Perca Kata Kritik Filem

Malas nak tulis panjang-panjang jadi ini pengalaman dan pandangan:


Broadcast News(2013): Filem drama komedi klasik yang menampilkan kehidupan stres tinggi pekerja berita setesen televisyen di Washington, William Hurt, Albert Brooks, dan Holly Hunter, kesemuanya lincah, licik dan pandai dalam kerja mereka, tetapi tidak berapa "pandai" memahami "hati" apabila diperlukan, dan bukan salah mereka. Suatu adikarya James L. Brooks menyerupai farsa moden tentang kemajuan, kompleksiti dan kelajuan hidup yang tidak mempunyai masa untuk merenung hal yang lebih penting daripada segalanya, kemahuan hati. Sebuah filem yang masih relevan sebaik The Apartment yang mengisahkan kritik sosial menyengat tentang kemodenan dan erti moden.

29 August 2012

29 Februari(2012): Patriotisme Salutan Cinta

Sebelum aku mula meleter berkenaan filem ini, aku mahu menyatakan rasa dukacita dan kecewa aku terhadap segolongan penonton dalam Dewan 2 pada malam gala pratonton filem ini. Kawan aku kata, mereka merupakan sekumpulan wartawan media dan blogger media kita, jika benarlah, aku ingin menyatakan, "Shame on you!" Aku tiada masalah, bila reaksi mereka terhadap beberapa babak, dengan kenyataan lucah mahupun lawak berkenaan filem yang sedang ditayang, ataupun menjerit apabila setiap rendesi muzikal balada dimainkan di layar, itu adalah hak mereka, tetapi apabila mereka BOLEH BERCAKAP-CAKAP TANPA BERHENTI, di sebelah kiri, depan, kanan dan belakang aku tentang SETIAP babak yang dipaparkan, kau bayangkanlah betapa gusarnya jiwa aku. Wei, aku tonton filem bukan nak dengar korang bagi komentar DVD, yang itu, tunggu DVD keluarlah bangak! Lagi satu, ada bahagian (spoiler) filem ini apabila seorang jejaka menunjukkan hasrat cintanya kepada seorang wanita tua di hospital. Serius, beberapa mamat dan minah ni menjerit ketawa dengan tak malu berkata, "Padan muka, kau bercinta lagi dengan orang tua!" Kata-kata diskriminasi begini terluah keluar tanpa perasaan, tanpa sebab dan kesan manusiawi langsung daripada keturunan-keturunan Melayu (yang aku rasa mereka tentu bodoh untuk menangkap filem ini). Serius, TEMA BESAR filem ini, yakni kesatuan, kefahaman dan perhubungan baik pelbagai manusia (tua, berkekurangan, bangsa asing, seksualiti) hancur berkecai dengan kata-kata tanpa akal begini, meyakinkan aku lagi bahawa segolongan Melayu (ya, mereka sahaja yang buat bising, ada beberapa bangsa lain tidak banyak memekik dan bercakap, dan ini bukan kenyataan rasis tetapi fakta malam tu!) memang tidak boleh lagi dibaiki dan elok benarlah mereka diganyang orang Indonesia, dirodok oleh orang Afrika dan ditipu oleh sindiket dadah (sikap kita yang celaka dengan memburukkan pendatang, sepertimana dilakukan segolongan ahli politik dan media juga menyakitkan, memaparkan kecelakaan kita dalam kemanusiaan dan toleransi). Sampai akhirnya, ada seorang yang menyatakan dengan jelas, "So, apa pengajaran filem ni?" yang membuatkan tangan aku ringan je nak tampor. Aku dah hilang keyakinan aku dengan penonton kita, bangsa kita.

OK, dah lepas panas aku.

Filem tulisan Amir Hafizi dengan arahan kedua Edry mempunyai sesuatu. Secara rumusan, suatu filem drama-romantis seorang jejaka yang tidak tua-tua (atas sebab sumpahan, mendekati tetapi tidak sama dengan elemen Forever Young dan lebih mendekati The Legend of 1900) menelusuri sejarah Tanah Melayu-Malaya-Malaysia (tanpa Sabah dan Sarawak, unfortunately) yang dibumbui dengan unsur amat ke"Disney"an dengan saturasi warna-warna garang dan separa tanah (secara tidak langsung, merupakan antara warna-warna Jalur Gemilang).

Filem ini, buat aku, lebih baik daripada Magika dalam merendesi babak lagunya (filem ini separa drama, separa muzikal). Hal berkenaan "muzikal" ini mungkin akan dijanggali para penonton (secara peliknya, aku tidak merasa janggal, mungkin kerana sudah terlalu banyak filem muzikal Barat yang aku dah tonton, filem ini sebenarnya banyak merujuk persembahan Opera barat yang berbentuk TRAGEDI, yang sememangnya jauh daripada budaya kita) kerana lagu balada yang tiba-tiba terkeluar dari mulut pelakon, khusus pada babak mendekati klimaks. Hal ini adalah kerana, institusi filem Melayu era Jalan Ampas tidak pernah menyampaikan gaya sebegini (detik tragedi dengan kumandang lagu ala muzikal) dan mungkin perkara ini agak baru untuk penonton kita, hanya mungkin, babak-babak ini memerlukan pemikiran (dan jiwa) yang lebih terbuka.

Ramai pengulas yang aku jumpa tersilap menyatakan bahawa filem ini "hanya sebuah kisah cinta". Tidak, filem ini yang mengambil semangat alang-alang lurus bendul Budi lakonan Remy Ishak (yang akan mengingatkan kita dengan Forrest Gump) bercinta dengan Lily (lakonan sangat baik Jojo Goh, wanita ini ada sesuatu yang menarik untuk kita lihat) merupakan satu fabel (kau akan teringat akan Giuseppe Tornatore untuk The Legend of 1900) yang bercerita tentang "Apa itu Malaysia". Kau akan bertemu dengan pelbagai isu yang menyelusuri Malaysia dan "daripada apa ianya diperbuat", pertelingkahan kaum (dan keharmonian di antaranya), Melayu subsidi, ketuanan Melayu, Melayu Baru, meritokrasi, harmoni sesama kaum, dan Generasi Y sebagai contohnya (aku malas nak nyatakan, korang carilah sendiri). Aku suka dengan percubaan mata "wide eyed" Remy, sang jejaka "innocent" yang melihat (untuk kita) apa makna tanahairnya dengan mata yang begitu lurus, dengan kata-kata yang begitu tulus dan perbuatan yang begitu terang. Dari matanya, kita menyedari banyak keindahan, juga kecacatan tanahair kita, dilakukan tanpa banyak "kesakitan" tetapi ria, tenang dan menyentuh; dan paling penting - tanpa menghakiminya. "Percintaan"nya dengan Lily hanya merupakan "destini" yang dia harus tuju, dengan "janji"nya yang kukuh (serta lurus bendul), "matlamat"nya (maksudnya, perkahwinannya; disamakan dengan matlamat menuju Wawasan2020 Dr. M, contohnya) yang akan "sampai" atau "tidak" sebenarnya ditentukan oleh penontonnya, yakni Generasi Y (yang diwakili sekumpulan anak-anak pada akhir cerita), lantas, barulah "jam loket" yang selamanya "mati" (ingat Remy yang tidak berusia berkait dengan jam ini!) boleh "bergerak semula" tiba-tiba, menandakan "detik" untuk kita pula "menjalankan kehidupan" di atasnya.

Ya, itulah sebenarnya. Dan unsur-unsur yang digunakan oleh Edry dan Amir mencuitkan, serta menyentuh. Khususnya, kunang-kunang dan istilah rama-rama dan kepompong, menampilkan bagaimana "muda"nya sebenarnya negara kita bertatih, tetapi terus sahaja ia bergerak untuk hidup dan mengukuhkan dirinya. 

Lagu-lagunya amat menyentuh dan gemilang dalam filem ini, antara kekuatan utama filem ini, baik runut bunyi okestra (aku mahukan CD runut bunyi berokestra dan bukan dialog pelbagai seperti yang diberikan pada malam pratonton itu, satu lagi contoh memaparkan para produksi belum yakin penonton kita DAPAT menghargai lagu okestra sebaik ini) serta lagu-lagu muzikalnya. Jika diteliti dengan halus (dan wit), yang mula-mula kita menganggapi bahawa lagu yang dinyanyikan hanyalah "kisah cinta" menjadi lain pada akhir filem dengan korus ala nyanyian patriotik, yeap, sesungguhnya lagu ini berkenaan "kasih sayang terhadap tanahair" yang sengaja dibayangi dengan kisah kecintaan.

Aku suka Izzue Islam dalam filem ini (walaupun mungkin dia tidak dapat menang hadiah), dia melakonkan watak sahabat handai Remy yang amat baik, cukup untuk detik lawak dan masih poignant, babak-babak bersamanya adalah antara keindahan filem ini.

Seni pengarahannya juga sederhana baik dan suatu pencapaian tersendiri, khusus dalam percubaannya "membinan" era demi era dengan susunan kelengkapan dan latar yang menghidupkan alam era itu. Menariknya, pembukaan filem ini dibuka dengan suatu pandang dan air yang luas, bukan sahaja menampilkan "asas" ruangnya, tetapi pemaknan "tanahair" (dan langit yang dijunjung) sebagai perkaitan filem patriotisme yang tidak perlu terlalu didaktik menampilkan suara mengajarnya. Babak percubaan menampilkan Stadium Merdeka seperti suasana 31 Ogos 1957 dan khususnya Pawagam Colliseum memang amat dipuji. Babak perubahan fesyen dan rambut Remy juga amat mencuitkan dan menyampaikan nostalgianya dengan baik. Aku setuju jika filem ini menominasi senarai pendek Anugerah Solekan Terbaik dan Anugerah Pengarahan Seni Terbaik buat FFM akan datang nanti.

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang aku persoalkan juga. Ada satu babak, apabila Remy rasa "hilang arah" khusus kerana mendepani realiti "perhubungan"nya, dia "tercari-cari" sesuatu di rumah lama kolonial jagaan ayahnya, lantas kelihatan cahaya putih secara tiba-tiba. Hal ini dipersoalkan, bagaimanakah ia boleh berlaku? Hal kecil ini melemahkan kesinambungan filem ini. Seharusnya Edry mengikatkan dengan teguh lagi perkaitan tahi bintang, jam dan kunang-kunang dengan Remy, untuk mewujudkan semangat yang lebih realisme magis (lantas berkait dengan dirinya yang tidak boleh tua-tua itu), unsur-unsur ini bolehlah dimainkan dan dimainkan lagi (contohnya, kunang-kunang itulah yang membawanya ke bilik di mana tersimpannya geran tanah wasiat ayahnya) untuk meyakinkan kita.

Malah, filem ini mempunyai beberapa masalah suntingan dan syot. Ada satu babak, Budi yang kecil (zaman 1941) berjalan dengan ibunya di tengah pekan yang tiba-tiba dibom jet perang Jepun (tidak ada siren?), lantas tiba-tiba Budi keseorangan dan ibunya hilang! Babak selepas itu, ibunya TIBA-TIBA muncul sebelah-menyebelah ayahnya di depan askar dan kempetai Jepun! Babak itu pula berlaku di rumah agam kolonial yang "dimohon dijaga" oleh seorang pegawai Inggeris, tuan kepada ayah Budi. Hal ini mencelarukan. Khusus dalam susunan latar dan geografi ruang filem dan hal ini tidak disusun baik oleh Edry, penulis skrip dan penyunting. Hal ini, perlulah Edry belajar daripada Syafiq Yusof yang begitu memahami susunan latar ruang dan kesinambungan dalam SAM. Ada satu babak, Remy berjabat tangan dengan Dr. Mahathir pada hari perasmian kereta Proton Saga melalui Jambatan Pulau Pinang. Untuk apa? Untuk apa babak ini dilakukan selain daripada menampilkan teknologi sama seperti Forrest Gump menjabat tangan Kennedy (yang lebih fungsional sikapnya)?

Syot dan penggambaran merupakan kelemahan utama filem ini, kebanyakannya tidak bermaya dan amat mementingkan pewarnaan saturasi yang kadang-kala terlalu "gembira", terlalu kuat untuk dirasa, dan ditakuti menampilkan keplastikan. Babak-babak CGI kemasukan imej lama dengan gambaran filem boleh diperbaiki lagi, dengan rendesi yang agak kasar atas layar putih besar (mungkin tampak elok dalam monitor komputer), khusus pada babak Hari Kemerdekaan yang sepatutnya menampilkan "magikal"nya. Magisnya tidak sampai dukacitanya. Dengan hal-hal ini, aku tidak tahu jika versi 3D (aku menonton 2D) lebih menonjol dan mencemerlangkan layarnya. Suatu lagi, kumpulan penggambar Edry perlulah belajar untuk mengambil syot-syot yang lebih kuat, lebih menampilkan "sinema" sepertimana yang dilakukan dalam filem Syafiq Yusof, Dain Said, Bernard Chauly, Kabir Bhatia dan Effende Mazlan/Fariza Isahak. Penggambaran dalam filem ini masih kelihatan seperti telefilem Cerekarama dan belum mampu menampilkan semangat "epik" yang sepatutnya disampaikan (sepertimana 10 minit awal filem ini yang cantik dilakukan). Kemungkinan ini maslah kamera digital yang harus dicari cara penyelesaiannya (tetapi aku yakin para pembikin yang rajin dan kreatif akan lebih menyampaikan yang lebih baik). Hanya babak pertemuan ayah Lily dengan Budi di kedai gunting rambut menampilkan imejan wayang yang indah, ditelekuni dengan drama yang amat berkesan sekali. 

Filem ini mungkin ada cacat-celanya, tetapi secara keseluruhan dan khusus penceritaan, ia masih berbaloi, malah senang dihadami kerana sikap Disney yang dipakai (yang kalian namakan "komerisal" itu) untuk menyampaikan maksud tersirat yang dalam, dengan keseimbangan drama, melodrama, komedi, muzikal yang baik dan terkawal, jauh meninggalkan filem Melayu yang tidak ada kandungan yang mencabar akhir-akhir ini (kecuali beberapa seperti Songlap, Chow Kit dan Bunohan). Menonton filem ini, memberi sesuatu kepada aku. Satu pengalaman yang cukup manis dan menghiburkan.

Oh ya, suatu lagi, filem ini amat sesuai jika kalian bawa nenek kalian menonton bersama!

Klasifikasi: U, Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan (walaupun ada satu babak pancung dan aksi mengorat homo dengan lolipop yang kurang manis diikuti), malah sesuai buat seisi keluarga, siap elok sangat bawak datuk nenek tengok sama.

10 comments:

aku said...

lemme guess. metro? or kosmo?

Hans said...

ada rezeki ingat nak tengok esok :-)

RunWitMe said...

Those clowns were from Gaol FM. Very annoying to the max. I would hv given them a slap if not seated too far away.

Nizam said...

Fadz,

Lupa nak bagitahu sebab skg baru teringat. Sebenarnya tema manusia yang tak tua2 atau berhenti jadi tua ni bukan benda baru dalam sastera dan sinema. Yang aku rasa terbaik, rujuk kepada novel Gunter Grass, The Tin Drum. Ada versi filemnya yang sangat2 bagus.

Nizam Zakaria

Nizam said...

Fadz,

Lupa nak bagitahu sebab skg baru teringat. Sebenarnya tema manusia yang tak tua2 atau berhenti jadi tua ni bukan benda baru dalam sastera dan sinema. Yang aku rasa terbaik, rujuk kepada novel Gunter Grass, The Tin Drum.

Nizam Zakaria

Maizura Mohd Ederis said...


Kes orang media buat bising pernah juga terjadi pada pratonton salah sebuah drama saya untuk Astro Citra.

Sangat teruja nak tonton. Harap ada masa untuk ke panggung.

zulazahari said...

Terbaca review untuk ulasan anda di sini:

http://filemklasikmalaysia.blogspot.com/2012/08/29-februari-2012-anugerah-atau-sumpahan.html

Anonymous said...

Very useful blog. Keep up the good work.

Anonymous said...

I couldn't have asked for a better blog. You happen to be always at hand to offer excellent guidance, going straight away to the point for easy understanding of your site visitors. You're really a terrific pro in this subject matter. Many thanks for being there visitors like me.

[ a D D y ] said...

gua baru tengok filem ni fadz..tapi pendapat gua bukan tak tua-tua..sebenarnya umur remy aka budi hanya meningkat 1 tahun bila 4 tahun berlalu..

ingat scene dia iqamat kat surau, masa tu bapak dia cakap dah 40 tahun..dan masa tu budi sama seperti budak 10 tahun..

so dalam 55 tahun tu umor budi hanya meningkat dalam 13 tahun lebih kurang dan ditambah belasan tahun sebelum merdeka..

tapi memang nice cite ni..scene salam Dr M tu mungkin dah dikeluarkan lepas kau cite kat blog kot..haha