17 December 2017

Jibam (2017)


"Abah tak bagi Jibam cerai dengan pisau ni!" - Jibam

"Cuba kau azan!" - Tok Ngah Sudin

Banyak spoiler (kau pun malas nak layan filem ni kan?)

Sebelum aku mula, aku perlu katakan, dulu, novel-novel Creative bukanlah kesukaan aku. Aku selalu anggap (dengan sikap sangat high and mighty) bahawa novel yang keluar daripada Creative semuanya popular, picisan dan murahan. Sewaktu aku di asrama, aku selalu sahaja menyindir kawan-kawan aku yang melayan majalah Ujang (aku lebih suka Gila-gila zaman itu) dan tidak pernah baca novel Salina atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Kemudian, seorang kawan asrama aku, Ikmal, budak dari Felda, menghulurkan aku novel Ujang, Jibam, suruh aku baca, dan dia katakan, mungkin Jibam bukan "sastera" tapi ada sesuatu yang aku akan jumpa.

Ya, novel Jibam sederhana penulisannya, tetapi ada sesuatu yang menarik yang hendak disampaikan (jika kita hendak bandingkan dengan Ombak Rindu). Ada bahagian yang terlihat meloncat-loncat, tetapi perjalanan membacanya menghiburkan.

Untuk adaptasi novel ini yang diarahkan oleh orang lama (tapi baharu dalam filem perdana) dengan lakon layarnya berserta penulis Asmira Suhadis (dan Ujang sendiri rasanya), timbul sesuatu yang menarik dan sudah lama tidak dibayangkan dalam wayang Melayu.

Filem dibuka dengan syot luas, kita melihat latar hutan di atas gunung-ganang yang perlahan-lahan menaik ke langit. Bumi dan langit. Dunia dan akhirat, dan sudah tentulah ini cerita tentang sebuah keluarga, milik Suman (Esma Daniel) yang meneroka tanah baharu dengan keluarganya (yang kemudiannya menjadi kampung). Kita diberikan latar, Suman dan isterinya (lakonan baik Farah Ahmad) dianugerahkan Allah dengan anak yang "istimewa". Filem mencadangkan, atas keistimewaan anak yang cacat itu, Suman sekeluarga berpindah nak meneroka tanah baharu.

Penerokaan bermula era 1920-an dan seterusnya 1960-an, sehingga era selepas Mei 1969 dan perkenalan Felda oleh Kerajaan (walaupun secara tradisi, ini kebiasaan orang Melayu "membuka tanah"). Kita boleh ikuti semangat ini dalam novel-novel 70-an dan 80-an, khususnya Rimba Harapan karya Keris Mas. Ada satu lagi sisi yang menarik dibawa oleh penulis karya ini, Ujang, dengan filem-filem Rahim Razali era 80-an. Suman dalam novel dan filem, dimaklumi sebagai seorang yang "pandai berubat". Dalam filem, hal ini dijelmakan dalam unsur realisme magis Melayu seperti yang kita pernah tonton dalam Puteri juga Bintang Malam. Ada misteri yang unik dibina di sini, dalam diri Jibam, juga ayahnya, yang langsung tidak diterangkan.

Jibam (atau Ashraf, lakonan sangat baik Mohd Ariff Abdullah) menjadi susuk anak muda yang menarik, manusiawi sekali gus misterius (langit dan bumi, ingat pembukaan filem) - ada suatu kontradiksi yang pekat: Jibam cacat tetapi diam-diam bijak, bodoh emosional tetapi berilmu istimewa, kejam dan "kurang siuman" tetapi jelas manusiawi. Di sini, Jibam bukan sahaja menjadi kunci yang memegang misteri kematian pembunuhan ayahnya, Suman, tetapi menjadi, secara tidak sengaja, kunci misteri, alang-alang dan alamiah alamnya, kampung yang dibuka oleh ayahnya. Susuk manusiawi Jibam ini hanya dapat dilihat dalam kaca mata orang Melayu, semisteri hutan di bawah langit Tuhan yang tersimpan dan pelbagai hidup, rezeki dan liar bahayanya.

Begini lagi. Che Mie (dan penulis skrip) sengaja membiarkan Jibam dan "kotak sakti"nya misterius (aku bersyukur bahagian ini diadakan dalam filem ini daripada novel), menunjukkan dia boleh "mengubat", seperti percaya Wok (lakonan berkesan Kazar) mengubati anaknya diserang tebuan di busut. Menarik lagi, ada, seperti orang kampung Usin Singai (lakonan Kamarool Yusof yang baik) yang memfitnah Suman bela hantu. Kita, penonton terpecah, sama ada ini benar atau tidak. Namun begitu, kita teringat dengan babak Suman yang jelas-jelas mengubat Tok Ngah Sudin (lakonan berkesan Bohari Ibrahim), dengan menyatakan "Yang memulihnya Allah, bukan aku. Aku tak mahu bongkak, jangan kau bagitau rahsia ni." Ini memberi klu yang kuat.

Kita, penonton, dibiarkan oleh pengarah, untuk mempercayai bahawa Jibam, anak pelik anugerah Tuhan ini, mungkin diperturunkan "saka" ayahnya kepadanya (hanya Jibam yang boleh bercakap-cakap dengan ayahnya, kita dicadangkan bayangan ini), atau sekumpulan yang lain, percaya bahawa Jibam, dalam alang bodoh dan tiga sukunya itu, dia sebenarnya wali Allah, sepelik Bahlul dan Abu Nawas. Aku berani mengatakan ini, kerana pada puncak cerita filem ini, Jibam mendepani Tok Ngah Sudin yang sudah "separuh suku". Sebagai orang biasa yang selalu melihat betul-salah, hitam-putih, dosa-pahala, sudah tentu kita membayangkan Jibam akan "menghukum" Tok Ngah, pembunuh ayahnya(!), tapi tidak! Jibam, dengan bendul dan alang-alangnya, meminta untuk berkawan! Ini misteri alam dan ar-Rahim Tuhan. Ini manusiawi yang sangat dalam dan misteri, dan hanya wujud dalam alam orang Melayu!

Aku sengaja menekan hal Jibam dan hubungannya dengan Tok Ngah Sudin ini kerana, memang, plot utama filem ini jelas-jelas ialah tentang perasaan bersalah Tok Ngah yang telah "berdosa"; membunuh saudaranya, Suman. Keadaan ini, dia dan Suman ialah tanda pertelingkahan Habil dan Qabil Al-Quran dan Bible, suatu pertelingkahan manusia (hasutan syaitan) terbesar zaman berzaman (dan masih sahaja berlaku sekarang, seperti Israel dan Palestin sekarang). Ini tema besar. Penanda ini sama dengan penanda pergaduhan abang-abang Jibam, Fakir (lakonan baik orang baharu, Fadlan Hazim) dan Karim (lakonan hebat, seperti biasa oleh Syafie Naswip). Ujang sengaja membina watak ini untuk menunjukkan, banyak sahaja manusia Melayu yang telah menjadi Qabil tanpa sengaja, dan duduk berasa bersalah tapi tidak mengaku akan "dosa" mereka.

Menariknya lagi, kesemua yang kita lihat, bayang-bayangan "seram" Tok Ngah akan "Jibam-jibam" (nama Jibam ini mendekati kosa sebutan latar dalam lagu Ahmad Daud, "Pontianak") ini sebenarnya suatu bayangan psikologikal, rasa bersalah itu sedang memakannya, dan alam seakan-akan mengiakan (ini sifat yang sangat magis) dan menjawab keluhan Jibam. Jadi, Tok Ngah terasa terhimpit, oleh ruang, alam dan manusia. Sebab itu dia, sedikit demi sedikit, mengecilkan ruangnya (menyorok di bawah katil), menutup daripada alamnya (tutup tingkap, air hujan dari atap pun dirasai macam hantu, memakai baju serba hitam dengan menutup telinga dan mata waktu ke luar), dan menyendiri daripada orang-orangnya. Ada beberapa sinema yang cantik telah dibina oleh Che Mie dan sinematografi Indera Che Muda. Terdapat dua yang aku paling suka:

(1) babak paling awal Tok Ngah dan Jibam ialah sewaktu Tok Ngah marah Jibam kerana Jibam koyak dan ambil tiub getah basikal Tok Ngahnya. Dalam satu syot, sewaktu Tok Ngah memukul kejam Jibam, kita lihat dua susuk ini dilatari pagar reban ayam, "memerangkap" Tok Ngah dan Jibam. Kita tahu di sini, ini cerita besar hubungan Jibam-Tok Ngah (dan apa akan berlaku dengan mereka) tetapi ini juga "pengurung" Tok Ngah dengan mentalnya yang masih berbekas dosa silam itu. Sebenarnya, secara psikologi, Tok Ngah memukul Jibam seakan-akan Tok Ngah sedang memukul dirinya, melepaskannya di situ. Pukulan ini membina pada satu babak "halusinasi" [lihat (2)]. Ini mencapai katarsis yang menakutkan kerana Jibam juga anak tidak bersalah yang ayahnya dibunuh olehnya. Ini menambahkan ironi bersalah Tok Ngah tanpa Tok Ngah mahu mengakuinya. Semuanya secara prasedar. Jika kita lihat, dengan sengaja, hanya imej Tok Ngah, bermula dengan pagar-pagar reban itu, Tok Ngah sentiasa diselaputi siluet "pagar", mulanya tirai kelambunya, kemudian selimutnya, kemudian di bawah katilnya, kemudian seluruh rumahnya. Ini penanda bahawa Tok Ngah tidak akan mengaku apa yang dibuatnya. Egonya menyimpan walaupun superegonya memberontak. Akhirnya, dengan pintu rumah yang terbuka, Tok Ngah tidak lagi diselubung siluet tetapi diikat di tiang ruang - ini yang menyebabkannya terus hilang akal dan menunggu "hukuman".

(2) Indera sengaja melekapkan zum dekat wajah Tok Ngah mengorek telinganya, bersandar di batang pokok. Ini keadaan paling tenteram Tok Ngah. Ini "kejayaan" Tok Ngah. Imej ini kemudian ditampakkan dengan babak Tok Ngah menolak Jibam. Ini menambahkan bersalah Tok Ngah (aksi sama terhadap Suman). Aku sangat suka syot demi syot dan citra imej ini. Sangat dibuat dengan teliti. Syot ini juga dipakai sewaktu Tok Ngah diikat di tiang rumahnya. Ini sangat menarik, dan sedikit sebanyak memberikan klu mengapa ada hasad dengki dalam dirinya ("hati kotor" kata Karim) dan apa yang dibuatnya terhadap Suman. Secara psikologi Melayu, Tok Ngah (Qabil) dan Suman (Habil), dua-dua menyampaikan imejan terhormat (ada sedikit kelemahan dari segi identifikasi wayang dalam hal ini kerana skrip terlalu mengikut novel, tidak dibinanya betul-betul personafikasi Suman dan Tok Ngah sebagai patriark kampung itu). Tapi ada kelebihan Suman, selain dia yang membuka dan mempunyai hak pada tanah itu; dia lelaki yang mempunyai tiga anak lelaki, berbanding Tok Ngah yang mungkin lebih tua, hanya seorang anak lelaki (yang langsung tidak balik-balik jenguk ayahnya) dan seorang perempuan. Ini tanda "kelemahan" Tok Ngah pada mata masyarakat orang kampung. Ini ditambah pula waktu babak Suman boleh berubat, Suman sah-sah jauh lebih berbakat daripada Tok Ngah (sesiapa yang mempunyai ilmu itu maknanya dia jauh lebih cekal dalam kefahaman agama, apatah lagi secara spiritual, ini sebagai suatu tanda hormat dalam mentaliti Melayu). Inilah yang mengakibatkan Tok Ngah perlu "menghabiskan" pesaing tersengitnya. Jadi benar, Tok Ngah kiranya "berjaya" (dia diwar-warkan jadi ketua kampung oleh orang kampung) lalu bersandar di batang pokok, simbol lelaki dan patriarki yang kuat. Dan imej inilah, yang kemudiannya dihancurkan (dengan sangat lawak sekali, oleh Jibam, Abu Nawas kita) dengan kayu korek telinga Tok Ngah, mempermainkan tempat patriarkinya!

Dalam hal-hal ini sahaja, terlihat kebijaksanaan filem ini yang dikemudai Che Mie. Hal ini ditambah pula dengan lakonan kumpulan pelakon yang jelas-jelas baik. Semangat dan rasa Melayu kampungnya jelas. Lihat sahaja babak Usin yang mengadu domba tanpa melihat wajah Wok, tapi mengamuk baru memaling. Lihat marah kemudian lembut Wok. Lihat lembut dan tunduk si ibu Jibam apabila orang memarahinya kerana kerja nakal anaknya, matriarki kampung yang jelas-jelas merincikan perwatakan identitinya. Sudah lama kita tidak dihadapkan dengan inti-inti Melayu kampung sebaik ini. Namun aku terasa filem ini tetap ada masalahnya, dengan sikap Che Mie yang sengaja mengadakan syot kekal tanpa banyak syot sudut lain (lihat babak panjang Jibam dengan Tok Ngah pada akhir tanpa syot perspektif Mia). Ada yang sangat baik (syot Fakir berlari di bawah kolong sewaktu Tok Ngah mengejar), tapi ada yang hambar, malah ada yang terperangkap dalam syot-syot drama televisyen. Suntingannya mencuba untuk membaiki masalah-masalah ini dengan beberapa usaha percubaan. Yang terkuat ialah betapa hidupnya latar dan busana manusia Jibam di kampung, dengan rasa dan bentuk buminya yang betul, dengan rumah kampungnya yang fungsional dan warung kopi Pak Hitam yang tersorok. Runut bunyi Muhammad Tuah sedikit menghampakan, walaupun aku faham ia cuba membina mood yang sama seperti filem-filem 80-an yang penuh bunyi-bunyi. Namun lagu tema kredit akhirnya memikat. Asmira Suhadis dan Che Mie melakukan adaptasi  skrip berserta pilihan dialog yang boleh dipuji, yang dekat dan boleh dipersetujui logosnya. Jarang-jarang aku ketawa bercampur tersentuh jiwa dan kadangkala menangis dengan imej dan kata-kata. Jibam melakukannya kepadaku dengan misteri magisnya.

Ya, Jibam ada cacatnya, tetapi roh sinemanya kuat dan tersampai, memberi kita melihat sedetik sebenar kemanusiaan yang wujud dalam alam Melayu, yang dekat dengan buminya, dekat dengan Tuhannya, dan terus-terus sahaja menemui kita dengan mengejut dan terselindung daripada kita dengan penuh misteri.

No comments: