28 August 2013

Khayalan Labu & Labi (1962)

Bayangkan kau sekarang bersama-sama lelaki kerdil dalam Twin Peaks di Black Lodge. Tirainya merah dengan lantai kayu zig-zag. Lantas lelaki kerdil memetik jarinya, dan bertutur, "Jom menari."

Imej ini akan hancur jika kita tidak mempercayai jelmaan surealnya. Kali ini, aku juga ingin memetik jari, dan bertutur, "Jom berbincang." Perbincangan ini surreal namun perlu.

Jika kita tidak mempercayainya. Segalanya akan hancur luluh. Dale Cooper menghentak dan menghentak kepalanya di cermin berkali-kali. Realiti dan khayalan terus terputus.

Perbincangan ini bermula pun kerana perbualan aku bersama-sama Raihani (penulis terkenal anak penyair Zurinah Hassan) berkenaan trivia Labu dan Labi. Setakat ini, filem ini dikondem sebagai antara filem terburuk P. Ramlee era Jalan Ampas, dinyatakan dalam buku Filem-filem P. Ramlee dan turut dipersetujui oleh Amir Muhammad dalam 120 Malay Movies. Raihani pernah mewawancara Aziz Sattar berkenaan filem Labu & Labi. Ini yang menarik: keseluruhan filem ini dibuat oleh P. Ramlee atas dasar mengenakan adik-beradik Shaw, penerbit filem besar Malay Filem Productions (MFP) yang menaungi P. Ramlee dan keluarga besar karyawan tempatan masa itu (sebuah lagi yang besar, Cathay Keris milik keluarga Ah Loke(?) 

Apa? Mengenakan?

Di manakah tempat yang lebih sesuai sebagai seorang pengkarya mengenakan majikannya jika bukan dalam karya (di bawah hidung duit majikannya sendiri).

Sesuatu perlu diketahui sebelum perbincangan ini diteruskan. Waktu itu, badan pekerja MFP sedang meminta kenaikan gaji serta beberapa tuntutan sosial lain, ini baru selepas kemerdekaan (hal ini pula berkait dengan sifat badan pekerja yang boleh dirujuk dalam dokumentari baik, 10 Tahun Sebelum Merdeka). Zaman itu juga zaman keemasan filem P. Ramlee. P. Ramlee secara jelas ialah "anak emas" adik-beradik Shaw waktu itu. Isu ini pula berkait dua tahun kemudian setelah Madu Tiga ditayangkan. Fasa sewaktu P. Ramlee mengambil tindakan drastik meninggalkan MFP. Mengetahui hal ini, kita dapat memahami apa maksud Aziz Sattar, jika benarlah pandangannya (kerana kita tidak mendengar hal ini daripada lidah seniman agung itu sendiri) bahawa Labu dan Labi dibikin atas dasar protes P. Ramlee terhadap adik-beradik Shaw.

Perspektif ini dapat ditambah dengan kefahaman beberapa filem Cathay Keris (berkenaan kemelaratan khusus bangsa Melayu di Singapura. Rujuk Salina) dan sudah tentu cetusan Seniman Bujang Lapok berkenaan bagaimana anak Melayu (aku syak mana-mana kaum pun yang bekerja bawah MFP masa itu, hanya ramainya ialah orang Melayu) yang bekerja bawah "syarikat felem" sentiasa tidak cukup duit (untuk kahwin, contohnya, suatu matlamat penting dalam filem Melayu) dan cuba meminta hutang dengan majikannya (lihat betapa susah hal ini tercapai kalangan kru). Kita tahu, secara tersurat, realiti ini berlaku kalangan kru filem (rujuk memoir Pak Hamzah), dan hal ini berkenaan, sekali lagi tuntutan persatuan pekerja yang tidak diendahkan oleh adik-beradik Shaw.

Di sini, pandangan Amir bahawa filem Labu dan Labi, sebuah "existentialist nightmare about capitalism" tampak benar dan terbukti jika mengikut kata Aziz Sattar. Filem ini sebuah farsa kutukan yang besar berkenaan sikap "terkutuk" sang majikan terhadap "hamba"nya. Ya, sikap ini semacam satu sandiwara sosialis.

Majikan MFP itu Haji Bakhil. Mahu tidak mahu dengan kondisi stereotaip murahannya ("Bodoh! Kutuk! Ketuk ketampi!"), P. Ramlee menyampaikan sindiran dan sikap ini dalam layar. Terdapat dua hamba, Labu dna Labi yang terus-terusan sahaja, seperti kata Amir, misgonis, sanggup terus bekerja di bawah Haji Bakhil. Ah, di sini ada satu pencerahan. Mengapa? Amir juga menyatakan, mereka sanggup kerana berangan-angan dapat kahwin dengan Manisa anak tuan rumah kedekut ikan masin itu. Kahwin, seperti yang sudah dijelaskan (dan berjaya dicapai dengan tinggi dalam Masam Masam Manis) merupakan matlamat terunggul. Menkonstruksikan perbincangan ini, dapatlah kita memahami, bahawa walaupun kelihatan "leceh", dengan sikap naluri murni, kalangan pekerja Melayu di MFP ini masih "sanggup" dikulikan oleh adik-beradik
Shaw yang kedekut (tak mahu naikkan gaji) kerana membayang-bayangkan, bukan sahaja akan terkenal dalam dunia filem tetapi berjaya mencipta "karya terunggul" untuk bangsa Melayu! Matlamat kahwin ini tercapai (yang nampaknya susah dan hanya akan berlaku dalam mimpi, hah!) lalu "semuanya akan berbahagia akhirnya".

Hal ini menjadi lebih menarik lagi apabila kita meneliti konsep fungsional mimpi dalam Labu dan Labi. Secara teks, aku melihat hal ini semata-mata hanya suatu mimpi basah pasangan lelaki ini (ini yang menarik, siapa yang bermimpi? Kedua-duanya? Seorang?) untuk mendapatkan Manisa dalam libido mereka. Malah secara licik, babak akhir pukul-memukul menunjukkan sikap kejantanan sambil peluk-memeluk tentu akan membuka konteks teori queer berkenaan nada homoseksual halus (suka-benci) antara Labu dengan Labi (kalau dah tak dapat si wanita, lelaki pun jadilah dalam sedar). Namun, jika dilihat dari segi "menyindir majikan", dengan jelas tujuan P. Ramlee lebih licik. 

P. Ramlee seakan-akan menyuarakan, dengan filem (mimpi) lah, tujuan dan matlamat mereka ini dapat dipenuhi, dan secara langsung turut berkait juga dengan penonton yang ditujukan, para pekerja MFP. Dalam eskapis, sikap drakonian-feudal adik-beradik Shaw dibayangkan sebagai tiga bentuk kutukan: pencacai jaga bar (hah, tangkap tak? Penjual arak!) haiwan, dan pencacai pelayan (sekali lagi, jual arak!). Malah dengan penyindiran yang amat sangat, P. Ramlee sekali lagi mengutuk adik-beradik Shaw dengan menyatakan: kita boleh buat apa-apa dengan filem, dengan meletakkan satu peragaan peragawai fesyen yang tidak berkenaan dengan naratif besar filem di tengah-tengah filem (mimpi). Apa peragawati buat? Memperaga. Apa maksud memperaga? Hal ini perlulah dikorek sikap peribadi adik-beradik Shaw yang mungkin P. Ramlee hendak perkenakan. Malah, dalam dunia filem ini (secara ironi, mimpi ini) sahaja si Haji Bakhil boleh dikutuk! Mahu tidak mahu adik-beradik Shaw menyedarinya, dan dengan kesedaran realiti yang pesimis (dan akhirnya satu ramalan sebenar realiti detik filem Melayu selepas itu) bahawa matlamat hanya tinggal matlamat, filem hanya filem, adik-beradik Shaw tetap dapat menurunkan denda terakhir. Ketuk ketampi!

Namun yang menariknya, P. Ramlee turut menampilkan ramalan tentang dirinya sendiri! Kita sudah tahu bahawa P. Ramlee anak emas Shaw. Hal ini didengkikan oleh kalangan karyawan di MFP (gaji P. Ramlee antara yang tertinggi masa itu). Dalam filem ini, ada mimpi keempat (nak cari kayu-nak cari kayu-nak cari kayu) yang mana Labu (golongan yang mendengki kejayaan P. Ramlee) memipikan bagaimaan Labi (P. Ramlee) berjaya mengahwini Manisa. Ini berkaitan pula dengan dialog tidak semena-mena Labi dalam alam mimpi (filem), yakni kisah sebelum, "Kalau P. Ramlee mati aku nak kahwin dengan Saloma.": menjawab persoalan besar bahawa harapan kalangan karyawan itu juga berlumba-lumba untuk mencipta "karya terbaik" yang mencapai matlamat jika anak emas adik-beradik Shaw ini "mampus". Aku tidak melihat bahawa matlamat ini yang dibayangkan mendapat Manisa, walaupun sungguh dekat dengan materi dan satu kedudukan status sosial yang lebih baik (yang P. Ramlee dapat masa itu), tetapi tetap matlamat sejati untuk wayang: filem yang dapat dibanggakan. Hal inilah yang kononnya diteruskan obornya oleh Jins Shamsudin apabila mendapat PERFIMA.

Memang perbincangan ini seakan-akan satu khayalan (malah kutukan berbisa ini mendapat sekuel pula kerana pecah panggung!), kata-kata kosong seorang penonton yang melihat dari jauh. Tetapi khayalan ini membentuk sendiri tirai merah dan lantai kayu berzig-zag, merenung masa hadapan filem Malaysia jika hasad dengki, sikap tidak percaya dengan pekerja bawahan, bakhil untuk mengangkat status sosial karyawan (gaji/royalti), sistem kerja dengan filem masih dipaksa gaya lama, harapan mencapai matlamat untuk filem Malaysia masih panjang, atau mula menjadi kenyataan seperti yang dikatakan oleh Saloma dengan wajah Mariani: "Yang mana satu idaman kalbu, tidak tertahan menanggung rindu, mungkinkah jauh berbatu-batu, atau di balik awan yang biru."

5 comments:

asrap virtuoso said...

Menarik. Tak pernah tau plak cerita ni dikondem sebagai filem terburuk P. Ramlee. Tapi cerita Labu Labi ni ada special place in my heart... cerita ni bersama2 dgn Do Re Mi adalah cerita P.Ramlee pertama yg aku pernah tgk. Umur mungkin dlm 5 tahun, dan tonton dua2 cerita pada hari yg sama. Tak ingat tgk yg mana satu dulu tapi sampai sekrang masih enjoy dua2!

indraputra said...

suka lah dengan coretan ini fadz. mmg realitinya berkait2. termasuk juga keadaan di Malaysia skrg ni.
hurmmmm smlm pergi tayangan perdana KL Gangster 2 tak? cant wait for your review...

Akmal said...

Wow, memang ulasan yang best. Tapi, ada beberapa perkara yang saya sedikit keliru, memandangkan saya peminat filem P.Ramlee, di sini saya ketemukan kekeliruan:

"Namun yang menariknya, P. Ramlee turut menampilkan ramalan tentang dirinya sendiri! Kita sudah tahu bahawa P. Ramlee anak emas Shaw. Hal ini didengkikan oleh kalangan karyawan di MFP (gaji P. Ramlee antara yang tertinggi masa itu). Dalam filem ini, ada mimpi keempat (nak cari kayu-nak cari kayu-nak cari kayu) yang mana Labi (golongan yang mendengki kejayaan P. Ramlee) memipikan bagaimaan Labu (P. Ramlee) berjaya mengahwini Manisa. Ini berkaitan pula dengan dialog tidak semena-mena Labu dalam alam mimpi (filem), yakni kisah sebelum, "Kalau P. Ramlee mati aku nak kahwin dengan Saloma.": menjawab persoalan besar bahawa harapan kalangan karyawan itu juga berlumba-lumba untuk mencipta "karya terbaik" yang mencapai matlamat jika anak emas adik-beradik Shaw ini "mampus". Aku tidak melihat bahawa matlamat ini yang dibayangkan mendapat Manisa, walaupun sungguh dekat dengan materi dan satu kedudukan status sosial yang lebih baik (yang P. Ramlee dapat masa itu), tetapi tetap matlamat sejati untuk wayang: filem yang dapat dibanggakan. Hal inilah yang kononnya diteruskan obornya oleh Jins Shamsudin apabila mendapat Perfima."

Brader fadz merujuk P.Ramlee sebagai 'Labu', padahal 'Labu' adalah peranan yang dimainkan oleh 'M.Zain'. Begitu juga dialog yang dituturkan iaitu tentang 'saya mintak P.Ramlee lekas mati, supaya saya dapat kawin dgn saloma', itu dituturkan oleh P.Ramlee sebagai 'Labi'.

:-)

Muhammad Fadhli al-Akiti said...

Salam Akmal, terima kasih, nanti saya semak balik berkenaan Labu=M. Zain, Labi = P.Ramlee.

Yang lebih penting drpd itu, ya, Labi yakni "P.Ramlee" dlm filem ini "bukan" P.Ramlee dan kerana ini ada "double ironi", P. Ramlee yg memohon P. Ramlee sendiri mati supaya dapat kahwin dgn Saloma. Kesengajaannya mungkin kerana ianya tabu untuk mendoakan seorang pelakon/bintang lain mati apabila dia masih hidup(?) yg sememangnya menjadi ironi dtg drpd pelakon/pengarah itu sendiri. Malah Amir Muhammad menyatakan dlm bukunya hal ini amat memaparkan "kebingaian" P.Ramlee dan ia "Tidak lawak", namun jika kita lihat pada perspektif kru filem yg hidupn tertekan atas kekayaan P.Ramlee waktu itu, kita faham provokatif ini: "Bayangkan seperti Najib sendiri mohon dirinya mati dalam ruang manifesto pembangkang, contohnya."

zulazahari said...

Kalau tengok pada poster filemnya seolah-olah sebuah filem Western Melayu.