15 January 2015

Villa Nabila(2015)

Keras dan "angker", kata orang yang pernah menjenguk Villa Nabila. Kes budak yang hilang pada tahun 2013 dalam suatu akhbar telah memberi persepsi bahawa dia "sudah berkali-kali pergi tapi takde hantu pun,.." tetapi budak itu juga dengan sebenar-benarnya diwawancara dalam filem separuh dokumentari, separuh "lakonan semula" ini.

Percaya atau tidak? 

Ada sesuatu yang hendak diberikan oleh Villa Nabilla, percubaan pertama Syafiq Yusof dalam pembikinan filem seram (atau aku silap di sini, dokumentari campur fiksyen). Aku menolak "penceritaan semula" filem ini yang penuh percubaan biasa dan baik untuk "sebuah filem seram", ada yang lebih menarik, setelah segala mumbo jumbo, rasuk hantu, tangan hitam, dan hantu berambut panjang datang mengejut kamu. Yang lebih menarik di sini selain itu ialah percubaan Syafiq untuk berjalan atas tali runcing yang nipis, antara fakta dengan fiksyen akan dunia angker "sebuah rumah hantu paling menakutkan di JB".

Persoalan dokumentari yang dibawa oleh Syafiq ini menarik, kerana dokumentari juga merakam kebenaran zaman dan manusianya. Ya, ini dokumentari tentang rumah hantu, jadi apa kena-mengenanya dengan sejarah, bukan?  Tunggu dulu. Masuk Daniel Martin dan Rossali Azrin. Mereka ialah dua pembikin filem bebas (aku suka istilah ini, bebas=indie) yang melakukan dokumentari (boleh rujuk akhir kredit filem tentang kredit pengarahan mereka) tentang villa berhantu ini selepas kes budak itu. Daniel dan Rossali melakukan dokumentari untuk merakam kebenaran (apa-apa yang dapat dirakam di kamera) dan menjadi saksi kepada apa-apa maksud subjek yang diutarakan. Di sini, pada mula jawapan si budak yang hilang kelihatan kurang memuaskan, dan penemuan beberapa perkara, seperti notis robohan (tetapi rumah itu tetap di situ), skeptik polis, dan pertemuan Asyraf dan Amar, menjadikan persoalan filem, yang selalunya kita anggap remeh, menjadi persoalan untuk dibicarakan. Kita menyedari sesuatu, filem ini meninggalkan genre yang dipopularkan oleh Blair Witch Project, dan mungkin memulakan suatu "genre baharu" di Malaysia, yakni dokumentari yang mungkin mockumentary. Pembikin filem ini dengan sengaja membiarkan persoalan yang dikemukakan itu dijawab oleh penonton, setelah menayangkannya kepada penonton, menjadi suatu persoalan pada akhirnya (Syafiq sendiri tidak mempercayainya, sama seperti Daniel tentang rumah di Danga Bay itu berhantu). Ketidaktentuan inilah yang bermain dalam filem seram, untuk "menentukan" perkara yang tidak dapat dilihat, dengan pengwujudan persoalan ini menarik dalam masa penonton biasa diberikan seram atas nama "ciptaan" dan cuba menyelongkar lagi maksud dunia tahyul dan ghaib dalam alam Melayu.

Dalam "penceritaan semula" yang dilakonkan oleh Pekin Ibrahim dan beberapa pelakon tidak dikenali (aku suka sentuhan Syafiq yang ini, mengambil pelakon yang tidak dikenali untuk menaikkan taraf ketidaktentuannya), kita pula sengaja diberikan dialog dan percubaan yang menyerupai filem tipikal lakonan semula yang pernah kita tonton dibikin oleh Filem Negara dan Kementerian Pendidikan tahun 1980-an. Dialognya mendatar semacam tetapi ini amat disengajakan. Lalu disusun dengan ketidaktentuan demi ketidaktentuan. Apa yang menarik lagi, rumah itu, setelah cuba diroboh-robohkan oleh Pekin dan pekerja lain, rumah itu tidak dapat roboh-roboh. Dinding yang ditebuk, terbina balik keesokannya. Syafiq dengan beberapa kali menunjukkan, villa itu terus berdiri dalam seram, baik siang atau malam. Hal ini seakan-akan menyatakan dengan sinis, berapa kali pun manusia cuba merobohkan wayang "seram" lokal itu, ia tetap di situ, berdiri dan terus-terusan bermisteri dan menunggu untuk pembikin baharu pula mengutipnya.

Meletakkan para kontraktor itu sebagai kontraktor bumiputera juga menarik, dengan keadaan mereka yang terdesak, dan cukup makan, dan dapat membuat kerja "longkang dan betulkan jalan", seakan-akan menyampaikan kritikan yang kena pada tempat terhadap Dasar Ekonomi Baru, sewaktu ekonomi Malaysia sedang dalam keadaan tidak menentu sekarang, yang menunjukkan, manusia bumiputera sudah lama memahami desakan materi dan bersungguh dalam pekerjaan. Tetapi kemunduran dan keadaan tetap dalam kedudukan sosial sama mereka berlaku bukan kerana mereka malas, tidak berijazah atau bodoh, tetapi atas hal-hal yang mereka sendiri tidak dapat memahaminya, yang sentiasa sahaja menghalang niat hidup mereka dalam survival hidup.

Memang kedua-dua persoalan yang aku bangkitkan itu, tidaklah tersampai begitu sempurna sebagai bentuk keseluruhan filem, sebab filem ini tetap filem seram, dan maksud filem seram yang asal ialah untuk membuat orang takut, dan memang, ada bahagian yang aku seriau. Lebih-lebih lagi tempat itu memang menakutkan (dan memang menjadi tempat yang dapat mencipta pelbagai bentuk mitos seram dan legenda urban), namun di situlah terletaknya persoalan sejarah, terdapat tempat yang dilupakan, membina sejarahnya yang tersendiri daripada sejarah asal, cerita demi cerita dibina, mengelabui cerita yang mungkin sebenar dan sudah ditelan lumut dan semak-samun, tetapi pernahkah manusia yang tinggal di tanah itu betul-betul ingin mencari sejarah yang sebenar? Persoalan itulah yang berjaya disampaikan oleh Syafiq.

Sinematografi filem ini baik dan berfungsi, dibantu seperti biasa, suntingan jitu filem ini. Runut bunyi juga memainkan pernana yang baik, walaupun sedikit mengada-ngada, namun Syafiq faham bahagian yang memerlukan keadaan sunyi untuk tumbukan seram seterusnya. Dengan penambahan dokumentari sebenar Daniel dan Rossali, filem ini menambah sikap risque terhadap subjek, seakan-akan mencari kebenaran itu (walaupun seakan-akan tidak bersungguh) sesuatu yang diperjuangkan dan akan sentiasa dihalang dan diberi peringatan agar tidak dilangkaui.

Klasifikasi Villa Nabila: P13, terdapat babak ganas, tahyul dan seram yang tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, Mid Valley. 

5 comments:

Ian Faizal said...

cepatnya update. den baru habia tgk. Jantung henti2 degup lagii

hattakainkapan said...

Dah rebiu? Awal betul... Syafiq is really some one!

aromaabnormal said...

Dah rebiu? Awal betul... Syafiq is really some one!

Farah Djamsari said...

ramai yang cakap filem ni best and terbaik dikalangan citer2 hantu local yang lain.ermmm

Anonymous said...

Daniel kenapa asik ckp x percy. Xperlu kot ckp mcm tu. Skrip lemah mcm membaca buku teks .durasi filem singkat .