05 August 2014

Femina(1994): Chic Flick Aziz M. Osman 90-an

Mutu kulit VCD filem ini zaman itu. Eja tajuk pun salah. 

Mengimbau masa kecil aku, filem ini merupakan antara filem kegemaran peribadi aku era 1990-an. Jika kalian sudah membaca ulasan A. Wahab Hamzah dari Utusan Malaysia, kalian akan menyedari Wahab agak kritikal terhadap filem ini. Ulasannya merupakan antara ulasan yang aku tolak sewaktu kecil (filem ini ditayangkan serentak dengan Fantasi pada hari raya 1994). Aku rasa, Wahab terlalu terperangkap dengan singkapan wacana serius, menolak pendirian dan kemahuan genre (di sini, komedi romantik, yang kini lebih dikenali sebagai chic flick, yakni lebih cenderung untuk tontonan wanita dengan resepi dan formulaik kisah orang perempuan dewasa yang mengikat imbauan komedi, romantik dan sedikit genre drama atau melodrama). Hal ini memanglah biasa jika Wahab terlalu mengagungkan Ariffin C. Noer dan Teguh Karya. Dan bagi aku, perbandingan ini tentulah tidak adil (Selubung dan Isteri, Perempuan & ... yang disentuh secara lalu juga merupakan genre drama) dan terpesong daripada maksud langkah Aziz memasuki genre komedi.

Malah, komedi ini (yang sangat baik daripada Aziz) merupakan trilogi komedi Aziz terhadap emansipasi pengalaman wanita, atau "Wanita Aziz" (rujuk Puteri Impian, yang bersama sekuelnya, dan Idola, Aziz juga mempunyai trilogi drama wanita, seperti Fenomena, Fantasi, dan Seri Dewi Malam).

Apakah pendekatan yang diambil oleh Aziz? Sememangnya, sesiapa yang hidup pada zaman 1990-an sudah tentu akan menyedari kehadiran Minahleter, kolumnis wanita(?) dari majalah komik popular Gila-gila yang bersuara kritikan feminis yang keras (dan menyindir) terhadap "ketidakadilan" lelaki atau golongan patriaki. Minahleter semacam menjelmakan citra wanita "panas hati", pascaera janda berhias 1970-an yang mengambil sikap feminis Barat tetapi dengan sikap lokal yang lebih mempersenda-sendakan peranan dan pengatucaraan lelaki "Melayu" yang selalunya menghasilkan pengalaman sosial yang negatif terhadap golongan wanita, dan secara geramnya, kadangkala Minahleter menyatakan keburukan ini juga terhadap golongan lelaki. Minahleter ialah bayangan wanita Melayu yang tinggal di pulau ala Amazon dengan pen di sebelah tangan dan parang di tangan yang lain (siri ini amat popular sehingga terdapat kolum lelaki, Mat Romeo yang membalas bebelan feminisme Minahleter). Segala "leteran" dan geraman Minahleter ini semacam diimbaukan dengan mata moden oleh Aziz dalam filem ini.

Hal ini juga bagi aku, Wahab "lost the point" tentang sisi komedi Femina. Filem ini dengan susunan komedi tentulah menampilkan idea absurd yang lucu untuk mengimbau gelak ketawa. Babak awal dengan aerial view yang tiba-tiba menampilkan rakaman liputan kumpulan lelaki "merusuh" di hadapan dewan seminar di mana Nina (Erma Fatima) akan berucap untuk women empowerment. Babak ini sahaja memikat, memaksa penonton menjadi "Tuhan" yang turun dari langit, melihat masalah anak-beranak Malaysia waktu itu yang secara tidak sengaja kelihatan "tunggang terbalik" terhadap konsensus zaman, sekali gus mengikat poin ini dengan isi ceramah tipikal era itu: dunia sudah hendak kiamat. Perkara ini sahaja sudah membayangkan pula gaya dan prespektif "salah" patriaki terhadap Nina dan Anita (Susan Lakanster) dan organisasi mereka (menjadi lelaki) yang semenangnya "tanda-tanda akhir zaman" (kalau kita pandang hal ini secara pascamoden, hal ini sudah kelihatan kolot dan lebih menggelikan kita).

Menarik lagi, jika diteliti, kebanyakan mob lelaki itu memakai baju "orang pergi pasar", kasual dan kelas menengah biasa. Hal ini bertentangan dengan imej profesional, korporat dan moden Nina dan Anita (yang juga disalah ertikan sebagai pakaian lelaki. Rujuk sejarah Coco Chanel dan Yves Sains Laurent berkenaan perubahan kod pemakaian ini). Maka imej Nina dan Anita bukan sahaja "baharu" (the other) tetapi seakan-akan menimbulkan perspektif kelas atasan, posh, terhadap kusut masai, rendah kelas kaum lelaki. Ini sahaja menimbulkan cemikan menarik.

Kemudian, kita diberi babak awal Nina melepaskan perasaan tidak yakin di hadapan cermin. Kita teringat akan babak terkenal Robert De Niro dalam Taxi Driver (Pak Hassan pernah beritahu, watak yang bercakap di hadapan cermin selalunya watak yang "rosak" atau kurang siuman). Dalam pengamatan aku, kebanyakan filem seram memulakan babak awalnya dengan protagonis melihat cermin(!) Adakah ini filem seram? Tak mungkin! Tapi ada penanda keterbalikan atau "melanggar kebiasaan" di sini. Adakah pelanggaran kebiasaan di sini? Ya, walaupun biasa dan bukannya di luar dugaan atau shocking (seperti Tootsie). 

Kita akan mengikuti jalan cerita Nina yang akan menimbulkan "plot" dengan penjalinannya terhadap watak blue collar Pyan (Eman Manan) di tengah jalan raya di Dataran Merdeka. Lihat di sini kembali, watak "kalah" lelaki pada awal babak tadi kini memberi ruang seorang lelaki sebagai wakil perwira mereka. Pyan sendiri ialah tauke dan pemandu bas mini. Golongan kelas yang sudah tentu bawah daripada refleksi korporat Anita dan Nina, tetapi tampaknya, Pyan tidak mengalah, dan melepaskan retoriknya yang seksis dan seksual terhadap peranan wanita/lelaki. Aku masih ingat sampai sekarang dialog mengunyah tetapi simplistik (dan kita masih berdialog begini dalam realiti, kalau tidak percaya, tanya menteri kita) Pyan bahawa jika wanita yang bekerja lalu membiarkan anak bayi mereka tidak tersusu dan menyusu susu lembu: "Jadilah kita masyarakat lembu."

Hal ini menjadi menarik lagi apabila dengan tiba-tiba, Pyan yang sudah dimalukan (Pyan dipaparkan seperti mana lelaki lain terliur melihat aksi model wanita di tepi Dataran Merdeka, suatu rakaman foto Nina untuk editorialnya. Hal ini menarik apabila Nina mencaknakan wanita sebagai produk seks, walaupun majalahnya sendiri yang menjual penguasaan wanita) tiba-tiba mencari alasan untuk mendekati Nina (dia sebenarnya sudah terpaut, seperti mana-mana komedi screwball) dengan membantu seorang wanita yang teraniaya, Maya.

Plot Maya menjadi persoalan moral yang menarik, yang bukan sahaja memperlihatkan alasan dan kejujuran Pyan untuk mempertahankan hak dan kebajikan wanita (jika kita skeptik, kita akan melihatnya sebagai oportunis), tetapi ketulusan Nina dan Anita demi perjuangan hak ataupun keuntungan peribadi/material. Kalau dilihat di sini sahaja, memang senang untuk kita mengecam Aziz kerana menjadi simplistik dan mencari jalan keluar yang terlalu senang, tetapi Aziz sebenarnya menjawab, dari sisi pandangan Melayu-Islamnya terhadap perspektif letak duduk wanita yang berada di sisi lelaki, malah pandangan ini amat moderat, dan menariknya, merupakan pandangan jelas para sasterawan wanita era itu, yang dipandang oleh sasterawan wanita sekarang sebagai melambangkan perjuangan sebenar wanita: mereka minta dihormati sebagai wanita, bukan dianiaya, dicintai, bukan diperlihatkan sebagai imej seks murah. Semua ini disampaikan secara didaktik oleh watak Nina pada akhir filem, menyetujui perjuangan Pyan/Aziz M. Osman. Hal ini memakarkan sikap yang amat wasatiah (moderat) dan kiranya, sesuai dengan Islam-moden era Mahathir-Anwar waktu itu apabila kebanyakan wanita mula berkerjaya profesional dan korporat di sisi lelaki. Sikap konsensus atau "norma yang diterima" waktu itu menjadi ruang pertentangan terhadap perjuangan wanita Amazon-moden asal Nina-Anita (hal ini pun berlaku apabila Anita mula menampilkan kebobrokan dalam penampilan apabila ditangkap berkhalwat dengan lelaki). Malah, secara sengajanya Aziz menyusun begitu, yakni pada awal suatu rakaman liputan satu hala oleh media dalam ruang terbuka (masalah masyarakat yang mula menular di mana-mana) yang dikondisikan dalam sebuah bilik studio rakaman untuk mewacanakan masalah yang ditimbulkan pada awal babak.

Memang terdapat sorotan sinematografi yang kelihatan lame atau mungkin wujud hanya untuk zaman itu. Tetapi sinematografi dan suntingannya sudah cukup untuk mengangkat ruang besar komedi ini (ada beberapa syot aksi yang mengimbau gaya filem Tamil dan ini disengajakan untuk menguak mood). Hal ini dibantu baik oleh lakonan luar kotak oleh Eman Manan (yang sedikit cheeky), kekuatan no nonsense Erma Fatima dan api membara Susan Lakanster. Kita juga akan menemui debut Umie Aida sebagai receptionist syarikat penerbitan majalah Femina itu. Bagi aku, filem ini merupakan filem komedi dengan himpunan watak yang amat menarik (filem ini bertanding dengan Perempuan, Isteri & ... yang sudah tentu lebih baik dari banyak segi) dan menjadi. Wataknya dinamis dan dapat dilihat dalam pelbagai sisi. Hal ini memang merupakan kekuatan Aziz dalam membina watak, yang betul-betul mengukir baik-buruk dan kekuatan-kelemahannya, sesuai dengan kecenderungan genre yang dibawa.

Bentuk ofis yang serba ultra-moden (waktu itu) juga memenangkan Aziz M. Osman untuk FFM. Dan ya, siapa boleh lupa dengan runut bunyi tangkap leleh, "Simfoni Kasih" nyanyian MSteen ciptaan Johan Nawawi di tengah cerita (yeap, zaman mesti ada MTV di tengah cerita) yang dimasukkan dengan sungguh lancar dan terurus dengan cerita.

Menariknya, aku terbayang sekarang, waktu majalah Eh! awal-awal terbit dahulu, itulah majalah yang menyerupai semangat si pengarangnya, Nina, hanya Nina meletakkan poin  yang lebih radikal, "wanita tetap boleh hidup tanpa lelaki", yang secara sengajanya, kini, ramai wanita berdikari yang dihasilkan oleh Eh! menjejaki perjuangan hidup asal Nina. Ironi!

Antara komedi tempatan menarik 1990-an dan antara yang terbaik daripada Aziz M. Osman bagi aku.

5 comments:

Anonymous said...

Juga merupakan filem kegemaran saya masa zaman sekolah.... bole ulang berpuluh kali tanpa bosan... scene2nya pantas/pendek tak bagi peluang untuk rasa bosan/mengantuk.... arahan aziz berjaya 'boost' kemampuan Erma dan Susan.... tak hairan diorang dapat FFM untuk best actor dan actress... lakonan Eman pun cemerlang... watak komedi selambanya menjadi.... thanks for the review

Fie_syafinaz Finaz said...

Minta tlg kpda semua. Sesiapa ade soft copy cerita femina ni tak?? Amat memerlukannya dalam kajian

Fie_syafinaz Finaz said...

Sy nak tnya sesiapa ada tak soft copy cerita femina ini? Amat memerlukannya dalam kajian..

Fie_syafinaz Finaz said...

Sy nak tnya sesiapa ada tak soft copy cerita femina ini? Amat memerlukannya dalam kajian..

Fie_syafinaz Finaz said...

Sy nak tnya sesiapa ada tak soft copy cerita femina ini? Amat memerlukannya dalam kajian..