Perca Kata Kritik Filem

Malas nak tulis panjang-panjang jadi ini pengalaman dan pandangan:


Nightcrawler(2014). Arahan Dan Gilroy (produksi adik-beradik Gilroy untuk filem-filem bebas, mungkin tulisan Dan) Awalnya, kita melihat papan iklan kosong, dengan kebijaksanaan suntingan, judul Nightcrawler keluar di sudut yang sama. Kita menyedari, filem ini bukan sahaja mengambil premis Taxi Driver ataupun Rear Window atau Drive, filem ini tentang anak zaman sekarang, Gen-Y yang gila dan komited dengan Imam Google dalam membina diri untuk secebis "American Dream" pada keadaan yang tidak pernah dibayangkan. Rumusannya, "This is the film where the killer got away. Because in your eyes, he is just a participating voyeur." Ya, temanya boleh sahaja jatuh ke dalam perangkap B-movie (seorang yang sadis menangkap sesuatu melangkau moral) dengan gaya mudah rakaman 1980-an. Tetapi Dan dan kumpulannya menyampaikan suatu kisah pengejaran cita-cita yang sebenarnya menakutkan, menakutkan kerana cita-cita ini terdampar jelas di hadapan kita tanpa dipantaui, dan kita sendiri ialah "participating voyeur" itu tanpa kita sedari. Filem ini tampak besar dengan lakonan memberangsangkan daripada Jake Gyllenhall (pasti dapat pencalonan tahun ini), seorang kalkulatif dan penyendiri yang menapak tempatnya dalam dunia penerbitan berita. Matanya merupakan ekspresi sebenar yang harus ditonton (selain daripada kekuatan matanya untuk menangkap imej yang diperlukan oleh stesen TV), dingin, luas dan menakutkan. Mata yang ada dalam mana-mana penonton tegar filem. Mata itu juga mengingatkan aku dengan mata yang terperangkap dalam filem sunyi era 20-an German Expressionisme, lebih-lebih lagi filem Robert Wiene dan FW Murnau. Terdapat tiga kali mata itu disinari dengan cahaya: lampu malam, api, refelksi berita TV, semuanya memaparkan: realisasi rezeki ... dunia yang terperangkap dalam kota materalisme (semua yang kita buat atas keuntungan semata-mata) - perkara yang menjawab mengapa David Teoh tidak akan berganjak sedikit pun dalam pembikinan "adikarya" kilangnya selagi terdapat mata-mata yang terus terpegun dengan layar cahayanya. Filem yang sebenarnya meletakkan keseraman dunia kita tentang moral berita, dadah kapitalisme dan kehebatan-kejahatan anak generasi-Y tanpa nilai. Kelakar sekali gus, menakutkan.

04 October 2012

Dua Filem Seks Melayu 2012

Baru-baru ini aku menonton dua buah filem Malaysia-Melayu yang bagi aku menarik, walaupun ada beberapa kelemahan yang tertera.

OKlah, lantaklah fasal kelemahan itu kerana ulasan ini lebih kepada perbincangan. Dua filem yang aku maksudkan itu ialah Hantu Kapcai dan Untuk Tiga Hari.

Yeap, jangan terkejut.

Aku ingat lagi zaman "baik-baik" filem Malaysia dengan LPFnya (walaupun ada beberapa filem membara) yang mana semangat "seks" remaja diangkat dengan comel dalam Gila-Gila Pengantin Remaja arahan Aziz M. Osman. Semangat dan keinginan libido para remaja dalam filem itu (berkenaan kahwin lari) disampaikan, bukan dengan perilaku tidak senonoh tetapi bayangan mainan kugiran yang tiba-tiba muncul ala muzikal dalam satu-satu babak. Keinginan "gila-gila" untuk menyunting dan "bersama" disampaikan dalam tumpahan dan alunan "lagu", emosi dan semangatnya wajar dan jelas.

Bagi aku, kedua-dua filem yang aku nyatakan tadi ditayangkan tahun ini telah melepasi "tapisan kendiri" dan "cakap kias" seks dengan penjelmaan "gaya" dan "persembahan", ianya lebih "cakap lepas" dan "berterus-terang."

Hantu Kapcai sebenarnya bukanlah khusus berkenaan "mat rempit" tetapi berpusat kepada watak Hairul Azreen yang mana, kita meniti semangat keremajaannya ke arah "kedewasaan" Hairul. "Seks"nya timbul dengan gambaran "hantu" abangnya yang dilakonkan oleh Zizan Razak, yang disampaikan, banyaknya, dengan "subtle" mahupun jelas. Sekali, "rahsia" Hairul pada zaman khatannya dinyatakan dengan jelas oleh  Zizan berkenaan "majalah Mangga" (inside joke ini hanya beberapa yang akan faham). "Alterego seksual" Zizan (yang lebih selamba dan lucah) menampilkan keinginan Hairul yang "malu-malu" (dan hanya satu id yang Hairul buakkan jadi realiti, menyalin abangnya, yakni merempit). Malah watak Zizan ini berseteru dengan Remy Ishak yang sentiasa ada "pisang" dalam mulutnya (punya alusi politik di sini dan bukan sahaja seksual).

Pencapaian "seks" Hairul malah berjaya melangkau "rohaniah" apabila klimaks akhir, dia bertemu dengan Zizan dalam "alam barzakh" (hal ini yang dikepoh-kepohkan sebagai kontroversi), maka segala keinginannya kiranya pada masa itu "tercapai" (babak seterusnya kita lihat si wanita diminati memegangnya) dan menemui penyelesaian, dunia dan "akhirat".

Walaupun begitu, alusi seks dalam Hantu Kapcai tidak dapat menandingi alusi seks yang lebih dewasa dalam Untuk Tiga Hari, bilamana perilaku empat watak dalam filem ini (termasuk dua lain yang remaja) dinikahkan. Serius, bagi aku, penceritaan adaptasi karya Ahadiat Akashah ini berjaya (dan lebih berjaya daripada Legenda Budak Setan) membawa hal-hal seks yang menarik. Babak "nafsu membuak" dalam satu babak khusus, yakni Afdlin dan Vaneeda (oh, Vaneeda sangat hebat dalam filem ini bagi aku) di depan televisyen yang mana filem Perempuan, Isteri dan Jalang (dengan babak terkenal Sofia Jane menahan Zaidi Omar memasuki rumahnya dengan dialog bernafsu Zaidi: "Aku nak.") dan dokumentari gajah mengawan sedang ke udara! Babak itu kelakar dan mencuit kerana Vaneeda "tidak sanggup" memberikan "dara"nya kepada Afdlin. Ketegangan komedi yang berlaku menarik. Seks komedi yang menjadi. Hal ini juga benar untuk watak Shidi yang melakukan pelbagai perkara untuk "melepaskan nafsu"nya agar tidak meniduri isteri sahnya, Ayu Raudhah.

Ada beberapa lagi babak yang "berguna" dalam filem ini. Juga ada babak awal dan pertengahan (babak sanding) yang bagi aku, outstanding. Dalam babak sanding itu, kita ditampilkan dengan semangat bersalah dan gemuruh Vaneeda (malam itu mungkin akan ditiduri) di balik hiruk-pikuk kenduri, dengan Shidi yang sentiasa menghantarnya mesej dalam talian (rontaan nafsunya yang tidak tertahan). Jika diteliti, runut alunan ghazal yang dimainkan seakan-akan "bermain" dalam babak kedua-dua majlis persandingan. Hal ini menyatakan "kesatuan hati" yang masih berlaku dengan watak Vaneeda dan Shidi. Permainan "lagu" ini dimainkan lagi dalam suasana hingar dan janggal disko yang mana secara tak sengaja, Vaneeda dan Shidi bertemu. Kemudian, dalam satu babak "ambil hati", Afdlin mempersembahkan acapellanya kepada Vaneeda yang amat romantis, dan kita tahu, hati yang was-was, gemuruh dan ketidaktentuan itu telah di"cakup" oleh Afdlin akhirnya (kita tahu ini berlaku kerana Vaneeda rela dikucup akhirnya). 

Untuk Tiga Hari bagi aku sebuah filem romantik yang matang dan baik, hanya dinafikan dengan syot yang sesuai serta runut bunyi Azman Abu Hassan yang "outdated" (ini kononnya untuk mengambil semangat filem-filem Aziz M. Osman era 90-an) dan amat mengganggu. Tetapi jelas, filem-filem ini mendewasakan dirinya dengan lebih berterus-terang tentang intipati nafsu, semangat seks dan keinginan dalaman yang jelas dan keabad-21.

Klasifikasi Hantu Kapcai: 18, Kata celupar, aksi ganas dan seks (walaupun tiada ciuman mahupun penetrasi) yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak. Idea "hantu" dalam filem ini memerlukan bimbingan penjaga untuk nyatakan (benar/falasi) tetapi tidak semestinya serius. 

Klasifikasi Untuk Tiga Hari: P13, Beberapa babak imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

Kedua-dua filem DITONTON DI MBO Kl Festival City.

2 comments:

Anonymous said...

hahahahh kelakar betul orang melayu...
orang melayu mana boleh cerita seks...
bahaye la wei...kah kah kah

yan said...

Alah. Itu imaginasi si pereka je tu. Supaya mood filem itu dapat diceritakan. Kalau takde cara cam tu seumpama habis makan lari.