31 December 2013

Layar Kita: Ke Arah Mana Kita Mau Bawa?


"Layar kita teroleng-oleng sendiri ditibai angin.
Lagi kita masuk ke dalamnya, lagi menangis dengan takdirnya.
Dan keadaan sekarang semacam kita tidak dapat berbuat apa-apa."

Baru-baru ini aku melepak dengan seorang tersohor intelektual filem. Seorang rakan bertanya tersohor itu, "Dalam keadaan wayang Malaysia tenat sekarang, apa perkara penting yang kita perlu lakukan untuk menyelamatkannya?"

Tersohor itu dengan selamba menjawab, "Tukar kerajaan."

Ada banyak persoalan mengapa jawapan itu diberikan oleh tersohor itu (mungkin tersohor itu sengaja menyindir atau menyampaikan: apa sistem sekarang ada sudah jelas gagal, ubah sistemnya). Hal ini mungkin menggigit tetapi berkaitan. Jika benar, kita juga bertanya, ada berapa perkaitan kroni, anak sendiri, kawan sendiri, dan mereka yang patuh dan tunduk di bawah tapak kaki sang menteri nan berkait dengan gerak tindak permintaan seorang menteri, jika benarlah hal ini sedang dan masih juga berlaku. Hal ini juga bertanya berapa ramaikah menteri-kroni-anak-kawan-penunduk yang syok sendiri dan menuding tunjuk arah walaupun tidak faham apa-apa pun tentang layar dan wayang. Hal ini ditanya kerana kita juga ingin bertanya, jika ada cadangan-cadangan bernas dan patut untuk industri ini daripada orang bawahan bijak yang tidak sampai lalu dicantas oleh kroni-anak-kawan-penunduk, adakah sikap pilihan dan menutup dulang yang menentang.

Kalau tidak silap aku, aku pernah dengar, itulah yang diperlakukan kepada Benjy anak arwah seniwati Azean apabila beliau berjuang untuk pembayaran jenis royalti untuk lakonannya. Tiada sesiapa mahu mengambilnya kerana itu selepas itu. Lalu dia terpaksa lakukan hal-hal lain untuk mencari sumber rezeki.

Benarkah perkhabaran ini?

Namun persoalan menarik, menteri suatu hal, tapi si penyampai kandungan itu suatu hal pula.

Aku sampaikan cerita itu dalam FB aku. Ada yang bersetuju dengan pendapat tersohor itu. Ada yang menentang habis-habisan, ini jawapan-jawapan yang membuka mata:

"Aku pula rasa - penerbit dan pengarah filem di Malaysia semakin tak best dan tamak sehingga mewujudkan lambakan filem Melayu. Tak ada sangkut pautnya Kerajaan dgn kerja bikin filem."

"Kerana Finas kasi duit la semua org nak buat filem, lepas tu buat filem macam celake! Finas sepatutnya tak perlu wujud pun.  Bayangkan kalau David Teoh adalah Finas - agak2 apa filem yang kita akan dapat tengok? Katakanlah kita ambil U-Wei jadi menteri atau KP Finas - agak2 dia block tak filem2 David Teoh, Pansha, or Rochang Nor? Di Indonesia tak ada FINAS pun. Tapi filem mereka byk yg best."

"Yang jaga filem sebenarnya patut dipertanggungjawabkan kepada pembikin filem. Buat filem pun macam celake lepas tu nak gak minta ditayangkan di pawagam."

"Utk mengubah senario filem tempatan - 1. Penerbit filem jgn tamak haloba, 2. Pembikin filem buat filem yg betul2 best shj, 3. Pembikin filem kena tahu bezakan apa itu filem dan apa itu telemovie utk TV dan apa itu drama TV. 4. Majukan industri filem pendek."

"Kita nak tukar Kerajaan atas sebab yg lain - ini ok. Sebagai ilmuan, (tersohor itu) tak sepatutnya berkata begitu - ini memperlihatkan sisi bodoh beliau. Kalau kita tukar Kerajaan pun - si bodoh pembikin filem sedia ada akan tetap buat filem bodoh juga. Percayalah! Jadi, tukar Kerajaan tak akan menukar senario filem kita."

"Finas tak perlu wujud. Biarkan pemain industri bersaing sesama mereka. Ha hah, masa tu baru kau akan tengok demeh nak buat filem main-main ke tak!!!"

"Wajib tayang tak perlu wujud. Ha hah, masa tu baru kau akan tengok demeh tak akan buat filem lagi dah dan kita akan dapat tengok Captain Phillips berulang kali selama 3 bulan, ha ha."

"Pandangan aku bab filem tak boleh harap pada kerajaan, kerajaan apa pun. Melainkan orang filem belajar berdikari, jangan bergantung pada wajib tayang. Bersaing dengan kualiti. Kedua, bebaskan industri kreatif. Tak payah rajin sangat nak menapis. Musuh kebebasan akan jadi musuh pasaran."

"Filem industri tenat kerana pemikiran playersnyer tenat. Tidak kreatif dan innovatif. Terlalu bergantung pada yang ada. Tidak mahu think out of the box. Tidak mahu duduk sepakat. Cari satu jalan untuk mentarbatkan industri. Masing-masing buat hal sendiri."

Saya setuju dengan semua reaksi kawan-kawan itu.

Baru-baru ini, ada kawan yang mengeluh. Dia dibayar ciput untuk mengarah sebuah "telefilem" dan tup-tup, telefilem itu dibawa ke layar. Dia naik malu nak promo pun "filem" tu.

Penerbit sekarang berani bayar ciput supaya pengarah dan kru buat ala kadar dan ala kadar ini ditayangkan, dan lantas "buat duit juga apa", lalu sistem "buat duit" ini diteruskan dan diteruskan.

David Teoh merupakan antara pendorong pembikinan sistem sebegini. Tapi celaka-celaka David pun, belanja sebuah filemnya RM500,000 sebuah pembikinan, dan sekurang-kurangnya dia sedang mencuba membikin beberapa yang "bolehlah cuba masuk pertandingan" walaupun setakat ini tersasar dan masih indah khabar daripada rupa. (Bagi aku, orang macam David Teoh ni patut sumbang sejuta dua untuk para pembikin muda/lama yang mau bikin filem eksperimental/sendiri/art-house dan bagi pengarah itu buat filem mereka sebagai amal jariah. Inilah yang dibuat kadang-kadang oleh beberapa penerbit macam Brad Pitt, Robert Redford, Geoge Lucas dan Harvey Weinstein. Kalau tidak, Terence Mallick dan Stanley Kubrik takkan dapat buat filem lagi.)

Hal ini pun berkenaan perbincangan aku di Sudut Pandang Astro Awani bersama Hasnul Rahmat, Rewan Ishak, dan Fikri. Tapi aku sedar sesuatu, cakaplah apa kau nak cakap, harga barang naik, penonton peduli apa? Penonton hanya bena untuk membeli filem yang dia puas dalam keadaan terdesak sekarang. Dari RM12, baik dia tonton Jackie Chan yang tentu mesin bintang itu cukup serba-serbi aksi dan kepuasan daripada tertanya-tanya jika Cikaro atau Tokan dapat memberikannya kepuasan, judul saja pun dia dah tak tahu apa isi filem tu. Apatah lagi dengan sekuel The Hobbit 3 jam yang sah-sah berbaloi dengan CGI tinggi kalau nak banding dengan filem cikai Malaysia durasi bawah 2 jam.

Ya, keduanya, persepsi orang masih belum berubah, walaupun kita sudah ada dulu dengan Pemburu, kemudian Kaki Bakar, Layar Lara, dan terkini, Songlap.

Kesian layar kita sekarang. Era depresi-ekonomi merosot 1930-an orang putih ke pawagam kerana tiket murah sedangkan harga barang tinggi. Orang kebanyakan dapat lepaskan sakit jiwa mereka dengan senyum tawa watak sebalik layar. Malaysia sekarang? Harga barang tinggi. Harga tiket pun tinggi. Kau ingat mereka senang-senang nak beli dan tonton Cikaro atau Tokan?

Aku suka dengan sikap Rewan dalam Sudut Pandang malam tu. Dia bersikap positif, bahawa penilaian baik dan buruknya filem harus diubah, bukan terletak bawah persoalan keuntungan ekonomi semata-mata tetapi kepuasan dan reaksi penonton terhadapnya (dan dia tidak pun bercerita tentang anugerah). Ini sikap yang benar terhadap seni, dan harap-harapnya sedikit demi sedikit disedari.

Namun, berapa ramaikah yang mahu terimpi dengan hal begitu?

Apa yang salah dengan sistem kita sekarang?

Sampai hari ini, kita masih bertanya, dalam Festival Filem Malaysia, apakah maksud cerita asal dan apakah maksud lakon layar? Jelas dan fahamkah Malaysia bahawa hal ini hanya berlaku di Malaysia? Sila rujuk penganugerahan antarabangsa jika hal itu ada. Kemudian, kita terdengar cerita bagaimana ada pengarah tersohor yang ambil lakon layar penulis lalu menjadikannya "shooting script" dan dipanggilnya: lakon layar. Inilah dosa filem kita yang sampai sekarang dibiarkan berleluasa.

Aku teringat dengan adaptasi filem The Exorcist William Peter Blatty yang mana pengarahnya, Friedkin mengarah sang penulis agar jangan terlalu "ambitious" dan tulis lakon layarnya mengikut novelnya. Blatty mengikut tapi masih cuba-cuba sampaikan imejan lain. Friedkin ubah draf itu pada "final script" lalu pada "shooting script" (skrip yang dibuat oleh pengarah untuk masukkan setiap teknik syot kamera dan latar dengan penuh, kerja ini hanya dilakukan oleh pengarah sahaja dan memang tanggungjawabnya, intepretasinya) dan "papan cerita". Tapi sewaktu kredit, Friedkin tetap pengarah dan Blatty ialah "penulis lakon layar".

Berapa ramaikah pembikin yang melakukan hal ini?

Persatuan filem kita juga masih lemah, baik bernama Seniman, penerbit, pengarah, dan setentunya Penulis. Kita tidak nampak mana-mana Guild lagi dicipta (bagi aku, persatuan yang sedia ada ini macam persatuan main-main, yang aku bayangkan seperti satu taman permainan yang alat kelengkapannya sudah ralat dan rosak tapi masih ada yang mahu bermain lagi), dan mereka senang dan tuli sahaja dengan arahan permintaan dan permainan penerbit, menarik dan menolak mereka pabila perlu. Di manakah hak seorang penulis, pelakon, kru dan pengarah yang sebenar-benarnya?

Setakat yang aku lihat, penulis lakon layarlah di Malaysia ini yang paling bangsat hidupnya. Dipermain-mainkan kiri dan kanan, baik penerbit mahupun pengarah. Mereka tidak ada hak royalti, dibayar sekali sahaja apabila "siap kerja" dan kerjanya itu kadang-kadang ditarik jadi "lakon layar" oleh pengarah. Tanya sahajalah penulis skrip sebenar Embun dan mengapa sampai sekarang dia sudah tidak ambil pusing dengan dunia filem ini. Sebuah penerbit besar melakukan hal ini: mereka mengambil hak cipta penulisan seorang penulis dengan suatu bayaran yang kononnya lumayan (bayar sekali sahaja) lalu atas hak penerbit itulah untuk menjadikan skrip itu drama atau filem atau filem kemudiannya drama (di sinilah terbentuknya sistem "Panel Skrip" tersebut). Permainan ini terus sahaja diteruskan tanpa apa-apa bantahan, kerana dengan mudah, penulis hanya mahu cari makan, tidak berani melawan.

Hidup yang bangsat bukan?

Di Amerika, kita dapat melihat bagaimana nama seperti Alan Ball diangkat menjadi sesuatu. Bayangkan, penulis itu kuat, lalu filemnya atau dramanya meletup. Orang mula mencarinya, meminta nasihatnya untuk mengubah bentuk cerita suatu drama, menjadi perunding, atau mohon cerita baharu. Lalu dia diberi ruang untuk menjadi penerbit (Joss Whedon antara yang paling terkenal). Si penulis/penerbit inilah yang membentuk konsep suatu cerita. Dan dramanya berjaya. Lalu si penulis diberi peluang kadang-kadang pula mengarah atau menerbit filem pula.

Penulis mereka diangkat pada suatu ruang yang tinggi. Penulis menyampaikan idea, dan idea ini digarap dan diperkembangkan. Kini aku ingin bertanya, berapa banyak tangankah yang mengacau suatu cerita milik penulis di Malaysia? Kenapa persoalan ini terjadi? Adakah penulis kita rata-ratanya bodoh dan lemah?

Mungkin itu puncanya.

Mungkin kita masih tak ramai penulis yang baik? Atau penulis yang baik ada tetapi dipermain-mainkan oleh penerbit dan pengarah sampai dia merajuk untuk melayar lagi dalam perjuangan pembikinan?

Setiap satu jujukan profesi ini semacam tidak terkembang lalu duduk dalam ruangnya masing-masing. Hanya kadang-kadang sahaja, sang pelakon akan menulis dan mengarah filem, dan kadang-kadang jadi penerbit. Itulah kitaran yang berlaku dalam dunia filem kita.

Jika setiap jujukan itu tidak pandai menjaga pertimbangan manusiawi dan kebajikan hak setiap jujukan lain itu, percayalah, tidak akan terjadi suatu perubahan. Dan percayalah, penonton tidak ada masa untuk itu. Mereka hanya mahu menonton hasil yang baik dan puas untuk mereka habiskan separuh duit gaji mereka pada era semuanya barang mahal dan mencengkamnya sekarang.

25 December 2013

Penyair Malam(1998): Bercinta Tanpa Suara

Ah, Kamal Ishak.

Seorang lagi pengarah tempatan yang boleh menimbulkan sesuatu yang menyerupai Garin Nugroho jika kita memberinya tempat.

Sinematografi Bade Hj. Azmi sangat membantu (terdapat pengambilan babak pejabat Berita Harian dan aku rasa, DBP Wilayah Utara) dalam menyampaikan seorang bekas budak sekolah nakal yang menjadi "penyair malam", Adam lakonan Zack Idris. Ada persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Adam mengingatkan aku kepada beberapa novel DBP. Percubaan Ning Irdahayu sebagai "pencerita asal" dan Kamal Ishak sebagai penulis lakon layar menarik, terdapat cubitan sikap positif dalam memahami keadaan orang Melayu muda zaman 90-an itu (walaupun ada sikap-sikap yang tidak cenderung realistik).

Begini, tayangan filem "antara dua darjat" dan nostalgia dunia lama filem Melayu, Jimi Asmara (arahan Erma Fatima) sedang ditayangkan di Pulau Mutiara, jelas memancarkan suatu pesona zaman itu. Sikap itu berlawanan dengan apa yang Kamal paparkan. Si gadis kaya dapat memilih dan boleh memilih sesiapa sahaja jejaka yang dia mahu tanpa halangan (halangan itu tidak sempat dipaparkan mungkin), malah terdapat syot si wanita boleh keluar dari rumah mahligai ibu bapanya lalu melalui pagar dan memeluk teman lelakinya dengan rakus. Ah, ini antitesis Sembilu. Kemudian, aku tidak tahu jika Kamal melakukannya secara prasedar atau sedar, tapi tempat guru Azira (Yasmin Suraya) duduk, semacam rumah sewa Pulau Pinang yang kita nampak dalam filem Ibu Mertuaku. Keadaan yang amat menyindir daripada Kamal (material orang Melayu tetap sahaja macam dahulu, yang di rumah batu bata di rumah batu bata, yang kayu masih kayu) bahawa keadaan material Melayu masih sama. Namun apa yang menarik, Kamal tidak merintih seorang sosialis terhadap perbezaan sosial dan materi ini. Adam dan Azira tetap dalam status yang mereka senangi dan meneruskan hidup. Yang menariknya, si gadis kaya, Rina (lakonan Sheila Mambo) yang turun untuk bercinta dengan Adam. Filem ini mengejek-ejek Jimi Asmara (Jimi Love) sebenarnya, tak ada lagi cinta yang sebegitu dalam dunia serba berubah ini.

Dan cinta Yasmin dan Zack. Ada momen-momen yang begitu menyentuh, berjaya disingkap oleh Kamal, malah ada ruangan erotis yang sengaja Kamal sampaikan tetapi cukup teradun dengan ruangan lulus LPF (babak Yasmin mencium potret sungguh erotis). Aku menyukai Yasmin Suraya. Lakonannya, aduh. Ini yang menarik. Aku memang dapat bayangkan (aku faham orang akan bantai aku nampak pandai dan mengajar, well kalau korang bersikap macam ni, aku perlulah menegur:), bila filem ini di tayang pada 1998, bagaimana anak Melayu zaman tu mesti bengang "Bodohlah citer ni, macam mana orang nak faham" dengan tiada sari kata langsung yang terutara dari nuansa dan gerak bahasa tanda bisu Yasmin. Malah mesti ada yang memperlekeh cara lakonan "bisu" Yasmin yang menyerlah (orang kita suka mengejek sesuatu yang luar norma). Aku membayangkan ini suatu sikap genius Kamal. Cinta dalam kebisuan. Kamal menyampaikan suatu maksud yang puitis: dalam percintaan bukan suara yang penting, tapi hati yang tulus. Dan Yasmin menyampaikannya dengan indah dan begitu tercuit sekali.

Ada satu babak mencuit yang mengejutkan. Tak silap akulah, Zack sampaikan maksud "F*** U" kepada Rina dalam satu babak secara bahasa isyarat. Ha ha!

Namun hal ini tidak dibantu oleh Zack Idris, pelakon anak ikan Anuar Nor Arai Johnny Bikin Filem yang kita takkan tengok itu. Gerakan dan lantunan suaranya canggung. Oh Tuhan. Ada sahaja bahagian-bahagian yang salah. Ada satu bahagian ini, yang boleh sahaja menimbulkan suatu puitis indah jika dibuat betul, babak Zack melantun puisinya pada hujan turun dan tiba-tiba Yasmin menghampirinya dengan payung, tapi gerakan sinematografi dan cara laku watak Zack pada waktu itu sungguh canggung, ia hanya menyampaikan absurditi. Begitu juga dengan jerita Amen Garseka yang tiba-tiba di hadapan meriam, walaupun kita faham maksudnya.

Namun terdapat juga babak-babak indah seperti pemerhatian kereta api di saujana laut dan Yasmin dan Zack berdiri di atas rel kreta api. Babak-babak itu sungguh kuat. Malah cinta mereka menarik dan jauh lebih menyeronokkan daripada Erra dan Awie buat aku.

Masih ada babak-babak yang canggung dan tidak habis "kerja rumah" mungkin, lagi-lagi bahagian awal dengan lontaran Mr. Wong ala Ben Kenobi Zack Idris yang tiba-tiba dikacau oleh rakan-rakan Arman Garseka. Babak yang sungguh dipentaskan. Malah ada konflik yang Yasmin sampaikan (kerana cemburu dengan Zack atas tatapan Zack pada surat khabar wajah Rina) tidak masuk akal. Kemasukan Arman Garseka juga semata-semata menyelesaikan plot melodrama filem ini.

Amat menghampakan apabila Kamal hanya dapat membikin dua buah filem sahaja setakat ini. Jelas, Kamal bukan membikin filem ringan yang kosong, walaupun nadanya melodrama dan kisahnya cinta, Kamal ada menyampaikan estetika. Antara filem yang menarik tahun 1998.

24 December 2013

Paku(2013): Paku Kepala

"Sayang, adakah abang ni bermimpi, adakah aku bermimpi? Aku bermimpi ni!" - Johan As'ari

Mimpi.

Ramai yang menyukai filem ini lebih daripada Paku Pontianak (kiranya, Malaysia ni dah "majulah" sebab di Hollywood, selalu terjadi tayangan filem dengan terbitan tema yang seakan-akan serupa, yey buat para pembikin kita yang tahu buat filem tu tu aje!), dua filem yang seakan serupa tapi tak sama.

Filem ini terbitan bersama MVP Raam Punjabi, ya, sang produser Indonesia terkenal dan bilionawan (David Teoh pun kalah) itu yang telah berkali-kali mengangkat nama pengarah seperti Hanung membikin filem-filem penting negaranya, juga penerbit siri Kuntilanak yang memaparkan awek paling cun dalam dunia pontianak (Maya Karin pun kalah), dan penghancur budaya Indonesia (Ariel Peter Pan pun kalah) dengan menyalurkan sampah demi sampah ala Hindustani dalam sinetron kitaran celaka mereka, yang kadangkala diikuti dengan bodohnya oleh pembikin kita di sini.

Buat Paku ini (sebab David Teoh pandai sedikit, dia dapatkan spot dahulu), Pekin yang berada dalam dunia Paku Pontianak juga berada dalam Paku (termasuk pelakon veteran yang ada beguk tu, dalam ni, dia jadi jahat pula). Parallel Universe u'olls.

Filem ini ada sesuatu dari segi keseraman feel. Hal ini berlaku pada awal usik-usik mimpi Johan yang kehilangan isterinya. Garapan imejnya mantap. Arahan sulung P. Rameesh bolehlah dipuji. Johan As'ari, oh Tuhan, kita sudah ada hero baharu Malaya. Selepas Balada Pencinta, aku lihat Johan ini makin lama makin mengiurkan. Selalunya, orang akan melekehkan seorang lelaki yang menangis, tapi air mata bercurah Johan yang menitis lebih laju daripada arwah Azean Irdawaty merupakan highlight yang menjayakan pesonanya dalam filem ini. Air Terjun Semenyih. Lakonannya cukup meyakinkan. Segala strata dan ruang yang dia perlukan dia lakukan sehabis-habisnya.

Secara menariknya, filem ini mengambil tradisi bentuk filem ekspresionis lama dari segi tema, Cabinet Case of Dr. Caligari dengan kefahaman tentang "mati hidup semula" dan garisan nipis ketidaksiuman. Watak Aishah Ilias dengan alis kening palsunya bukan sahaja mengingatkan kita dengan Elvira (yang juga menyolek kening palsu, bukan sahaja Divine) tetapi juga pemaisuri seram Indonesia, Suzzanna. Malah, plot filem ini bergerak seakan-akan kebanyakan filem-filem Suzzanna era 80-an, yakni Suzzanna mati. Suzzanna hidup balik. Suzzanna nak main dengan suaminya kerana kasih sayang yang tidak terhingga. Dan Suzzanna balas dendam/buli terhadap sesiapa yang mengacau suami atau rumah tangganya. Malah dalam pertengahan filem ini, kita dapat lihat sebuah segmen (tipikal dalam filem Tamil) yang sama dalam filem Suzzanna, yang mana dua mak nyah (babak ini amat menghina mak nyah) menegur Aishah tengah malam buta (ingat babak sate dalam Sundel Bolong?)

Filem ini juga ada babak runtuhan Highland Towers. Konsep ini sahaja spetakular, yang bagi aku, OKlah kerana CGInya agak membantu dan tidaklah gagal sepenuhnya. Keruntuhan inilah punca "tragedi" yang "menghantui" Johan selama-lamanya (lalu membuatnya "bermimpi". Aku mempunyai spekulasi. Atas kerana stres yang tinggi *SPOILER BESAR*, segalanya selepas kematian isterinya, dia terus murung dan hilang akal, membawa kepada babak terakhir filem, lantas segala yang kau tonton dari Johan bersungut "mimpi" itu hanyalah "mimpi" Johan semata-mata). Ada satu babak orang gaji Indonesia yang melalui tragedi yang sama. Semacam ada percubaan untuk "membangunkan" Johan daripada "tidur" apabila si orang gaji itu menyatakan traumanya (mereka berdua melalui trauma), namun kesatuan tragedi ini tidak sampai. Yang lebih menarik lagi ialah permainan P. Ramesh dengan penulis "skenario", Shahriza Mahmud (dan Shankar RS) dalam menyampaikan maksud jahat, apabila Tuhan menurunkan tragedi, lantas si suami yang tidak mahu menerima pilihan Tuhan telah "menjadi Tuhan" dan mengembalikan isterinya kembali daripada "tanah". Inilah wayang
kisah ini: melanggar ketentuan autoriti. Konsep yang menarik.

Terdapat beberapa babak yang mengiurkan indah dalam keseraman. Aku suka babak berani tarik keluar mayat pada tengah malam. Aku suka babak lif ala Omen II. Dan aku suka babak Zaidi Omar pada akhir filem. Terdapat beberapa gaya yang tipikal filem seram Melayu dan Indonesia era 50-an dan 80-an, malah feelnya ada. Namun kesatuan secara keseluruhan, ini bukan filem seram yang sempurna.

Entahlah. Paku tidak memberi aku rangsangan yang sepatutnya. Ya, ia gerun dan merujuk filem lama, ya, lakonannya berkesan dan sinematografinya memahami gerak dan alat seram, solekannya rencam, suntingannya cukup mengkagumkan. Mungkin kerana kita pernah dan sudah melihatnya, suatu klise yang tidak lari daripada "akhirnya autoriti mengambil tempat". Ini filem yang memaparkan kebenaran hakikat Islam menundukkan syaitan. Menariknya, kadang-kadang syaitan itu juga terasa percintaan Twilight. Filem didaktik ini mengikut acuan yang sama dengan deretan gerak cerita yang sama. Yang baiknya, segala yang perlu diceritakan, diceritakan, kecuali beberapa hal seperti tiba-tiba bomoh itu datang ke rumah dan babak tiba-tiba Azad tengah gatal nak main atas sofa. Entahlah. Aku menonton filem ini macam mimpi sahaja, yang cepat-cepat buat aku nak bangun semula.

10 December 2013

Kolumpo(2013): Kisah KL Memikat

Masalah dengan aku ialah, aku susah hendak mengangkat sesebuah filpen sebagai sebuah wayang yang sempurna. Aku menikmati filem antologi "menang filem asing terbaik" Yesterday, Today, Tomorrow(1963) arahan Vittorio de Sica tetapi aku tidaklah menyatakan filem itu sempurna, walaupun dua segmen dalam antologi filem itu amat menghiburkan aku.

Begitulah juga dengan Kolumpo. Sayang, kerana segmen-segmennya begitu menyeronokkan. Antara penulisan filem terbaik tahun ini.


Antologi Kolumpo terpecah kepada tiga segmen, semuanya bercakap tentang bandar raya yang paling aku sayangi, dan dengan lebih baik lagi, inilah filem KL yang aku idam-idamkan, baik dan buruk sebelah-menyebelah menyebut namanya. Maksud urban dicairkan dengan hal-hal terperap dan terpinggir, mata dan telinga yang biasa jadi luar biasa. Kita langsung tidak memerlukan metafora kampung sebagai latar "asal sejati suci" yang klise sudah dilayangkan oleh pembikin lama. KL berdiri sendiri. Segar. Inilah yang dapat dicernakan oleh Kolumpo.

Malah teraju utama filem ini, KL, dipaparkan dengan sebetulnya, memberikan suara kepada tiga golongan terpinggir (pertama pendatang dari India, kedua golongan berpeleseran, ketiga golongan "malam"). Terdapat KL waktu pagi, tengah hari ke petang, dan malam (walaupun percubaan ini tidak sekata dalam susunan segmen walaupun tampak terdapat percubaan tersebut) dalam menyampaikan cerita, KL tidak pernah tidur, penuh sahaja perutnya mendengar bunyi tangis dan ketawa anak-anaknya yang datang dan pergi.

Segmen pertama sedikit mencuit coletan filem Hindustan-Tamil yang kita kenal kerana pengisian yang dilakukan oleh pekerja "buruh" dari India. Kelakarnya bertempat walaupun terdapat peran pembantu yang amatur. Suntingan dan gerakannya sedikit kaku, tidak silap aku, ini bahagian arahan Bront Palarae. Terdapat bahagian-bahagian yang keras dan tidak lancar, namun imej ubi kentang diingati. Azad Jazmin menampilkan kepaduan dan alasan mengapa pelakon ini perlu diteliti untuk watak-watak yang lebih mencabar pada masa hadapan. Azad menjadi sebagai Rahul, si lelaki Mumbai yang ditipu bangsa sendiri di tanah orang. Sikap naifnya dan akhirnya, emosinya yang tidak terluah menyampaikan maksud "Hindustan" yang betul dan menarik.


Segmen kedua arahan Rozi Izma bagi aku yang paling digemari dan kuat dari segi penceritaan visual. Nell Ng sebagai si andartu yang tidak memerlukan lelaki (dengan jelas mis-en-scene menyampaikan bahawa dia tidak jelas dengan tujuan hidupnya) telah diminta untuk menghantar Ruminah Sidek (Nek Wok berketurunan Banjar) pulang ke rumah. Ruminah sudah nyanyuk, Nell cuba memahaminya. Mereka melalui suatu perjalanan yang penuh kesesakan lalu lintas, yang akhirnya menjadi perjalanan diri, dan ini berlaku di jalan raya sibuk KL, ini suatu miracle dalam filem. Filem ini juga dengan jelas menyoal persoalan latar asal dan kenang-kenangan yang dilenyapkan atas nama pembangunan. Persoalan ini kritikal dan menjadi sarwajagat. Kehilangan itu terasa, berkait kuat dengan nyanyuk Ruminah. Secara emosi, filem ini menyampaikan suatu kepakaran yang jelas bukan pengarahan amatur (walaupun ini filem pertama Rozi) dan dengan menarik, membawa masuk subtle subtle tertentu yang membuat kita merenung tentang politik dan sosiobudaya yang kita mungkin terlepas pandang. Nell Ng dan Ruminah masing-masing wajib diberikan perhatian untuk memenangi anugerah filem akan datang. Kemunculan Rosnah Mat Aris di akhir cerita turut menyeronokkan.

Segmen ketiga merupakan suatu perjalanan emosi yang disusun seperti muzik. Dengan jelas Sheikh Munasar cuba menyampaikan suatu odisi rasa daripada suatu penceritaan, episodiknya terasa, namun itu tidak melemahkan, kerana dengan niat baik, Munasar memberikan Amirul Ariff (wajahnya seakan Johan As'ari) yang pemalu seorang bidadari malam dalam bentuk moden-pelik-eksentrik Sharifah Amani. Aku suka ambiguiti watak Amani yang disengajakan, walaupun sikap ini mungkin dituduh "liberal" namun hakikat yang diberikan oleh Amani untuk Amirul renungkan itu menarik (tanpa perlu berdakwah terang-terangan). Mereka mencari teman pada waktu malam yang akhirnya mereka menemui keupayaan diri mereka sendiri. Babak monorel pada akhir filem merupakan sesuatu yang magis, lalu menambahkan lagi absurditi Amani, seakan-akan Amani sendiri itu suatu mitos ciptaan malam KL.


Sinematografi filem ini baik dan terkawal. Runut bunyi juga menjalankan kerjanya dengan baik, walaupun terdapat runut suara yang agak bising dalam sifat biasa filem bebas. Terdapat beberapa babak latar yang dengan sengaja memaparkan sindiran cantik pembikin terhadap agenda dan propaganda kerajaan, namun terdapat bahagian-bahagian yang disamarkan, dan ini suatu tapisan yang mendukacitakan. Dialognya enak seperti kerepek ubi yang terus sahaja dikunyah, ditelan dan diingati, paling penting, para penulisnya faham untuk menyampaikan dialog dengan maksud visual yang kuat. 

Filem ini mengangkat sikap "muhibah" yang sebetulnya, jujur, logik dan boleh dipermungkinkan. Najib Razak dan ahli kabinetnya seeloknya menonton filem ini. Segalanya ada di sini, lemak sedih, ketawa, geram, pesona, dan mendamaikan. Kolumpo antara filem dengan penceritaan terbaik tahun ini.

Klasifikasi Kolumpo: P13, Terdapat babak akhlak buruk dan cadangan keganasan yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Berjaya Time Square.  

05 December 2013

Papadom 2: Farsa Untuk Diraikan

Selepas menonton filem genre komedi keluarga ini, aku keluar dari pawagam dengan tersenyum. Yang lebih menarik, cerita dan imej-imej dalam filem ini masih terngiang-ngiang dalam kepala aku. Aku cuba nak dissect filem ini seperti filem-filem sebelum, aku rasa macam aku tidak mahu, sebab rasa dan perasaan yang aku dapat itu, sudah cukup untuk aku buat masa ini, aku tak mahu analisa dalam-dalam.

Kerana aku suka, amat-amat suka dengan filem Afdlin yang satu ini.

Aku rasa, Afdlin sudah mencapai suatu fasa yang matang dalam cara pembikinan filemnya.

Aku dah maklum, ya aku cepat menangis, tapi untuk filem ini, pengalamannya lain. Memang Afdlin pernah cuba melakukan cantuman unsur tawa-tangis, kalau tidak silap dalam Buli Balik, serta filem asal ini, Papadom (2009). Namun untuk filem ini aku dapat ketawa dan menangis sekali dalam sesebuah adegan, dan pengalaman begini jarang-jarang berlaku dalam wayang. Afdlin sudah mencapai takat ahli dalam penyampai emosi dan suasana.

Filem sekuel ini menyambung kisah Miasara (Liyana Jasmay) yang sedang berjuang dalam industri perfileman di bawah pengerjaan bikinan pengarah Jay Rahman (Khir Rahman) di Kuala Lumpur. Saadom (Afdlin Shauki) pula masih di Pulau Pinang, kesunyian dan merindui anaknya, berjaya dalam bisnes. Cerita muncul apabila Saadom mendapat tahu (melalui kawan baik Mia secara tidak sengaja) Mia hendak kahwin, dan hal ini membuatkan Saadom "menjelmakan kembali" arwah isterinya, mencetuskan tindakan egonya untuk melawat anaknya di KL.

Cerita ini hidup sememangnya daripada penelitian dan kepandaian Afdlin dan penulis skrip, Haris M. Nor dan Nurul Akmar Salajudin. Dialognya terasa cepat dan tertuju, situasinya jelas, kena, dan terkena batang hidung, dengan penyimpangan-penyimpangan yang memancutkan gelak ketawa. Ini sebuah farsa keluarga dan masyarakat semasa yang amat menjadi. Suatu komedi tentang pembikin filem kita, tentang khalayaknya, dan mereka yang inginkan lebih daripada itu. Paling berani ialah Afdlin menjugel unsur kelakar dan serius dalam satu babak dengan lancar sekali. Beberapa isu dan situasi yang disampaikan sememangnya serius, dan Afdlin dapat sampaikan dengan pengimbangan yang begitu sesuai dengan gerakan babak dan gerak jalan cerita, menyampaikan komedi yang sekali gus dramatik.

Banyak babak yang membuatkan aku terkucil ketawa. Antara yang aku suka ialah pembongkaran Saadom terhadap seorang daripada "pakwe" Mia, suatu kultus mamat motor besar (wow, menyindir habis ni!) yang kita tergelak melihat bagaimana Afdlin menyindir golongan ini "ah, inilah bapak-bapak mat rempit". Sudah tentu, jus terbesar filem ini adalah "filem dalam filem", yakni pandangan kritikal Afdlin tentang keadaan industri perfileman kita sekarang. Dengan jelas, Afdlin terasa risau tentangnya, dan Afdlin ingin menyampaikan kritikannya (dengan menjentik FDAM itu sudah cukup menggelikan hati) atas nama sayang terhadap mediumnya. Setiap entiti dalam perfileman itu ditegur, dicubit dan ditertawakan. Babak-babak ini seakan farsa terbesar selepas Layar Lara terhadap latar filem tempatan.

Roh filem ini sudah tentulah tentang penjalinan Afdlin-Lyana yang masih ampuh dan feeling-feeling. Afdlin dan Lyana menyampaikan lakonan mereka dengan berkesan dan jalinan ayah-anak yang amat menjadi, penuh dengan kekalutan dan kerisauan mereka. Vanide Imran yang jelas "membantu" di sini turut ditampilkan dengan berkesan sekali, dengan pemberian ruang yang begitu ampuh, menjadi kunci pada semua maksud perhubungan Afdlin-Lyana. Dan yang mengejutkan ialah kehadiran Khir Rahman sebagai pengarah veteran yang cepat marah dan "penuh seni". Beliau bakal menang pelakon pembantu lelaki terbaik untuk FFM. 

Aku juga suka bagaimana Afdlin kali ini menggunakan unsur arwah isteri dengan betul dan berada pada ruang-ruang yang betul. Hal ini menimbulkan kembali persoalan psikologi yang jelas berkenaan tekanan dan kekhuatiran dalam diri Saadom, malah penimbulan babak-babak ini yang mengangkat sekali gus memberikan kesinambungan yang terurus cantik dalam filem ini.

Ada yang menyatakan runut suara filem ini sedikit mengganggu, tanpa pengkhususan dalam kawalan. Syotnya juga tidak indah. Namun bagi aku, walaupun syotnya biasa (sebenarnya penuh subtle dan berlapis) tetapi ia tidak mengganggu penceritaan, malah hal ini pun wujud dalam mana-mana filem komedi baik, termasuk yang pernah dibikin oleh Billy Wilder (rujuk Some Like It Hot) ataupun Sidney Pollack (rujuk Tootsie). Yang lebih penting ialah detik gerak (pacing) filem ini terkawal dengan suntingan yang lawa dan cepat. Afdlin dan penyunting benar-benar memberikan suatu detik gerak yang terbaik dalam filem komedi Malaysia.

Aku cuba tidak mahu bersikap "intelektual" (dan sebenarnya boleh untuk analisa filem ini!) dalam membuka lagi persoalan dan kandungan filem ini. Cukuplah untuk aku katakan, aku terhibur, aku menangis, dan aku mendapat sesuatu daripada karya terbaharu Afdlin ini. Filem yang sememangnya dibuat sesuai sewaktu hantu dan gangster menyerang wayang kita, sesuatu yang memberi kisah yang kita sama-sama dapat rasai dan alami. Sesuatu yang mesti diraikan seisi keluarga. Ini suatu kemenangan buat Afdlin. Filem komedi terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi Papadom 2: U(?), Terdapat babak akhlak buruk dan arak yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI Cineleisure, Damansara Mutiara. (Tayangan Umum: 12.12.2013)

01 December 2013

Bryan Forbes Pada Suatu Petang Yang Basah

Entri ini hanya cakap-cakap kosong sahaja.

Aku baru sahaja menonton sebuah filem lama hitam putih (filem bebas) British, Seance on a Wet Afternoon (1964) arahan Bryan Forbes dengan tulisan Forbes mengadaptasi novel Mark McShane dengan terbitan bersama Richard Attenborough.

Memang filemnya bagus, walaupun awalan filem agak panjang memperkenalkan watak (ibu aku benci filem Britain berbanding dengan Hollywood, kerana filem Britain katanya banyak bercakap-cakap dalam ruang statik sedangkan filem Hollywood sentiasa bergerak). Namun aku tidak mahu mengulas filem yang sangat baik itu, aku hanya ingin mengulas perkara yang disampaikan oleh Bryan Forbes dalam wawancara panjang yang bersangkutan dengan DVD filem ini kerana aku mendapati ada sesuatu yang dapat dikongsi daripada pandangan dan pengalamannya.

Filem ini, filem ketiga atau keempat terbitan Forbes dengan Attenborough yang mengambil belanja 140 ribu pound sahaja. Belanja itu kecil jika dilihat pada masa itu, filem perdana memerlukan belanja melebihi 500 ribu pound sekurang-kurangnya. Contohnya di Malaysia sekarang jika harga filem itu hanya 500 ribu ringgit Malaysia. Namun yang menguatkan filem ini adalah cerita dan pembawaan watak, segala teknik yang bersangkutan dengannya turut membantu, dengan sinematografi yang baik dan suntingan yang amat kemas dalam sebuah filem yang khusus drama dengan percikan jenayah, ngeri, dan misteri dalamnya.

Apa yang menarik adalah pandangan Forbes, yang mungkin "kolot" namun perlu direnungi. Forbes menolak filem sekarang versi Querin Tarantino yang akses dan obses keganasan (hal ini mungkin jelas sebagai orang yang berumur daripada Forbes) lalu banyak paparan dalam filem ini yang mengakses ganas namun dijauhkan jarak dengan penonton namun diberi ruangan suara dan imbauan imaginasi, hal yang aku lihat lebih berjaya dan menandingi "tutup mata" yang pernah dibikin contohnya oleh Yasmin Ahmad dalam Rabun. Hal ini jelas (namun aku sedari kita tidak dapat lakukan hal ini dalam filem samseng, atau mungkin aku salah dan ia boleh dilakukan) dibayangi Forbes. Forbes seakan-akan sesuai dengan nada LPF kita yang ingin membantu tetapi menyunat kita daripada menyampaikannya dalam imejan. Mungkin pandangan Forbes ini buat masa ini (kerana contohnya, kononnya terdapat keganasan dan darah yang melampau dalam Penanggal tidak dapat ditayang atas sebab pemotongan permintaan LPF, lalu kita dapat semacam suatu cadangan imejan yang "tidak cukup masak") dapat digunakan, sementara pembikin dan masyarakat (atau di sini, Kerajaan) mengambil masa untuk mencari titik tengah dalam kawalan dan imbangan tapisan.

Yang jelas, teknik-teknik "konservatif" Forbes menjadi dan berjaya, malah terus sahaja mencapai sikap ngeri ala Hitchcock yang diperlukan, yang tidak ada pun dalam filem ngeri kita yang sok ngeri (rujuk sahaja Kanta Serigala).

Dengan menariknya, Forbes juga berjaya "menjinakkan" Kim Stanley, antara pelakon Hollywood (asal Britain) yang bernafas dalam method acting. Kim bergandingan dengan Richard Attenborough yang klasik dan tradisional (berlakon melalui pementasan Shakespeare, dan memahami cue dalam filem), dua subjek yang berbeza dalam pendekatan lakonan tapi berjaya dibawa dalam satu skrin. Yang menariknya, Forbes menyatakan, tiga kamera terpaksa digunakan (hal ini sama dengan beberapa pengarah yang cuba mengarah James Dean dan method actor lain) yakni secara jauh kepada kedua-dua pelakon, satu dengan fokus kepada Richard, dan seorang lagi, Kim. Kim mewujudkan suatu keadaan "kaedah" yang tidak menentuk, ruang dalam bingkai sudah tidak penting, yang penting ialah lakonan dan kedalaman lakonan itu terhadapsingle shot). Apabila reaksi diperlukan antara Richard dengan Kim, Forbes menggunakan syot pandangan yang banyak ditentukan oleh gerakan tempat Richard, supata Kim tidak "jauh mensasar" daripada subjek Richard, dan ini suatu hal genius sebagai kawalan bukan sahaja lakonan Kim tetapi ruangan bingkai untuk Kim. 
latar ruang (bukan bingkai dalam kamera yang ditentukan). Ada pandangan yang disampaikan oleh Kim yang Forbes ambil tapi Forbes juga memujuk Kim untuk penentuan syot, dan ini selalu dilakukan sebagai syot tunggal (

Forbes sebenarnya anak murid Carol Reed, antara pengarah terbesar UK dan dunia. Forbes pernah berlakon dan menjadi kru Reed. Forbes bertanya kepadanya, apakah dua tips untuk beliau mengarah, Reed memberitahu: "Pertama, jangan perkecilkan para pelakon anda. Kedua, jika pelakon terus berlakon di luar skrip, teruskan, kadang-kadang ada yang kita dapat pakai."

Forbes ingin menegaskan bahawa dia tahu, pengarah zaman sekarang terlalu memperlekehkan pelakon (dalam zaman 1980-an kita, masalahnya para penerbit yang memilih pelakon, bukan pengarah, hal ini dijelaskan dalam Layar Lara). Pelakon sebenarnya harus dipupuk, malah Forbes menanggap mereka sebagai profesional, tidak pernah mempersendakannya (namun sekali lagi, Forbes dikelilingi oleh tradisi banyak pelakon yang bermutu di London waktu itu yang memang belajar dan memahami lakonan mengikut mazhab dan produksi teater mereka yang tersendiri). Sikap adab ini menyebabkan Forbes dianggap sebagai "women's director" yang ada yang memanggilnya, "the heterosexual George Cukor". Forbes memang memahami emosi dan kepentingan figura wanita dan menangkapnya dengan baik. Segala-gala dalam filem Forbes adalah atas citra wanitanya. Ini penting.

Yang lebih menarik ialah, Forbes mengkritik penggunaan skrin kecil (diperkenalkan oleh Spielberg) yang digunakan oleh pengarah sekarang mengarah. Baginya, skrin kecil itu menipu dan kita tidak dapat melihat ruang yang disediakan dan hanya dalam ruang yang sudah ditentukan oleh bingkai, kita tentu terlepas pandang banyak hal jika kita terikut dengan ruang bingkai yang sudah sedia ditangkap. Beliau dengan jelas mengatakan, "Mata kita bukan seperti bingkai kecil itu, mata kita melebihi hal itu dan sebab itu saya suka sebelah-menyebelah dengan kamera kerana kamera dan mata kita sama pada masa itu, dengan terang dan jelas kita dapat melihat aura yang disampaikan oleh pelakon dan semangatnya dapat kita hidu jika dia berjaya menyampaikan atau tidak sampai emosinya, jika di belakang kamera bingkai kecil itu, kita tidak akan dapat menghidu emosi pelakon pun."

Forbes juga menitik beratkan runut bunyi (yang kebanyakan filem kita masih lemah tentang ini) namun melihat runut bunyi atau lagu latar sebagai bahagian terakhir dalam filem, walaupun sedari awal, pengarah muziknya perlu diberikan konsep dan diberikan tayangan syot-syot yang dibikin sewaktu penggambaran pun supaya pencipta lagunya turut sama merasai emosi dan cerita dalam pembikinan (dan turut memberinya penghormatan seakan-akan dia juga penting dalam ruang set, hal ini selalu sahaja dibuat oleh Spielberg dan beberapa pengarah besar). Bagi Forbes, lagu "menggariskan" emosi dalam filem, dan jika pencipta lagu berjaya menyampaikan maksud ini, filem itu lengkap. Komposer untuk filem ini ialah John Barry, dan sememangnya waktu itu, Barry masih muda tetapi sudah jelas memahami sinkronasi imej bergerak dengan lagu dan kepentingan lagu menyampaikan "garisan" emosi. Forbes dengan jelas menyatakan, sebab itu Barry merupakan antara pengarah muzik yang berjaya dalam perfileman kerana John Barry memahami hal itu. aku terfikir, entah berapa pemuzik kita yang memahami hal ini, seperti yang pernah disampaikan oleh P. Ramlee dengan sempurna (walaupun banyak gayanya sudah out dated) atau sekurang-kurangnya seperti kepandaian  M. Nasir dan Adnan Abu Hassan (untuk filem Rahsia sebagai contoh terbaik) berkenaan hal ini.

Selepas ini, Forbes merupakan antara pengarah yang akan aku telusuri filemnya. juga ingin memahami maksud-maksud menarik filemnya, kerana jelas Forbes bernafas dan hidup dalam suatu zaman yang walaupun sudah dilupai, masih meninggalkan kesan dalam dunia perfileman.


29 November 2013

Penanggal (2013): Ada Yang Tertanggal

Filem sulung Ellie Suriaty, dengan skrip Ellie serta Yus Waisar.

Dikatakan antara filem penting tahun ini atas satu sebab. Pertama kalinya kalau aku tak silap, sebuah filem yang dinyatakan sebagai "konsep tinggi" yang sanggup diusahasamakan oleh dua gergasi perfileman tempatan, pihak Astro (yang menaungi Astro Shaw dan Tayangan Unggul) dan Media Prima (Grand Brilliance). Perkahwinan dua syarikat ini merupakan suatu impian dan cita-cita yang amat ditunggu-tunggu untuk berlaku dalam persada perfileman, lantas menyampaikan maksud bahawa "filem ini ada sesuatu" kerana dua syarikat besar ini sanggup menggadaikan harta mengangkat konsep filem ini. Hal ini amat dipuji dan berharap akan diteruskan dengan filem-filem bersikap "konsep tinggi" dan bukan komersial ringan semata-mata.

Ada tiga keindahan yang dipuji, menjadi penanda bahawa filem ini sepatutnya cemerlang. Solekan dan tatarias khas yang diperlakukan oleh Ella Sandera (Norela Ulis) yang sudah dikenali sebagai Dick Smith Malaysia memang melancarkan kerja yang indah. Kau lihat sahajalah prop "Penanggal" yang aku letak di sini. Kemudian, sinematografi Raja Mukhriz memang mengasyikkan. Mukriz dengan jelas cuba melayarkan landskap epik terhadap filem "seram purba" ini. Terakhir, lakonan beberapa pelakonnya yang terjaga dan menyampaikan nuansa. Ummi Nazeera merupakan seorang pelakon yang harus digembeleng sebelum terlambat. Kehadiran Roslan Madun dan Yus Waisar juga memberi warna indah.

Namun, mengapakah aku terkilan menontonnya?

Ellie secara dasarnya mempunyai niat yang murni. Dua budaya dihentak di tengah-tengah, golongan Arab-Melayu (diaspora hijrah kedua keturunan Arab yang datang ke Tanah Melayu, mengikut Tun Suzanna) dengan kedalaman aqidah dan tasawur Islam menampilkan jati diri "moden", berlawanan dengan golongan Melayu pedalaman yang masih tradisional dan terikat dengan pantang-larang dan tahyul. Malah ada kalangan yang belum Islam dan masih berpegang kuat dengan warisan lama, seperti yang dibayangkan oleh watak Jawa Normah Damanhuri dan Jeff Omar. Yang jelas di sini ialah pertaruhan "ilmu hitam" sebagai galang pandangan yang masih optimis dilihat sebagai alunan dalam sosiobudaya Melayu yang diiktiraf, atau sebagai galang lawan terhadap Islam, yang semua ini dibentuk daripada "Penanggal" yang merupakan suatu fenomena yang sebenarnya bukan sahaja memakan beratus tahun dalam akar budaya pra Islam Melayu-Nusantara tetapi sudah sebati wujud dalam pelbagai benua Asia Tenggara (dan hal ini menguatkan persoalan serumpun keturunan kalangan Asia Tenggara dan Nusantara, mahu tidak mahu kita menyetujuinya) walaupun sekarang. Malah filem hantu ini pun sudah berkali-kali, malah klasik dalam mana-mana industri filem Thailand, Filipina, Indonesia, mahupun Myanmar dan Kemboja.

Ellie latarkan dua budaya ini pula dengan suatu "cerita peranakan Arab" tentang Fasha Sandha (Syarifah Zahrah) yang janda muda tergila-gilakan untuk berkahwin dengan Azri Iskandar (Syed Yusoff al-Attas) bermata firus. Hal ini pula berjukstaposisi dengan "cerita Melayu tradisional" Ummi Nazera, si Murni, yang disumpah dengan saka warisan yang bukan darahnya, namun dipaksa oleh Normah untuk mengambilnya. Bagaimanakah Ellie memautkan dua cerita yang jelas berbeza?

Kononnya pautan berlaku atas nama "cahaya Islam" dan "kajian turath" yang dilakukan oleh watak Azri terhadap alam tahyul pra Islam Melayu (kesedaran ini sahaja revolusioner dan radikal sebenarnya, kerana tiada sarjana tempatan yang menyanggupi hal ini, dan sebab itu dikatakan kajian tahyul dan sihir Melayu datang daripada kalangan orientalis Barat). Awalnya kita lihat tulisan (setelah satu prolog yang maha panjang) jawi (bukan kuno) yang mencitrakan syaitan penanggal. Kita menyedari bahawa Azri inilah yang cuba merasionalisasikan dunia "mimpi yang dilupakan" dengan pandangan Islamnya yang kuat. Atas sebab itu tulisan akhir dalam jawi, sebuah pantun menyampaikan maksud kehadiran Islam yang membasmi ketahyulan dan kerendahan budaya lama Melayu (yang malah, membunuh). Hal ini mencemik sekali gus menyinggung, namun menarik.

Tetapi apakah yang dilakukan oleh Ellie untuk mendapatkan butir mutiara?

Entah apa-apa.

Plot kononnya bermula apabila Azri secara kebetulan dalam perjalanan telah menghentikan pembunuhan Ummi yang ditangkap oleh orang kampung yang diketuai oleh Yus Waisar. Ummi berjaya lari masuk ke hutan menuju ke geroboknya dan entah mengapa, seperti suatu dunia fantasi, Azri yang baru sahaja kahwin dan mungkin berjaya meramas buah dada Fasha yang ranum tak terusik dek arwah suami yang terlanggar, telah terpesona (sebenarnya gatal kote) untuk mencari Ummi di dalam hutan. Kalau ada rotan besar, plot begini sudah diberikan satu rotan yang keras atas tangan Ellie.

Paling menjengkelkan ialah keberanian Ellie menyampaikan (kerana risau penonton di awang-awangan) eksposisi imbas balik yang keterlaluan dan banyak sekali, contoh jelas kerana penanda pokok dan tanah yang disihir sebagai pendinding keluarga Mak Ajeng (Normah) terhadap penduduk kampung (OK, Harry Potter telah melakukannya dengan lebih baik dari segi persembahan imejan, rujuk bahagian keenam). Kemudian eksposisi entah dari mana Sulong Sarep bercakap bahawa kampungnya pernah diserang penanggal. Hal ini yang amat menyinggung dan berkali-kali dilakukan. Lantas kita teringat kaedah ini pernah dilakukan oleh Suhaimi Baba untuk Pontianak Harum Sundal Malan. Ellie, hanya bangsat dan sundal sahaja yang berani melakukan perkara yang terkeji ini untuk menyempurnakan penceritaan. Aku serius, jangan diulang pendekatan begini lagi dalam pembikinan filem (kaedah begini hanya sesuai dalam teks fiksyen, bukan teks layar, melainkan terdapat suatu logos dan penceritaan yang terkawal seperti yang dilakukan dalam Jacob's Ladder dan Inception). 

Paling menyakitkan ialah eksposisi mengapa wajah Murni berbintil-bintil, semuanya dipercepatkan atas nama "hey, kita perlu kisahkan dalam masa dua jam sahaja ok). Bila pula Dukun Gantang menjelma dan bercakap-cakap dengan Sulong Sarep, lalu Dukun berbomoh untuk menumpaskan Ummi, untuk apa semua ini? Dan paling memanaskan hati ialah kemiangan Fasha Sandha mandi tengah malam buta dalam kampung yang diserang penanggal. Walaupun babak itu antara babak paling mengejutkan dalam filem ini, tindakan meletakkan Fasha di situ bodoh dari segi logik akal dan plot. Malah amat mempersendakan watak Fasha (aku tidak faham mengapa watak Fasha perlu berpakaian mendedah dada, berlari-lari dan masuk ke dalam rumah bukan muhrim dengan si lelaki seorang dengan sendiri, ini suatu kekeliruan budaya yang jelas walaupun Fasha memang cantik dan kali ini boleh berlakon dengan baik, semua ini jelas terbuang sahaja) yang sudah tentu berilmu.

Ini ditambah pula dengan penyuntingan yang amat lemah, berkemungkinan Akashdeep tidak cukup footaj untuk memotong (atau terlalu ghairah menyimpan imej yang cantik). Sinematografi Mukriz memang cantik, namun kesinambungan dari babak ke babak hancur dan lenyap. Tiada kelancaran dan membingit mata dan rasa penonton. Filem ini seakan-akan menyatakan bahawa babak-babak itu diambil sedemikian rupa atas nama nak buat cantik, tanpa memahami tanda dan penanda, dan lebih penting, motivasi gerakan untuk melancari suatu mis-en-scene. Banyak sudut pandangan yang melopong dan merimaskan. Ada satu sahaja yang menjelmakan keindahan yakni sewaktu Murni memandang langit malam penuh bintang. Yang lain, terbuang.

Lalu kemudian, untuk apakah Jeff Omar dibayangkan watak Igor (Ellie perlu tahu, kehadiran watak "kadam" begini dalam filem purba Melayu dahulu atas kerana pembikinnya terpengaruh dengan filem Universal lama, watak Igor dalam siri Frankenstein, dan bukan sebetulnya citra Melayu asli) yang tidak habis membeliak mata dan menjengkel seakan-akan Jar Jar Binks Penanggal? Kalau ini penghormatan Ellie buat filem seram purba, Ellie sudah tersalah langkah.

Aku suka detik-detik kecil filem ini dengan babak Nadia Mustafar mencari buah kundang(?), atau nuansa Melayu yang halus tersampai baik dalam gerak dan suara Roslan Madun dan Yus Waisar (keris di belakang, akhirnya mereka dapat menyampaikan budaya Melayu yang betul). Sememangnya, Ellie sangat berjaya menyampaikan nuansa-nuansa kecil ini dengan betul dan sempurna. Dunia Melayu tradisionalnya jelas dan tidak dibuat-buat. Namun bayangkan, keindahan ini jelas dihancurkan (rujuk sahaja kelembutan Kuswadinata menghalau lembut Ummi dari kampung tersebut, yang menjengkelkan kerana Ellie hanya memaparkan wajah Ummi dan Jeff Omar, kehalusan adab Melayu ini digagalkan kerana Ellie malas memaparkan imejnya) atas tulang belakang yang tidak kuat dan penyampaian cerita yang lemah. Sedih, kerana sememangnya bahasa Ellie indah, kata-katanya jelas puitis dan dalam, tapi dihambarkan kerana kelemahan penceritaan. Akhirnya, kita membeli tiket filem ini hanyalah untuk mengaji mentera memikat jantan, dan jangan lupa tajamkan lidah Jawa tu bila nak baca.

Klasifikasi Penanggal: P13, Babak ganas, keganasan terhadap wanita, dan tayangan buah dada Fasha Sandha yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI TGV, KLCC.  

25 November 2013

Ikal Mayang Astro First (2013)


6 Filpen siri Ikal Mayang sedang ditayangkan di Astro First. Memang ada sesuatu daripada senarai ini, walaupun secara teknikalnya amatur, malah ada yang bersinar terus.

1-800-Baby | Sofia Jane
Tidak perlulah disangkal lagi, Zaleha yang kita kenal dalam filem U-Wei sudah dewasa dan mendewasakan dengan suatu mesej sosial tentang keinginan dan ketakutan wanita yang dikelilingi sikap lelaki yang tidak pernah nampak dan tidak pernah bertanggungjawab. Nadya Nisaa berwatak remaja sekolah Salmah yang bunting dan Norma Damanhuri sebagai Salmah yang matang dan memahami dosanya. Isunya, fenomena buang bayi. Menariknya ialah cara gelap-terang yang dibawa oleh Sofia menyampaikan maksud dengan segala sesak dan gerunnya (dua kali filpen ini "terang" dengan warna manja/damai, sila lihat di mana), ini bukan suatu "menimang anak-cucu" yang biasa dan masih menjadi beban tragedi moden, serta humanis yang diwajahkan pada mereka yang selalu kita iktiraf sebagai "penjenayah malam". Persoalan-persoalan lain turut dibuka dan sengaja diwacanakan (dan filem ini dengan jelas menampilkan suatu majlis wacana televisyen serta buku Oprah sebagai penyampai maksud jelas berkenaan harapan itu buat penonton sama-sama menyelesaikan masalah Salmah dan anaknya). Walaupun pendek namun cukup baik sebagai pembuka filem yang lima lagi.

Pantang | Vanidah Imran
Aku rasa pengakhirannya sedikit janggal walaupun monolognya sampai. Namun secara keseluruhan, filpen tentang budaya pantang selepas kelahiran anak ini antara filpem kegemaran peribadi aku yang aku dapat ingati walaupun selepas selesai tayangan. Vanidah sangat ekonomikal dalam kata-kata filemnya, juga mengejutkan, mewujudkan suatu bentuk filem yang misterius dan lirikal tanpa perlu bergaya terlalu. Garin Nugroho tentu menyukainya. Sesuatu dalam Vanidah yang dipuji terus, kerana berjaya memberi imejan amat tempatan (khusus Melayu) yang tetap berkaitan dalam dunia sekarang. Sifat psikologi sang wanita yang bersendirian dan dipenuhi "pantang" (lakonan berkuasa Dira Abu Zahari, dia sememangnya Ira Irawan Malaysia) yang tidak pernah diubah-ubah (dan bukan ada kuasa pun untuk si wataknya mengubah, hanya merenung). Suatu babak yang indah berlaku apabila Dira tidur, terdengar bisikan suara suaminya, anaknya laparkan susu, dan dia memandang bantal sebelah suaminya, yang kosong. Vanidah mencapai puisi humanis dalam kedua-dua bahasa filem dan tutur katanya, indah dan bersahaja, lantas tetap menyampaikan api-api jerih wanita yang membakar dalam sifat kemelayuannya (lalu membuka pelbagai tanda dan persoalan lain). Suatu kemenangan yang tersendiri.

Jerat Suami | Dira Abu Zahar
Dira tampak garang dalam lapisan anak muda seni yang kian meningkat, dan tampak punya pakej untuk berjaya jika diberi peluang. Seperti karyanya yang ini, suatu dokumentari-palsu berkenaan kecenderungan para wanita sekarang yang menjadi "perigi mencari timba". Persoalan ilmu hitam dan beberapa perkara kuasa materi turut dibayangkan dengan tiga hingga empat "subjek" yang menggelikan hati dan semacam sambung-menyambung, mengambil kemahiran yang pernah dilakukan dengan baik sekali oleh Amir Muhammad, dan Dira berjaya menyampaikannya dengan moden, struktural, dan bercerita tanpa terlalu didaktik.

Nawar | Aida Fitri Buyong
Ada ungakapan dalam Inggeris, "mother knows best" lalu ditambah dalam filpen ini, "and grandmothers too." Suatu filem yang aku bayangkan dibikin Suhaimi Baba, dan patut pun, Aida amat dekat dengan Suhaimi pada awal-awal kerjaya perfilemannya. Keluarga campur berbahasa Inggeris ini menyampaikan hal yang klise namun penting tentang kepercayaan dan kasih-sayang. Hanya malang sekali ada beberapa tempatnya terasa janggal dan mengganggu kerana percubaan Aida memasukkan babak "lembu". Anak bekas AF seorang anak menteri memperlekehkan dirinya dalam filem ini, nasib baik ditunjuangi tiga watak perempuan yang kuat, lebih-lebih lagi Joanna Bassey yang tidak perlu terlalu menyampaikan tetapi cukup menjelaskan suara hatinya terhadap kerisauan seorang ibu. Cukup bersahaja dan sederhana.

Odah | Filem ini sudah diulas di sini, dan aku masih sahaja ketawa terbahak-bahak (rujuk babak peraga KRU yang cun, yang juga menyampaikan sikap progresif dalam sosiobudaya zaman itu). Memang filem paling ikonik antara kesemuanya. Junaidah M. Nor wajib diberikan belanja sendiri dan kuasa kreativitinya sendiri untuk membikin filemnya sendiri. Wajib. 

Inspektor Mastura | Elaine Daly
Aku tidak tahu mengapa, menonton filpen ini seakan-akan membuka jendela kepada kisah hidup Elaine sendiri. Aku mungkin salah, namun dengan jelas filem ini menyampaikan beberapa maksud tentang wanita yang tabah kehilangan cinta dan wanita yang benar-benar faham tentang erti "cinta". Filem ini membumbui sikap komedi dan gelap, dengan banyak monolog yang disampaikan, walaupun cuba dijadikan suatu sindiran yang melucukan, terdapat beberapa bahagian yang menjanggalkan. Sikap Elaine menyampaikannya sebagai suatu naratif yang dikupas seperti bawang menjadikannya menarik, langsung memberikan harapan pada akhir filem dengan senyuman KJ (Khairy patut jadi pelakon selepas ini, tak perlu jadi menteri lagi). Namun anak Fatimah Abu Bakar ini sedikit kaku dan moden untuk dibayangkan sebagai "inspektor". Suatu percubaan yang menarik.  

09 November 2013

Jiwa dan Cinta buat Tsu Feh Sofiah

Hari tu, aku diminta bagi "talk" dekat sebuah seminar akademik gitu di Kota Kinabalu, Sabah: Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam ke-2. Bukan mainnya diri kecik ni berbaris dengan orang-orang kuat seantaro nusantara (Malaysia-Indonesia-Brunei-Thailand), kau bayangkan, dah lah pulak nak cerita fasal "Islam". Jadi aku teringat filem yang aku amat sayangi, Tsu Feh Sofiah, dan aku jadikan kertas kerjanya (yang entah apa-apa, hahahaha). Nasib baik, SM Zakir puji, "Bagus ni Fadz," dan Prof. Madya Arbak Othman kata, "Menarik u punya paper." Wow, Cloud 9 jap (perasan).

Ini buat sang pengarah yang paling aku sayang, Dato' Rahim Razali:

Pandangan Alam dalam Filem Melayu:
Pemerian Unsur Alam Melayu dalam Tsu Feh Sofiah (1986)


Polemik filem Islam di Malaysia masih berterusan dengan sikap para penggerak industri filem negara masih tercari-cari dengan corak ataupun bentuk terbaik untuk mengilhamkan “filem Islam” yang sebenar, sebagai suatu reaksi terhadap kerancakan filem Islam komersial (turut dipanggil filem Islam pop) yang dikeluarkan saban tahun oleh para pembikin di Indonesia, bermula dengan Kiamat Sudah Dekat (2003) karya Deddy Mizwar, dan kemudian yang amat terkenal, Ayat-ayat Cinta (2008) (satu-satunya contoh filem Islam pop yang jelas dan selalu dirujuk) dan seterusnya 3 Doa 3 Cinta (2008), Ketika Cinta Bertasbih (I-II) (2009), Perempuan Berkalung Sorban (2009), Sang Pencerah (2010) Dalam Mihrab Cinta (2010), Di Bawah Lindungan Kaabah (2011) Negeri 5 Menara (2012), dan Sang Kiai (2013).
Persoalan antara tuntutan komersial dengan estetika seni dalam pembikinan filem tempatan bercirikan Islam, khususnya dalam tujuan “berdakwah” dalam filem serta pewarnaan naratif keislaman dibincangkan, dan masih menjadi polemik besar kalangan pembikin dan penggerak industri.
Beberapa pengkaji sedari awal, seperti cadangan Hizairi Othman, dan kemudian diperjuangkan oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Ku Seman Ku Hussein, telah menawarkan formula naratif dan falsafah filem Iran sebagai bingkai terbaik dalam membayangkan warna “filem Islam”. Pandangan ini jelas dijadikan wacana perkongsian kontemporari apabila pengarah filem Iran terkenal, Majid Majidi (dan filem-filemnya) dibawakan khas ke Festival Filem Islam Antarabangsa sekitar bulan Disember 2007, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Sekolah Animasi Darul Digital (diketuai Hassan Muthalib pada masa itu), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Suatu lagi wacana yang menarik berlaku pada 20 Januari 2011, dalam Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam di Dewan Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Dr. Muhaimin Sulam, Ustaz Fadlan Othman, dan Erma Fatima. Dalam perbicaraan ini, dengan jelas, moral dan didaktisme dalam Islam, khususnya dalam konsep dakwah secara sedar dan prasedar dibicarakan. Filem Islam dicitrakan “Islam” apabila wajah watak (pelakon) dibayangkan menutup aurat mengikut landas-landasan Islam serta menyampaikan suatu maksud atau ilmu Islam yang sarwajagat dan boleh dimanfaatkan. Hal ini diperjuangkan sendiri oleh Erma Fatima dalam konsepsinya dalam teater muzikal Natrah (2009) dan drama siri Tahajjud Cinta (2011). Namun konseptual yang diambil oleh Erma masih lagi dalam sikap eksperimental. Terdapat beberapa drama dan telefilem Erma yang juga mengikut acuan ini.

Pembikin Perdana Mengadun Maksud “Islam”
Sebenarnya, dalam sejarah perfileman Melayu, sudah ada beberapa filem yang dianggap mempunyai unsur Islam yang jelas oleh para pengkaji filem. Filem era Jalan Ampas, seperti Iman (K.R.S. Sastry, 1954), Semerah Padi (P. Ramlee, 1956), Isi Neraka (Jamil Sulong, 1960), dan Noor Islam (K.M. Basker, 1960) merupakan antara filem-filem Melayu yang memancarkan sikap moral dan bertujuan menyampaikan amal makruf nahi mungkar terhadap masyarakat.
Filem Islam tiba-tiba “muncul” pada era pascakemerosotan filem Malaysia pada tahun 2000. David Teo yang mula berkecimpung dalam dunia perfileman telah menarik kekuatan populariti kumpulan nasyid Raihan lalu mewajahkan mereka dengan suatu naratif Malaysia masa hadapan (tahun 2021), Syukur21 (2000). Filem ini sebenarnya melangkaui rekonstruksi filem “Islam pop” yang diperkenalkan oleh Indonesia (filem ini turut ditayangkan di Indonesia). Dalam filem arahan Eddie Pak ini, Malaysia digambarkan sebagai kaya dan dunia pertama, tampil dengan bangunan dan teknologi tinggi. Kebanyakan penggambarannya dibuat di Putrajaya yang belum dibuka waktu itu, serta sistem transit aliran ringan PUTRA yang belum dibuka kepada umum bagi memastikan citra futuristik itu dijelmakan.
“Pop” terhadap tema Islam ini didefinisikan kerana pengambilan kumpulan “popular” Raihan pada waktu itu, dengan cerita yang “mudah difahami penonton awam” sebagai tujuan komersial selain mendidik. David Teo dan para pengarah di bawah MiG meneruskan formula ini dengan mengambil pelakon yang muda, segak, dan popular sebagai teraju utama. Malah tahun ini (2013), Ustaz Azhar Idrus, seorang agamawan yang populis telah diajak berlakon dalam sebuah filem terbitannya, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dalam merencanakan populariti pendakwah sebagai teraju dalam filem untuk tujuan melariskan filem.
Cita-cita besar Syukur21 tersungkur kerana kelemahan cerita dan kecelaruan plot. Sikap klise dunia moden menghakis spiritual kaum Mukmin dibayangkan dengan jelas dan didaktik tanpa maksud cerita dan penceritaan. Sememangnya Syukur 21 kehausan struktur cerita yang bijak dan penandaan filem yang jelas. David Teo masih menerbitkan filem-filem bertemakan Islam. Tahun 2012 sahaja, David Teo telah memperkenalkan sebuah filem Islam pop, 7 Petala Langit, setelah membikin dua filem pop Islam sebelumnya, Syurga Cinta dan Aku Masih Dara.
Erma Fatima sebenarnya mula mewajahkan pendirian “Islam” dalam filemografinya apabila beliau membikin Perempuan Melayu Terakhir (1999). Wacana yang wujud dalam filem itu meneliti persoalan sekumpulan Melayu yang mencari maksud Melayu dan Islam dalam kerangka dunia moden dan materialis. Sikap Erma detik itu masih membuka persoalan “perbincangan”, malah filem tersebut banyak menyampaikan monolog-monolog panjang berkenaan “pencarian” hakikat yang paling utuh sebagai makna diri Melayu dan Islam. Terdapat konflik yang disampaikan dalam bentuk figura tokoh berserban Engku Leh lakonan Azri Iskandar. Engku Leh seakan-akan memberikan simbol fundementalis Islam yang terlalu “melangkaui” kesederhanaan dalam hidupan konsesi Melayu Islam Malaysia (pada era ini, banyak bayangan tersebut memasuki filem Malaysia, seperti Fenomena [1990] dan Selubung [1993]). Persoalan ini selalu sahaja menjadi tema dalam drama dan telefilem Erma yang seterusnya. Persoalan wasatiyah (kesederhanaan) banyak dijelmakan.  
Permasalahan filem dan drama Erma (walaupun terdapat beberapa yang amat baik dari segi bentuk dan estetika) masih terperangkap dalam memberikan “kata-kata” pada wataknya. Filem merupakan suatu medium yang bergerak dengan imej. Imej yang bergeraklah yang berkata-kata. Apabila sesebuah filem yang terlalu sarat mengutarakan kekuatan dialog yang panjang-panjang ataupun monolog lalu mengabaikan gerakan imej (rujuk filem-filem Terrence Mallick sebagai suatu perbandingan berlawanan), maksud bentuk filem itu sendiri dikhianati. Malah, filem tersebut bukan lagi filem (imej bergerak) tetapi drama radio (kata-kata yang bergerak). Malah persoalan ini yang masih menjadi perangkap terbesar dalam konteks filem dan drama Erma Fatima, lebih-lebih lagi dalam kefahaman estetika dalam perfileman dengan kefahaman estetika dalam Islam.
Namun begitu, Erma Fatima masih dikatakan menjadi antara “populis” yang merakyatkan bentuk filem beracuan “Islam”. Erma sekurang-kurangnya mencuba, dan sudah menambahkan nilai dalam hal mendepani dunia hedonisme yang selalu dikaitkan dengan filem dan industrinya. Kini, beliau dan suaminya, Bade Haji Azmi, berserta penulis Faisal Tehrani sedang menyampaikan suatu “gagasan baharu” dalam seni penceritaan hal Islam dalam bentuk televisyen dan filem.
            Faisal Tehrani terperosok dalam kancah perfileman Islam setelah mengkritik Gubra (2006), karya arwah Yasmin Ahmad (sehingga arwah membikin Muallaf (2008), khusus untuk mengusiknya dan gaya perdebatannya). Faisal memperkenalkan revolusi "filem Islam"nya dengan teliti dan revolusioner dalam Sebongkah Batu di Kuala Berang, sebuah buku yang agak kontroversial kerana mengaitkan ideal dan pengisian novel itu dengan pemahaman "Syiah” yang difahami Faisal. Manifestasi Faisal mengibaratkan si pelaku di hadapan kamera sesungguhnya patut menampilkan amal makruf nahi mungkar (di hadapan dan di luar kamera), sesuatu yang sama dipinta oleh Erma Fatima. Faisal mendalami lagi maksud “filem bercirikan Islam” dengan menyatakan filem, suatu hasil seni paling masyarakat seharusnya menyampaikan “kebenaran”. Kebenaran dalam erti kata Faisal wujud dalam filem yang seharusnya menangkap realiti (rujukannya, The Road to Guantanamo [2006]).
Filem “kebenaran” Faisal menyerupai maksud mimesis filem, ataupun sikap benar cinéma vérité (menangkap yang sebenar-benarnya). Lebih baik daripada itu dan dengan radikalnya, Faisal berani menjelaskan (dan hal ini melanggar kelaziman wayang singkapan Dr. Anuar Nor Arai mahupun Hizairi Othman, walaupun pernah cuba dimasyarakatkan oleh Mansor Puteh) kegunaan nahu dan istilah khusus dalam bahasa Melayu terhadap teknik dan gaya pembikinan filem. Kata "potong" menggantikan "cut" misalnya. Faisal menakrifkan, permasalahan pandangan alam Melayu-Malaysia sudah terpesong lalu mengakibatkan sikap pelakunya meminjam segala-galanya yang terwujud dalam pandangan alam yang sedia ada dalam filem Barat. Dan hal ini termasuk juga sikap terbuka secara fizikal dan pemikiran penggerak seni, yang dijelmakan dalam sikap hedonisme mereka yang agak terkenal dalam dunia artis hiburan. Maka bahasa Melayu yang sudah sedia tahu diislamkan (hal ini mengambil pendirian Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas) dengan nahu dan pendirian asas yang benar sahaja yang dapat menyampaikan maksud pandangan alam Melayu-Malaysia yang benar dengan hakikat kotemporari hidup masyarakatnya. Sikap “sopan”, “beradab”, dan “berilmu” dalam bahasa Melayu dapat memancarkan suatu bentuk teknik pembikinan dan aspirasi baharu dalam perfileman.
            Idealisme Faisal ini menarik tetapi masih menunggu untuk direalisasikan oleh para penggerak industri. Pada tahun 2012, Faisal ada menghasilkan sebuah skrip telefilem untuk pengarahan Bade Hj. Azmi, Pelangi Ada Tujuh Warna sebagai personifikasi idealisme tinggi Faisal Tehrani.
            Namun begitu, idealisme tinggal idealisme. Telefilem tersebut cuba menyampaikan rentak dan ekspresi “Islam”, namun tersungkur dalam sikap “bercakap-cakap”nya. Watak hanya bercakap dan bercakap tanpa menyampaikan maksud imejan. Hal ini adalah kerana, filem bukan novel, dan filem bukan radio.
            Filem mempunyai nahu dan tatanya yang tersendiri. Paling utama adalah imej, kemudian suara. Dalam imej, pancarannya juga kompleks, pencahayaan digaul dengan latar yang dipilih dengan terancang (ada yang tidak dirancang), meletakkan sudut letak yang betul buat watak. Kemudian syot-syot pelbagai, setiap sudutnya mempunyai ceritanya yang tersendiri, dipanggil tanda (sign), serta objek atau alat pelengkap (prop) yang bersama-sama dengannya. Kemudian gerakan, cakapan, lantas imej-imej itu yang pelbagai, disatukan dalam suatu suntingan yang membuat filem itu lancar seperti sungai mengalir.

Pandangan Alam Manusia Melayu
Bagaimanakah kita, anak-anak Melayu mencari makna dalam simbolisme; tanda dan penanda yang boleh dikait guna dalam filem? Tanda dan penanda penting dalam membayangkan kekuatan imej yang dihidupkan dalam filem, tidak nampak dibuat-buat (pretentious), tetapi wujud, indah, dan terselit secara tersirat (subtle) di dalam filem, lalu memunculkan falsafah, pemikiran dan pemahaman yang berkait dengan konteks Melayu yang Islam.
            Menurut Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh (2012), latar alam merupakan ruang paling jelas yang menawarkan suatu latar bagi manusia untuk berbudaya dan mencari maksud falsafahnya dalam dunia. Menurutnya:

Manusia yang menghuni dunia ini mahu tidak mahu harus membaca semua yang berlaku dalam alam – pada tanah, air, angin, langit, awan dan sebagainya ... Secara tidak langsung manusia menjadi pemerhati yang menanda dan mengingati fenomena atau perlakuan serta tabiat yang berlaku pada alamnya. ”
(Muhammad Haji Salleh, 2012: 2)

Setiap perilaku dan gerak alam menjadi penting dan memberi makna terhadap orang Melayu yang Islam. Unsur alam yang di”kutip” lalu diserta kaitkan dalam penulisan, lisan bacaan (pantun umpamnya), dan ukiran menjadi wadah yang membawa maksud-maksud tertentu. Dahulu (sebelum kedatangan Islam) kemungkinan mengisi maksud ritual dan simbol keagamaan, namun dengan kehadiran Islam, simbol alam menyampaikan metafora tertentu yang berkait kuat dalam falsafah dan penyampaian maksud, yang berkias mahupun praktikal dalam kehidupan masyarakatnya.  
Dengan kedatangan Islam, kelaziman motif ukiran Melayu lama berbentuk Garuda (yang berbekalkan pandangan alam Hindu-Buddha) di pangkal sampan nelayan berubah bentuk. Tidak ada lagi mata dan paruh, hanya awan larat berwarna garang berwarna-warni seakan-akan awan yang hidup dan tetap mengharungi angkasa dan angin laut.  
            Simbolisme Prof. Syed Naquib al-Attas terhadap tulisan jawi berbentuk tanda ayam jantan berkokok di depan kulit buku-bukunya sendiri menawarkan maksud falsafah yang tertentu. Ayam berkokok itu bukan sahaja menampilkan ayam mencari rezeki atau kisah ayam melihat malaikat (dikatakan, kalau ayam berkokok, kerana memuji Allah kerana dapat melihat malaikat lalu), tetapi penandaan kebangkitan pencerahan (yang sepatutnya) dalam pemikiran, nafas, dan roh manusia Islam (Melayu). Malah ayam berkokok adalah saintifik dunia Melayu melihat masa (rujuk berapa lama Puteri Gunung Ledang yang sebenarnya Islam memohon janjinya ditunaikan mengikut putaran ayam berkokok) - hal yang lagi mengikat dunia Melayu-Islam-Malaysia yang amat organik, begitu menyatu sekali dengan alamnya yang luas dan terbentang oleh Maha Pencipta.
            Oleh sebab kegagalan para pembikin kita memahami imejan yang sedia ada dan tersedia wujud dalam alam Melayu sedari Merah Silu memasuki Islam (sekitar abad ke-11), menyebabkan mereka meminjam imej dan bentuk filem yang alamiahnya lebih jauh daripada kita. Maksud imej sebegitu hanya sesuai dilihat atas kaca mata Barat (yang kadangkala diangkat sebagai universal atau plural) yang moden, tetapi jelas tidak membawa apa-apa maksud dan roh terhadap jiwa Melayu. Mungkin sebab itu, pembikin filem kita tidak tercapai akal, dan hanya dapat menampilkan Hang Tuah rebah bersalib dalam Puteri Gunung Ledang (2004) dan wajah kacak Remy Ishak dalam Nur Kasih The Movie (2011) dipukul badai pasir Sahara (dan sebelum itu, Jehan Miskin dipukul pasir Pakistan dalam Qaisy & Laila [2005]) tanpa apa-apa makna yang besar.


Tsu Feh Sofiah (1986)

Pemerian Alam Melayu dalam Tsu Feh Sofiah (1986)
Setakat ini, sebagai rujukan yang boleh dimasukkan di dalam pancakarya (canon) perfileman Malaysia berkenaan kekuatan memerikan Alam Melayu (Islam) dalam filem Malaysia, kita bolehlah merujuk filem arahan pengarah yang selalu dilupakan, Rahim Razali dalam Tsu Feh Sofiah.
            Rahim Razali merupakan seorang pengarah serius yang melawan kebiasaan filem-filem pasaran Malaysia era 1980-an. Rahim yang mempunyai latar belakang drama pentas, telah membawa banyak bentuk pandangan alam yang jitu terhadap maknawi Melayu dan Islam. Tsi Feh Sofiah merupakan filem perdana beliau yang memenangi filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-6, dengan merangkul enam anugerah, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik, dan lakon layar terbaik.
Filem berikut membuka kisah seorang doktor wanita Tionghoa, Tsu Feh (Jacqueline Mitchell) yang kembali ke pulau ibunya. Tsu Feh ke sana bukan sahaja kerana mengambil cuti daripada kesesakan dunia material bandar, tetapi cuba menyelesaikan wasiat yang diperturunkan oleh ibunya kepadanya, yakni mendalami Islam dan meneliti maksud Al-Quran. Sewaktu di pulau itu (dibayangkan sebagai Pulau Langkawi), Tsu Feh menyedari kedamaian dan ketenteraman yang pernah dirasainya sewaktu kecil apabila menemani ibunya dirosakkan dengan sikap politik dua kumpulan orang Melayu. Pada masa yang sama, Tsu Feh mengenali seorang guru yang duda lakonan Rahim Razali yang membukakan matanya terhadap politik di pulau itu dan cara terbaik untuk menyatukan kembali perpaduan orang Melayu di situ. Dalam masa yang sama, Tsu terus tertarik dengan cikgu itu dan memeluk Islam. Petanda keislaman Tsu Feh (yang kemudiannya dikenali sebagai Sofiah) menyebabkan pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan perpaduan umat Islam di pulau itu tercabar.
            Pembukaan filem klasik itu sendiri dengan jelas menampilkan maksud tanda dan penandaan alam Melayu bercirikan Islam. Kita dipaparkan dengan suatu kemalangan (makna kemalangan dalam filem adalah fungsi menarik dramatik, serta memberi keterujaan persembahan kerana sikap "kejutan" tragedinya yang banyak dimainkan dalam filem melodrama, serta berkaitan dengan pengubahan susur plot lantas mendatangkan motivasi yang "mengejutkan" atas kemalangan). Pada masa itu, Tsu Feh yang mahu tidak mahu (selepas dia berasa kalut dan tidak dapat meneruskan tugasnya di klinik) menolong seorang wanita Islam di dalam lori untuk melahirkan anak. Babak ini sengaja di buat dalam suasana malam, guruh berdentum dan hujan lebat. Hanya cahaya lampu suluh menyuluh doktor itu membantu si wanita hamil. Kita faham sesuatu di sini. Kita tidak nampak imej "darah", suatu imej refleksi umum yang "menakutkan" dan alamiah. Kita hanya nampak cahaya kecil lampu suluh, suara hujan, suara bimbingan doktor itu mengarah si wanita untuk meneran. Lalu bayi itu terkeluar, terdengar tangisan bayi yang kuat. Kelahiran berlaku. Ciptaan tercipta. Hidup. Suara apa yang berlaku selepas itu di dalam gelap? Dalam ketertiban, bayi itu diberi kepada seorang lelaki tua berkopiah (lakonan Haji Arshad, yang kita akan kenal sebagai lelaki berpengaruh di pulau yang akan dijenguk oleh Tsu Feh) lantas suara Azan yang kuat dan berkumandang, mendayu berdenting di telinga Tsu Feh. Suara runut tiba-tiba berkumandang. Dalam mis-en-scne itu, kita menyedari, Tsu Feh terpampan.
            Lantas imej seterusnya, cahaya, sinar, lautan luas dan bot yang melaluinya. Indah. Kuasa Tuhan, ciptaan-Nya. Tanda awal ini, yang kita amat kenal, diikatkan pula dengan suatu babak "kelam" warna biru, samar-samar yang menyingkap kisah lama Tsu Feh kecil mendekati ibunya yang barah yang dalam diam, mendekati Islam. Dalam babak (mendekati) klimaks, Tsu Feh masuk Islam sebagai Sofiah. Saat itu, Sofiah dilimpahi cahaya, dengan tudung lintup putih, bersyukur. Babak kemudiannya, Sofiah bersama Rahim Razali di tepi batuan, ombak menderu dan menghempas dalam kegelapan malam. Saat itu, Sofiah berkonfesi, merasakan, buat pertama kali dalam dirinya terasa sesuci seorang bayi yang dilahirkan. Kita teringat dengan babak awal filem yang juga malam, bayi dilahirkan. Kelahiran "Islam" Tsu Feh suatu misteri (penanda: gelap-malam), sebagaimana Tsu Feh/Sofiah merasakan "kelahiran bayi" pada babak awal yang dilakukannya sendiri. Paling menarik, kedua-duanya mendekati "air", yang awal, air hujan lebat (dalam tanda Islam dapat disimbolkan sebagai rahmat Tuhan yang sebenar, Kekuasaan Tuhan terhadap sesuatu yang dicipta-Nya, memberi rezeki), dan babak klimaks itu, ombak menghempas batu tempat Tsu Feh meluahkan perasaannya kepada Rahim Razali (kaitkan dengan babak keindahan tadi, Rahmat yang kini menyelubungi dan menyentuh Tsu Feh/Sofiah).
            Air menandakan suatu imejan yang kuat di sini, menyampaikan maksudnya yang benar seperti ayat Al-Quran yang berikut:

“Dia yang utuskan angin, membawa berita gembira di hadapan pengasihan-Nya sehingga apabila ia membawa awan yang berat, Kami halau ia ke tanah yang mati, dan dengannya turunkan air, dan keluarkan dengannya segala buah-buahan. Begitulah Kami keluarkan orang yang mati supaya kamu mengingati.” (Surah Al-A’raf:57)

            Rahim Razali memahami sufisme Melayu Islam dengan alam hakikat yang penuh misteri. Pulau yang dihirup udaranya oleh Rahim Razali dan saudara-maranya adalah pulau sengketa (masa itu, parti PAS dan UMNO bertelagah, era Anwar Ibrahim mula memasuki UMNO). Dua kumpulan, satu ekstrem agama dan satu lagi moderat/sederhana saling bertelingkah. Sikap ketidakwarasan orang kampung di pulau itu (lebih-lebih lagi sikap ekstrem mereka) menyebabkan Rahim Razali ingin berbuat sesuatu (the voice of reason), namun selalunya gagal. Dalam sebuah babak, sang ibu Rahim Razali berteleku dalam tafakur diri di tepi pantai suatu pagi, memandang ombak. Si ibu seperti suatu kisah lama si majnun yang merindui bunyi ombak. Si ibu berbicara tentang mimpinya bahawa ada "wali" yang akan datang menyelamatkan pulau itu, keluar dari perut laut. Rahim sengaja meletakkan si ibu di tepi laut, menandakan signifikasi laut (air) sekali lagi (yang membawa ramalan kehadiran Rahmat ke pulau itu).
            Satu babak berlaku. Tsu Feh yang berenang seorang, tiba-tiba lemas kerana dihempas badai laut yang bergelora. Rahim Razali yang sedang memerhati pantai ternampak, lantas melompat masuk ke tengah ombak ganas. Tsu Feh diselamatkan. Rahim tidak menyedari, wanita itulah "penyelamat" yang dikatakan ditemui ibunya dalam mimpi. Misteri ini hanya "wujud" kepada mereka yang "yakin" dan percaya kepada "misteri" Kerja Tuhan, sepertimana kemisteriusan Khidir apabila Nabi Musa a.s. cuba berguru dengannya.
            Pada klimaks filem (yang antiklimaks bagi ramai penonton), Tsu Feh yang kini Sofiah dicolek dan dibawa kembali ke tanah besar oleh sekumpulan penjenayah yang merancang untuk memporak-perandakan pulau itu. Sofiah hilang, lenyap tanpa jejak dan kejar Rahim Razali dan orang kampung yang menyayanginya. Lantas laut terus membadai ombak besar, memukul tiang jeti. Wajah Rahim Razali sedih, "kekasih"nya hilang (rujuk dengan kita berkekasih dengan Tuhan). Benarlah, dia sedar, kata-kata ibunya, si wali itu datang dengan misteri dan kembali dengan misteri, sepertimananya Islam. Rahmat Tuhan yang misteri dan berkuasa, terus memenuhi imejan layar, tidak memberi apa-apa jawapan tetapi wajarlah bertafakur kerana mengetahui setiap ketentuan-Nya punya hikmah yang terselindung. Dan terselindunglah ia di balik awan dan langit yang mula meremang. Lantas runut bunyi M. Nasir nyanyian Ramli Sarip berkumandang: "Kaulah Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, tiada aku tanpa-Mu."

Kesimpulan
Penulis cuba menitip sedikit titisan air yang dijelmakan dalam Tsu Feh Sofiah. Namun dengan jelas, paparan pandangan Alam Melayu yang tersirat secara puitis dalam filem itu memekarkan maksud-maksud yang tidak lari daripada kefahaman alam Melayu yang Islam. Hal ini sewajarnya diteliti untuk menyedari, terdapat beberapa filem, lampau mahupun terkini yang sebenarnya, tersimpan kod-kod imejan yang menyenangi kesedaran dan pengalaman yang dirasai oleh orang Melayu jika dibandingkan dengan kebanyakan filem kontemporari yang wujud sekarang. Perkara dan unsur sehalus inilah yang harus didalami oleh para pembikin Malaysia agar menyedari jambatan yang sekian lama dirobohkan, dapat dicantumkan, agar penonton dapat mengikat maksud makna dirinya dengan pandangan alam yang mewakili latar belakangnya. Jalan yang dahulunya sesat dengan pelbagai bentuk “isme” dalam perfileman dapat dikembalikan dengan kefahaman unsur tanda-penanda ini. Penulis skrip, pengarah, dan penerbit harus mengambil serius perkara ini jika berkobar-kobar untuk memahami “misteri” keindahan filem Iran, oleh sebab filem Iran yang ternampak mudah sarat dengan imej-imejan yang tersirat halus membawakan makna dan pengertian. Yang sebenarnya, alam Melayu kita juga tersarat penuh dengannya, hanya menunggu untuk disunting dan dijelmakan dalam layar yang bermakna.


RUJUKAN

Buku
Fadli al-Akiti, 2013. TontonFilem, Kuala Lumpur: Suara Kata.

Faisal Tehrani, 2012. Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan, Kuala Lumpur: Unit Buku Harakah.

Faisal Tehrani, 2011, Sebongkah Batu di Kuala Berang, Kuala Lumpur: PTS.

Hamzah Hussin, 1997. Dari Keris Filem ke Studio Merdeka, Bangi: Penerbit UKM.

Muhammad, Amir, 2010. 120 Malay Movies, Kuala Lumpur: Matahari Books.

Muhammad Haji Salleh, 2012. “Pandangan Alam Manusia Melayu”, Pandangan Melayu Pancaran Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pautan

Ibnu Hasyim, “PAS Akui Pengarah Abu Hassan Morad dan Erma Fatima”, Ibnu Hashim 22 Januari 2011.
http://www.ibnuhasyim.com/2011/01/pas-akui-pengarah-filem-abu-hassan.html (26/10/2013)

Ku Seman Ku Hussein, “Poetic Justice dan Filem Melayu”, Utusan Online 30 April 1998.
http://www.filemkita.com/maklumat/artikel/artikel_06.html (26/10/2013)

“Jadikan Filem Media Dakwah”, PASPB 21 Januari 2011. http://paspb2.blogspot.com/2011/01/jadikan-filem-media-dakwah.html (26/10/2013)

“Unsur Syiah dalam Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang”, Suara Jagat: Membasmi Ajaran Sesat 19 Disember 2011. http://suarajagat.wordpress.com/2011/12/19/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-1/ (26/10/2013)