19 December 2014

Manisnya Cinta di Cappadocia(2014)



Sekali lagi, Rafidah Abdullah bersama-sama pengarah Bernard Chauly membikin sebuah lagi filem chic flick (kini, istilah rom com atau komedi romantik sudah dikenalkan semula) dan kali ini, berusaha membalas taubat novel romantik Alaf 21 yang dimarahi sangat oleh golongan feminis dan liberal moden, Ombak Rindu, dengan mengadaptasi novel sederhana modenis (wataiyyah katanyer) berbau luar negara-antarabangsa (lagi sekali ke Turki), yakni novel Anis Ayuni, Manisnya Cinta.

Sebagai suatu percubaan adaptasi, sememangnya Rafidah agak berjaya menyalurkan kepentingan babak dan peristiwa penting yang dramatik dan perlu dijaga, tersedia dalam lakon layar dan terpapar cukup sesuai dalam layar. Mengikut premisnya, filem ini mewacanakan sikap wanita moden Melayu sekarang (lebih-lebih lagi daripada kelas atasan) yang mengharungi dunia perdagangan antarabangsa. Perniagaan mereka kelihatan "homely" dan keperempuanan (mereka penghias dalaman) tetapi profesional dan sofistikated. Yang lebih menarik, semarak Islam sederhana mereka yang berkait dengan Islam moderat di Turki, dan hal ini dijana oleh kalangan sofistikated Melayu (orang Melayu alaf baharu adalah pengguna Islam komersial). Persoalan materialisme, jiwa individual, pendirian wanita, dan tuntutan agama berbaur elok dalam suatu penyesuaian yang moden dan selesa dalam keadaan progresif alaf 21. Hal ini jelas, sehinggakan, seperti Saloma dalam Ahmad Albab, sang wanita anggun kaya dan bujang, Nur Fazura, menjelaskan kepada kawannya (Rafidah Abdullah!) bahawa dia sanggup berlakikan pemandu bas kerana yang lebih penting aialah kekuatan iman dan keteguhan jiwa si lelaki itu.

Ah, di sini kita memasuki dunia pengujian jika persoalan iman dan jiwa sang lelaki, dimainkan oleh Saheizy Sam teruji untuk memaut cinta Fazura. Rafidah dan Bernard dengan selesa memberikan kita babak demi babak, sehingga terdapat satu imbasan lampau yang panjang berkenaan perkahwinan gagal kakaknya (Eja dengan Faizal Hussein) dan alasan untuk memerah air mata. Suatu perbandingan pasif dan dominan wanita Melayu disengajakan tersingkap di sini, dan di sini, Fazura melakukan taakulnya untuk menerima atau menolak Saheizy.

Kelihatan, semuanya indah. Namun terdapat persoalan yang mungkin sengaja dibiarkan terlepas oleh Rafidah dan mungkin tiada dalam novel Anis, yakni pengujian kekuatan iman agama Saheizy, yang di sini, langsung tidak teruji. Bernard seakan-akan mencipta suatu ilusi "cinta Islami" dalam filem ini, dengan latar yang sedemikian (lihat sahaja babak Erma sebagai datin Islami progresif dan materialis) tetapi dengan sengaja tidak menguatkan sikap Islaminya kerana meraikan "kesederhanaan" dalam Islam, walaupun hal ini semacam membawa persoalan pula pada watak Fazura yang "kononnya" memegang kepada "lelaki itu mesti kuat agama" yang mana tidak dilihatkan ada dalam Saheizy. Hanya komedi salah sangka menjadi penyimpangan untuk suatu pengakhiran menarik, yang tempo dramatiknya dijaga baik oleh Bernard dengan pertolongan baik pengarah sinematografi, Harris Hue Abdullah dan penyuntingnya.

Semua lakonan baik, khususnya Nur Fazura yang seperti biasa menyelami watak dengan penuh maksud dan emosinya. Terdapat suatu garapan emosi akan Fazura tentang anak kakaknya, dan Fazura menyampaikan hal ini dengan baik tanpa perlu menjerit dan melonjak tidak betul. Isteri aku pun memanggil Fazura Reese Witherspoon Malaysia. Kita juga tentu seronok dengan beberapa penampilan pelakon hebat, seperti Ogy Ahamd Daud, Erma Fatima, Faizal Hussein, yang berjaya memaut jiwa penonton.

Latar lagunya juga baik dan tidak menyesakkan, cukup untuk sebuah komedi romantik.

Hanya aku fikirkan, jikalah Rafidah mula mencabar dirinya, mencabar dengan berkarya atau mengadaptasi novel yang benar-benar mencabar dan membuka persoalan wanita kini yang lebih mendalam isunya, yang mencabar tempat selesanya, alangkah bagus?    

Klasifikasi Manisnya Cinta di Cappadocia: U, Terdapat babak ganas dalam keluarga yang mungkin memerlukan bimbingan oleh penjaga.
DITONTON DI MBO, KL Festival City. 

2 comments:

indraputra said...

Assalam Fadz,
"Hanya aku fikirkan, jikalah Rafidah mula mencabar dirinya, mencabar dengan berkarya atau mengadaptasi novel yang benar-benar mencabar dan membuka persoalan wanita kini yang lebih mendalam isunya, yang mencabar tempat selesanya, alangkah bagus?"
---agaknya, novel apa ya yang boleh menguji Rafidah dalam pengkaryaan beliau? Cadangkan pada dia... tp, tag team bernard & rafidah suka mende yang tak berat dan ringan2...wpun ada isu serius yang diutarakan...kutipan Manisnya Cinta = 1.6 juta, Istanbul aku datang = 3.58 juta, pisau cukur = 2.32 juta, dan Gol & Gincu = 0.58 juta. Tag team ni memang best...cuma, kalaulah Rafidah punya lakon layar di garap oleh Mamat Khalid atau Bade, mcm manalah pulak jadinya ya? Take care.

Fadli al-Akiti said...

Waalaikum salam :)

Aku bayangkan Rafidah boleh:
-adaptasi biografi/kisah benar Natrah
-adaptasi Faridah Hanom dalam latar moden (dan takde masalah nak ubah kandungannya)
-adaptasi mana-mana novel perempuan Sri Rahayu, Azmah Nordin, atau Fatimah Busu (khususnya Salam Maria yang feminis)

aku tahu kekuatan Rafidah ialah Romantic Comedy, Rafidah boleh ambil sastera klasik kita yang punya bumbu kewanitaan dan romantik lalu kitar semula sebagai suatu chic flick, hal ini sudah dilakukan oleh Hollywood, dengan ambil karya Jane Austen, malah William Shakespeare lalu bentukkan dalam latar moden yang boleh je bergerak komedi.