16 October 2017

Shuttle Life (2017)



"Semua orang nak cepat, semua orang nak murah."

Kisah filem neo-realisme berdurasi dua-tiga hari ini nampaknya mencabar sinema Ho Yuhang. Kali ini, mungkin, dengan sedikit lenturnya LPF, dengan meninggalkan bentuk kias-absurd yang dibawa oleh Ho Yuhang dan angkatannya, Seng Kiat lebih jelas dan lebih berani menyampaikan kata isi hati Kuala Lumpur yang "sakit" (harfiah dan berkias) tapi sibuk bermegah-megah pantas membangun, dengan warga kelas menengah bawahnya yang menderita dengan pilu, senyap, tanpa api dan air.

Filem ini bercerita tentang Ah Qiang (lakonan terkawal dan mencengkam pelakon baharu, Jack Tan) yang menjaga ibunya (lakonan sepi dan tiba-tiba menyucuk oleh Sylvia Chang, ya, pengarah filem 20 30 40) yang murung-berpenyakit mental dan adiknya yang kecil dan baru hendak sekolah, Hu Shan (lakonan baik Angel Chan). Mereka bertiga adalah antara pesakit, mangsa dan pemerhati bandar raya Kuala Lumpur yang terdesak hendak membangun tetapi sakit, tidak berbekalan air, hidup miskin sengsara dan penuh anak-anak watan yang terabai. "Sakit" di sini memanglah penjelmaan "pembayang maksud" pengarah ini terhadap realiti sosial kotanya, malah dengan enak sekali pada satu dialog, Ah Qiang dengan jelas menyatakan kepada jirannya, "Mak aku tak sakit (mental)!" - menjawab maksud sebenarnya watak ini dijelmakan.

Mahu tidak mahu, sanggup tidak sanggup, Tan Seng Kiat bersama-sama Chris Leong Siew Hong mewajarkan realiti hidup manusia (dalam hal ini, golongan marhaen Cina) yang sedang melarat di tengah-tengah bandar, sepertimana yang pernah dibawa oleh Ho Yuhang 15 tahun dahulu. Tema anak gelandangan ini jelas, lebih berjiwa dan hidup, contohnya, jika kita hendak bandingkan dengan superfisial Anak Halal Osman Ali (yang juga bercerita tentang keluarga, persahabatan, hidup gelandangan yang diuji di tengah bandar), malah inilah, yang selama ini disemboyankan oleh ASAS 50 akan pencarian suara sebenar masyarakat yang tertindas, dan aku terkejut, Seng Kiat dan Siew Hong yang tampaknya berjaya merealisasikannya dengan sebaik-baiknya, malah berjaya membina beberapa imej yang puitis. Apa yang menguatkan lagi filem ini (walaupun gerak perkembangannya kelihatan sedikit episodik) ialah desakan-desakan berbau politikal yang berjaya diungkapkan oleh pembikinnya, dengan penuh berani, akan ketidakwarasan dan kepekakan ahli penguatkuasa (di sini, polis, pembekal air, hospital, ahli parlimen, pejabat pendaftaran, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kah kah kah kah!) untuk memahami manusia yang sudah hilang bahasanya seperti Ah Qiang dan keluarganya. Malah, dengan jelas sekali, birokrasi hanya tahu menyuruh mereka supaya "diam" dan "senyap" apabila mereka tidak berasa dibela.

Terdapat susun akibat dan drama getir yang cukup baik disusun, dengan penggunaan mis-en-scene yang tercapai maksudnya (filem ini turut menggunakan objek kisi-kisi pada ruang rumah pangsa dan kemudian penjara seperti Apprentice untuk menyampaikan kesan terperangkap warga pelakonnya, yang sudah tentu dengan tujuan cerita yang berbeza). Filem ini seperti sebuah kekecewaan dan juga kemarahan yang senyap, yang selalunya tersampai pada masa yang salah atau tersampai dengan mesej yang bercelaru kepada penerimanya. Wayang kekecewaannya yang penuh tragis-pilu dalam diam, tanpa perlu esakan-esakan melodrama tipikal filem Melayu jelas tampil dalam babak ibu dan Ah Qiang yang sama-sama menangis di katil bilik ibunya (menjadi rujukan poster rasmi filem) dan babak hidup dalam gelap, dengan ibunya dan lampu suluh, menjahit dalam ruang gelap (betapa berkesannya imej ini menyampaikan kesan material bandar yang memaksa golongan bawahan menjadi mekanikal terhadap permintaan materinya). Imejan ini menjadi imejan sebab-akibat Ah Qiang yang mengamuk dalam senyap. Dalam satu babak yang efektif oleh Seng Kiat, Ah Qiang yang begitu marah, menghentak-hentak cermin kereta, tetapi kita dipaparkan syot di dalam kereta itu, dengan bunyi yang dikedapkan, menyampaikan kritikan terkuat Seng Kiat: jeritan manusia melarat di bandar, walaupun dapat dilihat/disaksikan (dengan sedap empuk di atas kerusi kereta-pawagam) tetapi tidak dapat didengar!

Filem ini berkuasa dengan penceritaannya. Dengan sinematografinya oleh Chen Ko Chin yang bergoncang dan menangkap ruang kelam lagi hiba dan cuba-cuba berharap. Dengan persembahan lakonannya: Seng Kiat jelas berjaya membina-mengawal babak-babak dramatik pada kemahuan yang diminta, dengan dinamisme antara pelakonnya yang terkawal. Mungkin hanya babak si banduan Kelantan yang menegur Ah Qiang itu sedikit cepat melulu dibikin, yang lainnya, Seng Kiat memperlihatkan kecemerlangannya dalam pembinaan sebuah sinema yang realisme pada bentuk tujuannya.



Menariknya lagi, tidak ada pun satu latar runut bunyi yang terdengar (ada tetapi minimal) dalam kembara lara Ah Qiang ini. Runut bunyinya ialah suara-suara bingar jalan raya, herdik marah, wajah mata menghukum, dan kadangkala sahaja kita diberikan ketenangan (dan kepiluan) dengan nyanyian Hu Shan, Geylang Si Paku Geylang. Filem ini mungkin membuatkan kita sedih dan jiwa kita terganggu, namun filem ini mempunyai niat yang jauh lebih penting daripada itu; untuk melihat sendiri kegusaran suara jiran-jiran kita yang dirobohkan rumahnya bila tiba masa DBKL (atau mana-mana penguatkuasa bandar) hendak roboh, suara jiran-jiran kita yang tidak cukup air, jiran-jiran kita yang kematian ahli keluarganya tanpa dapat melihat mayatnya di dalam bilik mayat. Ini sebuah filem seram yang benar pada maksudnya, dan sepatutnya diambil perhatian untuk mesej masyarakatnya. 

Antara filem terbaik Malaysia tahun ini.

No comments: