10 January 2013

Juvana(2013): Manusiawi Tersasar



Semuanya macam menunggu seperti sebuah filem yang akan menggegarkan jiwa dan emosi.

Filem ini langunsangan kesinambungan drama siri Juvana yang amat terkenal dan dikenali, serta diiktiraf. Kisah beremosi dan bijak dalam ikatan semangat berontak anak muda ini telah menyentuh beribu para penonton Malaysia waktu ini.

Tindakan Filmscape, ibu syarikat pembikin Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ini (penerbit yang cemerlang membawa perubahan penonton TV kita menemui isi-isi bermutu) setentunya satu pilihan yang ditunggu-tunggu peminat. 

Para pelakon mudanya yang berwibawa, mendapat pujian pengkritik serta peminat baharu, melancarkan kerjaya mereka dalam bidang ini, dan kehadiran mereka "yang disayangi" ini kerana watak-perwatakan bulat dan memang menjadi sesuatu yang diperkatakan.

Kemudian kita ada Alfie Palermo, antara penulis skrip muda yang aku kagumi sedari drama siri Tower 13 yang pernah disiarkan di TV3. Penulis ini kenal dengan cerita, watak dan bahasa filemnya, bijak dan selalu memberikan suatu imejan dan imbuhan latar yang segar buat aku. Di sini, dia kembali meneruskan penulisan filem ini.

Kita juga ada Faisal Ishak, antara anak didik Kabir, yang mana sudah teruji kekuatan pengarahannya dalam drama siri Juvana ini. Dia bertindak sebagai pengarah filem ini, melangsungkan suatu "perkahwinan" pembikinan yang memang amat ditunggu-tunggu.

Jadi mengapa selepas selesai menontonnya, mulut aku berkumat-kamit meleter dalam diam dan masih menggeleng-geleng kepala?

Aku sampaikan sebuah babak dalam filem ini. Babak itu memaparkan sekujur manusia atas katil pesakit. Seorang jururawat cantik menghampirinya. Dengan selamba (tanpa reaksi natural seorang jururawat) dia memerhati dan memerika pesakit itu, dan jelas pesakit itu sudah mati. Wajahnya tetap biasa, tanpa apa-apa kejutan, menyedari pesakit itu sudah mati. Mulut aku terlopong.

Babak itu sahaja terlalu absurd, seakan-akan komedi yang menyakitkan di tengah-tengah cerita yang serius.

Aku dapat tahu, filem ini diminta untuk melalui penggambaran 17 hari. Adakah ini masalahnya? Bagaimana pula dengan perancangan? Tidakkah sang pengarah diberi peluang untuk melakukan beberapa rakaman (take)? Lihat sahaja babak awal pembuka filem ini, satu penanda apabila para juvana Wira Bakti dibawa masuk ke dalam lori. Lori bergerak. Mereka bercakap dan kerana suaranya begitu tidak jelas, kita tergamam, kemudian, seakan-akan sesuatu berlaku kerana para juvana dalam lori itu seakan terpinga-pinga, bunyi brek tiba-tiba dan seakan-akan sesuatu yang terlanggar. Babak sambungan memaparkan tayar lori itu "pancit" rupanya. Babak mudah itu sahaja tidak memberi aku keyakinan.

Filem ini bergerak daripada sambungan kisah Daim (Zahiril Adzim) yang bebas dan ingin memulakan hidup baharu di sebuah sekolah menengah, dalam dua bulan lagi akan mengambil SPM. Konflik ditimbulkan, seperti biasa apabila ada budak kaki buli (yang kononnya berlagak kacak) memilih Daim sebagai "mangsa", lebih-lebih lagi Daim kelihatan intim dengan seorang budak pandai, Sara. Daim selalu mengusung sebuah novel Alexandre Dumas, The Count of Monte Cristo. Ah, ini bukan calang-calang rujukan, juga kemungkinan klu mengapa filem ini dibikin. Bukan sahaja kisah novel Perancis itu berkenaan seorang banduan yang bebas dari penjara menghadapi hidup baharu, tetapi bagaimana dengan romantisnya dia mengambil pilihan membalas dendam atas kebebasannya yang diragut, dengan suara berontak untuk mencetuskan jihad terhadap tokoh dan sistem yang menzaliminya. Dalam perjalanan itu, dia menjumpai keindahan yang lebih bermakna, kemanusiaan.

Hal ini sahaja sudah tentu membuat kita kagum, dan sememangnya, ada motif-motif tertentu dalam filem ini yang menimbulkan semangat itu. Begini, drama siri ini dipandang mulia kerana mainan analogi ini, yakni generasi muda yang selalu disalah erti (dan di sini memang dikondem) lantas belajar tentang "hidup" dalam pelbagai nilai dan nafasnya, paling jelas adalah kuasa politik dan humanisme. Sifat sistem "juvana" itu sendiri satu metafora untuk "cengkaman daripada kebebasan" terhadap anak-anak muda itu (secara fizikal dan rohani). Semua ini menjadikan drama siri itu menarik dalam genre penjara. Dan kesinambungan ini melihat kembali titik-titik itu, dan di sini diperlihatkan lagi dengan kecaman "fasis" terhadap innocent. Ada suatu yang menarik apabila para juvana Wira Bakti bertukar sekolah pemulihan. "Perubahan" itu sendiri seakan menandakan "perubahan regim" yakni ura-ura yang akan berlaku datang PRU kali ini. Ah, suatu kiasan yang menarik, tetapi bolehkah filem ini membawanya?

"Perubahan" ini juga ditujukan kepada sifat optimis (dan begitus manusiawi) bahawa walaupun manusia boleh berubah jadi "jahat", yang jahat itu juga boleh berubah menjadi "baik". Unsur "taubat" merupakan kekuatan dalam agama Islam dan hal ini diaplikasikan. Realiti "taubat" ini menarik dengan memaparkan watak Daim yang sudah keluar itu mendepani realiti masyarakat yang hanya melihat "hitam putih" dunia. Ini suatu mesej sosial yang meyakinkan.

Para pelakon mencuba dan bagi aku, agak seronok melihat lakonan mereka, terutamanya Johan Ashaari dan Syazwan Zulkifli. Yang lain juga menimbulkan mood realisme dan jujur dalam watak mereka. Aku sedikit kurang gemar dengan lakonan psiko Sharnaaz yang bagi aku terlalu terbawa-bawa, langsung kelihatan karikatur daripada menakutkan (seakan-akan filem ini menjadi filem Tamil).

Rasa, suara dan imejan, aduh, begitu 70-an, mengapa? Semacam para pembikin menggunakan pita-pita seluloid lama simpanan Sabah Films. Ada babak-babak begitu malas malah kelihatan syot panjang tanpa gerakan sudut pandangan, begitulah sahaja cara pengarahnya menggerakkan latar dan cerita apabila watak-watak "keluar" dan "masuk" daripada bingkai (frame) gambar yang disyot, hal ini menjengkelkan (ada satu syot sudut pandang Tuhan yang memaparkan sekolah dan kemudian surau dan kita dapat dengar suara orang bercakap. Babak ini amat menyakitkan dan dingin, tidak adil buat penonton) apabila terus-menerus digunakan hingga akhir. Gaya ini menggerutu dan lelah. Hal ini dirosakkan lagi dengan tata bunyi yang paling buruk berlaku dalam filem Malaysia tahun ini. Ada beberapa babak aku semacam berpayah ingin mendengar ngomelan para pelakon, dengan feel syot "real" semacam Heaven's Gate(1980)! Adakah kerana awal-awal penggambaran melalui masalah teknikal? Atau memang panggung rosak sistem suara? Ini satu masalah yang sebenarnya sangat membahayakan.

Sebenarnya, hal itu (tak dengar) tidak ada masalah, jika imejan yang ditayangkan sudah begitu kuat dalam perwayangan (sinematik). Inilah masalah paling besar filem ini. Aku tidak menonton wayang (sinema) yang sepatutnya, aku menonton "talking heads" dan drama siri yang diperpanjangkan. Tidak ada objektifikasi imejan yang boleh kita pegang sebagai penanda membawa filem ini (pengarah cuba dalam langit dan jaring-jaring jel/pagar/kandang tetapi imejan ini terlalu tidak diambil peduli untuk dilihat sebagai penting), menjadi "suara hidup" layar. Bunohan contohnya, bukan sahaja mendapat kekuatan objek layar dan gelanggang muay thai, tetapi latar kampung itu semacam "watak" yang tersendiri. Filem ini sepatutnya "menghidupkan" latar sekolah itu sendiri sebagai "watak kedua", tetapi hal itu tidak berlaku.

Kemudian, cakap-cakap-cakap. Fine. Aku tiada masalah jika ia dibikin dengan dramatik tertentu. Aku tahu, filem ini sebuah melodrama dalam perangkap genre penjara. Ada beberapa filem cakap-cakap-cakap yang baik, My Film with Andre(1981) dan 12 Angry Men (1957) merupakan contoh tertentu. Tetapi filem itu "memahami" bukan sahaja kerana diadaptasi daripada drama teater. Filem ini dasarnya dibawa daripada drama siri. Adalah baik jika pengarah dan penulis skrip "meninggalkan" gaya dan sentuhan episodik bersiri dan mengambil kefahaman yang mendalam dalam memahami tempoh, latar, objek dan perlakuan untuk menggerakkan cerita. Ini wayang, bukan lagi televisyen. Bagi aku, Kami sebuah filem contoh yang berjaya membebaskan dirinya daripada bersangkutan dengan drama sirinya, punya inuendo dan gaya tertentu yang menyebabkan kita menyedari kita menonton sebuah "filem", dan ia berdiri dengan sendiri.

Pun begitu, aku puji juga Alfie dan Faisal kerana memberi beberapa adegan kagum yang berlaku dalam sejarah filem kita. Yeap, aku menangis. Babak paling meyakinkan berlaku dengan seorang watak mendepani al-Quran lalu menyatakan "Allah terima tak aku apabila aku tidak boleh membaca al-Quran". Babak tu memang babak meremang bulu. Kemudian terdapat beberapa babak sebab-akibat yang menarik, yang memerlukan suatu keyakinan simpati yang kuat, berlaku selepas satu watak dicederakan. Walaupun gayanya melodramatik, sifat sarwajagat manusiawinya amat dirasai, dan berjaya menyentuh. Aku juga suka perkara-perkara kecil yang dibuat pengarah yang berkenaan dengan "kebocoran dalam sistem mengawal", menunjukkan bahawa sang juvana boleh sahaja lepas lari (escape) dari sistem yang menzalimi mereka, tetapi mereka mengambil tindakan yang lebih matang dan duduk dalam sistem tersebut. Sifat ini sahaja suatu iktiraf positif tentang suara dan sifat anak muda kita yang sebetulnya matang dan menyedari hakikat realiti hidup yang mencabar. Ini hal-hal kecil yang aku puji.  

Ada beberapa babak, sekali lagi menunjukkan kareografi aksi kita masih lemah, mungkin juga kerana kepondanan LPF kita memberi keyakinan pembikinnya untuk menunjukkan apa yang mereka rasa perlu. Ya, aku dapat bayangkan babak-babak itu lebih menjadi jika ia ditunjukkan bukan disamarkan. Ini buat aku kesalahan LPF kita, bukan para pembikin.

Runut bunyi filem ini hancur dan bercelaru. Hanya diselamatkan setiap kali lagu tema drama siri ini berkumandang pada awal dan akhir kredit.

Filem ini memang banyak pincangnya, dan masih tidak mahu keluar daripada kepompong selamatnya berkenaan "ini sebuah sambungan drama bersiri". Tetapi aku yakin para peminatnya yang berjuta akan puas dengannya, dan setentunya filem ini dibikin untuk itu, memuaskan dahaga para peminat tegarnya melihat kembali Daim, Botak, Apek, Ayam, Kicap dan banyak lagi beraksi di layar.

Klasifikasi Juvana: P13, Beberapa babak ganas mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure The Curve. [AKAN DITAYANG 24 JANUARI 2013]

3 comments:

OtakMovie said...

Daim memegang buku Count of Monte Cristo? Masa saya menonton siri tv ini, pada suku ketiga penceritaan, ada glimpse Shawshank Redemption dalam cerita ni...tapi rasenye semua orang perasan kot. Dlm shawshank pun ade sebut pasal buku Count of monte cristo ni jugak...maybe ianya diilhamkan dari Shawshank...dan adaptasinya agak menarik juga. At least Juvana adalah satu bentuk kelainan yang sangat dicari-cari penonton malaysia...

Aliff Ihsan Rahman said...

Baru menonton di tempat yang sama di Cineleasure. Juga ada masalah yang sama, audio yang kurang bermutu. Bunyi stereo seumpama menonton layar besar di mamak Fazleena Maju. Tak pasti samaada masalah teknikal pembikinan atau pagawam. Setuju ngan fadz, lakonan Lan Todak amat terpisah dari segi gayanya dengan watak-watak yang lain. Juga terganggu dengan itu.

**Shawshank akan terus jadi rujukan mana2 filem penjara untuk beberapa tempoh tahun lagi kerana kerelevanan nilai2 kemanusiannya.

indraputra said...

Fadz, baru sempat menonton semalam. Pada saya ia sebuah karya yang baik dan boleh berdiri sendiri serta menghiburkan. Dan saya suka sekali bila filem ini dibikin selepas selepas jarak masa yang agak lama selepas drama sirinya. Mungkin ada org suka drama sirinya. Pada saya, pemeran semua watak pelatih dalam drama tv Juvana masih 'kayu' lakonan mereka. Jarak masa selepas drama tv tsbt memberi peluang semua pelakon berlatih dengan berlakon beberapa drama lain. Lakonan mereka tampak berbeza di layar. Bayangkan kalau ke kayu an mereka di layar lebar?
I always like ur writings. Jaga kesihatan baik2 ya... xoxo