15 May 2013

KIL (2013): Seperti Denyaran Cahaya

Nota: Jangan baca No.9 jika belum tonton filem ini.

Ridhwan Saidi pernah menyatakan, filem Hollywood itu berlapis-lapis macam kek lapis.

Dalam ulasan kali ini, aku mahu menyampaikan ulasan ini dalam hal yang berlapis-lapis mengikut nombor. Persoalan filem dan perfileman pun berlapis-lapis bukan?

1
Ada kecantikan dalam latar, pengarahan seni, dan mood filem ini. Runut bunyinya bagi aku, terdapat bahagian-bahagian yang mencapai emosi kesatuan penonton-imej. Ini penting, untuk feel. Secara luaran, ini yang paling berbuah dalam filem ini, dan sepatutnya inilah unsur utama yang membantu kau mengikuti filem ini sampai ke akhir.

2
Aku tidak menyentuh cerita lagi.

Aku ingin menyentuh semangat filem ini.

Ini filem yang tidak berbohong apabila ia menggelarkan dirinya: A feel good movie about suicide. Dalam suram dan kelam wajah Redza Minhat dan Christine Suzanne, timbul harapan dalam oren, epal, foto, dan ais krim.

Hidup memang celaka tapi kau wajib meraikannya.

Akil (Redza) "bernasib baik" kerana setelah bercuba-cuba untuk membunuh diri, dia menemui Zara (Christine). Mula-mulanya seakan suatu filem soft porn milik Hitchcock apabila Akil "mengikuti" Zara dari jauh, dan Zara "mengejutkan" Akil dari dekat. Ada ketegangan seks. Malah ada babak halusinasi (mencuit) apabila ketegangan seks ini menjadi dalam ruang "terperangkap" lif yang kelabu metalik lalu Zara "meraba" Akil. Serius penonton yang loner akan tersinggung. 

Mata penonton menjadi mata kedua-duanya (Akil & Zara). Ada sebuah perspektif yang tiba-tiba mengganggu penonton pada pertengahan cerita apabila perspektif Akil "hilang" lalu timbul Zara membeli buah-buahan (ah, ada lapisan lain secara plot antara Zara-wanita tua).

Kita juga diberi peluang menonton sebuah filem dalam filem arahan Johan Iskandar (Hasnul Rahmat). Ini deep? Kau jangan tertipu, filem ini sebenarnya mudah, rujuk bual-bicara filem Akil-Zara berkenaan komedi romantik (hint!) dan Noting Hill.

Johan Iskandar, seperti Akil, seperti kebanyakan anak kota yang murung, berasa "nak mati" dan KL yang terus kotor-cantik tidak mempedulikan mereka.

Ini tujuan mereka untuk membunuh diri.

3
Membunuh diri satu metafora menarik. Bunuh (kill) merupakan unsur biasa untuk "menamatkan" filem. Rujuk pabila Father Karras meloncat jatuh dari Hitchcock Stairs, filem The Exorcist pun berakhir.

Bagaimanakah kita menonton sebuah filem tentang ingin membunuh diri dan kita masih boleh terpaku hingga akhir filem?

Inilah lencongan (twist) yang dibuat dalam filem ini, memainkan sikap "ke arah kematian" sebagai suatu pilihan "memasuki alam berasa akan berakhir bila-bila masa". Sebenarnya filem ini tidaklah hanya bercakap fasal "nak mati" tetapi juga bercakap fasal "kehidupan": filem ini menyampaikan harapan. Dalam sebuah cekerawala yang serba luas, walaupun bagaimana bersendirinya kita, kita tidak dapat lari daripada berhubung, lalu perhubungan membentuk kebergantungan dan kepercayaan. Inilah dua unsur yang Akil "hilang", yang sedikit demi sedikit kita jumpai (setelah melalui beberapa episod psikaotik Akil, yep, kepala budak ni bukannya betul sangat) Akil "cuba" hendak mencarinya. Kononnya, dia jumpa bila bertemu dengan Zara. Filem Johan Iskandar (secara licik) membuka matanya tentang hal itu (haha, kiut, siapa kata filem tidak mengajar ya?)

Poin ini menarik: walaupun kita tidak mengenali satu sama lain, ada sesuatu yang kita sama-sama inginkan.

4
Dan jawapan untuk pernyataan di atas, perkara yang kita sama-sama inginkan tentulah "Cinta".

5
Filem rujukan.

Satu hal, aku suka imejan Redza-Christine yang dibuat menyamai imej anime, yakni jika Redza dan Christine dilukiskan seakan menyamai lukisan Osamu Tezuka.

Ini suatu "hiper-realiti" feel.

Canggung dan menarik.

6
Filem kitaran.

Mengapa aku tengok filem ini seakan-akan mendekati The Game (1997) karya David Fincher. Ye lah, tak lah semuanya sama khususnya plot, tetapi semangat dan ke arah "pengalaman" dan "pengharapan" baharu itu.

7
Redza OK, tidak mengecewakan, ada beberapa bahagian yang menampilkan dia merupakan antara pelakon muda yang akan menyinar terus jika tempat dan wataknya betul. Dia membawa imej dan gaya "pucat" dengan baik sekali, malah "menakutkan" (bila kita menyedari, dia mula psikaotik). 

Christine mempunyai imej yang amat sesuai dengan layar, layar bercinta dengannya. Lakonannya biasa dan boleh diusahakan.

Kadang-kadang sinematografi filem ini menampilkan kuasa, di belakang gaya Christopher Doyle. Wops, tentu pengarah sinematografinya nak tumbuk aku kerana kenyataan ini. Ha ha.

8
Filem seperti denyaran cahaya (flashes of light). Ia melalui kita sebelum ia pergi (mati/tamat/berakhir).

Ini suatu keindahan filem ini.

Ia menampilkan pengalaman tetap menghantui kita sentiasa, sebelum kita sendiri berakhir (mati).

Mengingati pengalaman hidup itu sendiri seperti sebuah filem yang siap yang kita tonton kembali (rujuk babak Johan Iskandar ditinggalkan).

Apabila kita merenung diri, barulah denyaran cahaya ini melingkar dalam memori kita.

Kita teringat saat detik (moments).

Saat detik amat penting dalam filem ini.

Oleh sebab itu, Redza pada bahagian klimaks memakai kemeja-T Back to The Future. Dia/Nik Amir sedang membina harapan, membaiki kesalahan lalu dalam setiap saat detiknya, sebelum semuanya melalui kita seperti denyaran cahaya. 

Kita meraikan denyaran cahaya untuk memahami diri kita sendiri.

9
Kau patut berhenti membaca.

Jangan baca bahagian ini kerana ini bahagian spoiler. Bahagian yang menyatakan mengapa bagi aku filem ini ada cacat-celanya. Kalau kau dah tonton barulah baca, kalau tak, jangan.

Serius jangan.

Sebab bahagian ini mungkin halunisasi atau episod psikaotik aku sendiri dalam menonton filem ini, lalu memberi kesimpulan yang tersendiri:

Bahawa filem ini boleh menjadi lebih baik lagi jika LPF yang celaka itu tidak mengganggu anak-anak muda ini membikin filem.

Aku kenal Rewan Ishak. Aku kenal kemampuannya. Aku tak berapa kenal Nik Amir Mustapha, tapi aku "percaya" dengan kemampuannya. Mereka bukan amatur dan sudah lama berkecimpung dalam filem. Aku anggap, setiap babak dan tangkapan imej itu penting dan tiada yang tidak terkait.

Ini semua berkenaan Redza yang suka lepak atas bumbung pangsapurinya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Malah, ya, tiada yang mengejutkan bagi seorang penonton tegar filem, kita sudah boleh menghidu cerita itu 5 batu lagi sebelum ia memberikan klimaksnya. Lalu kita hanya ingin merasai "pengalaman" yang hendak dihidangkan, kerana itu, kita memerhati sudut dan ruang dan objek tertentu dalam filem sebagai penyampai maksud apa filem ini sebenarnya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Ada satu syot belakang kepala Redza atas bumbung, memerhati ruang luas kota KL. Babak ini hanya babak "sendiri" tanpa makna jika ia dibiarkan sendiri (aku teringat Punggok Rindukan Bulan dengan unsur kematian/pencarian yang berlainan). Syot ini juga memberi makna "pencarian" ada sesuatu yang mata malang Redza cari di sebalik jalan raya dan bangunan tinggi.

Syot ini kemudian mendekati satu lagi syot yang mana Redza memerhati papan hitam dengan tulisan berkenaan cara-cara membunuh diri. Lihat, ada lukisan "bangunan tinggi". Sedar tak kalian, ini bukan syot melewah saja nak tunjuk cantik-cantik papan hitam tetapi "tujuan" sebenar Redza. Dia bukan sahaja mencari makna "kematian" dan "cara bunuh diri paling baik" tetapi semacam "mencari makna" mengapa "adik dan ibu"nya ter"bunuh".

Bagi aku, ini yang LPF tak bagi.

Ini teori konspirasi aku.

Mengapa bangunan tinggi? Rujuk Dek Hor (2006) malah Vertigo, dalam filem, satu-satu watak tidak akan mengulang mengisi ruang tersebut tanpa makna apa-apa. Seperti pita yang diulang-ulang (rujuk denyaran cahaya/ulangan memori di atas), Redza sekali lagi dan sekali lagi pergi ke bumbung pangsapuri (aku terbayang pula dua filem Osman Ali yang wataknya suka benar lepak bumbung, Anak Halal dan Jiwa Taiko) seakan-akan menunggu, mencari seseorang, atau sesuatu. Takkanlah hanya nak merokok bai? Tak. Kalau seseorang trauma, untuk "kononnya merawat" traumanya, dia mesti ke tempat kejadian/tragedi itu untuk melepaskan traumanya. Kalau tidak, mengapa kita dapatkan satu syot Redza (yang sudah tidak mahu mati) melawat bumbung, kemudian memberi satu syot dia merenung jalan raya di bawah (life goes on). Aku dapat rasa, intial script ini menyampaikan bagaimana sifat "menyesal" Redza yang keterlaluan (kalau tak, mengapa dia halunisasi adik dan maknya begitu rupa) yang tak sempat menahan adiknya daripada melompat dari bumbung pangsapuri! Klu lagi satu, Redza (yang gila!) menasihatkan Juliana Evans (yang cun! haha, sempat!) "Jangan duduk tepi sangat nanti terjatuh," lalu dengan susah-payah (sebab nak pujuk) menceritakan kepada Juliana tentang "seorang budak yang melompat lalu terbunuh orang dalam kereta". Tak mungkin hanya kerana Redza hidup dalam ketegangan (ok, ya juga) dia lepak atas. Mesti ada meaning. Dia melihat coretan papan hitam itu, tercari-cari makna seakan-akan "mencari makna" mengapa adiknya membunuh diri. Ini lebih menyakitkan, lebih menyentuh.

Dan aku syak, LPF tidak membenarkannya kerana "membunuh diri" suatu perkara sensitif. Lalu meminta pembikin buat babak "kena kemalangan". Hello, lamenya! Mak dan adik kemalangan agak traumatik tapi adik yang kau secara SEDAR sedang dikejar dan tak dapat tahan lalu melompat dari bangunan lalu mati atas kereta mak sendiri lalu mak pun mati lagi traumatik gila. Traumatiknya bukan sahaja dari segi aksi (pembunuhan diri itu) tetapi makna (ketidakfahaman Akil memahami mengapa adiknya ingin membunuh diri lebih menyakitkan, perasaan tidak mampu menyelamatkan itu menjadi amat kuat dan lebih berkait dengan filem Johan Iskandar yang cuba "menyelamatkan" manusia tetapi merasai tidak berjaya).

Lalu babak kemalangan itu pun dimasukkan menggantikannya. Aduh ...

Serius, kalau Redza serius trauma fasal kemalangan tu, patutnya dia melencong ke plot Crash, lalu bersenggama dengan Zara dalam kereta untuk mencapai libido psikaotiknya berkenaan KEMALANGAN.

Heck, Fasha Sandha yang high dalam Anak Halal pun akhirnya terjun dari bangunan. Oh, dia boleh "dibunuh" begitu kerana dia "rosak akhlak": didaktik, senjata biasa LPF.

Kerana aku sedar, ada bahagian dalam filem ini macam "terbiar", kau makan nasi kandar tak cukup kuah, something's still missing. Semacam suatu simfoni yang tiba-tiba pertengahan alunannya direntap dan memasuki oktaf lain secara tiba-tiba. Itulah yang aku rasa.

10
Filem ini tetap mengagumkan bagi aku, lebih-lebih lagi dalam pembinaan landskap, warna dan nafas imejannya. Suatu pengalaman yang menarik dalam wayang Malaysia. Amat susah mencari sebuah filem anak muda yang berharap dan menyayangi hidup. Selalunya, keras dan berontak, serta protes intipatinya. Filem ini lebih tenang kerana menyenangi komedi romantik. Malah begitu optimis melihat dunia, filem, dan diri. Dan suatu halwa dan rasa yang berlainan daripada komedi romantik biasa yang kita jumpa dalam filem-filem anak muda sebelumnya. Sila tonton.

Klasifikasi Langgar: 13, Ada babak sedikit lucah dan terdapat kata-kata yang memerlukan bimbingan dan nasihat penjaga bagi penonton bawah umur 13.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.

17 comments:

Forskning Beta said...

Aku ingatkan Nik Amir Mustafa ini Amir Muhammad.

ayobkelubi said...

berdasarkan review ko ni faz,

aku percaya mat rempit, yuppies, budak2 baru nak naik, cyber warriors dan beribu-ribu lagi masyarakat malaysia tidak akan mahu menonton filem bagus ini.

percayalah. mmg tak dapat box office walhal kalau filem sebegini yg dibikin di mana2 WOOD di dunia pasti akan meletup.

stigma minda masyarakat malaysia. mahu yang indah-indah sahaja walupun indah khabar dari rupa.

*sigh* untuk industri filem malaysia.

tam said...

Ade sama macam filem eternal sunshine dan taste of cherry tak?

tam said...

takpun I hired a contract KILler? kalau ya tak sabar nak tengok versi Mesia pulak.

Muhammad Za'im Mohamad Yusoff said...

As-salam wbt Saudara,

Ini review saya. Baru tengok semalam. Review saya daripada sudut falsafah bahasa :)

http://zaimterbang.blogspot.com/2013/05/review-kil-2013-falsafah-bahasa-akil.html

Saya juga meletakkan pautannya ke laman review saudara. Minta izin (lepas letak) hehe.

Terima Kasih - tanpa review saudara tiadalah saya antara orang pertama yang menghadaminya saat hari pertama ditayangkan di khalayak awam.

Terima Kasih :)

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

Salam Encik.

Saya dah tengok filem ni. Bak kata Akil dalam movie ni --- "ramainya org dalam panggung"

camtulah juga suasana masa saya menonton filem ini. Menyedihkan kerana saya rasa filem ni filem yang bagus.

Kali pertama pergi menonton wayang dengan suami. Filem ini jadi pilihan. :)

Muhammad Fadhli al-Akiti said...

Ah, manisnya Zara :)

Melody M. said...

Suka point no.9.

Melody M. said...

Suka point no. 9

Cloud's Echo said...

Dan buku Paolo Coelho yang Zara pegang dan susun di atas rak buku Akil...

Zainal Zulia said...

Ini reviu yang paling baik dan seni bagi saya. Pendapat anda untuk no 9 adalah bernas dan tepat. Tidak terfikir oleh saya. Saya setuju, ia akan menjadi terlalu tragik, tapi merungkaikan dengan lebih tepat kenapa Aqil ingin bunuh diri (lebih kuat daripda eksiden yang tidak disengajakan, atau hanya kesepian semata).

Murnira Wan said...

saya suka filem ni dan review anda. betol jgak point no.9 tuh. xkn akil nk bunuh diri semata kerana sunyi..

Muhammad Fadhli al-Akiti said...

Terima kasih.. sesapa yg belum tonton boleh beli DVD aslinya.

takky said...

baru je abes tonton ceria KIL...
dan saja nak baca review nie since baru je buat review KIL dekat blog...
nak juga tahu komen2 dari penonton len...
cuma agak terkejut bila baca entri nie...
bila baca part yg adik akil mati sebab bunuh diri dari bangunan, bukan sebab kemalangan jln raya 2...
seyes, betul ke apa yg tontonfilem tulis dalam blog nie?
if yes, rasanya kena tengok lagi sekali cerita nie....

TAd said...

While the theme is not new, I like new things in Malaysian cinema, and I like the way it's done - thanks to the director - plus, I like Redza Minhat, so, I like this film.

Muhammad Fadhli al-Akiti said...

Takky, itu intepretasi saya dan rasa saya, dan saya dimaklumkan oleh Rewan Ishak, beliau menyatakan "Apa yg kau kata ada kebenaran" dan ini berkenaan LPF dan ketakutan penerbit "to go a little bit further", maka itulah yg saudara dapat dlm filem yg saudara tonton itu.

takky said...

wow, iye ke....
rase ye law ade scene adik dia jatuh dari bangunan 2 lagi awesome rase ye cite nie....
(just my opinion lor)
but seyes cite nie best....
ade makne tersirat di sebalik lakonan mereka...
kalau ada masa lapang dan sudi nak baca review KIL yg saya tulis...
saudara dialu-alukan ke entri blog saya ini...

http://takky-journeyofmylife.blogspot.com/2013/07/10-kil-special-entry.html