08 May 2017

Hái-kîⁿ-sin-lō͘/You Mean The World to Me (2017)



Aku selalu dimaklumkan oleh Pak Hassan Muthalib dalam tulisannya tentang filem sebagai alat atau bertujuan memaparkan spiritual lalu penonton, atas membaca indeks atau paparan imej-imej tertentu dalam filem tersebut, melalui suatu "perjalanan spiritual" daripada pembikinannya-pemaparannya (hal ini mengambil konsep dalam tradisi dalang wayang kulit sebagai penentu-pencipta-tuhan yang menentukan naratif cerita wayang, yang turut menyampaikan suatu ikatan mistik kerana memanggil-manggil entiti ghaib untuk sama-sama menjayakan perjalanan main wayang tersebut). Baru-baru ini lagi, dengan jelas Pak Hassan menyatakan, filem Mamat Khalid yang mutakhir, Lebuhraya ke Neraka (2017) mempunyai konotasi spiritual yang kuat. Persoalan spiritual dan sinema ini, setakat kejahilan aku dalam pengalaman tulisan filem di Malaysia (kerana ruang perbukuan perdananya tidak banyak diisi oleh para akademik filem kita, selain arwah Dr. Anuar Nor Arai) setakat ini hanya disuarakan oleh Faisal Tehrani daripada buku Sinema Spiritualnya (Unit Buku Harakah, 2012). Itu pun Faisal tidaklah benar-benar menyampaikan kredonya, hanya bicara dan membandingkan filem "sekular" (atau liberal - dan kini Faisal kembali feminis-humanis kater-nyer, flip flop sangat, kau hengat kau tu Madonnakah noks?) dengan Islam (paling dekat bagi Faisal, filem Iran). Kemungkinan, percubaan Pak Hassan untuk memperkenalkan spiritual (kerohanian) dalam pengalaman wayang ini suatu hal yang asli dan unik untuk filem Malaysia (Melayu), kerana setakat ini, dalam dunia wayang Barat, kita kurang mendengar satu teori langka berkenaan sinema dan spiritual, melainkan perkaitan pengalaman menonton wayang yang dapat menguatkan roh (yakni akal, pendirian, kefahaman spirit ini lebih mendekati "akal rasional" Descartes) atau keimanan (ini khususnya yang menganut Kristian dengan kuat, dengan menggunakan contoh filem-filem yang berunsur Kristian, seperti The Passion of the Christ[2004] yang bagi mereka dapat menerangkan cahaya "taufik" kepada penonton sewaktu menontonnya).

Mungkin dalam dunia Timur, persoalan spiritual ini lebih kuat dan lebih diambil penting. Jikalau Hassan memilih filem Semerah Padi (1956) sebagai suatu contoh filem spiritual, filem di India, jika benar-benar diselidiki, lebih hidup pembikinan dan penayangannya untuk menghidupkan "roh" atau suatu ritual kerohanian. Kerana jelas, khususnya dalam ritual sembahyang Hindu, nyanyian dan tarian, lebih-lebih lagi yang disampaikan sebagai "hajat" kepada dewa-dewa mereka di kuil tertentu merupakan antara ritual biasa untuk "menyenangkan hati para dewa" mereka. Dalam filem mereka, ritual ini dikembalikan dengan paparan babak lagu-tari, yang sememangnya ada yang jelas-jelas bersyahdu-puji dewa atau memohon hajat kepada mereka (rujuk filem PK[2014] sebagai contoh, atau baru-baru ini, Baahubali 2: The Conclusion[2017] yang memuji dan mengangkat dewa Vishnu dalam upacara sembahyang yang begitu indah atau pujian keagungan kekuatan dewa Siva yang menjadi kaitan dengan si hero Baahubali), malah, ada adegan yang aku sudah lupa, dalam sebuah filem Tamil, yang protagonisnya memang menari di dalam kuil, sambil bernyanyi, memohon hajat dengan dewa Siva di dalam kuil. Filem-filem India ini bukan sahaja dengan sengaja memapatkan adegan ini yang berkaitan dengan fungsi plot dan menunjukkan kehebatan budaya muzikal mereka, tetapi merupakan paparan prasedar suatu "ibadat" bersama-sama dalam pemberian si pembikin kepada dewa pilihan (ingat, filem itu sendiri memerlukan dewa-dewa ini untuk menyampaikan simbol/penanda kepada watak-watak dan cara mereka melalui ujian/cabaran/konflik dalam filem untuk mencapai kemenangan/kejayaan atas restu dewa yang menjadi penandanya) yang juga sama-sama dialami oleh penonton yang menonton. Malah, untuk filem komersial tertentu, lebih-lebih lagi zaman keemasan filem Hindustan juga Tamil, dipamerkan dewa anutan pembikin tersebut, sama ada Vishnu atau Siva (paling terkenal antaranya) sebagai semacam patron pembuka filem tersebut (seakan-akan memohon "berkat" agar perjalanan tayangan filem tersebut "diberkati") sebagai suatu dedikasi dan tanda penghormatan yang tinggi.

Keadaan ciri keagamaan (berkaitan dengan agama) atau pelakuan ritual itu sendiri yang (sepatutnya) membangkitkan jiwa "spiritual" dalam diri penonton. Dalam filem Melayu kita, oleh sebab itu, kita dapat mengagak sebuah filem yang mempunyai babak doa-sembahyang atau momen keagamaan yang menyampaikan ikatan spiritual (seperti filem Tsu Feh Sofiah, Tiada Esok Bagimu, Perempuan dan Muallaf) atau hanya dimasukkan secara artifisial dan terasa dibuat-buat oleh pembikinnya.

Dalam filem tulisan dan arahan terbaharu Saw Teong Hin ini, yang sememangnya suatu oasis peribadi karyawannya, jelas-jelas mempunyai nota spiritual yang amat kuat. 

Malah, filem semiautobiografi Saw ini dibikin seakan-akan suatu permohonan "tebusan dosa" atau mencari jalan kemaafan pada masa lalu, dan hal ini memerlukan "pertolongan ghaib" untuk menjawabnya.

Kita dapat melihat hal ini dalam beberapa imej paparan penyembahan (sebenarnya hormat restu) yang dilakukan oleh Hoon (Yeon Yann Yann) dan mak cik-mak ciknya sambil memandang foto lama (memandang penonton) pada awal filem ini. Seakan-akannya membawa kita masuk, sebagai "roh-roh orang tua" keluarga ini pada makan malam Tahun Baru Cina Hoon dan Sunny (Frederick Lee), dua adik-beradik yang sudah kehilangan ibu bapa dan abang mereka, Ah Boy (John Tan). Sunny, pengarah filem "yang terkenal" dan banyak memenangi anugerah telah kembali ke kampungnya, Pulau Pinang (hái-kîⁿ-sin-lō͘ yang bermakna "jalan baharu di tepi pantai" merupakan panggilan orang Hokkien untuk Lebuh Victoria di Georgetown, Pulau Pinang, rumah asal Sunny/Saw dan Hoon) untuk membikin sebuah filem "tentang keluarganya sewaktu kecil". Kehadiran Sunny mengejutkan Hoon, kakaknya dan kedua-dua mak cik mereka (adik-beradik sebelah ayah) kerana Sunny sudah lama menghilang dan tak balik-balik sejak berhijrah di Kuala Lumpur. Keadaan upacara sembahyang kepada dewa pula akan berlaku lagi, dengan lebih beradab dalam satu adegan si ibu (Neo Swee Lin) dengan Sunny waktu kecil (Gregg Koay) pada babak masa lampau. Kemudian, terdapat dua lagi adegan yang terserlah menyampaikan ritual ikatan dunia fizikal dengan rohani, dengan babak Sunny di kubur, serta babak kredit akhir di tepi pantai (tonton sendiri untuk ketahui apa).



Sedikit demi sedikit, dengan gaya adegan saling bertukar masa, dari masa sekarang dengan masa lalu, membuka kelopak demi kelopak sikap Sunny yang menyesali masa lampaunya (dan kita ketahui, spoiler, melakukan suatu tindakan yang menderhakai hajat terakhir ibunya). Keadaan filem ini menjadi lebih menarik lagi, apabila kita ketahui, terdapat penggunaan teknik filem dalam filem. Tidak, filem dalam pembikinan filem dan jangan terkejut, yang sebenarnya: pembikinan filem dalam filem dalam pembikinan filem! Bukan sahaja sikap Saw melakukan kerja ini personal kepadanya, tetapi menimbulkan suatu atmosfera spiritual yang jelas, kerana seakan-akan Saw, membangkitkan roh/hantu silam agar Saw sendiri, dapat "merasai" kulit dan air mata roh-roh ini! Hal ini dibuat dengan begitu indah sekali apabila Sunny yang masih menulis lakon layar filem (spoiler yang kita akan tahu merupakan dialog terakhir filem ini) pada babak awal filem ini, yang kemudian menjadi babak fungsi pada akhir filem dengan satu imejan katarsis yang indah akan maksud filem yang berjaya melangkaui (tresendental) ruangnya memasuki jiwa pelaku-penciptanya. 

Terdapat dialog dalam filem ini yang bercakap tentang topeng (kepura-puraan) yang dipakai oleh Sunny (yang juga homoseksual, jadi hal ini mempunyai dua lapisan maksud) antara dialog Sunny dengan rakan baiknya di rumah kawannya pada malam Tahun Baru Cina, yang menyatakan tentang pemaparan kepura-puraan (kerana pelakon-pengarah menyampaikan kepura-puraan, hal yang dibuat-buat) yang kononnya realiti (filem ini sebuah semiautobiografi). Jadi, Sunny (dan di sini, Saw) menggunakan ruang ini untuk melakukan upacara "sembahyang"nya, menghidupkan kembali "hantu", satu mimesis atau penyalinan semula memori tetapi juga seakan-akan memuja hantu, seperti dalang memuja kembali watak wayang kulit untuk "hidup" - hal ini dikuatkan lagi apabila banyak babak masa sekarang Sunny yang berlegar-legar di Pulau Pinang, terdengar runut rebab bermain, bukan sahaja sebagai tanda bukan digetik terhadap "legaran" akal Sunny dalam babak berbingkai itu, tetapi Sunny sedang mencari jalan momen spiritualnya, untuk berhubung dengan "sebelah sana". Babak yang berkaitan dengan memori (babak imbas kembali) sememangnya babak "spiritual" bagi Sunny, kerana Sunny/Saw akan menghidupkan kembali ruang yang disimpannya. 

Ada satu babak sangat menarik apabila Hoon mendepani Sunny tentang masa lampau mereka yang mereka tidak dapat lupai (dan Sunny seakan-akan tidak dapat memaafkannya). Pada masa itu, Hoon dengan jelas menyatakan, dia "mengubat" sesal dan kecewanya pada "tragedi" masa lampaunya dengan memohon doa kepada Jesus Christ (Hoon menjadi penganut Kristian yang kuat) agar jiwanya tenang dan diisi "rahmat" kembali - ini membuatkan Hoon tenang menghadapi hidup dan masa depannya. Sunny, yang kita sedari secara awal seakan-akan sudah menolak ritual agama ibunya (Sunny pada awal filem dilihat tidak membuat tunduk hormat setia kepada foto mendiang ayah-ibu-nenek moyangnya, terdapat resenment di sini, juga seakan-akan menyatakan, kerana Sunny mendepani kamera ke arah kita, bahawa ini satu kenyataan kepada kita bahawa ini bukan filem untuk mendapat restu daripada kita, ini lebih daripada itu) menyatakan dengan tegas kepada kakaknya, "Cara inilah saja saya dapat menebus jiwa terganggu saya yang lalu". Maka, konteks "filem dalam pembikinan filem" tersebut bukan sahaja melihat gerak pengalaman kewayangan tetapi menghidupkan satu spiritualiti yang jelas, yakni yang aku nyatakan di atas tadi. 

Hal ini adalah kerana, Sunny/Saw sedang bermain dengan memori, ruang (lampau - rumah/kampung asal) dan watak orang yang sudah meninggal (hantu). Saw "menghidupkan" kembali hal ini, bukan sahaja untuk tujuan mimesis tetapi baginya, dengan kenyataan yang jelas, hanya melalui filem, hanya magikal dan spiritual filem baru hal ini boleh di"nyatakan", maka wacana wayang sebagai representasi kepura-puraan itu sudah terganggu kerana "kepura-puraan" atau make believe ini bagi Saw mempunyai peranan yang jauh lebih penting, yakni pemancaran pembikinan yang lampau/hantu itu menjadi realiti pada bingkai wayang. Saw seakan-akan mengutip isi daripada ghaib (memori/imaginasi) lalu merealisasikannya, membuatnya bercakap dan nyata seperti "asal". Daripada sini, Saw pula menyampaikan "suara"nya, atau kalau boleh, doa dan hajatnya, supaya segala yang terbuku dalam hatinya selama ini, termakbul, sampai - dan semua ini secara magis dilakukan melalui wayang! Babak klimkas inilah (yang sangat kuat dan membuat aku menangis, yeap!) menjadi katarsis sebenar Saw, yang juga buat kita (sepatutnya), berkongsi satu ruang spiritual yang amat intim dan bermakna sekali dalam sejarah sinema kita.

Dalam lapisan seterusnya juga, Saw kelihatan berjaya, apabila Saw mambuat satu kenyataan yang menarik. Kita tahu di sini, Saw menghidupkan kembali hantu masa lampaunya sebagai suatu amalan penyucian/penghormatan terakhir. Yang dihidupkan di sini ialah masa (memori), ruang (tempat) dan watak (orang yang sudah mati serta yang masih kecil/remaja/muda). Sunny di sini "kembali" setelah meninggalkan ruang, masa dan watak itu. Sunny melakukan bukan sahaja kerana menyampaikan hajat atau memohon kemaafan sahaja, tetapi atas nama cinta. Cinta Sunny ini jelas terhadap keluarganya, dengan jelas, betapa disfungsinya keluarga itu, betapa retaknya, Sunny mencintainya (malah, Sunny sememangnya kembali ke sana). Hal ini dapat dihidu apabila Sunny tidak putus asa walaupun pembikinan filem itu tergendala kerana wang. Malah, kita seakan-akan melihat Sunny mencari penambahan modal untuk filemnya. Namun itu bukanlah isu sebenar, kerana momen ini lebih besar untuk Sunny, yakni perkara yang sudah dinyatakan di atas, semuanya atas sebab dan dasar cinta, kepada keluarganya, rumahnya dan memorinya. Hal ini dapat dibaca juga sebagai penghormatan Sunny terhadap sejarah, identiti dan jati dirinya sebagai orang Malaysia. Walaupun betapa buruk dan teruk cara ia mendidik-mendewasakan Saw, Saw tetap kembali kepadanya, mengakui sejarah dan identitinya dan mencintainya. Kenyataan Saw ini amat berani dan optimis, lebih-lebih lagi terhadap bangsanya yang terasa "terasing" dan berkonflik dengan keadaan dan latar politik dan sosial negaranya. Malah, dengan kebiasaannya, komunitinya akan merantau, selalunya ke Singapura untuk mencari kebahagiaan/kejayaan/kekayaan yang lebih baik daripada negara asal. Maka dalam hal ini, walaupun betapa buruk nasib mereka, dengan maruah terhina dan miskinnya keluarga Sunny, hal ini tidak berlaku. Hal ini dikuatkan lagi dengan fokus ibunya sebagai pengikat teguh tali ikatan keluarganya. Ibunya mempunyai pendirian yang tidak akan bercerai dengan suaminya, malah tidak akan melepaskan anak tidak siumannya, Ah Boy walaupun diherdik oleh jiran dan anaknya sendiri. Sebenarnya, pendirian inilah yang secara prasedarnya terasuh dan terbina dalam Sunny, yang sebenarnya mengikuti langkah jejak ibunya secara tidak sengaja, seperti juga Hoon. Maka, keadaan untuk duduk "kekal" dan mendepani segala badai walaupun apa-apa yang berlaku merupakan suatu kenyataan yang kuat daripada Saw dalam filem ini, sebagai renungannya terhadap keadaan realiti bangsanya pada masa sekarang.

Lakon layar filem ini ditulis dengan baik sekali oleh pengarahnya (sari kata untuk dialog filem ini ditulis oleh Allan Koay, walaupun tertulis indah, jika anda ingin membaca makna dan nuansa sebenar, elok baca sari kata Inggerisnya yang lebih tepat), dengan susunan cerita yang membuka misteri cerita dan hidup Sunny dan keluarganya yang menyampaikan banyak lapisan maksud, dengan menghidupkan watak dan perwatakan sedari kertas lagi. Hal ini diperkuatkan lagi dengan himpunan pelakon yang baik dan saling membantu menguatkan dinamis drama. Namun dua teraju yang perlu dipuji, yakni Neo Swee Lin dan Yeo Yann Yann. Neo Swee Lin sebagai ibu Sunny memainkan peranan yang terkuat dan menjadi "tiang seri" sebenar filem ini. Emosi dan penyampaiannya padu dan bersahaja, meluahkan isi hati yang meraut penonton untuk sama-sama merasa empati akan ujian dan gangguan yang dihadapi oleh wataknya, tapi masih dapat mengangkat tengkuknya dengan selamba, tersenyum pada anak-anaknya untuk makan dan menonton televisyen. Sisi gelap-terang yang dimainkan oleh Swee Lin sangat bertepatan dan menyampaikan suatu kehebatan dalam lakonan. Yeo Yann Yann pula sebagai Hoon, kakak Sunny, meneruskan kecemerlangannya sejak Ilo Ilo, menyampaikan isi kasih sayang dan keteguhan hatinya yang juga disertai kepolosan jiwanya dengan bersahaja dan selancar mungkin.



Mungkin terdapat beberapa babak yang kelihatan seperti mengejutkan, dengan transisi dari satu babak ke satu babak yang menyentak. Malah, ada babak yang seakan-akan dipentaskan (staged), malah terdapat dua tiga babak ini kita terasakan memang berada di dalam sebuah persembahan teater (lakon layar ini pernah didramakan di teater). Hal ini seakan-akan mempersendakan kerja suntingannya yang sebenarnya sudah baik. Namun, aku dapat memaafkan "gaya" keras ini atas sikap Saw melakukan filem dalam filem dalam filem, dengan sengaja mengganggu kita bahawa filem ini masih "bukan nyata" pada logos pengrealisasi filem yang membina realismenya. 

Efek bunyinya baik, malah skor filem ini berjaya membuak emosi dan suara "spiritual" wataknya. Latar hias dan pilihan latar serata Pulau Pinang dalam filem ini juga mencapai produksi yang membanggakan. Paling indah, sudah tentu sinematografi hebat Chistopher Doyle yang kita kenali daripada filem-filem Wong Kar Wai. Chris telah bukan sahaja merealisasikan imbasan-sekarang pada latar Pulau Pinang dengan baik sekali, beliau berjaya menyampaikan momen-momen katarsis dan "spiritual" dengan ayunan panning dengan God's eye view yang membuak perasaan. Serta permainan cahaya yang begitu intim, terasa dan mengikat ke hati. Filem ini sudah menjadi milik Chris juga.

Arahan Saw juga melandaskan suatu kematangan. Inilah filem terbaik Saw setakat ini (melampaui Puteri Gunung Ledang). Dengan ikatan kukuh, kompleksiti lapis dan permainan filem dalam filem, Saw kelihatan bergaya dan menjadi seorang pengarah tempatan yang perlu dihormati. Malah, doa peribadi Saw sudah menjadi doa perkongsian kita untuk melihat karya yang baik terus dihasilkan di sini. Yang baiknya, Saw boleh sahaja menurut gaya melodrama tipikal Osman Ali jika Saw mahu, tetapi tidak, Saw melakukan filem ini dengan gaya senyap, setitip realisme dan kematangan teliti yang jelas, yang tetap boleh meragut jiwa yang menontonnya. Aku sendiri, menangis beberapa kali pada babak-babak tertentu atas pemancaran kemanusiaan dan drama manusianya yang membuak tetapi juga atas sinemanya yang bijaksana. Saw sudah meninggalkan yang fantasi, yang main-main, untuk memberi kita suatu suara hati yang menggocak sehingga tiba di pintu langit.

Sebuah filem untuk diraikan.

Antara filem terbaik kita tahun ini. 

No comments: