25 March 2012

3 Filpen KOPI



Antologi KOPI sedang dijual, maya dan fizikal.

Hirup ceritanya dalam kata-kata pahit, manis, tebal dan kelat.

Kini, tonton adaptasinya. Aku baru saja menontonnya, petang tadi sewaktu pelancaran antologi ini (yang mana tulisan aku turut serta).

Secara umum, dengan belanja yang amat rendah, gaya gerila dan pelakon "profesional" guna cawat dan bedak sendiri, kesan bunyinya, seperti sedia maklum (kerana alat penggambarannya) agak mengecewakan, ada beberapa bahagian "tak dengar" (salah Annexe?) dan aku yang agak pekak ini cuba membuka telinga aku luas-luas untuk mendengar. Pun begitu, yang lebih penting dalam wayang adalah gambarnya, dan gambar-gambar yang anak-anak muda jantan ini pilih, menggembirakan.

Kopi Tiga Rasa
Cerpen nukilan Shaz Johar ini sudah diketahui ramai, amat mengambil sisi Desperate Housewives, (yang mana mereka yang mengingati Blue Velvet dan Rebel Without A Cause akan memahami dari mana kegilaan ini datang), ini merupakan penggayaan Shaz, khusus Tabu, ini kekuatannya. Filpen ini sebuah komedi kelam (dark comedy) yang buat aku, secara dasarnya sudah cukup inti menyatakan hal "segala yang indah tak semestinya benar". Ia geli hati sekali gus menghayat. Paling mengena (menyampaikan maksud ke dada) adalah saling babak tersunting antara Datin, Dato dan anaknya di bilik masing-masing. Ini intimasi yang paling menyakitkan, dan hanya si orang gaji "luar" yang menanggungnya. Sebenarnya, dialognya begitu "pedas" dan menyindir "depan-depan" dunia masyarakat kelas atasan kita yang "hilang mencari bintang dan menjumpai binatang" dalam dunia serba material. Ini moralis, tetapi moral yang pahit manis. Adakah Shaz dan Nazri M Annuar, sang pengarahnya tokoh moralis pascamoden kita? Imej dan objek kopinya pun cukup menyindir, dari segi kenyataan "siapa untuk kopi apa" hingga kepada Tok Rimau yang kemarukkan "Kopi O kaw kaw punya". Lakonan kalangan kawan(?) pengarahnya amatur, mencuba tetapi buat aku, si Datin itu punya potensi, walaupun deruan zikir tariqat sesat "Pipiyapong"nya kedengaran canggung dan dibuat-buat. Suara merupakan pencoret kotor filem ini ke arah kesempurnaan. Bahagian akhirnya indah, menawan dan tidak ada satu hal pun perlu diubah. Sila rujuk bagaimana sisi dalam kereta sengaja gelap, dan semua sisi rumah terang (sepertimana semua isi dalam bilik putih, rujuk imej si orang gaji dari keterangan rumah menghampiri kekelaman kereta), ini kenyataan, atau momokan sosial (atau sosialis) yang berani. Kenapa ruang orang gaji itu gelap (dalam kereta)? Kerana beban yang perlu dia tanggung melihat "kebenaran" sisi keluarga atasan itu (ini kotemporari ironi yang memikat, mata vouyeur, asing seberang, menyimpan kebenaran negara jiran). "Diam"nya dia itu menyakitkannya, dan dia perlu memikulnya secara paksa. Kita tahu, si orang gaji ini tidak akan menyatakan rahsia "kebenaran keluarga disfungsi ekstrem" yang disimpannya, dan ini lebih menyakitkan, kerana masalah, atau "tragedi" ini tidak akan diselesaikan bila-bila. Inilah kegelapannya. Penggambaran bagus, sudut menarik. Suntingan tampak kemas walaupun mungkin ada yang boleh diperbaiki.

Kopi Percik
Ah, yang ini menjadi wayang kegemaran tengah hari itu (crowd pleaser) kerana plot tersusun, mainan montaj dan gerakan babak dan imej betul dan berfungsi, dan pengarahnya, Azizul Hakim tahu kuasa Esenstein terhadap cerpen (lovable ghost story) Amal Hamsan ini. Paling efektif adalah babak akhir bila imej pesanan ringkas itu dipaparkan (membawa senak di hati gitu). Walaupun para pelakonnya amatur, mereka efektif menjalankan perwatakan dan aksi, ini bantuan imej dan sudut penggambaran yang baik, khusus babak dalam tandas. Babak paling "kiut" bila seorang dalam tandas keluar dari tandas lantas menjawab salam. Anak muda kita kini amat keluar dari kotak lazim. Aku suka satu "detail" yang dipaparkan untuk lari daripada klise "filem Melayu", iaitu tiada apa-apa subteks si ibu untuk menangkap takdir anaknya selepas itu (bukan seperti kenyataan melodrama dalam Mastika, contohnya), ini membawa kepada kejutan (penonton tekun akan cepat tangkap). Penanda "kopi percik" itu juga amat menawan dan antara metafora fungsional yang bagi aku, memikat dan mengikat. Bayangkan imej ini: setiap hari dia melihat kesempurnaan empat segi warna kopi, bila mati, ia menjadi darah. Ia menjadi "darah dagingnya".

Kopi dan Dia
Aku belum baca cerpen Syaihan Syafiq ini tetapi bagi aku percubaan puitis Fikri Jermadi menarik. Ini penceritaan dengan imej "at the highest order", walaupun mula-mulanya agak canggung dan sedikit superfisial, tetapi mainan pengulangan dan pengulangan imej dan aksi membawa "berkat", membawa maksud. Buat aku, antara ketiga-tiga filpen yang ditayangkan, filpen ini yang benar-benar membawa semangat "sayu" yang mencengkam sum-sum, khusus apabila diikat dengan mainan buih-buih kopi yang mula menghilang. Filpen ini bukan untuk mencari maksud didaktik terhadap perlakuan hedonis watak lantas menghukumi, filpen ini mahu kita memasuki alam "dwi dunia" sang lelaki dan rasa sakitnya, rindunya dan kecelaruannya. Imej mainan bibir ke bibir paling berkesan buat aku, ini penting, kerana "bibir" adalah objek pertama yang menyentuh "kopi": menyentuh pengalaman dan rasa manusiawi. Rujuk babak memikat antara bibir yang bercakap, kemudian bibir tidur yang dipegang, kemudian bibir wanita yang diam. Ini yang dilihat oleh pengarah, bukan moral dan pilihan, buat aku. Sudah lama aku tak jumpa poignant sebegini dalam filpen-filpen kita.

7 comments:

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

Suka semua filpen yang ditayangkan semalam. Dan terima kasih kepada Tok Rimau sebab filpen dia antara yang saya mula2 tengok. BALO, Telefon Genggam etc :)

Ada yang Syaihan nyatakan tentang "Kopi dan Dia" - real story tentang itu ketika kami melepek dan melepak di TBS selepas habis acara. Maka, saya dapat tangkap keseluruhan cerita yang berselindung di belakang gerakan cerita.

:)

Mama Luqman said...

tak payah ambik.'aku jalan dulu'

suka endingnya disitu...

Firdaus Mat Isa said...

Bole masukkan dlam utube ?

Firdaus Mat Isa said...

Bole massukkan dlam utube ? Cerite tu

Anonymous said...

datin tu pelakon professional. boleh tengok dia dalam makbul, tv2, setiap khamis 8 malam. terima kasih - unit promosi rtm

Diaz said...

thank you for the amazing review :)

Diaz said...

thanks for the amazing review! :)