03 March 2017

JRevolusi (2017)


Pada pertengahan filem, Jay (Zul Ariffin) yang sedang menyiasat berkenaan sebuah sindiket diketuai Farid Kamil yang menawar pembidaan kepada golongan jutawan dari luar negara, masuk menyamar ala Mission Impossible ke tempat pembidaan itu, sebuah manor lama yang besar. Kepada sesiapa yang mengenali ketokohan dan ilmu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas akan menangis dan tersinggung. ISTAC yang tersedia indah, dengan dewan besarnya yang diukir dengan seni Islam bercampur praktikal Andalusia yang teliti, yang sudah selang dihadirkan dengan kuliah dan wacana intelektual Timur-Islam dan oksidental yang ulung, telah dijadikan dewan utama pembidaan barang mewah haram.

Aku sedikit terganggu dengan pilihan "pengurus produksi" itu. Kesilapan atau melanggar adab ini (contohnya, tak mungkin kita jadikan dewan ibadah sebagai tempat konsert rock, walaupun dalam filem) menampilkan dengan jelas akan dua perkara, (1) betapa jauhnya para pembikin filem kita dengan intelektual dan pemikiran kotemporari sekarang, sehingga segala-galanya boleh dan hendak dilangkah tanpa apa-apa pertimbangan yang mendalam, dan (2) betapa jauhnya pembikin filem kita dengan sastera, kerana sastera sekurang-kurangnya mengajar kita adab, yakni tertib dalam memahami hal sekeliling.



Namun, baiklah, ini masih filem, ini masih filem genre, masih (walaupun realiti tempat mengganggu eskapisme yang hendak dihidangkan kepadaku) memerlukan tujuan penonton memperkotakkan realiti dengan bikinan yang dibuat-buat dalam ruang-ruang yang berbeza. Masih memerlukan aku melihatnya dengan objektif. Baiklah. Berikan aku magis wayangnya.

Mungkin, dengan memilih istilah "magis" ialah masalahnya. Mungkin kerana, adakah ini filem sulung Zulkarnain, jadi susah hendak mencapai apa yang sudah dilakukan oleh filem pertama Ghaz Abu Bakar?

Selalunya, mulut dan pena aku sedikit lembut pada pembikin muda yang menghasilkan karya sulungnya, memberinya sedikit harapan. Namun, entah mengapa, aku perlu berkeras akan karya sulung Zulkarnain ini.

Awal-awal lagi, gerak kamera (dengan mengejutkan, sentuhan Harris Hue!), syot, suara dan suara latar ala V.O sangat bercelaru. Ada satu syot gaya POV yang kita sedar, menjadi unsur tambahan untuk permainan video yang dipromosikan oleh produser. Kita nampak semacam ada dua tiga manusia dalam gelap yang kita sedar lepas itu sebagai "polis elit" Unit Tindak Khas sedang cuba mengepung sebuah bekas kapal korek bijih. Ada beberapa suara, sebagai eksposisi "cerita ini tentang apa" yang tak habis-habis menyatakan dengan simplistik, betapa bijak dan pandainya Dian (Nur Fazura), kakak Jay, yang sedang berada di dalam kapal korek itu, menjadi agen polis. Pendedahan ini menggelikan aku. Kemudian, tanpa ada apa-apa perasaan saspens dan uja, dan entah apa yang berlaku pun dengan gaya shaky camera, mereka pun masuk (sudah tentu). Babak ini diselang-selikan dengan babak Dian, yang entah bagaimana, melakukan kesilapan tindakan. Semuanya kerana satu senjata biologi, virus VX apa entah.

Lakon layar Alfie Palermo yang mencuba (dan dialog-dialognya terasa seperti cuplikan dialog Inggeris filem Hollywood yang diterjemah terus) dengan memberikan sedikit latar dan percubaan memahami motivasi beberapa pemain dalam filem. Yang bagusnya tentang Alfie, dan mungkin, dengan perbincangan bersama produser dan Zulkarnain, kita merasakan kepayahan dan tercengkamnya Zul Ariffin, dengan beberapa herotan plot yang menarik dilakukan terhadap wataknya, menguji stamina dan usahanya. Hal ini mula dirasai sewaktu Jay mula disabitkan kesalahan dan sedang dibawa ke balai. Namun, gerak, aksi, suntingan dan bunyi filem ini tidak memberikan cengkaman yang sepatutnya. Segala-galanya macam tidak diikat dengan kukuh. Hal ini menyedihkan, kerana filem ini dibarisi oleh pakar tekniknya dan hasilnya boleh menjadi sebuah filem aksi yang boleh dibanggakan. Adakah, hal ini berlaku kerana penyunting syot dan suara tidak cukup syot dan bahan yang kuat untuk diikatkan menjadi babak-babak yang baik?



Malah, ada satu babak imbas kembali yang bagi aku telah merosakkan keseluruhan bentuk dan nafas filem aksi ini. Babak itu mengingatkan aku dengan sebuah filem Hollywood yang menunjukkan seorang ayah melatih dua anaknya menjadi askar-pembunuh di Jawa. Kita terasakan, filem ini ingin mengambil semangat itu (melatih anak menjadi askar paling tangkas), dengan dinamis adik-beradik yang inginkan kasih seorang ayah (tapi dipaksakan menjadi askar). Entah mengapa, babak ini TIDAK MENJADI dan semacam suatu luahan muntah yang tidak kena dengan keseluruhan filem ini. Kita melihat dan merasai situasi-situasi yang terlalu janggal, semuanya berlaku di Zoo Negara (penanda ini jadi tidak menjadi walaupun difahami maksudnya). Adakah hal ini berlaku kerana produsernya naik kecut dengan LPF yang bodoh untuk menonjolkan bagaimana seorang ayah mengerah dua anaknya menjadi askar dengan latihan yang keras (kita hanya dapat tahu hal ini melalui V.O Zul dan Fazura)? Inilah kesalahannya yang sebenar, kerana sinema bergerak dengan imej, bukan suara. Walaupun eksposisi ini diberikan, kita menonton imej yang berlainan. Di sini, kita melihat si ayah dengan sikap lembut baik bawak dua anaknya memusing-musing Zoo Negara, dengan kelihatan si anak perempuan ada masalah kompleks oedipus yang jelas terhadap ayah dan adik lelakinya. Ada semacam cenderamata harimau yang saling bertukar tangan dengan pelik dan pedofilia sekali. Hal ini tidak menjadi motivasi yang kuat untuk dijadikan sebab musabab yang akan berlaku pada babak zaman sekarang filem ini. Ia hanya buruk dan terasa janggal. 

Hal ini menyedihkan kerana lakonan aksi dan pembinaan watak Zul Ariffin dalam filem sulungnya ini boleh dipuji. Zul Ariffin, melangkaui beberapa pemain aksi yang kita ada, malah, berani aku katakan, dialah bintang aksi kita yang pertama (dan boleh dibanggakan) yang ditunggu-tunggu. Gerakannya lincah, pukulannya terasa. Lakonannya sederhana tetapi cukup jujur dan cukup menyampaikan ekspresi tepat pada wataknya. Badan sasanya terbina untuk tangkas dan ligat aksi yang diperlukan, dan hal ini jelas tampak dalam babak di Berjaya Time Square dan lebuh raya.

Malah, magis filem ini (akhirnya, nasib baik ada) tersimpan elok dalam satu babak. Ini berkenaan Izara Aishah (satu lakonan yang baik daripadanya) dan Zul bergomol di sebuah rumah. Di sini, kita dapat melihat setiap kepakaran teknik, suara, kamera, cahaya, suntingan, kareografi, dan lakonan kedua-dua pelakonnya berjaya diikat dengan padu dan lancar, dari awal hingga akhir babak, menampilkan pukulan, hentaman, peluh dan liuk fizikal antara anggota badan Zul dengan Izara melakukan satu tarian, yang juga berjaya mengeluarkan hawa-hawa seks yang menarik. Ya, ia bukan lagi suatu perlawanan, tetapi suatu tarian yang panas dan dinamis. Jika kalian mahu menonton filem ini, inilah "tarikan utama" untuk filem ini. 

Nasib baik juga, kita dihidangkan dengan beberapa pelakon sokongan yang baik, dalam Hans Isacc, Farid Kamil, Fatimah Abu Bakar dan Omar Abdullah. Hanya nasib tidak menyebelahi Nur Fazura yang kelihatan amat-amat canggung dalam filem ini. Azad Jazmin pula dijadikan watak pelawak yang kadangkala terlalu melalut, namun terdapat beberapa hentakannya yang menjadi. Iedil Putra pula amat sangat miscast.

Filem ini masih belum dapat menandingi Polis Evo yang dengan menariknya, sebuah filem yang cukup rempahnya sebagai filem aksi Malaya. Namun begitu, filem ini boleh ditonton untuk melihat berapa banyak kereta polis dan askar digunakan, aksi ngeri yang menggunakan tema "cliffhanger", dan kelahiran seorang bintang aksi yang tulen yang kita tunggu-tunggu, Zul Ariffin.

No comments: