18 March 2015

Cicakman 3: Kemas Kini Adiwira Luput


Pertama-tamanya, kalau nak buat filem untuk keluarga, para pembikin kita harus belajar untuk bersopan, minum air Disney (ya, aku muntah juga kalau minum air ni banyak-banyak), dan bikin filem yang sesuai untuk KELUARGA. Aku faham penulis skrip Nizam Zakaria, dengan penulis lakon layar (aku masih tak faham menatang ni untuk apa) dan pengarah, Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar inginkan "edge" dengan filem yang cuba menghidupkan kembali Cicakman (rujuk cara Ghostbuster dikemas kini dalam sekuel), tetapi anak-anak tetap anak-anak, ada garisan yang mungkin tidak sesuai untuk mereka, dan mungkin agak canggung untuk mak ayahnya menerangkan segala "adik-adik", "lucah", "dinoda" di atas layar.

Cicakman 3 memang ada kerimasannya. Mungkin kerana skalanya kali ini lebih besar dan berisiko (dan mereka berani mengambil risiko tersebut). Pertama ialah sikap karya ini masih ingin menimbulkan kesinambungan camp Prof. Klon lakonan buruk Aznil daripada bahagian pertama. Sikap penjelmaan bad taste (kita panggil lawak kekampungan, setakat ini, hanya beberapa karya kita yang menampilkan lawak sofistikated, khususnya dalam tangan Afdlin) ini muncul awal-awal lagi, dengan penampilan "adik-adik" kumpulan Semut Merah yang datang menyeludup senjata tercanggih Metrofulus. Bukan sahaja para pelakon mak nyah itu tidak boleh berlakon (pelakon mak nyah tempatan terbaik masih lagi si pelakon dalam Mat Gelap dan Bukak Api) tetapi sikap dan cara penggambaran, dialog yang disemburkan, menampilkan satu tempelan John Waters sesat masuk Melayu. "Dah lama tak kencing berdiri." Begitulah dialog yang disampaikan oleh seorang mak nyah lalu diketawakan oleh penonton yang rata-ratanya kanak-kanak. Beberapa sentuhan camp ini diteruskan dalam beberapa babak yang berkait dengan Man AKA Cicakman (Zizan Razak) dan Bell Ngasri, khususnya yang menyentuh "dinoda" (hal ini mengkarikaturkan kes Saiful).

Kedua ialah tempelan jenama, khususnya Kit Kat yang berkali-kali ditampilkan dengan menyakitkan sekali. Paling aku menyumpah ialah waktu Man yang cuba menghubungi isteri dan anaknya, terdamparkan Kit Kat tanpa maksud di atas meja (dalam sejarah perfileman, tempelan jenama yang paling baik pernah dilakukan ialah dalam E.T. apabila bijian Hersheys itu dimasukkan dalam cerita, juga piza Pizza Hut yang dilenyekkan pada awal filem. Ini maksudnya, kalau hendak product placement, pastikan barangan tersebut mempunyai fungsi kuat dalam plot dan penceritaan, dan jangan takut dibuang atau disepak). 

Ketiga ialah syot and koordinasi. Ya ini kelemahan kita. Walaupun aku memberikan tunduk hormat aku kepada pengarah fotografi filem ini yang agak berjaya menampilkan beberapa syot luas (babak tangkapan CGI Universiti SEGI pada awal itu contohnya), syot julang ke atas, malah terdapat beberapa syot awal dan syot aksi pukul yang agak fluid, terdapat juga syot yang kelihatan menipu, artifisial dan tiada kesinambungan yang baik. Khususnya pada babak klimaks yang sepatutnya menjadi babak aksi terbesar filem ini. Suntingan dan koodinasi gerak aksinya sedikit kekok (rujuk babak Cicakman dilastik, babak wanita di atas Ferris Wheel). Suntingan filem ini juga tidak membantu apabila terdapat beberapa syot yang terlalu "mengelamun" dan sepatutnya boleh dipotong awal atau memberikan syot perspektif lain untuk menghabiskan satu-satu adegan. Kesinambungan daripada satu babak kepada satu babak lain, juga kelihatan kekok dan tidak bernafas baik (kerana tiada suntingan kemas dan syot yang memberi petanda sambungan), rujuk sahaja babak jukstaposisi antara tembakan kepada Cicakman dengan syot tembakan permulaan perlumbaan anak Man. Contoh satu lagi apabila Zizan menyedari dia perlu menjadi Cicakman, syot kotak terbakar dibuat dengan syot luas tanpa memberikan satu lagi syot wajah bengang Man dengan api yang sedang membakar kotak itu. Semua ini menarik dalam skrip tetapi dibiarkan atau dijalankan secara lalu tanpa kefahaman maksud. Hal ini berbeza dengan babak awal potongan syot antara dialog Zizan-Bell dengan Lisa-Fizz, cara babak ini digarap sangat bijak sekali, dengan pembinaan momen dan pembukaan maksud dan latar watak, walaupun sebenarnya hal ini dilakukan dengan terlalu panjang, seperti sebuah soap dalam sebuah filem adiwira-aksi (tetapi bentuk sebegini memang biasa dalam filem Bollywood dan peminat Bollywood pun tidak sedar akan hal ini). 

Keempat ialah cerita. Walaupun mungkin tidaklah seburuk mana, terdapat cacat-cela dan lubang plot. Pertamanya, kita terasa bahawa penceritaan cerita atau apa yang hendak disampaikan itu terlalu panjaaaaaang dan membosankan, walaupun penulis menjaga babak demi babak tersebut, dan hal ini dapat dirasakan dengan jelas daripada perhubungan Zizan dengan Lisa. Cerita perhubungan menanti belah itu boleh diikat dengan tegang lagi, dan mungkin memerlukan sikap detektif dan penyiasatan lagi daripada sisi pandangan Zizan untuk menusuk intrig demi intrig atau pembongkaran rahsia, dan bukannya dilakukan secara kebetulan berkali-kali. Aku tidak suka, contohnya, dengan babak "bayangan" pada awak filem antara Zizan dengan Bell tentang Lisa. Babak itu boleh dibuang terus.

Dalam buruk-buruk filem ketiga adiwira KRU ini, filem ini merupakan yang terbaik dan mempunyai "cerita" daripada filem pertama yang sangat buruk dan kedua yang alangkah buruknya setakat ini. Ah, takpelah, impian aku untuk menonton sebuah filem adiwira Malaysia masih belum tertunai (Indonesia, Filipina, dan Thailand setakat ini pun belum ada yang bagus). Mungkin ini akan berlaku pada era cucu aku, atau cicit aku (masalah kita yang utama: kita tidak ada komik adiwira yang dapat diingati, yang ikonik, kedua, kita memperlekehkan adiwira era hikayat kita, tanyalah, berapa ramai penerbit dan penulis di luar sana yang membaca hikayat kita). Dan filem ini sekurang-kurangnya menyampaikan sesuatu walaupun tidak hebat.

Tema yang menarik, yang berjaya disampaikan oleh karyawan filem ini ialah "penyelindungan" wajah, siapa sebenarnya hero, siapa sebenarnya penjahat (tema ini agak berani jika kita kaitkan hal ini dengan layar politik kita, dengan imejan tokoh yang menghiasinya). Hal ini dipaparkan awal lagi, apabila kita tangkap, bahawa kenapa Semut Merah meletakkan "adik-adik" sebagai tukang rampas senjata kerajaan? Kita menyedari lagi hal ini apabila, dengan sengaja, terdapat paparan Jalan Ampas yang menjadi Jalan HAmpas (aku faham hal ini mencuit keadaan industri kita sekarang). Kita menyedari suatu perkara: adik-adik yang lemah digunakan untuk suatu misi yang amat merbahaya. Kita menyedari, Hollywood era 50-an dan filem Melayu sedari P. Ramlee lagi, memperlekehkah spesies adik-adik (gay). Golongan ini ditolak/dicemuh oleh masyarakat (mereka selalu dijadikan simbol negatif dalam filem, ditolak oleh masyarakat), malah dalam filem ini, dikutuk, dipermainkan, dilawakkan, malah, ditendang pukul (kerana mereka dipaparkan sangat bodoh dan tidak sofistikated). Hal ini menolak teori "gay agenda" yang hendak disampaikan oleh tukang skrip, tetapi menunjukkan bahawa keadaan jenayah Metrofulus (Malaysia!) sudah terlalu teruk, sehingga adik-adik yang lemah dan bodoh boleh melalui premis kerajaan dengan begitu mudah sekali! (sebagai pengarah yang sedikit rajin, perlulah ditonjolkan bagaimana mereka merempuh sekuriti tempat itu, tak mungkin begitu mudah!)

Ah, berkenaan hal ini, datang pula satu laungan si samseng kepada Man dalam satu babak, dia mengejek dengan jelas kepada Man, "Adik-adik!" Kini, kita jelas faham, Man ialah loser besar filem ini, loser terhadap keluarga (dipermainkan dengan satu lawak gay sekali lagi), kawan, gadis tepi jalan, dan, dirinya. Orang seperti Man, apa saja yang kita boleh dapat dalam keadaan bandar serba korup penuh jenayah ini?

Kemudian, kita ditampilkan dengan (spoiler besar) kehadiran Fizz sebagai penampilan polis bersih dan tangkas, yang sebenarnya korup. Hal ini membuatkan kening aku terangkat. Polis korup? Eh, biar betul LPF kali ini terlepas pandang?? Ya, kini tema itu mencapai sesuatu: alam Metrofulus yang buruk dengan jenayah dan kejahatan dapat berlaku kerana penjaga keselamatannya kotor. Kotor itu dengan jelas berlaku dalam mainan gerakan samseng, pembunuhan seorang ketua polis, dan lebih teruk lagi, penguasaan kota Metrofulus. Hal ini menjadi kerana mainan watak (rujuk babak ketua polis dibunuh dengan babak klimaks akhir, hal ini dalam pembukaan topeng dan pendedahan rahsia watak sebenar) yang menutup si jahat kepada si baik dan si baik kepada si jahat. Terdapat dua adiwira sekarang, yang kini diminati oleh rakyat dan adiwira yang hendak bertapak kembali. Adiwira ini, tidak seperti filem lain, berbaik dan menubuhkan kumpulan, tetapi terpaksa bersaing untuk mendapat perhatian rakyat. Maka motif dan agenda setiap adiwira itu diselidiki, menampilkan sisi baik/jahat sebenarnya terhadap rakyat. Walaupun tanggapan ini sudah klise (jika kita bandingkan dengan pendedahan penjahat dalam Iron Man 3, yang jauh lebih kuat kritikannya), hal ini agak memadai untuk si anak kecil menyedari, dunia ini bukan hitam dan putih seperti yang diajar oleh televisyen dan orang politik.  

Tatarias filem ini bolehlah dipuji, dengan "memburukkan" latar Metrofulus yang moden maju dalam filem awal kepada bandar yang mula merongak dan meniti ke arah kemerosotan. Ya, aku tahu terdapat beberapa babak tempel New York yang mengada-ngada dan kadang-kadang keluar skop, tetapi terdapat beberapa latar dan pemilihan ruang yang baik dan hidup, tidak statik seperti filem awal, walaupun ada yang superfisial.

Lakonan para pelakonnya biasa, memadai, tiada lebih tiada kurang. Hanya sekumpulan pelakon tambahannya agak buruk walaupun hanya tempelan kadbod.

Runut bunyinya mengikut gaya synthesizer yang cuba menangkap emosi watak di layar, yang amat sesuai, malah sudah berkali-kali dilakukan dalam filem Bollywood dan Kollywood, bukan asli, dan kadang-kadang melantun tiba-tiba.

Kostum Cicakman Zizan mewajarkan Zizan menjadi Cicakman terhodoh dalam sejarah filem adiwira (adakah ini inside joke pembikinnya terhadap Zizan?). Kostum tekno moden  Superbro mengingatkan aku kepada Rick Moranis "Dark Helmet" dalam Spaceballs. Kepala besar, leher pendek, badan budak kecik. Alahai.

Suatu percubaan yang menghiburkan, walaupun sedikit lewah, lucah, dan tidak sempurna.

Klasifikasi Cicakman 3: P13, terdapat penyampaian perlakuan, aksi, dialog, dan watak lucah yang tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.

4 comments:

Anonymous said...

der, takde rebiu filem serigala jadian mamat khalid ker? kami kasi order satu boleh?

Anonymous said...

Cicakman 3 filem paling buruk tahap gaban...

the Curious said...

Yang aku paling pelik, kenapa filem ni berlatarkan zaman 90-an? Rujuk tarikh pada keratan akhbar dan Linda penyanyi kabaret popular. Padahal Cicakman 1 dan 2 berlatarkan masa depan

shahizal cheng said...

Cicakman 3 sy bagi -5bintang
Memalukan cicakman 1 dan 2 lbh best