25 November 2016

Hanyut (2012/2016)


"I still can't forget." - Almayer

U-Wei, dengan filem "epik" yang ditunggu-tunggu ini, bersikap lebih berani (walaupun miskin aksi), dengan landskap watak yang lebih luas, tertumpu pada sebuah tanah "fiksyen" (yang kita tangkap sebagai Pahang, mungkin, berbeza dengan latar novel asal Joseph Conrad yang diadaptasi) Sambir. Tanah ini terletak jauh di hulu tebing sungai Semenanjung, di tepi sebuah penempatan Melayu di bawah daerah pemerintahan Raja Ibrahim (El Malek), mendekati tempat Orang Asli (penulisan ini menjadi bukti kekuatan tata hias, pilihan latar, busana dan pengarahan seni filem ini yang cemerlang, berjaya meng'hidup'kan kampung Sambir). Berdekatan dengan kampung ini ialah gunung yang dipanggil Gunung Mas, yang mempunyai legenda tersimpannya emas dan intan berlian, menyamai kisah El Darado dan Lombong Raja Sulaiman. Legenda ini dikaji dengan penuh teliti oleh mentua Kasper Almayer, Lengrad, yang mengahwinkan anak angkatnya (mungkin dicolek sejak kecil) dengan lelaki Belanda itu. Kisah filem ini bermula, pada suatu pagi yang malas, daripada sedutan candu Si Cina, yang terjaga dengan denting dan kekecohan di luar tingkapnya. Mem (Sofia Jane), isteri Almayer meroyan kerana anak perempuannya, Nina, yang masih kecil, dibawa pergi di atas kapal stim seorang diri untuk belajar ke Singapura. Mem kembali ke rumah, dengan amuk wanita, melempar semua barangan rumahnya di luar rumah, lalu membakarnya.

Mudah untuk katakan, filem ini jelas, menyampaikan sikap pascakolonial U-Wei terhadap "the white man's burden" yang diwakili Almayer dan pihak British dalam filem ini. Secara dasarnya, begitulah. Tetapi citra filem ini bukan sahaja di situ (yakni bersikap nasionalistik atau membidas kembali sejarah kaca mata Mat Salleh yang berpendudukan di tanah air kita). Filem ini jelas memaparkan kuasa wanita, di balik tirai (secara literal), dan di sini, wanita Melayu, yang diwakili Mem dan Nina (Diana Danielle). U-Wei amat dikenali dengan catan suara dan jiwa api wanitanya, bermula dengan Isteri, Perempuan &...? dan seterusnya, Buai Laju-laju. Walau bagaimana bencinya kita terhadap lakaran U-Wei pada insan hawa Melayu (yang sebenarnya mungkin pada para lelaki, ego mereka tercabar?), kita seharusnya perlu meneliti dan memahami tujuan U-Wei, dalam akal, simplistik dan tunduk patuh wanita kepada patriaki, yang para lelaki selalu menganggap manusia emosional, lemah dan leceh, mempunyai kekuatan dan kebijaksanaannya yang tersendiri.

Secara manipulatif, U-Wei melakukan hal ini dengan membuatkan Mem sebagai imej "wanita gila" di mata Almayer (kita dapat menangkap bagaimana status-pengaruh Mem agak besar dalam strata masyarakatnya apabila diminta jadi bidan, sesuatu yang Almayer tidak akan faham, malah banyak menolak pengajaran Barat yang dititipkan kepadanya). Malah, Mem hanya duduk di balik tirai (malah dalam filem itu, tidak pernah tidur sama dengan suami "kafir"nya) apabila tetamu suaminya datang, kadangkala terkikik sendirian, kadangkala meleter yang bukan-bukan. Sikap bodoh-nyanyuk-gila ini semacam bayangan sengaja yang ditabirkan oleh U-Wei terhadap Mem. "Kelubung" wanita itu bermakna, dan berkali-kali mengancam Almayer. [spoiler] Almayer bodoh, tidak melihat bahawa "ancaman" isteri yang dibencinya itu benar-benar seperti api marak dan mindanya masih "sihat akal"nya. Ini kesalahan (dan folly) Almayer. Kita akan menonton, dalam 80 minit seterusnya, bagaimana lelaki, kuasa, ego, dan impiannya, kecundang atas tangan seorang wanita.


Filem ini juga bergerak seperti sebuah drama Shakespeare yang penuh komplot dan muslihat. Terdapat beberapa watak yang akan tertumpu pada kehadiran Nina, anak Almayer, khususnya Haji Rashid (Bront Palarae) anak pedangan kaya Arab di situ, dan Dain Maroola (Adi Putra), putera raja Pulau Sagu (yang jelas-jelas bukan sahaja berdagang tetapi mencari senjata untuk berperang). Dalam hal ini, Raja Ibrahim dan konco terdekatnya, Orang Kaya Tinggi (Khalid Salleh) juga masuk berpencak. Di sini, terlihat, pemberian dan perjanjian, dalam kuasa dan cinta bukan perkara yang calang-calang di gelanggang dunia, walau terperuk dan sekecil mana.

Sebelum ini, kita menyedari kekuatan wayang U-Wei dari segi imej, yang mulanya diam, kelam, yang tiba-tiba panas dan marak, lalu membakar, merentung jiwa. Kita dapat lihat jelas hal ini dengan sangat hebat dalam Kaki Bakar. Dalam filem ini, perkara sama yang berlaku, tapi kali ini, U-Wei lebih bersikap seperti pemilik pentas teater. Banyak diolog dan cakap yang berlaku. Bukan imej dan gerakan aksi. Malah, kadangkala, untuk menetapkan motivasi watak dan menjustifikasi plot, watak-watak filem ini banyak menerangkan dalam dialognya, bukan ditunjuk dengan imejan. Hal ini seperti kita menonton filem-filem Barat yang diadaptasi daripada teks drama (tipikal dalam filem tulisan Tennessee William atau Tony Kushner), kadangkala gaya ini menyeronokkan (dengan memerlukan karisma yang kuat daripada pelakonnya menyampaikan butir kata) dan kadangkala menjengkelkan, kerana kita terasa "dipentaskan", dan perasaan "dipentaskan" banyak berlaku dalam adegan-adegan filem ini. Kita terpaksa (dan dipaksakan) untuk betul-betul mendengar dialog untuk mendapatkan "maklumat" penanda-petanda untuk bergerak dengan naratif U-Wei. Malah, terdapat satu babak yang jelas-jelas (mungkin kerana tidak ada bajet?) diterangkan, apabila sebuah kapal yang berlalu di muara, ditembak, lalu disunting-pantas (jump cut) pada adegan lain. Hal ini di"terangkan" dengan panjang berjela pada babak seterusnya (tentang apa yang sebenarnya berlaku). Hal ini, terlihat, menipu. Hal ini termasuk babak tarian malam orang Sambir yang berpesta yang dijungar-balik pada babak "pergaduhan" yang kita tidak tahu menahu tentang apa. Dalam terang-menerang ini, ada muslihat yang baik pula pada babak sekujur mayat ditemui seorang orang kampung. Keterangan-keterangan ini tiba-tiba menjadikan filem ini sebuah cerita penuh misteri-siasatan berintrig. Penonton, mula mencari titik dan bukti untuk disambung-sambung lalu mencari makna (dan seronoknya, aku telah jauh meramalkan hal sebenar). 

Hal ini juga menunjukkan kekuatan U-Wei untuk mengintepretasikan ayat orang Melayu yang tidak diucapkan oleh Conrad dalam novelnya. Interpretasi teks ini, yang lebih tampak dalam dialog Mem, Orang Kaya Tinggi dan Dain, menjadikan dunia Melayu U-Wei dalam filem ini suatu alam Melayu yang kompleks, berhati-hati, berakal budi dan penuh falsafah nurani. Kias dan ibaratnya menyengat (dan gagal diterjemahkan oleh sari kata Inggerisnya) dan menyampaikan hati budi Melayu yang mendepani musuh sekali gus kekasihnya, secara bijak dan rasa. Di sini, "bual bicara" dan "timbang rasa" Melayu ternampak keluarbiasaannya: seperti rambut yang ditarik dari tepung, dengan adat, adab dan akal yang terjalin halus.

Malah, banyak "suara-suara terkias" yang aku temui dalam filem ini (akan motivasi sebenar watak Melayunya), yang jarang-jarang dapat dipaparkan oleh filem Barat. Suara ini sangat diam mengalun, melatar tegang. Dua watak "luar" jelas terpalit, terpesona dan buta dengan sifat ini; Almayer dan Nina (yang akhirnya memasukinya). Almayer memahami dan menyedari hal ini (malah terlewat), hanya pada akhirnya. Hal ini memaparkan keterasingannya kaca mata Barat pada kompleksiti Timur-Melayu. Dan ini suatu sifat sinema Melayu yang perlu diraikan.



Hanya aku mempunyai beberapa masalah dengan filem ini. Mungkin ini salah U-Wei apabila mengadaptasi sebuah "epik". Memang, protagonis utama di sini Almayer, didukung kuat oleh Nina, Dain dan Mem. Masing-masing secara asas lakonan, berjaya menyampaikan apa yang dituntut oleh skrip, lebih-lebih lagi buat aku, Adi Putra. Ada yang tidak mampu disampaikan oleh Peter O'Brien sebagai si Belanda Alamayer itu, terasa sangat "dingin" akan latarnya dan orang kelilingnya, malah perhubungannya dengan anaknya tidak dapat dipercayai. Hal ini kerana kelompongan skrip U-Wei sendiri, yang tidak banyak menjawab perhubungan waswas tetapi sayang Nina-Almayer.

Aku tidak begitu menikmati sinematografi Arkadiusz Tomiak. Ada bahagian-bahagian tertentunya terlalu "terletak" pada ruang yang luas tanpa apa-apa maksud, tanpa gerakan dinamis yang perlu, kerana syot terlalu mementingkan gerak laku dan lakonan watak, daripada menangkap lebih dalam atau berfokus pada bahagian-bahagian tertentu untuk menguatkan mood atau penceritaan. Memang letak syot dan gerak syotnya menarik, dan indah, malah bagi penonton luar negara, keindahan alam hijau dan hutan Malaysia sudah cukup membuat mereka terpegun, namun sebagai wayang-syot yang bercerita, kurang menyerlah, seperti filem John Boorman, Beyond Rangoon (1995, yang juga dibikin di Malaysia) yang ditangkap cantik dan sutera tetapi tidak memberikan apa-apa cerita.

Skor Cezary Skubiszewski mempunyai kekuatan, malah melodi asasnya bagus (melempiaskan bahawa ini filem melodrama, menyamai sifat rupa Indochine[1992]), dan penggunaan lagunya mencapai dramatik terbaik pada 10 minit menuju klimaks filem. Namun terdapat bahagian yang runut bunyinya diletak hanya atas letak, mencelarukan imej-bunyi latar filem.

Suntingan filem ini "memuaskan", walaupun dapat dibaiki lagi. Walau aku terasa dalam hati, mungkin banyak footaj yang tidak ada dalam simpanan untuk penyuntingnya bermain-main, lebih-lebih lagi dalam adegan-adegan aksi dan "hendak perang". Malah, secara filem, terdapat bahagian awal apabila Almayer memasuki hutan mencari Gunung Emas itu yang terasa kejap, biasa dan lemau. Namun, perincian membina nada dramatik, drama dan penyeleraian klimaks disusun dengan baik dan halus oleh suntingannya. Hal ini dapat dilihat, dengan baik sekali pada pembukaan awal filem dan juga pengakhirannya.

Orang mungkin benci malah menyampah dengan lakonan Sofia Jane sebagai Mem, namun bagi aku, sebagai seorang yang "Melayu direntap Mat Salleh dari kecil lalu ingin jadi Melayu semula tetapi dipaksa kahwin dengan Mat Salleh lalu anaknya diambil sejak kecil" mempunyai sifat "limbo" dan terdesak yang tersendiri, yang dibawa sangat baik oleh Sofia Jane (orang yang masih terminta-minta Christine Hakim untuk melakonkannya itu hanya orang sia-sia yang masih hidup dalam dunia semalam yang tidak akan kembali) melemparkan kegilaan dalam kebijaksanaan diam dalam ruang mikro diri sejarah dan budayanya. Terdapat bahagian emosional Sofia dengan Diana pada satu bahagian yang sangat menjadi, melepaskan satu "wasiat" akan takdir mereka sebagai wanita Melayu namun terpaksa kerana keadaan terperangkap mereka.

Adi Putra yang paling menyerlah, seorang yang bermuslihat, bernafsu Melayu, tetapi jelas akan budiman dan manusiawi yang cukup Melayunya. Ini keindahan yang berjaya ditulis oleh U-Wei dan direalisasikan dengan baik sekali oleh Adi. Contoh dalam satu babak, dengan panas dan marah, tetapi masih perlu menghormati, Adi sebagai Dain Maroola datang menyembah dengan duduk bersila tetapi menerangkan, dengan butir bahasa kiasnya begitu lembut-tajam sekali. Malah, dia menyampaikan keyakinan tinggi pada kekasihnya.

Diana Danielle juga, mengejutkan, walaupun pada awal dan tengah, hanya sebagai seorang anak dara yang terperangkap dalam pencampuran ras. Diana pada awal, kita tidak terasa sangat sikap yang perlu dibawanya, manusia yang terasa terjerat dengan kasih-marah ayah dengan ibunya (kita tidak banyak dihidangkan akan kontradiksi dalaman Diana untuk hal itu). Namun segala-galanya jelas terlempias pada akhir babak, dan Diana menyajikannya dengan lazat sekali.

Hanyut mungkin cita-cita U-Wei untuk menampilkan pada dunia, betapa bagusnya seorang Melayu-Malaysia boleh untuk mengumpul pakar luar negara dan dalam (bodohlah anda jika tidak faham agenda U-Wei ini) untuk membikin sebuah filem. Ya, mungkin hasil itu tidak se-adikarya yang kita mahukan, tetapi beliau telah melakukannya, dan patut dipuji (commendable) untuknya. Kini, sudah tersurat, kita mampu dan kita boleh melakukannya, dan cabarannya bukan calang-calang, daripada mengadaptasi suara luar dalam interpretasi kita sendiri, kepada mengambil bakat tangan orang luar untuk mencorak kisah kita sendiri. Antara filem baik kita yang patut dibanggakan, dan diraikan kehadirannya.

Klasifikasi Hanyut: P13, terdapat babak intim lelaki-wanita yang memerlukan bimbingan penonton yang belum matang.
DITONTON DI TGV KLCC.

1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)