23 January 2012

Jalan Ke Oscar II 2012: The Ides of March, Midnight In Paris



The Ides of March(2011)
Aku tak berapa suka dengan filem politik yang kelihatan "terkini" dan "semasa" oleh George Clooney ini. Filem ini filem yang senang berkenaan pengkhianatan dan salah guna moral, bagaimana sekecil-kecil pilihan manusia yang menyebabkan satu-satu dinding Jerusalem boleh roboh. Filem ini buat Ryan Gosling, dan beliau mengangkat cerita filem ini dengan baik dan lancar, seorang pengurus gabenor yang kemungkinan ke arah kerusi Presiden Amerika Syarikat (lakonan George Clooney yang baik). Tragedi berlaku, dan kuasa beralih. Ia seakan dirasakan seperti satu tragedi Shakespeare moden yang tidak banyak darahnya, hanya perebutan kuasa. Pun begitu, Clooney mempunyai kuasa indah dalam menangkap detik-detik sinema yang banyaknya kelihatan diambil daripada pemerian Francis Ford Cappola. Babak Phillip Seymour Hoffman bergerak masuk ke dalam kereta lantas hanya runut bunyi sahaja yang bergerak, kamera statik mengingatkan kita kepada gaya Cappola. Penceritaan filem ini baik dan memahami keseluruhannya, tetapi tidak ada cetusan yang membuatnya diingati.

Midnight In Paris(2011)
Ah, sebagai seorang penonton Woody Allen, sudah lama benar aku menunggu Allen untuk kembali sepertimana yang aku kenal dia pada zaman keemasannya. Dan mungkinkah aku boleh bersyukur dia mula kembali (bukanlah aku menolak filem-filem progresif dan melanggar tradisinya, mungkin aku seorang romantis, seperti watak utama filem ini yang dilakonkan oleh Owen Wilson). Mungkin juga kalau diperbandingkan, ia tak mungkin sebaik filem-filem
adikaryanya yang kita sedia tahu. Tetapi dengan fontaip permulaan kredit, suara mainan Jazz kesukaan Allen, dan cara filem ini dibuka dengan gaya Manhattan, ah, betapa indah dan seronoknya.

Filem ini mengingatkan aku kepada dua filem Allen terdahulu, Manhattan yang mana sebuah cerita yang menyelubungi kita untuk jatuh cinta terhadap kota latarnya (adakah punya kemungkinan Allen sudah muak dengan New Yorknya? Tidak mungkin, tetapi aku tahu peminat Peranchisnya mengetahui mengapa filem ini dibuat), yang turut berlaku kepada aku bila menonton filem ini (aku bukanlah seorang yang mencintai Paris, lebih senang dengan Bangkok, KL, Oxford, New York, San Fransisco, Casablanca dan kemungkinan Barcelona dan Madrid) serta The Purple Rose of Cairo yang mana si protagonis turut membawa dirinya masuk ke alam eskapis "romantis" terhadap ketidaktentuan realiti sebenarnya. Di dalam filem ini, watak Owen akan menjumpai tokoh-tokoh seni besar Barat lantas mengetahui apa yang membuat mereka tercetus pemikiran seni, emosi yang mereka lalui dan hidup Paris yang mereka raikan. Filem beginilah yang aku mahu lihat berlaku dalam filem kita, sepertimana aku boleh jatuh cinta dengan Cole Porter sekarang hanya dengan beberapa babak filem ini dan bagaimana suaranya memenuhi filem ini. Inilah perayaan budaya dan ini difahami oleh Allen dengan baik sekali dalam filem (rujuk bagaimana Allen mengutuk jenis penonton Amerika dan filem yang Hollywood keluarkan sekarang, bodoh dan formulaik hiburan, anda tak terasa persamaannya?)

Di dalam filem ini, rasa, emosi, warna, asap dan suara Paris, baik sekarang (yang dipenuhi dengan kaum Amerika yang lantang, selapis dan kapitalis) 1020-an dan 1890-an menjadi hidup dan dilalui oleh Owen Wilson, seorang penulis yang mencari suara, inspirasi dan cinta sebenarnya. Filem ini juga aku tahu amat dekat dengan Allen dalam hal "nostalgia" (inilah kuasa filem-filem Allen, ia kelihatan lama tetapi tidak pernah purba, rujuk cara syot filem ini terhadap dua subjek, tipikal yang pernah pembikin kita bikin, tetapi lihat dinamis dialog yang berlaku) dan yang berkaitan dengan "romantik" (romantik sebenarnya bermakna optimis, hidup dalam impian yang tinggi). Filem ini meletakkan definisi yang betul. Inilah bagi aku filem romantik 2011 aku, jauh lebih baik (dan lama aku tunggu) sejak Eternal Sunshine of the Spotless Mind (aku tidak menyukai 500 Days of Summer) melawati kita. Kita akan ketawa, menangis dan mengikuti sifat liberal dan lapang dada tapi "merepek" Woody Allen yang diistilahkan oleh Owen Wilson, meneliti dunia fantasi (sejarah) menghinggapi realitinya, lantas terinspirasi, tersentuh dan jatuh cinta.

3 comments:

GAIA said...

tengok poster nampak mcm Owen Wilson!

Nazim Masnawi said...

"...aku tidak menyukai 500 Days of Summer..."

Oh, Fadz, sebab itulah kau 'kan kucintai selamanya. 500 Days best mungkin buat orang yang tak pernah tonton Annie Hall.

AKMAL_ALIF said...

Serius, bro.
'jatuh cinta' dengan Midnight In Paris... :-)