29 November 2013

Penanggal (2013): Ada Yang Tertanggal

Filem sulung Ellie Suriaty, dengan skrip Ellie serta Yus Waisar.

Dikatakan antara filem penting tahun ini atas satu sebab. Pertama kalinya kalau aku tak silap, sebuah filem yang dinyatakan sebagai "konsep tinggi" yang sanggup diusahasamakan oleh dua gergasi perfileman tempatan, pihak Astro (yang menaungi Astro Shaw dan Tayangan Unggul) dan Media Prima (Grand Brilliance). Perkahwinan dua syarikat ini merupakan suatu impian dan cita-cita yang amat ditunggu-tunggu untuk berlaku dalam persada perfileman, lantas menyampaikan maksud bahawa "filem ini ada sesuatu" kerana dua syarikat besar ini sanggup menggadaikan harta mengangkat konsep filem ini. Hal ini amat dipuji dan berharap akan diteruskan dengan filem-filem bersikap "konsep tinggi" dan bukan komersial ringan semata-mata.

Ada tiga keindahan yang dipuji, menjadi penanda bahawa filem ini sepatutnya cemerlang. Solekan dan tatarias khas yang diperlakukan oleh Ella Sandera (Norela Ulis) yang sudah dikenali sebagai Dick Smith Malaysia memang melancarkan kerja yang indah. Kau lihat sahajalah prop "Penanggal" yang aku letak di sini. Kemudian, sinematografi Raja Mukhriz memang mengasyikkan. Mukriz dengan jelas cuba melayarkan landskap epik terhadap filem "seram purba" ini. Terakhir, lakonan beberapa pelakonnya yang terjaga dan menyampaikan nuansa. Ummi Nazeera merupakan seorang pelakon yang harus digembeleng sebelum terlambat. Kehadiran Roslan Madun dan Yus Waisar juga memberi warna indah.

Namun, mengapakah aku terkilan menontonnya?

Ellie secara dasarnya mempunyai niat yang murni. Dua budaya dihentak di tengah-tengah, golongan Arab-Melayu (diaspora hijrah kedua keturunan Arab yang datang ke Tanah Melayu, mengikut Tun Suzanna) dengan kedalaman aqidah dan tasawur Islam menampilkan jati diri "moden", berlawanan dengan golongan Melayu pedalaman yang masih tradisional dan terikat dengan pantang-larang dan tahyul. Malah ada kalangan yang belum Islam dan masih berpegang kuat dengan warisan lama, seperti yang dibayangkan oleh watak Jawa Normah Damanhuri dan Jeff Omar. Yang jelas di sini ialah pertaruhan "ilmu hitam" sebagai galang pandangan yang masih optimis dilihat sebagai alunan dalam sosiobudaya Melayu yang diiktiraf, atau sebagai galang lawan terhadap Islam, yang semua ini dibentuk daripada "Penanggal" yang merupakan suatu fenomena yang sebenarnya bukan sahaja memakan beratus tahun dalam akar budaya pra Islam Melayu-Nusantara tetapi sudah sebati wujud dalam pelbagai benua Asia Tenggara (dan hal ini menguatkan persoalan serumpun keturunan kalangan Asia Tenggara dan Nusantara, mahu tidak mahu kita menyetujuinya) walaupun sekarang. Malah filem hantu ini pun sudah berkali-kali, malah klasik dalam mana-mana industri filem Thailand, Filipina, Indonesia, mahupun Myanmar dan Kemboja.

Ellie latarkan dua budaya ini pula dengan suatu "cerita peranakan Arab" tentang Fasha Sandha (Syarifah Zahrah) yang janda muda tergila-gilakan untuk berkahwin dengan Azri Iskandar (Syed Yusoff al-Attas) bermata firus. Hal ini pula berjukstaposisi dengan "cerita Melayu tradisional" Ummi Nazera, si Murni, yang disumpah dengan saka warisan yang bukan darahnya, namun dipaksa oleh Normah untuk mengambilnya. Bagaimanakah Ellie memautkan dua cerita yang jelas berbeza?

Kononnya pautan berlaku atas nama "cahaya Islam" dan "kajian turath" yang dilakukan oleh watak Azri terhadap alam tahyul pra Islam Melayu (kesedaran ini sahaja revolusioner dan radikal sebenarnya, kerana tiada sarjana tempatan yang menyanggupi hal ini, dan sebab itu dikatakan kajian tahyul dan sihir Melayu datang daripada kalangan orientalis Barat). Awalnya kita lihat tulisan (setelah satu prolog yang maha panjang) jawi (bukan kuno) yang mencitrakan syaitan penanggal. Kita menyedari bahawa Azri inilah yang cuba merasionalisasikan dunia "mimpi yang dilupakan" dengan pandangan Islamnya yang kuat. Atas sebab itu tulisan akhir dalam jawi, sebuah pantun menyampaikan maksud kehadiran Islam yang membasmi ketahyulan dan kerendahan budaya lama Melayu (yang malah, membunuh). Hal ini mencemik sekali gus menyinggung, namun menarik.

Tetapi apakah yang dilakukan oleh Ellie untuk mendapatkan butir mutiara?

Entah apa-apa.

Plot kononnya bermula apabila Azri secara kebetulan dalam perjalanan telah menghentikan pembunuhan Ummi yang ditangkap oleh orang kampung yang diketuai oleh Yus Waisar. Ummi berjaya lari masuk ke hutan menuju ke geroboknya dan entah mengapa, seperti suatu dunia fantasi, Azri yang baru sahaja kahwin dan mungkin berjaya meramas buah dada Fasha yang ranum tak terusik dek arwah suami yang terlanggar, telah terpesona (sebenarnya gatal kote) untuk mencari Ummi di dalam hutan. Kalau ada rotan besar, plot begini sudah diberikan satu rotan yang keras atas tangan Ellie.

Paling menjengkelkan ialah keberanian Ellie menyampaikan (kerana risau penonton di awang-awangan) eksposisi imbas balik yang keterlaluan dan banyak sekali, contoh jelas kerana penanda pokok dan tanah yang disihir sebagai pendinding keluarga Mak Ajeng (Normah) terhadap penduduk kampung (OK, Harry Potter telah melakukannya dengan lebih baik dari segi persembahan imejan, rujuk bahagian keenam). Kemudian eksposisi entah dari mana Sulong Sarep bercakap bahawa kampungnya pernah diserang penanggal. Hal ini yang amat menyinggung dan berkali-kali dilakukan. Lantas kita teringat kaedah ini pernah dilakukan oleh Suhaimi Baba untuk Pontianak Harum Sundal Malan. Ellie, hanya bangsat dan sundal sahaja yang berani melakukan perkara yang terkeji ini untuk menyempurnakan penceritaan. Aku serius, jangan diulang pendekatan begini lagi dalam pembikinan filem (kaedah begini hanya sesuai dalam teks fiksyen, bukan teks layar, melainkan terdapat suatu logos dan penceritaan yang terkawal seperti yang dilakukan dalam Jacob's Ladder dan Inception). 

Paling menyakitkan ialah eksposisi mengapa wajah Murni berbintil-bintil, semuanya dipercepatkan atas nama "hey, kita perlu kisahkan dalam masa dua jam sahaja ok). Bila pula Dukun Gantang menjelma dan bercakap-cakap dengan Sulong Sarep, lalu Dukun berbomoh untuk menumpaskan Ummi, untuk apa semua ini? Dan paling memanaskan hati ialah kemiangan Fasha Sandha mandi tengah malam buta dalam kampung yang diserang penanggal. Walaupun babak itu antara babak paling mengejutkan dalam filem ini, tindakan meletakkan Fasha di situ bodoh dari segi logik akal dan plot. Malah amat mempersendakan watak Fasha (aku tidak faham mengapa watak Fasha perlu berpakaian mendedah dada, berlari-lari dan masuk ke dalam rumah bukan muhrim dengan si lelaki seorang dengan sendiri, ini suatu kekeliruan budaya yang jelas walaupun Fasha memang cantik dan kali ini boleh berlakon dengan baik, semua ini jelas terbuang sahaja) yang sudah tentu berilmu.

Ini ditambah pula dengan penyuntingan yang amat lemah, berkemungkinan Akashdeep tidak cukup footaj untuk memotong (atau terlalu ghairah menyimpan imej yang cantik). Sinematografi Mukriz memang cantik, namun kesinambungan dari babak ke babak hancur dan lenyap. Tiada kelancaran dan membingit mata dan rasa penonton. Filem ini seakan-akan menyatakan bahawa babak-babak itu diambil sedemikian rupa atas nama nak buat cantik, tanpa memahami tanda dan penanda, dan lebih penting, motivasi gerakan untuk melancari suatu mis-en-scene. Banyak sudut pandangan yang melopong dan merimaskan. Ada satu sahaja yang menjelmakan keindahan yakni sewaktu Murni memandang langit malam penuh bintang. Yang lain, terbuang.

Lalu kemudian, untuk apakah Jeff Omar dibayangkan watak Igor (Ellie perlu tahu, kehadiran watak "kadam" begini dalam filem purba Melayu dahulu atas kerana pembikinnya terpengaruh dengan filem Universal lama, watak Igor dalam siri Frankenstein, dan bukan sebetulnya citra Melayu asli) yang tidak habis membeliak mata dan menjengkel seakan-akan Jar Jar Binks Penanggal? Kalau ini penghormatan Ellie buat filem seram purba, Ellie sudah tersalah langkah.

Aku suka detik-detik kecil filem ini dengan babak Nadia Mustafar mencari buah kundang(?), atau nuansa Melayu yang halus tersampai baik dalam gerak dan suara Roslan Madun dan Yus Waisar (keris di belakang, akhirnya mereka dapat menyampaikan budaya Melayu yang betul). Sememangnya, Ellie sangat berjaya menyampaikan nuansa-nuansa kecil ini dengan betul dan sempurna. Dunia Melayu tradisionalnya jelas dan tidak dibuat-buat. Namun bayangkan, keindahan ini jelas dihancurkan (rujuk sahaja kelembutan Kuswadinata menghalau lembut Ummi dari kampung tersebut, yang menjengkelkan kerana Ellie hanya memaparkan wajah Ummi dan Jeff Omar, kehalusan adab Melayu ini digagalkan kerana Ellie malas memaparkan imejnya) atas tulang belakang yang tidak kuat dan penyampaian cerita yang lemah. Sedih, kerana sememangnya bahasa Ellie indah, kata-katanya jelas puitis dan dalam, tapi dihambarkan kerana kelemahan penceritaan. Akhirnya, kita membeli tiket filem ini hanyalah untuk mengaji mentera memikat jantan, dan jangan lupa tajamkan lidah Jawa tu bila nak baca.

Klasifikasi Penanggal: P13, Babak ganas, keganasan terhadap wanita, dan tayangan buah dada Fasha Sandha yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI TGV, KLCC.  

25 November 2013

Ikal Mayang Astro First (2013)


6 Filpen siri Ikal Mayang sedang ditayangkan di Astro First. Memang ada sesuatu daripada senarai ini, walaupun secara teknikalnya amatur, malah ada yang bersinar terus.

1-800-Baby | Sofia Jane
Tidak perlulah disangkal lagi, Zaleha yang kita kenal dalam filem U-Wei sudah dewasa dan mendewasakan dengan suatu mesej sosial tentang keinginan dan ketakutan wanita yang dikelilingi sikap lelaki yang tidak pernah nampak dan tidak pernah bertanggungjawab. Nadya Nisaa berwatak remaja sekolah Salmah yang bunting dan Norma Damanhuri sebagai Salmah yang matang dan memahami dosanya. Isunya, fenomena buang bayi. Menariknya ialah cara gelap-terang yang dibawa oleh Sofia menyampaikan maksud dengan segala sesak dan gerunnya (dua kali filpen ini "terang" dengan warna manja/damai, sila lihat di mana), ini bukan suatu "menimang anak-cucu" yang biasa dan masih menjadi beban tragedi moden, serta humanis yang diwajahkan pada mereka yang selalu kita iktiraf sebagai "penjenayah malam". Persoalan-persoalan lain turut dibuka dan sengaja diwacanakan (dan filem ini dengan jelas menampilkan suatu majlis wacana televisyen serta buku Oprah sebagai penyampai maksud jelas berkenaan harapan itu buat penonton sama-sama menyelesaikan masalah Salmah dan anaknya). Walaupun pendek namun cukup baik sebagai pembuka filem yang lima lagi.

Pantang | Vanidah Imran
Aku rasa pengakhirannya sedikit janggal walaupun monolognya sampai. Namun secara keseluruhan, filpen tentang budaya pantang selepas kelahiran anak ini antara filpem kegemaran peribadi aku yang aku dapat ingati walaupun selepas selesai tayangan. Vanidah sangat ekonomikal dalam kata-kata filemnya, juga mengejutkan, mewujudkan suatu bentuk filem yang misterius dan lirikal tanpa perlu bergaya terlalu. Garin Nugroho tentu menyukainya. Sesuatu dalam Vanidah yang dipuji terus, kerana berjaya memberi imejan amat tempatan (khusus Melayu) yang tetap berkaitan dalam dunia sekarang. Sifat psikologi sang wanita yang bersendirian dan dipenuhi "pantang" (lakonan berkuasa Dira Abu Zahari, dia sememangnya Ira Irawan Malaysia) yang tidak pernah diubah-ubah (dan bukan ada kuasa pun untuk si wataknya mengubah, hanya merenung). Suatu babak yang indah berlaku apabila Dira tidur, terdengar bisikan suara suaminya, anaknya laparkan susu, dan dia memandang bantal sebelah suaminya, yang kosong. Vanidah mencapai puisi humanis dalam kedua-dua bahasa filem dan tutur katanya, indah dan bersahaja, lantas tetap menyampaikan api-api jerih wanita yang membakar dalam sifat kemelayuannya (lalu membuka pelbagai tanda dan persoalan lain). Suatu kemenangan yang tersendiri.

Jerat Suami | Dira Abu Zahar
Dira tampak garang dalam lapisan anak muda seni yang kian meningkat, dan tampak punya pakej untuk berjaya jika diberi peluang. Seperti karyanya yang ini, suatu dokumentari-palsu berkenaan kecenderungan para wanita sekarang yang menjadi "perigi mencari timba". Persoalan ilmu hitam dan beberapa perkara kuasa materi turut dibayangkan dengan tiga hingga empat "subjek" yang menggelikan hati dan semacam sambung-menyambung, mengambil kemahiran yang pernah dilakukan dengan baik sekali oleh Amir Muhammad, dan Dira berjaya menyampaikannya dengan moden, struktural, dan bercerita tanpa terlalu didaktik.

Nawar | Aida Fitri Buyong
Ada ungakapan dalam Inggeris, "mother knows best" lalu ditambah dalam filpen ini, "and grandmothers too." Suatu filem yang aku bayangkan dibikin Suhaimi Baba, dan patut pun, Aida amat dekat dengan Suhaimi pada awal-awal kerjaya perfilemannya. Keluarga campur berbahasa Inggeris ini menyampaikan hal yang klise namun penting tentang kepercayaan dan kasih-sayang. Hanya malang sekali ada beberapa tempatnya terasa janggal dan mengganggu kerana percubaan Aida memasukkan babak "lembu". Anak bekas AF seorang anak menteri memperlekehkan dirinya dalam filem ini, nasib baik ditunjuangi tiga watak perempuan yang kuat, lebih-lebih lagi Joanna Bassey yang tidak perlu terlalu menyampaikan tetapi cukup menjelaskan suara hatinya terhadap kerisauan seorang ibu. Cukup bersahaja dan sederhana.

Odah | Filem ini sudah diulas di sini, dan aku masih sahaja ketawa terbahak-bahak (rujuk babak peraga KRU yang cun, yang juga menyampaikan sikap progresif dalam sosiobudaya zaman itu). Memang filem paling ikonik antara kesemuanya. Junaidah M. Nor wajib diberikan belanja sendiri dan kuasa kreativitinya sendiri untuk membikin filemnya sendiri. Wajib. 

Inspektor Mastura | Elaine Daly
Aku tidak tahu mengapa, menonton filpen ini seakan-akan membuka jendela kepada kisah hidup Elaine sendiri. Aku mungkin salah, namun dengan jelas filem ini menyampaikan beberapa maksud tentang wanita yang tabah kehilangan cinta dan wanita yang benar-benar faham tentang erti "cinta". Filem ini membumbui sikap komedi dan gelap, dengan banyak monolog yang disampaikan, walaupun cuba dijadikan suatu sindiran yang melucukan, terdapat beberapa bahagian yang menjanggalkan. Sikap Elaine menyampaikannya sebagai suatu naratif yang dikupas seperti bawang menjadikannya menarik, langsung memberikan harapan pada akhir filem dengan senyuman KJ (Khairy patut jadi pelakon selepas ini, tak perlu jadi menteri lagi). Namun anak Fatimah Abu Bakar ini sedikit kaku dan moden untuk dibayangkan sebagai "inspektor". Suatu percubaan yang menarik.  

09 November 2013

Jiwa dan Cinta buat Tsu Feh Sofiah

Hari tu, aku diminta bagi "talk" dekat sebuah seminar akademik gitu di Kota Kinabalu, Sabah: Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam ke-2. Bukan mainnya diri kecik ni berbaris dengan orang-orang kuat seantaro nusantara (Malaysia-Indonesia-Brunei-Thailand), kau bayangkan, dah lah pulak nak cerita fasal "Islam". Jadi aku teringat filem yang aku amat sayangi, Tsu Feh Sofiah, dan aku jadikan kertas kerjanya (yang entah apa-apa, hahahaha). Nasib baik, SM Zakir puji, "Bagus ni Fadz," dan Prof. Madya Arbak Othman kata, "Menarik u punya paper." Wow, Cloud 9 jap (perasan).

Ini buat sang pengarah yang paling aku sayang, Dato' Rahim Razali:

Pandangan Alam dalam Filem Melayu:
Pemerian Unsur Alam Melayu dalam Tsu Feh Sofiah (1986)


Polemik filem Islam di Malaysia masih berterusan dengan sikap para penggerak industri filem negara masih tercari-cari dengan corak ataupun bentuk terbaik untuk mengilhamkan “filem Islam” yang sebenar, sebagai suatu reaksi terhadap kerancakan filem Islam komersial (turut dipanggil filem Islam pop) yang dikeluarkan saban tahun oleh para pembikin di Indonesia, bermula dengan Kiamat Sudah Dekat (2003) karya Deddy Mizwar, dan kemudian yang amat terkenal, Ayat-ayat Cinta (2008) (satu-satunya contoh filem Islam pop yang jelas dan selalu dirujuk) dan seterusnya 3 Doa 3 Cinta (2008), Ketika Cinta Bertasbih (I-II) (2009), Perempuan Berkalung Sorban (2009), Sang Pencerah (2010) Dalam Mihrab Cinta (2010), Di Bawah Lindungan Kaabah (2011) Negeri 5 Menara (2012), dan Sang Kiai (2013).
Persoalan antara tuntutan komersial dengan estetika seni dalam pembikinan filem tempatan bercirikan Islam, khususnya dalam tujuan “berdakwah” dalam filem serta pewarnaan naratif keislaman dibincangkan, dan masih menjadi polemik besar kalangan pembikin dan penggerak industri.
Beberapa pengkaji sedari awal, seperti cadangan Hizairi Othman, dan kemudian diperjuangkan oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Ku Seman Ku Hussein, telah menawarkan formula naratif dan falsafah filem Iran sebagai bingkai terbaik dalam membayangkan warna “filem Islam”. Pandangan ini jelas dijadikan wacana perkongsian kontemporari apabila pengarah filem Iran terkenal, Majid Majidi (dan filem-filemnya) dibawakan khas ke Festival Filem Islam Antarabangsa sekitar bulan Disember 2007, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Sekolah Animasi Darul Digital (diketuai Hassan Muthalib pada masa itu), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Suatu lagi wacana yang menarik berlaku pada 20 Januari 2011, dalam Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam di Dewan Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Dr. Muhaimin Sulam, Ustaz Fadlan Othman, dan Erma Fatima. Dalam perbicaraan ini, dengan jelas, moral dan didaktisme dalam Islam, khususnya dalam konsep dakwah secara sedar dan prasedar dibicarakan. Filem Islam dicitrakan “Islam” apabila wajah watak (pelakon) dibayangkan menutup aurat mengikut landas-landasan Islam serta menyampaikan suatu maksud atau ilmu Islam yang sarwajagat dan boleh dimanfaatkan. Hal ini diperjuangkan sendiri oleh Erma Fatima dalam konsepsinya dalam teater muzikal Natrah (2009) dan drama siri Tahajjud Cinta (2011). Namun konseptual yang diambil oleh Erma masih lagi dalam sikap eksperimental. Terdapat beberapa drama dan telefilem Erma yang juga mengikut acuan ini.

Pembikin Perdana Mengadun Maksud “Islam”
Sebenarnya, dalam sejarah perfileman Melayu, sudah ada beberapa filem yang dianggap mempunyai unsur Islam yang jelas oleh para pengkaji filem. Filem era Jalan Ampas, seperti Iman (K.R.S. Sastry, 1954), Semerah Padi (P. Ramlee, 1956), Isi Neraka (Jamil Sulong, 1960), dan Noor Islam (K.M. Basker, 1960) merupakan antara filem-filem Melayu yang memancarkan sikap moral dan bertujuan menyampaikan amal makruf nahi mungkar terhadap masyarakat.
Filem Islam tiba-tiba “muncul” pada era pascakemerosotan filem Malaysia pada tahun 2000. David Teo yang mula berkecimpung dalam dunia perfileman telah menarik kekuatan populariti kumpulan nasyid Raihan lalu mewajahkan mereka dengan suatu naratif Malaysia masa hadapan (tahun 2021), Syukur21 (2000). Filem ini sebenarnya melangkaui rekonstruksi filem “Islam pop” yang diperkenalkan oleh Indonesia (filem ini turut ditayangkan di Indonesia). Dalam filem arahan Eddie Pak ini, Malaysia digambarkan sebagai kaya dan dunia pertama, tampil dengan bangunan dan teknologi tinggi. Kebanyakan penggambarannya dibuat di Putrajaya yang belum dibuka waktu itu, serta sistem transit aliran ringan PUTRA yang belum dibuka kepada umum bagi memastikan citra futuristik itu dijelmakan.
“Pop” terhadap tema Islam ini didefinisikan kerana pengambilan kumpulan “popular” Raihan pada waktu itu, dengan cerita yang “mudah difahami penonton awam” sebagai tujuan komersial selain mendidik. David Teo dan para pengarah di bawah MiG meneruskan formula ini dengan mengambil pelakon yang muda, segak, dan popular sebagai teraju utama. Malah tahun ini (2013), Ustaz Azhar Idrus, seorang agamawan yang populis telah diajak berlakon dalam sebuah filem terbitannya, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dalam merencanakan populariti pendakwah sebagai teraju dalam filem untuk tujuan melariskan filem.
Cita-cita besar Syukur21 tersungkur kerana kelemahan cerita dan kecelaruan plot. Sikap klise dunia moden menghakis spiritual kaum Mukmin dibayangkan dengan jelas dan didaktik tanpa maksud cerita dan penceritaan. Sememangnya Syukur 21 kehausan struktur cerita yang bijak dan penandaan filem yang jelas. David Teo masih menerbitkan filem-filem bertemakan Islam. Tahun 2012 sahaja, David Teo telah memperkenalkan sebuah filem Islam pop, 7 Petala Langit, setelah membikin dua filem pop Islam sebelumnya, Syurga Cinta dan Aku Masih Dara.
Erma Fatima sebenarnya mula mewajahkan pendirian “Islam” dalam filemografinya apabila beliau membikin Perempuan Melayu Terakhir (1999). Wacana yang wujud dalam filem itu meneliti persoalan sekumpulan Melayu yang mencari maksud Melayu dan Islam dalam kerangka dunia moden dan materialis. Sikap Erma detik itu masih membuka persoalan “perbincangan”, malah filem tersebut banyak menyampaikan monolog-monolog panjang berkenaan “pencarian” hakikat yang paling utuh sebagai makna diri Melayu dan Islam. Terdapat konflik yang disampaikan dalam bentuk figura tokoh berserban Engku Leh lakonan Azri Iskandar. Engku Leh seakan-akan memberikan simbol fundementalis Islam yang terlalu “melangkaui” kesederhanaan dalam hidupan konsesi Melayu Islam Malaysia (pada era ini, banyak bayangan tersebut memasuki filem Malaysia, seperti Fenomena [1990] dan Selubung [1993]). Persoalan ini selalu sahaja menjadi tema dalam drama dan telefilem Erma yang seterusnya. Persoalan wasatiyah (kesederhanaan) banyak dijelmakan.  
Permasalahan filem dan drama Erma (walaupun terdapat beberapa yang amat baik dari segi bentuk dan estetika) masih terperangkap dalam memberikan “kata-kata” pada wataknya. Filem merupakan suatu medium yang bergerak dengan imej. Imej yang bergeraklah yang berkata-kata. Apabila sesebuah filem yang terlalu sarat mengutarakan kekuatan dialog yang panjang-panjang ataupun monolog lalu mengabaikan gerakan imej (rujuk filem-filem Terrence Mallick sebagai suatu perbandingan berlawanan), maksud bentuk filem itu sendiri dikhianati. Malah, filem tersebut bukan lagi filem (imej bergerak) tetapi drama radio (kata-kata yang bergerak). Malah persoalan ini yang masih menjadi perangkap terbesar dalam konteks filem dan drama Erma Fatima, lebih-lebih lagi dalam kefahaman estetika dalam perfileman dengan kefahaman estetika dalam Islam.
Namun begitu, Erma Fatima masih dikatakan menjadi antara “populis” yang merakyatkan bentuk filem beracuan “Islam”. Erma sekurang-kurangnya mencuba, dan sudah menambahkan nilai dalam hal mendepani dunia hedonisme yang selalu dikaitkan dengan filem dan industrinya. Kini, beliau dan suaminya, Bade Haji Azmi, berserta penulis Faisal Tehrani sedang menyampaikan suatu “gagasan baharu” dalam seni penceritaan hal Islam dalam bentuk televisyen dan filem.
            Faisal Tehrani terperosok dalam kancah perfileman Islam setelah mengkritik Gubra (2006), karya arwah Yasmin Ahmad (sehingga arwah membikin Muallaf (2008), khusus untuk mengusiknya dan gaya perdebatannya). Faisal memperkenalkan revolusi "filem Islam"nya dengan teliti dan revolusioner dalam Sebongkah Batu di Kuala Berang, sebuah buku yang agak kontroversial kerana mengaitkan ideal dan pengisian novel itu dengan pemahaman "Syiah” yang difahami Faisal. Manifestasi Faisal mengibaratkan si pelaku di hadapan kamera sesungguhnya patut menampilkan amal makruf nahi mungkar (di hadapan dan di luar kamera), sesuatu yang sama dipinta oleh Erma Fatima. Faisal mendalami lagi maksud “filem bercirikan Islam” dengan menyatakan filem, suatu hasil seni paling masyarakat seharusnya menyampaikan “kebenaran”. Kebenaran dalam erti kata Faisal wujud dalam filem yang seharusnya menangkap realiti (rujukannya, The Road to Guantanamo [2006]).
Filem “kebenaran” Faisal menyerupai maksud mimesis filem, ataupun sikap benar cinéma vérité (menangkap yang sebenar-benarnya). Lebih baik daripada itu dan dengan radikalnya, Faisal berani menjelaskan (dan hal ini melanggar kelaziman wayang singkapan Dr. Anuar Nor Arai mahupun Hizairi Othman, walaupun pernah cuba dimasyarakatkan oleh Mansor Puteh) kegunaan nahu dan istilah khusus dalam bahasa Melayu terhadap teknik dan gaya pembikinan filem. Kata "potong" menggantikan "cut" misalnya. Faisal menakrifkan, permasalahan pandangan alam Melayu-Malaysia sudah terpesong lalu mengakibatkan sikap pelakunya meminjam segala-galanya yang terwujud dalam pandangan alam yang sedia ada dalam filem Barat. Dan hal ini termasuk juga sikap terbuka secara fizikal dan pemikiran penggerak seni, yang dijelmakan dalam sikap hedonisme mereka yang agak terkenal dalam dunia artis hiburan. Maka bahasa Melayu yang sudah sedia tahu diislamkan (hal ini mengambil pendirian Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas) dengan nahu dan pendirian asas yang benar sahaja yang dapat menyampaikan maksud pandangan alam Melayu-Malaysia yang benar dengan hakikat kotemporari hidup masyarakatnya. Sikap “sopan”, “beradab”, dan “berilmu” dalam bahasa Melayu dapat memancarkan suatu bentuk teknik pembikinan dan aspirasi baharu dalam perfileman.
            Idealisme Faisal ini menarik tetapi masih menunggu untuk direalisasikan oleh para penggerak industri. Pada tahun 2012, Faisal ada menghasilkan sebuah skrip telefilem untuk pengarahan Bade Hj. Azmi, Pelangi Ada Tujuh Warna sebagai personifikasi idealisme tinggi Faisal Tehrani.
            Namun begitu, idealisme tinggal idealisme. Telefilem tersebut cuba menyampaikan rentak dan ekspresi “Islam”, namun tersungkur dalam sikap “bercakap-cakap”nya. Watak hanya bercakap dan bercakap tanpa menyampaikan maksud imejan. Hal ini adalah kerana, filem bukan novel, dan filem bukan radio.
            Filem mempunyai nahu dan tatanya yang tersendiri. Paling utama adalah imej, kemudian suara. Dalam imej, pancarannya juga kompleks, pencahayaan digaul dengan latar yang dipilih dengan terancang (ada yang tidak dirancang), meletakkan sudut letak yang betul buat watak. Kemudian syot-syot pelbagai, setiap sudutnya mempunyai ceritanya yang tersendiri, dipanggil tanda (sign), serta objek atau alat pelengkap (prop) yang bersama-sama dengannya. Kemudian gerakan, cakapan, lantas imej-imej itu yang pelbagai, disatukan dalam suatu suntingan yang membuat filem itu lancar seperti sungai mengalir.

Pandangan Alam Manusia Melayu
Bagaimanakah kita, anak-anak Melayu mencari makna dalam simbolisme; tanda dan penanda yang boleh dikait guna dalam filem? Tanda dan penanda penting dalam membayangkan kekuatan imej yang dihidupkan dalam filem, tidak nampak dibuat-buat (pretentious), tetapi wujud, indah, dan terselit secara tersirat (subtle) di dalam filem, lalu memunculkan falsafah, pemikiran dan pemahaman yang berkait dengan konteks Melayu yang Islam.
            Menurut Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh (2012), latar alam merupakan ruang paling jelas yang menawarkan suatu latar bagi manusia untuk berbudaya dan mencari maksud falsafahnya dalam dunia. Menurutnya:

Manusia yang menghuni dunia ini mahu tidak mahu harus membaca semua yang berlaku dalam alam – pada tanah, air, angin, langit, awan dan sebagainya ... Secara tidak langsung manusia menjadi pemerhati yang menanda dan mengingati fenomena atau perlakuan serta tabiat yang berlaku pada alamnya. ”
(Muhammad Haji Salleh, 2012: 2)

Setiap perilaku dan gerak alam menjadi penting dan memberi makna terhadap orang Melayu yang Islam. Unsur alam yang di”kutip” lalu diserta kaitkan dalam penulisan, lisan bacaan (pantun umpamnya), dan ukiran menjadi wadah yang membawa maksud-maksud tertentu. Dahulu (sebelum kedatangan Islam) kemungkinan mengisi maksud ritual dan simbol keagamaan, namun dengan kehadiran Islam, simbol alam menyampaikan metafora tertentu yang berkait kuat dalam falsafah dan penyampaian maksud, yang berkias mahupun praktikal dalam kehidupan masyarakatnya.  
Dengan kedatangan Islam, kelaziman motif ukiran Melayu lama berbentuk Garuda (yang berbekalkan pandangan alam Hindu-Buddha) di pangkal sampan nelayan berubah bentuk. Tidak ada lagi mata dan paruh, hanya awan larat berwarna garang berwarna-warni seakan-akan awan yang hidup dan tetap mengharungi angkasa dan angin laut.  
            Simbolisme Prof. Syed Naquib al-Attas terhadap tulisan jawi berbentuk tanda ayam jantan berkokok di depan kulit buku-bukunya sendiri menawarkan maksud falsafah yang tertentu. Ayam berkokok itu bukan sahaja menampilkan ayam mencari rezeki atau kisah ayam melihat malaikat (dikatakan, kalau ayam berkokok, kerana memuji Allah kerana dapat melihat malaikat lalu), tetapi penandaan kebangkitan pencerahan (yang sepatutnya) dalam pemikiran, nafas, dan roh manusia Islam (Melayu). Malah ayam berkokok adalah saintifik dunia Melayu melihat masa (rujuk berapa lama Puteri Gunung Ledang yang sebenarnya Islam memohon janjinya ditunaikan mengikut putaran ayam berkokok) - hal yang lagi mengikat dunia Melayu-Islam-Malaysia yang amat organik, begitu menyatu sekali dengan alamnya yang luas dan terbentang oleh Maha Pencipta.
            Oleh sebab kegagalan para pembikin kita memahami imejan yang sedia ada dan tersedia wujud dalam alam Melayu sedari Merah Silu memasuki Islam (sekitar abad ke-11), menyebabkan mereka meminjam imej dan bentuk filem yang alamiahnya lebih jauh daripada kita. Maksud imej sebegitu hanya sesuai dilihat atas kaca mata Barat (yang kadangkala diangkat sebagai universal atau plural) yang moden, tetapi jelas tidak membawa apa-apa maksud dan roh terhadap jiwa Melayu. Mungkin sebab itu, pembikin filem kita tidak tercapai akal, dan hanya dapat menampilkan Hang Tuah rebah bersalib dalam Puteri Gunung Ledang (2004) dan wajah kacak Remy Ishak dalam Nur Kasih The Movie (2011) dipukul badai pasir Sahara (dan sebelum itu, Jehan Miskin dipukul pasir Pakistan dalam Qaisy & Laila [2005]) tanpa apa-apa makna yang besar.


Tsu Feh Sofiah (1986)

Pemerian Alam Melayu dalam Tsu Feh Sofiah (1986)
Setakat ini, sebagai rujukan yang boleh dimasukkan di dalam pancakarya (canon) perfileman Malaysia berkenaan kekuatan memerikan Alam Melayu (Islam) dalam filem Malaysia, kita bolehlah merujuk filem arahan pengarah yang selalu dilupakan, Rahim Razali dalam Tsu Feh Sofiah.
            Rahim Razali merupakan seorang pengarah serius yang melawan kebiasaan filem-filem pasaran Malaysia era 1980-an. Rahim yang mempunyai latar belakang drama pentas, telah membawa banyak bentuk pandangan alam yang jitu terhadap maknawi Melayu dan Islam. Tsi Feh Sofiah merupakan filem perdana beliau yang memenangi filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-6, dengan merangkul enam anugerah, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik, dan lakon layar terbaik.
Filem berikut membuka kisah seorang doktor wanita Tionghoa, Tsu Feh (Jacqueline Mitchell) yang kembali ke pulau ibunya. Tsu Feh ke sana bukan sahaja kerana mengambil cuti daripada kesesakan dunia material bandar, tetapi cuba menyelesaikan wasiat yang diperturunkan oleh ibunya kepadanya, yakni mendalami Islam dan meneliti maksud Al-Quran. Sewaktu di pulau itu (dibayangkan sebagai Pulau Langkawi), Tsu Feh menyedari kedamaian dan ketenteraman yang pernah dirasainya sewaktu kecil apabila menemani ibunya dirosakkan dengan sikap politik dua kumpulan orang Melayu. Pada masa yang sama, Tsu Feh mengenali seorang guru yang duda lakonan Rahim Razali yang membukakan matanya terhadap politik di pulau itu dan cara terbaik untuk menyatukan kembali perpaduan orang Melayu di situ. Dalam masa yang sama, Tsu terus tertarik dengan cikgu itu dan memeluk Islam. Petanda keislaman Tsu Feh (yang kemudiannya dikenali sebagai Sofiah) menyebabkan pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan perpaduan umat Islam di pulau itu tercabar.
            Pembukaan filem klasik itu sendiri dengan jelas menampilkan maksud tanda dan penandaan alam Melayu bercirikan Islam. Kita dipaparkan dengan suatu kemalangan (makna kemalangan dalam filem adalah fungsi menarik dramatik, serta memberi keterujaan persembahan kerana sikap "kejutan" tragedinya yang banyak dimainkan dalam filem melodrama, serta berkaitan dengan pengubahan susur plot lantas mendatangkan motivasi yang "mengejutkan" atas kemalangan). Pada masa itu, Tsu Feh yang mahu tidak mahu (selepas dia berasa kalut dan tidak dapat meneruskan tugasnya di klinik) menolong seorang wanita Islam di dalam lori untuk melahirkan anak. Babak ini sengaja di buat dalam suasana malam, guruh berdentum dan hujan lebat. Hanya cahaya lampu suluh menyuluh doktor itu membantu si wanita hamil. Kita faham sesuatu di sini. Kita tidak nampak imej "darah", suatu imej refleksi umum yang "menakutkan" dan alamiah. Kita hanya nampak cahaya kecil lampu suluh, suara hujan, suara bimbingan doktor itu mengarah si wanita untuk meneran. Lalu bayi itu terkeluar, terdengar tangisan bayi yang kuat. Kelahiran berlaku. Ciptaan tercipta. Hidup. Suara apa yang berlaku selepas itu di dalam gelap? Dalam ketertiban, bayi itu diberi kepada seorang lelaki tua berkopiah (lakonan Haji Arshad, yang kita akan kenal sebagai lelaki berpengaruh di pulau yang akan dijenguk oleh Tsu Feh) lantas suara Azan yang kuat dan berkumandang, mendayu berdenting di telinga Tsu Feh. Suara runut tiba-tiba berkumandang. Dalam mis-en-scne itu, kita menyedari, Tsu Feh terpampan.
            Lantas imej seterusnya, cahaya, sinar, lautan luas dan bot yang melaluinya. Indah. Kuasa Tuhan, ciptaan-Nya. Tanda awal ini, yang kita amat kenal, diikatkan pula dengan suatu babak "kelam" warna biru, samar-samar yang menyingkap kisah lama Tsu Feh kecil mendekati ibunya yang barah yang dalam diam, mendekati Islam. Dalam babak (mendekati) klimaks, Tsu Feh masuk Islam sebagai Sofiah. Saat itu, Sofiah dilimpahi cahaya, dengan tudung lintup putih, bersyukur. Babak kemudiannya, Sofiah bersama Rahim Razali di tepi batuan, ombak menderu dan menghempas dalam kegelapan malam. Saat itu, Sofiah berkonfesi, merasakan, buat pertama kali dalam dirinya terasa sesuci seorang bayi yang dilahirkan. Kita teringat dengan babak awal filem yang juga malam, bayi dilahirkan. Kelahiran "Islam" Tsu Feh suatu misteri (penanda: gelap-malam), sebagaimana Tsu Feh/Sofiah merasakan "kelahiran bayi" pada babak awal yang dilakukannya sendiri. Paling menarik, kedua-duanya mendekati "air", yang awal, air hujan lebat (dalam tanda Islam dapat disimbolkan sebagai rahmat Tuhan yang sebenar, Kekuasaan Tuhan terhadap sesuatu yang dicipta-Nya, memberi rezeki), dan babak klimaks itu, ombak menghempas batu tempat Tsu Feh meluahkan perasaannya kepada Rahim Razali (kaitkan dengan babak keindahan tadi, Rahmat yang kini menyelubungi dan menyentuh Tsu Feh/Sofiah).
            Air menandakan suatu imejan yang kuat di sini, menyampaikan maksudnya yang benar seperti ayat Al-Quran yang berikut:

“Dia yang utuskan angin, membawa berita gembira di hadapan pengasihan-Nya sehingga apabila ia membawa awan yang berat, Kami halau ia ke tanah yang mati, dan dengannya turunkan air, dan keluarkan dengannya segala buah-buahan. Begitulah Kami keluarkan orang yang mati supaya kamu mengingati.” (Surah Al-A’raf:57)

            Rahim Razali memahami sufisme Melayu Islam dengan alam hakikat yang penuh misteri. Pulau yang dihirup udaranya oleh Rahim Razali dan saudara-maranya adalah pulau sengketa (masa itu, parti PAS dan UMNO bertelagah, era Anwar Ibrahim mula memasuki UMNO). Dua kumpulan, satu ekstrem agama dan satu lagi moderat/sederhana saling bertelingkah. Sikap ketidakwarasan orang kampung di pulau itu (lebih-lebih lagi sikap ekstrem mereka) menyebabkan Rahim Razali ingin berbuat sesuatu (the voice of reason), namun selalunya gagal. Dalam sebuah babak, sang ibu Rahim Razali berteleku dalam tafakur diri di tepi pantai suatu pagi, memandang ombak. Si ibu seperti suatu kisah lama si majnun yang merindui bunyi ombak. Si ibu berbicara tentang mimpinya bahawa ada "wali" yang akan datang menyelamatkan pulau itu, keluar dari perut laut. Rahim sengaja meletakkan si ibu di tepi laut, menandakan signifikasi laut (air) sekali lagi (yang membawa ramalan kehadiran Rahmat ke pulau itu).
            Satu babak berlaku. Tsu Feh yang berenang seorang, tiba-tiba lemas kerana dihempas badai laut yang bergelora. Rahim Razali yang sedang memerhati pantai ternampak, lantas melompat masuk ke tengah ombak ganas. Tsu Feh diselamatkan. Rahim tidak menyedari, wanita itulah "penyelamat" yang dikatakan ditemui ibunya dalam mimpi. Misteri ini hanya "wujud" kepada mereka yang "yakin" dan percaya kepada "misteri" Kerja Tuhan, sepertimana kemisteriusan Khidir apabila Nabi Musa a.s. cuba berguru dengannya.
            Pada klimaks filem (yang antiklimaks bagi ramai penonton), Tsu Feh yang kini Sofiah dicolek dan dibawa kembali ke tanah besar oleh sekumpulan penjenayah yang merancang untuk memporak-perandakan pulau itu. Sofiah hilang, lenyap tanpa jejak dan kejar Rahim Razali dan orang kampung yang menyayanginya. Lantas laut terus membadai ombak besar, memukul tiang jeti. Wajah Rahim Razali sedih, "kekasih"nya hilang (rujuk dengan kita berkekasih dengan Tuhan). Benarlah, dia sedar, kata-kata ibunya, si wali itu datang dengan misteri dan kembali dengan misteri, sepertimananya Islam. Rahmat Tuhan yang misteri dan berkuasa, terus memenuhi imejan layar, tidak memberi apa-apa jawapan tetapi wajarlah bertafakur kerana mengetahui setiap ketentuan-Nya punya hikmah yang terselindung. Dan terselindunglah ia di balik awan dan langit yang mula meremang. Lantas runut bunyi M. Nasir nyanyian Ramli Sarip berkumandang: "Kaulah Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, tiada aku tanpa-Mu."

Kesimpulan
Penulis cuba menitip sedikit titisan air yang dijelmakan dalam Tsu Feh Sofiah. Namun dengan jelas, paparan pandangan Alam Melayu yang tersirat secara puitis dalam filem itu memekarkan maksud-maksud yang tidak lari daripada kefahaman alam Melayu yang Islam. Hal ini sewajarnya diteliti untuk menyedari, terdapat beberapa filem, lampau mahupun terkini yang sebenarnya, tersimpan kod-kod imejan yang menyenangi kesedaran dan pengalaman yang dirasai oleh orang Melayu jika dibandingkan dengan kebanyakan filem kontemporari yang wujud sekarang. Perkara dan unsur sehalus inilah yang harus didalami oleh para pembikin Malaysia agar menyedari jambatan yang sekian lama dirobohkan, dapat dicantumkan, agar penonton dapat mengikat maksud makna dirinya dengan pandangan alam yang mewakili latar belakangnya. Jalan yang dahulunya sesat dengan pelbagai bentuk “isme” dalam perfileman dapat dikembalikan dengan kefahaman unsur tanda-penanda ini. Penulis skrip, pengarah, dan penerbit harus mengambil serius perkara ini jika berkobar-kobar untuk memahami “misteri” keindahan filem Iran, oleh sebab filem Iran yang ternampak mudah sarat dengan imej-imejan yang tersirat halus membawakan makna dan pengertian. Yang sebenarnya, alam Melayu kita juga tersarat penuh dengannya, hanya menunggu untuk disunting dan dijelmakan dalam layar yang bermakna.


RUJUKAN

Buku
Fadli al-Akiti, 2013. TontonFilem, Kuala Lumpur: Suara Kata.

Faisal Tehrani, 2012. Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan, Kuala Lumpur: Unit Buku Harakah.

Faisal Tehrani, 2011, Sebongkah Batu di Kuala Berang, Kuala Lumpur: PTS.

Hamzah Hussin, 1997. Dari Keris Filem ke Studio Merdeka, Bangi: Penerbit UKM.

Muhammad, Amir, 2010. 120 Malay Movies, Kuala Lumpur: Matahari Books.

Muhammad Haji Salleh, 2012. “Pandangan Alam Manusia Melayu”, Pandangan Melayu Pancaran Sastera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pautan

Ibnu Hasyim, “PAS Akui Pengarah Abu Hassan Morad dan Erma Fatima”, Ibnu Hashim 22 Januari 2011.
http://www.ibnuhasyim.com/2011/01/pas-akui-pengarah-filem-abu-hassan.html (26/10/2013)

Ku Seman Ku Hussein, “Poetic Justice dan Filem Melayu”, Utusan Online 30 April 1998.
http://www.filemkita.com/maklumat/artikel/artikel_06.html (26/10/2013)

“Jadikan Filem Media Dakwah”, PASPB 21 Januari 2011. http://paspb2.blogspot.com/2011/01/jadikan-filem-media-dakwah.html (26/10/2013)

“Unsur Syiah dalam Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang”, Suara Jagat: Membasmi Ajaran Sesat 19 Disember 2011. http://suarajagat.wordpress.com/2011/12/19/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-1/ (26/10/2013)

04 November 2013

3 Filem untuk Haloween 2013

Aku sengaja tak mahu mengulas Insidious Chapter 2 (2013) kerana tahu filem itu mahu tidak mahu akan aku tonton dan suka. Yeap, filemnya bagus tapi dengan meletupnya The Conjuring, aku tak rasa filem sekuel James Wan ini tidak akan tidak diketahui orang. Tahun ini juga nampaknya untuk penonton menunggu bisem Carrie, namun ada tiga filem seram daripada latar belakang berbeza yang mungkin menarik untuk diteliti Haloween tahun ini:

Odd Thomas (2013)
Filem bebas bikinan anak emas Disney pada zaman dahulu dan perosak (ada yang kata pembina semula) empayar filem seram klasik Universal, Stephen Sommers tetap bersahaja dan sikap bermain-mainnya dengan kekuatan gerak kamera dan perkembangan para wataknya mengadaptasi sebuah novel Dean Koontz yang tidak terkenal namun memberikan suatu perjalanan fantasi yang menghiburkan seangkatan dengan kegelapan yang pernah dibawa oleh Peter Jackson dalam The Frighteners (namun filem Peter itu sebelum LOTR ialah sebuah klasik!). Mainan filem Ghost (ada sebuah dialog yang sengaja memberi rujukan terhadap Sixth Sense: "I see dead people, but then by God I'm doing something about it!") dengan sikap fiksyen sains mengejar masa dan si detektif hantu (teringat Nazri M. Annuar tiba-tiba) memberikan suatu kisah masam manis hidup yang just sweet. Walaupun Koontz bukan King, namun jelas Koontz tahu bila mahu mengindahkan suatu yang klise dan pernah dibuat, dan Sommers dengan jayanya menyampaikan maksud pekan kecil kelolaan si lelaki Odd Thomas (lakonan sangat menyentuh Anton Yelchin) yang pelik pada yang tidak memahami namun menakjubkan buat mereka yang mengenali. Ada plot berkenaan nak kiamat yang didalangi kumpulan penyembah setan yang menarik. Suatu perjalanan kisah pari-pari gelap yang menarik dan ditulis dengan cantik. Ya, sesuai untuk mat bunga yang suka hantu.

Rigor Mortis (2013)
Filem arahan artis muzik Juno Mak ini mungkin tidak seram (namun aku percaya kawan-kawan Cina kita merasainya seram atas nama kepercayaan) namun ia dilemparkan dengan kanvas yang sungguh cantik dan wajah berirama. Menarik lagi ialah jika kau dapat peluang membaca sari kata bahasa Melayu yang tunggang langgang namun sebenarnya merupakan terjemahan literal Kantonis yang diutarakan untuk memahami kenapa babak-babak tampak serius ini sebenarnya kelakar dan cukup menyampaikan homaj indah terhadap hantu lompat-lompat yang kita kenali dalam filem seram (komedi) Hong Kong (macam yang klasik Mr. Vampire itu). 

Mungkin orang tidak peduli hal ini namun ini sebuah filem seram "mesti tonton" hanya untuk melihat bagaimana Mak mengambil ekspresionis yang kita fahami dalam Nosferatu dan Vampyr lalu menciptakan sesuatu yang begitu cantik dalam kefahaman hantu "bangun" paling ditakuti (kerana dibangunkan kerana ilmu hitam) dalam budaya dan kepercayaan Cina, malah lebih ganas lagi dengan maksud-maksud dahulu yang tidak dapat disampaikan atas sebab LPF Hong Kong zaman dahulu macam celaka kini dapat direalisasikan dengan begatu grafik. Banyak ketahyulan dan dunia surreal dimainkan (memasuki alam-alam ghaib ini antara yang terbaik, yang memang kadang-kadang penonton Barat sahaja yang tersesat kerana terlalu mengikut tauhid rasionalis mereka) serta drama kekeluargaan yang melodrama dan menyentuh namun tidak selalu berjaya kerana desakan cerita yang terlalu menakjubkan dan beberapa plot lubang dan babak janggal (watak yang tiba-tiba muncul entah dari mana dan bertanya soalan-soalan bodoh). 

Namun filem ini ditonton bukan untuk dicari kesalahannya namun apa yang dicari ialah desakan mewarnai imaginasi imej dengan rentak kung fu dan hantu yang menyesak. Chin Siu-ho agak pelik (dan kadang-kadang meloyakan) dalam gerakan lakonannya, namun filem ini benar-benar hidup dengan kehebatan Anthony Chan Yau, sang Taois yang sudah berubah sebagai pemasak pangsapuri lama di Hong Kong. Tengok dengan teliti, ini mesin mainan Mak menciptakan sebuah "dunia filem" yang dilupakan, diisi oleh orang-orang lama yang menunggu mati (atau belum bersedia hendak mati), suatu memori lama "Hong Kong" aspirasi anak Cina (dan juga representasi filem Hong Kong zaman itu) era 80-an yang kini sudah lama dimakan kemodenan dan kuasa sentiasa ada tanah besar China (dan sofistikated orangnya sekarang). Namun di sinilah percubaan Mak untuk menyampaikan suatu yang besar berterabur, dan jelas suatu filem "gaya menangani kandungan", namun betapa indahnya gaya itu untuk dipedulikan.

Highland Tower (2013)
Ada suatu perbalahan aku dengan Ajami tentang filem ini. Walaupun aku setuju, filem ini tidaklah mencapai terror seperti Seru, namun ia sesuatu filem seram Malaysia tahun ini yang amat menarik, lebih-lebih lagi dengan percubaan produksi MiG dan Pierre menjual filem ini sebagai suatu "dokumentari" seperti mana percubaan yang berjaya dilakukan oleh Blair Witch Project. Pembayangan "realiti dalam fiksyen" ini amat dipuji.

Namun kepada penonton filem seram, tidak ada apa-apa yang baharu dengan genre "found footage" ini, namun ada penyimpangan. Filem ini mengingatkan aku kepada Apartment 143 (2011) dengan maksud mengapa filem Blair Witch Project dibuat. Apa yang lebih menarik lagi ialah keberanian Andre melakukan dua perkara:

1. Jika kita teliti sejarah filem seram MiG, sebelum Pontianak Harum Sundal Malam mengganggu kuasa pihak pemerintah, LPF berperangai iblis dengan memberikan arahan filem seram mesti dibayangkan sebagai suatu mimpi yang panjang. Masuklah filem Mistik (2003) arahan Razak Mohaideen terbitan filem seram David Teoh yang pertama, sebuah filem seram paling celaka dalam sejarah perfileman Malaysia. Plot filem ulangan klise itu (dan terus diguna oleh pembikin lain, kalau tidak percaya, rujuk Penunggu Istana dan Dilarang Masuk) mengisahkan sekumpulan remaja yang bodoh membawa kamera dan kelengkapan lalu masuk (sesat) ke dalam banglo di tengah hutan. Selepas itu entah apa-apa yang berlaku dan sang gadisnya tak habis-habis menjerit-menjerit dan menjerit kerana telah melihat anu paling besar di tengah hutan, lantas lari lintang pukang. 

Kini, hal yang sama berlaku namun Pierre memberi suatu rasional dan "doku" yang menarik: Mikail Andre dan Niezam Zaidi nak buat filem dokumentari dengan duit David Teoh.

2. Selain sebagai tempelak kepada kebodohan Mistik (dan mengatakan kepada David bagaimana plot ini boleh diguna pakai dengan cara yang lebih realistik lalu mengencing meja dekan Razak), filem ini juga sebuah filem tentang bikin filem: bagaimana nak buat filem dengan David Teo. Dan bagi aku, ini suatu kegeniusan Pierre. Filem ini tentang proses industri MiG (ada satu bahagian Niezam dengan jujur menyatakan MiG suatu produksi besar dalam negara: kita teringat Run Run Shaw dan Malay Film Productions) dengan kehadiran Azahari Zain "Aku selaku pengelola projek filem ini!" dan David (kita hanya nampak kelibatnya, tidak pernah suaranya!) yang menggerakkan "dari belakang" proses Mikail dan Niezam. Di sini Pierre melakukan suatu yang menarik. Kalau kau sedarlah: Mika dan Niezam, dua budak bijak (tak, bodoh, hahaha) anak Melayu yang berkobar nak buat filem DENGAN BAJET CIPUT dan MASA YANG PENDEK: mereka buat dokumentari (tanpa pelakon) ke suatu latar takyah keluar belanja! Wallah! Kau dapat sebuah filem! Genius! Aku tepuk tangan dan ketawa setiap gerak babak. Orang lain menjerit takut, aku ketawa terbahak. Klu untuk hal itu. Rujuk kat mana tempat si hantu tunjuk tempat "asal usul"nya, dan kau akan faham apa ke benda segala maksud filem ini dibikin.

Namun, sindiran sebagai selingan, filem ini mampu memberi babak-babak seram yang bagi aku efektif UNTUK sebuah filem MiG. Tidak ada runut bunyi Brian Ng langsung! Aku sujud syukur. David macam dah bertaubat. Ada babak yang hanya orang yang teliti yang akan sedar, sesuatu "berlingkar" tanpa ditunjukkan, suatu kualiti dalam filem-filem"dokumentari" begini yang kita akan ingat mengapa filem macam Blair Witch efektif suatu hari dahulu. Walaupun plot "ruang dimensi berlainan" filem ini lemah (rujuk filem Rec untuk suatu latar alamiah yang lebih kuat) namun penimbulan dan gerakan selamba para pelakonnya berjaya membawa suatu realisme yang jarang-jarang diperlihat. Sampai dalam panggung, banyak penonton termangu-mangu dalam ketakutan: "Ini betul, semua ni macam betul?"

Suatu kerja Pierre yang dapat dipuji, berani kerana menyentuh sebuah genre yang sudah mula tepu dan membosankan namun memberi kesegaran buat barisan filem MiG yang kita sudah sedia kenal bentuknya.

Selamat Haloween semua. Sama-samalah kita tunggu Carrie dan Penanggal.