22 March 2013

Mengapa Django Unchained(2012) Perlu Ditonton Kembali

Semalam aku tonton Django Unchained, sebuah filem yang masuk Oscar yang mana pihak LPF kita amat baik dengan tidak memotong apa-apa bahagian untuk keselesaan peminat Tarantino.

Terima kasih LPF!

Aku menonton hal itu kerana "sejarah tercipta" itu, juga mana-mana filem yang masuk Oscar tahun ini memang aku akan tonton di pawagam (kerana aku akan mendapat kenikmatan sinema yang lain daripada lain).

Filem ini, walaupun pada awalnya sudah aku tonton di DVD, dan aku tidak "menyangka" ianya boleh merangkul skrip terbaik dan pernah pengarah terbaik (Bafta?) yang mana aku tidak berapa bersetuju (kerana aku tidak suka filem-filem yang menghomaj dan merujuk, yakni tidak asli, menang) dan apabila menonton kembali di pawagam aku, aku terdiam, dan menyedari adikaryanya.

Walaupun ini sebuah "spaghetti western".

Menonton filem ini, sekurang-kurangnya kita perlu kenal idola bintang John Wayne berserta kejayaan John Ford membawakan filem-filem koboi yang berat dan berestetika tinggi. John Wayne pada zaman kegemilangannya merupakan arketaip keperwiraan, identiti dan justifikasi orang kulit putih Amerika menduduki Amerika (rujuk perselisihan "pendatang" Amerika dengan orang asli "Red Indian/Injun" Amerika). Romantisme (rujuk latar, pergerakan plot dan sifat keperwiraan Wayne) melatarkan dunia Wayne-Ford menjustifikasikan "mengapa latar kosong Amerika perlu dijarah". Ford akan sentiasa memainkan latar luas dunia padang tandus Amerika dengan sang perwira dengan pistol/senapang atas kuda. Lihat imejan "romantis" ini dengan persamaan latar romantisme sang perwira ksatria dengan pedang atas kuda sebalik gunung-ganang untuk menyembelih sang naga di balik gunung (kadang-kadang untuk menyelamatkan sang puteri, rujuk The Searchers).

Orang asli Amerika yang "sememangnya" orang "tanah tumpah" landskap itu, diperkecilkan, diperasingkan sebagai "orang luar" (the other). Hanya beberapa filem koboi yang memberi "suara" terhadap golongan paling diminoritikan dalam sejarah perfileman Hollywood ini, itupun sudah "ditamadunkan" dengan boleh berbahasa Inggeris dan memakai seperti mat salleh. Kecuali dengan anti-western Dances With Wolves dan beberapa lagi.

Dalam Django, semua ini dijungkingbalikkan.

Pertama, dengan kritis, Tarantino mencitrakan landskap Amerika di Selatan (southern, yakni Texas, Mississipi, Lousiana) tanpa pembabitan mana-mana ornag asli Amerika dengan sengaja. Ini bukan filem berkenaan konflik identiti/pencarian identiti/hak/pendudukan itu. Ini berkenaan mat salih/orang kulit hitam/penghambaan.

Dr. Shultz peran si pelakon hebat Christopher Waltz (dan sememangnya patut menang Oscar) merupakan "pendatang" dari Jerman, sang doktor gigi (budaya tinggi) berprofesyen pembunuh upahan (budaya rendah) di landskap Amerika sedari 5 tahun. Dia tidak pernah melupai jati diri bangsanya (apabila menemui si hamba boleh bertutur Jerman, walaupun ini sandiwaranya, dia menyatakan kedamain jiwa, juga beberapa rujukan legenda Jerman dan ketelitiannya terhadap komposer Bethoven, seorang tokoh Jerman yang hebat sebagai rujukan budaya tinggi Jerman). Dia, mendepani masyarakat orang kulit putih yang "melupai jati diri" atau "syok-syok" ikut "pandang ke Eropah" yang sia-sia atau PALSU (hal ini aku rujuk pengarang Henry James mengkritik masyarakat kulit putih Amerika era itu, terima kasih Wan Azriq buat ini, hal ini boleh rujuk bagaimana pada zaman ini, tokoh pengarang seperti Oscar Wilde dari Ireland/Britain dipanggil untuk memberi ceramah di serata pekan/bandar baharu dunia koboi untuk "menanamkan budaya tinggi" kalangan masyarakat Amerikanya. Ini menarik jika kita selidiki dasar "pandang ke Timur" era Mahathir).

Palsu di sini terdiri daripada beberapa individu watak dan pekan. Pekan koboi itu sendiri "palsu" seakan-akan "pakai siap" (rujuk bagaimana pekan-pekan ini boleh bangun dan kemudian mati menjadi pekan berhantu/ghost town). Ada watak yang konon lebih Perancis daripada Perancis (rujuk watak Leonardo) jika dibandingkan dengan jati diri kuat Dr. Shultz. Inilah yang di"benci" Dr. Shultz.

Dalam kesemua kepalsuan ini, muncul Django Freeman (Jamie Foxx), seorang hamba abdi kulit hitam yang dilepaskan Dr. Shultz. Ah, ini menarik. Konflik dan perbandingan kini berlaku terhadap si pendatang kulit putih yang "mengaku" tanah Amerika mereka punya, dan sang hitam Django yang "dipaksa" turun-temurun untuk bekerja di tanah itu.

Django, yang kita akan kenal identiti dan sejarahnya sedikit demi sedikit ("Hey, big problem maker..") sebenarnya sedang "dibina" oleh Tarantino secara licik sebagai "identiti sebenar" seorang AMERIKA! Django dipaparkan (tendang ke tepi John Wayne!) sang hero romantis untuk pergi menyelamatkan isterinya daripada sang naga (naratif ini diceritakan oleh Dr. Shultz sendiri daripada kisah epik/legenda lama Jerman berkenaan Brromhilda). Daripada pengalaman, kefahaman dan pembangunan kendiri Djangolah, identifikasi Amerika tercipta: penipuan, Kristinasi, kekejaman, mencari hak dan harapan individu, berdikari, penuh rasa kemerdekaan, kemanusiaan.

Tarantino turut membantai dua buah filem "bersejarah" Amerika, The Birth of Nation (1915) dan Gone With The Wind. Dalam babak filem ini, si tauke ladang yang ditipu rupa-rupanya tokoh besar Klu Klux Klan (rujuk persamaan fizikal tokoh dalam filem bisu DW Griffith tersebut dengan filem ini). Bukan sahaja Tarantino mempersendakan mereka, dalam suatu babak naik kuda (lihat, latarnya malam, yang mana Griffith romantikkan sebagai sang perwira Jerman lama ala Wagner/Valkyrie) dipasang runut bunyi lagu Wagner (yang kita fahami sebagai alat propaganda etnokuasa Jerman/Barat/Aryan/Fasis era Nazi/Fasisme dalam mengangkat kenegaraan/patriotisme "anak tanah tumpah", ya: bumiputera Jerman!). Hal ini dikonflikkan dengan individu "suci" Dr. Shultz dari Jerman! Sekali lagi: Klu Klux Klan membawa agenda palsu/salinan yang dibuat-buat, bukan asli.

Amerika ditandai dengan perkara yang bersalinan (fotokopi) dan meniru!

Inilah kekuatan spaghetti western ini! Ya, sebab genre ini juga merupakan "salinan" (pembikin Itali/Latin membikin filem ini di luar konteks tujuan meraikan kenegaraan) dan salinan ini bukan sahaja menghomaj tetapi mempersendakan genre/filem itu. Hal ini dipapar dengan licik sekali apabila Tarantino sendiri berlakon(!) pada babak stand off (babak ini amat terkenal dalam genre western mahupun filem-filem samurai Akira Kurosawa yang juga menyalin struktur genre koboi ini) sebagai pendatang British yang diperbodohkan oleh Django (si wira/antiwira mempersendakan budaya teringgi/pendatang "asli" si kolonial/padangan Amerika terhadap Britain sebagai "abang kandung"). Maka Django, yang mendapat "tunjuk ajar" terbaik seorang pendatang (Dr. Shultz) yang akhirnya menjadi identifikasi negara Amerika yang sebenar dan diraikan (perjalanan hamba abdi kepada kemerdekaan orang kulit hitam merupakan sejarah paling sah Amerika Syarikat bagi Tarantino).

Penyindiran Gone With The Wind juga menraik apabila meletakkan southern belle dalam landskap Candyland yang mana menjadi tempat "simpanan" isteri Django. Rujuk si wanita, kakak Leonardo dalam filem ini sebagai "si budaya tinggi" ala Scarlet O'Hara (pendatang Ireland) dan si hamba/nanny gemuk hitam menyerupai pemenang Oscar, Hattie McDaniel. Rujuk juga sang valet rumah filem itu dengan peran dipegang Samuel L. Jackson. Rujuk juga rupa bentuk rumahnya yang merupakan "Tara" si Leonardo dan kakaknya. Dua syot menarik berlaku. Si Django dan isteri bercium di balik remang senja, antara syot terkenal Gone With The Wind yang mana dijukstaposisikan dengan syot luas si kakak Leonardo mengebumikan adiknya yang juga syot rujukan filem lama itu (anak Scarlett terbunuh naik kuda). Malah dengan kritik, watak-watak pemikik rumah agam itu diberi "bayang-bayang" atas tanah. Kemudian showdown dengan api membara (rujuk syot pembakaran Atlanta). Tarantino "meranapkan" romantisme, kecekalan, hak untuk membangunkan tanah/kendiri/budaya selatan Gone With The Wind.

Ya, Tarantino wajar memenangi apa yang beliau menang tahun ini.

Sinematografinya cantik (dan memberi homaj beberapa filem besar John Ford), runut bunyinya sedap dan hebat. Dialognya pedas, pantas dan bermakna, punya beberapa lapisan dari segi rujukan filem, juga penggerak cerita. Suntingan kuat. Suatu sinema Tarantino yang indah. Pembikin kita perlu belajar daripada filem ini jika mahu membuat filem "homaj".

Ini suatu keberanian, dan perlu diraikan.

Antara filem terbaik tahun lepas.

Klasifikasi Django Unchained: 18, Babak ganas, telanjang dan kata kesat yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur 18.
DITONTON DI TGV, Wangsa Walk.

6 comments:

MSJ said...

Memang benar ini adalah antara filem terhebat 2012. Sehinggakan air mineral 1.5L yg saya seludup ke dalam panggung tak disentuh pun walaupun awalnya terasa dahaga. Gabungan pelakon, arahan dan muzik yang hampir sempurna.

Sayang, saya tak jumpa soundtrack-nya di kedai.

Awak tonton di Wangsa Walk hari apa? Saya di situ menonton cerita ni 14 Mac pukul 9. Entah-entah kita dalam satu pawagam. Haha.

zulazahari said...

Rasanya blaxploitation western mungkin lebih sesuai kot daripada spaghetti western.

fadz said...

hhm, good point there zulazahari!

Henzy ask you to publish to iPad with Aiyo said...

Chris Waltz mmg mengagumkan. Babak permulaan di mana beliau bebaskan Django sudah membuatkan saya tertawa dan beliau jadi watak penggerak utk saya ikut dlm movie ini. Watak beliau lebih besar drpd Django.

Apapun, filem bagi saya lebih besar drpd Argo, Lif of Pi dan Silver Lining (jika ikut nominasi Oscar). 2 jam lebih menonton saya tidak jemu malah saya kecewa bila babak pemburuan musim salji mereka tidak dipanjangkan.

Saya belum tonton Inglorious. Filem ini jadi alasan yg baik utk saya cari karya Tarantino itu. Oh, dan Waltz!

Hamka said...

Inglorious buat kau sesak nafas dengan Waltz yang psyko giler, adohai..

Aurora said...

Terima kasih infonya