14 June 2017

RIP? (2017)



Aku mempunyai sedikit "harapan besar" terhadap ST Bala kerana dia, seperti Rahim Razali (dan kebanyakan pengarah filem yang best), mempunyai asal usul daripada pentas teater. Satu lagi, ST Bala sebenarnya pernah membikin filem, Kaliyugha, Sambanthan (berkenaan tokoh politik-pemimpin MIC Tun Sambanthan) dan It's the Moment Yang Arif. Kebanyakan filemnya dibikin pada era digital dan dengan kos yang murah (dan cepat). 

Namun, setelah menonton filem ini yang sepatutnya memberikan harapan (dah banyak filem tu), kita mula menyoal di manakah kekuatan ST Bala sebenarnya?

Sebenarnya, filem ini ada sebuah premis yang molek yang bolehlah, dengan melihat kelemahan filem kita, berkemungkinan layaklah dicalonkan untuk nominasi yang aku sampai hari ini tak faham mengapa ia perlu ada dalam FFM, yakni "cerita asal terbaik": filem ini bergerak selepas kematian seorang patriarki secara tiba-tiba, sewaktu hendak pulang ke rumah. Lelaki 40-an ini (dilakonkan oleh ST Bala sendiri) yang diangkat dalam dunia perniagaan dan keluarganya amat disayangi. Dalam masa dua(?) hari, keluarga dan sanak-saudaranya (termasuk ipar dan besan) yang berkabung sedang menyediakan jenazahnya untuk acara pembakaran mayat. Maka, kisah ini bukan sahaja tentang mayat lelaki-ayah-ketua syarikat tersebut dan keluarganya yang sedang meratap untuknya, tetapi beberapa kisah yang berlaku dalam ruang sewaktu dua hari ratapan tersebut sebelum acara mengangkat jenazah si mati, serta singkapan realiti sosial masyarakat India berkenaan pantang larang, ketidakadilan terhadap kaum wanita, ketidakadilan kasta dan kematian (atau hilang cakna) pada tradisi/agama (babak tidak ada yang berani menaburkan minyak kepada si mati kerana tidak berpuasa dan tidak makan daging adalah antara contohnya).

Aku percaya, jika skrip ST Bala ini jatuh dalam tangan Shanjey Kumar, filem ini akan menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat (kerana Shanjey amat bijak menyusun dan menyilang cerita demi cerita), kerana semangatnya sudah ada, minyaknya saja yang tak cukup menjadikan gerakannya sangat canggung.

Masalah terbesar filem ini ialah, ST Bala perlu belajar cara membikin filem yang betul. Berkemungkinan, filem ini diadaptasi daripada skrip teater ST Bala sendiri. Dalam medium teater, mungkin persembahan kandungannya "boleh masuk akal" apabila titik masa dipecahkan dalam beberapa monolog atau perbualan panjang, namun ST Bala sangat lemah dalam bahasa filemnya. Kita, penonton, tidak ikut bergerak dengan filem walaupun gerakan cerita-masa sedang berjalan. Sebenarnya, jika alasannya memang filem ini berkehendakkan begitu (seakan-akan masa terhenti), lihat bagaimana filem adaptasi drama seperti 12 Angry Men (1957) atau Bug (2006) masih boleh bersikap engaging dan membuat penonton ingin tahu lagi akan premisnya walaupun dilakonkan dalam satu ruang (filem ini juga menggunakan hanya ruang rumah si mati) atau tempat, malah cukup terkatup. Masalah jelas ST bala ialah dia tidak mempunyai kekuatan itu, untuk menggerakkan naratifnya, menyusun pemecahan subplot untuk plot besarnya, dan membuka satu persoalan pada detik awal. Awal-awal lagi, dengan lemah sekali, cara ST Bala meninggalkan ST Bala di depan halaman rumah (yang tampak seperti taman permainan) kelihatan amat lemau dan tidak bermaya, walaupun runut bunyinya mencuba, dengan syot ala Kollywood yang begitu mencuba. Masalah ST Bala satu lagi ialah, dia tidak mahir untuk bermain suntingan, dan bagaimana hendak "membangunkan" adegan demi adegannya agar ia tidak sangat terlihat "teatarikal yang buruk". Ini, tidak, terlalu banyak watak yang menjalankan kerja "penyanyi korus" atau tipikal mungkin dalam teater Tamil tempatan, watak-watak sampingan yang "menyampaikan mesej" atau "pedoman" kepada penonton secara tidak sengaja, dengan melakukan kritikan terhadap babak yang sedang berlaku. Hal ini tidak ada masalah, malah Kollywood melakukannya, tetapi ada yang tidak perlu dinyatakan dengan jelas-jelas (sebab ini filem!) dalam bentuk dialog (filem Kollywood melakukannya dengan babak lelucon) atau jelas-jelas "menyampaikan pengajaran" - ini seakan-akan membentuk filem ini sebagai sebuah iklan mesej untuk komuniti India yang sejam 30 minit panjang.

Foto di bawah ini sebuah contohnya:



Ya, aku faham. ST Bala banyak hendak lakukan kritikan terhadap masyarakatnya, lebih-lebih lagi dengan keadaan modenisme yang banyak menghakis jati diri masyarakat India dulu (yang aku masih terngiang contohnya: "Apa perlunya majlis kematian di rumah ini dibuat lama-lama, ini bukannya kenduri kahwin?"), yang sebenarnya agak berani, dan berkemungkinan liberal dan radikal (siap boleh mintak ubah ritual tengah-tengah babak tu paling mengejutkan aku tu, sebab mungkin dalam agama Hindu, tidak ada persoalan jelas akan perkara/ritual yang wajib dilakukan dengan perkara yang jelas-jelas bidaah - malah dengan mencuit, si watak bertanya, "Siapalah yang pegi mulakan acara [mengadakan majlis kematian dengan lama] begini?"). Malah, kalau ST Bala bijak, filem ini sudah hendak mendekati sebuah satira tentang keadaan kaum India sekarang. Tapi, oleh sebab kekurangan kekuatan Bala untuk membina naratif dan menggunakan kuasa objek dalam sinema, filem ini tampak seperti Bala menyodok-nyodok semua ubatnya ke dalam mulut/mata/telinga penonton. Inilah cara nak buat penonton muntah.

Sedangkan ada "isu" masyarakat India Hindu yang "bertukar agama" (Islam) yang menarik diangkat oleh ST Bala (namun isunya cepat-cepat diselesaikan kerana aku faham ST Bala tidak berani untuk bergerak ke arah tema kontroversi kerana hendak menjaga "perasaan" mereka yang memang jenis cepat emosi dalam hal-hal ini). Juga ada subplot cinta seorang pemuda yang menarik dan beberapa lagi kisah kecil. Tapi itulah, ST Bala tidak tahu menimbang yang mana perlu yang mana tidak. Contoh seperti babak panjang si mati diberi suara, lalu hanya dapat memerhati setiap gerak dan reaksi keluarga/kawannya. Ini amat membuang masa. Kecuali jika sudut kamera dan penggambarannya dibuat dengan indah, mungkin ini dapat membantu, namun, alas, penggambarannya juga dibuat dengan kelam-kabut, tidak membawa intensiti dan rasa yang sepatutnya untuk membina sebuah metafora layar yang lebih besar, 

Maaflah Bala, betul cakap budak ni. Ini satu hit and miss untuk filem tempatan kita.

1 comment:

Anonymous said...

Hello! Do you use Twitter? I'd like to follow you if that would be ok.
I'm undoubtedly enjoying your blog and look forward to new updates.