kita tahu ini apabila si menteri bermian dengan awek Dreyman, kita lihat cawat putihnya separuh skrin (ini kelakar tetapi menganggu kita betapa kuatnya orang berkuasa). Seterusnya, Dreyman dan aweknya mula memakai "putih", malah pada akhir babak tragedi, Dreyman dan aweknya merangkul dalam keputihan (di sini, kita faham, kekuasaan membawa kepada kesedihan dan, kematian). Inilah paparan "putih" yang kita lihat ada selepas itu pada persembahan teater Dreyman berkenaan aweknya, yang mana putih merupakan pakaian watak utama teater itu, dan membuatkan Dreyman tidak tertahan.

Ada seorang tetamu pada hari itu turut memperkatakan bagaimana filem itu adalah analogi moden terhadap "pengkhianatan Judas" terhadap Jesus, ini terletak kepada awatak si awek dan si Dreyman. Penghidupan semula (ressurection) berlaku terhadap si Dreyman, simbol Jesus moden filem ini, dan pengikutnya yang "paling setia", si Weiner. Apa-apa pun, ini sebuah filem yang perlu ditonton dan diraikan.

4 comments:

GAIA said...

Aku tengok life of others masa ditayangkan kat cineleisure beberapa tahun lalu, ingatkan kau pun dah lama tengok.

Anonymous said...

aku yakin passion of joan of arc, dir:Carl Theodor Dreyer, lebih islam dari film-film dan drama melayu yang melebelkan sebagai film islam.

Penchinta Ruang Gelap.

ezekielvs filivs iacobi said...

A wonderful film and a great review. Keep up the good work.

hakir said...

selesai menonton life of others, memang terbaik. Stoning of soraya kena tunggu mood okay sikit, baca sinopsis dah gerun.