01 March 2012

Tuhan, Terima Kasih demi Bunohan(2012)


Bunohan sebuah keajaiban wayang (cinema) Malaysia.

Filem ini mungkin sesuai bagi penggemar David Lynch, mahupun Tran Anh Hung, begitupun Alejandro Jodorowsky ataupun Luis Buñuel. Tetapi itu tidak mengapa. Aku selalu berminat melihat bagaimana realisme magis kita (yang aku panggil realisme haqiqat selepas membaca cerpen-cerpen SM Zakir, khusus 20 Cerita Tentang Tuhan) dipapar di layar. Pengarah lama kita membikinnya dengan salutan hikayat dan panji, Rahim Razali dalam Tsu Feh Sofiah dan Puteri, Adman Salleh dalam Bintang Malam dan Amuk, dan pernah Suhaimi Baba dalam babak pendek "tiba-tiba" dalam Selubung. Ada kalanya serpihan ajaib ini menjadi, kadang-kala tampak "penyendal". Tidak pernah menusuk hidup.

Di dalam Bunohan, ia hidup, bernafas, dan berkata-kata.

Inilah risiko yang diambil oleh Dain Said, seorang "dari luar" (seorang anak diplomat yang lama di perantauan Barat) yang masuk ke "dalam". Dan dalamnya dia pergi untuk melakar kuasa dan kata sebalik "main peteri", "wayang kulit", "buaya jadian" dan "hantu budak".

Sepatutnya filem ini tidak susah, kerana mitos dan penjelmaan yang wujud sudah sebati dan kenal oleh alam Melayu, mistik dan saktinya, rawat dan manteranya, jin dan syaitannya. Yang hanya perlu adalah penonton Melayu itu duduk, selam, rasa dan - fikir. Itu sahaja permintaan filem ini yang berselirat tetapi senang dengan plot yang ternukil teratur.

Pembukaannya sendiri mungkin mengejutkan orang, tetapi sebenarnya mengkagumkan, walaupun mungkin mengganggu "otak lesu" penonton bodoh. Buat aku, genius yang menyakitkan (dan hanya boleh dilakukan oleh nama-nama besar di atas tadi). Mungkin kerana alusi demi alusi yang tersusun tapi terperuk semuanya dalam satu mis en scene. Ini memerlukan tontonan berkali-kali dan sepatutnya pun (biar untung filem ni!) Ini sendiri alusi sebuah "mainan wayang" yang diminta untuk ditonton berkali-kali, seperti mana kita menunggu si dalang wayang setiap hari mengisahkan cerita demi cerita (kisah yang sama tetapi penceritaannya berbeza setiap hari). Kisah tentang apa? Kisah "kita". Kita di sini diwakili kedai kopi (orang biasa, orang kampung, orang kebanyakan) dalam gelap. Ada peti telivisyen, kotak bongok bercahaya (lihat Dain menyindir halus!) menggantikan tirai kelir, lantas ia seharusnya "senang" dikunyah penonton kebanyakan. Lantas kita masuk ke dalam layar tv. Samudera dan tanah putih terbentang. Ini latar filem ini. Suatu adegan sedang berlaku. Tiga gerakan, sepertimana berlaku di atas tirai putih kelir cahaya putih. Sang kapitalis berjalan. Orang kampung yang tidak tahu apa-apa, dan budak yang terjumpa mayat. Layar kelir terpotong. Budak berlari. Hati terhiris. Alam sakit.

Inilah puisi yang dimainkan Dain Said. Filem ini dimohon tonton dengan mata yang sebegitu untuk mencerna rasa surreal dan halus alam Melayunya. Semangatnya senang dan sarjagat, suara tamak, rakus (berahi) dan manipulatif ditentang suara keberanian, ganas, lurus dan pencarian warisan/fitrah /jati (pencarian ibu). Ini dsimbolkan dengan tragedi Shakespeare milik Pekin Ibrahim sebagai Bakar yang punya sisi hitam, Faizal Hussein sebagai Ilham yang hidup mati untuk membunuh, tetapi punya jiwa mistis dan cinta dalam berkenaan rahsia ibunya, dan si romantis Adil lakonan Zahiril Adzim. Ketiga-tiganya dipecahkan daripada sebuah keluarga disfungsi milik seorang patriakh yang memegang keseimbangan alam dalam tangannya, patung-patung wayang kulit itu (lakonan berkesan Wan Hanafi Su). Ia bermula dengan pencarian untuk membunuh. Tetapi plot mula tersentak ditengah-tengah, diikat kuat dengan konflik yang menakutkan lagi, berkenaan saudara seibu (tipikal dalam genre melodrama tetapi langsung tidak digeli-gelaman dalam filem ini), dan lagi menyakitkan, abang sebapa yang akan menghancurkan semuanya, talian darah, nyawa, dan alam.

Aku menyukai kebebasan dan ketelitian Dain Said bermain dengan pentas "drama" ini, yang boleh sahaja menjadi pemahaman mata kritisnya terhadap sikap fatalis politik kita (tiga parti Melayu berpecah?), mungkin juga telatah budaya masyarakat kita, dan lebih baik daripada itu, fenomena sinema kita itu sendiri.

Setiap orang akan mengambil sesuatu daripada itu. Itu pandangan aku.

Aku menyayangi kompleksiti dan ironi watak dan perwatakan Faizal Hussein dalam filem ini. Diam tetapi mencengkam. Dia seorang pembunuh upahan yang perlu mendepani adik tirinya sendiri sebagai mayat. Mula-mula dia tidak endah. Tetapi "alam" yang dia tinggalkan menghantuinya, bermula dengan mengetahui komplot yang dilakukan terhadap tanah arwah ibunya (dilakukan oleh adiknya, Bakar atas dasar pembangunan kapitalis). Ah, ini satu pathos yang menarik. Si pembunuh yang melihat maut di sekelilingnya merindui ibu yang sudah lama "mati" (di sini, ia tidak diceritakan dengan jelas sebagai mewujudkan suatu kaitan watak si ibu sebagai "keramat" atau "sumpahan", sesuatu yang amat dekat dengan orang Melayu, walaupun hal ini mungkin dibenci oleh golongan Persuratan Baru). Dia mencari "mayat" ibu, lantas wujud kefahaman manusiawi bagi mayat-mayat yang dibuang di paya (supaya roh ibunya tenteram kembali). Orang yang tidak faham akan melihat kerja ini sia-sia, tetapi Ilham lebih melangkaui pengetahuan cetek. Ini sulaman rahsia yang terikat dengan warisan, adat dan alam, hal yang sudah dileceh-lecehkan oleh modenis dan kapitalis sang mudawan Bakar/Pekin Ibrahim. Ini peperangan diam Ilham. Ini yang menggugah jiwa aku.

Ada dialog Kelantan yang indah-indah, asli dan hidup. Wujud kelakarnya yang menyindir (dark humour). Buat yang tidak faham kecek Kelate, baca sari kata Inggeris bukan Melayu (kerana diterjemah terlalu literal). Skrip ini antara skrip terbaik tahun ini.

Segala teknik filem ini adalah tahap dunia. Khusus Charin Pengpanich sebagai pengarah fotografi yang melakar dengan betul semangat luas, dalam dan mistik alam Bunohan. Runut bunyinya indah menawan, gesek dan alunan Kelantan/Siam ciptaan Tan Yan Wei. Solekan, kostum, rekabentuk, semuanya teliti dan bernafas, alamnya menjadi dan hidup, tidak pernah sebaik ini dalam filem Malaysia. Hanya aku merasakan suntingan filem ini boleh diperelokkan lagi, khusus babak pertarungan yang amat memerlukan gerak pantas dan tangkapan wayang yang memberahi semangat tarung tomoi. Ini mungkin kerana Dain lebih teliti dalam tangkapan senyap dan drama cerita, bukan kareografi yang dilakukan para kareograf tomoi.

Ada beberapa babak yang mungkin membuat penonton biasa bingit, sepertimana mereka bingit terhadap Songlap (mereka tidak tahu wujud babak melancap dalam teksi, contohnya). Contohnya selang-seli Adil selinap masuk rumah (seperti hantu) dan Adil yang menjerit di luar tingkap sedang ayahnya tidak peduli (hal ini ada justifikasi jika diteliti oleh penonton). Hal-hal eksentrik seakan tidak "real" ini harus wujud dan hanya wujud dalam alam Bunohan, dan hal ini perlu dingerti.

Aku ingin menyatakan lebih banyak lagi, tetapi jika aku kata lebih banyak lagi, akan terbukalah plot cerita, akan terlerailah kisah dan jawapan akhir filem, dan itu tidak cocok bagi aku kerana filem sebegini harus dialami sendiri untuk diresap imej-imejnya, suara-suaranya, warna-warnanya. Mistiknya akan mengalun ke dalam bagai misteri malam kepada yang mahu mencari, dan inilah sepatutnya.

Bunohan sebuah filem yang wajib ditonton, bukan sahaja seru-takjub pengalaman menontonnya, tetapi merupakan antara filem wayang Malaysia yang menzahirkan kembali kewujudan wayang Malaysia di mata dunia. Antara filem terbaik Malaysia tahun ini, dan setakat ini, menjuarai.

klasifikasi: PG-13/18(tidak diketahui), ada beberapa adegan ganas tomoi, pembunuhan dengan pancutan darah (walaupun nampak macam CGI), babak separa lelaki telanjang dan satu babak seks tanpa paparan imej yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.



7 comments:

Qarl said...

Couldn't agree more! Bunohan mmg outstanding!

Hans said...

minggu depan aku tengok :-)

Anonymous said...

Ya Allah, tak sabar nak tgk!

Trimas fadz, review best giler!

Anonymous said...

you write well!...tahniah!
Industry ini memerlukan ahli panel juri filem seperti anda!
Hidupkan balik industri ini...
kembalikan apa yang ditinggalkan oleh zaman studio 60an Dain Said!....
Nyanyikan melodi dondang sayang kepada kami!....
sebagai seorang ibu, penyayang, untuk melahirkan kembali....Karya...
Karya-karya yang kami boleh sampaikan....sebagai puisi...kepada anak-anak generasi yang akan datang!

melati said...

gila dalam review ni! thx! mmg mantap!

Anonymous said...

best review on bunohan, so far!

Bukan Sepet said...

Dah tengok. Tadi. Puas. Perkara pertama sebut pada isteri sebaik keluar panggung: Dah sedia ke khalayak penonton malaysia nak tengok filem sebaik ini? Rasa sayu saat ilhan dibunuh (pinta di bunuh) demi pelepas adiknya masih berbekas. Filem terbaik dimalaysia - setakat ini. Sesungguhnya.