Perca Kata Kritik Filem

Malas nak tulis panjang-panjang jadi ini pengalaman dan pandangan:


Nightcrawler(2014). Arahan Dan Gilroy (produksi adik-beradik Gilroy untuk filem-filem bebas, mungkin tulisan Dan) Awalnya, kita melihat papan iklan kosong, dengan kebijaksanaan suntingan, judul Nightcrawler keluar di sudut yang sama. Kita menyedari, filem ini bukan sahaja mengambil premis Taxi Driver ataupun Rear Window atau Drive, filem ini tentang anak zaman sekarang, Gen-Y yang gila dan komited dengan Imam Google dalam membina diri untuk secebis "American Dream" pada keadaan yang tidak pernah dibayangkan. Rumusannya, "This is the film where the killer got away. Because in your eyes, he is just a participating voyeur." Ya, temanya boleh sahaja jatuh ke dalam perangkap B-movie (seorang yang sadis menangkap sesuatu melangkau moral) dengan gaya mudah rakaman 1980-an. Tetapi Dan dan kumpulannya menyampaikan suatu kisah pengejaran cita-cita yang sebenarnya menakutkan, menakutkan kerana cita-cita ini terdampar jelas di hadapan kita tanpa dipantaui, dan kita sendiri ialah "participating voyeur" itu tanpa kita sedari. Filem ini tampak besar dengan lakonan memberangsangkan daripada Jake Gyllenhall (pasti dapat pencalonan tahun ini), seorang kalkulatif dan penyendiri yang menapak tempatnya dalam dunia penerbitan berita. Matanya merupakan ekspresi sebenar yang harus ditonton (selain daripada kekuatan matanya untuk menangkap imej yang diperlukan oleh stesen TV), dingin, luas dan menakutkan. Mata yang ada dalam mana-mana penonton tegar filem. Mata itu juga mengingatkan aku dengan mata yang terperangkap dalam filem sunyi era 20-an German Expressionisme, lebih-lebih lagi filem Robert Wiene dan FW Murnau. Terdapat tiga kali mata itu disinari dengan cahaya: lampu malam, api, refelksi berita TV, semuanya memaparkan: realisasi rezeki ... dunia yang terperangkap dalam kota materalisme (semua yang kita buat atas keuntungan semata-mata) - perkara yang menjawab mengapa David Teoh tidak akan berganjak sedikit pun dalam pembikinan "adikarya" kilangnya selagi terdapat mata-mata yang terus terpegun dengan layar cahayanya. Filem yang sebenarnya meletakkan keseraman dunia kita tentang moral berita, dadah kapitalisme dan kehebatan-kejahatan anak generasi-Y tanpa nilai. Kelakar sekali gus, menakutkan.

20 March 2012

Pandangan Sinaganaga Berkenaan Bunohan

Nota: Ramai kawan bloggers yang tergamam dengan pandangan beberapa ahli akdemik dan wartawan hiburan berkenaan Bunohan (2012) dan jawpan Pak Hassan Muthalib berkenaannya ("baca teks filem," katanya). Malah ada yang masih berbincang berkenaan misteri-misteri dalam Bunohan. Buat aku, Abg Naga (Sinaganaga: http://sinaganaga.blogspot.com/) menjumpai beberapa jawapan yang akan mengejutkan orang, dna buat aku sendiri, "hands down" setuju, menguatkan lagi pemahaman mimpi Ilham, malah antara ulasan terbaik berkenaan filem ini. Tetapi seperti kata Ridhwan Saidi, semua ini berlaku dan tercipta kerana "rasa", kerana "pesona" kita kepada wayang Bunohan, maka terjadilah mimpi-mimpi. Inilah yang apa kita panggil wayang (sinema) secara esensi, dan inilah dan sepatutnya ke situlah kita berarak.

Bunohan: Sebuah ulasan yang hampir terlambat

[Saya batuk. Hampir tiga minggu lamanya. Hal yang demikian sedikit sebanyak mengganggu kehidupan saya. Ahaks!]

Visual
Sebagai karyawan yang berpengalaman dalam dunia Seni Komersial, Dain Said sejak lama dahulu telah mengunyah dan menghadam aspek-aspek Asas Seni Lukis dan Prinsip Rekaan yang harus diterapkan dalam sesebuah karya. Oleh yang demikian (yakni, isu Asas Seni Lukis dan Prinsip Rekaan untuk diterap dalam filem Bunohan) telah dulu selesai!

Sebagai karyawan seni, Dain Said tahu bila masanya dia perlu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karyanya.

Apa yang perlu Dian Said fikirkan kini: 1. cerita, 2. kausaliti, 3. dan bagaimana mahu menyilang kaitkan kesemuanya untuk mencipta suatu 'kesepaduan' yang berfungsi/berperanan. [Akan saya ulas di bahagian bawah nanti.]

Sinematografi
Charin Pengpanich tidak meletakkan subjek utamanya dalam keadaan Rules of Third atau Golden Section Rule. Charin Pengpanich (Pengarah Fotografi) (dan juga saya, barangkali mungkin) percaya bahawa Imbangan Tidak Simentri pun tidak lagi dinamik (sama sifatnya seperti Imbangan Simetri - yang sah sah berkeadaan tidak dinamik).

Lalu, Charin Pengpanich banyak meletakkan subjek utamanya pada keadaan 'tergelincir sedikit' dari garis tengah Imbangan Simetrik. Dan, kita merasakan visual Bunohan lebih 'lain' dan lebih dinamik.

Con: Adil berdiri 'tergelincir sedikit/ke kiri atau ke kanan sedikit' dari garis tengah perbingkaian babak di muka pintu bilik ayahnya, Pok Eng. Dan banyak lagi.

Kerja Kamera
Saya suka. Seperti yang saya ulaskan sejak awal tadi - karyawan filem Bunohan tahu bila mereka mahu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karya ini. Ada ketikanya kren digunakan (babak Adil dan Muski di paya/lalang), ada ketikanya steady camera digunakan (babak pergaduhan di vanue Muay Thai); kesemuanya digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian.

[Sepatah kata sahabat saya, Nizam Rahmat, 'Kita jangan jadi budak baru keluar kolej - segala font yang ada dalam komputer mereka nak bubuh dalam satu keping design, bro!' HA HA.]

Fokas Penarik
Fokas penariknya kemas dan terancang. Lebih-lebih lagi ketika babak di warong kopi.

Pemilihan Lokasi
Saya amat menggemari lokasi paya dalam filem Bunohan ini. Pantulan imejan peran-peran dan objek-objek yang berada di atasnya begitu menyihir. Begitu juga dengan kocakan dan percikan yang tercipta oleh tindakbalas daya yang dikenakan ke atasnya (ilmu fizik dah ni, pergh!).

Saya amat menyukai babak kereta buruk yang berlalu membawa Adil dan kawan-kawannya lari dari venue Muay Thai pada babak-babak awal Bunohan).

Lokasi yang paling saya suka: 1. Kapal di atas darat yang menjadi tempat tinggal Jing, 2. Venue terakhir perlawanan Muay Thai - di dua buah kapal di tepi jeti, 3. Paya dengan hujan rintik-rintik.

Muzik Latar
Sekali lagi, seperti yang saya ulaskan sejak awal lagi - karyawan filem Bunohan tahu bila mereka mahu bersikap berlebih-lebih, bersikap sederhana, atau bersikap minimal dalam menangani karya ini. Hampir keseluruhan filem ini tidak dilapisi dengan muzik latar. Jika ada pun - hanya pada beberapa babak yang terpilih: 1. Babak kereta buruk yang membawa Adil dan kawan-kawannya cabut lari melalui sebuah pemandangan yang cantik, 2. Babak Bakar di dalam kereta di persimpanan jalan, 3. Beberapa babak lain yang saya telah lupa.

Pengenalan watak
Saya suka cara setiap watak diperkenalkan kepada penonton dalam filem ini. Rujuk babak awal di kedai kopi: orang banyak sedang menonton TV: "oh, itu Pekin Ibrahim, itu ..., etc!" Nampak bijak dan 'lain' sekali.

Peran
Bunohan yang ditangani oleh ramai peran-peran yang baik dan berperanan/berfungsi.

Ilham ditangan Faizal Hussein begitu meyakinkan.
Malah, kita tak pernah melihat Faizal Hussein menekuni watak dalam filem-filem lakonan sebelumnya (Senja Merah, Bujang Selamat, Gila-Gila Remaja, dll) sebaik ini.

Adil di tangan Zahiril Adzim sebenarnya biasa-biasa sahaja. Pun begitu, ketangkasannya dalam babak-babak bertinju Muay Thai amat meyakinkan. Dan kita sukakannya.

Oleh kerana kita begitu menyukai watak yang dibawa oleh Faizal Hussein dan Zahiril Adzim - kita mungkin melupai kehebatan Pekin Ibrahim dalam menekuni watak Bakar. Di dalam dunia realiti: Pekin Ibrahim tidak seperti Bakar dan Bakar tidak seperti Pekin Ibrahim. Oleh kerana itu, saya fikir, ini kerja susah dan Pekin Ibrahim telah berjaya menekuni watak ini dengan baik sekali. Secara peribadi, saya fikir, Dain Said memang sengaja mereka bentuk watak Bakar sedemikian rupa!

Kalau saya diminta untuk memberi medal untuk ketiga-tiga adik beradik ini - saya bagi Emas untuk Faizal, Perak untuk Pekin, dan Gangsa untuk Zahiril.

Bunohan juga begitu berjaya di tangan peran-peran pembantunya: Deng (Bront Palarae), Pok Eng (Wan Hanafi Su), Muski (Amerul Affendi), Jing (Jimmy Lor), Pok Wah (Namron), Awang Sonar (Soffi Jikan). Pun begitu, Namron dan Soffi Jikan gagal untuk menguasai dialek Kelantan dengan sebaiknya - dan ini tidaklah sehingga mencacatkan Bunohan.

Yang paling memeranjatkan - Jolok (Hushairy Hussin). Siapa dia ni? Bagus betul lakonan dia!

[Saya ingin menamakan Hushairy Hussin sebagai calon untuk Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik - bersaing dengan Fauzi Nawawi 'Songlap' yang telah saya telah pilih sebelum ini].

Tengku Azura? Dia masih lagi jelita walaupun telah menjadi buaya. Jom kapel! HA HA.

Cerita
Ketika kecil, arwah Abah sering membawa saya ke panggung wayang. Antara wayang yang saya masih ingat lagi adalah The Crocodile Men (1976). Kisah manusia menjadi buaya, ha ha ha!
http://youtu.be/t7-Eb60ThCQ

[Pada ketika itu Kuantan, di tahun-tahun 70-an, memang dipenuhi dengan cerita-cerita pelik, antaranya: 1. UFO singgah di Kem Batu 10, 2. Budak kembar ular (Arwah Abah pernah menyimpan gambar bayi bermain-main dengan ular ini dahulu tetapi telah hilang dalam simpanan saya), 3. dan beberapa cerita bida'ah lagi, ha ha. Kuantan memang kota bida'ah! HA HA HA.]

Bunohan, bagi Dain Said, adalah sebuah kampung yang jika orang bersetubuh pun maka seluruh orang kampung akan mengetahuinya, apatah lagi jika berlaku hal yang besar-besar - konflik tiga beradik Ilham, Bakar, dan Adil, misalnya.

Bunohan, bagi Dain Said, sama ada dalam bentuk kata kerja atau pun kata nama khas - adalah premise filem ini. [Pergh! Ayat gua...].

Dalam Bunohan, ada beberapa cerita yang cuba digabung jalinkan Dain Said: 1. mitos buaya jadian, 2. konflik tiga beradik (termasuk dengan ayah mereka), 3. seni dan falsafah wayang kulit dan main puteri, 4. seni Muay Thai dan lawi boreng, 5. pembunuh upahan. Dan, Dain Said telah berjaya menggabungkan kesemuanya menjadi suatu kesepaduan yang sempurna.

Sebenarnya, sedutan filem Bunohan telah ditayangkan di MASKARA pada tahun lepas. Ketika itu, Dain Said datang dan saya sempat berbual-bual dengannya seketika. Daripada rupa asap rokok yang berkepul-kepul keluar dari mulutnya, saya dapat rasakan kegelisahan yang terpendam di dadanya untuk berhadapan dengan penerimaan khalayak tentang filem keduanya itu. Pekin Ibrahim dan Soffi Jikan turut hadir sama. Cuma, Tengku Azura tidak dapat hadir - entah apa sebab, mmm, ai frust yuuuu...

Selepas tayangan, Pekin Ibrahim bertanya, "Macamana, bang?" Saya cuma jawab, "Ok!" Walaupun di dalam hati saya berkata-kata, 'Bagus filem ni!'

[NOTA: Pertama kali saya berjumpa dengan Pekin Ibrahim - di lokasi pengambaran filem Apokalip arahan Mamat Khalid, berambut rasta dan datang bersalam dengan saya tanpa bercakap sepatah haram pun - mungkin ketika itu dia sedang menghafal skrip, ha ha ha].

Selepas menonton Bunohan buat kali kedua
Saya syak, ya, saya syak - Pok Eng juga buaya jadi-jadian! Amacam? HA HA.

Ya, Pok Eng dan pasangannya Mek Yah adalah buaya jadi-jadian yang telah mengambil keputusan untuk menjelma menjadi manusia dan menjalani kehidupan seperti manusia dan beranak-pinak. Ini dikuatkan lagi oleh peryataan, "Bopokmu tu boyo!" HA HA HA.

Kemudian, Mek Yah menjelma kembali menjadi buaya setelah Pok Eng mengkhianati cinta mereka apabila berkahwin dengan Mek Ani. Pun begitu, sekali sekala, dek akibat terlalu sayang dan kuatnya cinta mereka berdua - Mek Yah dalam diam-diam menjelma menjadi manusia kembali dan bersetubuh dengan Pak Eng sehingga bunting dan melahirkan anak mereka, Adil. Well, boyo samo boyo tok perlu nikoh-nikoh, rojok-rojok, sungggguh! Lagi pun, Mek Yah comey weh, hati mano dok goye! HA HA.

Dan pada babak akhir - Mek Yah menjelma kembali dan mengajak Pok Eng mengikutnya pulang ke jerumun buaya. Babak ini adalah babak 'penegas' kepada syak wasangka saya.

Apa yang menjadi 'statement' Dain Said di dalam filem ini - 'Siapa lagi ganas? Buaya ke manusia?' HA HA HA.

Amacam? Ada yang bersetuju dengan saya? HA HA.

Ramalan saya
Filem ini amat bagus. Cuma, filem ini akan kurang mendapat tempat di hati penonton yang rata-ratanya bodoh tentang seni filem. Budak-budak WISE pun belum tentu pergi menonton filem ini, ha ha ha, apatah lagi mat rempit dan minah bonceng! Mereka nak tengok Songlap dan Kongsi dan KL Menjerit saja, Baiiiii! 'Menghiburkan', katanya! Ahaks! HA HA HA.

Bintang
Saya bagi empat setengah bintang! MESTI TONTON! Kena tonton cepat-cepat - dah nak habis dah sesi tayangannya!

1 comment:

Anonymous said...

Salam...

Tidak setuju berkenaan kata-kata akhir..orang-orang muda nak tengok Songlap, Kongsi, n KL Menjerit..2 filem kongsi n KL Menjerit betul..tapi Songlap kurang tepat,,,ramai budak-budak ni mendakwa Songlapslow & bosan..tapi bagi aku Songlap best giler...dan aku tak setuju sesiapa yang kata ia merupakan suatu filem yang ringan...

Apa-apapun, aku dah tengok & meminati filem Bunohan..cuma ada beberapa scene yang aku tak faham..dan aku terkejut pasal buaya tu...sangat-sangat terkejut..betul ke itu yang cuba disampaikan? Kedua-dua pasangan adalah buaya jadian?

Aku juga setuju filem ni susah untuk mendapat tempat di hati penonton terutama penonton muda..aku (25 tahun) agak berbeza sebab dah biasa tengok filem-filem ala-ala Taxi Driver (1976) yang kena kuat berfikir untuk memahami sepenuhnya kenapa dan apa yang cuba disampaikan...

pembaca_filem@yahoo.com